Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan

Sabtu, November 14, 2020

Mesir temui lebih 100 keranda kuno yang masih kukuh

 

Mesir mengumumkan penemuan lebih 100 keranda yang masih kukuh iaitu harta karun kuno yang dianggap sebagai satu penemuan terbesar tahun ini.

Keranda kayu yang tertutup itu dikatakan adalah milik pegawai tinggi Mesir purba.

Ia ditemui di tiga kubur pada kedalaman 12 meter di perkuburan Saqqara di selatan Kaherah.

Ahli arkeologi membuka satu keranda untuk mendedahkan seorang mumia dibungkus dengan kain kafan yang dihiasi dengan gambar hieroglif berwarna terang.

Saqqara adalah tempat pengkebumian ibu kota Mesir kuno Memphis iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Penemuan terbesar itu berlaku kira-kira sebulan selepas ahli arkeologi di kawasan itu menjumpai 59 keranda kayu lain yang terpelihara dan bertutup, dipercayai berusia 2,500 tahun yang lalu.

Menteri Antik dan Pelancongan, Khaled al-Anany, berkata Saqqara masih belum mendedahkan semua isinya kerana ini adalah harta karun.

"Kerja menggali masih diteruskan. Setiap kali kita mengosongkan serpihan kubur, kita menjumpai jalan masuk ke tempat lain.

"Lebih 40 patung dewa kuno dan topeng penguburan juga ditemui," katanya.

Katanya, penemuan itu akan diedarkan ke beberapa muzium di Mesir termasuk Muzium Besar Mesir yang belum dibuka di dataran tinggi Giza.

Beliau mengaitkan banyak penemuan di Saqqara dalam kerja penggalian yang dilakukan dalam beberapa tahun ini, malah akan mengumumkan beberapa penemuan baharu.

Ahli arkeologi juga berharap dapat menemui bengkel kuno untuk pembuatan keranda kayu untuk mumia tidak lama lagi, menurut Mostafa Waziri iaitu Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti.

Mesir berharap penemuan arkeologi akan mendorong pelancongan, iaitu sektor yang mengalami banyak kejutan sejak pemberontakan tahun 2011 hingga wabak COVID-19 hari ini. 

Sumber : AFP

 

 

Rabu, November 26, 2014

Kota purba ditemui terkubur di laut Mesir


Kota purba ditemui terkubur di laut Mesir

ALEXANDRIA - MESIR. Sebelum ini ramai menyangka bahawa kota purba, Thonis-Heracleion hanyalah sebuah kota lagenda.

Namun penemuan ke atas kota tersebut pada tahun 2000 sekaligus menyangkal dakwaan pelbagai pihak, menjadikan kota yang selama ini dikatakan mitos, sebenarnya wujud di bumi ini!

Kota purba ini dikatakan lenyap di sekitar kawasan Mediterranean sekitar 1,200 tahun dahulu.

Menurut laporan yang dipetik menerusi portal Mirror.co.uk, ciri-ciri yang terdapat pada sejarah, ukiran dan binaan yang terdapat di kota tersebut hampir menyerupai kota purba Atlantis.

Sekumpulan penyelidik yang merupakan ahli arkeologi berkata, penemuan tersebut bermula di bahagian utara pantai Mesir.

Kata seorang penyelidik, Franck Goddio, kumpulannya mula menjejak semula kota tersebut sebelum menemui bahagian-bahagian kota lama itu yang berada jauh di dasar laut.

“Setakat ini, pihak kami telah menemui serpihan-serpihan yang mempunyai hubung kait dengan kota tersebut.

“Pihak kami menemui 64 bangkai kapal pedagang yang dipercayai menjalankan urus niaga dengan penduduk kota tersebut, syiling emas dan patung-patung gergasi sebesar 16 kaki," katanya.

Selain itu, pihaknya melaporkan turut menemui kepingan batu berukir tulis purba Yunani dan Mesir Purba di tapak penemuan kota tersebut.

Berdasarkan teori awal penyelidik, kota tersebut dikatakan ‘tergelincir’ ke dasar laut 1,000 tahun selepas ia dibina pada abad kelapan sebelum Masihi.

Sebelum kota Thonis-Heracleion hilang, ia dikatakan dibina di sekitar muara Sungai Nil.

“Andaian itu dibuat berdasarkan patung granit merah Dewa Hapi iaitu dewa Sungai Nil yang dijumpai bersama dengan penemuan kota tersebut.

“Patung tersebut juga merupakan antara patung terbesar pernah ditemui oleh pihak kami,” jelasnya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

 Antara teori lain yang turut dikemukakan termasuklah kenaikan paras air laut dan tragedi bencana alam yang menimpa, menyebabkan kota tersebut ‘terkubur’ ribuan tahun lamanya.

Sumber : Sinar Harian


Isnin, Julai 15, 2013

Fosil cicak dalam batu ambar



Mexico - Sepasukan saintis di Mexico sedang mengkaji fosil lengkap seekor cicak purba yang pernah hidup sekitar 23 juta tahun dahulu yang terpelihara di dalam seketul batu ambar, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Fosil ambar yang berbentuk trapezoid dengan bangkai cicak di dalamnya ditemui beberapa bulan lalu di pusat cari gali ambar di Simojovel, Chiapas, Mexico.

Kebiasaannya, batu ambar akan mengandungi tumbuhan-tumbuhan dan haiwan kecil di dalamnya, namun untuk menemui haiwan yang sempurna seperti cicak tersebut, ia jarang berlaku.

Kajian awal mendapati cicak itu merupakan seekor spesies baharu cicak daripada keluarga Anolis.

Penemuan itu kini dipamerkan di Muzium Ambar di sini.

Saintis Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico, Francisco Riquelme berkata, spesimen itu berukuran 4.5 sentimeter panjang dengan 1.3 sentimeter lebar.

Spesimen cicak itu masih lengkap mempunyai tisu kulit dan tisu badan yang lembut.

- Agensi / KOSMO!

 

Khamis, Jun 06, 2013

Israk Mikraj - Kisah di sebalik perjalanan Rasullulah SAW

ISRAK MIKRAJ merupakan salah satu daripada hari kebesaran Islam selain Maulidur Rasul, Nisfu Syaaban dan Nuzul Quran yang diraikan saban tahun.

Ia dianggap peristiwa agung yang dialami Nabi Muhammad SAW sekali gus menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan.

Ayat di atas merupakan firman Allah yang diturunkan bagi menolak kaum musyrikin yang mendustakan peristiwa Israk tatkala Nabi Muhammad SAW mengkhabarkannya kepada mereka mengenai perjalanannya dari Masjidilharam ke Masjid al-Aqsa.

Sementara Mikraj pula merangkumi perjalanan Rasulullah SAW yang naik ke langit dengan menunggang buraq sehingga sampai ke Sidratul Muntaha.

Peristiwa penting

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, ada tiga perkara penting yang perlu diketahui dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Pertama tentang pengajaran yang boleh diambil melalui ajaran Nabi SAW tentang konsep kehidupan yang dilihat.

“Contohnya, Baginda melihat seorang perempuan tua hodoh yang diibarat sebagai dunia yang sudah terlalu tua. Kemudian, pengajaran bagaimana Nabi dikejar oleh golongan jin Ifrit dan malaikat Jibril mengajar doa yang perlu dibaca untuk berlindung daripadanya.

“Selain itu, apabila Nabi sampai di Masjid al-Aqsa, Baginda dihidangkan dengan dua pilihan minuman iaitu arak dan susu. Akhirnya Nabi memilih susu.

“Begitu juga dengan solat yang disyariatkan semula kepada Rasulullah sedangkan ibadat solat ada dalam syariat nabi-nabi terdahulu. Semua itu merupakan pengajaran dan falsafah hidup yang Nabi ajarkan kepada seluruh umatnya,” terang Muhammad ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Perkara kedua, ujar beliau, ialah ketika Nabi dibawa melawat syurga dan neraka. Ia adalah satu bentuk peringatan tentang nasib orang yang berbuat dosa dan mereka yang taat.

Tambahnya, perkara ketiga pula ialah peristiwa Israk Mikraj yang membuktikan kebenaran Islam itu sendiri sekali gus menunjukkan bahawa Allah itu Maha Berkuasa melakukan apa sahaja hatta perkara yang disifatkan manusia sebagai mustahil.

Sering berulang-alik ke bumi Palestin untuk membawa rombongan dari Malaysia dalam program Kembara Universiti Kehidupan Al-Aqsa, Muhammad memberitahu, kesan peninggalan daripada peristiwa Israk Mikraj memang berada dalam lingkungan kawasan Masjid al-Aqsa.

“Antaranya ialah tempat tambatan buraq (haiq buraq), batu tergantung as-Sakhra dan kubah arwah iaitu tempat Nabi SAW solat dengan para nabi terdahulu.

“Semua lokasi ini masih dipelihara dan dijaga dengan baik. Cuma, ia menjadi perebutan antara orang Islam dan Yahudi yang mendakwa di situ terletaknya Temple of Solomon. Tetapi hakikatnya, Masjid al-Aqsa ialah milik umat Islam yang dipenuhi pelbagai sejarah,” tegas Muhammad.

Bumi anbiya

Sejak tahun 2009, Muhammad sudah membawa ratusan rakyat Malaysia mengunjungi bumi para anbiya itu. Setiap peserta yang mengikuti program tersebut akan dibawa ke tempat-tempat istimewa tersebut bagi menunjukkan kesan peninggalannya.

“Selain bersolat di Masjid al-Aqsa, peserta turut diberi penerangan khusus mengenai setiap lokasi yang dilawati kerana setiap jengkal bumi Palestin ini dipenuhi sejarah,” ujar beliau yang bertuah kerana mengetahui sejarah Palestin daripada Imam I Masjid al-Aqsa, Sheikh Yusoff Abu Sunainah yang menjadi imam selama 27 tahun di sana.
Sheikh Yusoff juga tidak keberatan memberi surat bertulis tangan yang melantik Muhammad sebagai Duta Perjalanan al-Aqsa sebagai tanda penghargaan kepada beliau.

Sementara itu, Zulkifli Zainudin, 49, yang baru pulang dari Palestin hujung Mei lalu, mengakui perasaannya seperti tidak percaya kerana berpeluang menjejaki bumi Baitulmuqaddis.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu kerana dapat menunaikan solat di dalam Masjid al-Aqsa, salah satu daripada tiga masjid yang disunatkan oleh Rasulullah untuk menziarahinya.

“Di sana, selain beribadat di masjid, program kami tertumpu pada ziarah dan tabarruk di makam-makam para Nabi dan auliya.

“Kawasan sekitar peninggalan sejarah termasuk dalam peristiwa Israk Mikraj masih terjaga, namun kemampuan pihak berwajib agak terhad disebabkan kekangan sumber kewangan,” kata beliau yang berkunjung ke Palestin bersama agensi pelancongan Sofa Travel di bawah bimbingan Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin, Pengerusi Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Ujar Zulkifli lagi, melalui program ziarah tersebut, ia mampu meningkatkan lagi keyakinan dan keimanan seseorang terhadap kekuasaan Allah SWT.

Ziarah musafir

“Israk dan Mikraj adalah satu peristiwa yang berkait rapat dengan tauhid dan kepercayaan kita sebagai umat Islam. Justeru, dengan menjejaki semula kesan dan tapak peninggalan dalam peristiwa tersebut, kita dapat menambahkan rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW yang telah diangkat darjatnya ke peringkat tertinggi daripada sekalian makhluk-Nya,” ungkap Zulkifli.

Dalam pada itu, angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 41, turut menyeru umat Islam yang berkemampuan agar melakukan ziarah bermusafir ke bumi Palestin.

Beliau yang berada di sana pada Mei lalu mengakui rasa seronok dan dapat memahami apa yang berlaku dalam peristiwa Israk Mikraj dengan lebih mendalam.

“Sebelum ini, kita sering dimomokkan dengan berita kekacauan dan huru-hara yang berlaku di Palestin sehingga umat Islam di seluruh dunia dilarang menziarahi Masjid al-Aqsa atas faktor keselamatan.

“Memang benar ada kawalan ketat daripada tentera Israel, tetapi masih ada ruang untuk kita beribadat di sana. Yakinlah bahawa Allah akan menjaga kita jika niat kita adalah untuk beribadah di sana,” kata Sheikh Muszaphar yang pergi ke Palestin bersama rombongan Program Angkasawan Malaysia kendaliannya.

Beliau turut membawa isterinya, Dr. Halina Mohd. Yunos, 32, serta dua anaknya, Sophea Isabella, 2, dan Sophea Natasya, empat bulan.

- KOSMO!





Khamis, Mei 02, 2013

Kota legenda purba ditemui di Mesir


KAHERAH – Sebuah patung gergasi purba telah ditemui di laut Mediterranean yang membawa kepada penemuan kota legenda purba, Heraklion.

Pada sedekad lalu, tiada siapa mengenali Heraklion yang dipercayai sebuah kota pelabuhan purba dengan kesahihan kewujudan kota tersebut dipertikai.

Namun, akhbar Telegraph melaporkan, sekumpulan penyelidik menemui kota itu di dalam laut pada kedalaman 45.72 meter di Teluk Aboukir, Mesir.

Antara artifak yang ditemui termasuk 64 buah kapal, patung batu setinggi 4.87 meter, 700 buah sauh dan sejumlah duit syiling emas.

Pakar arkeologi laut dalam yang menemui kota purba berkenaan, Franck Goddio mendakwa, kota itu dipercayai wujud sekitar kurun kelapan sebelum masihi (SM).

Menurutnya, usia Heraklion adalah lebih tua daripada kota purba terkenal, Iskandariah.

“Kami mungkin perlu meneruskan kerja-kerja penyelidikan kajian untuk 200 tahun lagi sebelum rahsia kota ini dapat dibongkar sepenuhnya kata Goddio.

– Reuters

 

Recent Posts