Khamis, Mac 04, 2010

Jawatan Kosong di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Mac 2010

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
- PENOLONG SETIAUSAHA GRED 41
- PENOLONG PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT GRED F29
- PEMBANTU TADBIR (PERKERANIAN/OPERASI) GRED N17

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.ziddu.com/download/8829522/KosongdiSuruhanjayaHakAsasiManusiaSUHAKAMMac2010.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/27828272/iklan-jawatan-kosong-di-suruhanjaya-hak-asasi-manusia-suhakam-mac-2010

CARA MEMOHON:
Calon-calon yang berminat boleh mengemukakan surat permohonan yang mengandungi maklumat diri beserta salinan sijil-sijil akademik dan salinan Kad Pengenalan yang telah disahkan serta sekeping gambar berukuran pasport (tidak dikembalikan) kepada:

Setiausaha
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
(Unit Pengurusan Sumber Manusia)
Tingkat 29, Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut,
50350 Kuala Lumpur.

TARIKH TUTUP : 15 MAC 2010

Jawatan Kosong di Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mac 2010

Terbuka kepada rakyat Negeri Johor.

JAWATAN:
- PEMBANTU PENGUATKUASA (TEMPAT LETAK KERETA) N17

BORANG PERMOHONAN
http://www.ziddu.com/download/8830329/PermohonanMajlisPerbandaranJohorBahruTengahMPJBT.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/27831679/borang-permohonan-majlis-perbandaran-johor-bahru-tengah-mpjbt

Borang Permohonan hendaklah dihantar ke alamat:

YANG DIPERTUA
MAJLIS PERBANDARAN JOHOR BAHRU TENGAH,
81300 SKUDAI,
JOHOR BAHRU.

http://www.mpjbt.gov.my

TARIKH TUTUP : 12 MAC 2010

Jawatan Kosong di Majlis Daerah Segamat, Johor (MD Segamat) Mac 2010

Permohonan adalah dipelawa kepada Rakyat Negeri Johor Darul Ta’zim atau Warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan berikut di Majlis Daerah Segamat:

JAWATAN:
- Pekerja Awam Gred R1

BORANG PERMOHONAN :
Permohonan-permohonan hendaklah dikemukakan dengan mengisi borang yang boleh didapati di Pejabat Majlis Daerah Segamat.

Permohonan-permohonan hendaklah disertakan dengan salinan-salinan Sijil Persekolahan, Kad Pengenalan, dokumen-dokumen sokongan dan sekeping gambar berukuran pasport (tidak dikembalikan) dan hendaklah dihantar kepada :

YANG DIPERTUA
MAJLIS DAERAH SEGAMAT
85000, SEGAMAT,
JOHOR DARUL TAKZIM.

http://mdsegamat.gov.my/

TARIKH TUTUP : 10 MAC 2010

Jawatan Kosong di Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Mac 2010

Permohonan adalah dipelawa daripada rakyat Negeri Johor Darul Ta’zim atau Warganegara
Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan-jawatan berikut:

JAWATAN:
1.PENOLONG PEGAWAI TADBIR GRED N27
2.PEMBANTU TADBIR (KEWANGAN) GRED W17

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.ziddu.com/download/8830456/anJawatanKosongdiYayasanPelajaranJohorYPJMac2010.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/27832618/iklan-jawatan-kosong-di-yayasan-pelajaran-johor-ypj-mac-2010

BORANG PERMOHONAN
http://www.ziddu.com/download/8830457/ermohonanJawatanKosongdiYayasanPelajaranJohorYPJ.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/27832628/borang-permohonan-jawatan-kosong-di-yayasan-pelajaran-johor-ypj

Borang Permohonan hendaklah dihantar ke alamat:

PENGURUS BESAR
YAYASAN PELAJARAN JOHOR
NO.12A, BANGUNAN YPJ, KB.NO.711
80990 JOHOR BAHRU

http://www.johordt.gov.my

TARIKH TUTUP : 10 MAC 2010

Ingatan untuk lelaki Malaysia

Oleh HELMI MOHD. FOAD

Bimbangkah kaum lelaki apabila menyaksikan sektor perkhidmatan kerajaan sekarang dikuasai oleh wanita?

Itu persoalan yang timbul apabila Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin mendedahkan bahawa sektor itu telah dikuasai oleh golongan wanita.

Reaksi yang diterima daripada kenyataan itu adalah pelbagai, ada yang melenting dan ada yang memandang sinis.

Soalnya, mengapa soal gender masih terus dibangkitkan ketika golongan wanita di negara ini telah banyak mencipta kejayaan.

Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Lamien Sawiyo menyatakan pendirian yang sama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bahawa tiada diskriminasi gender berlaku dalam pengambilan kakitangan awam.

SPA yang mengendalikan 250 skim perjawatan setiap tahun menerima hampir sejuta permohonan daripada mereka yang mahu menyertai sektor awam.

Sudah pasti, suruhanjaya itu menerima maklumat tentang pelbagai latar belakang pemohon dan tapisan ketat pasti dilakukan kerana cuma 50,000 kekosongan sahaja yang ada setiap tahun.

''Jadi...kita ikut merit, kalau bagus dan melepasi syarat yang ditetapkan, kita ambil. ''Tiada sebarang kuota sama ada lelaki atau perempuan melainkan jawatan itu memerlukan kakitangan wanita," katanya.

Justeru, dominasi kaum wanita dalam sektor kerajaan bukan menjadi suatu perkara yang membimbangkan sehingga timbul polemik tentang persoalan gender.

Dalam dunia moden hari ini, tiada lagi ruang untuk kita katakan bahawa dunia adalah untuk lelaki sahaja.

Proses pemodenan yang antara lain menyentuh soal kebebasan dan keadilan juga memberi ruang seluas-luasnya kepada wanita untuk turut sama terlibat dalam apa juga bidang.

Cuma, penglibatan wanita mungkin tidak perlu sampai ke tahap menyeberang ke orbit wilayah hukum dan bidang kuasa lain sehingga akhirnya akan menyebabkan kepincangan sosial.

Dalam zaman moden dan dengan bilangan ramai serta penguasaan wanita dalam segala sektor, ada kemungkinan kekuasaan atau tugas-tugas penting yang selama ini didominasi oleh lelaki akan diambil alih oleh wanita.

Jika lelaki tidak mampu menunjukkan keupayaan dan daya intelektual yang tinggi, suatu hari nanti ruang itu akan diambil alih oleh wanita. Inilah yang berlaku sekarang.

Sektor awam seolah-olah tiada pilihan kerana jika tidak berbuat begitu, pembangunan negara dan umat Islam akan terbantut.

Perkara itu pernah dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Siri Wacana Perdana bertajuk Peranan Wanita dan Belia Dalam Pembangunan Negara pada hujung tahun lalu.

Beliau membayangkan lelaki bakal kehilangan kuasa apabila wanita meningkat maju dalam pelbagai bidang.

''Perubahan kuasa dan autoriti akan berlaku antara dua gender ini, iaitu apabila anda (lelaki) membenarkan orang lain (wanita) melakukan tugas anda.

''Jadi, anda akan bergantung kepada wanita terutama apabila mereka mampu melakukan sesuatu dengan lebih baik. Sekarang, kita lihat golongan lelaki tidak lagi mempunyai kebebasan dan dalam masa yang sama, mereka tidak ada kelayakan," katanya.

Katanya, peningkatan golongan lelaki bersikap terlalu bergantung kepada wanita tidak boleh dibiarkan terus berlaku.

''Akan terjadi keadaan di mana wanita (isteri) boleh berkata kepada lelaki, kamu boleh keluar dari rumah," katanya.

Malah ada segelintir orang berfikir, apa guna mereka membuat sesuatu pekerjaan yang orang lain boleh melakukan untuk mereka.

Justeru, inilah yang terjadi apabila negara terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing kerana rakyat tempatan 'malu dan segan' untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Ketika itu, rakyat bukan sahaja akan hilang kebebasan, malah lambat laun akan 'kehilangan' negara sendiri.

Mahu tidak mahu wanita perlu dilibatkan sama dalam pembangunan negara.

Dengan jumlah populasi sebanyak 27 juta, Malaysia akan menghadapi masalah produktiviti jika tiada penglibatan tenaga kerja wanita.

Tidak hairanlah ketika Malaysia hanya mempunyai 13 juta penduduk, Dr. Mahathir yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan negara membuat kejutan apabila mengumumkan negara perlu mencapai 70 juta penduduk.

Meskipun, kini jumlah penduduk negara sudah meningkat sehingga 27 juta, kata Dr. Mahathir, beliau tetap menganggap Malaysia adalah sebuah negara yang kecil.

Justeru, katanya, negara perlu memanfaatkan seluruh rakyat termasuk wanita untuk membangunkannya.

Ini kerana, jika wanita diketepikan, maka jumlah guna tenaga akan terbahagi dua.

Sebagai pemimpin yang berfikiran jauh, Dr. Mahathir cukup cekap membuat jangkaan masa depan berdasarkan statistik. Dan statistik itulah yang menjadi 'bola kristal' untuk meramal masa depan.

''Apabila kita mempunyai 13 juta rakyat dan jika kita asingkan tenaga kerja wanita, jumlahnya hanya 6.5 juta.

''Ketika itu, hanya kira-kira 40 peratus daripada jumlah penduduk boleh bekerja. Jadi, apa akan terjadi jika 40 peratus daripada 6.5 juta rakyat sahaja yang boleh bekerja, sebab itu kita bawa masuk wanita," katanya mengimbas dasar pentadbirannya dahulu.

Pentingnya wanita dilibatkan sama dalam pelbagai sektor pekerjaan adalah kerana kemampuan dan keupayaan mereka.

Meskipun masyarakat masih didominasi kaum lelaki, namun sumbangan wanita tidak boleh dipandang ringan.

Hakikatnya, gabungan tenaga kerja lelaki dan wanita mampu memperluaskan pasaran produk tempatan dan kuasa beli di peringkat domestik.

Dengan itu, ekonomi negara dapat dijana lebih cepat ketika kelembapan ekonomi dunia masih belum pulih sepenuhnya.

Apa yang kita lihat hari ini adalah wanita bukan sahaja berjaya menampilkan keupayaan dalam pelbagai bidang, malah mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik.

- UTUSAN

Rabu, Mac 03, 2010

Isu-isu akhbar Cina

IKTIRAF SIJIL PEPERIKSAAN GABUNGAN SEKOLAH MENENGAH CINA

Baru-baru ini semasa dalam majlis mesyuarat jawatankuasa parti Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri mengarahkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran mengkaji semula isu berkaitan pengiktirafan sijil-sijil peperiksaan gabungan sekolah-sekolah menengah Cina, masalah pelajar sekolah menengah Cina mendapatkan tempat di universiti awam.

Topik “Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah-Sekolah Menengah Cina Semakin Mendesak” tulisan editor Sin Chew Jit Poh pada 27 Februari 2010 (Sabtu) merumuskan isu-isu lapok itu dikemukakan kembali.

Tetapi reaksi tulisan itu memuji langkah tersebut. Setelah begitu ramai orang politik mengemukakan perkara yang sama, tetapi tiada sebarang keputusan diambil. “Kali ini Najib sebagai Pengerusi Barisan Nasional bangkitkan kembali isu ini, dengan itu menunjukan pihak kerajaan peka dengan perkara ini.”

Menurut tulisan berkenaan, sejak beberapa tahun lalu sistem pendidikan sekolah menengah swasta Cina mengharapkan sokongan padu daripada masyarakat Cina dan pendidik-pendidik sekolah Cina juga sentiasa berjuang untuk pendidikan sekolah Cina sehingga ia menjadi institusi yang serba lengkap pada hari ini.

“Ada 60 buah sekolah menengah Cina di seluruh negara, lebih daripada 1/3 mempunyai kelengkapan yang cukup. Dari segi pembelajaran ia mendapat pengiktirafan pelbagai agensi kerana sekolah menengah Cina mempunyai keperluan pendidikan asas,” tulis editor berkenaan.

Tulisan itu juga membuat perbandingan pengambilan pelajar. Universiti awam tempatan dikatakan tidak henti-henti buat penambahan bilangan pelajar termasuk menerima pelajar-pelajar asing yang tak tahu langsung berbahasa Melayu masuk universiti awam tempatan, tetapi kenapa tidak boleh terima kemasukan pelajar dari sekolah menengah Cina?

Menurut tulisan itu, setiap tahun begitu ramai kalangan mereka dipaksa berhijrah keluar negara melanjutkan pelajaran, menyebabkan pertukaran mata wang kita banyak mengalir keluar.

“Selepas mereka tamat belajar di sana, mereka menjadi profesional, mereka tidak diambil oleh pihak kerajaan atau diberi gaji yang lumayan supaya mereka kekal di tanah air, tetapi mereka terus tinggal bekerja di luar negara dan berkhidmat dengan syarikat asing. Ini lah punca cerdik pandai kita mengalir keluar secara besar-besaran hari ini,” kata editor itu..

APA PEMBAHARUAN EKONOMI

Dalam akhbar China Press keluaran 28 Februari lalu pula membincangkan soal ekonomi negara.

Dalam ruangan Perbincangan umum rakyat, penulis menggunakan nama samaran Song Siang membayangkan kemeriahan sambutan hari pertama Tahun Baru Harimau kepada syarikat perjudian Genting di Sentosa World, Singapura.

“Pada hari tersebut, ramai pelanggan berpusu-pusu datang dari merata tempat ke Singapura menjadikan Pulau Sentosa sesak.

Pada malam Tahun Baru Cina lebih 5,000 bilik hotel telah penuh ditempah, Tauke Lim dapat “rezeki” melimpah ruah, didatangi orang-orang dari segala pelosok dunia serta orang Singapura sendiri. Ramai yang tidak dapat masuk ke kawasan perjudian kerana terlalu ramai yang datang.”

Menurut penulis itu, jika dibandingkan pembaharuan ekonomi negara kita dengan Singapura, apa pembaharuan ekonomi yang kita ada? Apakah pandangan jauh yang kita buat selama ini?

“Kita hanya nampak orang kita hanya pandai berbincang projek-projek blue print negara, bincang fasal Wawasan 2020 dan keberkesanannya, bincang fasal sahut cabaran akan datang, mahu jadikan konsep 1Malaysia rakyat diutamakan.”

Penulis itu mempersoal kenapa Raja Gula Robert Kuok melepaskan industri gulanya sedangkan keluarga itu telah menguasai gula selama setengah abad? Dia juga membandingkan Malaysia dengan Thailand yang selalu berlaku rusuhan tetapi pelabur asing tetap datang melabur ke negara itu?

“Vietnam telah tinggalkan kita ke belakang. Di Indonesia selepas pemerintahan Susilo membanteras gejala rasuah, mereka telah mendapat nafas baru. Sekarang kedudukan Indonesia sudah hampir di belakang kita.

“Hari ini segala projek besar negara “sedap dengar di telinga”, bukan untuk disebut di mulut sahaja,” katanya.

Jika mahu kotakan blue print negara, perlu ada semangat keberanian yang kuat, perlu ada kerajaan yang berani berubah. Bukan keluarkan semua tenaga dilaburkan untuk isu-isu politik. Terutama sekali kes lewat Anwar Ibrahim, kes asyik ditangguhkan, apabila kes ini berpanjangan tidak ada kesudahannya.

JUMLAH PENDUDUK KAUM CINA

Akhbar China Press pada 24 Februari lalu menumpukan isu kemerosotan jumlah penduduk kaum Cina. Penulis menggunakan nama samaran Panglima Renggam Terpilih mengupas laporan Jabatan Perangkaan Negara yang menunjukkan jumlah penduduk kaum Cina hari ini 22.5 peratus.

Tulis penulis itu, pada masa akan datang mungkin kadar itu akan melepasi paras 20 peratus sahaja. Katanya, sebuah kaum yang bilangannya besar semasa zaman membangunkan negara ini dahulu kini menjadi bilangan kecil, agak jarang-jarang berlaku di dunia. Nasib baik Hua Zong mengambil perhatian berat terhadap perubahan-perubahan seperti ini.

Penulis itu menganggap ada dua sebab berlaku perubahan itu.

Yang pertama, pada tahun 1970-an negara jiran melancarkan satu keluarga 2 orang anak, ia memberi kesan yang mendalam kepada orang Cina di negara kita. Negara jiran membawa kemasukan beramai-ramai orang Cina dari negara kita untuk menampung kekurangan mereka.

“Yang kedua, saya banyak kali membaca dua buah buku tulisan bekas pengerusi Hua Zong. Walaupun buku itu beliau tidak menggalakkan pertumbuhan penduduk Cina di Malaysia, kerana mengambil contoh seperti di Amerika Syarikat (AS) yang mana penduduk Yahudi hanya tiga peratus sahaja tetapi menguasai segala ekonomi, pendidikan dan pentadbiran di AS.

“Sebab itu beliau tekankan kualiti bukan kuantiti, kita kena pelajari ilmu orang Yahudi. Semua ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin parti yang bertanggungjawab kebanyakannya ada satu atau dua orang anak sahaja. Ada yang tiada anak langsung ataupun membujang. (Sebagai pemimpin, adakah anda semua tidak faham keadaan masyarakat di negara ini? Mereka izinkankah kita jadi orang Yahudi?)” tulisnya.

Bagi Panglima Renggam Terpilih, dia amat tidak setuju pemikiran mahukan kualiti dan tolak kuantiti. Tulisnya, negara jiran berbuat begitu kerana mereka risau tentang keluasan kawasan negara dan kekurangan sumber air. Dari segi itu apa yang kurang di negara kita?

“Adakah kamu (pemimpin politik) rasa fobia terhadap bertambahnya penduduk kaum Cina akan menjejaskan keputusan pilihan raya? Atau pun memang benar mereka berfikiran begitu yang menyebabkan dan menjadi penyebab mereka kehilangan sokongan banyak undi dari kaum Cina!” tulis beliau.

- UTUSAN

Selasa, Mac 02, 2010

Enam Kampus Baru UiTM Dibina Tahun Ini

Pembinaan enam buah kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) di enam lokasi akan dibuat menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta bagi memenuhi sasaran penempatan 200,000 pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, enam lokasi itu ialah di Pasir Gudang, Johor, Jasin di Melaka, Seremban 3, Samarahan di Sarawak, Puncak Alam di Selangor dan Tapah, Perak.

"Setiap satu kampus itu membabitkan kos sebanyak RM300 juta dan mampu menempatkan 5,000 pelajar. Kesemua projek itu dijangka dapat beroperasi dalam tempoh setahun setengah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Konsesi Asrama Secara Penswastaan antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan Pengurusan Konsesi Asrama Sdn Bhd (Peka).

UTeM diwakili Naib Canselornya, Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan dan Pengarah Pengurusan Konsesi Asrama Sdn Bhd, Nazli Khir Johari. Menerusi perjanjian itu, sembilan blok bangunan asrama lima tingkat yang boleh memuatkan 3,060 pelajar akan dibina di tanah seluas 28 hektar di Durian Tunggal, Melaka, yang dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Selain itu terdapat dua arked pelajar, lapan unit kediaman untuk felo asrama serta dua unit kediaman pengetua asrama melibatkan jumlah keseluruhan kos sebanyak RM73 juta dengan setiap pelajar akan dikenakan caj sewaan sebanyak RM1,579.50 setahun.

Dengan pembinaan projek itu menjadikan UTeM universiti kedua membina asrama menerusi kaedah itu selepas Universiti Perguruan Sultan Idris.

- BERNAMA

Guru Di Malaysia Belum Sedia Ajar Pendidikan Seks

Guru-guru di Malaysia masih belum bersedia untuk mengendalikan pendidikan seks di sekolah kerana mereka kurang latihan profesional dalam subjek itu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Katanya, walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah tetapi sesuatu yang menyedihkan guru-guru kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.

Beliau memberitahu Bernama hari ini bahawa guru-guru takut mereka mungkin di saman oleh ibu bapa jika melakukan kesilapan dalam menyampaikan pengetahuan seks kepada murid-murid.

Malaysia adalah sebuah negara dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya dengan setiap etnik mempunyai tanggapan masing-masing mengenai subjek itu yang menjadikan pengajarannya lebih mencabar, katanya.

NUTP merupakan kesatuan guru yang terbesar di negara ini mewakili 160,000 guru, iaitu kira-kira separuh kerjaya perguruan. Lok berkata, kesatuan itu berharap Kementerian Pelajaran berbincang dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai baik buruk usaha itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Ketika ini, subjek itu diajar secara sambil lalu dari sekolah rendah hingga sekolah menengah tanpa kursus yang dirangka dengan sempurna.

Pendidikan seks menjadi satu isu yang sangat penting sejak kebelakangan ini di Malaysia berikutan peningkatan kes ibu-ibu muda yang tidak berkahwin, kebanyakannya pelajar.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kalangan pelajar, ibu bapa dan guru menunjukkan kumpulan itu menyokong usaha itu tetapi tidak pasti bentuk dan kandungan kursus itu.

Seorang pelajar, Jayaraman, 17, berkata: " Saya menyokong penuh tetapi saya tidak pasti apa dan bagaimana guru-guru akan mengajar kerana kita ada lebih ramai pelajar perempuan daripada lelaki dalam kelas dan kebanyakan guru adalah wanita".

Abdul Raof Bidin, 38, yang mempunyai dua anak yang bersekolah, merasakan adalah perlu untuk mengajar subjek itu, tetapi ia perlu ditangani secara berhati-hati kerana ia mudah disalahtafsirkan dan boleh menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak disampaikan dengan betul.

Sementara itu, M. Arumugam, 44, berkata, adalah lebih baik jika profesional dalam bidang perubatan seperti jururawat dan doktor menyampaikan subjek itu kepada pelajar.

"Mungkin Kementerian Pelajaran boleh berunding dengan Kementerian Kesihatan dan mendapatkan beberapa kerjasama di mana anggotanya dapat memberikan guru-guru latihan ketika waktu kerja," katanya.

Betty Lee, 50, seorang guru dengan 24 tahun pengalaman, merasakan subjek itu lebih baik dilaksanakan oleh guru-guru yang merupakan ibu dan tahu mengendalikan subjek yang kompleks itu.

"Bukan semua guru boleh mengajar subjek itu, dan kementerian perlu teliti dalam memilih calon yang sesuai untuk kerja itu," katanya.

- BERNAMA

Perdagangan mata wang haram

MEGA: Apakah hukum melabur dalam perdagangan mata wang asing (forex)?ZAHARUDDIN: Bagi menjawab soalan ini, kita perlu memahami dua jenis bentuk pelaburannya iaitu:

Melabur wang ringgit anda ke dalam satu syarikat yang memperolehi untung melalui forex.

Melantik satu platform atau syarikat untuk menjalankan jual beli wang asing dan simpan. Semua transaksi dijalankan oleh individu itu sendiri, syarikat hanya menyediakan platform dan mengambil upah perkhidmatan sahaja.

Pertama: Hukum bagi melabur dalam syarikat yang menjalankan forex:

Forex adalah suatu jenis perdagangan atau transaksi yang memperdagangkan mata wang suatu negara terhadap mata wang negara lainnya. Ia melibatkan pasar-pasar mata wang utama di dunia selama 24 jam secara berterusan.

Benar, memang pertukaran mata wang adalah diharuskan, tetapi keharusannya tertakluk kepada sejauh mana ia menurut garis panduan yang dikeluarkan dari hadis nabi yang sahih. Iaitu:-

Ditukar (serah dan terima) dalam waktu yang sama ia disebut dalam hadis sebagai yadan bi yadin. Dalam bahasa Inggerisnya adalah on the spot basis.

Ia datang dalam banyak hadis. Antara yang paling utama adalah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Emas dengan emas (ditukar atau diniagakan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus (pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai. (riwayat Muslim, no. hadis 4.039, 11/9)

Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata: Pertukaran antara perak dan emas adalah riba kecuali jika ia dilakukan secara serentak (serah terima dalam satu masa). (riwayat Muslim, no. 1586, 3/1209)

Pembelian secara hutang dari salah satu antara dua pihak adalah haram berdasarkan hadis Rasulullah SAW melarang dari menjual emas dan perak secara berhutang. (riwayat Al-Bukhari, no. 2070, 2/762)

Hadis-hadis tadi menyebut perihal disiplin Islam dalam pertukaran emas dan perak. Untuk informasi, ulama bersepakat bahawa mata wang (bank note) juga adalah sama disiplinnya dengan emas dan perak disebabkan nilai dan fungsinya sebagai medium of exchange.

Justeru setiap disiplin dan syarat transaksi yang melibatkan emas dan perak juga terpakai pada urusan transaksi mata wang.

Demikian keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan juga Majlis Kewangan Islam Antarabangsa di bawah Pertubuhan Akauntan dan Pengauditan untuk Institusi Islam (AAOIFI).

Forex dalam mata wang yang diuruskan oleh syarikat konvensional sudah pasti tidak akan menjaga syarat ini. Sebabnya, kebanyakan forex di institusi konvensional adalah forward forex atau forex yang menggunakan value forward (nilai masa hadapan) yang tergolong dalam riba nasiah. Mereka juga kerap menggunakan SWAP, Options dan lain-lain instrumen yang tidak halal di sisi syariah.

Tidak saya nafikan, bahawa ada institusi kewangan Islam yang melakukan forex ini setelah dapat kelulusan Majlis Penasihat Syariah mereka. Namun semua mereka hanya terlibat dalam forex jenis spot dan bukannya jenis forward. Jika adapun jenis forward ia menggunakan konsep Al-Wa'd atau unilateral promise yang telah disepakati keharusannya.

Apa yang pasti, Majlis Syariah telah meletakkan beberapa syarat dan bukannya secara bebas begitu sahaja.

Justeru melabur modal (seseorang melabur dan menunggu untung sahaja) dan di dalam institusi kewangan konvensional yang memperolehi untung melalui cara forex adalah tidak halal di sisi Islam.

Ia adalah keputusan Panel Penasihat Syariah Dunia di bawah AAOIFI.

Kedua: Hukum perdagangan forex yang dijalankan sendiri.

Bagi mengetahui hukum bagi bentuk kedua ini, ia tertakluk kepada:

Kesahihan dan kewibawaan syarikat platform dari sudut lesennya dan pengenalannya. Ia diperlukan bagi mengelak anda ditipu oleh platform syarikat yang tidak sebenar.

Butiran terperinci berkenaan platform ini mestilah diteliti dan boleh diperolehi. Jika tidak, transaksi anda adalah syubhat dari awal lagi kerana ada unsur gharar.

Jika platform tersebut punyai wibawa dan lesen serta maklumat yang sangat mencukupi, perkara kedua adalah menilai akta-akta berkaitan aktiviti ini dari badan berwajib di Malaysia.

Ini perlu bagi memastikan anda tidak terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang negara.

Jika yang kedua juga lulus, saya kira transaksi jual mata wang asing dan simpan dan kemudian jual semula apabila harga tukarannya naik adalah harus pada hukum asalnya apabila terdapat keperluan untuk menukarkan mata wang tersebut. Ini kerana ia secara automatiknya dilaksanakan menurut kaedah spot.

Cuba kita sama-sama memahami dan menyemak bagaimana proses ini dilakukan secara ringkas dan melihat perspektif hukum Islam tentangnya.

Walaupun berniaga sendiri forex dan memenuhi syarat ini dibenarkan, kebenaran itu adalah tatkala wujud keperluan sahaja. Namun apabila ia dijadikan sebagai sebuah pelaburan dan kemudian, cuba mendapatkan untung atas pertukaran nilai mata wang terbabit, ia telah berubah dari hukum harus kepada haram kerana wujudnya unsur perjudian dan spekulasi di situ.

Di samping isu-isu lain seperti gharar dan keterlibatan riba dalam leverage. Apa pun, yang pasti perniagaan forex trading wang kertas pelbagai negara untuk meraih untung atas perbezaaan nilai mata wang adalah haram.

Sebabnya, ia adalah judi dan penyebab mudarat kepada sistem ekonomi dunia dan penyumbang kepada inflasi serta ketidakstabilan nilai mata wang.

Mengapakah insurans konvensional itu dikategori haram?

ZAHARUDDIN: Sebabnya insurans konvensional merupakan suatu kontrak perniagaan dan termasuk daripada kalangan kontrak pertukaran pemilikan kewangan 'Uqud mu'awadat maliah.

Melalui sistem insurans, kontrak ini mewajibkan syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada pencarum insurans apabila berlaku kemalangan atau musibah yang telah ditentukan di dalam kontrak (akad) bersesuaian dengan kadar-kadar tertentu.

Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum. Sebanyak 48 kontrak insurans ini mengandungi ciri-ciri berikut:

Persetujuan kedua-dua pihak (iaitu syarikat insurans dan pencarum). Ia ibarat satu kontrak perjanjian yang lengkap dan mengandungi aspek ijab (tawaran) dan kabul (penerimaan).

Pihak yang memberi insurans; iaitu pihak syarikat insurans.

Pencarum; iaitu individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat perjanjian dengan syarikat insurans.

Yang menerima manfaat; iaitu seperti anak kepada individu atau isteri dan lain-lain.

Jenis kebahayaan atau musibah; iaitu jenis-jenis musibah atau kemalangan yang diandaikan yang ditentukan di dalam kontrak seperti kecurian, kebakaran, kecederaan, kematian dan lain-lain.

Bentuk insurans ini adalah seperti: Insurans terhadap musibah menimpa tubuh, insurans nyawa, insurans harta dan pecahannya (kereta, motor, rumah dan lain-lain), insurans kemalangan jalan raya, insurans kerja dan lain-lain.

Satu sebab utama insurans konvensional haram adalah riba. Islam melihat inti dan substance insurans konvensional sebagai proses jual beli. Ringkasannya seperti berikut:

Penjual: Syarikat insurans

Pembeli: Pencarum

Benda yang dijual: Jaminan kewangan jika terhadap musibah tertentu

Harga: RM1, 200 setahun

Sifat asas insurans konvensional ini termasuk dalam akad jual beli. Justeru, ia dikehendaki menjaga semua syarat jual beli wang (sebagaimana dalam hukum as-Sarf) dan lain-lain syarat jual beli biasa.

Riba wujud dalam insurans ini apabila syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah. Ia dianggap riba kerana wang daripada pencarum akan berbalas wang daripada syarikat dengan jumlah yang berbeza, padahal wang merupakan barangan ribawi (usurious items) sebagaimana enam barangan yang disebutkan Nabi SAW dalam hadisnya.

Nabi SAW mensyaratkan apabila berurusan di antara dua barangan ribawi yang sama jenis (contoh di sini adalah wang daripada pencarum dengan wang daripada syarikat insurans), ia mestilah terikat dengan syarat:

Sama nilai (mithalan bi mithlin)

Diserahkan ketika muamalah dilakukan (yadan bi yadin)

Syarat ini bersumber daripada hadis yang disebut juga dalam bab forex sebelum ini.

Maka setiap perbezaan nilai (dalam barangan ribawi) dianggap riba al-fadhl yang diharamkan (tahrim wasail). Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza maka berlakulah riba al-fadhl ini iaitu tidak ada kesamaan nilai dalam urusniaga dua barangan ribawi.

Pembayaran bertangguh dalam dua barangan ribawi adalah riba an-nasi'ah yang diharamkan. Dalam hal insurans sudah tentulah berlaku penangguhan, iaitu apabila pencarum terkena musibah barulah akan dibayar jumlah tertentu. Inilah dinamakan riba an-nasi'ah.

Kadang kala semasa di luar negara, kita menggunakan kad kredit semasa membeli barang. Apakah hukum transaksi begini?

ZAHARUDDIN: Semua kad kredit konvensional jatuh dalam hukum riba kerana bank atau pengeluar kad tersebut dikira memberi pinjaman kepada pelanggannya dalam bentuk had kredit.

Setiap kali kad diguna di mana-mana kedai dan pasaraya, pemiliknya hanya perlu membayar dengan kad tersebut. Padahal bayaran sebenar akan dibuat oleh pengeluar kad. Inilah intipati kepada sebuah akad pinjaman.

Ia menjadi riba dan haram disebabkan pengeluar kad menuntut pembayaran yang dilakukannya dan diberi tempoh beberapa hari untuk menyelesaikannya tanpa caj riba.

Pun begitu biasanya pelanggan diminta membayar 5% dari jumlah terkumpul penggunaan yang dibuatnya pada bulan tersebut. Baki jumlah terkumpul akan dikenakan riba yang boleh meningkat sehingga 15%. Ini adalah intipati riba al-Qardh.

Jika pelanggan gagal membayar, penalti sekitar 3% akan dikenakan, dan jumlah penalti tadi dimasukkan ke dalam nilai pokok pinjaman yang tertunggak menyebabkan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh pelanggan bertambah tinggi. Ini adalah riba yang kedua iaitu riba al-Jahiliyyah.

Oleh itu, umat Islam khususnya di Malaysia patut diwajibkan menukar kad kredit konvensional kepada kad kredit bank-bank Islam yang menggunakan pelbagai akad yang disahkan oleh majlis syariah yang berwibawa.

Jika kad kredit Islam yang digunakan, sebarang pembelian di dalam atau luar negara adalah halal dan diharuskan, kecuali pembelian emas dan perak.

Ini kerana diyakini pihak pengeluar tidak mampu membuat pembayaran kepada penjual emas terbabit kurang daripada tempoh tiga hari disebabkan jarak dan proses yang lebih panjang. Keadaan ini pastinya membawa kepada unsur riba akibat penangguhan pembayaran ketika pembelian emas dan perak.

Ada juga yang berpendapat membeli rumah melalui kaedah Islam lebih membebankan berbanding konvensional. Benarkah?

ZAHARUDDIN: Bagi saya, tindakan membandingkan apa yang ditawarkan oleh bank Islam dan bank konvensional adalah ternyata silap. Iaitu dari sudut:-

Spiritual: kerana membandingkan perkara yang halal dan yang haram.

Fizikal: kerana cuba membandingkan dua benda yang mempunyai bentuk yang berbeza. Sebagai cuba membandingkan kadar keuntungan yang diambil oleh bank Islam dan kadar faedah yang dikenakan oleh konvensional.

Selain itu, kadar harga juga berbeza-beza mengikut lokasi rumah yang ingin dibeli, kemampuan pelanggan, peratusan pembiayaan yang dipohon (kadar bagi pinjaman 90% adalah berbeza dari pinjaman 50% dan 70%), tempoh jangka pembiayaan dan banyak lagi.

Sebarang perbandingan mestilah mengambil kira semua faktor itu. Perbandingan secara umum pasti akan menunjukkan kelemahan diri dalam ilmu perbandingan.

Berikut adalah beberapa fakta yang menyebabkan dakwaan pinjaman perumahan bank konvensional lebih murah dari dalam perbankan Islam adalah silap dan tidak tepat.

Pertama: Perbandingan Kiraan Yang Silap

Orang ramai kelihatan gagal memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.5% (tahun ketiga sehingga 30 tahun sebagai contoh), ini bermakna kadarnya tidak bergerak hinggalah 30 tahun itu.

Apabila dilihat pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir semuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada Kadar Pinjaman Asas (BLR) yang tidak tetap serta ditolak dengan 0.25% sebagai contoh. (lihat Rajah 1)

Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi seperti 10% seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi?

Bukankah ketika itu, kadar faedah yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam praktis bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR. Ia tidak akan naik malah mungkin boleh turun jika bank Islam memberi rebat (ibra') apabila pelanggan ingin menyelesaikan hutang awal.

Perlu diingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini daripada 6 % sehingga 6.75%.

Ada pihak yang mendakwa kadar BLR jika naik sekalipun ia tidak akan berpanjangan. Jika anda melihat statistik di atas, kadar BLR melebihi 8% bermula tahun 1995 sehingga 1998. Ini bermakna, 36 bulan anda dikehendaki membayar dengan kadar yang amat tinggi.

Jika dalam tempoh tersebut anda tidak boleh membayar, anda dikenakan penalti yang tinggi oleh bank konvensional dan jumlah pinjaman pokok akan bertambah menggunung.

Tatkala itu kadar BLR yang telah jatuh semula tidak banyak memberi manfaat, kerana tiga tahun kadar BLR tinggi itu telah menjadikan pembayaran anda selama ini seperti membuang duit di dalam sungai kerana ia akan menaikkan semula jumlah pinjaman pokok anda.

Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi kepada pelanggan adalah tidak tepat.

Cuba lihat rajah 2 bagaimana perbandingan boleh dibuat terhadap tawaran dua buah bank.

Jika kita melihat kedua-dua tawaran di atas, bagaimana mungkin kita boleh mengetahui yang mana satu lebih murah?

Memang benar bank Islam menetapkan dari awal harga jualan rumahnya kepada pelanggan kerana ia adalah kewajipan dalam syariah. Sebab itu seseorang menyangka bank Islam lebih mahal kerana menjual rumah berharga asal RM130,000 dengan harga RM260,000.

Sedangkan, pemberitahuan harga begini memang diperlukan bagi sebuah transaksi Murabahah dan Al-Bai. Sebarang pembelian aset yang tidak diketahui harganya adalah diharamkan di dalam Islam.

Saya tegaskan sekali lagi, jika anda ingin mengatakan kadar faedah bagi bank konvensional di atas (berdasarkan contoh di atas) adalah sama untuk tahun kedua dan ketiga iaitu 4.75%, anda tersilap kerana ia belum dapat dipastikan lagi sehingga tahun depan barulah ia akan diketahui kadarnya.

Kadar tetap di Bank Konvensional?

Sebahagian individu yang tidak memahami konsep kiraan ini juga cuba mendabik dada sambil mendakwa kononnya terdapat bank konvensional yang dapat menawarkan kadar tetap yang jauh lebih rendah dari bank-bank Islam. Sebenarnya ia perbandingan yang tidak sah dan tidak betul.

Kedua : Kadar Tetap Bank Islam Boleh Berubah Menjadi Murah

Satu fakta yang sering gagal difahami orang awam adalah adanya bank Islam yang menawarkan kadar tetap pada 10%, tetapi bayaran bulanannya bukan 10%, tetapi dilihat kepada Kadar Asas Pinjaman (BFR) semasa.

Jika BFR 6.0%, pihak bank Islam akan memberi diskaun pada bulan tersebut sebanyak 4%.

Jika kadar BFR melebihi 10%, bank Islam tetap mengambil 10% juga, berbanding bank konvensional yang akan menaikkan kadar bayaran selari dengan BLR ke tahap berapa sekalipun. Kaedah ini disahkan halal oleh pelbagai Majlis Syariah bank-bank Islam di Malaysia dan Timur Tengah. Ia dinamakan produk Home Financing-i variable.

Isu rebat

Jika terdapat individu yang mendakwa rebat yang ditawarkan oleh bank Islam hanya gimik, ia bererti individu itu tidak memahami langsung operasi bank Islam dan tidak mempunyai ilmu syariah.

Islam tidak dibenarkan menjual sesuatu barangan dengan dua harga yang berbeza, sebagai contoh: "saya jual rumah ini kepada anda dengan harga RM150,000 atau RM200,000".

Jika bank Islam menjadikan rebate clause ini sebagai kewajipan ke atas pelanggan, ia akan menjadi gharar dari sudut Islam dan diharamkan.

Disebabkan hal itu, rebat yang ditawarkan oleh bank Islam tidak boleh memasukkan rebat sebagai kewajipan bank. Ia ditegah oleh Majlis Penasihat Syariah bank-bank seluruh dunia.

Ketiga : Caj Penalti Menindas

Orang ramai juga kelihatan amat tidak faham perbezaan kesan caj penalti yang dikenakan oleh bank konvensional dan bank Islam.

Bank konvensional mengenakan caj penalti jika lewat membayar secara compounding atau terkumpul. Ertinya, sebagai contoh, pinjaman A kepada bank sebanyak RM10,000 dan dikenakan bunga atau faedah riba sebanyak 5%.

Bermakna A perlu membayar sebanyak RM10,500 kepada bank itu jika anda membayar tepat pada waktunya. Bagaimanapun A tidak akan mampu pasti anda boleh membayar pada masanya secara yakin, kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Katalah setelah membayar beberapa lama, baki pinjaman kini hanya RM3,000 sahaja. Tiba-tiba, A mengalami kesusahan lalu gagal membayar pada waktunya. Ketika itu bank konvensional akan mengenakan 3% caj penalti iaitu RM90 sebulan. Ia sangat mahal berbanding bank Islam yang hanya mengenakan maksimum 1% atau RM30 sebulan.

Lebih dahsyat dari itu di bank konvensional jumlah pokok yang berbaki RM3,000 itu akan bertambah dicampur RM90 sebulan bagi kelewatan bulan pertama. Tatkala itu, jumlah pokok menjadi RM3,090.

Jumlah pembayaran semula pula akan dikira adalah 5% x (RM3,090) dan bukan lagi 5% daripada RM3,000. Justeru ini akan menaikkan lagi hutang A, bayangkan jika anda terlewat beberapa bulan.

Hal seperti ini tidak akan berlaku di bank Islam kerana tiada kadar compounding boleh dikenakan oleh bank islam. Jika terdapat kelewatan pembayaran, hanya caj 1% dikenakan dan ia tidak dimasukkan di dalam jumlah pembiayaan, malah ia juga akan disalurkan terus oleh bank Islam kepada fakir miskin.

Ini perlu difahami oleh orang ramai sebelum tergesa-gesa memahami bank konvensional lebih murah.

- UTUSAN

REDTone dapat lesen IPTV

KUALA LUMPUR 1 Mac - Penyedia perkhidmatan jalur lebar, REDtone International Bhd (REDtone) telah diberikan lesen Individu Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyediakan perkhidmatan IPTV (TV Protokol Internet).

DETV diuruskan oleh syarikat subsidiari REDtone, DE Multimedia Sdn Bhd (DE Multimedia) dan merupakan penerokaan pertama kumpulan tersebut ke dalam segmen kandungan.

Dengan jenama DETV, ia merupakan perkhidmatan TV berasaskan Internet pertama yang dilancarkan di Malaysia.

Ia boleh ditonton menggunakan set TV biasa dengan alat dekoder DETV dan sambungan jalur lebar sekurang-kurangnya 1Mbps.

Pelanggan boleh membawa bersama alat dekoder tersebut dengan mudahnya sekiranya mereka berpindah rumah.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan REDtone, Zainal Amanshah berkata, DETV dijangka menyumbang secara positif kepada penembusan jalur lebar negara dimana kini terdapat para penyedia perkhidmatan menawarkan pelbagai pakej untuk menarik lebih ramai pelanggan.

''Sebagai perkhidmatan IPTV pertama dan tunggal di Malaysia, DETV bersedia untuk mencipta kemeriahan dan membuka laluan ke arah pengalaman dalam talian yang lebih luas kepada para pelanggan jalur lebar,''" kata Zainal dalam kenyataan di sini hari ini.

''DETV akan dapat menambah nilai kepada penawaran penyedia perkhidmatan dan membolehkan para pelanggan menikmati manfaat penuh sambungan jalur lebar dengan IPTV.

''DETV juga membuka peluang kepada REDtone untuk bekerjasama dengan Streamyx dan penyedia perkhidmatan HSBB (jalur lebar berkelajuan tinggi) bagi menyediakan kandungan yang lebih luas kepada para pelanggan,'' tambah beliau.

Menurutnya, ini akan mewujudkan permintaan bagi perkhidmatan jalur lebar, sambungan jalur lebar dengan kualiti yang lebih baik akan membantu merancakkan penembusan jalur lebar di negara ini.

DETV kini mempunyai lebih 30 saluran termasuk CCTV (China Central TV) Entertainment, CCTV4, Shanghai Dragon TV, Hunan TV dan CCTV9, saluran berita bahasa Inggeris dari China.

Ia turut menyiarkan saluran berita antarabangsa seperti Channel News Asia, Bloomberg TV, NHK World TV dan Aljazeera serta saluran pancaran siaran percuma Malaysia, iaitu TV1 dan TV2.

Sementara itu, Pengarah Urusan DE Multimedia, Wei Chuan Beng yang juga merupakan Pengarah Urusan Kumpulan REDtone berkata, DETV merancang untuk menjalin kerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi kandungan dalam usahanya untuk meluaskan kandungan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Katanya, DETV boleh membantu mempertingkatkan produksi tempatan dan industri-industri berkaitan.

''DETV menyediakan landasan kepada syarikat produksi dan bakat-bakat tempatan kita untuk menampilkan kreativiti, kepakaran dan kemahiran mereka.

''Ia boleh menjadi batu loncatan untuk syarikat-syarikat dan artis tersebut dalam usaha mereka membina kemahiran dan meluaskan pendedahan mereka sebelum menerokai pasaran di luar Malaysia,'' katanya.

DETV menawarkan tiga pakej dengan yuran langganan bulanan sebanyak RM49.90 dan RM60 (harga biasa adalah RM79.90) bergantung kepada pakej sepanjang tempoh promosi yang akan berakhir pada Mac 31 ini.

Pelanggan juga dikehendaki membayar deposit yang akan dikembalikan semula untuk set dekoder tersebut.

- UTUSAN

Perang iPhone sengit

KUALA LUMPUR 1 Mac - Selepas merancang untuk memperkenalkan iPhone dua tahun lalu tetapi gagal menjadi kenyataan, Celcom Axiata Bhd. kini menimbang menjualnya semula.

Langkah Celcom itu dijangka menyemarakkan perang merebut pasaran melalui telefon bimbit yang menjadi kegilaan ramai.

DiGi. Com Bhd. (DiGi. Com) telah memeterai perjanjian menjual iPhone keluaran Apple Inc di Malaysia sekali gus mengakhiri monopoli penjualan telefom bimbit itu oleh Maxis Communications Bhd. (Maxis)

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Dennelind berkata, DiGi yang mengunjurkan pertumbuhan di pasaran sebanyak 10 kali ganda dalam tempoh lima tahun lagi, akan menjual iPhone 3G dan 3GS pada bulan depan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah perjanjian tersebut tetapi jurucakap Apple, Jill Tan berkata, syarikat berkenaan akan membuat kenyataan kemudian.

Perjanjian tiga tahun itu akan membantu DiGi meningkatkan jualan lebih lima peratus pada tahun ini, lebih tinggi daripada unjuran industri.

''Pertumbuhan dijangka kembali tahun ini,'' menurut beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly mendakwa langkah untuk tidak menjual iPhone sebelumnya disebabkan oleh syarikat itu menumpukan lebih kepada perkhidmatan jalur lebar yang mencatat pertumbuhan kukuh.

Bagaimanapun, pemerhati pasaran pula mendakwa tindakan itu lebih kepada salah percaturan di pihak Celcom yang menjangkakan mampu menandinginya dengan menawarkan produk Blackberry Storm.

Syarikat-syarikat telekomunikasi kini berlumba-lumba memberi fokus kepada jualan data memandangkan telefon pintas kini semakin popular kerana boleh akses Internet.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Asset Management Bhd., Scott Lim dalam analisisnya berkata, persaingan dijangka akan menjadi lebih sengit.

Beliau berkata, lebih banyak peserta akan menyertai pasaran jalur lebar wayarles sebagai pasaran suara yang telah matang.

iPhone memasuki pasaran tempatan tahun lepas apabila Maxis Communication Bhd melancarkan telefon pintar pada 31 Julai.

Sejak itu, sambutan kepada revolusi iPhone 3GS di Malaysia amat memberangsangkan seiring dengan popularitinya di dunia. Telefon itu dijual di 85 negara dan mempunyai kira-kira 25,000 aplikasi yang boleh dimuat turun.

Sementara itu, Shazalli ketika mengumumkan hasil kewangannya di sini mengakui, prospek perniagaan tahun ini dijangka lebih mencabar selain perkembangan industri yang semakin hebat.

Beliau berkata, Celcom memperuntukkan antara RM900 juta dan RM1.0 bilion untuk perbelanjaan modal tahun ini yang mana 40 peratus akan diketepikan bagi meningkatkan perkhidmatan 3G dan data jalur lebarnya.

Katanya, selebih 60 peratus akan digunakan, antaranya, menambah lebih banyak cawangan runcit Celcom Blue Cube, membentuk makmal pengguna dan memperbaiki platform bil.

"Tahun 2010 akan menandakan permulaan tempoh transformasi kami ke arah menjadi sebuah syarikat dengan budaya penyampaian yang tinggi," tambah beliau.

UTUSAN

Recent Posts