Rabu, Disember 30, 2009

Rasional ganti MiG-29N

Oleh AZMI HASSAN
GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Pelawat ISIS Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini telah mengumumkan bahawa pihak Kementerian Pertahanan sedang meneliti perolehan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) dari empat negara pengeluar iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan Sweden sebagai ganti kepada pesawat pejuang sedia ada iaitu MiG-29N.

Pengumuman tersebut yang dibuat pada 28 Oktober lalu telah mengesahkan bahawa perkhidmatan pesawat tempur MiG-29N dari Rusia yang sedang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia akan ditamatkan pada penghujung tahun 2010. Pada ketika ini TUDM mempunyai 16 pesawat MiG-29N yang berpangkalan di Kuantan.

Keputusan menggantikan MiG-29N tersebut menarik perhatian ramai bukan sahaja kerana kos yang tinggi tetapi juga ia bakal merubah senario penguasaan udara rantau Asia Pasifik. Sememangnya tidak dapat dinafikan setiap pembelian aset pesawat tempur sudah pasti akan menelan perbelanjaan yang tinggi dan keputusan yang dibuat itu sudah pun dikaji dengan mendalam.

Perolehan 18 pesawat pejuang Sukhoi SU-30 MKM sudah pasti menarik perhatian kerana ia melibatkan perbelanjaan yang agak besar iaitu sebanyak RM3.42 bilion. Tetapi kos yang tinggi tersebut dengan mudah dapat mengimbangi kepentingan strategik pemilikan SU-30 dalam konteks pertahanan dan kedaulatan negara.

Jika ada pihak yang masih mempertikaikan perolehan SU-30, suara tersebut hanyalah merangkumi golongan minoriti.

Jika ada pihak yang mempertikaikan penggantian MiG-29N, ia banyak berkisar kepada logik bahawa pesawat tersebut masih boleh digunakan kerana usia penggunaannya oleh TUDM baru menjangkau 20 tahun.

Menggunakan dalil tersebut pihak berkenaan juga telah menghujahkan bahawa keputusan penggantian MiG-29N itu bakal menguntungkan pihak tertentu yang sering berurusan dengan Kementerian Pertahanan.

Sememangnya boleh diterima bahawa MiG-29N masih mempunyai peranan dalam TUDM tetapi sepanjang dua dekad operasinya, pesawat tersebut banyak mendatangkan masalah terutama sekali berkaitan dengan kos baik pulih.

Secara puratanya kerajaan terpaksa membelanjakan sehingga RM260 juta setahun hanya untuk senggara 16 MiG-29N iaitu satu nisbah kos senggara per pesawat antara paling tinggi di dunia.

Pada pembentangan Bajet 2010 yang lepas, Angkatan Tentera Malaysia menerima peruntukan yang agak terhad untuk urusan operasi dan pembangunan pertahanan negara.

Peruntukan pembangunan pertahanan tahun 2010 sebanyak RM1.9 bilion umpamanya adalah jauh berkurangan jika hendak dibandingkan dengan tahun sebelumnya sebanyak RM2.3 bilion.

Tambahan pula dengan perolehan dua kapal selam Scorpene, sudah pasti kos operasi aset Angkatan Tentera Malaysia akan naik dengan begitu mendadak.

Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan doktrin pertahanan Singapura umpamanya kerana Angkatan Tentera Singapura (SAF) mampu menyusun strategi pertahanan mereka dengan begitu rapi kerana mempunyai peruntukan tahunan yang agak lumayan sehingga mencapai 6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik tersebut.

Perolehan aset pertahanan SAF tidak kira sama ada melibatkan pesawat pejuang, kapal selam atau helikopter tempur, lazimnya tidak mengambil endah kos yang bakal ditanggung kerana peruntukan pertahanan Singapura membenarkannya.

Setiap keputusan perolehan aset hanya mengambil kira satu faktor, iaitu kepentingan strategik yang mampu menjamin kedaulatan negara tersebut.

Sebab itu keputusan menggantikan MiG-29N dianggap sebagai dasar yang strategik bukan sahaja untuk kepentingan menjamin kedaulatan negara tetapi juga untuk memastikan bahawa perbelanjaan sama ada untuk operasi atau pembangunan pertahanan digunakan sebaik-baiknya.

Membelanjakan sebanyak RM16 juta setahun untuk operasi satu pesawat MiG-29N adalah tidak berbaloi kerana keupayaan pesawat tersebut jauh ketinggalan berbanding dengan SU-30.

Jika diteliti dari sudut strategik pula, gandingan pesawat pejuang SU-30 dengan MRCA yang bakal dibuat adalah begitu menakjubkan tidak kira MRCA tersebut dari AS, Perancis, Itali atau Sweden.

Kemampuan SU-30 sahaja dapat menandingi malah melebihi kemampuan yang dimiliki oleh jet pejuang canggih buatan AS seperti F-22 Raptor. Malah tidak keterlaluan jika dinyatakan jet pejuang AS yang lain seperti F5, F15 dan F16 seperti yang dimiliki oleh Tentera Udara Singapura (RSAF) adalah jauh ketinggalan dengan kemampuan SU-30.

Jika perolehan 18 jet pejuang SU-30 sudah menakrifkan TUDM sebagai kuasa udara yang dominan di rantau ini, maka amat pasti sekali gandingan SU-30 dan MRCA yang bakal diperolehi sudah tentu akan menjadikan TUDM sebagai kuasa udara yang perlu dihormati.

Persepsi sedemikian rupa bukan sahaja penting untuk pertahanan negara malah lebih penting untuk menjamin kedaulatan Malaysia.

- UTUSAN

Memperbetulkan persepsi salah hubungan KL-Jakarta

Oleh Dr Jeniri Amir
jamir@fss.unimas.my

Ketika menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ke Jakarta, perjalanan hampir dua jam Khamis lalu, pesawat AirAsia itu 75 peratus dipenuhi rakyat Malaysia dan selebihnya warga Indonesia yang bekerja di Sarawak atau pelancong asing yang mahu singgah di kota 14 juta jiwa itu. Untuk sekian lama, sejak 1990, Indonesia, khususnya Jakarta sentiasa memikat saya. Boleh dikatakan dalam tempoh dua dekad lalu, pada hujung tahun saya akan ke sana. Jakarta kelihatan jauh di hadapan dari segi pembangunan berbanding Kuala Lumpur dalam tempoh 10 tahun lalu.

Jakarta menarik perhatian bukan saja kerana kehebatan pembangunannya, tetapi kota yang bernafas 24 jam dengan 1,001 peristiwa ini, menarik dari segi sejarah dan budayanya. Kota ini ialah untuk mereka yang gigih berusaha, mencari peluang kehidupan dan pekerjaan, dan menatarkan ilmu serta kemahiran. Bagi yang gigih dan tidak mengenal kalah, inilah kota yang menjanjikan masa depan gemilang.

Namun, bukan tiada yang kecundang menjadi gelandangan dan setinggan kerana tidak cukup persediaan. Di kota ini, kita dapat menikmati pelbagai juadah dan budaya, sesuai dengan hakikat bahawa Indonesia dengan 240 juta penduduk dengan ratusan etnik, begitu kaya dengan budayanya. Lebih 10 akhbar harian terbitan kota Jakarta, termasuk Jakarta Post, Kompas, Rakyat Merdeka, dan Indopos, menyiarkan pelbagai peristiwa. Akhbar seperti Lampu Merah memaparkan kejelikan di sebalik kehebatan Jakarta, dengan beraneka macam jenayah dan masalah kota yang dihadapi warganya.

Berbanding dua tiga bulan lalu, media Indonesia tidak lagi memaparkan isu panas berhubung hubungan Indonesia-Malaysia. Jika sebelum ini medianya panas dengan isu penderaan warga Indonesia yang menjadi pembantu rumah di Malaysia, isu Ambalat, Manohara dan tarian Pendet kini tumpuannya adalah kepada pelbagai isu politik dan rasuah negara 17,000 pulau itu.

Namun, ada tiga buku beredar di pasaran bersangkutan dengan hubungan Indonesia-Malaysia, iaitu Maumu Apa, Malaysia? karya Genuk Ch Lazuardi; Malaysia Membungkam Indonesia nukilan M Wibowo; dan Ganyang Malaysia tulisan Efantio F dan Arifin SN terbitan tahun ini. Dalam tempoh sama adakah ilmuwan, sarjana dan wartawan kita menulis buku yang menggarap isu yang sama?

Di kulit buku tulisan Efantio F dan Arifin SN, dipetik kata-kata daripada pidato Presiden Sukarno pada 1963, "Kalau Malaysia mau konfrontasi ekonomi, kita hadapi dengan konfrontasi ekonomi. Kalau Malaysia mau konfrontasi politik, kita hadapi dengan konfrontasi politik. Kalau Malaysia mau konfrontasi militer, kita hadapi dengan konfrontasi militer."

Penulis mendakwa bagaimana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan provokasi terhadap Blok Ambalat secara terus-menerus yang dianggapnya sebagai penghinaan dan perlecehan oleh Kerajaan Malaysia.

Penulisnya menyifatkan keberanian Malaysia melakukan provokasi, bukan kerana keberaniannya, tetapi lebih kerana Indonesia dipersepsikan lemah. Secara timbal balik, katanya, keberanian Malaysia bersumber kepada kelemahan Indonesia. Penulisnya bertanya, mengapa Malaysia dapat berlaku congak kepada Indonesia secara terus-menerus dan tersistematik? Adakah hal itu terkait keadaan ekonomi Malaysia yang lebih baik daripada Indonesia?

Apakah pernyataan budaya politik ini sudah tiada ertinya bagi Malaysia sehingga sewenangnya melecehkan bangsa dan negara Indonesia? Bagi penulis berkenaan, penghinaan rakyat Malaysia dengan menyebut orang Indonesia dengan sebutan 'Indon' ialah sebuah penistaan. Bagi rakyat Malaysia, ia bukan satu penghinaan, tetapi tidak lebih daripada singkatan sama seperti mereka menyingkatkan Thailand sebagai Thai saja.

Ketegangan hubungan antara Malaysia-Indonesia sebenarnya banyak berpunca daripada persepsi berbeza. Kedua-dua pihak melihat dari sudut pandang masing-masing sehingga tanggapan menjadi berlainan, walaupun sering diakui bahawa ada persamaan dari segi budaya dan sejarah silam sehingga sering disebut kedua-dua negara jiran itu sebagai serumpun.

Memang benar, hubungan kedua-dua negara itu diwarnai pelbagai konflik daripada pelbagai aspek kehidupan masyarakatnya. Konflik itu berpunca daripada kejahilan, ketidakfahaman, salah mengerti dan salah persepsi yang turut diburukkan oleh media yang tidak bertanggungjawab dan cuba mensensasikan isu terbabit.

Kedua-dua pihak perlu terus berusaha untuk saling memahami dan mengerti. Seperti dianjurkan oleh Genuk dalam bukunya, 'semoga ke depan, sejarah hubungan Indonesia-Malaysia lebih diwarnai keselarasan, saling menghargai, dan saling mengerti." Malaysia perlu lebih proaktif dalam memberi penjelasan dari sudut pandangannya. Seperti kata penulis buku Maumu Apa, Malaysia, di tengah keadaan Indonesia yang sedang mengalami reformasi dengan keterbukaan dan kebebasan yang tinggi, setiap kejadian sekecil apa pun diberitakan oleh media massa dengan sangat terbuka dan bebas.

Namun, semua isu panas dan kontroversi, termasuk kes penyeksaan Siti Hajar dan Nirmala Bonat oleh majikan mereka, pada umumnya tidak diberi maklum balas dengan penjelasan yang baik dan tepat oleh pihak Malaysia. Kesannya, kata penulis itu, muncul tanggapan dalam wacana awam di Indonesia bahawa Malaysia jahat, sombong, tidak manusiawi serta menganggap remeh orang Indonesia.

Sesungguhnya, sejak negara ini mengalami reformasi pada 1998, berlaku banyak perubahan luar biasa, termasuk dari segi psikologi rakyat dan juga medianya. Maka, seperti kata Genuk, diplomasi tidak lagi memadai dengan pihak kerajaan, tetapi harus pula dilakukan dengan Parlimen, media, pertubuhan bukan kerajaan dan pemerintah daerah.

Justeru, hubungan pelbagai lapisan, bukan saja pada peringkat pemimpin perlu diperhebat. Lebih banyak pertukaran lawatan perlu diadakan antara kedua-dua negara semoga mereka lebih memahami bahawa, Malaysia tidaklah seburuk seperti yang digambarkan dan Indonesia tidaklah sejelik yang dipersepsikan.

Daripada pengalaman lebih 30 kali berkunjung dan tinggal di Jakarta, saya mendapati rata-rata orang Indonesia begitu berbudi bahasa dan bersopan santun. Ketika berkunjung ke kedai buku Gramedia, kakak ipar penulis tersepak seorang lelaki muda dan dengan segera beliau meminta ampun sambil memegang tangan beliau. Bagi kakak ipar penulis, ini satu pengalaman yang begitu menyentuh hati.

Sesuatu yang menarik adalah layanan yang luar biasa hebat ketika membeli-belah atau berada di restoran dan kedai makan. Mereka mengamalkan konsep 3S, iaitu senyum, salam dan sapa. Senyuman dan kesopanan sentiasa diamalkan sehingga kita berasa diterima dan amat selesa berada di negara ini. Pada pagi semalam, anak penulis terkena demam, maka saya pergi ke farmasi untuk membeli ubat.

Sesudah melangsaikan bayaran, gadis di kaunter mengungkapkan kata-kata, 'Semoga cepat sembuh'.

Saya fikir banyak perkara yang kita dapat belajar daripada rakyat Indonesia dari segi kesantunan dan kesopanan, terutama ketika melayan pelanggan dan tetamu.

- BERITA HARIAN

Penulis novel saman Google Inc

Seorang penulis novel China menyaman Google Inc kerana mengimbas hasil kerjanya untuk dimuatkan dalam perpustakaan dalam talian.

Mian Mian, penulis bebas yang dikenali hasil karya cerita seks hebat, dadah dan kehidupan malam, memfailkan saman pada Oktober lalu selepas gergasi enjin pencarian itu menyalin buku terbarunya, Acid House.

"Selepas perbicaraan dua jam semalam, seorang hakim di Beijing memberitahu kedua-dua pihak mengadakan rundingan bagi menyelesaikan perkara itu dan melaporkannya semula hasil rundingan itu," kata peguam penulis itu, Sun Jingwei.

Beliau berkata, Mian Mian, yang tidak hadir pada perbicaraan itu, mahu menuntut ganti rugi sebanyak 61,000 yuan (AS$8,950) dan permohonan maaf awam.

Seorang jurucakap Google di Beijing, Marsha Wang, berkata syarikat itu telah mengeluarkan karya Mian Mian daripada perpustakaan dalam taliannya sejurus mengetahui mengenai saman itu.

Wang berkata, Google tidak mahu mengulas apa-apa mengenai saman itu pada perbicaraan semalam.

"Walaupun mereka mengeluarkan karya Mian Mian, tingkah laku sebelumnya itu adalah satu perlanggaran hak penulis itu. Kami mahukan permohonan maaf awam," kata Sun

Sun berkata, perkara itu mungkin boleh diselesaikan menerusi rundingan dan mahkamah tidak menetapkan sebarang tarikh akhir.

Usaha bersungguh-sungguh Google menjadikan karya cetak boleh didapati secara dalam talian mendapat tentangan daripada penulis di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan di tempat lain.

Google mengimbas lebih 10 juta buku, kebanyakannya di bawah akta hak cipta.

Di China, sebuah kumpulan sekutu kerajaan, Pertubuhan Hak Cipta Hasil Kerja Penulisan China, mahukan Google supaya berunding mengenai pampasan terhadap penulis China yang hasil karya mereka mengimbas untuk dimuatkan dalam perpustakaan Google.

Jurucakap Google, Wang, berkata, saman oleh Mian Mian adalah yang pertama seumpamanya di China membabitkan karya penulisan yang diimbas.

Mian Mian, yang tinggal di Shanghai, mula terkenal pada 2000 apabila beliau menerbitkan novel Candy, yang mencetuskan kekecohan kerana grafiknya memaparkan penggunaan dadah heroin. Kebanyakan hasil karyanya diharamkan di China, tetapi salinan cetak rompak boleh didapati secara meluas.

Sun berkata, Mian Mian tiada kaitan dengan kumpulan penulis China.

Google yang berpangkalan di Mountain View, California, menawarkan penyelesaian berjumlah AS$125 juta tahun lalu terhadap penulis dan penerbit Amerika.

- AP

Ummah mundur selagi membelakangkan Islam

Oleh Yussamir Yusof

Suara mengatakan umat Islam mundur kerana agama dianuti, semakin lama semakin kuat berkumandang. Malah, ada kalangan umat Islam mengiyakan kenyataan itu tanpa berfikir panjang. Bukan saja mengiyakan, malah mempersoalkan hukum termaktub dalam al-Quran dan hadis sahih.

Penyakit kejahilan yang semakin kuat menyerang pemikiran umat Islam dan bukan Islam harus disekat segera. Sesungguhnya sebab kemunduran, kelemahan dan kejahilan umat Islam bukan disebabkan agama dianutinya tetapi kerana umat Islam tidak lagi berpegang kepada agamanya.

Adakah kerana umat Islam tidak berpegang kepada agamanya, bererti Islam sebagai agama harus dipersalahkan? Demi Allah yang menciptakan apa yang di langit dan di bumi, sama sekali Islam bukanlah penyebab kegagalan umat Islam.

Seorang doktor yang mendiagnos penyakit, kemudian memberi senarai ubat perlu diambil, tetapi jika pesakitnya tidak mendengar dan mengikuti arahan doktor, siapakah harus dipersalahkan apabila pesakit tidak sembuh. Adakah doktor yang dipersalahkan?

Islam sudah menyediakan manual untuk penganutnya sebagai panduan dan pengajaran tetapi jika penganut tidak mengikutinya, adakah Islam harus dipersalahkan?

Islam menyeru kesatuan tetapi umat Islam masih berpecah-belah. Islam menyeru persaudaraan, tetapi umat Islam masih lagi bermusuhan. Islam menyeru kepada keadilan, tetapi umat Islam masih lagi berlaku zalim.

Umat Islam perlu mengamalkan Islam yang sebenarnya, sentiasa berpegang kepada apa yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Umat Islam perlu mencontohi ketaatan dan kefahaman umat terdahulu di kalangan sahabat dan tabiin menjalani kehidupan sebagai Muslim.

Jika umat Islam mengikuti seperti orang terdahulu amalkan, sudah pasti umat Islam tidak akan dimomokkan lagi dengan perkataan mundur, kegagalan dan kejahilan.

Semakin erat hubungan seseorang dengan agama, semakin baik keadaan dan budi pekertinya. Malah, hubungan erat ini akan membawa kepada kejayaan, penghormatan, kemenangan dan kemuliaan kepada sesiapa saja.

Islam sudah menerangkan segala aspek dan keperluan umat Islam dalam kehidupan mereka, seperti dikatakan oleh Abu Darda: "Tidak ada yang diabaikan oleh Rasulullah, sehingga burung yang mengepakkan sayapnya di langit, Baginda sudah mengajarkan kepada kita mengenai ilmunya."

Lengkapnya Islam hinggakan hal berkaitan cara membuang hajat juga diajar dan diberi petunjuk. Salman al-Farisi seorang sahabat besar Rasulullah SAW pernah ditanya seorang musyrik adakah Rasulullah mengajarkan cara membuang hajat.

Kemudian Salman al-Farisi menjawab, "Ya, Baginda melarang kami menghadap kiblat ketika membuang hajat dan melarang kami membersihkannya dengan kurang dari tiga batu atau dengan tangan kanan, atau dengan kotoran kering atau tulang."

Jika meneliti kembali sejarah pertembungan peradaban Islam dan peradaban lain, Islam unggul kerana hubungan umatnya dengan agama begitu kuat. Sebut siapa saja, Yahudi, Pagan, Rom, Majusi dan munafik, semuanya dapat dikalahkan malah ditawan hati mereka untuk memeluk Islam.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, kepemimpinan Baginda diteruskan Khulafa' ar-Rasyidin. Pengganti Rasulullah SAW tetap meneruskan apa yang dimulakan Baginda tanpa ada sebarang tambahan mahupun pengurangan.

Islam semakin berkembang pesat dan tersebar ke seluruh dunia. Zaman ini adalah zaman kegemilangan Islam. Ilmu Islam tersebar ke seluruh pelusuk kota, ramai di kalangan bukan Islam mengambil manfaat daripada kegemilangan ini.

Ke mana saja umat Islam berada, di situlah peradaban besar dibina, dihormati dan digeruni oleh negara bukan Islam. Peradaban disulami keimanan, ilmuwan, teknologi dan kebendaan menjadi agenda utama. Peradaban dibina umat Islam ketika itu bukan peradaban materialistik mahupun kebendaan, tetapi peradaban menyatupadukan iman, ilmu, pembangunan dan akhlak.

Ketika itu umat Islam menjadi pemimpin dunia, di waktu itu juga umat Islam dihormati. Negara Islam adalah negara pertama, bukan negara ketiga seperti sekarang. Negara umat Islam adalah guru dan ikutan kepada negara lain.

Semua orang datang ke negara Islam untuk belajar di universiti disediakan. Bangsa Eropah yang dalam kegelapan ketika itu mempelajari bahasa Arab, ilmu Islam serta kaedah pembelajaran yang dicipta sarjana Islam.

Namun semua itu hanya tinggal kenangan. Umat Islam kini menghadapi masalah membabitkan kegagalan dan kemunduran. Semuanya apabila umat Islam menjauhkan diri dari Islam sebenar. Ketika kita menjauhi Islam, maka kita akan lemah, berpecah-belah, dan saling mementingkan diri.

Namun kita semua percaya umat Islam akan dihormati semula dan menjadi gemilang apabila kembali kepada Allah dan Rasul. Apabila masa itu tiba, kita percaya Islam akan mengatasi segala-galanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal salih bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, segera Dia menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 55)

- BERITA HARIAN

Jepun cipta ikan emas lutsinar


TOKYO - Para penyelidik Jepun berjaya menghasilkan ikan emas lutsinar yang membolehkan orang ramai melihat hati haiwan itu.

"Anda boleh melihat hati dan organ-organ lain secara langsung kerana sisik dan kulit ikan ini tiada pigmen," kata Profesor Madya Yutaka Tamaru dari Jabatan Sains Hidupan, Universiti Mie.

"Anda tidak perlu membedah ikan itu (untuk melihat isinya). Anda boleh melihat otak kecil di atas mata ikan tersebut," jelasnya.

Sekumpulan penyelidik Universiti Mie dan Universiti Nagoya di tengah Jepun melakukan kajian selama dua tahun untuk menghasilkan ikan itu.

Ikan itu dijangka mampu hidup sehingga 20 tahun dan membesar sepanjang 25 sentimeter dengan berat lebih dua kilogram.

Ia dihasilkan dengan memilih ikan emas mutan yang mempunyai kulit pucat dan membiaknya bersama-sama.

- AFP

Suka-duka kisah wanita 2009

2009 akan melabuhkan tirainya. Menyingkap diari sepanjang tahun ini, pelbagai kisah suka duka dan tidak kurang bermacam kisah menarik yang mewarnai kehidupan wanita di negara ini sepanjang 2009.

# Apabila teraju negara beralih pucuk pimpinan dengan pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam, Datin Seri Rosmah Mansor bergelar wanita pertama negara.

# Selepas setahun meninggalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajuinya berikutan pembentukan Kabinet baru April lalu. Beliau kembali ke pangkuan kementerian yang amat dekat di hatinya manakala tempoh di luar kementerian selama 13 bulan selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-12, dianggap peluang untuknya mendekati golongan sasaran di peringkat bawahan.

# Selepas 20 tahun, Dasar Wanita Negara 2009 yang diluluskan Kabinet 22 Julai lalu dilancarkan pada November, sekali gus menjadi aspirasi untuk memberikan lonjakan dan nafas baru dalam usaha kerajaan memperkasakan wanita di negara ini dalam pembangunan negara.

Menerusi dasar baru itu, ia berhasrat untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai ketahanan diri dengan melahirkan wanita berilmu serta berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi, di samping menghayati nilai murni.

# Kisah wanita yang sebelum ini dilaporkan mempunyai dua suami dalam satu masa, sebenarnya berkahwin lagi dengan seorang lelaki sebelum dia diceraikan suami pertamanya pada Mac lalu.

Tembelang wanita berusia 48 tahun itu menafikan sudah berkahwin dengan suaminya itu terbongkar menerusi borang permohonan pertukaran yang diisinya sendiri. Dalam borang permohonan bertukar dari Johor ke Kuala Lumpur bertarikh 20 Februari lalu, wanita itu mengesahkan dia sudah berkahwin pada 22 November lalu.

# Kisah Mahohara Odelia Pinot dan ibunya, Daisy Fajarina tidak hanya kecoh di negara ini malah menjadi berita hangat di media negara jiran.

Pada Julai, Manohara dan ibunya disaman Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra sebanyak RM105 juta berhubung beberapa siri pernyataan yang didakwa memfitnahnya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Tengku Muhammad Fakhry menuntut ganti rugi teruk, teladan dan pampasan berjumlah RM105 juta, faedah, kos serta perintah injuksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada terus mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya serta relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Menurutnya, perkataan fitnah itu dirancang untuk memperkecil dan mengaibkan beliau di kalangan ahli kerabat diraja Kelantan, Kerajaan Malaysia dan rakyat jelata.

# Pada Ogos, penubuhan Kelab Poligami Ikhwan yang dilancarkan Global Ikhwan Sdn Bhd, menimbulkan pelbagai debat dan tentunya rasa kurang senang di kalangan pertubuhan wanita tempatan.

Tidak ketinggalan, ia mengundang hujah di kalangan pemimpin agama Indonesia apabila kelab itu mahu menubuhkan cawangannya di Bandung.

# Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, yang dijatuhi hukuman sebat selepas disabitkan kesalahan meminum minuman keras di khalayak ramai nyata mencuri perhatian pelbagai lapisan masyarakat.

Meskipun ada pihak yang mempertikai hukuman itu sendiri, ia menarik ruang lingkup liputan yang lebih luas termasuk cara hukuman sebat dijalankan untuk pesalah seperti dirinya.

Namun hukuman sebat itu masih tidak dapat dilaksanakan sehingga kini. Meskipun Jabatan Penjara mempunyai tukang sebat untuk melaksanakan hukuman itu mengikut hukum syarak, ia masih tidak boleh dilaksanakan kerana jabatan berkenaan perlu menunggu perintah dikeluarkan oleh mahkamah syariah sebelum pelaksanaan hukuman terbabit.

# Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, membantu usaha seorang ibu tunggal, Elis Syuhaila Mokhtar, mendapatkan semula anaknya yang dilarikan bekas suami ke Belgium biarpun Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan hak penjagaan kanak-kanak itu diberikan kepada si ibu.

Nasib menimpa Elis menjadi perhatian ramai selepas bekas suaminya, Frank Theodorus Van De Ven @ Firdaus, 39, melarikan anaknya ke Belgium, melalui Rantau Panjang, Kelantan, pada Mac lalu.

Pada 10 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah memberikan hak penjagaan anak kepada Elis. Keadaan bertambah sukar apabila Firdaus memberitahu dia tidak akan menyerahkan Ferris serta mengesahkan anak itu ada bersamanya di Belgium.

# Tuntutan mutaah berjumlah RM3 juta dianggap besar dalam kes seumpamanya di negara ini.

Jumlah itu dikemukakan bekas isteri kedua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh, 54, Siti Aishah Chou Abdullah, 24, yang menuntut mutaah daripada bekas suaminya.

Meskipun jumlahnya tinggi, bagi Aishah, bekas suaminya itu mampu membayar kerana dia mempunyai banyak syarikat termasuk di China dan ladang di Gua Musang.

# Tuntutan saman cuai RM520,000 seorang jurutera warga Britain yang kehilangan isterinya, Nik Rosemawati Nik Mohamed, 43, akibat pembedahan membuang tisu lemak di perut ditolak Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman Harminder Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif, Matthew Scott Oakley, 38, gagal membuktikan defendan, doktor pakar bedah kosmetik, George Varughese yang juga pemilik sebuah klinik di Bangsar dan pakar bius, Dr Raja Kumar Rajendram, menyebabkan kematian Nik Rosemawati.

Dalam penghakimannya, Harminder berkata mahkamah menerima keterangan yang mengatakan bahawa setiap pembedahan sememangnya berisiko.

# Berita mengenai wanita dilarikan ke Lombok serta mereka yang berjaya dibawa pulang ke negara ini banyak menghiasi muka depan akhbar sejak di awal tahun lagi.

Tidak hanya gadis biasa, kes Lombok turut membabitkan artis remaja, Salsabila Yunan, 15, yang dilarikan kekasihnya ke Lombok sejak Ogos lalu.

Dia disahkan berada di pulau timur Indonesia itu dan mengandung beberapa minggu selepas mereka dipercayai berkahwin sebaik tiba di pulau berkenaan.

Kisah Salsabila atau lebih dikenali sebagai Bella mendapat liputan apabila ayahnya, Yunan mengadu kehilangan anaknya yang dipercayai dilarikan lelaki penduduk asal Pulau Lombok dikenali sebagai Hafiz. Susulan itu, dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat Migrant Care serta Kijang Care bersedia membantu menyelamatkan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Batu Muda itu.

# Di arena sukan, Nicol David bukan nama asing di pentas antarabangsa. Kali ini, pemain skuasy nombor satu dunia itu dinobatkan sebagai Pemain Wanita Tahunan Dunia buat kali keempat berturut-turut pada majlis gilang-gemilang yang dilangsungkan di Kelab RAC, London.

Kejayaan itu mengiringi kemenangannya pada 2006, 2007 dan 2008 yang dipilih oleh ahli Persatuan Skuasy Profesional Wanita.

Di peringkat kebangsaan, atlit lompat bergalah wanita negara, Roslinda Samsu mencipta sejarah tersendiri selepas mencatat hatrik mempertahankan pingat emas acara kegemarannya di temasya Sukan Sea buat kali ketiga berturut-turut. Kejayaan meraih pingat emas itu turut disertai rekod baru Sukan Sea apabila berjaya melepasi ketinggian 4.15 meter meskipun ketinggian itu masih jauh daripada rekod kebangsaan miliknya iaitu 4.40 meter.

# Memang duka mengenang kemalangan yang sering meragut nyawa terutama di musim perayaan. Kehilangan orang tersayang memang cukup terasa apatah lagi apabila ia berlaku saat hari bahagia sama ada perkahwinan mahupun pertunangan.

Teh Affifah Shahirah, 23, misalnya, kehilangan suami selepas hanya tiga jam melangsungkan perkahwinan dengan suaminya Mohd Ariff Ab Kadir, 23, apabila suaminya maut dalam kemalangan di Jalan Kangar-Padang.

Rosma Abdullah, 23, pula tidak sempat melangsungkan majlis pertunangan dengan Noor Jismi Noordin, 25, yang maut dalam nahas ngeri bas ekspres yang mengorbankan 10 nyawa di Ipoh sehari selepas Krismas lalu.

- HARIAN METRO

Warna warni sukan negara 2009


Kejayaan meraih 40 pingat emas di Sukan Sea Vientiane baru-baru ini dan berakhirnya penantian 20 tahun untuk emas pertama dari bola sepak memberi sebab untuk warga sukan meraikan penghujung 2009 dengan penuh keceriaan.

Meskipun pelbagai suka duka ditempuhi, ditambah pula dengan ancaman Influenza A (H1N1) yang turut menjejaskan program sukan sepanjang tahun ini, ia tidak menghalang baik atlit mahupun penggiat sukan berusaha melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama negara.

Kejayaan di Sukan Sea dianggap kenangan paling manis apabila berjaya melepasi sasaran awal 30 hingga 35 emas selepas kita 'kehilangan' separuh pingat emas yang menyumbang kepada 68 pingat emas seperti yang dimiliki di Korat dua tahun sebelumnya. Hakikatnya, Sukan Sea sering hadir dengan kejutan tersendiri.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong turut mengakui perkara ini biarpun selepas ini cabaran lebih besar menanti untuk berdepan cabaran Sukan Komanwel di New Delhi, Oktober depan apatah lagi beliau sendiri akan memikul beban selaku Chef de Mission Sukan Asia di Guangzhou pada bulan berikutnya.

Menganggap pencapaian tahun ini cukup memuaskan meskipun ada yang tidak menepati sasaran, beliau mahu pencapaian itu terus dipertingkatkan pada tahun mendatang.


"Selepas ini kita perlu meletakkan sasaran realistik khususnya untuk sukan berbentuk subjektif seperti karate dan wushu. Kita mungkin tidak berpeluang dalam sukan terjun berikutan dominasi China tetapi dalam acara seperti wushu, silat seni, karate juga poomsae (taekwondo) peluang masih ada," katanya.

Menurutnya secara keseluruhannya, pencapaian sukan lain masih memuaskan dan masih unggul dalam acara lumba basikal, skuasy, bowling dan boling padang tetapi apa yang membuat beliau kagum ialah pencapaian 40 atlit pelapis yang yang berjaya membawa satu emas, lima perak dan tujuh gangsa di Sukan Sea, membayangkan sukan negara masih terus mempunyai masa depan cerah.

Sepanjang 2009, nama besar seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Azizulhasni Awang terus gah dalam sukan masing-masing meskipun Chong Wei masih berdepan prestasi tidak menentu manakala pemain England, Jenny Duncalf pula sudah menemui 'titik kelemahan' Nicol apabila dua kali menewaskan pemain nombor satu dunia itu tahun ini.

Hanya Azizulhasni kekal konsisten untuk meraih beberapa kejayaan, di sebalik kesibukan menghadapi latihan dan pengajian di Melbourne hingga diangkat menjadi 'anak emas' Kementerian Belia dan Sukan juga MSN.

Selain itu, pelancaran program Road to London 2012, penyertaan Pasukan F1 1Malaysia dalam Formula Satu tahun depan, kejayaan skuad paralimpik negara di Sukan Para Asean di Kuala Lumpur antara peristiwa yang memacu harapan negara untuk lebih cemerlang dalam bidang sukan selepas ini.

Apatah lagi, 2009 turut menyaksikan jawatan Menteri Belia dan Sukan bertukar tangan apabila bekas Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengambil alih tugas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini bertukar ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), April lalu.

Sebaik memegang posisi penuh mencabar itu, beliau terus hadir dengan tiga gagasan iaitu menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat bersukan, menaikkan nama negara menerusi pungutan pingat dan membangunkan sukan sebagai satu industri, dengan berpaksikan kejayaan industri sukan di Amerika Syarikat dan Eropah.

Lanjutan itu, lahirlah Konvensyen Industri Sukan Malaysia (Kismas) yang akhirnya mewujudkan direktori sukan kebangsaan. Turut memberi impak dalam hala tuju sukan negara termasuklah Konvensyen Sukan Kebangsaan yang baru saja berakhir minggu lalu.

Seperti juga Zolkples, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi turut mengakui Sukan Sea adalah pencapaian yang cukup cemerlang tahun ini apatah lagi selepas bola sepak berjaya membawa pulang pingat emas selepas begitu hebat dikritik sebelum ini.

Malah Sukan Sea juga menurut beliau membuka mata terhadap kemampuan sebenar negara dalam sukan mempertahankan diri dan menerusi penyertaan dalam Sukan Mempertahankan Diri Asia banyak membantu mengasah kemampuan atlit biarpun selepas ini akan digabungkan bersama Sukan Dalam Dewan Asia pada 2011.

Daripada 40 emas dimenangi, 13 diperolehi menerusi karate (5), silat (4), wushu (3) dan taekwondo (1).

Cuma di sebalik kegemilangan itu, isu perbalahan di kalangan persatuan turut mencemari kalendar 2009 menerusi pertelingkahan dikalangan atlit boling padang, isu Persatuan Pemain Golf Profesional Malaysia (MPGA) dan tentu sekali masalah dalaman Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) yang entah bila akan selesai.

"Memang akan sentiasa wujud pihak yang tidak berpuas hati tetapi dengan adanya Pesuruhjaya Sukan dan MOM sendiri, kita akan berusaha membantu menyelesaikannya," kata Kok Chi.

Selain isu perbalahan persatuan, insiden bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh, Jun lalu serta beberapa insiden rusuhan penyokong bola sepak tempatan turut dikenang antara peristiwa hitam dalam sejarah sukan negara 2009.

Begitupun ia diharapkan tidak menjejaskan semangat penggiat sukan negara untuk terus memberikan yang terbaik untuk karier mereka juga kemajuan sukan negara amnya. Semoga apa yang berlaku sepanjang 2009 mungkin boleh diambil iktibar untuk melakar 2010 yang lebih cemerlang.

- HARIAN METRO

Bas ekspres ‘raja pecut’

Mengecewakan apabila sesetengah bas ekspres yang dipandu di Lebuhraya Utara-Selatan didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan, malah dengan sewenang-wenangnya bersaing bersama kenderaan ringan di lorong laju.

Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi di lebuh raya terbabit, seperti di Serdang, Jalan Duta, Sungai Buloh dan Rawang, semalam mendapati jarang sekali bas ekspres dipandu secara tertib, sebaliknya lebih banyak yang melanggar had laju ditetapkan.

Sesetengah pemandu didapati tidak peduli penanda had laju di bahu jalan, seperti 60 kilometer dan 90 kilometer sejam apabila memasuki laluan ke plaza tol, malah had maksimum bagi kenderaan berat di lebuh raya juga sering kali tidak dipatuhi.

Ada juga bas yang tidak dalam keadaan memuaskan memecut di laluan berkenaan, seperti pintu bagasi yang tidak ditutup rapat, malah ada yang langsung tiada pintu penutup di bahagian enjin di sisi belakang badan kenderaan terbabit.

Seorang pemandu yang menggunakan lebuh raya terbabit, Abdullah Isnin, 25, berkata dia memang selalu melihat bas dipandu laju.

“Yang saya lihat kadangkala bas dipandu di lorong dua dan tiga, malah ia menjadi kebiasaan dipandu laju.

“Laju itu memanglah, tetapi nak kata sesama mereka berlumba tidaklah pula,” katanya.

Pemandu lori, Karim Hamzah, 27, berkata dia pernah mengekori sebuah bas ekspres yang dipandu laju melebihi had yang ditetapkan di lebuh raya.

“Seingat saya bas itu dipandu melebihi had laju, kerana walaupun saya tekan pedal minyak dekat 100 kilometer sejam, ia masih laju,” katanya yang berpengalaman enam tahun memandu lori ke pelbagai destinasi di Semenanjung.

Rakannya, Selven Sinnan, 25, dari Batu Arang, Selangor, yang lebih 10 tahun bekerja sebagai kelindan lori, berkata bas dipandu laju memang tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Ada bas dipandu laju kerana mengejar masa dan mahu memastikan tiba ke destinasi pada waktu seperti ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, sesama pemandu bas juga tidak ada tolak ansur dalam giliran memandu, sedangkan faktor itu boleh menyebabkan kemalangan.

“Kalau seorang pemandu pertama mengantuk, tetapi disebabkan tiada tolak ansur dengan pemandu kedua, dia terus memandu dalam keadaan mengantuk dan inilah yang menyebabkan insiden tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Nur Sharezal Roslan, berkata pengguna jalan raya sepatutnya tidak tersalah anggap dengan bidang kuasa agensi terbabit yang membabitkan laluan dibenarkan dan syarat lesen atau permit.

“Kesalahan lalu lintas seperti had laju adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Perkara ini selalu orang ramai keliru, seolah-olah kami mempunyai kuasa terhadap semua kesalahan dilakukan kenderaan berat di jalan raya, sedangkan kami tidak mempunyai peronda seperti polis,” katanya.

- HARIAN METRO

SEMAKAN PENEMPATAN SEKOLAH UNTUK GURU LEPASAN KPLI 2010

Semakan Penempatan Guru Yang Telah Tamat Mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) telah dibuka untuk semakan bermula 30 Disember 2009.
http://apps. emoe.gov. my/spg/semakan/ index.cfm

Sebarang pertanyaan, sila rujuk ke:

* Sektor Pengurusan Sekolah Rendah di talian 03-88849586

BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH HARIAN
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)
http://www.moe. gov.my

Selasa, Disember 29, 2009

Singa Utara (Perlis) juara Piala Emas Raja-Raja


Insiden keganasan penyokong mencemari final Piala Emas Raja-Raja yang menyaksikan perlawanan dihentikan 10 minit sebelum Perlis dinobatkan sebagai juara baru apabila membenam Kedah 2-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi.

Perlawanan itu turut menyaksikan dua pemain dibuang padang, masing-masing penjaring gol pertama, Romdhi Zat Jamian pada minit ke-82 buat Perlis dan Fazliata Taib tiga minit kemudian buat Kedah yang mencetus insiden rusuhan penyokong yang memaksa pengadil, Mohd Najib Mohd Said menangguhkan permainan buat seketika.

Romdi dilayangkan kad merah kerana mengasari pertahanan, Muammar Nur Rahim manakala Fazliata diarahkan keluar selepas terbabit dalam insiden bertumbuk.

Romdhi sebelum itu membuka jaringan buat pelawat apabila merembat kencang sepakan sudut Mohd Iqmal Azmi yang gagal dikeluarkan kemas untuk mengejutkan 35,000 penyokong yang membanjiri gelanggang keramat skuad Hijau Kuning itu pada minit keempat.

Peminat tuan rumah terus tergamam pada minit ke-18 apabila Adrian Jurad Chamrong melebarkan jurang buat pelawat.

Adrian Jurad yang lebih dikenali dengan lontaran jarak jauhnya, membuktikan bisa itu juga terletak pada kakinya apabila meledakkan sepakan percuma dari jarak 35 meter.

Kedah banyak menguasai perlawanan namun penjaring terbanyak mereka, Faizal Abu Bakar kerap kali dikecewakan benteng pertahanan yang diketuai kapten, Adrian Jurad.

- BERITA HARIAN

Sorotan 2009: Tragedi, bencana patut jadi pengajaran

Pelbagai tragedi dan bencana yang berlaku sepanjang tahun ini perlu diambil iktibar dan pengajaran oleh semua pihak agar tidak berulang pada tahun mendatang. Pelbagai bencana dan tragedi menimpa negara ini dan ada saja alasan yang diberikan sebagai punca seperti masalah teknikal atau kecuaian manusia. Apabila sudah berlaku, barulah pelbagai pihak sibuk dengan penubuhan jawatan kuasa khas bagi mencari jalan penyelesaian.

Di mana saja termasuk di darat, mahupun di lautan, bencana dan tragedi pasti akan berlaku, namun sebagai manusia, kita harus berusaha merancang dan cuba untuk mengelak sebelum menjadi mangsa. Kemalangan ngeri, tragedi bangunan runtuh, banjir, pesawat terhempas, feri atau bot karam antara bencana yang menghiasi dada akhbar, radio, blog, dan televisyen sepanjang 2009.

Memulakan episod tragedi di negara ini ialah pada 25 Januari lalu apabila lebih 70 orang maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara sejak Ops Sikap ke-19 dilancarkan 19 Januari lalu. Pada 2 Februari pula seorang pemandu bas terbunuh manakala 23 murid nyaris maut apabila bas sekolah yang mereka naiki terbabas ke dalam sungai di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang.

Amat menyedihkan apabila pada 18 Mac lalu, pengantin baru dari dua negeri dalam kes berasingan, meninggal dunia dengan seorang pengantin lelaki terbabit kemalangan motosikal di Kangar manakala seorang lagi maut apabila keretanya dilanggar lori di Rembau. Pelik tetapi mungkin itulah kebenaran.

Pada 28 Mei pula, empat pekerja warga Indonesia maut apabila bangunan yang sedang dalam pembinaan dan ubah suai di Seksyen 14, Petaling Jaya runtuh. Pada 4 Jun lalu seorang lelaki berketurunan Siam maut dipanah petir ketika berteduh di sebuah bangsal di Kampung Binjai, Tumpat, Kelantan 4 Jun lepas. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Champee Kelean, 46, meninggal dunia di tempat kejadian selepas panahan petir terkena tangkal tembaga yang dipakai di pinggangnya.

Kegagalan sesuatu alat teknikal juga boleh menyebabkan maut seperti yang berlaku pada 11 Jun apabila seorang anggota komando tentera maut selepas payung terjunnya tidak kembang ketika membuat terjunan dalam satu latihan di Kampung Padang Meiha, Sungai Karangan, Kulim, Kedah.

Misteri belum terungkai membabitkan kes kematian Pegawai khas kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang dipercayai terjatuh dari koridor tingkat lima Plaza Masalam, di Shah Alam, Selangor pada 16 Julai lalu.

Bencana atau tragedi juga berlaku di tempat kerja seperti di Tanjung Karang, Selangor apabila enam lelaki, empat rakyat tempatan dan dua Bangladesh maut terhidu gas, dipercayai ammonia yang bocor dari sistem penyejuk di sebuah kolah menyimpan ikan di perkampungan nelayan di Kampung Bagan Pasir pada 11 Ogos lalu.

Bencana turut berlaku apabila dua juruterbang maut selepas pesawat ringan dipandu mereka terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 11 September lalu.

Turut terpahat dalam lipatan tragedi tahun ini ialah kejadian angin kencang yang meragut nyawa seorang remaja perempuan, manakala ratusan rumah rosak teruk di lapan jajahan di Kelantan serta Besut di Terengganu, yang berdekatan pantai pada 30 September lalu.

Dan pastinya Oktober 2009 dikenang sebagai bulan tragedi kerana pelbagai jenis nahas dan bencana berlaku bermula 7 Oktober apabila seorang pemandu bas ekspres maut dan lapan penumpang cedera selepas bas berkenaan merempuh belakang treler membawa muatan besi di KM305 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Kampar.

Esoknya pula, KD Seri Inderapura, kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbakar ketika berlabuh di jeti Pangkalan TLDM di Lumut. Pada 15 Oktober pula, dua termasuk seorang bayi lelaki berusia 29 hari maut, manakala dua lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar kepala jambatan di KM 237.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Kuantan.

Masih segar dalam ingatan tentunya kejadian tiga murid perempuan ditemui lemas selepas hilang apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar, Perak di pusat kokurikulum itu runtuh 26 Oktober. Selang tiga hari kemudian, seorang juruterbang pesawat latihan Kelab Penerbangan Diraja Selangor maut apabila pesawatnya terhempas berhampiran Kelab Golf Beringin di Lembah Beringin, Rawang.

Tragedi juga boleh berlaku ketika fenomena perubahan angin monsun yang bersama-samanya boleh mengakibatkan hujan lebat dan banjir setiap tahun kepada negara. Mohd Mazlan Yajid, 28, menjadi korban pertama banjir di Kelantan apabila dia lemas ketika mandi di Sungai Banggol Kerian, Pasir Puteh, pada 6 November lalu.

Gelombang pertama banjir di Terengganu pula meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun di Sungai Terengganu di Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, sehari kemudian. Pada 6 Disember, dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan maut manakala dua lagi parah apabila sebuah kereta terjunam dari tingkat atas sebuah pasar raya di Kota Bharu pada 6 Disember.

Ketika semua pihak berharap tabir tragedi sudah dilabuhkan untuk 2009, masyarakat dikejutkan pula dengan nahas bas ekspres dua tingkat yang meragut 10 nyawa di Ipoh, awal pagi Sabtu lalu. Kemalangan menyayat hati itu juga membabitkan sebuah bas dua tingkat dan cukup menyedihkan apabila ramai daripada mereka yang maut mempunyai pertalian darah.

Seolah-olah tidak cukup dengan episod duka, kelmarin satu lagi nahas berlaku yang mengorbankan empat beranak apabila van mereka dirempuh dua kenderaan di Tangkak, Johor. Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, semua mangsa yang terbunuh dalam perjalanan menghantar rakannya pulang daripada satu majlis sambutan Krismas.

Antara peristiwa menarik sepanjang tahun

* 16 September ditetapkan sebagai Hari Malaysia dan cuti umum mulai tahun depan bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyaksikan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963.

* Pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diumumkan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam lebih berkualiti. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dibantu bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia (MAS), Datuk Seri Idris Jala dilantik Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri untuk menerajui pelaksanaan KPI.

* Kerajaan mengumumkan pakej rangsangan kedua bernilai RM60 bilion pada Mac sebagai tambahan kepada pakej pertama bernilai RM7 bilion diperkenalkan pada November 2008 bagi mengimbangi kesan kelembapan ekonomi dunia.

* Bajet 2010 bertemakan '1Malaysia. Kemakmuran Bersama' memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat dibentangkan pada 23 Oktober.

* Bajet 2010 yang dibahaskan di Dewan Rakyat selama sebulan hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi pada 14 Disember dan mengundang reaksi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin yang menegur ketidakhadiran anggota Parlimen kerana implikasinya cukup besar.

* Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Perak pada Februari dengan pelantikan Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat mengisytiharkan mereka keluar parti dan menjadi anggota Bebas menyokong BN.

* Umno, mengadakan dua kali persidangan, untuk peralihan kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak Najib pada Mac dan perhimpunan agung pada Oktober meluluskan tujuh pindaan Perlembagaan Umno termasuk pemansuhan sistem kuota bagi pencalonan dan cadangan menambah jumlah anggota perwakilan yang layak mengundi bagi jawatan tertinggi parti yang membolehkan lebih 400,000 anggota layak memilih pemimpin mereka berbanding hanya 2,500 sebelum ini.

* Kemelut dalaman parti MCA yang menyaksikan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berbaik kembali dengan timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tetapi masih menghadapi tentangan daripada kumpulan menyokong naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mendesak pemilihan semula parti diadakan.

* Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMBI).

* Dasar 10 mata pelajaran untuk SPM diumumkan oleh Kementerian Pelajaran, namun calon diberi kelonggaran bagi dua mata pelajaran tambahan. Bagaimanapun keputusan peperiksaan hanya akan mengambil kira 10 mata pelajaran teras.

* Teoh Beng Hock, pegawai khas kepada Exco kerajaan negeri Selangor, yang dijumpai mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai susulan beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di bangunan yang sama. Mahkamah Koroner kini menyiasat punca kematian beliau dan kerajaan mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyemak kaedah SPRM menyoal saksi dan suspek.

* Empat termasuk bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka OC Phang didakwa di mahkamah berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

* Tan Sri Kasitah Gaddam, bekas Menteri Kemajuan Tanah dan Pembangunan Koperasi, dibebaskan daripada dakwaan rasuah dan penipuan selepas kes mahkamah yang berlanjutan lima tahun berhubung Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah.

- BERITA HARIAN

Recent Posts