Jumaat, Ogos 14, 2009

Dedah lokasi panas H1N1

Kementerian Kesihatan diminta mendedahkan lokasi-lokasi panas kes selesema babi atau influenza A (H1N1) terutama kawasan yang membabitkan kematian atau mempunyai kadar jangkitan tinggi supaya orang ramai lebih berwaspada.

Melalui pendedahan itu, orang ramai boleh mengelakkan kawasan tersebut sama seperti larangan yang dikenakan oleh kerajaan terhadap lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak itu sebelum ini.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, kerajaan perlu bersikap lebih terbuka dengan mendedahkan lokasi-lokasi yang mencatatkan jumlah kes jangkitan dan kematian tinggi akibat wabak H1N1.

“Maklumat mengenai lokasi-lokasi tersebut akan memberi mesej dan panduan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada selain meningkatkan tahap berjaga-jaga apabila berada di kawasan tersebut.

“Sebagai contoh, jika seseorang mahu mengunjungi mana-mana kawasan yang telah diklasifikasikan sebagai berisiko H1N1, maka mereka secara sendirinya akan meningkatkan tahap berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Muhammad Shaani, kaedah melabelkan lokasi-lokasi panas H1N1 perlu dilakukan mengikut kadar jangkitan dan kes kematian akibat wabak itu di sesuatu kawasan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman juga bersetuju bahawa Kementerian Kesihatan perlu memaklumkan kepada orang ramai tentang tempat-tempat yang berisiko tinggi berlaku penularan wabak H1N1.

“Kementerian tidak perlu mendedahkan maklumat lokasi panas tersebut secara terperinci seperti kawasan perumahan atau kampung tertentu sebaliknya melabelkan lokasi panas mengikut negeri, bahagian atau daerah,” katanya.

Selain itu, pihak PPIM juga mencadangkan kementerian membeli sejenis alat pengesan virus H1N1 yang dikatakan dijual di luar negara secara pukal untuk dibekalkan kepada pusat perubatan termasuk klinik-klinik swasta tempatan.

“Dengan adanya alat itu, lebih ramai pegawai perubatan dapat melakukan kerja-kerja pengesanan virus H1N1 di kalangan pesakit mereka dengan cepat dan praktikal dalam usaha menangani penularan wabak H1N1,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, langkah mendedahkan lokasi panas H1N1 itu perlu memandangkan kes kematian akibat wabak itu di negara ini semakin meningkat sehingga mencecah lebih 50 orang setakat ini.

“Kawasan atau daerah di negeri yang mencatatkan kes H1N1 tinggi perlu didedahkan kepada orang ramai sama seperti kaedah yang digunakan kerajaan dalam menangani wabak denggi selama ini,” katanya.

Jacob berkata, tahap keseriusan H1N1 dalam kawasan panas itu boleh diklasifikasikan menggunakan warna seperti hitam untuk lokasi berisiko tinggi, putih berisiko sederhana dan merah berisiko rendah.

“Keadaan ini akan menyebabkan masyarakat atau institusi di sekitar lokasi itu lebih sedar akan bahaya wabak H1N1 sekali gus mengambil langkah lebih ketat untuk mengelak penularan wabak itu seperti membatalkan semua majlis terbuka,” ujarnya.

Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPM), M. Subramaniam berkata, kerajaan perlu mendedahkan lokasi panas H1N1 di seluruh negara agar masyarakat boleh mengambil langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya.

“Katakanlah kawasan panas itu terletak di Alor Setar, Johor Bahru atau Pulau Pinang, maka hospital-hospital yang terbabit di sana boleh bersiap sedia dari segi rawatan antivirus dan penutup-penutup mulut dan hidung yang mencukupi,” jelas beliau.

Tambahnya, PPPM mahu Kementerian Kesihatan berbuat demikian bukan bertujuan untuk menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat sebaliknya hendak meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap wabak H1N1.

“Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan kekerapan hebahan maklumat berkaitan H1N1 di media massa kerana kita dilihat masih ketinggalan berbanding negara-negara luar dalam aspek ini,” ujar beliau.

- UTUSAN

Pelakon & pelawak Param meninggal dunia


Pelakon dan pelawak veteran, Param Periaphanby, 55, telah meninggal dunia pada pukul 6 pagi tadi akibat sakit jantung di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam nada sayu dan sedih, kakaknya, Sarah menceritakan tentang saat-saat bagaimana Param pergi.

“Dia meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital dan waktu itu dia sesak nafas.

“Dia akan disemadikan pada Ahad ini di Hindu Krematorium, Cheras,” kata Sarah yang sebelum ini menjaga Param.

Sarah juga terkilan kerana tidak sempat menghantar Param ke hospital setelah mendiang mengadu sesak nafas pada awal pagi tadi.

“Saya berasa sangat terkejut apabila dia meninggal setelah mengadu sakit. Waktu itu, kami tergesa-gesa menghantarnya ke hospital.

“Sebelum ini, dia dijaga oleh keluarga kami kerana dia tidak berkahwin dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda.

“Dia sangat kuat semangat walaupun keadaan kesihatannya tidak baik,” ujar Sarah dalam nada teresak-esak yang mengalu-alukan kedatangan tetamu untuk melawat mendiang Param di kediaman mereka di 7348, Jalan Ruby, Taman Setia, Gombak.

Param begitu terkenal di zaman 70an dan awal 80an dan banyak berlakon filem-filem Melayu dan drama-drama TV waktu itu.

Param kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Penyamun Tarbus sekitar tahun 80an. Filem-filem lain yang turut dilakonkannya ialah Si Luncai, Si Badul dan Anak Tunggal.

Mendiang turut dikenali menerusi siri Hang Setia yang pernah disiarkan di RTM pada tahun 80an.

Pelawak Param pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana menghidap penyakit jantung koronori dan telah menjalani operasi pintasan jantung tidak lama dulu.

Nama sebenar pelakon komedi veteran yang berasal dari Negeri Sembilan ini ialah P. Paramasivam.

Beliau bergiat cergas bersama pelawak komedi seangkatan dengannya seperti A.R Badul, Wazata Zain, Allahyarhamah Yusni Jaafar dan R. Jaafar.

Param adalah anak bongsu dari lima beradik, yang kesemuanya perempuan.

Mendiang Param memulakan karier lakonannya pada tahun 1976 sewaktu bekerja di Tampin.

- MSTAR

Undian KDN: Pro-ISA menang


Selepas dilanda kontroversi, akhirnya undian portal berita Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang berakhir tengah malam tadi, melegakan mereka yang pro-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sebanyak 58 peratus atau 23,850 respons mengundi menyokong ISA "diteruskan dengan semakan" seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hanya 42 peratus atau 17,399 respons mahu akta kontroversi itu "dimansuhkan" bagi soalan keempat "Apa yang anda mahu dari ISA?" (lihat carta pertama), satu daripada dua soalan yang didakwa diseleweng akibat lonjakan mendadak dan luar biasa kelmarin.

Pada jam 4 petang 10 Ogos, hanya 1,333 respons mahu ISA disemak semula tetapi melonjak 1,069 peratus kepada 15,590 respons pada 1.45 petang semalam (lihat carta kedua).

Lonjakan luar biasa itu, berbanding hari-hari sebelumnya, mula dikesan tengah hari Isnin lalu - justeru mula menjadi subjek pertikaian sekumpulan pengguna internet di ruang diskusi Facebook.

Bagi soalan pertama, pada 10 Ogos, hanya 1,499 respons memilih jawapan ISA sebagai "undang-undang pencegahan" tetapi naik sehingga 887 peratus 14,807 respons.

Jumlah respons pula meningkat mendadak sebanyak 16,171 – dari 13,644 kepada 29,815 respons.

Ketua Komunikasi Korporat KDN, Jamilah Taib, juga editor portal berita tersebut berkata, kementerian tidak menyeleweng data tersebut seperti didakwa.

Keputusan muktamad bagi soalan pertama "Pada pandangan anda, ISA adalah ...", seperti di arkib siri undian di portal KDN itu - menunjukkan hanya 42 peratus atau 16,089 respons yang menyifatkan akta itu "kejam".

Sebanyak 57 peratus daripada 37,944 respons menganggapnya "undang-undang pencegahan."

- MALAYSIAKINI

Lorong 3 Jambatan Pulau Pinang dibuka

Kira-kira 120,000 pengguna Jambatan Pulau Pinang akan terus menikmati kadar tol sama walaupun lorong ketiga jambatan itu dibuka kepada orang ramai, mulai semalam.

Kadar tol yang dikenakan sekarang adalah kadar sama dikuatkuasakan sejak jambatan itu dibuka kira-kira 24 tahun lalu. Kadar tol jambatan itu sepatutnya sudah tiga kali dinaikkan.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor ketika merasmikan lorong ketiga kedua-dua laluan di Pejabat Wilayah Utara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di sini, semalam.

"Kerajaan tidak berhasrat menaikkan kadar tol sehingga kajian menyeluruh mengenai tol yang dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) selesai, yang dijangkakan tidak lama lagi," katanya.

Pada majlis itu, Shaziman turut merasmikan bangunan baru pejabat Wilayah Utara LLM yang dibina dengan kos RM6.8 juta. Turut hadir, Pengerusi Penang Bridge Sdn Bhd, Datuk Dr Norraesah Mohamad.

Jambatan Pulau Pinang dengan dua lorong dibina pada 1982 dengan kos RM800 juta dan dibuka secara rasmi pada 14 September 1985.

Bagaimanapun, berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakannya akibat pembangunan pesat negara dan industri automotif Malaysia, bilangan kenderaan menggunakan jambatan itu meningkat berlipat ganda sehingga mengakibatkan kesesakan teruk terutama pada waktu puncak.

Sementara itu, Shaziman turut meminta LLM mengkaji kesesuaian pembinaan laluan tanpa henti bagi pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan dari utara ke selatan atau sebaliknya tanpa perlu melalui Juru dan Seberang Jaya di Butterworth.

- BERITA HARIAN

Nik Aziz izin penceramah Pas guna kata-kata keras

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, membenarkan penceramah parti itu mengeluarkan kata-kata keras terhadap lawan dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang walaupun berlangsung ketika Ramadan.

Namun, Nik Abdul Aziz mengingatkan ahli Pas yang akan terbabit dalam ceramah pada pilihan raya kecil itu supaya hanya melemparkan kata-kata itu kepada perkara berkaitan dasar saja, bukannya menyentuh hal peribadi pihak lawan.

"Dalam kempen pilihan raya itu nanti, kita boleh melakukan serangan secara dasar saja, tetapi jangan sampai berlaku serangan peribadi. Serangan terhadap dasar lawan adalah kemestian," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah jambatan Kampung Sungai Sat, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada Pas akan mengeluarkan garis panduan terhadap ahlinya supaya tidak berkempen terlalu keras dalam pilihan raya kecil itu bermula selepas penamaan calon, 17 Ogos ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Ramadan adalah bulan kerja, bukannya bulan untuk tidur, malah umat Islam pernah berdepan Perang Badar ketika berpuasa, justeru Pas harus meneruskan kempennya pada bulan puasa ini.

"Tidak jadi masalah untuk berkempen ketika Ramadan kerana amalannya akan (mendapat pahala) berlipat ganda. Pas akan meneruskan kempennya pada bulan itu kerana kita boleh pahala nanti, perut lapar tidak mengapa," katanya.

Beliau juga berharap kejadian kecoh yang berlaku pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai tidak akan berulang pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir nanti.

"Saya berharap penyokong parti bertanding nanti, jangan menimbulkan masalah kerana pengundi yang akan membuat pemilihan nanti," katanya.

Diminta mengulas kenyataannya kelmarin yang mengatakan Pas tidak bantah DAP menghina Islam, Nik Aziz berkata, bukannya masalah tidak salah, ia sebenarnya tidak pelik.

"Pada masa itu (kelmarin), boleh jadi saya sebut tidak salah, ia sebenarnya tidak pelik kerana memang mereka tidak tahu Islam.

"Oleh itu kita (Islam) harus memberi ruang untuk berdakwah kepada kaum lain seperti Cina dan India, bukannya berdakwah sesama Islam, ini dakwah salah," katanya.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap agama rasmi Persekutuan itu mungkin tidak mendalam.

- BERITA HARIAN

A(H1N1): Tujuh lagi kematian dicatatkan, jumlah kematian kini 51

Tujuh lagi kematian berkaitan dengan Influenza A(H1N1) disahkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 51 orang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata mereka adalah dari kalangan kumpulan berisiko tinggi sama ada penghidap darah tinggi, penyakit jantung, imuniti yang rendah dan penyakit kongenital.

Katanya mereka termasuk pesakit berumur antara empat bulan hingga 92 tahun.

"Pada masa ini, terdapat 51 kes di wad, 29 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 16 daripada 29 dalam ICU adalah kumpulan berisiko tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan persidangan Persatuan Bagi Kajian Obesiti Malaysia (MASO) di sini hari ini.

Liow berkata pesakit dengan simptom penyakit serupa Influenza (ILI) dan masalah jantung, mereka yang demam kuat secara berterusan lebih dua hari dan sesiapa yang positif dengan Influenza A atau B melalui ujian pantas akan diberikan rawatan antiviral dengan segera.

Beliau berkata bagi kumpulan ini, mereka tidak perlu menunggu pengesahan daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) atau Hospital Sungai Buloh.

"Saya telah arahkan semua hospital dan klinik untuk merawat kumpulan pesakit ini dengan segera," katanya.

Liow turut meminta agar doktor memberi cuti sakit (MC) selama tujuh hari kepada mereka yang didapati mengalami selesema supaya mereka boleh meneruskan rawatan di rumah selain tidak mendedahkan diri kepada orang ramai.

Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya rakyat di negara ini tidak panik kerana daripada pesakit yang menghidapi penyakit H1N1 itu, 98 peratus telah disahkan sihat.

Katanya, apa yang dikhuatiri adalah kumpulan yang berisiko tinggi yang memerlukan rawatan segera sekiranya menunjukkan simptomsimptom dijangkiti H1N1.

"Sekiranya semua bertanggungjawab mengikut arahan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan, maka kita yakin dapat membendung wabak ini dan ia tidak akan merebak lagi," katanya.

Sementara itu, Liow berkata situasi di negara ini ekoran wabak H1N1 masih belum memerlukan kerajaan mengeluarkan perintah darurat kesihatan walaupun berada di peringkat serius ekoran peningkatan kadar kematian.

"Untuk mengisytiharkan darurat kesihatan saya perlu buat kuarantin keseluruhan komuniti di mana kerajaan perlu menyekat pergerakan orang secara keseluruhan. Kita belum sampai ke tahap itu," katanya.

Mengenai cadangan mengawal penutupan sekolah, beliau berkata Kementerian Kesihatan meminta supaya pihak sekolah menjalankan pengawasan rapi khususnya terhadap muridmurid yang tidak sihat supaya diarahkan pulang dan berehat di rumah.

Katanya, ibu bapa juga perlu bekerjasama memastikan anakanak mereka tidak pergi ke sekolah sekiranya menunjukkan tandatanda gejala H1N1 dan mendapatkan rawatan segera daripada doktor.

"Kita tutup sekolah seminggu, lepas itu kita buka semula. Kemudian ada lagi kes H1N1 dan arahan tutup akan dikeluarkan. Ini bukan caranya kita hendak menguruskan wabak ini kerana ia bukan hanya merebak di sekolahsekolah sebaliknya di kawasan komuniti, pasar malam atau pasar raya," katanya.

- BERNAMA

Jangan meniru seperti Yahudi

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah saw. bersabda, maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari `Asyura' dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya." (Ahmad) Huraian

Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (sembilan Muharram) itu adalah untuk :i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (sepuluh Muharram) sahaja.

ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.

iii. Bagi maksud menyambung puasa hari `Asyura' dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat.

Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari `Asyura'. (lihat I`anah Ath-Thalibin 2/301) Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari `Asyura' tanpa berpuasa pada hari Tasu`a', supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram.

Bahkan Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kemahiran urus kewangan penting

Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN
Felo Kanan, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Media baru-baru ini melaporkan, ramai penjawat awam berhutang untuk membeli rumah dan kenderaan. Bagaimanapun penulis pasti ia bukan masalah penjawat awam sahaja.

Berhutang untuk membeli rumah dan kenderaan adalah perkara lazim kerana harga kedua-duanya tinggi dan tidak termampu untuk dibeli secara tunai. Berhutang untuk memiliki rumah dan kenderaan dianggap wajar kerana ia merupakan keperluan hidup.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda: Di antara kebahagiaan hidup seseorang itu ialah mempunyai isteri yang baik serta kediaman dan kenderaan yang baik.

Selain hutang rumah dan kenderaan, ramai yang turut menanggung hutang peribadi daripada koperasi atau bank-bank perdagangan.

Sesetengah mereka pula menanggung hutang tidak formal apabila meminjam daripada ahli keluarga mahupun rakan karib. Itu belum dikira hutang membeli kain sutera yang bukan sahaja mahal, tetapi memerlukan kos penjagaan yang tinggi.

Ada juga yang berhutang untuk membeli pinggan-mangkuk berjenama yang hanya dipakai dua kali setahun ketika hari raya.

Sememangnya ramai yang suka berhutang sedangkan Uqbah bin Amir meriwayatkan Nabi Muhammad bersabda: Janganlah engkau takut-takuti jiwa setelah ia tenteram." Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah itu? Baginda menjawab: "Hutang".

Hadis ini menjelaskan, berhutang itu tidak digalakkan oleh Islam. Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang dilarang. Sebaliknya dibenarkan dalam keadaan tertentu.

Jika tidak, tidak mungkin diturunkan wahyu mengenai perkara-perkara yang mesti dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam sesuatu urusan hutang seperti yang dijelaskan dengan panjang lebar dalam Surah al-Baqarah, ayat 282-283.

Secara ringkas dalam kedua-dua ayat ini, Allah memerintahkan agar mereka yang terlibat dalam hutang: (a) menulis butiran hutang seperti jumlah, tempoh bayaran, tarikh pinjaman, tarikh pinjaman akan dilangsaikan dan seumpamanya; dan, (b) mewujudkan saksi bagi mengesahkan urusan hutang ini dijalankan dengan perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Perincian yang diberikan oleh kedua-dua ayat ini juga menunjukkan bahawa mereka yang berhutang, wajib membayar hutang tersebut. Malah, jika orang yang berhutang meninggal dunia sebelum melangsaikan hutang, harta peninggalannya hendaklah digunakan untuk melunaskan hutang itu sebelum diagihkan kepada waris-warisnya.

Kewajipan membayar hutang ditegaskan oleh hadis: Diampunkan semua dosa bagi orang yang mati syahid kecuali hutangnya kepada manusia. (Hadis riwayat Muslim).

Islam memberikan panduan lengkap berkenaan hutang. Namun, berapa ramaikah umat Islam yang mengambil berat tentang hal ini? Berapa ramaikah yang tahu Islam tidak menggalakkan kita berhutang?

Berapa ramai pula yang tahu bahawa butiran hutang perlu dicatatkan dan perlunya saksi dalam setiap urusan hutang, bukan hanya ketika berhutang dengan bank, tetapi juga dengan saudara-mara dan kawan-kawan? Berapa ramai pula yang berhutang sesuka hati tanpa memikirkan apakah tujuan ia berhutang itu dibenarkan oleh Islam? Berapa ramai pula yang tahu bahawa membayar hutang itu wajib?

Dalam tinjauan penulis mengenai tingkah laku berhutang masyarakat Islam di kalangan 130 responden, didapati majoriti responden berpendapat pinjaman peribadi patut digalakkan walaupun Islam tidak menggalakkan hutang.

Selain itu, walaupun terdapat perintah agar butiran hutang dicatatkan, majoriti responden tidak berbuat demikian apabila melibatkan saudara mara dan rakan handai.

Majoriti responden membuat pinjaman peribadi untuk membuat bayaran pendahuluan membeli kereta, membayar hutang-hutang lain, membiayai pendidikan dan membuat pelaburan.

Jelas bahawa masyarakat kita ada masalah dalam perkara hutang. Sebagai umat yang sikap serta tingkah lakunya dipandu oleh syariat, pendirian Islam tentang hutang perlu disebarluaskan.

Umat Islam perlu tahu tentang pendirian Islam terhadap hutang, keadaan-keadaan yang dibenarkan berhutang, perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam urusan hutang dan kewajipan membayar hutang.

Ahli masyarakat juga perlu dididik dengan kemahiran menguruskan wang agar ia digunakan secara berhemah. Menyeru mereka untuk berbelanja secara berhemah berulangkali adalah tidak memadai seandainya mereka tidak diperkasakan dengan kemahiran yang diperlukan untuk melakukannya.

Bagi majikan yang serius mahu mengelakkan pekerjanya daripada terlibat dengan hutang yang mampu mengganggu tumpuan kerja, dua langkah berikut boleh diambil.

Pertama, bagi pekerja muda yang baru melapor diri, majikan boleh menyediakan kursus kemahiran pengurusan kewangan agar mereka mendapat panduan mengenai hal ini. Kedua, untuk pekerja lain, majikan boleh memantau tabiat berhutang mereka melalui slip gaji yang diedarkan pada setiap bulan.

Bahagian kewangan boleh diarahkan untuk mengenal pasti para pekerja yang sebahagian besar gajinya dipotong untuk membayar hutang. Pekerja-pekerja ini perlu diberi kaunseling kewangan bagi mengelakkan mereka daripada terus terperangkap dengan hutang.

Pastinya, peratusan tertentu daripada gaji yang digunakan untuk membayar hutang perlu dikenal pasti lebih awal agar tindakan intervensi ini tidak terlalu lewat diberikan.

Tinjauan Blog - Antara kenyataan Nik Aziz dan bahaya H1N1

Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung orang bukan Islam boleh menghina agama Islam mendapat reaksi negatif kebanyakan penulis termasuk penulis pro-pembangkang.

Rata-rata mengecam kenyataan tersebut walaupun ada beberapa penulis cuba mempertahankan pemimpin mereka.

Pada masa yang sama, bahaya penyebaran wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) di negara ini turut mendapat perhatian.

Kamarulzaman Kamdias dalam Kepal Nasi Kepal Beras (kkamdias.blogspot.com) menulis, kenyataan Nik Aziz berhubung isu hina Islam itu dianggap sebagai usaha beliau untuk terus berbaik dengan DAP.

Tulis beliau, Menteri Besar Kelantan itu sepatutnya lebih sanggup bertoleransi dengan orang Islam yang jahil tentang agamanya berbanding mereka yang bukan Islam.

''Kenapa Tok Guru (Nik Aziz) tidak mahu bertolak ansur langsung dengan orang Islam yang Tok Guru cakap jahil ini? Tindakan ini seolah-olah Tok Guru sudah cap orang jahil ini ahli neraka kekal.

''Kenapa Tok Guru menghukum lebih awal dari Tuhan Tok Guru dalam hal jatuh hukum ini?'' tulis beliau.

Penulis blog Penarik Beca (penarikbeca.blogspot.com) pula menulis, jika Nik Aziz benar-benar membuat kenyataan sedemikian, beliau amat marah dengan pemimpin Pas itu.

''Apabila Islam dihina, tak kira oleh sesiapa pun, kita wajib membantah. Kita bantah akhbar Denmark dan NST (New Straits Times) menyiarkan kartun menghina Islam.

''Kita tak (boleh) kata kita tidak membantah tindakan akhbar Jyllands-Posten menghina Islam kerana akhbar itu bukan akhbar Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam,'' tulis beliau.

Penulis ini berpendapat, kefahaman yang tidak mendalam terhadap Islam bukan merupakan lesen untuk mereka menghina Islam.

Mengenai bahaya H1N1, Jailani Harun dalam Just Read (justread-whatever.blogspot.com) berpendapat, kerajaan perlu mengumumkan H1N1 sebagai wabak memandangkan jumlah kematian akibat virus itu terus meningkat kepada lebih 50 orang.

''Kerajaan perlu mengumumkan selesema babi atau H1N1 sebagai wabak. Ia lebih buruk daripada yang dibayangkan.

''Tanpa usaha yang komprehensif, ia mungkin akan sukar dikawal terutama apabila orang ramai mula panik dan mula menyerbu hospital kerajaan dan swasta serta klinik-klinik,'' tulis beliau.

Tulis beliau, sehingga kini pihak kementerian belum memberikan garis panduan bagaimana bayaran oleh pihak hospital dan klinik swasta untuk mengurangkan beban pesakit yang menerima rawatan terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Arif Omar dalam Penghuni Gua (arifomar.blogspot.com) pula mahukan kerajaan mengisytiharkan H1N1 sebagai krisis kesihatan.

''Berapa angka tunjuk boleh dikatakan satu krisis jika 51 kematian masih bukan satu krisis.

''Adakah faktor ekonomi diutamakan berbanding nyawa rakyat Malaysia?,'' tulis beliau.

Penulis blog Mesin Taip Buruk (mesintaipburuk.blogspot.com) dalam tulisannya menyeru seluruh umat Islam melakukan sembahyang hajat agar negara dijauhi penyakit berjangkit tersebut.

Tulisnya, sebagai orang awam tidak banyak dapat dilakukan untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit tersebut melainkan langkah-langkah yang minimum seperti memakai penutup mulut dan hidung serta mengelak ke tempat-tempat awam.

''Cadangan mengadakan sembahyang hajat beramai-ramai patut disambut oleh semua pihak baik dari pihak Pas mahupun UMNO.

''Aku harap untuk tempoh sedetik ini marilah kita lupakan soal perbalahan politik sebaliknya sama-sama memikirkan masalah H1N1 yang kini bukan lagi menjadi masalah pihak-pihak tertentu tetapi melibatkan semua rakyat,'' tulisnya.

- UTUSAN

Khamis, Ogos 13, 2009

Belajar perubatan di Mesir

Cabaran yang ditempuh ketika menguruskan hal pengajian anak-anaknya ke luar negara daripada mencari universiti yang sesuai hingga kepada pembiayaan, telah membuka jalan kepada Norizah Ali untuk menubuhkan syarikat bagi membantu ibu bapa yang menghadapi masalah sama.

Beliau menggunakan segala pengalaman dan pengetahuan termasuk ketika mengusahakan taman asuhan kanak-kanak (taska) dan kemudian membuka sekolah agama swasta, untuk mengasaskan QAS Management (M) Sdn. Bhd., (QAS).

Syarikat tersebut ditubuhkan bertujuan memberi perkhidmatan bagi membantu pelajar tempatan meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di universiti-universiti terpilih terutama di Indonesia dan Mesir.

"Idea menubuhkan QAS timbul selepas saya menghadapi pelbagai rintangan bagi mencari tempat untuk anak saya meneruskan pengajian dalam bidang perubatan yang diminati. Akhirnya dia berjaya mendapat tempat di Universiti Tonto di Mesir.

"Berdasarkan pemerhatian saya ketika itu, perubatan merupakan bidang yang amat tinggi permintaannya tetapi tempat yang ditawarkan di universiti-universiti tempatan amat terhad.

"Jadi secara tidak langsung sebenarnya kami membantu merealisasikan cita-cita rakyat Malaysia yang berhasrat menjadi doktor dengan mendapatkan tempat di universiti di luar negara," katanya.

QAS yang beroperasi di 14-2 Jalan USJ 9/5R Subang Business Centre , Subang Jaya, Selangor, kini giat dalam memberi perkhidmatan pengurusan dan penempatan pelajar dalam bidang perubatan khususnya di Mesir

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaini Idris berkata, universiti-universiti tempatan tidak mampu untuk menampung permintaan dalam melatih doktor-doktor perubatan.

Malah berdasarkan perangkaan terbaru kerajaan hanya mampu menyediakan 53 peratus doktor di hospital kerajaan, manakala dalam bidang pergigian nisbahnya lebih kecil iaitu seorang doktor gigi untuk 800 pesakit.

Lantaran daripada kekurangan itu, QAS mengambil inisiatif untuk membantu kerajaan dengan menghantar pelajar perubatan ke Mesir dengan pembiayaan ibu bapa masing-masing.

Kata Zaini lagi, perkhidmatan yang disediakan hanya memerlukan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia dengan gred B3 dalam mata pelajaran Sains dan Matematik tanpa melalui kursus asasi atau prauniversiti.

''Sementara syarat lepasan matrikulasi hanya diperlukan untuk mereka yang mahu mengikuti bidang perubatan di Indonesia,'' katanya.

Menurut Zaini lagi, QAS juga mengadakan kursus pemantapan selama dua minggu sebelum calon berlepas ke Mesir dan selepas mendapat surat tawaran dari universiti.

''Di sana biasanya kami adakan sesi pengenalan bagi memudahkan mereka berkenalan serta mendapat gambaran mengenai kehidupan selama enam tahun di bumi Ambia itu,'' ujarnya.

Malah pihaknya juga turut mengadakan kelas bahasa Arab kepada pelajar-pelajar bagi memudahkan proses komunikasi.

Walaupun dengan pembiayaan sendiri, semasa berada di tahun kedua pelajar-pelajar boleh memohon bantuan kewangan melalui institusi seperti Yayasan Negeri, Pusat Zakat atau Baitulmal serta bank-bank tempatan.

"Walaupun pelajar sudah mengikuti pengajian, kami di QAS tidak lepas tangan sebaliknya pada setiap semester kami akan memantau pencapaian akademik mereka serta memberikan kursus tambahan dalam memotivasikan pelajar tersebut," kata Zaini.

Di Mesir setakat ini terdapat tujuh universiti yang menawarkan bidang perubatan antaranya Universiti Alexandria, Universiti Tonto, Universiti Mansouri, Universiti Anshar, Universiti Cairo, Universiti Al-Azha dan juga Universiti Zaqaziq.

Universiti Alexandria adalah antara pilihan pelajar dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Universiti tersebut mempunyai 30 fakulti dalam pelbagai bidang pengajian dengan bilangan pelajar serama 220,000 orang dan 43,000 pensyarah yang bertaraf profesor.

Fakulti perubatannya merupakan yang terbesar dan terkenal dalam bidang pendidikan dan penyelidikan perubatan di Asia Barat dan negara-negara Arab.

Pengambilan baru untuk pelajar memasuki fakulti kedoktoran di universiti tersebut ialah pada bulan September setiap tahun.

''Pada tahun ini, dua fakulti iaitu Fakulti Pergigian dan Farmasi telah membuka peluang kepada 50 pelajar Malaysia bagi setiap fakulti," katanya.

Sehubungan itu, bagi ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak ke Mesir bolehlah mendapatkan perkhidmatan agensi dan penempatan untuk memudahkan urusan di QAS Management (M) Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengajian perubatan di Mesir, boleh hubungi talian 03-80244824, 019 3326583 atau emel askme@qas.com.my

Recent Posts