Khamis, Julai 23, 2009

Gerhana pukau penduduk Asia


Gerhana matahari paling panjang dalam abad ke-21 menyebabkan puluhan juta penduduk benua Asia terpaksa bergelap seketika semalam.

Gerhana matahari penuh lazimnya berlaku seketika setiap kitaran 18 bulan tetapi fenomena kelmarin disifatkan luar biasa kerana tempohnya yang panjang iaitu selama enam minit 39 saat matahari terlindung sepenuhnya di sebalik bulan.

Lebih istimewa, gerhana semalam dipercayai mencatat paling ramai penonton berikutan laluannya di benua Asia yang memiliki penduduk paling ramai di dunia.

Gerhana matahari penuh semalam dapat disaksikan dengan jelas di beberapa buah negara iaitu India, Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar dan China.

Kali kedua gerhana matahari seperti itu diramal berlaku ialah pada tahun 2132.

- KOSMO!

Polis siar suspek pengebom


Polis Indonesia semalam menyiarkan imej digital muka dua suspek pengebom berani mati yang menyerang Hotel J. W. Marriott dan Ritz-Carlton di sini.

Menurut polis, suspek pengebom yang membunuh lima orang di Hotel J. W. Marriott berumur antara 16 hingga 17 tahun.

Lelaki yang menjadi penyerang berani mati yang menyerang Hotel Ritz-Carlton berumur antara 20 hingga 40 tahun.

Imej itu ditunjukkan sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung pengeboman berkembar itu pada Jumaat lepas.

Polis berkata, lukisan digital itu dihasilkan berpandukan dua kepala pengebom berani mati yang ditemui di lokasi pengeboman di sini.

"Kami menemui dua kepala di lokasi pengeboman dan kami dapat mengesahkan kedua-duanya kepala pengebom berani mati itu," kata jurucakap polis, Nanan Soekarna.

Dua lelaki itu berambut pendek dan berwajah seperti orang Asia.

Menurut polis, pengebom Hotel J. W. Marriott itu setinggi antara 180 dan 190 sentimeter serta berkulit cerah.

Pengebom Ritz-Carlton pula lebih rendah dengan ketinggian 165 sentimeter dan berkulit sawo matang.

Bagaimanapun, polis masih gagal mengenal pasti identiti kedua-dua pengebom itu yang sebelum ini dikenali sebagai Ibrahim dan Nur Hasbi berikutan keputusan negatif ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"DNA keluarga Ibrahim dan Nur Hasbi mengesahkan dua mayat itu bukan anak mereka," kata Nanan.

Tambahnya, lakaran komputer turut berbeza dengan wajah Ibrahim atau Nur Hasbi alias Nur Said yang dilaporkan sebagai orang kanan militan paling dikehendaki di Asia Tenggara iaitu Noordin Mohammad Top.

- Agensi

Prasekolah: Pastikan guru, prasarana cukup

Prasarana yang mencukupi serta penyediaan guru terlatih perlu sekiranya mahu menjadikan pendidikan prasekolah sebagai dasar pendidikan negara.

Pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Daud berkata, cadangan itu merupakan satu langkah yang bijak, bagaimanapun ia perlu disokong oleh kedua-dua perkara tersebut.

"Kerajaan perlu memastikan kelas prasekolah dilengkapi dengan pelbagai alat bantuan mengajar.

''Jika sekadar papan hitam serta cara mengajar bercakap biasa sahaja tidak memadai. Perlu ada alat pembelajaran yang ke hadapan seperti yang kita lihat di luar negara,'' katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mengenai cadangan pihak kerajaan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada dasar pendidikan negara.

Langkah berkenaan bagi memastikan proses pemantapan bahasa Inggeris dapat dimulakan di peringkat awal.

Dalam pada itu, kata Abdul Rahman, langkah menjadikan prasekolah sebagai dasar pendidikan negara juga mampu mengatasi isu kemunduran pelajar.

"Sebelum ini memang tiada satu sistem untuk prasekolah sedangkan ada bermacam-macam prasekolah yang disediakan oleh pihak swasta serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Bagaimanapun, ada kanak-kanak yang mahu pergi dan ada yang tidak.

"Apabila wujud sistem yang seragam ini pastinya tidak boleh dielak oleh semua kanak-kanak,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hasan berkata, pelaksanaan sistem prasekolah tersebut perlu menitikberatkan kanak-kanak di kawasan luar bandar.

"Jika sistem prasekolah ini dilakukan, perhatian yang lebih mesti diberikan terhadap kanak-kanak di pedalaman. Kalau mahu memastikan semua pelajar di usia muda cemerlang jangan abaikan mereka.

"Melihatkan situasi sekarang pun, pelajar di luar bandar masih lagi ketinggalan. Jadi pastikan dalam pelaksanaan prasekolah ini mereka tidak ketinggalan, jika tidak sia-sia sahaja apa yang ingin dicapai," katanya.

Selain itu, katanya, sekiranya sistem prasekolah dapat diselaraskan antara sekolah kerajaan dan swasta, ia mampu mengurangkan jurang pendidikan.

"Kalau boleh selaraskan tadika swasta dan kerajaan.

''Itu lebih baik kerana selalunya apa yang kita boleh lihat sekolah swasta ini menyediakan prasarana yang lebih baik,'' jelasnya.

- UTUSAN

H1N1: Dua lagi kampus UiTM (Pulau Pinang & Perak) ditutup

Dua cawangan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), masing-masing di Permatang Pauh dan Seri Iskandar, ditutup selama seminggu bagi mengawal wabak selesema A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata semua pelajar yang dikesan positif itu sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, lapor Bernama.

"Semua mereka berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan awal manakala, 200 lagi pelajar yang mengalami simptom selesema diarah menjalani kuarantin di asrama dan rumah," katanya pada satu persidangan akhbar hari ini.

Beliau berkata arahan penutupan serta-merta kampus itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pagi ini bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

"Arahan penutupan selama seminggu itu wajar bagi mengelak 5,000 pelajar yang menuntut di UiTM berkenaan dijangkiti wabak H1N1," katanya.

Phee berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana semua langkah pencegahan dan prosedur operasi piawai (SOP) sudah diambil.

Tinjauan agensi berita itu di kampus UiTM cawangan Permatang Pauh tengah hari ini mendapati kebanyakan pelajar sudah mula meninggalkan asrama untuk pulang ke rumah masing-masing.

Kampus UiTM itu antara lima gugusan penularan wabak yang dikesan hari ini.

Dua gugusan melibatkan lapan kes di Kolej Winfield International, dan tujuh kes di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Maktab Tentera Diraja (RMC), Sungai Besi - kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Dua lagi gugusan melibatkan SMK Seremban 2, Negeri Sembilan dan SMK Kubong, Limbang, Sarawak.

Semuanya 38 kes di lima gugusan kejadian wabak itu termasuk dalam 44 kes terbaru yang disahkan hari ini.

Sementara itu, lewat petang, Kementerian Kesihatan dilapor mengarahkan UiTM Seri Iskandar dekat Ipoh ditutup susulan pertambahan mendadak penuntut yang dijangkiti penyakit seakan-akan influenza (ILI) kepada 280 orang.

Semalam hanya 55 orang dikesan mempunyai tanda-tanda selesema ILI.

Exco kesihatan negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, langkah segera diambil bagi mengelak penyakit itu daripada merebak ke penempatan awam berhampiran kampus berkenaan.

"Walaupun arahan ini serta-merta tetapi pihak UiTM diberikan masa
sehingga esok untuk mengosongkan kampus yang kini memuatkan lebih 12,000 penuntut, kakitangan dan pensyarah," katanya kepada pemberita hari ini.

"Selain itu 10 sampel darah diambil secara rawak daripada pelajar kampus itu dan saya berharap akan mendapat keputusan ujian makmal selewat-lewatnya malam ini dan bukan pada hari Jumaat seperti yang dimaklumkan sebelum ini," tambahnya.

Beliau berkata pihak Kementerian Kesihatan juga akan membuat ujia bagi mengenal pasti punca tiga cawangan UiTM yang terpaksa ditutup disebabkan serangan gugusan wabak ILI berkenaan.

Selain dua cawangan itu, UiTM Lendu, Melaka diarahkan ditutup selama sembilan hari sehingga 24 Julai.

- MALAYSIAKINI

Suruhanjaya Diraja cari punca kematian Teoh

Mesyuarat mingguan jemaah menteri hari ini tunduk kepada desakan popular pelbagai pihak, termasuk pemimpin BN, agar menyiasat secara bebas punca kematian Teoh Beng Hock.

Keputusan rasmi kabinet itu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya menyebut:

Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.

Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.

Susulan kematian mengejut dan penuh tanda tanya Teoh selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor, banyak pihak menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut.

Teoh merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Dalam sidang media yang dinanti-nantikanitu, Najib juga berkata, beliau sendiri akan memaklumkan keputusan siasatan tersebut kepada keluarga Teoh apabila ia telah selesai.

"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mencari kebenaran. Saya juga akan memaklumkan sendiri kepada keluarga saudara Teoh hasil siasatan ini nanti," katanya di Putrajaya.

Sementara menunggu keputusan siasatan, Najib menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menimbulkan tanggapan yang salah.

Beliau turut menafikan kabinet mendapat tekanan berhubung kematian misteri Teoh sehingga memutuskan menubuhkan inkues dan suruhanjaya diraja bagi menangani perkara itu.

Ditanya berhubung tempoh masa yang ditetapkan kabinet bagi menyelesaikan siasatan kes itu, Najib berkata, siasatan polis dan suruhanjaya diraja dijangka dapat diselesaikan "secepat mungkin".

Sementara inkues pula bergantung kepada keputusan majistret, tambahnya.

Mengulas status siasatan SPRM terhadap dakwaan salah guna peruntukan DUN Selangor di kalangan ADUN Pakatan Rakyat, Najib berkata, ia akan diteruskan seperti biasa dengan kumpulan penyiasat yang baru.

"Setiap dakwaan salah laku akan disiasat SPRM. Kita tidak buat sebarang keputusan menggantung siasatan tersebut," katanya.

Beliau menafikan siasatan SPRM telah digantung susulan berlakunya kematian Teoh.

- MALAYSIAKINI

PAS serah pada Dewan Ulama tentukan tindakan Nizar

Pas menyerahkan kepada Dewan Ulama untuk mengeluarkan fatwa atau hukuman terhadap tindakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Dr Mohd Nizar Jamaluddin yang menyertai majlis nyalaan lilin di Ipon bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang anggota Exco Selangor.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaacob berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan sebarang kenyataan dan membiarkan Dewan Ulama PAS untuk kemukakan sebarang pandangan.

"Kita serah sahaja kepada Dewan Ulama PAS untuk tentukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek fasa kedua di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Zambry yang mahukan ulama PAS memberikan pandangan agama terhadap tindakan Nizar yang menyalakan lilin untuk memperingati kematian Teoh.

Di Kota Bharu, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas tindakan Nizar itu.

Ketika ditanya, Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya mempersoalkan aspek politik mengenai Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Perak.

Nik Abdul Aziz mempersoalkan kesahihan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir kerana ianya dianggap bertentangan dengan amalan demokrasi.

"Usahkan fatwa Islam, fatwa demokrasipun dia (Zambri) tak pakai....Itulah jawapan saya, saya dah jawablah tu", katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim.

- BERNAMA

Apa Salahnya Bahasa Melayu Meminjam Istilah Asing?

Oleh MARNIYATI MOHD. NOR
UNIVERSITI TENAGA NASIONAL

Akhir-akhir ini, banyak pula ulasan berkaitan pemodenan dan pemantapan bahasa Melayu dipaparkan di media massa. Saya tertarik dengan ulasan yang dibuat oleh beberapa orang penyokong PPSMI terhadap konsep penterjemahan istilah sains dan matematik dalam bahasa Melayu.

Kata mereka, istilah-istilah sains dan matematik mesti diterjemahkan dalam bahasa Melayu tanpa meminjam daripada bahasa Inggeris, barulah bahasa Melayu akan lebih dihormati dan lebih mantap. Mereka mengatakan bahawa kita mesti mencipta istilah sendiri tanpa meminjam daripada bahasa Inggeris.

Mungkin mereka tidak tahu bahawa sekiranya bahasa Melayu tidak meminjam daripada bahasa lain, maka bahasa Melayu akan mengalami kesukaran berkembang dan seterusnya akan berkubur seperti yang berlaku terhadap bahasa Sanskrit suatu ketika dahulu.

Soalnya, tahukah mereka bahawa bahasa Inggeris sendiri berkembang dan maju seperti hari ini kerana berlakunya proses peminjaman istilah daripada bahasa asing yang lain?

Mungkin mereka tidak tahu bahawa bahasa Inggeris telah meminjam lebih daripada 300 bahasa asing sebelum bahasa itu berdiri sebagai bahasa moden hari ini, berbanding bahasa Melayu yang baru meminjam daripada 10 bahasa sahaja.

Kebanyakan perkataan dalam bahasa Inggeris berasal daripada bahasa Latin. Namun, hanya kerana kita tidak tahu bahasa Latin, maka kita tidak dapat ‘melihat’ berapa banyak istilah daripada bahasa Latin itu wujud dalam bahasa Inggeris.

Keadaan ini berlaku sebaliknya terhadap bahasa Melayu. Hanya kerana kita mahir bahasa Inggeris maka kita telah ‘melihat’ seolah-olah terlalu banyak pula perkataan bahasa Inggeris yang dipinjamkan ke dalam bahasa Melayu. Adilkah penilaian kita ini?

Bidang ilmu adalah bidang yang sentiasa berkembang. Ketika bidang ilmu di dunia ini berkembang dalam bahasa Arab, hampir semua bangsa di dunia, termasuk bahasa Inggeris telah mengambil langkah meminjam istilah dalam bidang ilmu tersebut daripada bahasa Arab.

Begitu juga jika kita mengakui bahawa perkembangan bidang ilmu kini dikuasai oleh bahasa Inggeris, kita harus membenarkan pula semua bangsa di dunia ini meminjam istilah dalam bidang ilmu tersebut daripada bahasa Inggeris. Itu prinsip globalisasi.

Tidak ada salahnya kita meminjam istilah, sama ada meminjam secara langsung atau meminjam dengan mengubah-suai ejaan asalnya, demi memodenkan bahasa mengikut perkembangan bidang ilmu itu sendiri. Meminjam istilah adalah satu daripada beberapa cara bagi memastikan agar perkembangan bahasa Melayu tidak terhenti dan terus mati.

Kita perlu meminjam istilah sebagai satu usaha mengembangkan bahasa Melayu dalam bidang sains dan matematik, bukan mengetepikan terus bahasa kita dan mempelajari bidang tersebut dalam bahasa asing (seperti PPSMI).

Sesuatu yang harus dijadikan sebagai kesalahan dan wajar diberi perhatian adalah sikap pengguna bahasa Melayu yang sewenang-wenangnya meminjam istilah dari bahasa Inggeris sedangkan istilah dalam bahasa Melayu telah ada.

Contohnya, kita lebih gemar menggunakan perkataan ‘informasi’ sedangkan kita telah ada perkataan ‘maklumat’! Penggunaan istilah sebegini yang lebih wajib ditangani, bukan pembentukan istilah baru yang belum pernah ada dalam bahasa Melayu.

Janganlah terus-terusan menghentam pakar bahasa dan penterjemah kita tanpa usul periksa. Kaji dan selidiklah dahulu bagaimana bahasa Inggeris boleh berkembang pesat, moden dan maju kerana kaedah yang digunakan bagi mengembangkan bahasa Melayu hari ini tidak jauh bezanya dengan apa yang pernah dilalui oleh bahasa Inggeris.

Janganlah terlalu mengagungkan bahasa asing hingga kita memandang jelik apa sahaja usaha bagi memajukan bahasa sendiri. Berilah ruang dan peluang kepada bahasa Melayu terus berkembang. Berikan pendapat yang positif dan membina, bukan pandangan yang menghina. Sesungguhnya, bahasa Melayu itu bahasa kita.

PROGRAM JABATAN TENAGA KERJA - KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA JULAI 2009

Program Penempatan Pekerjaan Kunak
Tarikh :25.07.2009
Masa : 8.00 pagi - 3.00 petang
Tempat : Dewan SRJK (C) Pai Sheng, Kunak, Sabah

Program Penempatan Pekerjaan Pejabat Tenaga Kerja Bangi
Tarikh :25.07.2009
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Dewan Bandaran Kajang, Jalan Kelab, 43000 Kajang, Selangor

Program Penempatan Pekerjaan Alor Setar
Tarikh :25-26.07.2009
Masa : 9.00 pagi - 4.00 petang
Tempat : Tingkat 4, Star Parade, Alor Star, Kedah

Program Penempatan Pekerjaan 3P
Tarikh :25.07.2009
Masa : 9.00 pagi - 3.00 petang
Tempat : Dewan Besar UiTM Perlis, Arau, Perlis

Program Penempatan Pekerjaan
Tarikh :25.07.2009
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat :Lobi Kompleks Pentadbiran Pejabat-Pejabat Kerajaan Jelebu, Negeri Sembilan

Program Penempatan Pekerjaan Pejabat Tenaga Kerja Muar
Tarikh :25.07.2009
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat :Perkarangan Pejabat Tenaga Kerja Muar, Johor

Karnival Kerjaya & Keusahawanan Bidang Penerbangan Dan Aeroangkasa
Tarikh :25-26.07.2009
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat :Hanger, UNIKL MIAT, Jenderam Hilir

Temuduga Terbuka
Tarikh :30.07.2009
Masa : 9.00 pagi - 4.30 petang
Tempat : Pejabat Tenaga Kerja Shah Alam,Tkt 3 Kompleks PKNS 40000 Shah Alam Selangor(03-55191135)
Temuduga terbuka di Peremba Development Sdn Bhd

Industrial Career Education 2009 anjuran bersama Jabatan Tenaga Kerja dan Unisel
Tarikh :31.07.2009-01.08.2009
Masa : 9.00 pagi - 6.00 petang
Tempat :Dewan Raja Muda Musa,Kompleks Belia & Kebudayaan Selangor Seksyen 7, Shah Alam

Law - Legal obligation

by BHAG SINGH

Do consider the risk of being saddled with obligations and responsibilities before you allow your name to be used in a transaction.

Relatives and friends can end up asking one another for a favour. Sometimes a favour may be sought by a mere acquaintance. The help sought can vary from case to case.

A friend may ask another to be a guarantor for his son’s scholarship. A relative may ask another for permission to use his name to buy a car on hire purchase. A parent may ask for a child’s name to get additional facilities.

Where a person accedes to such a request, he allows his name to be used for the purposes of the transaction.

In the case of a scholarship, he becomes a guarantor. Where a car is to be thus acquired, he becomes the hirer and where facilities are sought, he becomes the borrower.

In close relationships, it is difficult to refuse such requests for help. The person approached may agree to the request out of a sense of obligation. It becomes even more difficult when the other person is a parent or elder sibling.

If the scholarship holder finishes his studies and fulfils his obligations, the person for whom the car is secured promptly makes the instalment payments, or the facility obtained is maintained and serviced, there will be no cause for grievances.

Problems arise when there is a default by the party for whom the favour is done. In the case of a guarantee, when the scholarship holder does not complete his studies or having done so, refuses to honour his obligation to serve, the primary responsibility no doubt rests on him.

However, the donor of the scholarship would usually have contractually reserved the option to recover the amount due from the scholarship holder or guarantor. This being the case, it would not be open in the absence of express specific provision for the guarantor to limit his liability on a proportion basis.

In theory, a guarantor could enjoy some security. He could, after he has paid the amount, seek to be indemnified by the scholarship holder and in the absence of availability of such indemnity, seek contribution from the co-guarantors.

However, it could transpire that both the scholarship holder and the co-guarantor may not be in a position to indemnify or contribute as they do not have the financial means. In such an event, the right to indemnity may turn out to be shallow, if not non-existent.

The situation assumes a different complexity when a hire purchase transaction is entered into to help another acquire an item. Here the lender of the name is actually the principal in the transaction. He is the hirer and becomes directly liable to the party that provided the financing for the item, that is, the owner.

The fact that the hire purchase transaction is entered into for the benefit of a third party is irrelevant in the context of the dealings with the owner of the item in question.

If there is a default in payment of instalments which cannot be remedied, it becomes the hirer’s duty to make the car available to be repossessed. If the car is hidden away to prevent repossession, that itself would constitute an offence on his part.

On the other hand, if the car is repossessed and sold off, this may not be the end of the matter because the amount received may not be enough to settle the balance. The difference will become a debt owing from the hirer.

It is pointless for the hirer of the car to say that it was meant to be used by and paid for by the friend or relative in question, because this is an arrangement that does not concern the owner.

Where a person, in deference to the wishes of a family elder, allows his name to be used to obtain a financial facility, the fact remains that in so far as the transaction is concerned, he is the person who is entering into the contract.

There may in such cases be an element of “undue influence” under section 16(1) of the Contracts Act 1950. This section says that “A contract is said to be induced by undue influence where the relationship subsisting between the parties is such that one of the parties is in a position to dominate the will of the other and uses that position to obtain an unfair advantage over the other.”

In this regard, a person is deemed to be in a position to dominate the will of another “where he holds a real or apparent authority over the other, or where he stands in a fiduciary relation to the other”.

However, despite the existence of such a situation, the fact remains that the person who enters into the transaction will be held liable according to its terms. Even if the third party knows about the undue influence, the courts are inclined to take the view that since the influence is coming from a party not privy to the contract, it is not relevant.

So what should a person do when approached to become a guarantor or to allow his name to be used as a party in a transaction? There are a few issues to consider here.

It is important to consider the person involved whom one has been asked to assist, the nature of the transaction as well as the circumstances that make necessary or require such involvement in the transaction.

Another factor to consider would be to know the actual liability in the event of the friend or relative defaulting. Such a person may have the capacity to meet any obligations arising.

However, the uncertainties of life and unforeseen events can change the scenario. Thus it is a matter for the individual involved to consider whether in a worst-case scenario he would be able to discharge the obligations that arise.

Once these aspects have been considered, the risks involved can be appreciated. It would then be open for him to decide.

Rabu, Julai 22, 2009

KYLE XY kembali temui penonton

Drama siri sains fiksyen Kyle XY mendapat sambutan yang amat menggalakkan pada musim lalu apabila berjaya mencatatkan sebanyak 2 juta penonton. Kini Kyle muncul lagi dengan aksi yang lebih mendebarkan. Kyle terpaksa berhadapan dengan cabaran yang paling besar dalam hidupnya – pengorbanan. Musim ke-3 siri Kyle XY kembali menemui menonton setia TV3 setiap Rabu, jam 11 malam mulai 22 Julai 2009. Siri 10 episod ini dibintangi oleh Matt Dallas, Marguerite MacIntyre, Bruce Thomas, April Matson, Jean-Luc Bilodeau, Chris Olivero, Kirsten Prout dan Jaimie Alexander.

Sebagai seorang yang membesar dengan status wira, mereka perlu tahu bahawa ada harga yang perlu dibayar atas kelebihan yang ada pada mereka. Tetapi Kyle (Dallas) tidak peduli akan peraturan ini. Sebelum ini dia hanya seorang budak lelaki yang tertanya-tanya siapakah dia dan apakah matlamat hidupnya, tetapi kini dalam keadaan tertekan bagaimana sekalipun, dia harus menghadapinya sebagai seorang lelaki. Dan untuk melakukannya, Kyle terpaksa korbankan perhubungan dengan mereka yang sangat-sangat disayanginya.

Apa yang menjadi penyebab kepada perubahan Kyle adalah sebuah organisasi rahsia, Latnok, yang diketuai oleh Cassidy (Hal Ozsan) seorang yang berkarisma. Latnok merasakan sudah tiba masanya untuk mereka memperkenalkan diri mereka kepada Kyle, mengajak Kyle bekerja bersama-sama mereka dan menjadi seorang lelaki yang sebagaimana telah ditakdirkan. Tetapi apabila Latnok menggunakan penculikan, ugutan dan manipulasi untuk mendapatkan apa yang mereka mahu, percayakah Kyle pada kejujuran dan keikhlasan dalam niat mereka terhadapnya?

Dengan semua konsentrasi yang Latnok berikan kepada Kyle, apakah yang terjadi kepada Jessi (Alexander)? Sebagai produk dari eksperimen yang sama, adakah Jessi hanya satu gadaian yang yang dapat digunakan oleh Latnok untuk mendapatkan Kyle? Atau adakah mereka melihat Jesse untuk satu sebab lain?

Dengan unsur-unsur komedi, drama keluarga dan misteri sains fiksyen siri ini amat sesuai ditonton oleh semua golongan masyarakat.

Jadi kepada anda yang ingin mengikuti kisah perjalanan hidup Kyle XY pastikan anda menonton musim baru siri ini yang bakal disiarkan setiap Rabu, jam 11 malam mulai 22 Julai 2008 hanya di TV3.

Sungai Galing paling kotor di Pahang

Keadaan Sungai Galing di sini, dikenal pasti sebagai sungai paling kotor di negeri ini sekali gus dicatatkan pada kelas empat tahap pencemaran sungai.

Jurutera Daerah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Kuantan, Saiful Rizal Sanusi berkata, Jabatan Alam Sekitar (Jas) mengklasifikasikan tahap pencemaran sungai sepanjang tujuh kilometer itu sebagai sesuai untuk pengairan sahaja.

“Setiap sungai di negara ini dikategorikan kepada lima kelas iaitu kelas 1, airnya boleh terus diminum tanpa rawatan; Kelas 2, airnya memerlukan rawatan biasa; Kelas 3, air nampak bersih, tidak berbau, tetapi kualitinya tercemar dan orang ramai tidak boleh berenang tetapi boleh berkelah di tebing.

“Bagi kelas 4, tercemar dan sesuai sebagai pengairan sahaja dan kelas 5 - hampir mati iaitu tidak dapat didiami habitat. Bagi Kelas 4 dan 5 juga, keadaan air berbau busuk dan berwarna hitam,” katanya.

Saiful Rizal berkata demikian ketika mengadakan tinjauan di sungai itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming, semalam.

Katanya, Sungai Galing kini diletakkan di bawah program Satu Sungai Satu Negeri iaitu program pemulihan sungai yang paling tercemar di seluruh Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Peruntukan sebanyak RM5 juta diterima daripada Kerajaan Pusat untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan dan pihak kami menjangka sungai berkenaan dapat dipulihkan ke kelas 3 tahun depan dan mungkin mencapai kelas ke-2 pada 2015.

“Antara kerja yang dibuat di bawah peruntukan berkenaan ialah pemantauan kualiti air, pemulihan, perawatan dan juga penstabilan kualiti air termasuk di lembangan sungai sepanjang 23 kilometer,” katanya.

Saiful Rizal berkata, antara punca utama yang menyumbang kepada pencemaran sungai berkenaan ialah sisa-sisa perindustrian, pembuangan sampah dari seluruh bandar Kuantan, pembukaan tanah yang tidak terancang dan sisa kumbahan daripada pusat rawatan septik yang tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Setakat ini JPS sudah memasang satu perangkap sampah di belakang Hotel Vistana pada 2006 yang mampu merangkap tiga tan pada satu-satu masa. Kami juga merancang untuk memasang dua lagi perangkap sampah di Sungai Galing dalam masa terdekat untuk mengutip bahan buangan tersebut memandangkan lebih 10 tan sampah dibuang ke dalam sungai ini setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, terdapat pelbagai kempen kesedaran yang dianjurkan kepada masyarakat untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap sungai.

“Pihak kami mengadakan program ‘River Ranger’ di mana guru-guru sekolah di kawasan komuniti terlibat untuk membantu memantau keadaan sungai. Setakat ini, terdapat lima buah sekolah rendah di kawasan lembangan Sungai Galing yang terlibat dengan program berkenaan,” katanya.

- SINAR HARIAN

Fenomena gerhana matahari separa (22 Julai 2009)

Fenomena gerhana matahari separa akan dapat dilihat terutama di kawasan utara Semenanjung khususnya Kangar, Perlis mulai jam 8.23 pagi, hari ini 22 Julai 2009.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mhd Fairos Asillam, berkata gerhana matahari separa yang sukar dilihat dengan mata kasar itu, akan berlangsung selama lebih sejam iaitu bermula 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

"Ia hanya berlaku secara minimum, kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar kerana hanya lebih kurang 17.8 peratus kawasan permukaan matahari akan ditutupi oleh bulan ketika gerhana matahari separa itu berlaku di Malaysia.

"Kangar kawasan terbaik di negara ini untuk mencerap gerhana matahari itu tapi itu pun jika bernasib baik dapat melihatnya menggunakan teleskop," katanya sambil menambah rakyat Malaysia akan dapat menikmati gerhana matahari separa sekali lagi pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019.

- BERITA HARIAN

Kumpulan pro & anti-ISA 'bertembung' di ibu negara Sabtu ini

Dua kumpulan yang berbeza pendirian berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuat perancangan untuk mengadakan perhimpunan masing-masing membantah dan menyokong undang-undang itu di ibu negara, Sabtu ini 25 Julai 2009.

Kedua-duanya ialah Gerakan Mansuh ISA yang mahu kerajaan memansuhkan sama sekali ISA manakala Gabungan Bersama NGO Malaysia mahukan undang-undang itu dikekalkan.

Bagaimanapun kedua-dua pertubuhan itu belum memperoleh kelulusan polis untuk menganjurkan perhimpunan masing-masing setakat hari ini.

Pengerusi Gerakan Mansuh ISA, Syed Ibrahim Syed Noh ketika dihubungi mengesahkan perhimpunan sebelah pihaknya yang akan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan "Deklarasi Rakyat".

"Kami akan berhimpun di tiga lokasi iaitu di pekarangan pusat membeli-belah Sogo, Masjid Negara dan Masjid Jamek.

"Dari sana kami akan berarak ke Istana Negara untuk sampaikan Deklarasi Rakyat meliputi tiga perkara," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi tadi.

Tiga perkara itu ialah mansuhkan ISA, bebaskan semua tahanan ISA dan tutup pusat tahanan Kamunting.

Sambil mengakui pihaknya belum memperoleh kelulusan polis, Syed -Ibrahim yang juga Pemangku Pengerusi Mafrel memberitahu, pihaknya akan tetap adakan perhimpunan.

"Kami berharap perhimpunan aman ini akan dibenarkan. Kami tidak akan pohon permit tetapi akan memaklumkan pihak polis," katanya.

Ketika ditanya mengenai hasrat Gabungan Bersama NGO Malaysia pula, kata beliau, itu adalah hak mereka untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Setiausaha Gabungan Bersama NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan perhimpunan aman menyokong kerajaan mengekalkan ISA.

"Kami merasakan ISA masih diperlukan, yang perlu dilakukan ialah kajian semula. Jangan dimansuhkan," katanya ketika ditemui.

Jelas beliau, pihaknya akan bermesyuarat malam ini untuk menentukan kata putus akhir.

- MSTAR

Roslin tuntut RM50,000


Pemain badminton negara, Roslin Hashim, 34, merancang mengemukakan saman RM50,000 terhadap bekas isteri yang dikahwininya 12 hari sebagai tuntutan ganti rugi terhadap belanja dan kos perkahwinan yang dikeluarkan sebelum ini.

Dia yang dihubungi Harian Metro semalam berkata, hasrat berkenaan berikutan keinginan menuntut kembali haknya sepanjang melayari perkahwinan singkat itu.

Menurutnya, saman berkenaan akan difailkan sejurus dia memperoleh surat pembatalan pernikahan yang kini belum dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di sini.

“Saya tidak berdendam dan marah dengan kemelut yang pernah menjadi isu besar sehingga membawa kepada perceraian, sebaliknya hanya mahukan hak saya dikembalikan. Yang lepas biarlah lepas, namun saya tetap dengan pendirian itu tanpa dipaksa sesiapa,” katanya yang enggan mengulas secara panjang lebar.

Roslin berkata, surat pembatalan pernikahan sepatutnya boleh disiapkan dalam tempoh dua minggu, namun dia pelik mengapa ia belum dikeluarkan walaupun perceraian mereka disahkan mahkamah pada awal Mei lalu.

“Akibat kelewatan surat pembatalan pernikahan itu, saya terpaksa menangguhkan proses memfailkan saman terhadap bekas isteri,” katanya.

Sebelum ini, difahamkan mahkamah meminta Roslin menyerahkan dokumen perkahwinan sah untuk membolehkan proses mengeluarkan surat pembatalan pernikahan dibuat.

Bagaimanapun, ia tertangguh sementara berikutan dia hanya menyerahkan surat dokumen perkahwinan sementara kerana belum menerima dokumen asal yang diperlukan mahkamah.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya melalui peguam, menyerahkan dokumen itu untuk mempercepatkan proses mendapatkan dokumen pembatalan pernikahan tapi kecewa kerana ia belum dapat diselesaikan hingga kini,” katanya.

Ditanya sama ada keinginannya mendapatkan segera surat itu ada kaitan dengan hasrat untuk berkahwin kali kedua, Roslin enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada takdir Ilahi.

“Masih terlalu awal untuk membincangkan soal itu (perkahwinan kali kedua) kerana saya mempunyai banyak perkara mustahak lain yang perlu diuruskan saat ini,” katanya.

Kisah Roslin dan bekas isterinya, Faizah Mohamad, 32, pernah menjadi isu hangat apabila pemain badminton negara itu dikatakan tiba-tiba melafazkan cerai talak satu hanya selepas 12 hari mendirikan rumah tangga.

Roslin yang melafazkan cerai di rumah bapa mentuanya di Puchong, dekat sini, mendakwa mempunyai alasan kukuh yang menyebabkan dia terpaksa melepaskan isterinya itu.

Bagaimanapun, Faizah mendakwa Roslin mengambil keputusan terburu-buru menceraikannya sedangkan kemelut melanda rumah tangga mereka sepatutnya boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Konflik berkenaan berakhir apabila Hakim Syarie Jamil Ahmad memutuskan lafaz cerai dibuat Roslin pada 11 Februari lalu adalah sah berdasarkan sumpah yang dibuat pemain badminton itu yang menyatakan tiada persetubuhan berlaku antara mereka berdua sepanjang perkahwinan.

- HARIAN METRO

Perintah solat 5 waktu

Oleh IDRIS MUSA

Israk dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.

Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu.

Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.

Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1)

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.

Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.

Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.

Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.

Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'

Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.

Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.

Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.

Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.

Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.

Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.

Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.

Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.

Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk.

Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.

Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.

Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.

Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.

Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.

Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.

Recent Posts