Jumaat, September 04, 2009

Kapal Selam KD Tunku Abdul Rahman tiba di Malaysia



Sejarah tercipta buat negara dengan ketibaan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman, di pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, di Pulau Indah di Pelabuhan Kelang hari ini.

Ketibaannya disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan juga anggota keluarga anak kapal KD TAR.

KD TAR, yang dikendali oleh 32 orang pegawai dan anggota diketuai Pegawai Memerintah Komander Zulhelmey Ithnain merapat ke jeti pada 9.20 pagi, dengan anak kapalnya melambai-lambai ke arah orang ramai.

Tuanku Mizan dan Sultan Selangor serta Tengku Amir Shah bersama Najib, Muhyiddin, Ahmad Zahid, Panglima ATM, Panglima TLDM dan Ketua Polis Negara kemudiannya diiring masuk melawat ke dalam kapal selam pertama negara itu.

Sempena ketibaan KD TAR, Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melancarkan setem kenangan dan sampul surat hari pertama yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia dengan kerjasama TLDM bagi mengiktiraf aset pertahanan negara itu.


KD TAR mula belayar dari tempat ianya dibina di Toulon, Perancis, pada 11 Julai dan mengambil masa 54 hari untuk tiba di Pelabuhan Klang dengan melakukan persinggahan di Jeddah, Djibouti dan Cochin di India.

Semasa dalam pelayaran pulang kapal selam itu telah melakukan penyelaman selama 32 hari, belayar di permukaan selama 10 hari dan selebihnya singgah di pelabuhan.

KD TAR adalah antara dua kapal selam baru jenis Scorpene yang ditempah oleh kerajaan pada 2002 dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion. Ia dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari
Sepanyol.

Sebuah lagi, yang dinamakan KD Tun Razak, akan ditauliahkan pada Oktober ini dan dijangka tiba di Malaysia pada Mac tahun depan.

- BERNAMA

Musa Hassan sambung tugas setahun lagi

Kontrak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini dilanjutkan selama setahun lagi.

Ketika mengumumkannya hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam berkata, lanjutan kontrak itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lanjutan kontrak Musa juga telah mendapat perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Musa memulakan kerjayanya dalam pasukan polis sebagai seorang inspektor pada 11 November 1969.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah sebagai Penolong Pengarah Bahagian Narkotik Bukit Aman (1981; pensyarah Maktab Polis Kuala Kubu Baharu (1986); pegawai latihan di Bukit Aman (1991; Timbalan Penolong Pengarah Pendakwaan Bukit Aman (1995) dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman (2001).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Johor (2003); Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2004) dan Timbalan Ketua Polis Negara (2005).

Musa, yang berkelulusan undang-undang, dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 12 Sept 2006.

- BERNAMA

JAWATAN KOSONG DI UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
- Arkitek (J41)

Status Kekosongan Jawatan : Tetap
Bilangan Kekosongan Jawatan : 1

CARA MEMOHON :
Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara on-line di:
http://www.jobsmalaysia.gov.my

Tarikh Tutup : 8 September 2009

JAWATAN KOSONG DI JABATAN TENAGA KERJA W/P KUALA LUMPUR

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
- Pembantu Tadbir Perkeranian/Operasi (N17)

Syarat;

i) Perlantikan Calon Simpanan sahaja.
ii) Wajib mendaftar di dalam sistem jobsmalaysia dan mengemukakan RESUME terkini serta SEKEPING GAMBAR berukuran pasport sebelum tarikh tutup
iii) Calon dari WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR sahaja yang akan di pertimbangkan.
Status Kekosongan Jawatan : 3-6 bulan

CARA MEMOHON :
Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara on-line di:
http://www.jobsmalaysia.gov.my

Tarikh Tutup : 9 September 2009


JAWATAN KOSONG DI MAJLIS PERBANDARAN KANGAR (MPKANGAR) PERLIS

Permohonan adalah dipelawa daripada warganegara Malaysia (keutamaan diberikan kepada rakyat Negeri Perlis Indera Kayangan) yang berkelayakan bagi mengisi jawatan-jawatan di Majlis Perbandaran Kangar seperti berikut:

JAWATAN:
- PEMBANTU UNDANG-UNDANG L29
- PENOLONG ARKITEK LANDSKAP J29
- PENOLONG PEGAWAI PERTANIAN G27
- PEMBANTU PERTANIAN G17

Perhatian Kepada Pemohon:

1. Permohonan hendaklah menggunakan Borang MPK.Ps 6 Pin. 1/2006 yang boleh didapati di Jabatan Pengurusan dan Sumber Manusia, Majlis Perbandaran Kangar,Perlis atau di Kaunter Kewangan, Jabatan Kewangan, Majlis Perbandaran Kangar, Perlis dengan harga RM1.00.

2. Pemohon juga boleh memohon Borang MPK.Ps 6 Pin. 1/2006 melalui pos dengan menyertakan sampul surat berukuran 23cm X 32cm beralamat sendiri dan setem bernilai 50 sen (sila tulis nama jawatan yang dipohon disebelah kiri atas sampul surat) dan menyertakan Kiriman Wang/Wang Pos bernilai RM1.00 bagi
setiap keping borang yang diperlukan.

3. Semua permohonan hendaklah diisi dengan lengkap dengan disertakan bersama salinan Sijil/dokumendokumen yang telah disahkan (mengikut jawatan yang dipohon) seperti berikut :
(i). Kad Pengenalan ( depan dan belakang ),
(ii). Sijil Kelahiran,
(iii). Sijil Berhenti Sekolah,
(iv). Sijil / Diploma / Ijazah yang berkaitan,
(v). Lain-lain dokumen pengesahan pernah menjalankan tugas-tugas berkaitan dengan jawatan yang dipohon

DOWNLOAD IKLAN
http://www.mpkangar.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=951947d8-b2b5-4c31-9e99-aa5632983593&groupId=23316

1. Permohonan yang lengkap diisi hendaklah dialamatkan kepada :
YANG DIPERTUA,
MAJLIS PERBANDARAN KANGAR, PERLIS
N0. 192, PERSIARAN JUBLI EMAS,
01000 KANGAR,
PERLIS.
( u.p. : Bahagian Perkhidmatan & Perjawatan )

2. Sila tuliskan ‘NAMA JAWATAN’ disebelah atas kiri sampul surat bagi setiap permohonan yang dikemukakan.

Tarikh Tutup: 16 September 2009

JAWATAN KOSONG DI MAJLIS PERBANDARAN SEPANG (MPSEPANG)

Permohonan adalah dipelawa daripada warganegara Malaysia berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan. Keutamaan kepada rakyat negeri Selangor yang berkelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan berikut:-

1. PEGAWAI UNDANG-UNDANG – GRED L41
2. PEGAWAI PERANCANG BANDAR DAN DESA – GRED J41
3. PEN. PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN - GRED U29
4. PENOLONG PEGAWAI TADBIR – GR
5. PENOLONG AKAUNTAN – GRED W 27
6. JURUTEKNIK PERANCANG BANDAR DAN DESA – J17
7. JURUTEKNIK – J17 (BANGUNAN / LANDSKAP)
8. PEMBANTU PERTANIAN – G17
9. PEMBANTU TEKNIK – J29 (KEJURUTERAAN/ BANGUNAN)
10. PENOLONG PEGAWAI PERANCANG BANDAR – J 29
11. PENOLONG PEGAWAI PENILAIAN – W27
12. PENOLONG AKAUNTAN – GRED W 27
13. JURUTEKNIK – J17
14. PEMBANTU PENILAIAN – Gred W17
15. PEMBANTU JURUAUDIT – Gred W17

Perhatian Kepada Pemohon:

a) Permohonan hendaklah dibuat di dalam Borang SPA 6 yang boleh didapati di Bahagian Sumber Manusia Majlis Perbandaran Sepang atau menggunakan borang yang boleh dimuat turun di bawah

DOWNLOAD IKLAN & BORANG PERMOHONAN
http://www.mpsepang.gov.my

b)Semua borang permohonan hendaklah diisi dengan lengkap disertakan salinan sah kad pengenalan, sijil lahir, sijil-sijil persekolahan, kelulusan akademik (termasuk Ijazah Diploma – jika berkenaan), transkrip keputusan peperiksaan semua semester yang diakui sah berserta dengan sekeping gambar berukuran.

Alamat permohonan:

Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Sepang,
Persiaran Semarak Api, Cyber 1,
63200 Cyberjaya
Selangor Darul Ehsan.

Tarikh Tutup: 17 September 2009

JAWATAN KOSONG GURU SANDARAN TERLATIH & TIDAK TERLATIH SISWAZAH

Jawatan : Guru Sandaran Terlatih Siswazah / Guru Sandaran Tidak Terlatih Siswazah

Taraf Jawatan : Sandaran

Jadual Gaji : DC41 : P1T5 RM1901.80 - T10 RM2354.06

Jumlah Kekosongan : Semua Opsyen Sekolah Menengah / Sekolah Rendah

Tempat Kekosongan : Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di Seluruh Malaysia

Cara Memohon
Permohonan hendaklah dikemukakan dengan menggunakan borang BSM/0152/38/.Jld.5 yang boleh di download dibawah

DOWNLOAD IKLAN & BORANG PERMOHONAN
http://www.ziddu.com/download/6346499/GuruSiswazah.pdf.html

Semua dokumen hendaklah dihantar dalam sampul surat berukuran 32cm x 22cm yang bertulis disebelah kiri atas 'Permohonan Guru SABK" ke alamat berikut sebelum atau pada 11 September 2009

Setiausaha
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Aras 5, Blok E12, Kompleks Kerajaan Parcel E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya
(u.p : Encik Abdul Rahman bin Hashim)

Kesinambungan tradisi DiGi Music Unlimited

Keinginan rakyat Malaysia terhadap muzik digital semakin meningkat. Justeru, DiGi Music Unlimited mencetuskan era baru dalam penghayatan muzik masa kini.

Teknologi mudah alih dan Internet telah mengubah hidup kita menjadi lebih baik dan mudah. Membeli-belah secara dalam talian, perbankan Internet dan perkhidmatan lokasi menerusi teknologi GPS bukan lagi sesuatu yang asing pada hari ini.

Ketua Segmen Pemasaran DiGI, Koay Chee Keong berkata, tarikan universal muzik juga telah tersebar ke skrin yang lebih kecil. Generasi muda di seluruh dunia hari ini menjadi peminat Internet dan bergantung kepada kemampuan teknologi mudah alih untuk mengakses senarai lagu kegemaran mereka yang disimpan di dalam laman web, tidak kira di mana mereka berada.

Selain itu katanya, aplikasi muzik mudah alih telah menjadi ikutan yang hebat dalam kalangan generasi muda.

Gajet

Mereka menjadikan gajet sesuatu yang peribadi dengan nada dering lagu-lagu terkini yang menjadi kegemaran masing-masing. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila muzik menjadi sebati dalam kehidupan dan mencerminkan keperibadian mereka, selain untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan.

Beliau juga berkata, trend yang semakin meningkat itu telah dibuktikan oleh kajian serantau Synovate. Menurut laporan tersebut, lebih 68 peratus pengguna muda di negara-negara rantau Asia Tenggara memperuntukkan lebih banyak masa untuk mendengar muzik.

Kajian itu turut menunjukkan 25 peratus daripada mereka lebih kerap mendengar muzik berbanding dalam tempoh 12 bulan lalu. Malah, lebih daripada 61 peratus dan 47 peratus rakyat Malaysia menggunakan telefon bimbit dan komputer mereka untuk mendengar muzik.

"Data-data ini sudah cukup untuk menggambarkan situasi generasi muda sekarang dan bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila kuasa tarikan muzik telah melonjak kerana kecanggihan teknologi.

"Keadaan ini turut dibantu dengan kehadiran pelbagai peranti mudah alih dengan simpanan memori yang besar tersedia di pasaran pada harga mampu milik sekali gus membolehkan penerimaan pantas generasi muda terhadap muzik," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo!.

Beliau menjelaskan, daya tarikan untuk mempunyai platform yang efektif dalam mendekatkan generasi muda dengan perubahan cara hidup dan memenuhi keperluan mereka telah mendorong DiGi memperkenalkan perkhidmatan laman web yang dikenali sebagai DiGi Music Unlimited.

"Ia merupakan perkhidmatan muzik terbaru yang bakal mengubah cara rakyat Malaysia menikmati muzik. Perubahan itu akan menggalakkan pengguna menjelajah, menjadikannya peribadi, berkongsi dan menikmati muzik dengan cara baru.

"Kami mahu memperluaskan kekuatan tarikan jenama kami dalam kalangan generasi muda dengan menyediakan perkhidmatan yang bersesuaian dan menepati cara hidup mereka," ujarnya.

Meyakinkan pelanggan

Tambahnya: "DiGi Music Unlimited merupakan kesinambungan tradisi kami dalam menawarkan produk-produk dan perkhidmatan yang bersesuaian di pasaran. Pada masa yang sama, meyakinkan pelanggan kami bahawa produk dan perkhidmatan itu mudah digunakan serta pada kadar yang berpatutan."

Pada ketika ini, portal muzik tempatan dan perkhidmatan telekomunikasi lain menawarkan harga antara RM3 hingga RM5 bagi muat turun sebuah lagu. Dengan tawaran terbaru muzik DiGi itu, pelanggan boleh memuat turun seberapa banyak lagu yang mereka mahukan pada kadar hanya RM5 sebulan.

Kini, tawaran harga yang terbaik itu juga membolehkan pelanggan berkongsi lagu-lagu kegemaran mereka dengan rakan-rakan menerusi SMS, e-mel dan laman-laman rangkaian sosial.

Untuk maklumat lanjut, lawati www.DiGiMusic.com.my hari ini atau hubungi DiGi di talian 016-221 1800.

Khamis, September 03, 2009

Setiap rakyat perlu sumbang membina sebuah negara yang bersatu

Oleh MUHAMAD RAZAK IDRIS, PRESIDEN ABIM

Negara kita telah menyambut ulangtahun kemerdekaan kali ke 52 dalam suasana sederhana tetapi meriah dan patriotik pada 31 Ogos 2009 yang lalu. Di dalam banyak pengucapan para pemimpin negara bersempena tahun kemerdekaan ini, tuntutan untuk semua rakyat Malaysia bersama-sama membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni telah ditekankan menerusi kerangka gagasan Satu Malaysia.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selaku sebuah pertubuhan yang mewakili golongan belia Islam di negara ini ingin menyeru seluruh masyarakat Malaysia menyahut seruan ini.

Masyarakat Malaysia boleh menyumbang di dalam usaha pembentukan negara Malaysia yang bersatu padu menerusi beberapa langkah. Pertama ialah dengan memahami dan menghayati kembali sejarah pembentukan negara ini.

Hal ini menuntut masyarakat Malaysia meningkatkan bacaan dan kajian terhadap susur galur perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi perspektif yang menyeluruh.

Menerusi pembacaan dan pengkajian ini, masyarakat Malaysia tentu akan terdedah dengan latar kehidupan negara sebelum kemerdekaan, memahami liku-liku di dalam proses mencapai kemerdekaan, mengenali tokoh-tokoh penjuang kemerdekaan dari segenap kumpulan masyarakat dan kaum serta memahami asas-asas permuafakatan antara kaum-kaum di negara ini yang telah membawa kepada kemerdekaan negara.

Langkah kedua ialah dengan mempertingkatkan hubungan dan pergaulan antara kaum di negara ini.

Sebagaimana yang kita sedia ketahui, masyarakat kita tergolong kepada beberapa kelompok kaum yang terdiri dari kalangan masyarakat Melayu, Cina, India, Bumiputra Sabah dan Sarawak dan masyarakat Orang Asli.

Kepelbagaian masyarakat Malaysia ini perlu dijalin secara kukuh dan berterusan.

Peningkatan hubungan dan pergaulan menerusi pelbagai cara yang sesuai dan wajar antara pelbagai kaum boleh menghilangkan jurang dan tembok pemisah yang banyak disaluti oleh kepentingan kelompok.

Di samping kita terus mengekalkan identiti kelompok yang kita warisi, masyarakat Malaysia hendaklah bersatu di atas semangat kenegaraan sebagai ‘’Anak Malaysia’’.

Langkah ketiga ialah menerusi peningkatan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. ABIM ingin menyeru seluruh masyarakat Malaysia supaya meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan samada dari aspek kefahaman dan pertuturan.

Ini kerana bahasa Melayu ialah bahasa penghubung antara kita semua. Sekiranya masyarakat Malaysia tidak berkongsi satu bahasa pengantaraan yang sama, kita semua tidak akan dapat berkongsi perasaan kecintaan kepada negara dan tidak mungkin akan dapat menghayati cita-cita perjuangan yang sama sebagai anak Malaysia.

Bersempena dengan sambutan kemerdekaan tahun ini, ABIM ingin menyeru semua pihak supaya terus gigih dan ikhlas di dalam membina negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Ini dapat diterjemahkan sekiranya semua pihak menghormati rukun negara dan prinsip keadilan dan kehormatan insan sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia. Selamat Menyambut Hari Merdeka ke-52.

Perpaduan kaum rapuh walau 52 tahun merdeka

Oleh Rejal Arbee

Kita kini sudah memasuki tahun ke-52 sebagai sebuah negara bebas daripada belenggu penjajahan. Tetapi dalam tempoh itu, apakah kita sudah berjaya mewujudkan sebuah negara bersatu padu, rukun dan damai, bertoleransi serta saling faham memahami antara satu sama lain?

Atau apakah kita terus dihantui prasangka buruk yang semakin menggugat perpaduan antara kaum yang semuanya mengakui negara ini sebagai tanah tumpah darah mereka? Malangnya, jika dilihat daripada beberapa perkembangan akhir-akhir ini, perpaduan antara kita masih agak rapuh.

Malah, ada yang berpendapat era keterbukaan yang dipelopori beberapa kerat penasihat di Putrajaya tidak berapa lama dulu sebenarnya yang memburukkan lagi hubungan antara kaum di mana persefahaman sudah semakin renggang.

Keterbukaan inilah yang memberi ruang kepada sesetengah pemimpin pelbagai kelompok mempersoalkan apa yang telah dipersetujui antara kaum waktu kita berada di ambang kemerdekaan pada 1957 dulu. Inilah yang dikatakan sebagai kontrak sosial yang membawa kepada termaktubnya beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apakah benar andaian bahawa suara sumbang demikian ini sudah wujud kembali hanya kerana kedudukan politik Melayu kini tergugat? Apa pun yang nyata soal perpaduan dan persefahaman antara kaum khususnya di Semenanjung sudah agak rapuh.

Suasana di kampung berbeza. Jelas betapa mudahnya Melayu menerima bukan Melayu dengan tangan yang terbuka. Itulah kita boleh lihat di mana-mana pedagang, peruncit Cina atau India boleh saja menjalankan perniagaan mereka di tengah-tengah perkampungan Melayu tanpa diganggu gugat.

Tetapi apakah hal yang sama boleh berlaku di tengah perkampungan Cina atau India? Tepuk dada tanya selera. Sejarah negara ini ialah sejarah bagaimana mudahnya Melayu menerima orang lain di sisi mereka.



Kali ini saya hanya hendak membincangkan sedikit mengenai penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut Fasa 152 Perlembagaan. Apakah setelah merdeka selama 52 tahun semua rakyat sudah benar-benar menghayati dan menghormati kehendak Perlembagaan?

Saya tidak begitu kisah dengan mereka yang dilahirkan sebelum merdeka yang sudah menjangkau usia lebih 60 tahun. Mungkin agak sukar bagi sesetengah daripada mereka ini hendak belajar bahasa Melayu kerana tidak berinteraksi dengan orang Melayu.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang berusia di bawah 52 tahun? Kenapakah masih ada sebilangan mereka termasuk profesional yang tidak boleh bertutur Melayu dengan baik? Kalaulah pendatang dari Bangladesh, Pakistan dan India pun sudah boleh bercakap Melayu dengan baik hanya setelah berada di sini beberapa bulan saja, kenapa masih ada rakyat yang dilahirkan selepas merdeka masih gugup bercakap Melayu?

Wujudnya keadaan demikian menunjukkan masih ada di kalangan rakyat yang tidak menghormati bahasa kebangsaan. Apa tidaknya apabila kerajaan berusaha meningkatkan pemahaman bahasa Inggeris memandangkan ia sudah diterima dunia sebagai satu bahasa global, anasir-anasir ini mengambil kesempatan mengabaikan terus penggunaan bahasa Melayu.

Ini jelas kelihatan apabila terdapat pelbagai iklan misalnya syampu rambut yang hanya dipaparkan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin di sebuah pasar raya hyper di Shah Alam sebuah bandar raya yang hampir 80 peratus penghuninya orang Melayu. Iklan itu kini sudah pun diturunkan, setelah mendapat teguran ramai.

Selain itu beberapa 'flyer' menghebahkan pembukaan taman perumahan baru berhampiran Shah Alam diedarkan di sekitar kawasan perumahan di mana lebih daripada 90 peratus penghuninya orang Melayu, hanya dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

Apakah kesimpulan yang boleh kita buat daripada perlakuan begini? Ia mungkin dianggap remeh oleh sesetengah orang tetapi hakikatnya ia menunjukkan bagaimana syarikat atau orang yang mengendalikan syarikat itu tidak langsung menghormati bahasa kebangsaan. Tetapi mereka ini masih tetap pertahankan diri sebagai rakyat setia kepada negara? Bagaimanakah hal begini boleh berlaku dan terus saja dibiarkan?

Agak menghairankan juga bagaimana rakyat yang dibesarkan dalam sistem persekolahan yang ada masih tidak boleh bercakap Melayu dengan baik. Ini mungkin kerana wujudnya sekolah pelbagai aliran, iaitu sekolah kebangsaan (menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar) dan sekolah jenis kebangsaan � yang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar.

Sepatutnya, sekolah jenis kebangsaan ini walaupun menggunakan Mandarin atau Tamil sebagai bahasa pengantar harus juga memberi tumpuan sewajarnya kepada bahasa Melayu supaya semua lulusannya boleh faham dan bertutur bahasa kebangsaan dengan baik.

Malangnya pengajaran bahasa Melayu di sekolah itu hanya sekadar untuk muridnya boleh lulus mata pelajaran itu dalam peperiksaan saja bukannya untuk penggunaan dan berinteraksi.

Dalam pada itu sokongan pelbagai pertubuhan dan guild Cina terhadap SJKC amat jitu sekali hinggakan sekolah berkenaan mempunyai peralatan dan kemudahan lebih baik dari SK kerana hampir keseluruhan pekedai dan perniagaan Cina di sesebuah bandar itu akan menghulurkan segala bantuan untuk sekolah SJKC di tempat mereka.

Selagi SK tidak menjadi sekolah pilihan oleh semua ibu bapa, selagi itulah usaha untuk memupuk perpaduan kaum akan menghadapi rintangan. Maka itulah sejak awal tahun ini seorang blogger 'Kijang Mas' melalui blognya 'Demi Negara' memulakan 'Kempen Satu Sekolah untuk Semua' dengan menyatakan bahawa sekolah vernacular adalah punca utama ketidakserasian dan ketegangan kaum dalam negara.

Kempennya itu disertakan dengan suatu pungutan tandatangan orang ramai. Beliau juga mendapat sokongan seramai 99 blogger sehingga hari ini terhadap kempen itu. Sebuah laman citra SSS juga diwujudkan Isnin lalu sempena Hari Kemerdekaan untuk mengetengahkan inisiatif itu.

Agak membuka mata juga apabila seorang lagi blogger Shamsul Yunos melalui blognya 'Marahku' mendapat sokongan 430 orang (83 peratus) daripada 513 pembacanya yang mengambil bahagian dalam undiannya sehingga hari ini terhadap inisiatif mewujudkan satu sekolah untuk semua rakyat itu.

- BERITA HARIAN

Pelajar Indonesia serang Kedutaan Malaysia dengan telur busuk

Selepas serangan penggodam besar-besaran ke atas lebih 120 laman web Malaysia, berpuluh pelajar menyerbu Kedutaan Malaysia di sini semalam dan melemparnya dengan telur busuk dan cuba menaikkan bendera Indonesia.

Perhimpunan di luar kedutaan di Jalan Rasuna Said, Jakarta Selatan dikawal ketat polis, namun tiada penunjuk perasaan dihalang atau ditahan.

Bagaimanapun, polis campur tangan apabila seorang pelajar cuba memanjat pagar kedutaan untuk memasang bendera Indonesia.

Polis dan pelajar terbabit dalam adegan tarik menarik cuba untuk mendapatkan bendera itu, namun polis akhirnya berlembut dan pelajar berjaya memasang bendera di pagar kedutaan.

Seorang penunjuk perasaan memberitahu Metro TV bahawa perhimpunan itu adalah tindakan membantah kontroversi terbaru membabitkan penggunaan tarian tradisi Bali dalam promosi pelancongan Malaysia.

Hubungan panas sedia ada antara negara jiran itu mencapai ketegangan baru minggu lalu selepas dakwaan bahawa lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, ditiru daripada lagu Indonesia, Terang Bulan.

Dakwaan bahawa tarian Bali digunakan untuk mempromosi satu rancangan televisyen mengenai Malaysia walaupun sudah dijelaskan tidak membabitkan agensi kerajaan Malaysia, sebaliknya pihak ketiga masih menjadi modal untuk memarahi Malaysia.

- Agensi

Gempa bumi landa selatan Indonesia


Satu gempa bumi besar melanda selatan Indonesia semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh kerana dihempap batu atau bangunan runtuh selain mencetuskan huru-hara apabila beribu-ribu pekerja cuba keluar dari pejabat untuk menyelamatkan diri.

Hospital segera dipenuhi mangsa yang cedera selepas gegaran 7.0 pada skala Richter melanda kawasan pantai pulau Jawa yang juga menjadi tempat tinggal kebanyakan daripada 235 juta penduduk Indonesia.

Pegawai menjangka angka kematian dan kecederaan akan meningkat. Pegawai Kementerian Hal Ehwal Sosial, Mardi berkata, lebih 700 rumah dan bangunan rosak teruk.

"Gempa itu menyebabkan rumah saya bergegar hampir satu minit. Saya segera membawa anak saya keluar. Ramai orang yang panik, wanita menjerit-jerit dan kanak-kanak menangis," kata Heni Maryani, penduduk bandar Sukabumi.

Pegawai bencana berkata, kediaman dan bangunan runtuh di tiga kawasan padat penduduk di Jawa Barat. Seramai 30 orang terperangkap di bawah runtuhan batu di satu perkampungan, lapor agensi berita Antara.

Satu amaran tsunami dikeluarkan selepas gempa itu melanda pada 2.55 petang waktu tempatan (3.55 petang di Malaysia) sebelum ditarik balik sejam kemudian.

Muharaham Ardan, seorang pensyarah universiti di bandar Tasikmalaya, kira-kira 115 kilometer dari pusat gempa, berkata gempa kali ini adalah yang paling kuat dialaminya.

"Kami semua lari dalam keadaan panik. Kami hanya berkaki ayam saja. Jiran lain menjerit 'keluar dari rumah'," katanya.

Laporan awal memetik jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono sebagai melaporkan 15 kematian di daerah Cianjur, Tasikmalaya dan Sukabumi.

Agensi berita Antara melaporkan, 12 keluarga atau 30 orang terperangkap di bawah runtuhan rumah akibat tanah runtuh selepas gegaran melanda di perkampungan Rawa Hideung.

Enam mayat sudah dikeluarkan tetapi nasib ramai lagi belum diketahui, kata seorang penduduk, Agus Sobandi.

"Ramai mangsa adalah suri rumah dan kanak-kanak yang bermain Play Station di rumah berkenaan," kata Entang Kurniawan, seorang penduduk memberitahu televisyen TVOne.

Seorang lagi penduduk, Fifi, berkata dia melihat 20 rumah runtuh di perkampungan Pameungpek.

Gegaran gempa itu dirasai hampir separuh pulau Jawa. Di ibu negara, Jakarta, 190 kilometer dari pusat gempa, pekerja pejabat yang panik keluar dari pejabat.

Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya berkata, sekurang-kurangnya 27 orang dimasukkan ke hospital di Jakarta untuk rawatan dan bilangannya dijangka meningkat.

- AP

Widget halal pertama di dunia

Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi perkhidmatan piawaian produk halal, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) telah merangka pelbagai perancangan strategik untuk jangka masa beberapa tahun akan datang.

Antaranya seperti menjalankan penambahbaikan dalam proses pensijilan dan penyampaian perkhidmatan pelanggan, mempromosikan latihan dan perkhidmatan konsultan untuk sijil halal bagi pasaran antarabangsa serta menubuhkan Pusat Sokongan Halal Global (GHSC).

Menerusi GHSC, perkhidmatan sokongan berkaitan maklumat industri halal akan disampaikan kepada pengguna melalui beberapa saluran seperti laman web, telefon dan juga secara fizikal.

Sebagai pusat yang berperanan menyebarkan informasi kepada umum, GHSC melalui Bahagian Pengurusan Pusat Panggilan akan bertindak memberi respons secara terus kepada setiap pertanyaan pelanggan yang dibuat melalui panggilan telefon.

Menambahkan pilihan medium penyampaian maklumat itu, GHSC dengan kerjasama Jabatan Teknologi Perniagaan korporatnya baru-baru ini telah berjaya mencipta widget direktori halal yang pertama di dunia.

Menurut Naib Presiden Perkhidmatan Korporat HDC, Miti Nurbaya Zainudin, pengenalan laman widget berkenaan bertujuan untuk membantu pengusaha industri halal dan orang ramai mencari produk serta perkhidmatan halal yang sah

''Widget direktori halal HDC ini bakal membekalkan maklumat tertentu mengenai produk, premis dan perkhidmatan halal dengan mudah dan pantas kepada pengguna.

''Ia dibangunkan sebagai medium promosi dan talian pemasaran di mana segala maklumat mengenai produk halal ini diperolehi secara terus daripada pangkalan data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),'' katanya pada taklimat media di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Setakat ini, terdapat lebih kurang 1,400 syarikat dan lebih 50,000 produk yang telah menerima sijil halal Jakim tersenarai dalam pangkalan data yang akan dikemas kini setiap dua minggu.

Bukan setakat itu, widget tersebut turut dilengkapi dengan informasi berkaitan syarikat-syarikat antarabangsa yang telah menerima sijil halal daripada Malaysia.

Sementara itu, Pengurus Pusat Maklumat Halal GHDC, Rohaizad Hassan memberitahu, untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu memasukkan kata kunci berkaitan produk yang ingin dicari berserta negeri perusahaan produk berkenaan.

"Widget ini kemudiannya akan memaparkan kesemua maklumat tentang syarikat yang dicari secara terperinci seperti alamat dan nombor telefon,'' katanya.

Sesuatu yang agak menarik, selain capaian widget menerusi portal HDC di www.hdcglobal.com, ia juga didatangkan dalam format sedia guna untuk dilampirkan pada laman blog atau laman web peribadi atau syarikat.

Bagi tujuan itu, kod pengaturcaraan widget HDC tersebut boleh diperolehi dengan mudah daripada laman web yang sama secara percuma.

Akses berkenaan secara tidak langsung dapat memberi kemudahan kepada orang awam mendapatkan maklumat produk halal Malaysia di samping mempromosikan integriti pensijilan halal di kalangan pengusaha-pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu mereka mendapatkan akses ke pasaran halal global.

''Melaluinya widget ini juga, ia dapat mendidik masyarakat untuk menggunakan produk-produk halal yang disahkan serta berkunjung ke premis yang didaftarkan di dalam direktori Halal Malaysia,'' jelasnya.

Dalam pada itu, pihak HDC juga sedang meneroka idea dan potensi untuk membolehkan widget berkenaan di masukkan ke dalam laman web sosial seperti Facebook selain dijadikan sebagai aplikasi di dalam telefon bimbit.

Dengan pengenalan tersebut, ia memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat dalam industri halal kerana mereka tidak perlu lagi melabur wang untuk memulakan atau membina pangkalan data mereka sendiri.

- UTUSAN

Recent Posts