Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

Sabtu, Julai 14, 2012

Jangan BerFacebook, Twitter Ketika Memandu

Pihak berkuasa lalu lintas memberi amaran terhadap trend berbahaya di kalangan pemandu Malaysia yang menggunakan facebook, twitter atau memuat naik gambar semasa memandu.

Bercakap menggunakan telefon bimbit atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah perkara biasa namun ramai pegguna jalan raya kini mengambil satu lagi tindakan yang boleh membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya lain dengan mengakses kepada rangkaian sosial semasa memandu.

Pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 100,143 saman kepada pemandu Malaysia yang ditahan kerana menggunakan telefon bimbit tahun lalu.

Sehingga 21 Jun tahun ini, polis telah mengeluarkan 44,688 saman manakala 3,501 dikeluarkan oleh JPJ dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Hampir 20 peratus daripada kesalahan tersebut dilakukan di Selangor.

Timbalan Ketua Trafik Persekutuan, Mohd Fuad Abd Latiff, memberi amaran bahawa sebarang bentuk penggunaan telefon bimbit semasa memandu adalah suatu kesalahan.

"Pengemaskinian akaun facebook dan twitter ketika di jalan raya adalah satu trend baru oleh para pemandu, terutamanya tentang keadaan trafik.

"Mereka mungkin menyangka bahawa mereka sedang melakukan khidmat sosial dengan memaklumkan mengenai keadaan trafik tetapi mereka telah melakukan suatu kesalahan dan meletakkan diri mereka sendiri dan pemandu kenderaan lain dalam bahaya," katanya kepada The Star.

Malah ACP Mohd Fuad berkata ada di kalangan pemandu turut menggunakan telefon pintar mereka untuk mengambil dan memuat naik gambar semasa memandu.

Beliau berkata di bawah Seksyen 17A (1) Akta Pengangkutan Jalan, pemilik kenderaan boleh dikenakan denda RM300 jika ditangkap berbuat demikian.

"Ingin saya tekankan betapa bahayanya bagi mana-mana pemandu yang hilang tumpuan ketika memandu kerana ia berpotensi membawa kepada kemalangan maut.

"Pemandu perlu memberi tumpuan penuh bagi mengawal kenderaan mereka kerana kemalangan boleh berlaku dalam tempoh beberapa saat," katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Madya Dr Wong Shaw Voon berkata penggunaan telefon pintar untuk mengakses kepada rangkaian sosial adalah lebih berbahaya daripada menghantar SMS.

"Akses ke rangkaian sosial atau memuat naik gambar-gambar mengambil sekurang-kurangnya beberapa saat perhatian dari jalan raya, tetapi kemalangan boleh berlaku dalam masa yang kurang daripada sesaat," katanya.

- MSTAR

Isnin, Julai 09, 2012

Borang penamaan waris KWSP melalui pos ditamatkan

Mulai 1 Ogos, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menamatkan penerimaan borang penamaan waris melalui pos, antaranya bagi mengelak penipuan.

Pengurus Besar Perhubungan Awamnya Nik Affendi Jaafar berkata keputusan itu antara lain bertujuan untuk mengesahkan kesahihan penamaan yang dibuat.

Ini memandangkan maklumat sulit di dalam borang itu akan menentukan penerima simpanan ahli sekiranya berlaku kematian.

KWSP kini mempunyai sejumlah 13 juta ahli.

"Ahli juga tidak boleh mewakilkan sesiapa menghantar borang penamaan waris itu dan jika ada yang berbuat demikian borang mereka akan ditolak," katanya dalam satu kenyatan.

Nik Affendi berkata ahli KWSP juga tidak perlu membawa saksi semasa menghantar borang itu jika ianya lengkap diisi dengan maklumat tepat sekiranya terdapat lebih daripada seorang penama.

“Ahli KWSP boleh mendapatkan borang KWSP 4 (borang penamaan waris) dari cawangan berhampiran atau boleh dimuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my atau menghubungi 03-89226000 untuk maklumat lanjut," katanya.

- BERNAMA

Khamis, Jun 28, 2012

Aplikasi MyTeksi - Cara Mudah Tempahan Teksi


TEKSI merupakan salah satu pengangkutan pilihan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia untuk menuju ke destinasi yang diingini. Pengguna boleh menunggu di tepi jalan atau menghubungi pihak yang mengendalikan perkhidmatan tersebut.

Meskipun ramai yang memilih pengangkutan awam lain seperti bas, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) atau monorel, namun hakikatnya teksi masih relevan dalam dunia hari ini.

Dalam usaha menawarkan kelainan kepada pengguna, MyTeksi telah melancarkan perkhidmatan tempahan teksi secara mudah alih yang pertama di Malaysia. Ia membolehkan penumpang untuk menempah teksi dengan mudah menggunakan telefon pintar dan tablet (iOS dan Android) selain menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pengurus Besar MyTeksi, Chew Wei Chuan berkata, khidmat tempahan teksi secara mudah alih yang inovatif ini dipacu oleh teknologi mesin ke mesin (M2M) Maxis dan menggunakan keupayaan Maxis sebagai pembekal perkhidmatan rangkaian 3G serta 2G terbesar di Malaysia.

"Kelainan tempahan teksi secara digital baharu ini terletak kepada keupayaannya untuk membolehkan penumpang menempah teksi dengan sebarang alat mudah alih, memadankan penumpang dengan pemandu teksi terdekat dan memberikan pengesahan segera.

"Penumpang teksi yang menggunakan aplikasi MyTeksi IOS, aplikasi Android atau SMS, boleh mendapat pengesahan dalam tempoh tiga minit. Selain itu, mereka turut diberikan nombor plat teksi, nama pemandu, anggaran masa ketibaan serta tambang," jelas Wei Chuan dalam satu sidang media baru-baru ini.

MyTeksi merupakan perkhidmatan tempahan teksi mudah alih pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar untuk menempah dan menghantar teksi.

Sejak tahun 2011, pemandu teksi telah menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar MyTeksi untuk menerima tempahan melalui SIM M2M Maxis untuk berkomunikasi dengan serta-merta.

Menurut Wei Chuan, pihaknya telah melaburkan RM500,000 bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan aplikasi MyTeksi.

Menyokong inisiatif

Berdasarkan maklum balas yang diterima, pihaknya turut mensasarkan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand menjelang tahun hadapan dengan aplikasi ciptaan mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Teksi Wilayah Persekutuan & Selangor, Datuk Aslah Abdullah memberitahu, pihaknya menyokong penuh inisiatif yang dilakukan MyTeksi dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

"Seramai 120 pemandu teksi telah menggunakan MyTeksi sejak bulan September tahun lalu. Hasilnya memang memberangsangkan kerana pelanggan kami gembira dengan perkhidmatan yang mereka terima.

"Justeru, saya berharap semua pemandu teksi yang ada boleh menggunakan perkhidmatan ini untuk jaminan pendapatan yang lebih tinggi," ujar Pengerusi Comfort Communication Sdn. Bhd. (Comfort Taxi) itu.

Syarikat, persatuan dan koperasi teksi utama selain Comfort Taxi, sudah pun dalam proses menguji sistem MyTeksi. Buat permulaan, perkhidmatan ini hanya boleh didapati di sekitar Lembah Klang. Namun, ia akan dikembangkan ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Perniagaan Maxis, Fitri Abdullah melahirkan rasa bangga kerana menjadi rakan teknologi bagi usaha terbaharu membangunkan aplikasi MyTeksi.

"Saya percaya, MyTeksi berpotensi meningkatkan pengalaman pengguna teksi di Malaysia. Kami telah melibatkan diri sejak di peringkat awal dengan menyediakan pelbagai khidmat rundingan teknikal dan teknologi.

"Antaranya seperti konsep perniagaan, pembangunan teknologi, percubaan awal pasaran dan seterusnya penggunaan perkhidmatan MyTeksi.

"Pelancaran ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk bekerjasama dengan pembekal dan pelanggan perniagaan kami bagi membangunkan perniagaan yang inovatif serta relevan dengan pasaran Malaysia," jelasnya.

Majlis pelancaran MyTeksi itu dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

- KOSMO!

Isnin, Jun 25, 2012

'Janji Ditepati' Tema Hari Kemerdekaan Tahun 2012



'Janji Ditepati' dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos.

Sarawak pula akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata bagi perayaan tahun ini, ia akan melibatkan penyertaan lebih aktif golongan belia dan penyertaan spontan orang ramai.

Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala pada sebelah malamnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia.

"Pada keseluruhannya saya yakin perayaan Hari Merdeka dan Hari Malaysia kali ini akan lebih hebat dari dulu, cuma tinggal lagi pada 16 Sept kita akan beralih ke Sarawak untuk meraikan Hari Malaysia dan jawatankuasa mencadangkan supaya kita bersama-sama pula ke kawasan luar bandar di Sarawak," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di sini Isnin, Rais berkata terdapat cadangan agar Bintulu dijadikan lokasi sambutan Hari Malaysia, namun ia masih belum diputuskan.

Beliau berkata sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia akan dimulakan pada 11 Julai anjuran pihak swasta melalui program Buku Rekod Malaysia.

Pada 15 Julai pula, Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan belia di Menara Kembar Petronas.

Pada 17 Julai, perdana menteri akan merasmikan program pengibaran Jalur Gemilang di Brickfields, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Baru dan pemimpin masyarakat Cina di Jalan Petaling secara serentak, kata Rais.

Pada bulan Ramadan, program berkaitan tetapi berunsur keagamaan akan diadakan untuk masyarakat Islam dan beberapa acara untuk kaum lain turut disusun.

Rais dalam pada itu meminta semua pihak agar mengenepikan perbezaan fahaman politik bagi menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 itu.

"Para pemimpin masing-masing perlu memainkan peranan dengan sokongan rakyat supaya Jalur Gemilang dikibarkan di setiap rumah, setiap kedai, setiap gedung dan pejabat dan ini tidak mengira latar belakang politik dan pentadbiran masing-masing," katanya.

"Kita akan semarakkan seboleh mungkin pengibaran Jalur Gemilang di kawasann dan premis yang sebelum ini tidak diambil berat dan inilah masanya untuk kita memperlihatkan kepada dunia bahawa sekali setahun kita menyumbang ke arah kenegaraan kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang di jendela atau pintu," katanya.

- BERNAMA

Sabtu, Jun 23, 2012

KDN lancar Facebook Skuad 1Malaysia

PUTRAJAYA 22 Jun - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan laman sosial Facebook Skuad 1Malaysia sebagai satu usaha untuk mendekatkan lagi dengan golongan remaja dan belia di negara ini.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abdul Rahim Mohd. Radzi berkata, laman sosial itu akan membolehkan kerajaan melalui KDN menerapkan minat dan semangat kesukarelaan dalam kalangan golongan tersebut.
Katanya, ia juga bertujuan membasmi masalah dadah dalam kalangan remaja berikutan rekod Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) pada tahun lalu menunjukkan kira-kira 8,000 daripada 11,000 penagih berusia 18 hingga 39 tahun.

"Inisiatif yang diwujudkan hujung bulan lalu itu mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya mengumpul jumlah Like lebih 6,500 dan saya meminta AADK untuk menggandakan usaha bagi meningkatkan jumlah itu sebelum hujung tahun ini.

"Laman sosial itu amat penting kerana ia membolehkan kita menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan kesedaran awam, pencegahan dadah, rawatan dan pemulihan, pengesanan dan pengawasan serta aktiviti Skuad 1Malaysia dan AADK seluruh negara," katanya.

Beliau berucap melancarkan Facebook Skuad 1Malaysia sempena sambutan peringatan Hari Antidadah Antarabangsa (Hada), di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Suhaimi Abdullah.
Hari Antidadah Antarabangsa bakal disambut pada 24 Jun di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

- BERNAMA

Sabtu, Jun 16, 2012

TNB hanya miliki akaun facebook/tnbcareline

Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengingatkan pengguna supaya mengelak daripada berinteraksi dalam beberapa akaun Facebook yang menggunakan nama syarikat itu.

Dalam satu kenyataan, TNB berkata syarikat utiliti itu hanya mempunyai satu akaun Facebook rasmi yang boleh dilayari di www.facebook.com/tnbcareline .

Kewujudan akaun-akaun yang menggunakan nama TNB telah mengelirukan pengguna dan menganggap ia akaun rasmi, kata Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat) TNB Adelina Iskandar.

Akaun-akaun tersebut tidak dikemas kini dan tidak memberi maklum balas tepat terhadap soalan dan aduan pengguna, katanya.

Beliau berkata untuk keselesaan dan kemudahan pengguna, TNB melalui Pusat Pengurusan Panggilannya, TNB CareLine, menyediakan lima saluran utama untuk dihubungi.

Saluran itu ialah telefon atau fax 1300-88-5454 (Pusat Pertanyaan Sehenti - OSEC) bagi pertanyaan dan aduan pengguna berkaitan bil dan akaun TNB; telefon atau SMS 1-5454 (Pusat Pengurusan Panggilan - CMC) bagi laporan gangguan bekalan elektrik; dan kerosakan lampu jalan TNB, e-mel tnbcareline@tnb.com.my.

Dua saluran lain ialah pertanyaan/aduan/maklum balas secara “tepat masa" menerusi Webchat di www.tnb.com.my; dan www.facebook.com.my/tnbcareline bagi memberi pandangan, maklum balas serta cadangan membina untuk mempertingkat perkhidmatan TNB.

- BERNAMA

Khamis, Jun 14, 2012

Kebanyakan Belia 'Semakin Bermoral' – Kaji Selidik

Satu kajian mendapati golongan belia Malaysia adalah bermoral di mana kebanyakan mereka tidak melibatkan diri dengan aktiviti maksiat seperti judi dan lumba haram.

Tetapi pakar mempersoalkan mengenai ketetapan hasil kajian Indeks Belia Malaysia 2011 oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Laporan kaji selidik itu sendiri menasihatkan supaya berhati-hati untuk menerima hasil itu dalam kategori Salah Laku.

Laporan yang berdasarkan jawapan 6,267 responden dari 13 negeri dan wilayah persekutuan berkata, belia berkata, belia secara konsisten mencatatkan atas daripada 96 mata (bagi skala 0 sehingga 100) dalam enam sub-petunjuk di bawah kategori Salah Laku, menunjukkan perubahan positif berbanding dua kaji selidik sebelumnya pada 2006 dan 2008.

Perubahan paling postif adalah dalam sub-petunjuk “tidak berjudi / tidak terlibat dalam perjudian sehingga terpaksa berhutang”, dengan catatan responden iaitu 99.0 mata – hampir 11 mata meningkat daripada catatan pada 2008 iaitu 88.7 dan lebih tinggi berbanding 2006 dengan 86.6.

Responden turut mencatatkan hampir sempurna dengan 99.0 mata dalam sub-kategori “tidak terlibat dalam lumba haram, satu peningkatan yang mantap daripada 96.3 mata pada 2008 dan 95.4 mata pada 2006.

Turut terdapat peningkatan yang mendadak bagi belia yang mengelakkan seks luar nikah.

Ia juga terdapat peningkatan yang ketara dalam pemarkahan tiga sub-petunjuk lain iaitu tidak minum alkohol, tidak minum alkohol sehingga mencetuskan huru-hara, tidak merosakkan harta benda awam dan tidak mengambil dadah atau bahan larangan.

Bagaimanapun, laporan itu berkata, kajian itu menggunakan penarafan diri, yang mendorong kepada kecenderungan memberikan maklum balas yang diingini orang ramai untuk melihat mereka lebih baik meskipun maklumat responden akan dirahsiakan.

Seorang perunding media, yang enggan dikenali berkata, vandalisme dan lukisan grafiti tidak menular seperti di kebanyakan negara lain.

“Dan tidak seperti belia di Britain yang pergi minum di pesta-pesta, dan belia kita tidak minum sehingga mencetuskan kekacauan,” katanya.

- MSTAR

Rabu, Jun 13, 2012

Mitos Ikan Puyu



SAAT Siti Patimah Mohammad masih kecil, beliau sering mendengar kisah yang disampaikan bapanya tentang mitos ikan puyu. Antara cerita yang masih segar dalam ingatannya ialah fungsi ikan itu ketika wanita hendak bersalin.

"Orang dulu-dulu bungkus ikan puyu yang masih hidup dalam kain. Kemudian, mereka gantung pada pintu rumah waktu perempuan melahirkan anak. Ikan tersebut dibiarkan di situ sehingga ia kering.

"Saya kurang jelas kegunaan ikan tersebut tapi apa yang diberitahu ia dapat mengelakkan benda jahat daripada mengganggu proses kelahiran.

"Biasalah, zaman dahulu orang tua banyak pantang larang dan mungkin ia kepercayaan mereka bagi mengekang gangguan makhluk halus. Sejauh mana kebenarannya saya sendiri tidak pasti," bersahaja nada wanita berusia 58 tahun itu ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.

Sambil memperbetulkan umpan berupa cengkerik pada mata kailnya, Patimah tidak henti-henti berkongsi kisah menarik tentang ikan yang dilabelkan 'ikan longkang' oleh kebanyakan orang itu. Menurutnya, beliau sendiri kurang mengambil berat sisi mistik puyu yang digembar-gembur masyarakat. Baginya, adalah lebih baik sekiranya ciri-ciri positif hidupan air itu yang diperbesarkan.

Tambah Patimah, tidak ramai orang di negara ini memilih puyu sebagai lauk, malah ada tanggapan yang menyifatkan pilihan itu sebagai pelik. Namun bagi beliau, puyu yang dimasak gulai lemak kuning mampu menambat selera siapa sahaja yang tidak pernah merasai keenakan ikan air tawar itu.

"Saya sudah mengenali ikan puyu ini sejak kecil lagi. Mungkin kerana saya dilahirkan, dibesarkan dan menetap di sini membuatkan ikan tersebut tidak asing dalam menu hidangan keluarga saya.

"Tambahan pula, kawasan kami dikelilingi sawah padi dan tali air iaitu lubuk paling sesuai buat puyu membiak. Sejak dahulu, saya gemar menangkap puyu tidak kira di sawah ataupun di parit kecil.

"Walaupun sudah bergelar warga emas, saya masih kerap memancing puyu di longkang hadapan rumah saya ini. Selalunya saya memancing untuk tempoh beberapa jam bermula dari pukul 2 petang hingga 4 petang.

"Jika cuaca panas, saya hanya turun selepas pukul 5 petang," tutur Patimah yang mendedahkan waktu tengah hari merupakan jangka masa terbaik menangkap puyu kerana ia tempoh puyu memburu umpan.

Hasil tangkapan beliau kemudiannya dipecahkan mengikut saiz ikan tersebut. Puyu bersaiz besar akan dimasak manakala yang kecil dibela di dalam akuarium atau telaga kecil di belakang rumahnya.

Elak pukau

Suami Patimah, Buani Roski, 63, juga penggemar ikan air tawar terutama puyu. Pesara syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) itu menyifatkan puyu sebagai ikan tahan lasak yang tidak memerlukan penjagaan rapi. Rasa lemak yang tinggi daripada ikan itu cukup menyelerakan tekaknya.

Berbalik pada kepercayaan misteri yang dikaitkan dengan ikan itu, Buani hanya tertawa kecil saat dijentik persoalan sedemikian. Katanya: "Ikan puyu dan perkara mistik tidak dapat dipisahkan. Ia umpama cerita turun-temurun dalam masyarakat tempatan tidak mengira bangsa.

"Keupayaan ikan puyu sebagai pelindung rumah ialah versi paling kerap didengar. Ramai membela puyu bagi mengelakkan rumah mereka dimasuki pencuri yang menggunakan ilmu pukau," ujarnya.

Mereka yang terikut-ikut akan kepercayaan itu bersandar kepada teori bahawa pukau tidak akan berkesan jika terdapat benda hidup di dalam rumah yang masih berjaga.

"Puyu dikatakan sejenis ikan yang tidak tidur malam. Sebab itulah, kehadirannya di dalam rumah dipercayai boleh membatalkan usaha penjahat yang ingin memukau penghuni sesebuah rumah," jelas Buani mengenai dakwaan tersebut, namun dia lebih percaya pada kuasa dan ketentuan Allah SWT.

Lebih menguji akal logik, ikan yang mampu hidup melebihi 24 jam di atas daratan itu dikatakan sebagai alat mainan yang digemari toyol dan orang bunian!

Dalam penceritaan lain, ciri fizikal ikan yang mampu mencecah usia lima tahun itu juga dipercayai digeruni makhluk halus termasuk syaitan dan jin. Duri tajam yang terdapat pada puyu dikatakan menyekat kebal makhluk tersebut untuk masuk ke dalam rumah manusia.

Dalam dunia perdukunan, puyu turut menjadi medium memindahkan objek santau yang dihantar kepada seseorang. Santau yang diperoleh mangsa dipindahkan ke dalam badan puyu. Begitupun, ada juga yang menjadikannya sebagai objek untuk menyantau orang lain.

Puyu sawah

Seperti yang diketahui umum, kawasan bendang dan tali air menjadi tempat permainan ikan puyu. Selepas tempoh menuai, air menjadi semakin cetek dan ia merupakan waktu paling seronok bagi orang kampung menangkap puyu yang terperangkap di petak-petak sawah.

Bagi Mohd. Yatim Basri, 59, dua petak sawah miliknya di Kampung Sungai Haji Dorani menjadi kawasan ideal buat ikan-ikan air tawar ditangkap. Tiada kolam khas dibuat untuk pemeliharaan ikan tersebut malah beliau menyerahkan sahaja proses pembiakan spesies itu kepada alam semula jadi.

"Budak-budak kecil paling suka menangkap ikan puyu. Masa air cetek, ikan puyu bertaburan dan mudah ditangkap, berbeza pada waktu air dalam.

"Saya masih ingat ketika tahun 1970-an, ikan puyu yang ditangkap dijual pada harga 50 sen sekati atau kini 600 gram (g). Sekarang pula harganya telah melonjak sehingga mencecah RM12 sekilogram.

"Memandangkan rumah saya dikelilingi sawah, aktiviti menangkap ikan itu bolehlah dikatakan kerap. Anak-anak dan cucu-cucu juga tidak terkecuali memancing puyu. Ia enak dimasak sambal atau digoreng," ujar Yatim yang memancing menggunakan batang buluh kecil buatan sendiri.

- KOSMO!

Ahad, Jun 10, 2012

Halang Jenayah Tempat Letak Kereta

Polis akan menjalinkan kerjasama rapat dengan pengendali pusat membeli-belah sambil memberi penerangan mengenai langkah keselamatan bagi membendung kes jenayah di premis berkenaan termasuk penculikan di tempat letak kereta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata beliau telah mengarahkan semua ketua polis daerah supaya mendekati pihak pengurusan keselamatan pusat membeli-belah di kawasan masing-masing.

"Kakitangan keselamatan swasta yang dilantik oleh pusat membeli-belah juga perlu dilatih untuk bertindak secara berkesan dan ini hanya boleh dilakukan melalui latihan yang sesuai," katanya kepada The Star di Petaling Jaya.

Beliau berkata polis akan menganjurkan kempen bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan peribadi kerana menurutnya pengetahuan adalah kunci untuk mengelak daripada menjadi mangsa.

Sementara itu Tun Hisan turut menasihati orang ramai agar melaporkan segera sebarang tindakan atau situasi yang mencurigakan.

"Bagi mereka yang menggunakan telefon pintar, anda boleh menggunakan aplikasi My Distress untuk mendapatkan bantuan polis jika mereka berada dalam situasi tersebut.

"Jika sesuatu yang aneh menghampiri anda, cuba untuk menuju ke kawasan yang mempunyai ramai orang serta elakkan konfrontasi.

"Jangan keluar bersendirian dan elak meletakkan kenderaan anda di kawasan yang terpencil," katanya sambil menggesa orang ramai, terutamanya wanita agar lebih berhati-hati.

Tambah beliau pusat membeli-belah harus mempamerkan nombor kecemasan mereka bagi memudahkan orang ramai menghubungi kakitangan keselamatan.

Tun Hisan berkata sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai apa-apa jenayah yang berlaku di pusat membeli-belah boleh menghubungi 03-5514 5222 atau pergi ke balai polis yang berdekatan.

- MSTAR

Rabu, Mei 30, 2012

Nasihat Polis (PDRM) : Waspada Orang Tidak Dikenali

WASPADA ORANG TIDAK DIKENALI

Seorang penunggang motosikal diarah berhenti oleh orang yang tidak dikenali. Sejurus melemparkan pelbagai tuduhan yang tidak berasas, mangsa dirompak dan motosikal turut dilarikan.

Kita harus mengambil berat perkara ini bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus dipelihara.

Sila kongsi dan sampaikan kepada kawan-kawan agar sama-sama kita cegah dan sama-sama kita elak dari menjadi mangsa.

Nasihat PDRM.

1) Polis telah dilatih untuk menahan kenderaan bergerak secara selamat. Jika diarah berhenti oleh Polis bertugas, patuhi arahan dan sila lakukan dengan betul dan selamat.

2) Ketika di atas jalan, sentiasa berwaspada dengan keadaan persekitaran, terutamanya jika ada kenderaan yang mengekori.

3) Jika berasa curiga atau mengesyaki sesuatu, terus pergi ke tempat selamat seperti Balai Polis, Balai Bomba, Hospital, Kem Tentera (jangan rempuh masuk kawasan larangan, berhenti di luar sahaja dan dapatkan bantuan anggota tentera bertugas), ataupun pergi ke tempat yang ramai orang.

4) Dalam keadaan terdesak akibat diacu dengan senjata, elakkan konfrantasi (bertekak, cabar-mencabar) yang boleh membahayakan diri. Cuba ingat apa-apa butiran yang sempat kita perhatikan seperti keadaan fizikal penjenayah (muka, tatoo, tahi lalat, parut, cara/loghat pertuturan), atau kenderaan yang digunakan (jenis, nombor pendaftaran, warna). Perkara ini penting dalam siasatan.

5) Jika melihat kejadian yang mencurigakan berlaku di tepi jalan (seseorang dalam ketakutan dan berhadapan dengan dua atau tiga orang yang bengis atau bersenjata), sila hubungi pihak polis dengan SEGERA kerana mangsa tidak berpeluang meminta bantuan. Hotline: 03-22663333.

6) Jika kita mempunyai “Distress Button” (MyDistress), sila gunakan secara berhati-hati agar tidak dikesan oleh penjenayah.

7) Ingat, kejadian jenayah harus dilaporkan supaya pihak polis dapat kumpulkan maklumat atau keterangan untuk tindakan selanjutnya.

8) Jika kita yakin dan keadaan mengizinkan, bolehlah kita laksanakan langkah-langkah mengelak dan melarikan diri dari bahaya.

Polis dan Masyarakat bersama memerangi Jenayah.

SUMBER : POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)

Isnin, Mei 21, 2012

Banyak Nama Pelik Di Sabah

Oleh DURIE RAINER FONG

KOTA KINABALU: Mereka yang bukan berasal dari Sabah sering keliru dengan nama-nama pelik yang digunakan penduduk pelbagai etnik di negeri itu.

Nama-nama pelik seperti Mogumbirak, Tigabelas, Ponyrace, Samalia Cuba dan Rothmans sering menjadi bahan gurauan dan menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sabah.

Namun, terdapat cerita menarik di sebalik bagaimana nama-nama tersebut diberikan seperti dalam kes melibatkan seorang bekas Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah, Datuk Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin.

"Agak sukar untuk membawa nama ini. Di sekolah, saya sering diusik dan sukar untuk berkawan tetapi saya belajar membiasakan diri dengan keadaan itu," katanya.

Beliau berkata, nama tersebut diberikan selepas kematian tragik berturut-turut yang menimpa keluarganya.

Nama itu sebenarnya diberikan untuk menyelamatkan nyawa beliau.

"Sebelum kehadiran saya, ibu bapa saya memiliki 12 cahaya mata dan kesemuanya meninggal dunia.

"Mereka (ibu bapa) mendapatkan nasihat daripada penduduk kampung di Kota Belud termasuk bomoh dan mereka memberitahu sama ada memberikan saya nama unik atau menyerahkan saya kepada keluarga angkat," katanya.

Tigabelas berkata, doktor yang menyambut kelahirannya mencadangkan nama tersebut kepada ibu bapanya selepas mengetahui mengenai kematian adik-beradik saya.

"Selepas mengetahui saya anak yang ke-13, dia mencadangkan agar saya dinamakan Tigabelas.

""Saya percaya, saya anak ke-13 yang bertuah kerana hanya saya seorang terselamat. Ibu melahirkan dua anak selepas saya tetapi mereka turut meninggal," katanya.

Dalam kebanyakan kes melibatkan nama aneh, ibu bapa yang buta huruf pada 1960 dan 1970 merupakan penyebab utama.

Mereka memberikan nama berdasarkan bunyi atau memilih perkataan popular seperti Ponyrace atau jenama rokok terkemuka seperti Rothmans atau Benson.

Mogumbirak, seorang lelaki dari etnik Rungus berusia 50 tahun yang berasal dari Kudat menarik perhatian tanpa diminta.

Pekerja buruh, Samalia Cuba yang namanya diangkat sempena dua negara iaitu Somalia dan Cuba enggan memberikan sebab keluarganya memilih nama tersebut.

"Tidak apalah, tidak payah tanya. Saya ada kerja sekarang," katanya.

- MSTAR

Jumaat, Mei 18, 2012

Laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 dari Kuala Terengganu - Telemung - Ajil ke Bukit Besi dibuka secara terus


Sebahagian Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) dari persimpangan bertingkat Ajil ke persimpangan bertingkat Telemung di Terengganu dibuka kepada semua lalu lintas mulai pukul 10 pagi, 18 Mei 2012 (Jumaat).



Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ismail Md Salleh berkata pembukaan jajaran sepanjang 21 kilometer itu membolehkan pengguna menikmati perjalanan terus ke Kuala Terengganu dengan had laju 110 kilometer sejam, tanpa henti ke Persimpangan Bukit Besi di Dungun.

"Ini secara tidak langsung memendekkan tempoh perjalanan dari 1 jam 30 minit kepada 40 minit," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pembukaan sebahagian lebuhraya LPT 2 itu juga dapat mengurangkan kadar kesesakan di Jalan Persekutuan 14 pada waktu puncak dan musim perayaan serta cuti persekolahan.

Ismail berkata ia juga memberi alternatif kepada pengguna untuk perjalanan lebih cepat dan selesa selain menjana ekonomi di Pantai Timur.

Sementara itu, laluan Persimpangan Kijal (Pakej 5A) hingga Persimpangan Kerteh (Pakej 6) juga turut dibuka kepada awam, namun perasmian pembukaan oleh Pengarah Pembinaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 akan diadakan pada Jun depan.

Untuk makluman, tiada tol akan dikenakan kepada pengguna lebuhraya bagi laluan ini sehinggalah keseluruhan lebuhraya ini disiapkan. Pasukan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 menasihati pengguna agar berhati-hati semasa memandu dan mematuhi setiap peraturan-peraturan papan tanda di lebuhraya ini.

Laluan 1 : Persimpangan Ajil (Pakej 10) ke Persimpangan Telemung (Pakej 10

Laluan 2 : Persimpangan Kijal (Pakej 5A) hingga Persimpangan Kerteh (Pakej 6)

- BERNAMA

4 Jun 2012 diisytihar cuti umum di Sarawak

Kerajaan Sarawak mengisytiharkan 4 Jun tahun ini sebagai cuti umum di negeri ini, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata ia sebagai cuti ganti untuk hari kedua perayaan Gawai Dayak, yang tarikhnya sama dengan hari ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Perisytiharan itu dibuat mengikut Seksyen Lima Ordinan Cuti Umum, kata beliau dalam kenyataan di sini.

Gawai Dayak, yang disambut masyarakat itu sebagai tanda mensyukuri hasil tuaian padi yang melimpah ruah pada 1 dan 2 Jun setiap tahun, adalah cuti umum di Sarawak.

- BERNAMA

Rabu, Mei 16, 2012

18,243 membida nombor plat "WWW"

PUTRAJAYA 15 Mei - Pembidaan nombor pendaftaran kenderaan siri

"WWW" mencatat rekod baru apabila sebanyak 18,243 bidaan diterima sehingga tarikh tutup pada pukul 12 tengah hari semalam, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha hari ini.

Beliau berkata pembidaan itu mencatat hampir empat kali ganda bidaan

berbanding rekod tertinggi sebelum ini, iaitu nombor pendaftaran kenderaan siri "WVW" yang mempunyai 4,750 bidaan.

"Ini memang di luar jangkaan kita. Sehubungan itu, ia akan mengambil masa untuk memproses dan menganalisis bidaan yang diterima. Para pegawai kami sedang bertungkus-lumus. Kita tidak mahu ada bidaan yang tertinggal. Kami harap orang ramai faham.

"Keputusan (bidaan) dijangka diumumkan pada 24 Mei nanti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan 2011-2015 di sini hari ini.

Bidaan bagi nombor pendaftaran siri itu yang dibuka pada 30 April lalu

mendapat sambutan luar jangkaan apabila 12,805 bidaan diterima di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, JPJ Bandar Seri Permaisuri (2,362), JPJ Maju Juntion (926) dan Pos (2,150).

Pembidaan nombor pendaftaran kenderaan "WWW" dijangka mencatatkan harga paling tinggi dalam sejarah tempahan nombor pendaftaran kenderaan di negara ini.

Terdapat empat kategori nombor yang boleh ditempah iaitu nombor bernilai

utama, nombor menarik, nombor popular dan nombor semasa.

- BERNAMA

Selasa, Mei 15, 2012

Potret PERCUMA Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 14, Tuanku Abdul Halim


Potret PERCUMA Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke XlV boleh didapati di :

Pusat Sumber dan Fotografi
Jabatan Penerangan Malaysia
Aras 9, Kompleks Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
No. 49, Persiaran Perdana, Presint 4
62100 Putrajaya

dan di semua Jabatan Penerangan Negeri

Untuk maklumat lanjut sila hubungi : 03-89117412 / 7381 atau e-mel webmaster@inform.gov.my
 Maklumat lanjut dan Senarai Cawangan Jabatan Penerangan Negeri : http://www.penerangan.gov.my/
 
 
 
 

Ahad, Mei 13, 2012

Pemeriksaan Imigresen Di Kaunter Daftar Masuk KLIA


Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)dengan kerjasama Malaysia Airlines (MAS) akan memperkenalkan perkhidmatan pemeriksaan imigresen di kaunter daftar masuk untuk penumpang kelas pertama dan ahli Enrich Platinum.

Inisiatif itu merupakan salah satu usaha Imigresen KLIA untuk mengukuhkan kedudukannya dalam senarai lima teratas perkhidmatan imigresen lapangan terbang terbaik dunia, yang diiktiraf oleh Skytrax2012 World Airport Awards, baru-baru ini.

Perkhidmatan pemeriksaan imigresen di kaunter daftar masuk merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Ketua Imigresen KLIA, Mohd Zulfikar Ahmad berkata, Februari lalu, MAS telah mengusulkan tentang langkah-langkah untuk membantu menambahbaik perkhidmatan untuk para penumpang.

“Hasilnya, perkhidmatan pemeriksaan imigresen di kaunter daftar masuk akan diperkenalkan buat pertama kalinya dalam penerbangan MAS yang menggunakan pesawat baru A380 pada Julai ini,” katanya kepada mStar Online.

Airbus A380 adalah pesawat penumpang terbesar di dunia itu mempunyai 494 tempat duduk dan MAS merupakan syarikat penerbangan kelapan di dunia yang menggunakan pesawat itu.

MAS akan menggunakan pesawat baru A380 bagi perkhidmatan komersial dalam penerbangan sektor Kuala Lumpur-London mulai 1 Julai.

Mohd Zulfikar berkata, perkhidmatan pemeriksaan imigresen itu turut melibatkan satu kaunter khas yang disediakan khusus untuk penumpang berkenaan di balai pelepasan dan ketibaan di KLIA.

“Penumpang (kelas pertama dan ahli Enrich Platinum) akan diiring oleh kakitangan MAS dari kaunter daftar masuk sehingga ke bahagian imigresen menerusi satu laluan khas untuk pelepasan, dan mereka akan dilayan seperti VVIP,” katanya.

Menurut Mohd Zulfikar, perkhidmatan tersebut turut dilaksanakan untuk ketibaan penumpang MAS kelas pertama dan ahli Enrich Platinum, yang akan diiringi sehingga ke kaunter khas untuk menjalankan pemeriksaan imigresen.

Sebanyak 46 kaunter imigresen di balai pelepasan dan 48 lagi untuk ketibaan di KLIA, di mana setiap satu daripadanya dijadikan sebagai kaunter khas untuk kemudahan itu.

Mohd Zulfikar berkata, pada masa ini, Imigresen KLIA sudah pun mempunyai laluan premier untuk penumpang kelas pertama dan kelas perniagaan namun katanya, kadang-kala berlaku kesesakan pada waktu puncak apabila beberapa penerbangan tiba pada waktu yang sama di KLIA.

“Secara purata, setiap penumpang di laluan premier perlu menunggu untuk pemeriksaan imigresen kira-kira 10 minit pada waktu puncak. Dengan laluan khas yang baru ini, masa menunggu secara purata adalah dua minit, sekali gus melancarkan pergerakan penumpang,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama antara Imigresen KLIA dan MAS bukan sahaja untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan penumpang syarikat penerbangan itu bahkan meningkatkan kecekapan pemeriksaan imigresen di lapangan terbang terutama pada waktu puncak.

“Imigresen KLIA bukan sahaja berfungsi untuk mengawal keselamatan dan melancarkan operasi di pintu masuk utama negara bahkan turut merupakan sebahagian daripada lapangan terbang ini dalam memberi keselesaan kepada penumpang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai bila perkhidmatan itu akan diperkenalkan pula kepada penumpang MAS kelas perniagaan, Mohd Zulfikar berkata: “Ia bergantung kepada keputusan MAS selaku syarikat penerbangan namun bagi pihak kami sudah bersedia untuk melaksanakannya dalam operasi pemeriksaan imigresen dengan lebih efektif.”

Sebelum ini, Imigresen KLIA mendapat pengiktirafan oleh Skytrax sebagai Perkhidmatan Imigresen Lapangan Terbang Terbaik Dunia selama dua tahun berturut-turut sejak 2010.

Keputusan Skytrax 2012 World Airport Awards berdasarkan kaji selidik terhadap 12 juta penumpang dalam tempoh 10 bulan, merangkumi 388 lapangan terbang di seluruh dunia.

- MSTAR

Selasa, Mei 08, 2012

Masyarakat Sikh Diberikan Cuti Tanpa Rekod Sempena Hari Vaisakhi Bermula 2013

Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Isnin mengumumkan pelbagai hadiah istimewa untuk masyarakat Sikh membabitkan peruntukan keseluruhan RM4 juta bagi meningkatkan kualiti hidup termasuk bantuan keagamaan, pendidikan dan sosial, sempena sambutan Hari Vaisakhi.

Lebih bermakna, Perdana Menteri turut mengumumkan cuti tanpa rekod kepadapenjawat awam berbangsa Sikh bagi memberi peluang kepada mereka melaksanakantanggungjawab pada hari keagamaan itu yang disambut pada 14 April setiap tahun.

Bagi mengiktiraf peranan yang dimainkan rumah-rumah ibadat, Perdana Menteri mengumumkan pemberian RM1.5 juta kepada Majlis Gurdwara Malaysia pada tahun ini seperti yang diberikan pada 2011.

Melalui bantuan kewangan itu Najib berharap gurdwara di seluruh Malaysia dapat diselenggara dengan baik dan seterusnya membawa kepada suasana yang lebih sesuai dan selesa bagi penganut Sikh untuk mengamalkan aktiviti keagamaan mereka.

"Tambahan pula, saya difahamkan bahawa dana ini turut digunakan untuk membantu gurdwara yang mengalami kesusahan akibat bencana seperti banjir, kebakaran dan sebagainya," katanya ketika berucap pada majlis RumahTerbuka 1Malaysia Vaisakhi 2012 di Dataran Merdeka di sini, malam Isnin. Selain itu, sebanyak 18 gurdwara yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan perhatian khas akan diberi peruntukan berjumlah RM900,000 atau RM50,000 setiap satu.

Gurdwara tersebut adalah Gurdwara Saheb di Bayan Baru, Malim Nawar, Port Dickson, Tanah Rata, Kota Bharu, Petaling Tin, Kajang, Kuala Pilah, Changkat Tin, Kuala Kubu Baru, Pokok Assam, Bentong, Alor Setar, Tanjung Tualang, dan Kampung Pandan, serta Gurdwara Saheb di Sabah dan Sarawak, iaitu di Sandakan, Lahad Datu dan Sibu.

Kerajaan juga, kata Najib, akan menyalurkan RM300,000 atau RM100,000 setiap satu bagi tujuan pembinaan tiga gurdwara di Shah Alam, Subang Jaya dan Georgetown.

Peruntukan RM300,00 juga akan disalurkan kepada Gurdwara Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur untuk pembinaan Pusat Sumber Sikh Kebangsaan di samping RM200,000 bagi kerja menaiktaraf krematorium di Jalan Loke Yew di sini supaya upacara pengebumian bagi masyarakat Sikh dapat dijalankan dengan lebih selesa.

Bagi meningkatkan lagi akses dan kualiti pengajaran bahasa Punjabi, Najib berkata kerajaan akan memberi tambahan RM500,000 tahun ini bagi pengeluaran buku teks kepada pelajar-pelajar yang diberi secara percuma.

Perdana Menteri berkata peruntukan merupakan tambahan kepada RM500,000 yang disalurkan Kementerian Pelajaran kepada Khalsa Diwan Malaysia yang mula menerimanya tahun lepas.

Buat kali pertama, kertas ujian Punjabi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas mencatatkan rekod lulus 100 peratus,dan 51 peratus pelajar yang menduduki mata pelajaran tersebut mencapai gred A, manakala dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula, pencapaian kelulusan adalah setinggi 92 peratus dengan 38 peratus mencapai gred A.

Bagi pembangunan golongan muda pula, RM800,000 akan disalurkan kepada Pertubuhan Sikh Naujawan Sabha Malaysia bagi membantu mereka menjalankan aktiviti di seluruh negara.

"Semua peruntukan dan kemudahan itu merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional untuk menjaga kepentingan semua kaum di negara ini termasuk kaum Sikh," kata Najib.

Perdana Menteri berkata ia jugaadalah bagi menyatakan penghargaan kerajaan dan negara kepada kaum Sikh tempatan yang telah bersama-sama membina keamanan dan kemajuan negara sejak Perang Dunia Kedua lagi.

"Istilah yang sesuai berdasarkan istilah bahasa Punjabi ialah 'Vishwaz' iaitu keyakinan.Kalau kita dapat pupuk semangat 'Vishwaz' ini, saya percaya banyak lagi yang dapat dilakukan untuk masyarakat Sikh," katanya.

- BERNAMA

Rabu, Mei 02, 2012

Memori Buku Biodata - Cara Manual Menjalinkan Hubungan





BUKU berbalut kertas warna hitam itu tampak sedikit usang. Ditenung secara kasar, ia tidak ubah seperti buku nota biasa kepunyaan pelajar sekolah. Apabila diselak sehelai demi sehelai lembaran muka surat buku tersebut, terbongkar nostalgia yang mencuit hati.

Cukup popular dengan nama buku biodata, buku peribadi milik Mohd. Haiqal Abdullah Chik, 24, itu dipenuhi profil lebih 200 rakan sekolah menengahnya.

Usia buku itu sahaja sudah mencecah 12 tahun, tetapi masih disimpan sebagai kenangan terindah Haiqal. Masih hijau dalam benak lelaki itu, fenomena buku biodata cukup kuat sehingga hampir setiap remaja dahulu mempunyai buku biodata masing-masing.

"Saya mula membuat buku biodata pada tahun 2001. Ketika itu saya merupakan pelajar tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pendang, Kedah.

"Tujuan asal membuat buku itu adalah bagi mengumpulkan maklumat asas rakan-rakan maktab seperti alamat dan nombor telefon mereka. Kami semua datang dari negeri berbeza dan buku itu penting sebagai rujukan untuk berhubung ketika waktu cuti.

"Maklum sahaja, waktu itu komunikasi menerusi telefon bimbit baru hendak berkembang. Internet pula masih berada pada tahap awal. Hanya buku biodata menjadi pengerat hubungan kami," imbas Haiqal yang berasal dari Kuala Selangor.

Selaku trend yang pantas berkembang, tujuan asal buku tersebut berubah menjadi lebih menarik. Ruangan maklumat asas diri turut memberi peluang kepada rakan-rakan berkongsi informasi yang sebelum itu dikategorikan sebagai rahsia.

Selain nama penuh dan alamat, maklumat seperti nama timangan, makanan dan minuman kegemaran, rakan baik, cita-cita, kata-kata semangat dan artis pujaan menunjukkan betapa ikhlas persahabatan yang dijalin saat itu.

Tidak dinafikan informasi yang dikongsi adakalanya agak tidak relevan tetapi hakikatnya, ia mencerminkan personaliti dan karakter seseorang itu.

"Kelebihan buku biodata terletak pada kesungguhan seseorang itu menghasilkan biodata diri mereka. Masing-masing cuba memberi maklumat terbaik tentang diri dan bangga dengan apa yang ditulis.

"Fakta yang diberikan juga tepat dan paling penting adalah kreativiti mereka jelas dilihat berdasarkan biodata yang diisi. Ada dalam kalangan mereka yang mengambil serius buku biodata ini sampai sanggup menghiasnya dengan cantik," jelas Haiqal yang sedang mengikuti program ijazah sarjana muda pendidikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Kreativiti perempuan

Seorang lagi bekas pelajar MRSM Pendang, Nur Khalilah Khalid, 24, juga tidak terkecuali daripada memiliki buku biodata ketika zaman sekolah. Menariknya, wanita yang kini bertugas sebagai pembantu juruaudit itu menyediakan buku biodata mengikut kelas.

Bicara anak jati Kuala Lumpur itu, perbezaan ketara antara biodata pelajar lelaki dan perempuan adalah dari segi kreativiti. Tidak dinafikan, perempuan lebih kreatif, manakala lelaki gemarkan biodata ringkas.

"Perempuan suka bersaing menghasilkan biodata yang paling cantik. Selepas melihat kawan lain menonjolkan skil tersendiri, yang lain cuba menyaingi dengan membuat biodata lebih kreatif.

"Disebabkan itu, biodata perempuan sering dipenuhi kertas-kertas warna yang dipotong pelbagai bentuk dan ditampal mengikut susunan menarik.

"Pen warna juga sangat popular sebagai pelengkap hiasan biodata pelajar perempuan. Kadang-kadang duit belanja diperuntukkan bagi membeli pen warna dan ada pula yang meminjam rakan lain demi mencantikkan ruangan maklumat mereka," lucu kenangan yang disingkap Khalilah yang juga suka bersaing pada waktu itu.

Berbeza dengan lelaki, tambah Khalilah, pen biru atau hitam dan karikatur pemain bola sepak sudah cukup melengkapkan biodata kaum Adam.

Cerita graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu, kebanyakan lelaki menggunakan sehelai muka surat sahaja untuk biodata mereka dan ada antara mereka tanpa segan silu meletakkan nama perempuan yang diminati.

Taktik yang digunakan lelaki itu kadangkala menjadi dan dalam diam perempuan yang diminati itu memberi maklum balas positif.

"Buku biodata bukan sekadar buku maklumat kepada kami. Ia memberi keceriaan, menghidupkan suasana dan paling penting memberi kesempatan untuk kami mengenali kawan-kawan berlainan kelas.

"Cikgu-cikgu juga tidak pernah merasakan buku biodata sebagai perkara melekakan malah mereka juga sama-sama berkongsi maklumat dalam buku biodata pelajar.

"Maklumat yang diberi dahulu banyak telah berubah namun, apabila kita melihat kembali ia sebenarnya menunjukkan diri kita yang masih mentah dan jujur," ujar Khalilah.

Diganti Facebook

Kecanggihan teknologi telah mendorong perkembangan perhubungan. Dalam konteks buku biodata, ia kian pupus dan tidak lagi dipraktikkan majoriti pelajar sekolah.

Kelahiran laman-laman sosial bermula daripada Friendster, Myspace dan Facebook menggugat populariti buku biodata. Kemudahan perkongsian maklumat hari ini dirasakan lebih praktikal dalam kalangan anak-anak muda moden.

Haiqal sendiri lebih bersetuju dengan laman sosial baharu sebagai pengerat hubungan tetapi, tetap tidak menyangkal kelebihan yang dimiliki buku biodata.

"Banyak orang dalam laman sosial tidak jujur. Maklumat yang dikongsi juga kebanyakannya palsu. Masing-masing cuba menjadi orang lain agar kelihatan menarik sedangkan dalam dunia realiti karakter mereka bertentangan dengan apa yang dipaparkan.

"Buku biodata ditulis dengan keikhlasan. Tujuan kita untuk berkenalan itu berasaskan nilai persahabatan. Setiap orang menjadi diri sendiri dan komunikasi secara bersemuka juga dipraktikkan," ungkap Haiqal yang juga seorang penulis blog menggunakan nama QarlHaiqal.

Bagi Michelle Francif, 23, membesar pada era kegemilangan buku biodata memang seronok. Walaupun penguasaan Internet kian melebar kini, ia masih gagal menandingi ciri klasik yang dipunyai 'buku remaja' itu.

Wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu menyifatkan penggunaan tulisan tangan pada buku biodata menyerlahkan perbezaan yang dipunyai sahabat.

"Facebook dan laman sosial lain menggunakan tulisan bertaip dan kriteria itu tidak menarik. Perkongsian gambar dalam alam maya mungkin mudah, tetapi sudah tentu ia lebih baik dalam bentuk fizikal.

"Saya sering menampalkan gambar waktu sekolah dalam buku biodata. Apabila diselak kembali, ia mengingatkan betapa pentingnya nilai persahabatan ketika itu.

"Hanya dengan sebuah buku, ia dapat mengajar saya dan rakan-rakan lain berkomunikasi dan berkenalan dengan rakan baharu," kongsi Michelle yang masih menyimpan buku biodatanya yang dibuat pada tahun 2002.

- KOSMO!

Selasa, April 24, 2012

Burger saiz super


TATKALA melihat hidangan burger sebesar pemeluk, sudah pasti melahirkan perasaan teruja kepada sesiapa sahaja.

Apatah lagi, burger merupakan salah satu hidangan yang menjadi pilihan penggemar makanan segera di negara ini.

Lazimnya, burger gergasi yang mencecah lebih tiga kilogram (kg) sebelum ini hanya dapat ditonton melalui kaca televisyen berdasarkan cerita dari luar negara ataupun Internet.

Ternyata, idea hidangan seumpama itu telah mencetus kreativiti beberapa pengusaha burger di negara ini.

Kini, penggemar makanan tempatan boleh menikmati burger gergasi di gerai burger YB yang terletak di Kompleks Perniagaan Anjung 7, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Burger gergasi buatan sendiri Abu Yazid Abdul Kadir, 32, itu menawarkan tiga pilihan saiz dan pelbagai jenis roti kepada penggemar burger yang inginkan sesuatu yang baharu.

Berbekalkan pengalaman selama hampir 14 tahun dalam bidang perniagaan burger, Abu Yazid berkata, pengenalan burger YB, iaitu singkatan untuk 'yang besar' adalah untuk mencipta kelainan kepada penggemar burger di negara ini.

"Sungguhpun pengenalan burger YB baru mencecah usia sebulan, permintaan terhadap burger berkenaan berjaya mencuri tumpuan orang ramai.

"Ia sesuatu yang di luar dugaan kerana saya tidak menjangka sama sekali burger besar ini akan mendapat permintaan tinggi," ujarnya ketika ditemui Kosmo!.

Pada mulanya, perasaan ragu-ragu menyelubungi pemilik burger YB itu memandangkan pembuatannya disasarkan untuk para tetamu jamuan hari jadi ataupun majlis korporat sahaja.

Lebih melucukan, terdapat segelintir pihak yang meragui kesahihan saiz burger berkenaan apabila gambarnya dimuat turun di laman blog. Bahkan, ada yang mengatakan ia adalah hasil kesan penyuntingan imej.

Bagaimanapun, anak jati Perak itu tidak pernah mengenal erti putus asa, sebaliknya terus berupaya menarik nafas lega apabila burger gergasi mula mendapat permintaan tinggi selepas beberapa minggu beroperasi.

"Saya perlu memastikan tempahan awal dilakukan terlebih dahulu oleh para pelanggan agar permintaan mereka dapat dipenuhi.

"Kualiti dan kesegaran dalam penyediaan burger YB amat dititikberatkan. Ia perlu dilakukan demi memberi kepuasan kepada pelanggan-pelanggan," katanya.

Aneka sos, roti dan patti

Abu Yazid menjelaskan, pelanggan-pelanggan boleh memilih tiga variasi berat patti daging. Mereka boleh memilih patti daging burger seberat satu kilogram (kg), 500 gram (g) atau 250g.

"Patti daging burger yang seberat sekilogram sesuai dimakan sehingga lapan orang, 500g pula untuk empat orang manakala 250g sesuai bagi pasangan.

"Kalau larat, boleh habiskan burger seberat sekilogram tersebut seorang diri," katanya berseloroh.

Selain daripada itu, pelanggan juga boleh memilih salah satu daripada tiga perisa daging patti iaitu lada hitam, cendawan, tom yam dan BBQ (barbeku).

"Pelanggan boleh memilih roti oregano, bawang putih, oat madu ataupun roti mil penuh mengikut selera masing-masing.

"Mengikut selera masing-masing, kami memberi pilihan sayur-sayuran untuk disertakan dalam burger YB iaitu salad, bawang, tomato, timun, kobis dan lobak merah," ujarnya yang sedang mengikuti kursus Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam.

Semua pilihan itu disempurnakan dengan aneka jenis sos tambahan dan buah-buahan termasuk lada hitam, cendawan, jalapeno, epal, nanas, serta zaitun.

Proses

Abu Yazid memberitahu, demi memastikan kesegaran, bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan patti daging, roti dan sayur-sayuran akan dibeli setiap hari mengikut tempahan.

"Pada awal pagi, saya akan ke pasar untuk membeli bahan-bahan mentah. Sekitar pukul 9 pagi, rutin harian mengisar patti daging dan mengadun bahan-bahan membuat roti akan dimulakan sebelum membuka perniagaan pada pukul 5 petang," ujarnya.

Mengimbas kembali tujuan dia membikin patti daging dan roti buatan sendiri, dia memberitahu, ia lebih segar malah enak apabila dimakan.

"Bahkan, saya telah melakukan kerja penyelidikan dan pembangunan terhadap pembikinan roti selama hampir empat bulan untuk memastikan ia lembut dan segar.

"Tidak ramai yang membuat roti burger sendiri apatah lagi apabila menghidangkan burger bersaiz besar kepada pelanggan-pelanggan," ujarnya.

Selain patti daging dan roti yang dibuat sendiri, Abu Yazid menambah, sos seperti lada hitam dan cendawannya merupakan resipi sendiri.

Terangnya, dia banyak menggunakan kaedah cuba-cuba dalam mengecapi kesempurnaan pembikinan produk buatan sendiri.

Tempahan dalam talian

Abu Yazid yang pernah mengikuti kursus pemprosesan daging Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada tahun 2011, memberitahu, dia menggalakkan para pelanggannya membuat tempahan sehari lebih awal sebelum datang ke gerainya.

Untuk tujuan itu, pelanggan boleh membuat tempahan melalui laman blog yazidburger.blogspot.com.

"Ini bagi memudahkan saya membuat persiapan bahan-bahan patti daging dan roti dengan kuantiti yang mencukupi.

"Ia juga dapat memastikan penggemar makanan segera ini tidak berasa hampa apabila mengunjungi kedai untuk menikmati burger YB," ujarnya.

Walaupun masih baru diperkenalkan, dia memberitahu, burger YB sudah menerima kunjungan pelanggan dari segenap negeri di Malaysia.

Justeru itu, dia berasa amat bertuah kerana dapat berkongsi resipi buatan sendiri untuk membawa keceriaan kepada pelanggan-pelanggannya.

Teruja

Sementara itu, seorang pelanggan burger YB, Mohd. Izham Mukhari, 27, mengakui, dia sangat teruja apabila kali pertama melihat burger besar tersebut.

"Kali pertama melihatnya, perasaan membuak-buak untuk merasainya. Ia sama sekali tidak menghampakan kerana apabila mengunyah, kita boleh merasai campuran rempah ratus yang sebati dalam burger berkenaan," katanya yang mencuba burger seberat 500g.

Izyani Zahari, 29, pula memberitahu, keenakan burger berkenaan bukan sahaja terletak pada patti malah rotinya.

"Tekstur roti sangat gebu dan lembut apatah lagi apabila kita menikmati bersama dengan daging burger serta sayur-sayuran.

"Dalam pada itu, ia amat sesuai untuk dinikmati secara beramai-ramai bersama keluarga dan kawan-kawan," kata pekerja swasta itu lagi.

Bagi seorang lagi penggemar burger YB, Norly Azman, 23, dia dapat merasai kelainan pada daging burger dan roti apabila menikmati burger YB.

"Daging yang dimakan terasa lebih segar dan tidak berminyak. Lebih utama, rupa dan rasanya membangkitkan selera," katanya.

- KOSMO!
 

Seremban Jadi Bandar Raya Sebelum Hujung Tahun 2012

SEREMBAN: Seremban akan diisytiharkan sebagai bandar raya ke-12 di negara ini sebelum hujung tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, kabinet telah meluluskan perkara ini dalam pertemuan terakhirnya dan kini hanya perlu menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz sebelum pengisytiharan dibuat.

"Saya berasa bangga untuk mengumumkan bahawa permohonan kerajaan negeri untuk menggabungkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) telah diluluskan. Seremban kini memenuhi semua kriteria untuk diiktiraf sebagai bandar raya," katanya.

Beberapa bandar raya lain di negara ini adalah Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching Utara dan Selatan, Johor Baru, Kota Kinabalu, Shah Alam, Melaka, Alor Star, Miri, Petaling Jaya and Kuala Terengganu.

Chor berkata untuk mendapat status bandar raya, kerajaan negeri perlu memperoleh pendapatan lebih daripada RM100 juta dan jumlah penduduk melebihi 500,000.

"Kerajaan negeri telah melepasi setiap peringkat untuk mendapat status bandar raya termasuk memiliki bilangan penjawat awam secukupnya untuk berkhidmat kepada penduduk di situ," katanya di sini malam Isnin.

Bilangan penduduk di Seremban dan Nilai meningkat secara mendadak selepas pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kawasan perindustrian dan penempatan baru serta hub pendidikan di Nilai, Bandar Enstek dan terbaru, Bandar Sri Sendayan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam temu bual terdahulu berkata, kerajaan negeri tidak akan tergesa-gesa untuk mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya.

"Kita perlu memastikan kemudahan asas dan awam berada dalam keadaan baik selain memastikan hasrat melihat sebuah bandar raya selamat dapat dicapai," katanya.

Kerajaan negeri telah menghantar permohonan untuk menggabungkan MPS dan MPN pada 2008.

Mohamad berkata, kerajaan negeri telah memenuhi lebih daripada 20 syarat sebelum ia boleh diluluskan sebagai bandar raya tetapi menunggu kelulusan kabinet berhubung penggabungan itu.

- MSTAR