Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Ahad, Ogos 25, 2013

Celcom perkenal Escape

CELCOM Axiata Bhd memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan oleh Escape Axiata Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Celcom.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shazalli Ramly berkata, Escape direka khusus untuk pengguna Celcom seperti Xpax dan Celcom First dan rakan usaha sama MVNO (Operator Rangkaian Maya Mudah Alih).

“Buat permulaan, kami menyasarkan semua pengguna Celcom dapat menggunakan perisian ini bermula 1 September,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, selain Malaysia, Escape juga akan dilancarkan untuk anak syarikat Axiata Group di Asia, bermula di Sri Lanka pada akhir tahun ini.

Katanya, Escape membolehkan pelanggan menikmati pelbagai bentuk kandungan, menerbitkan, menghasilkan dan menyediakan pakej barisan gaya hidup mudah alih digital.

Kandungannya meliputi format kandungan jangka panjang dan pendek bagi memenuhi kehendak hiburan pengguna mudah alih moden, dan pengguna boleh menyaksikan dan membeli filem dan kandungan lain menerusi mana-mana peranti yang mempunyai sambungan internet.

Celcom turut membelanjakan RM420 juta daripada perbelanjaan modal syarikat untuk meningkatkan rangkaian di seluruh negara untuk penggunaan LTE.

Perkhidmatan itu turut boleh didapati menerusi semua peranti Android dan iOS secara percuma. Untuk maklumat lanjut layari www.escnow.com


Ahad, Ogos 18, 2013

Proton Suprima S dilancar



KUALA LUMPUR 17 Ogos - Proton Suprima S, model kereta terbaharu yang dilancarkan pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton) dilihat sebagai kereta keluaran negara terbaik yang bertaraf dunia pada harga mampu milik.

Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, model 'hatchback' terbaharu itu yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk dari segi keselamatan terkini dilihat mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk memiliki Proton Suprima S.

Malah beliau memberitahu, model kereta itu yang akan dieksport dalam tempoh terdekat dilihat mampu menembusi pasaran antarabangsa dan seterusnya dapat melonjakkan syarikat automotif negara itu ke satu tahap baharu.

"Model terbaharu ini memenuhi cita rasa pelanggan tempatan dan global yang seterusnya akan menjadikan Proton sebagai pengeluar kereta berkualiti antarabangsa pada harga berpatutan.

"Saya juga berharap orang ramai akan terus menyokong kereta keluaran Proton dengan membeli model Suprima S ini yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini pada harga mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan model kereta terbaharu keluaran Proton, Suprima S 'hatchback' di dewan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton, Hisham Othman.

Harga jualan atas jalan bagi varian Suprima S Eksekutif diumumkan RM76,338 seunit manakala varian Premium pula pada harga RM79,638 seunit.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir melahirkan melahirkan rasa bangga dengan kelengkapan canggih serta kejuruteraan Suprima S yang semakin menunjukkan peningkatan ketara.

Kata beliau, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh pakar-pakar dalam kalangan anak tempatan itu menjadikan model Suprima S itu sebagai kereta terbaik keluaran Proton yang dapat memenuhi kehendak pasaran termasuk antarabangsa.

"Saya harap persepsi Proton merupakan pengeluar kereta murah dengan berkualiti rendah dapat ditamatkan kerana syarikat ini telah berjaya mengeluarkan kereta setanding dengan pengeluar kereta berjenama terkenal lain," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Khamil pula memberitahu, model Suprima S itu akan mula dieksport dalam tempoh terdekat bermula di ASEAN dan seterusnya ke negara lain seperti Australia.

Menurutnya, Proton telah memberi perhatian dalam meningkatkan semua aspek Suprima S khususnya ciri-ciri keselamatan.

"Proton Suprima S ini merupakan model yang didatangkan dengan standard keselamatan terbaik termasuk Australian New Car Assesment Program (ANCAP).

"Ini adalah masa depan kita membayangkan untuk semua produk dan perkhidmatan kami serta tanda aras kepada standard kualiti yang ingin diberikan kepada pelanggan," katanya.

Proton Suprima S 'hatchback' serba lengkap, penuhi kehendak pengguna

Proton Suprima S berenjin 1.6 liter berharga antara RM76,338 seunit hingga RM79,638 seunit.

Nama Suprima yang dipinjam daripada kata asal Inggeris supreme yang membawa maksud tertinggi dilihat sesuai kerana model itu memiliki semua kehendak serta keperluan semasa lebih moden sekarang.

Kereta terbaharu ini merupakan model dilengkapkan dengan produk terkini yang tidak pernah dimiliki model Proton terdahulu seperti lampu siang (DRL), Android-based Operating System, lampu LED di belakang dan Hill-hold Assist serta Park Assist bagi varian premium.

Proton Suprima S merupakan sebuah model lima pintu yang dinamik serta memiliki reka bentuk luaran dan dalaman yang sporty lagi premium dengan prestasi enjin yang unggul.

Kereta model tersebut menggunakan enjin 1.6 liter dengan ProTonic Continuous Variable Transmission (CVT), tujuh kelajuan automatik yang menawarkan kuasa maksimum 140 PS pada 5,000 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 205 Newton meter (Nm) pada 2,000 hingga 4,000 rpm, berkuasa sama seperti enjin 2.0 liter lain.

Malah, Suprima S juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan terbaik dengan enam beg udara, tingkap kuasa anti-perangkap, Sistem Anti Kekunci Membrek (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta bagi model premium disertakan Park Assist dan kamera undur.

Selain itu, Proton turut menawarkan program lima bintang kepada pembeli Suprima iaitu jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer dan bantuan jalan raya secara percuma selama lima tahun.

Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, model itu terhasil daripada pelbagai kajian dari dalam dan luar negara bagi memastikan Suprima S dapat memberi kepuasan kepada pelanggan.

"Sekali lagi, Proton telah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia kami komited untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menghasilkan pelbagai produk yang seronok di pandu lagi selamat," katanya.

- UTUSAN

 

Khamis, Ogos 15, 2013

Ulama cipta aplikasi telefon pintar Islam

RIYADH: Satu telefon pintar bercirikan Islam, “Peace Mobile” yang dilancarkan pada minggu terakhir Ramadan lalu, adalah satu aplikasi media berguna yang menggabungkan al-Quran dengan sains moden.

Telefon pintar itu dicipta Dr Zakir Naik, seorang penceramah umum Islam dan perbandingan agama terkenal di peringkat antarabangsa.

Permintaan untuk telefon bimbit Islam meningkat di kalangan masyarakat Islam di Arab Saudi. Ribuan penduduk sudah membuat pesanan aplikasi itu secara online, sementara beratus-ratus yang lain bercakap mengenainya di pelbagai landasan media.

Satu inisiatif teknologi penemuan itu oleh Naik, pengasas dan presiden IRF (Yayasan Penyelidikan Islam), telefon itu akan membantu pelaksanaan budaya Islam dalam kehidupan sehari-hari.

Peace Mobile disesuaikan sepenuhnya dengan aplikasi Islam yang sahih dan perisian serta membantu masyarakat Islam yang mengamalkannya terus berhubung dengan dunia Islam.

Naik berada di sini baru-baru ini bercakap dalam satu forum Ramadan dianjurkan Pusat Budaya Islam India (IICC).
Ulama berkenaan sentiasa menegaskan keperluan untuk kedua-dua pendidikan agama dan moden, menganggap kedua-duanya sebagai penting.

IRF adalah sebuah organisasi tanpa keuntungan yang memiliki saluran Peace TV, sebuah rangkaian televisyen satelit Islam yang baru-baru ini melebihi tontonan rekod global sebanyak 200 juta.

Okasha Mujahid, pengurus perniagaan antarabangsa di Darussalam, sebuah rumah penerbitan Islam berpusat di sini, mengalu-alukan telefon pintar itu dan berkata:

“Darussalam bersungguh-sungguh bekerja untuk menyebarkan kata-kata Islam menerusi penerbitannya. Peace Mobile boleh membantu lanjutan untuk ini.”

- Agensi


Rabu, Ogos 14, 2013

BlackBerry bermasalah, bakal dijual?

TORONTO 13 Ogos - Pembuat telefon pintar BlackBerry Ltd., sedang mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk menjual syarikat bagi mengelak kerugian yang lebih besar.

Malah, pemegang saham terbesarnya akan mengundurkan diri bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan dalam usaha itu.

BlackBerry yang merupakan peneraju email pada telefon pintarnya berkata, syarikat telah menubuhkan jawatankuasa untuk melihat pilihan yang ada.

Tindakan BlackBerry itu telah mencetuskan perdebatan sama ada syarikat yang dahulunya merupakan permata kepada Kanada akan lebih bernilai secara keseluruhan atau dipecahkan kepada beberapa bahagian oleh pesaing atau pelabur peribadi.

Prem Watsa, pemilik Fairfax Financial Holdinggs Ltd., yang merupakan pemegang saham terbesar BlackBerry akan keluar daripada lembaga syarikat apabila BlackBerry telah menentukan langkah seterusnya.

Menurut akhbar Kanada, Globe and Mail semalam, Fairfax telah berbincang dengan industri dan syarikat ekuiti swasta mengenai kemungkinan mengambil alih BlackBerry sebagai syarikat persendirian. Fairfax bagaimanapun tidak memberi sebarang kenyataan mengenainya.

Pembeli berpotensi terhadap aset BlackBerry, jika bukan daripada syarikat itu sendiri, berkemungkinan besar ialah dana pencen Kanada yang kaya serta beberapa pesaingnya.

BlackBerry yang satu ketika dahulu penting di pasaran saham telah jatuh penguasaan pasarannya kepada Apple Inc., dan telefon yang menggunakan sistem operasi Android Google Inc.

Telefon pintar terbaharunya, BlackBerry 10 juga gagal untuk menarik minat pengguna.

- REUTERS


Selasa, Ogos 06, 2013

TGV Cinemas lancar aplikasi tempahan tiket

TGV Cinemas Sdn Bhd akan melancarkan aplikasi tempahan tiket yang baharu pada pertengahan Ogos, membolehkan pelanggan membuat tempahan tiket dalam talian menggunakan tablet atau telefon mudah alih.
  
Ketua Pegawai Eksekutifnya Gerald Dibbayawan berkata TGV Cinemas menerima cadangan daripada pelanggan supaya meningkatkan aplikasi penempahan tiketnya seiring dengan perkembangan teknologi.
  
"Pada pertengahan Ogos, kami akan melancarkan aplikasi tempahan tiket kami,jadi anda mempunyai pilihan.
  
"Saya berpendapat, pada masa hadapan, lebih ramai orang akan menggunakan (aplikasi) dalam talian dan mudah alih untuk mengakses pilihan tempahan tiket," katanya kepada Bernama.
  
Dibbayawan berkata syarikat-syarikat pawagam melihat trend di negara lain dan jelas sekali mereka berhubung dengan penonton mereka dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
  
Bercakap mengenai teknologi, Dibbayawan berkata TGV Cinemas tidak menganggap pawagam lain sebagai pesaing sebenar tetapi iPad, sistem teater rumah dan alat teknologi lain sebenarnya bersaing dengan industri pawagam.
 
"Kami bersaing dengan masa orang ramai termasuk platform yang mereka menonton filem," katanya dan menambah bahawa kebanyakan orang kini memiliki peranti canggih yang menawarkan kemudahan menonton filem dengan hanya satu klik.
  
Dibbayawan berkata TGV Cinemas juga akan melancarkan laman web baharu yang mempunyai reka bentuk responsif, dinaik taraf daripada sistem semasa di laman web yang membolehkan pelanggan membuat tempahan dalam talian dengan lebih pantas.
  
Mengenai masa depan, TGV Cinemas juga akan memberi tumpuan kepada pengalaman dan perkhidmatan pelanggan dengan memberi lebih perhatian kepada apa yang disampaikan syarikat, bermula dari kaunter jualan tiket sehingga ke dewan pawagam.
  
"Kami sentiasa berusaha meningkatkan tawaran produk kami dari segi konsep bagi tempat duduk, pawagam, makanan dan minuman untuk faedah pelanggan," kata Dibbayawan.
  
Mengulas mengenai sistem bunyi yang digunakan di rangkaian pawagam syarikat, beliau berkata syarikat merancang untuk meningkatkan sistem bunyi daripada Dolby 5.1 kepada Dolby 7.1, yang menawarkan lapan saluran bunyi berbanding enam sebelum ini. 

- BERNAMA



Rabu, Julai 31, 2013

Syarikat telekomunikasi Altel masuki pasaran



Penyedia rangkaian telekomunikasi terbaharu, Altel Communications Sdn. Bhd. (Altel) memperkenalkan jenamanya hari ini, dengan menyasarkan pengenalan produk pertamanya pada Ogos ini.

Altel adalah unit kepada Puncak Semangat Sdn. Bhd. (Puncak Semangat), iaitu syarikat pegangan di bawah Al-Bukhary Group bagi menumpukan sektor perkhidmatan teknologi maklumat.

Puncak Semangat merupakan salah satu daripada lapan syarikat yang menerima peruntukan Evolusi Jangka Panjang (LTE) atau 4G oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tahun lalu.

Altel dijadualkan memperkenalkan produk perkhidmatan talian prabayar Ogos ini, diikuti talian pascabayar dan Internet 4G pada penghujung tahun.

Pengenalan itu susulan daripada pengumuman kerjasama antara Celcom Axiata Bhd. (Celcom) dan Puncak Semangat untuk berkongsi peruntukan 4G yang diterima kedua-dua syarikat. Buat permulaan, Altel bakal menggunakan stesen pemancar milik Celcom.

Ketua Pegawai Eksekutif Altel, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob berkata, perkongsian stesen pemancar itu merupakan strategi yang lebih menjimatkan kos berbanding keperluan untuk membangunkan keseluruhan sistem 4G yang memerlukan pelaburan sebanyak RM1 bilion.

"Pendekatan ini membolehkan kami melakukan penjimatan yang ketara. Apa pun, untuk jangka masa panjang kami tetap melabur untuk mengukuhkan jenama dan perkhidmatan Altel," katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan Altel, di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi Altel, Datuk Hilmi Mohd. Noor.

Altel menyasarkan untuk menarik seramai 150,000 pelanggan sepanjang tahun pertama operasinya.

Nik Abdul Aziz berkata, dalam tahun pertama operasi, Altel bakal menggunakan 500 stesen pemancar dan menyasarkan penggunaan itu ditingkatkan kepada 2,100 stesen pada tahun ketiga operasi.

Altel juga tidak menolak untuk mengadakan kerjasama korporat dengan syarikat-syarikat lain di bawah Al-Bukhary Group.

- UTUSAN
 


Selasa, Julai 30, 2013

HyppTV di seluruh negara mulai Ogos 2013


Telekom Malaysia Bhd. (TM) menyasarkan peningkatan pengguna perkhidmatan Streamyx dan UniFi dengan pelancaran perkhidmatan HyppTV yang boleh didapati di seluruh negara bermula 1 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, HyppTV yang sebelum ini dikuasakan oleh perkhidmatan jalur lebar kelajuan tinggi UniFi kini boleh didapati menerusi Streamyx dan pada skrin pelbagai peranti melalui HyppTV Everywhere.

Katanya, perkhidmatan IPTV TM itu boleh kini dinikmati oleh pelanggan Streamyx 4Mbps dan 8Mbps baharu mahupun pelanggan sedia ada.

"Dengan adanya perkhidmatan HyppTV di seluruh negara, semua pengguna Streamyx kini memperoleh pengalaman dan menikmati perkhidmatan HyppTV seperti pengguna UniFi yang lain.

"Kami merasakan selepas ini lebih ramai pengguna Streamyx dengan kelajuan 1Mbps atau 2Mbps akan menambah kelajuan kepada 4Mbps atau 8Mbps," katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan itu di Menara TM, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi TM, Datuk Seri Halim Shafie.

TM kini mempunyai lebih 580,000 pelanggan UniFi yang juga merupakan pelanggan HyppTV serta 1.6 juta pelanggan Streamyx.

Menurut Zamzamzairani, bagi pelanggan Streamyx 8Mbps sedia ada dan baharu, HyppTV akan ditawarkan sebagai sebahagian daripada pakej perkhidmatan tiga serangkai iaitu suara, internet dan IPTV pada harga RM160 sebulan dengan 17 saluran percuma serta mempunyai pilihan melanggani HyppTV Platinum Pack.

Sementara itu, pelanggan Streamyx 4Mbps yang baharu dan sedia ada yang pada masa ini menikmati perkhidmatan dua serangkai iaitu suara dan internet, HyppTV ditawarkan sebagai pilihan tambahan pada kadar RM30 sebulan dengan 17 saluran percuma serta pilihan melanggan pek HyppTV.

Dalam pada itu, HyppTV Everywhere pula merupakan penawaran pelbagai skrin pertama yang membolehkan pelanggan UniFi dan Streamyx menonton HyppTV di mana sahaja, pada bila-bila masa melalui peranti mereka.

Tambahnya, aplikasi tersebut merentasi pelbagai platform seperti telefon pintar, tablet, komputer peribadi serta riba dan hanya boleh didapati untuk pengguna Andriod dan Apple iOS.

- UTUSAN

 

Jumaat, Julai 12, 2013

Facebook perkenal video guna Instagram



Facebook menambah video kepada aplikasi perkongsian gambar popular, Instagram berikutan perkembangan aplikasi perkongsian video milik Twitter, Vine.

Pengasas bersama Instagram, Kevin Systrom berkata, pengguna boleh merakam dan berkongsi klip 15 saat hanya dengan menyentuh ikon video dalam aplikasi terbabit.
Mereka juga boleh menggunakan suntingan kepada video untuk menambah kontras, sama ada menjadikan ia hitam putih atau warna lain.

Vine dilancarkan pada Januari lalu, mempunyai 13 juta pengguna dan membolehkan orang ramai membuat dan berkongsi klip video selama enam saat.

Instagram mempunyai 100 juta pengguna, meningkat 20 juta apabila Facebook membawa masuk syarikat itu lebih setahun lalu.

- BERITA HARIAN

 

Recent Posts