Jumaat, September 25, 2009

Beri nafas baru penyampaian khutbah

Oleh DR. MOHD. FAHMI ABDUL KHIR

Dalam satu khutbah Aidilfitri yang disampaikan baru-baru ini, ternyata ia begitu berkesan sebagai kaedah dakwah yang sangat efektif. Semua ahli jemaah terpesona dengan nasihat dan pengajaran yang disampaikan. Intonasi suara dan gaya penyampaian khatib begitu memberangsangkan.

Anak-anak muda juga mula memikirkan tentang hala tuju kehidupan mereka selepas mendengar hadis-hadis Nabi SAW dan ayat-ayat al-Quran yang diketengahkannya.

Bayangkanlah jika semua masjid di Malaysia dapat menampilkan khatib yang sebaik ini, nescaya mesej Islam dapat disampaikan kepada masyarakat dengan pengisian yang berkualiti.

Malangnya pada hari ini, kita melihat institusi mimbar kaku, tidak dapat berfungsi dengan sebaik-baiknya.

Bukan senang untuk mendapatkan kehadiran jemaah yang ramai dalam satu-satu masa seperti mana kehadiran mereka di dalam solat hari raya atau solat Jumaat.

Institusi mimbar seharusnya diperkemaskan dan ditambah baik. Pihak berwajib dan bertanggungjawab hendaklah memainkan peranan sewajarnya.

Amat merugikan apabila kita melihat fenomena di mana jemaah ketika mendengar khutbah Jumaat atau khutbah hari raya dalam keadaan lena, mengantuk, mengharapkan ia cepat habis dan sebagainya.

Apabila mendongak ke arah mimbar, rupanya pengisian dan penyampaian khatib amat mengecewakan, seperti melepaskan batuk di tangga.

Pengisian berkualiti adalah pengisian yang semasa, menyentuh isu-isu dan permasalahan masyarakat setempat, mengkaitkan dengan nas-nas al-Quran dan hadis yang tepat.

Penyampaian yang bertenaga pula hendaklah punya intonasi yang dapat menusuk ke dalam jiwa pendengar.

Bacaan nas-nas al-Quran dan hadis yang fasih, berkeyakinan. Penyampaian yang mengambil kira reaksi pendengar ketika itu.

Penyampaian secara ilqa'iy (terus tanpa terikat dengan teks) amat istimewa jika dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya, nescaya akan terpesona para pendengar.

Khutbah tidak perlu panjang dan meleret, lima belas minit sudah memadai, manfaatkan masa tersebut dengan sebaik-baiknya.

Mewajibkan para khatib membaca khutbah yang diedarkan seharusnya diberikan sedikit kelonggaran untuk membolehkan para khatib mengutarakan isu-isu atau permasalahan setempat.

Para khatib pula apabila diberikan kelonggaran ini seharusnya tidak menyentuh isu-isu yang bersifat politik kepartian. Harus dibezakan antara politik dan politik kepartian.

Aspek politik, pentadbiran, pemerintahan tidak salah untuk dibicarakan tetapi jangan mengheret aspek-aspek ini ke kancah politik kepartian.

Teguran, nasihat, pengajaran, ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW sampaikanlah tetapi janganlah ia bermotifkan politik kepartian.

Mudah-mudahan para khatib dan pihak yang bertanggungjawab dapat bertolak ansur demi keberkesanan dan kelangsungan institusi mimbar yang merupakan kaedah dakwah yang sangat bermakna pada hari ini.

Sikap punca jumlah kemalangan terus meningkat

Hari ke-11 Ops Sikap ke-20 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menyaksikan 15 lagi pengguna jalan raya terbunuh, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban sehingga semalam 192 orang. Sementara itu, 1,171 kemalangan direkodkan.

Menurut statistik yang dikeluarkan Bukit Aman daripada 15 kematian itu, 10 melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal manakala kereta mencatatkan tiga, diikuti pejalan kaki dan van masing-masing satu.

Persoalannya, mengapa kemalangan terus berlaku dan makin meningkat dari sehari ke sehari. Adakah kita tidak mampu mensasarkan kemalangan sifar atau mengurangkan jumlah kemalangan maut?

Pada pandangan saya, punca utama berlakunya kemalangan di negara kita adalah kerana sikap pemandu sendiri. Sikap pemandu yang terburu-buru dan cuai telah menyumbang kepada berlakunya kemalangan.

Kebanyakan pemandu di Malaysia bersikap mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan keselamatan orang lain ketika memandu. Sebagai contoh, tidak mengamalkan jarak selamat dan mengekori dengan terlalu rapat kenderaan di hadapan sehingga menyebabkan mereka gagal memberhentikan kenderaan apabila kecemasan.

Selain itu, terdapat juga segelintir pemandu yang terlampau peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka dan memperlahankan kenderaan di kawasan yang tidak perlu mereka perlahankan kenderaan.

Sebagai contoh, ketika memandu di lebuh raya, para pemandu mempunyai kecenderungan untuk memandu dengan perlahan di kawasan yang berlaku kemalangan untuk melihat kemalangan yang berlaku. Apabila kereta mereka diperlahankan, ini menyebabkan aliran trafik turut terjejas dan menjadi perlahan. Secara tidak langsung, perkara ini boleh juga membuatkan mereka hilang fokus dan tumpuan pada pemanduan mereka dan menyebabkan kemalangan.

Saya juga mendapati, sikap pemandu-pemandu terutamanya di lebuh raya amat mengecewakan. Ada di antara para pemandu yang menggunakan lorong kecemasan semata-mata mahu cepat dan memotong kenderaan-kenderaan lain. Walaupun pelbagai kempen telah dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya untuk memberi kesedaran kepada para pemandu untuk tidak menggunakan lorong kecemasan, namun mereka masih berbuat demikian.

Saya menyarankan agar pihak Polis Diraja Malaysia mempergiatkan rondaan di lebuh raya dan mengeluarkan saman kepada golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Selain faktor kecuaian manusia, terdapat juga kemalangan yang disebabkan oleh keadaan kenderaan yang tidak selamat dan boleh menjejaskan keselamatan kenderaan dan penumpang.

Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan malang tidak berbau, namun sebagai pengguna jalan raya yang bertanggungjawab, kita mampu mengelakkan sesuatu kemalangan jika kita mematuhi semua peraturan dan undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah.

Bagi pemandu-pemandu yang beragama Islam, kita disunatkan dan amat digalakkan untuk memulakan perjalanan dengan bacaan doa menaiki kenderaan. Doa yang dipohon, jika disertakan dengan pemanduan berhemah dan sikap yang bertanggungjawab, saya yakin kita mampu untuk mengurangkan jumlah kemalangan yang semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Pengisian hari raya untuk generasi muda

Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD

Hari Raya Aidilfitri terus disambut penuh kesyukuran oleh umat Islam di negara ini yang berjumlah lebih 16 juta orang. Ia dirayakan penuh meriah oleh semua lapisan generasi.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari raya, kita harus memikirkan apakah pengisian yang sesuai untuk generasi muda kita? Ini kerana ada di kalangan generasi muda kita yang tersimpang dalam menyambut hari raya. Bagi sesetengah mereka hari raya dianggap sebagai pesta muda mudi untuk berseronok dan bergembira.

Generasi muda kita seolah-olah dibiarkan sahaja dalam menentukan pilihan dan cita rasa mereka dalam menyambut hari raya. Hal ini sekiranya dibiarkan berlarutan sudah tentu akan memadam makna dan pengertian Aidilfitri yang sebenar.

Ini kerana Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah. Bulan Ramadan yang dilalui selama sebulan berperanan untuk menyucikan diri manusia daripada segala dosa dan kemaksiatan. Ia mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kemungkaran agar kembali kepada fitrah insan yang mengabdikan diri seutuhnya kepada Allah SWT.

Bagaimanapun pengertian Aidilfitri ini dicalarkan dengan pengisian hari raya yang tidak bermanfaat di kalangan generasi muda. Ada di antara remaja kita menghabiskan masa di hadapan TV menonton rancangan filem, hiburan dan persembahan artis yang dianggap lebih menarik perhatian mereka.

Ini menyebabkan mereka 'malas' untuk melakukan amalan ziarah menziarahi di kalangan sesama keluarga dan jiran tetangga.

Selain itu ada dalam kalangan generasi muda pula yang menghabiskan masa berpeleseran di kompleks membeli-belah, pawagam, kompleks boling dan pusat hiburan. Kelihatan pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan juga berlaku.

Ada antara mereka yang berpakaian menjolok mata sehingga mendedahkan aurat, berpegangan tangan dan berpelukan antara lelaki dan perempuan.

Amat menyedihkan lagi didapati mereka adalah remaja yang berumur dalam lingkungan belasan tahun. Apakah yang bakal berlaku seandainya perkara ini terus membudaya di kalangan generasi kita pada masa akan datang? Tidak cukup dengan pergaulan bebas di pusat hiburan ada remaja yang menghabiskan masa cuti hari raya dengan merempit di jalan raya.

Situasi ini seharusnya dipandang serius oleh semua pihak. Kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak tidak seharusnya dijadikan 'tiket' untuk remaja berseronok sehingga menjual maruah diri dan merosakkan nama agama.

Dalam masa yang sama ibu bapa harus memantau pergerakan anak-anak semasa cuti hari raya. Kita tidak inginkan anak-anak remaja Muslim menjadi hamba kepada keseronokan. Apa yang kita impikan hari raya ini disambut dengan penuh pengertian dan pengisian yang bermakna.

Dalam hal ini ibu bapa seharusnya menyediakan pengisian program hari raya yang khusus untuk anak-anak remaja mereka.

Ini bukan bertujuan untuk mengongkong mereka bersosial. Tetapi ia bertujuan mengawal mereka daripada pengaruh negatif yang boleh merosakkan akhlak dan pemikiran remaja Muslim kita.

Sekurang-kurangnya ada empat pengisian program hari raya yang boleh dilakukan oleh ibu bapa khususnya kepada generasi muda.

Pertama; program ziarah keluarga.

Ia perlu dijadikan kewajipan di kalangan anak-anak remaja kita. Amalan ziarah menziarahi antara sesama saudara mara perlu dibudayakan.

Di samping itu berhari raya dengan memakai pakaian yang bersopan dan menutup aurat adalah suatu perkara yang harus diteruskan. Ini kerana ramai di kalangan generasi muda kita yang memandang enteng terhadap amalan menutup aurat.

Menziarahi datuk, nenek dan seluruh ahli keluarga yang berdekatan amat penting dilakukan. Ia dapat mengukuhkan silaturahim dan ukhwah di kalangan keluarga umat Islam. Dalam masa yang juga ia dapat melahirkan rasa hormat dan kasih sayang di kalangan golongan tua dan muda.

Kedua; mengunjungi tanah perkuburan. Mengunjungi pusara saudara mara yang telah meninggal dunia merupakan amalan murni yang mempunyai hikmah yang amat besar. Amalan ini dapat melahirkan rasa insaf di kalangan remaja tentang hakikat kehidupan yang cuma sementara.

Ia juga dapat menjalin rasa kekeluargaan tinggi di kalangan remaja.

Ketiga; amalan solat berjemaah.

Di kalangan anak-anak remaja, kesempatan untuk berkumpul bersama-sama boleh dimanfaatkan untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah.

Bapa menjadi imam kepada anak-anak dan menyampaikan amanat sempena hari raya. Amalan bersalaman dan bermaaf-maafan dapat mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli keluarga.

Dalam masa yang sama amalan solat berjemaah dapat membina kekuatan iman dan membina benteng pertahanan rohani yang mantap.

Keempat; amalan rumah terbuka untuk anak remaja.

Rakan-rakan anak remaja kita perlu diraikan dalam majlis rumah terbuka yang khusus untuk mereka. Dengan ini ibu bapa dapat mengenali siapakah rakan anak-anak remaja mereka.

Majlis seumpama ini juga dapat mengelak daripada perbuatan sumbang yang menyimpang daripada ajaran Islam. Hal ini dapat menghindarkan anak-anak remaja daripada menghabiskan masa di kompleks membeli-belah dan pergaulan bebas tanpa batasan.

Masih belum terlewat untuk kita memimpin generasi muda bagi menghayati Aidilfitri dengan pengisian bermanfaat.

Marilah kita bersama-sama menjadikan Hari Raya Aidilfitri ini sebagai titik perubahan untuk membina generasi muda Islam yang menghayati ajaran Islam dengan seutuhnya.

Perlukah diet hari raya?

Oleh HAMDAN AHMAD
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam

Selepas sebulan berpuasa, kini tiba saat untuk kita berhari raya. Ibadah puasa banyak memberi kebaikan sekiranya kita benar-benar menghayati kenapa ia difardukan kepada umat Islam.

Puasa dapat membentuk dan meningkatkan disiplin malah mampu meningkatkan kualiti peribadi kita kepada suatu tahap yang lebih baik dan bermakna.

Dan hari raya pula merupakan suatu hari gembira dan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam yang berjaya melaksanakan tuntutan Allah pada bulan Ramadan.

Semasa berpuasa, kita dikehendaki menahan diri daripada nafsu termasuk makan, minum dan melakukan perkara yang dilarang. Inti puasa ialah bagi membentuk disiplin diri dan peribadi kepada tahap yang lebih baik dan hebat - jasmani dan rohani.

Biasanya pada bulan puasa, berat badan akan menurun dan ia mampu dikawal. Seluar yang dipakai akan semakin longgar.

Nikmat berbuka, kita akan cepat terasa kenyang dan tidak perlu makan berlebihan ketika berbuka.

Membazir itu perangai syaitan. Walau pun dikatakan ketika bulan puasa, syaitan-syaitan itu 'dirantai' tetapi masih ada kalangan kita yang gagal membendung nafsu.

Nafsu kita merupakan 'syaitan' yang masih berleluasa dan kita masih lagi gagal merantainya walau pun ketika itu bulan Ramadan. Secara tidak langsung, kita gagal mendisiplinkan diri kita. Sepatutnya pada bulan Ramadanlah patut menjadikan masa dan permulaan terbaik untuk kita memberi keutamaan dalam mendisiplinkan diri untuk semua aspek.

Semasa berpuasa kita seakan-akan berdiet dan sepatutnya usaha baik itu diteruskan selepas bulan puasa. Kita berdiet bukan sekadar pada bulan puasa tetapi lebih penting bulan-bulan selepasnya. Yang menjadi masalah, hari raya dan bulan seterusnya dijadikan lesen untuk kita mengamalkan budaya dan rutin biasa dari segi pemakanan seperti mana yang pernah kita amalkan. Tiada bezanya kita ketika bulan Ramadan dan bulan-bulan sebelum dan selepas bulan Ramadan.

Hari raya memang patut kita sambut dengan bergembira dan memakan makanan sedap-sedap tetapi kita hanya perlu mengawalnya. Maklum sahaja, setiap hari raya kita sudah tentu akan dijamu pelbagai makanan yang berat-berat seperti lemang, nasi impit, rendang, ketupat dan sebagai. Sudah tentu kebanyakan kita tidak akan melepaskan peluang tersebut, lebih-lebih lagi hari raya di negara ini terdapat banyak rumah terbuka. Kita boleh ambil peluang tersebut tetapi secara berhemah dan berhati-hati.

Apakah diet terbaik dan sesuai untuk berhari raya? Sebenarnya tiada diet khusus untuk berhari raya. Sambutlah dengan sederhana kerana makanan pada hari raya boleh dikatakan berat. Musim berhari raya jangan dijadikan pesta makan - bulan membalas dendam selepas berpuasa selama sebulan. Kalau ini dilakukan, maknanya puasa kita itu gagal menepati objektif sebenar.

Nasihat yang biasa diberikan, cuba elakkan memakan terlalu banyak makanan berminyak dan berkolesterol tinggi. Juga kurangkan minum minuman berkarbonat. Kita perlu kawal nafsu makan walau pun bulan puasa telah berlalu. Bulan-bulan selepas berpuasa merupakan ujian sebenar sama ada kita mampu mengekalkan tahap disiplin diri yang tinggi dari segi pemakanan sebagaimana yang kita amalkan ketika berpuasa.

Lazimnya, berat badan kebanyakan kita akan meningkat ketika bukan bulan puasa kecuali bagi mereka yang mengamalkan disiplin pemakanan seimbang dan sederhana dan melakukan senaman mengikut jadual.

Peribahasa Inggeris pernah menyebut, "You are what you eat." Kemampuan mengawal apa yang dimakan terletak pada diri kita dan bukan pada orang lain.

Kita perlu ada budaya makan terkawal iaitu suatu disiplin dari segi makanan harian yang dimakan. Kita tidak boleh makan ikut sedap rasa dan juga kerana kita mampu membelinya.

Apa yang penting kita perlu bersederhana dan makan makanan yang seimbang dan buruk padahnya kalau kita ikut rasa dan nafsu makan secara sembrono. Ikut rasa binasa bak kata pepatah. Oleh kita, kita perlu lebih berhati-hati apabila kita mengambil makanan dalam kehidupan setiap masa.

Kebanyakan penyakit yang dihadapi oleh manusia disebabkan oleh makanan. Oleh itu diri kita sendiri yang patut dipersalahkan dan bukan makanan jika kita mendapat penyakit. Jika kita makan makanan berkhasiat, maka kita akan jadi lebih sihat dan bukan sebaliknya. Ini semuanya terletak pada diri dan apa yang kita makan.

Betapa seriusnya isu pemakanan - diperkatakan setiap masa. Bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik - sebagai contoh, jika kita makan sekeping kek blackforest yang beratnya kira-kira 100gm, dikatakan kita perlu membakar kalori hasil daripada memakan kek tersebut dengan berjalan sejauh dua kilometer. Begitulah seriusnya amalan yang perlu diikuti dalam mengekalkan kesihatan kita pada tahap terbaik.

Pada dasarnya kita bersetuju. Kita perlu mengikut konsep 'makan untuk hidup' dan bukan 'hidup untuk makan'. Yang menjadi masalah, kebanyakan kita kerap mengamalkan konsep hidup yang salah iaitu 'hidup untuk makan'. Oleh yang demikian, kita sering dihinggapi pelbagai penyakit kronik. Yang tidak seronok didengar, masa sihatlah kita perlu makan apa sahaja yang kita hendak makan. Sudah sakit nanti apa-apa pun tidak boleh dimakan. Ini suatu konsep dan pendekatan salah yang selalu dikaitkan dengan pemakanan.

Masalah pokoknya, kita masih lagi tidak memandang serius tentang apa yang kita makan setiap hari, walau pun kita mengetahui makanan yang dimakan itu berlemak dan tinggi kolesterolnya.

Tahun demi tahun statistik menunjukkan meningkatnya bilangan warganegara yang dihinggapi pelbagai penyakit, antaranya termasuklah kencing manis, sakit jantung, kanser dan sebagainya. Kempen demi kempen dijalankan bagi memberi kesedaran kepada kita semua, namun tidak ramai mengambil iktibar daripadanya.

Sudah sampai masanya kita perlu mengubah sikap dan mindset sebelum terlambat. Mengubah sikap itu sesuatu yang sukar bagi setengah-tengah daripada kita. Kita lebih selesa dengan status quo sedia ada dan tidak berani berubah walau pun kita mengetahui akan kepentingan menjaga makanan dan kesan pada kesihatan. Selagi kita tidak sakit, selagi itu kita makan ikut nafsu.

Sampai bila kita harus begini? Tepuk dada, tanya selera! Tidak perlulah kita bercakap fasal diet hari raya kerana secara hakikinya tiada istilah diet hari raya. Kalau pun kita mampu berdiet pada bulan puasa dan sebulan berhari raya, ia cuma dua bulan, bagaimana pula dengan sepuluh bulan yang lain dalam tahun yang sama? Tidakkah ia juga sama?

Mengapa bukan Mohd. Isa?

Oleh RAMLI ABDUL KARIM

Menjelang Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini, UMNO nampaknya kini berada di persimpangan dalam soal pemilihan calonnya untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN).

Calon BN difahamkan akan diumumkan sendiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Port Dickson pada 29 September ini. Namun, soal kriteria calon masih menjadi isu utama yang diperdebatkan khususnya di kalangan pimpinan UMNO, pemerhati politik dan juga ahli-ahli parti.

Ia menjadi polemik apabila sebelum ini Jawatankuasa UMNO Bahagian serta Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian telah sebulat suara menamakan ketua bahagian, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calon tunggal untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan.

Sebanyak 12 Cawangan UMNO, 13 Cawangan MIC dan empat cawangan MCA juga membuat keputusan yang sama mahukan Mohd Isa. Tetapi keputusan yang memihak secara mutlak kepada Mohd. Isa itu tidak disenangi segelintir pihak.

Ramai pemimpin UMNO yang secara terang-terangan mahu pun tidak langsung membuat kenyataan terbuka meminta supaya UMNO meletakkan calon lain selain Mohd. Isa. Ini termasuk kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang percaya bahawa pemilihan Mohd. Isa sebagai calon hanya akan membuatkan parti semakin dijauhi oleh ahli-ahli dan rakyat kerana memilih orang yang pernah terlibat dengan kes politik wang.

Bukan sekali malah beberapa kali Dr. Mahathir menegaskan peringatan demikian. Sebagai negarawan, sudah pasti kenyataan beliau segera mendapat respons pihak yang menyokong amaran Dr. Mahathir itu termasuk beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) terutama ketika UMNO begitu serius membersihkan parti daripada barah politik wang.

Bagaimanapun pada masa sama terdapat juga sebahagian pemimpin UMNO dan pemerhati politik memihak kepada Mohd. Isa yang memiliki kekuatan di peringkat akar umbi, supaya kemenangan lebih terjamin selepas BN mengalami enam kekalahan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Memang benar UMNO kini sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membanteras politik wang malah ia begitu ketara sejak beberapa tahun lalu termasuk pada tahun 2005 parti itu telah memperlihatkan ketegasan dengan menggantung keahlian Mohd. Isa dan menggugurkan jawatan Naib Presiden yang disandangnya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun itu juga terpaksa melepaskan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan ekoran kes tersebut. Bagaimanapun beliau menerima dengan akur, taat dan insaf keputusan parti itu dan mengharungi hukuman yang dikenakan dengan tabah, bukannya melatah.

Untuk memberi keadilan kepada Mohd. Isa dan juga mengambil kira pandangan pihak-pihak yang tidak senang jika beliau dicalonkan di Bagan Pinang, maka adalah wajar kita merungkai persoalan “Mengapa tidak Mohd Isa yang menjadi calon?”

Sabtu, September 19, 2009

Samy Vellu satu liabiliti pada BN - Dr Mahathir

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu akan menjadi liabiliti kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang disebabkan kepimpinannya yang gagal, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau bimbang sokongan rakyat terhadap BN akan merosot dan BN akan menjadi mangsa pula kerana Samy Vellu masih lagi memimpin MIC.

Dalam satu temubual dengan Bernama, Dr Mahathir berkata Samy perlu melepaskan jawatan presiden MIC kerana beliau perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan parti itu dalam pilihan raya umum yang lepas malah beliau sendiri juga kalah.

"Kalau kita tengok di negara lain, apabila seseorang pemimpin gagal, dia dengan sendirinya letak jawatan. Kalau di Jepun, dia commit harakiri (bunuh diri). Kita tak suruhlah dia (Samy) commit harakiri.

"You (Samy) gagal pimpin MIC sampai you (Samy) sendiri kalah," katanya.

Mengambil contoh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan ekoran prestasinya tidak begitu baik, Dr Mahathir berkata: "Samy dia punya prestasi jauh lebih buruk daripda Pak Lah tapi dia tak mahu nak lepas pun jawatan dia.

"Sepatutnya sebelum sampai ke tahap itu, dia (Samy) patut letak jawatan," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau berhak menegur sesiapa pun demi kebaikan BN, dan menambah kata: "Pak Lah pun saya tegur, apa Samy Vellu saya tidak boleh tegur?"

Tindakan Dr Mahathir menegur Samy menjelang pemilihan MIC minggu lepas telah dilihat cubaan mencampuri urusan MIC dan ia telah menimbulkan kemarahan seorang anggota perwakilan yang mencadangkan agar gambar bekas Perdana Menteri itu dikalungkan dengan selipar.

Dr Mahathir berkata pemimpin perlu sedar bahawa mereka bukan dapat memegang jawatan secara seumur hidup.

"Ini ditujukan bukan kepada Samy Vellu seorang sahaja kerana ada yang lain pun macam begitu juga," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau sendiri hendak meletak jawatan pada 1998 tetapi disebabkan krisis ekonomi dan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, terpaksa terus memimpin negara sehingga 2003.

"Saya letak jawatan bukan bila orang kecam saya. Saya letak jawatan sebab saya duduk lama sangat.

"Pemimpin Malaysia ini belum faham apabila dia gagal, dia patut dengan sendiri letak jawatan, tak payah orang suruh. Bila you gagal, you punya parti gagal. Dia bertanggungjawab," katanya.

Ditanya apakah yang BN boleh buat memandangkan BN mempunyai prinsip tidak campur tangan dalam urusan parti-parti komponennya, Dr Mahathir berkata apabila ia sudah menjadi masalah kepada BN dan jika BN masih tak campur tangan, BN sendiri yang akan menjadi mangsa.

Dr Mahathir berkata pemimpin BN perlu menegur Samy Vellu kerana sebagai pemimpin BN, mereka bukan bertanggungjawab terhadap prestasi parti sendiri sahaja tetapi prestasi BN keseluruhannya.

"Kalau saya tahu seseorang itu akan menyebabkan kekalahan BN, itu sudah menjadi masalah BN. Bukan masalah MIC lagi. Kita tak boleh kata dok tak interfere (campur tangan) saja. Ini urusan BN. Kerana dia, BN kalah.

"Dulu mana ada Hindraf. La ni (sekarang) dah ada berpuluh (kumpulan pendesak masyarakt India). Kerana dialah pasal orang tak mahu dia tapi dia nak jadi presiden lagi," katanya.

Dr Mahathir berkata pemimpin yang menggunakan duit, tekanan, salah guna kuasa dan mengugut orang boleh kekal menjadi presiden parti tetapi tidak akan menang dalam pilihan raya.

Mengenai pemimpin pilihan Samy Vellu yang memenangi pemilihan MIC minggu lepas, beliau berkata mereka boleh memenangi pemilihan parti tetapi akan kalah dalam pilihan raya kerana orang ramai tidak akan sokong.

Dr Mahathir juga berkata Samy Vellu tidak memainkan peranan untuk melarang pembinaan kuil tanpa kebenaran walaupun pernah berjanji untuk berbuat demikian.

Samy, kata Dr Mahathir, menjadi popular dahulu kerana beliau (Dr Mahathir) menolongnya.

"Dia nak buat universiti, saya pujuk kerajaan bagi peruntukan RM50 juta dan banyak lagi dia punya projek, saya tolong," kata Dr Mahathir.

Mengimbas tugasnya sebagai Perdana Menteri dahulu, Dr Mahathir berkata beliau terpaksa memujuk orang Melayu supaya membenarkan BN meletakkan calon MIC di kawasan majoriti orang Melayu kerana tidak ada satu kawasan pun di negara ini yang mempunyai majoriti orang India.

"Lebih dari itu, saya juga berusaha supaya calon-calon MIC ini disokong oleh orang Melayu. Tanpa sokongan daripada ahli Umno dan orang Melayu lain, MIC tak boleh menang. Jadi ini khidmat saya kepada MIC.

"Tapi apabila MIC membuat sesuatu yang akan menyebabkan dia tak akan disokong oleh orang India, baik orang Cina, baik orng Melayu, saya perlu tegur," kata Dr Mahathir.
- BERNAMA

Jumaat, September 18, 2009

Noordin Mat Top terbunuh


Militan paling dikehendaki di Asia Tenggara, Noordin Mohammad Top, yang diburu pihak berkuasa Indonesia selama sembilan tahun, ditembak mati di sebuah rumah bersama pakar bomnya di pekan Solo, Jawa Tengah, pagi semalam.

Ketua Polis Republik Indonesia, Bambang Hendarso Danuri, mengesahkan lelaki yang ditembak mati itu ialah Nordin berdasarkan contoh cap jari yang dihantar Polis Malaysia.

Katanya, mayat Noordin ditemui di dalam rumah itu bersama beberapa mayat lain termasuk pakar bom, Bagus Budi Pranoto yang juga dikenali sebagai Urwah.

"Berdasarkan pemeriksaan doktor polis dan contoh cap jari yang dihantar Polis Malaysia, Alhamdulillah pada Ramadan ini, dia adalah Noordin Mohammad Top," kata Bambang pada sidang akhbarnya yang disambut dengan tepukan pegawai polis lain.

"Dia adalah pemimpin al-Qaeda di Asia Tenggara," katanya pada sidang akhbar itu yang turut disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen ke seluruh negara.

Pengesahan mayat Nordin adalah kelegaan bagi pihak berkuasa Indonesia berikutan laporan Nordin ditembak mati dalam satu serbuan juga di Jawa Tengah, bulan lalu, tapi ujian forensik mendapatinya tidak benar.

Noordin, yang dilahirkan di Malaysia, menubuhkan sebuah kumpulan serpihan kepada kumpulan militan serantau, Jemaah Islamiah dan dianggap sebagai perancang utama serangan bom ke atas hotel Ritz-Carlton dan JW Marriott pada 17 Julai lalu, selain serangan di Bali dan Jakarta yang menyebabkan banyak kematian dan kemusnahan.

Bambang berkata, selain Urwah, turut ditembak ialah rakan rapatnya, Ario Sudarso yang juga dikenali sebagai Aji dan penyewa rumah itu, Susilo.

Dalam serbuan itu polis turut menahan dua lelaki, selain isteri Susilo yang cedera.

Terdahulu, Ketua Polis Nasional itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan bila ditanya sama ada benar Noordin dibunuh, Bambang berkata: "Ya... ya.... ya."

Laporan awal menyatakan lima mayat dibawa keluar daripada rumah itu, Empat daripada mereka dikenal pasti sebagai Urwah, Maruto, Susilo dan Putri Munaroh. Bagaimanapun, laporan kemudian mengesahkan Putri Munaroh hanya cedera.

Serbuan itu dilakukan awal pagi semalam selepas intipan polis mengesan tujuh suspek di dalam rumah berkenaan. Serbuan itu berakhir sebelum subuh, dan satu letupan kedengaran di dalam rumah berkenaan, kata jurucakap polis.

Operasi polis itu turut menyebabkan rumah berkenaan hangus.

Mayat Nordin diterbangkan ke Jakarta bagi menjalani bedah siasat.

Indonesia berada dalam tekanan hebat untuk menahan atau membunuh Noordin menjelang lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang dirancang November ini.

- BERITA HARIAN

JAWATAN KOSONG DI INSTITUT BIOSAINS, UPM

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1. Penolong Pegawai Sains Gred C27
2. Juruteknik Gred J17 (Keutamaan Lulusan bidang Mekanikal)

DOWNLOAD BORANG:
http://www.ziddu.com/download/5436385/BorangJawatanUPM.pdf.html

Sila hantar permohonan kepada:

Puan Sawah Salwah binti Adnan
Penolong Pendaftar
Institut Biosains
Tingkat 2, Blok A
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM serdang
Selangor

Tarikh Tutup : 30 September 2009

JAWATAN KOSONG DI PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1. Pembantu Juruaudit Kanan (Gred W22) – Tetap (1 jawatan)
2. Pembantu Akauntan (Gred W17) – Tetap (1 jawatan)
3. Juruteknik (Mekanikal) (Gred J17) – Tetap (1 jawatan)
4. Pengawal Keselamatan (Gred KP11)– Tetap (1 jawatan)

MAKLUMAT LANJUT:
http://www.pdc.gov.my

DOWNLOAD BORANG:
http://www.pdc.gov.my/images/pdc1/Jawatan/jawatanpdf.pdf

Tarikh Tutup : 9 Oktober 2009


JAWATAN KOSONG DI PIHAK BERKUASA KEMAJUAN PEKEBUN KECIL PERUSAHAAN GETAH (RISDA)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
- Penolong Pegawai Pertanian (G27) (Kekosongan di Sarawak sahaja)

Status Kekosongan Jawatan : Tetap
Bilangan Kekosongan Jawatan : 3

CARA MEMOHON :
Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara on-line di:
http://www.jobsmalaysia.gov.my

Tarikh Tutup : 20 September 2009


Recent Posts