Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 01, 2012

Qada tinggal solat 10 tahun

Bersama Dr Salam

SOALAN:

BAGAIMANAKAH cara untuk qada solat yang ditinggalkan selama hampir 10 tahun?

JAWAPAN:

SETIAP umat Islam hendaklah menjaga solat pada setiap hari dan masa. Meninggalkan solat dikira berdosa besar. Sesiapa yang meninggalkan solat hendaklah bertaubat dan memohon keampunan Allah.

Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa kita. Sebenarnya, qada solat tidak dapat menggantikan solat yang pernah ditinggalkan kerana masanya sudah luput kecuali kerana tidak sengaja atau tertidur.

Waktu solat ialah pada masa itu juga. Ada pendapat menyatakan solat itu tidak dapat diqadakkan lagi. Lebih-lebih lagi apabila sudah sampai 10 tahun lamanya.

Bagaimanapun, sekiranya solat yang ditinggalkan diqadakkan juga, ia tentu dapat menampung kelalaian lalu. Segala amalan baik tentu diterima Allah apabila datang daripada hati yang penuh ikhlas.

Justeru, qada solat boleh dilakukan sedaya yang mampu saja tanpa ada cara yang afdal. Anda juga boleh melakukan amalan sunat lain seperti membaca al-Quran, sedekah dan sebagainya bagi menampung dosa lalu.

- HARIAN METRO

Jumaat, September 21, 2012

Beza nazar dan niat

SOALAN:

BOLEH ustaz jelaskan perbezaan antara nazar dan niat? Jika seseorang itu berniat, 'Jika aku dapat kerja itu nanti, aku akan derma RM500 kepada anak-anak yatim', perlukah dia menunaikannya sedangkan dia hanya berniat dan bukannya bernazar?

JAWAPAN:

NAZAR ialah suatu perkara yang berbeza dengan niat. Nazar merupakan perkara yang wajib ditunaikan, sedangkan niat pula perkara yang mengesahkan sesuatu amal itu.

Sesuatu perkataan itu menjadi nazar jika digunakan perkataan, Wallahi, Wa Billahi, Wa Tallahi.

Sebagai contoh, Wallahi, jika aku dapat kerja itu aku akan derma RM500 kepada anak yatim. Maka ia dikira nazar dan wajib ditunaikan jika sampai hajatnya.

Adapun perkataan daripada soalan yang bertanya, ia merupakan niat biasa dan afdal jika ditunaikan kerana setiap niat yang baik itu jangan ditangguhkan untuk dilaksanakan. Insya-Allah diterima Allah.

- KOSMO!

Ahad, September 09, 2012

Hukum tidak berkahwin

Bersama DR. FADLAN MOHD. OTHMAN

SOALAN:

Assalamuaikum ustaz, Saya ada satu soalan. Apakah hukumnya bagi orang Islam yang tidak berkahwin? Adakah kalau kita tidak berkahwin Nabi Muhammad SAW tidak akan mengaku kita umatnya? Tetapi berdasarkan pengetahuan saya, ulama terkenal Ibn Jarir al-Tabari dan Jalal al-Din al-Suyuti tidak berkahwin sepanjang hayat mereka. Tolonglah jawab soalan saya ini.

JAWAPAN:

Untuk menjawab soalan berkenaan dengan hukum orang Islam lelaki yang tidak berkahwin, hendaklah kita melihat kepada keadaannya. Para ulama telah menjelaskan bahawa hukum berkahwin itu terbahagi kepada tiga keadaan.

Keadaan pertama, dia tidak mempunyai syahwat terhadap wanita, maka hukumnya mubah iaitu dibenarkan.

Keadaan kedua, dia mempunyai syahwat terhadap wanita tetapi masih dapat mengawal dirinya daripada berzina jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah sunat.

Keadaan ketiga, dia mempunyai syahwat terhadap wanita dan sukar mengawalnya, bahkan boleh menyebabkan dia berzina atau beronani jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah wajib.

Begitulah ringkasan huraian para ulama seperti al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf, berkenaan hukum berkahwin.

Seterusnya, bagi keadaan kedua dan ketiga, sekiranya dia tidak mempunyai kemampuan dari sudut harta, maka hendaklah dia berpuasa untuk menahan gelojak nafsunya.

Rasulullah SAW telah pun bersabda, “Wahai sekelian remaja, siapa yang mempunyai kemampuan hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa akan mengurangi nafsunya" (Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400).

Adapun kalau kita tidak berkahwin, Nabi Muhammad SAW tidak akan mengaku kita umatnya, setakat pembacaan saya, hadis-hadis yang membawa maksud ini adalah daif dan tidak sahih.

Perkara ini telah pun dinyatakan oleh al-Imam al-Sakhawi dalam kitabnya. al-Maqasid al-Hasanah.

Berkenaan dengan para ulama yang tidak berkahwin, memang benar terdapat sejumlah para ulama yang tidak berkahwin.

Akan tetapi ini tidak boleh dijadikan hujah untuk umat Islam dewasa ini menjauhi amalan mulia ini, iaitu perkahwinan.

Keadaan-keadaan

Para ulama yang tidak berkahwin itu, mereka mempunyai keadaan-keadaan tertentu yang menyebabkan mereka tidak berkahwin seperti kesungguhan dalam berdakwah dan mengajar, peperangan dan sebagainya.

Justeru hendaklah kita mendahulukan hadis Nabi SAW yang menggalakkan perkahwinan dan janganlah kita jadikan perbuatan sebahagian para ulama itu sebagai alasan untuk meninggalkan sunah Rasulullah SAW yang mulia ini.

Satu perkara yang perlu ditekankan di sini ialah hukum orang yang tidak berkahwin kerana dia ingin fokus melakukan ibadah. Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang tidak wajar.

Perbuatan ini telah ditegur oleh Rasulullah SAW. “Di zaman Nabi SAW, apabila datangnya tiga orang lelaki bertanyakan tentang amalan Nabi SAW, setelah diberitahu oleh isteri-isteri Baginda, mereka merasakan amalan Rasulullah SAW seperti sedikit. Lalu salah seorang daripada mereka berkata, “Saya akan solat malam selamanya." Seorang lagi berkata, “Saya akan puasa sepanjang tahun." Dan seorang lagi berkata, “Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin buat selamanya." Setelah Rasulullah SAW pulang dan diberitahu tentang perkara ini, Baginda telah bersabda, “Anda semua berkata begini dan begitu. Sesungguhnya akulah yang paling takutkan Allah dan bertaqwa terhadap-Nya. Akan tetapi aku puasa dan berbuka, solat dan tidur, aku juga mengahwini wanita. Maka siapa yang benci sunahku, dia bukan golonganku" (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5063 dan Muslim no. 1401).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa menjauhi amalan perkahwinan dengan alasan memberi fokus kepada amalan ibadah adalah suatu perbuatan yang menyalahi sunah Rasulullah SAW.

- MINGGUAN MALAYSIA

Isnin, September 03, 2012

Was-was status gaji

Bersama DR SALAM

SOALAN:

SAYA bekerja di syarikat telekomunikasi tempatan. Saya terfikir berkenaan prosedur syarikat jika pelanggan tidak membayar bil, pemotongan dijalankan, tetapi bil bulanan masih perlu dijelaskan seperti biasa.

Apakah hukum duit yang diambil daripada pengguna walaupun disekat menggunakan perkhidmatan. Bagaimana pula dengan faedah, caj tambahan atau denda yang dikenakan ke atas pembayaran lewat itu?

Saya bimbang dengan status gaji yang diperoleh daripada majikan sama ada halal atau haram.

JAWAPAN:

STATUS gaji yang diperoleh tetap halal kerana kita dibayar upah menurut terma pekerjaan yang dilakukan, contohnya kerani.

Bagaimanapun, prosedur syarikat telekomunikasi tempat bekerja dikira tidak betul apabila cara yang dibuat sememangnya untuk mengambil wang pelanggan tanpa hak.

Ia perlu dikaji supaya tidak berlaku kezaliman dan penganiayaan. Pihak syarikat dan kerajaan perlu melihat permasalahan itu serta diperbetulkan sedapat mungkin.

Islam sebenarnya berusaha supaya tidak berlaku perbuatan mengambil harta orang tanpa hak seperti yang anda nyatakan. Ia jelas dalam mesej Nabi Syuaib dalam al-Quran. Allah berfirman dengan maksud:

“Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Syuaib. Ia berkata: Wahai kaumku, sembahlah Allah, tiada Tuhan bagi kamu selain Dia. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhanmu.

Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia sesuatu yang menjadi haknya dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menjadikannya dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang yang beriman.” (Surah al-A’raf (7): 85)

- HARIAN METRO

Syarat bagi Zakat Pendapatan

Bersama DR. FADLAN MOHD. OTHMAN

SOALAN:

Adakah kita wajib membayar zakat pendapatan? Bolehkah ustaz menghuraikan perkara ini.

JAWAPAN:

Ya, zakat pendapatan wajib dibayar. Huraiannya ialah jika simpanan daripada pendapatan bulanan itu mencapai dua syarat asasi kewajipan zakat iaitu, pertama mencapai had atau bulugh al-nisab iaitu bersamaan dengan 85 gram emas, iaitu bersamaan dengan RM13,670.22 menurut harga emas semasa pada 18 Ogos 2012.

Syarat kedua ialah jumlah itu mestilah melepasi setahun dalam simpanan atau apa yang disebutkan oleh para ulama sebagai murur al-haul. Jumlah zakat yang perlu dikeluarkan pula ialah sebanyak 2.5% sahaja.

Sebagai contoh jika pada 18 Ogos 2012, wang yang disimpan ialah RM20,000.00 dan jumlah ini berkekalan sehingga 18 Ogos 2013, di mana harga emas pada hari itu ialah sekitar RM18,000.00 untuk 85 gram emas.

Maka jumlah yang perlu dizakatkan ialah RM500.00 bersamaan 2.5% daripada RM20,000.00.

Akan tetapi jika pada 18 Ogos, 2012 jumlah yang disimpan ialah RM13,670.22 dan jumlah ini berkekalan sehingga 18 Ogos 2013, di mana harga emas pada hari itu ialah sekitar RM18.000.00 untuk 85 gram emas; maka tidak perlu dikeluarkan zakat kerana tidak mencapai had atau nisab.

Harga emas bolehlah dirujuk di Bank Negara atau bank-bank lain yang menawarkan perkhidmatan simpanan emas.

- MINGGUAN MALAYSIA