Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 13, 2013

Google Malaysia nafi perkhidmatan digodam

 


Google Malaysia nafi perkhidmatan digodam

Google Malaysia menafikan enjin carian internet itu telah diceroboh oleh penggodam selama beberapa jam kelmarin.

Google Malaysia dalam satu kenyataannya berkata, sebaliknya pengguna yang melayari domain google.com.my itu hanya dibawa ke sebuah laman web yang lain.

Katanya, masalah tersebut tidak berlarutan terlalu lama dan hanya mengambil masa beberapa jam untuk pulih seperti sedia kala.

"Kita telah berhubung dengan organisasi yang bertanggungjawab menguruskan domain tersebut bagi menyelesaikan isu berkenaan," katanya di sini semalam.

Kelmarin, enjin carian internet itu digodam selama beberapa jam oleh satu kumpulan dari Pakistan yang dikenali 'Pasukan Madleets.'

Mereka berjaya mendapatkan akses Pusat Rangkaian Maklumat Malaysia dan menukar alamat sistem nama domain DNS laman web Google kepada pelayan Madleets.

Gangguan itu berlaku mulai pukul 12 tengah malam pada Jumaat, 11 Oktober 2013.

- KOSMO!




Isnin, Oktober 07, 2013

Blackberry perkenal model Z30


Blackberry perkenal model Z30

Syarikat pengeluar telefon pintar Blackberry memperkenalkan model terbarunya Z30 untuk kembali bersaing dalam pasaran peranti mudah alih.

Pengurus Besar Blackberry Malaysia, Annamalai Muthu berkata, model yang menyusuli Blackberry Z10 yang akan mula dijual pada RM1,998 pada 5 Oktober lalu turut membawakan beberapa penambahbaikan yang dihasilkan daripada kajian serta pemahaman terhadap kehendak terkini kumpulan sasar segmen itu.

Jelas Annamalai, Z30 yang dikuasakan oleh prosesor 1.7Ghz dua teras kembar dan sistem operasi Blackberry 10 itu turut akan di datangkan dengan teknologi antena yang baharu.

"Teknologi antena terbaharu ini membolehkan pengguna untuk menerima isyarat komunikasi dari tempat terpencil seperti tempat letak kereta bawah tanah dengan lebih baik.

"Penambahbaikan ini juga akan mengurangkan kadar drop calls dan dengan fungsi Blackberry Natural Sound kami, kualiti audio juga dipertingkatkan," katanya dalam majlis pelancaran yang diadakan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, penambahbaikan lain yang turut dimasukkan ke dalam peranti dengan skrin 5 inci Super Amoled ini ialah bateri berkuasa 2800 mAh yang akan memberikan masa guna selama hampur 25 jam.

Z30 akan mula dipasarkan di pasaran negara pada 5 Oktober depan oleh Celcom dan oleh penjual lain dua minggu selepas itu.

Sementara itu, sebagai promosi pengenalan, 200 pelanggan pertama Z30 Celcom akan mendapat telefon Z10 percuma.

Z30, peranti yang memang dinanti-nanti pasaran, akan menjadi peranti premium terbaru daripada BlackBerry menggantikan Z10 yang lebih kecil dan dilancarkan pada awal tahun ini.

Peranti terbaru itu ditampilkan dengan skrin sesentuh lima inci, digerakkan pemproses 1.7 gigahertz, akan bersaing dengan model baru Apple Inc, iaitu iPhone 5S dan Galaxy S4 daripada Samsung Electronics Co serta pelbagai peranti lain dikuasakan platform Android Google.

- UTUSAN
 


Sabtu, September 28, 2013

Maxis lancar pelan prabayar baharu #Hotlink


Maxis lancar pelan prabayar baharu #Hotlink

Maxis Bhd. (Maxis), melancarkan pelan prabayar terbaharu #Hotlink, disasarkan kepada pengguna yang memerlukan sambungan internet sepanjang masa.

Pelan #Hotlink menawarkan pelanggan perkhidmatan internet asas berterusan dengan percuma pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Ketua Perniagaan Pengguna Maxis, Dushyan Vaithiyanathan (gambar) berkata, pelan prabayar baharu itu amat bersesuaian dengan persekitaran internet mudah alih hari ini yang mana sambungan berterusan bukan lagi satu kemewahan, tetapi keperluan.

"Ini adalah satu pelan mudah, fleksibel dan relevan kepada keperluan masyarakat prabayar kami," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran pelan prabayar #Hotlink di sini hari ini.

Jelasnya, pelan itu merupakan satu kategori baharu penggunaan internet mudah alih untuk menghapuskan halangan kemasukan yang tinggi kerana tiada caj setiap kali penggunaan.

#Hotlink menawarkan pramuat kredit sebanyak RM5 dan beberapa faedah dengan harga RM8.80.

Antara faedahnya ialah internet asas percuma pada 64 Kilobait sesaat (Kbps) selagi pelan prabayar pelanggan kekal aktif, kadar rata rendah sebanyak 12 sen setiap 30 saat untuk panggilan suara dan 7 sen untuk khidmat pesanan ringkas (SMS) ke semua rangkaian.

Untuk mendapatkan pelan baharu #Hotlink, pelanggan hanya perlu melawat kedai Hotlink atau Maxis. Pelanggan sedia ada Hotlink juga boleh mendapatkan pelan baru ini.

- UTUSAN

Ahad, Ogos 25, 2013

Celcom perkenal Escape

CELCOM Axiata Bhd memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan oleh Escape Axiata Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Celcom.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shazalli Ramly berkata, Escape direka khusus untuk pengguna Celcom seperti Xpax dan Celcom First dan rakan usaha sama MVNO (Operator Rangkaian Maya Mudah Alih).

“Buat permulaan, kami menyasarkan semua pengguna Celcom dapat menggunakan perisian ini bermula 1 September,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, selain Malaysia, Escape juga akan dilancarkan untuk anak syarikat Axiata Group di Asia, bermula di Sri Lanka pada akhir tahun ini.

Katanya, Escape membolehkan pelanggan menikmati pelbagai bentuk kandungan, menerbitkan, menghasilkan dan menyediakan pakej barisan gaya hidup mudah alih digital.

Kandungannya meliputi format kandungan jangka panjang dan pendek bagi memenuhi kehendak hiburan pengguna mudah alih moden, dan pengguna boleh menyaksikan dan membeli filem dan kandungan lain menerusi mana-mana peranti yang mempunyai sambungan internet.

Celcom turut membelanjakan RM420 juta daripada perbelanjaan modal syarikat untuk meningkatkan rangkaian di seluruh negara untuk penggunaan LTE.

Perkhidmatan itu turut boleh didapati menerusi semua peranti Android dan iOS secara percuma. Untuk maklumat lanjut layari www.escnow.com


Ahad, Ogos 18, 2013

Proton Suprima S dilancar



KUALA LUMPUR 17 Ogos - Proton Suprima S, model kereta terbaharu yang dilancarkan pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton) dilihat sebagai kereta keluaran negara terbaik yang bertaraf dunia pada harga mampu milik.

Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, model 'hatchback' terbaharu itu yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk dari segi keselamatan terkini dilihat mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk memiliki Proton Suprima S.

Malah beliau memberitahu, model kereta itu yang akan dieksport dalam tempoh terdekat dilihat mampu menembusi pasaran antarabangsa dan seterusnya dapat melonjakkan syarikat automotif negara itu ke satu tahap baharu.

"Model terbaharu ini memenuhi cita rasa pelanggan tempatan dan global yang seterusnya akan menjadikan Proton sebagai pengeluar kereta berkualiti antarabangsa pada harga berpatutan.

"Saya juga berharap orang ramai akan terus menyokong kereta keluaran Proton dengan membeli model Suprima S ini yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini pada harga mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan model kereta terbaharu keluaran Proton, Suprima S 'hatchback' di dewan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton, Hisham Othman.

Harga jualan atas jalan bagi varian Suprima S Eksekutif diumumkan RM76,338 seunit manakala varian Premium pula pada harga RM79,638 seunit.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir melahirkan melahirkan rasa bangga dengan kelengkapan canggih serta kejuruteraan Suprima S yang semakin menunjukkan peningkatan ketara.

Kata beliau, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh pakar-pakar dalam kalangan anak tempatan itu menjadikan model Suprima S itu sebagai kereta terbaik keluaran Proton yang dapat memenuhi kehendak pasaran termasuk antarabangsa.

"Saya harap persepsi Proton merupakan pengeluar kereta murah dengan berkualiti rendah dapat ditamatkan kerana syarikat ini telah berjaya mengeluarkan kereta setanding dengan pengeluar kereta berjenama terkenal lain," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Khamil pula memberitahu, model Suprima S itu akan mula dieksport dalam tempoh terdekat bermula di ASEAN dan seterusnya ke negara lain seperti Australia.

Menurutnya, Proton telah memberi perhatian dalam meningkatkan semua aspek Suprima S khususnya ciri-ciri keselamatan.

"Proton Suprima S ini merupakan model yang didatangkan dengan standard keselamatan terbaik termasuk Australian New Car Assesment Program (ANCAP).

"Ini adalah masa depan kita membayangkan untuk semua produk dan perkhidmatan kami serta tanda aras kepada standard kualiti yang ingin diberikan kepada pelanggan," katanya.

Proton Suprima S 'hatchback' serba lengkap, penuhi kehendak pengguna

Proton Suprima S berenjin 1.6 liter berharga antara RM76,338 seunit hingga RM79,638 seunit.

Nama Suprima yang dipinjam daripada kata asal Inggeris supreme yang membawa maksud tertinggi dilihat sesuai kerana model itu memiliki semua kehendak serta keperluan semasa lebih moden sekarang.

Kereta terbaharu ini merupakan model dilengkapkan dengan produk terkini yang tidak pernah dimiliki model Proton terdahulu seperti lampu siang (DRL), Android-based Operating System, lampu LED di belakang dan Hill-hold Assist serta Park Assist bagi varian premium.

Proton Suprima S merupakan sebuah model lima pintu yang dinamik serta memiliki reka bentuk luaran dan dalaman yang sporty lagi premium dengan prestasi enjin yang unggul.

Kereta model tersebut menggunakan enjin 1.6 liter dengan ProTonic Continuous Variable Transmission (CVT), tujuh kelajuan automatik yang menawarkan kuasa maksimum 140 PS pada 5,000 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 205 Newton meter (Nm) pada 2,000 hingga 4,000 rpm, berkuasa sama seperti enjin 2.0 liter lain.

Malah, Suprima S juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan terbaik dengan enam beg udara, tingkap kuasa anti-perangkap, Sistem Anti Kekunci Membrek (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta bagi model premium disertakan Park Assist dan kamera undur.

Selain itu, Proton turut menawarkan program lima bintang kepada pembeli Suprima iaitu jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer dan bantuan jalan raya secara percuma selama lima tahun.

Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, model itu terhasil daripada pelbagai kajian dari dalam dan luar negara bagi memastikan Suprima S dapat memberi kepuasan kepada pelanggan.

"Sekali lagi, Proton telah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia kami komited untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menghasilkan pelbagai produk yang seronok di pandu lagi selamat," katanya.

- UTUSAN