Memaparkan catatan dengan label Sastera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sastera. Papar semua catatan

Ahad, November 01, 2009

Cerpen - Falsampah

Oleh Serunai Faqir

LALAT. Langau. Lipas. Lipan. Semuanya menyeronot di dalam timbunan sampah yang kian menggunung di medan persampahan itu. Pemandangannya sahaja mampu membunuh jelira sesiapa yang melintasinya atau setidak-tidaknya lewat angin petang yang mengirim aromanya di mana sahaja ia mencecah. Tiada siapa yang mahu larut dalam kebusukan sampah itu, kecuali beberapa manusia yang sudah lama menggunakan sampah sebagai medium untuk kesinambungan dompetnya. Dengan tenang mereka berbaring di atas tilam sampah yang lembut, kata mereka seperti tilam di rumah pak menteri.

“Apa sudahnya kita ini Sarip?”

“Sudahnya kita beginilah,” jawab Sarip acuh tak acuh. Dia tahu pertanyaan itu bukanlah pertama kali disodorkan kepadanya. Entah dia sendiri tidak ingat, mungkin jutaan kali.

“Hanya orang seperti kita sahaja yang mengenal makna sampah. Setiap satu sampah punya bau kejahatannya yang tersendiri. Setiap sampah punya warna pelangi di sisi para marhaen. Setiap sampah tersimpan sejarah dan makna budaya yang tinggi nilainya. Dan tentunya setiap sampah adalah tetap sampah di sepanjang perjalanan menuju kejayaan.” Lensa pandangan Dol tidak berkelip, kali ini dia cuba menghitung bintang yang bertaburan di langit.

“Cukuplah, Dol. Apa lagi guna sampah kalau sudah terbuang? Kau bilanglah sejuta makna dan selaut falsafah, sampah tetap sampah. Seperti juga kita, orang anggap kita seperti sampah sahaja.” Sarip terkuap-kuap. Matanya sudah hampir terkatup ketika mengucapkan perkataan terakhirnya.

“Tapi kita bukan sampah masyarakat…” Nada Dol tegas sekali.

Orang seperti Dol ramai sekali apabila ekonomi mengalami demam H1N1 yang tidak kebah. Tapi Dol bukan orang sembarangan. Dahulu, dia seorang ternama dan kaya-raya. Punya segala yang manusia lain mahukan di atas dunia ini. Sarip senyum sendiri memikirkan dirinya juga dibuang kerja ketika zaman ekonomi melecet. Melecet, bukan meleset.

Jeda memanggung waktu. Dol tidak menghiraukan kata-kata temannya. Baginya kata-kata itu bagaikan sampah dan habuk yang tidak membawa sebarang maksud dan pengertian. Orang-orang seperti Sarip hanya melihat sampah dari sudut luaran. Bagi Dol, sampah itu ada rohnya yang tersendiri untuk dinikmati.

“Kau tahu Sarip.”

“Hmmm … apa dia lagi?”

“Dari sampah yang bertaburan ini, kita boleh mengenal taraf ekonomi rakyat Malaysia,” ujar Dol tersenyum, yakin dengan apa yang diperkatakannya. Di atas timbunan sampah itu, Dol berdiri bagaikan patung tugu pahlawan. Wajahnya penuh patriotik. Tiba-tiba dia tegak menyanyikan lagu Negaraku. Sarip terpaksa berdiri sama demi menghormati lagu Negaraku. Walaupun hanya seorang pemungut sampah, tapi hatinya berkobar semangat cintakan negara. Tidak sesekali dia akan menjual maruah negaranya hanya kerana seorang pemungut sampah.

“Cuba kau tengok sampah di sekeliling kita, cuba kau amati kotak-kotak, plastik dan kertas-kertas. Daripada itu sahaja aku sudah mampu menelah kemampuan ekonomi rakyat Malaysia masih lagi baik. Tengok, tengok.” Dol menoleh ke arah kiri.

“Itu, itu. kotak-kotak burger luar negara, kotak-kotak ayam goreng orang putih, kotak-kotak pizza. Menurut skala indeks di bursa saham persampahan, ia menunjukkan ekonomi rakyat Malaysia semakin mantap, mampu membeli barangan luar negara. Mampu untuk berbelanja dengan mewah, ketepikan nasi lemak atau nasi dagang yang enak dan mampu memberikan zat yang cukup serta beralih kepada makanan luar yang mengarut. Dan tentunya mereka ini terdiri orang-orang yang kurang patriotik terhadap negaranya.” Kotak-kotak sampah itu dikais-kaisnya. Sesekali matanya liar memandang keliling.

Sarip terkuap-kuap. Dia hanya memerhatikan sahaja rakannya yang semakin melalut. Semakin malam, semakin melalut, bisik hatinya.

“Berapa kerat sahaja rakyat Malaysia yang bersikap sederhana dalam membeli barangan dan sekaligus bersikap patriotik. Tak ramai, tak ramai. Hanya inilah golongan yang benar-benar patriotik dan cinta negaranya.”

“Bagaimana pula kau lebih tahu daripada aku?” Tiba-tiba Dol jadi semangat apabila ditiupkan semangat patriotik. Walaupun hembusannya lembut tapi berkesan. Dol tak perlu naik dan kibar bendera merata-rata kalau masih lagi makan di kedai sang imperialis atau memandu kereta buatan orang Yahudi.

“Kau tengok.” Dol menghulurkan bungkusan nasi lemak kepada Sarip. Kelihatan saki baki sambal nasi lemak berbekas di kertas. “Orang yang patriotik tetap akan makan nasi lemak, itu … itu … kertas bungkus nasi lemak, bekas polisterin lauk rendang. Haaa … begitu kaedahnya Sarip. Bukan patriotik di mulut sahaja tetapi juga di lidah, tekak, perut pun mesti juga.”

Baring

“Apa-apa sahajalah Dol,” jawab Sarip, dari baring dia duduk. Memerhatikan sekeliling. Memerhatikan kebenaran kata-kata temannya walaupun dia tidak pernah ambil peduli semua itu. Yang penting adalah perutnya perlu diisi agar tidak berkeroncong sewenang-senangnya berbunyi tak tentu masa dan keadaan.

Dan bintang masih tersangkut di dada langit. Bulan masih bersinar megah, kerana ia tahu bahawa ada manusia yang masih punya fikir walaupun skru kewarasan otak manusia semakin longgar. Tapi tak semua yang longgar. Fikiran kebanyakannya di bawah tapak kaki. Kalau tidak masakan golongan sepertinya masih wujud lagi di sini.

“Dalam mengaji kita mengkaji Sarip,” ujar Dol perlahan. Dia mengusap kepalanya, fikirannya berputar mencari jawapan yang tak pasti. Perlahan dia duduk di sebelah Sarip. Sehelai kertas putih bertulis tangan dibacanya.

“Manusia sudah tidak sayang ilmu. Kertas-kertas ini walaupun hanya bertindak sebagai medium untuk menyampaikan ilmu tapi ini sahajalah taraf dan kedudukan yang mampu dicapai - di timbunan sampah layaknya,” gumam Dol.

“Bermakna apabila rapuhnya kecintaan terhadap ilmu, maka rapuh jugalah ikatan di antara masyrakat. Antara bangsa, antara ibu bapa dan anak, antara suami dan isteri, antara guru dan murid. Semuanya berantakan.” Sambungnya lagi. Dol terdiam untuk seketika. Rumah tangganya juga kacau bilau dek kerana dibuang kerja. Duit tiada, anak sakit. Kerja payah dapat, bini melompat! Akhirnya dia berkawan dengan sampah-sampah yang lebih mengerti perasaannya.

Sarip sudah berdengkur. Tak larat mendengar ocehan temannya yang kuat benar berfalsafah. Baginya mudah, kerja cari duit untuk esok. Perut mesti diisi, tekak jangan kering, mulut mesti berasap. Mudah, mudah sahaja hidup ini. Yang jadi susah apabila ada manusia yang menyusahkan hidup orang lain dengan nafsunya yang tamak dan rakus. Itulah yang menyusahkan semua orang atas muka bumi ini.

Dol memandang ke arah Sarip, kemudian melontarkan lensa pandangannya ke rahang malam yang semakin rakus menelan cahaya. Kegelapan sudah berkerajaan. Lalat, langau, lipas dan lipan masih bersepah di atas tilam sampah yang akan diladeni sebentar lagi.

Dalam lena itu, Sarip merasakan bahawa dirinya sudah melangkaui alam yang sepatutnya.. Di sana dia berjumpa dengan seorang budak kecil (memang klise - kalau mimpi mesti jumpa orang tua berjanggut dan berjubah putih tapi ini lain) yang comel dan manja sekali riak wajahnya. Dia menghulurkan tangannya, Sarip menyambut.

“Tangan abang kasar.” Budak kecil itu tersenyum.

“Mana tak kasarnya, kerja kutip sampah. Tangan selalu kotor dan selalu kena basuh. Pegang benda-benda kotor dik.” Sarip senang sekali dengan budak itu. Dalam fikirannya teringat anak Dol yang seusia dengan budak yang tercokoh di hadapannya.

“Tak mengapa abang, walaupun kerja kotor tapi duitnya bersih. Jangan kerja bersih tapi duitnya kotor. Kerja kotor begini, kalau basuh dia boleh bersih. Kerja bersih yang kotor kalau basuh orang lain yang kena. Tapi, paling penting hati mesti bersih.”

Sarip senyum. Terpikat dengan keletah dan perkataan yang diujarkan.

“Kenapa adik cakap begitu? Adik tak tahukah berapa ramai yang menghina pekerjaan abang? Saudara mara semua lari, kawan-kawan apatah lagi. Kata mereka lagi, kerja busuk dan hina sama macam sampah yang ada di tempat abang.”

Budak kecil itu ketawa lalu menghela tangan Sarip. Mereka terbang. Terbang ke dalam kegelapan malam. Terbang di atas awan biru. Angin sejuk menampar pipinya. Sarip terasa bahagia. Tiba-tiba tangannya dilepaskan. Serta merta anganan Sarip meluncur ke bumi. Segala mewah kasih dan bahagia impian akan terhempas sedikit masa lagi. Tiba-tiba …

Masa terhenti. Semua menjadi kaku, menjadi beku.

“Apa ada dengan kekayaan dan kebahagiaan kalau terhasil dari tangan-tangan yang berdanur? Ibarat kaca terhempas ke tanah, itulah umpamanya. Jatuh berkecai dan akhirnya. Biarlah kerja kotor tapi halal dan bersih.

Sarip tidak bergerak, tubuhnya seakan hancur. Menjadi berkeping-keping. Halus dan akhirnya menjadi lumat. Tubuhnya bagaikan terapung dan terawang-awang seperti zarah-zarah halus yang melewati terowong cahaya. Sarip masih hidup, dia merasakan itu, namun dia tiada daya upaya untuk bergerak atau berkata walau sepatah.

Budak kecil itu menarik semula zarah-zarah halus (jasad) Sarip dan melemparkan ke udara. Sekali lagi tubuh yang bersifat halus menjadi zat dan jasad yang kasar. Jatuh berdebup di atas tanah. Kali ini kesakitan menjalar ke seluruh tubuhnya. Ada darah mengalir siku dan lututnya.

“Apa semua ini?” Sarip menyeringai kesakitan.

“Itulah perasaan yang bernama kesakitan, kebencian, kemarahan, kekecewaan, kehampaan dan, dan itulah yang telah kau berikan sewaktu menduduki kerusi empuk di pejabat berhawa dingin.”

Menitis

Sarip memandang ke arah Dol. Hanya dengkur dan embun pagi sahaja menitis. Suara lalat, langau, lipas dan lipan bagaikan tertangkap oleh telinganya. Semuanya berzikir, mengucap syukur kerana dalam laut sampah itu ada rezeki mereka.

Mereka lebih faham segenap inci, ruang, sudut dan bau sampah yang bertimbun itu. Sarip berdiri memerhatikan mereka. Sesekali matanya tertancap pada barisan semut gula yang bekerja keras mencari rezeki. Dol terjaga, pandangan mereka saling bertikam dan akhirnya Dol menukar lensa pandangannya ke hadapan.

“Dalam sampah ini ada rezeki kita, Sarip.”

Sarip mengangguk.

“Ada apa lagi dalam sampah ini, Dol?"

Dol menoleh ke arahnya, hairan. Mungkin selama ini Sarip menganggap dirinya sewel kerana bercakap soal sampah, tapi dia tidak pernah ambil pusing. Tapi memang Dol tahu dalam sampah ada macam-macam. Dan dalam macam-macam itu juga ada sampah.

Walaupun zahirnya seperti sehelai kain putih yang mulia dan mulus di pandangan ramai, namun Dol tahu bahawa di hati mereka, bertaburan sampah-sampah dan segala macam habuk. Gelap-gelita hati mereka. Memandang dengan pandangan manusia. Berkata dengan perkataan manusia. Bermegah dengan kemegahan manusia.

Ah persetankan itu semua, Dol membentak dalam hati.

“Kalau kau nak tahu, Sarip. Apa kemuliaan dalam timbunan sampah yang melaut ini? Ini yang manusia tidak pernah mahu ambil tahu dan tidak tahu pun apa yang ada pada kita dan sampah-sampah yang berselerakan ini.” Dol memulakan lagi syarahannya seperti biasa.

“Dalam persampahan ini, kau dan aku dan kita dengan sampah. Siapa yang lebih memerlukan siapa? Adakah kita memerlukan sampah untuk terus hidup. Atau bagaimana? Sampahkah yang memerlukan kita untuk terus berada di sini. Kalau tanpa manusia, sampah-sampah ini bergolekan di merata tempat tanpa ada pembelaan? Bagaimana?”

Sarip termenung dengan persoalannya. Ceritanya cuma sampah. Semuanya sampah. Dalam sampah ada sampah - itu bagi mata manusia yang melihat tetapi tidak merenung. Tapi bagi yang merenung dan menilik, dalam sampah ada kesucian yang tak terungkap. Sucinya sampah-sampah itulah yang telah menyebabkan ribuan manusia, haiwan, kuman-kuman terus hidup di atas muka bumi ini. Dan sampah yang paling mulia juga adalah sampah yang telah diproses lalu berkhidmat untuk manusia.

“Jadi sampah itulah yang lebih mulia dari manusia. Sarip kau tengok kotak-kotak makanan, minuman, pakaian - itukan diperbuat dari sampah-sampah yang kita kutip. Dan pesanan yang paling menusuk hati aku adalah ketika pertama kali aku menjual sampah dan kotak. Kata tauke itu begini, ‘bagus orang Melayu sudah tidak malu menjual sampah.’ Muka aku merah, namun aku menjawab, ‘duit itu kan tidak busuk.’ Ya, sejak itu, aku tidak pernah malu menjadi seorang Melayu yang menjual sampah dan kotak.” Dol menghela nafas. Mengenang kembali pertemuan pertamanya dengan sang tauke.

Sarip terus mendiamkan diri. Kata-kata Dol itu banyak kebenarannya. Sejak ekonomi merudum. Sejak kegawatan akhlak merudum. Sejak perpecahan antara perhubungan kekeluargaan, masyarakat dan bangsa, hanya sampah menjadi lambang penyatuan kepada itu semua.

Statusnya sampah tapi maksudnya sampah-sampah di sini bersatu tidak mengira dari rumah siapakah sampah itu berasal. Saling berasak dalam lori sampah yang mengangkut lalu menjadikan tempat ini sebagai tempat untuk menyatukan maksud dan maknawi. Jangan jadikan perpaduan itu seperti sampah, tapi jadikanlah sampah itu umpama lambang perpaduan.

Sarip terhenyak dengan persoalan-persoalan yang menghunjam benaknya. “Sampah, ya sampah.”

“Ya, sampah,” sahut Dol.

“Hidup sampah!" jerit mereka berdua. Dan kita juga adalah sampah-sampah dan sampah-sampah juga adalah kita, fikir Sarip.

- MINGGUAN MALAYSIA

Sabtu, September 05, 2009

Cerpen - Cinta Rembulan Ramadan

Oleh Farahana Hussain

Air Mata Subuh

Bergelar isteri. Saya tidak pernah membayangkan saya akan menurut sahaja saranan Walid. Saranan Walid, yang lebih tepat, sebagai satu permintaan dan suruhan seorang bapa kepada anaknya. Sebagai anak, saya mahu jadi anak yang solehah. Apabila Walid menyuarakan dalam nada tegas dan sebak sambil memandang Ummi tunak, saya senyum.

“Izinkan saya, beristikharah dulu?” Pohon saya pada Walid.

Walid hanya mengangguk. Ummi senyum dan mengusap ubun kepala saya. Saya rasa dengan bertanya pada Dia sahaja akan memberikan saya ketenangan dan semoga jawapan saya kepada Walid dan Ummi dipandu oleh bimbingan Tuhan kepada bisikan hati saya. Akal saya cuba mencerna, mampukah saya memikul amanah Walid dalam usia semuda ini? Muda, bukan saya kira menggunakan angka kelahiran. Saya muda, masih pucuk hijau dalam ilmu agama dan cetek pengetahuan hal ehwal rumah tangga. Tapi, Walid dan Ummi yang menerima risikan daripada keluarga lelaki semalam. Mereka melihat saya sudah cukup bersedia daripada segenap segi. Saya melihat refleksi diri dari cermin di bilik tidur. Saya tahu, saya bukan lagi gadis yang sama seperti 10 tahun lalu. Walid dan Ummi hendak mengangkat martabat saya. Walid, wali mujbir yang punya kuasa menyatukan saya dengan mana-mana lelaki pilihannya, selagi tidak mendatangkan mudarat kepada saya, jika menurut mazhab Syafie. Persetujuan saya ini hanyalah budi bicara Walid, sedangkan Walid mempunyai kuasa menikahkan saya dengan mana-mana sahaja lelaki pilihannya. Tetapi Walid, bapa yang berilmu dan lembut hatinya. Walid tidak memaksa. Akhirnya, selepas 3 kali beristikharah. Dada saya lapang tanpa dihimpit perasaan berat. Sewaktu bangun menyiapkan juadah sahur, saya memberikan persetujuan.

“Alhamdulillah.”

Walid senyum lebar dan saya lihat di kolam mata Ummi ada genangan air mata. Walid mengetuai doa dan mengingatkan niat untuk berpuasa esok hari. Sebaik azan Subuh bergema, Walid mengetuai solat Subuh. Tazkirah Walid di pagi subuh hari ini, menyentuh mengenai taqqarub di bulan Ramadan.

Untung Buah Melaka

“Air tangan isteri yang mengikat cinta suami dan air tangan ibu akan mengekalkan kasih sayang anak kepada ibunya.” Ujar Ummi sambil memeriksa kelapa yang sedang dikukus.

Saya masih membulat-bulatkan adunan kuih buah Melaka, sambil meletakkan sedikit gula merah yang dikacip sebesar setengah biji guli. Kuih buah Melaka yang juga dikenali sebagai onde-onde itu selalu Ummi golekkan dengan kelapa kukus supaya tidak mudah basi. Teringat pula, saya dengan seorang kawan yang memanggil kuih ini dengan nama kekoh car. Saya terus senyum sendiri, kelucuan.

“Amboi, anak Ummi. Sambil memasak senyum sendiri. Seri pengantin dah naik ke mukalah tu.”

Usikan Ummi cepat saya sanggah dan saya ceritakan apa yang membuat saya tersenyum sendiri. “Kekoh car? Peliknya, Ummi tahu namanya buah Melaka saja. Paling penting, Walid suka makan, anak kesayangan Ummi pandai masakkan dan ada lagi ... satu yang penting ..,” Ummi senyum sambil menjungkitkan kening tanda menyuruh saya menghabiskan ayatnya.

“Apa lagi? Giliran saya mengerutkan dahi.

“Bakal menantu Ummi, khabarnya penggemar buah Melaka.”

Saya tidak tahu hendak bereaksi bagaimana. Hendak senyumkah atau saya diserbu malu. Hari ini keluarga pihak lelaki akan datang berbuka di rumah kami. Saya tahu, risikan keluarga lelaki diterima bersyarat gantung dengan persetujuan saya. Hari ini, tentu rancangan pertunangan akan diusulkan. Entah kenapa hati saya tiba-tiba jadi berdebar. Semacam takut dan jantung saya berdenyut lebih laju daripada biasa. Bukan! Bukan! Saya tidak diserang, penyakit cinta. Saya khuatir, saya bukan pilihan terbaik untuk bakal suami dan lebih khuatir jika saya bukan pilihan hatinya, tapi sekadar pilihan keluarganya.

“Mengelamun pula. Tolong Ummi.” Pinta Ummi lembut kepada saya untuk membantunya menyerahkan bahan masakan kepadanya. Saya bangun dan segera membersihkan sisa tepung di tangan.

“Tak apa, Ummi. Biar, saya yang uruskan semuanya.”

“Oh, anak Ummi nak tunjuk bakat pada bakal keluarga baru, ya? Bagus juga, ikat hati bakal suami dengan keluarga mentua dengan air tangan sendiri. Ummi setuju.” Ummi menepuk bahu saya lembut. Kami menyediakan lauk sederhana untuk keluarga kecil yang bakal bertandang. Keluarga pihak lelaki datang berempat, bakal suami, ibu, ayah dan kembar perempuan bakal suami. Kuih buah Melaka, kegemaran Walid dan tetamu yang dijemput. Lauk ikan masak cuka kegemaran Ummi, gulai lemak ketam dan sambal udang tempoyak berserta ulaman. Bubur sarang lebah dan kuih buah Melaka sebagai pencuci mulut. Air jambu batu dengan asam boi dan teh madu suam turut kami sediakan meraikan tetamu untuk iftar di rumah kami.

Usai terawih diimamkan bakal suami, kami sekeluarga duduk di ruang tamu. Saya dengar, Walid memanggil namanya, Ilham sewaktu meminta dia ke hadapan mengimamkan solat. Bacaannya dalam solatnya lancar , merdu dan sederhana panjang menjadikan selesa untuk semua jemaah yang mengikutinya. Ayah Ilham yang diperkenalkan sebagai Pak Hamzah meminta izin supaya saya berpeluang berbual-bual sendirian dengan Ilham di halaman rumah. Kolam ikan kecil dengan deru air terjun menjadi teman. Saudara kembar Ilham, Ghafirah tersenyum mengusulkan saya mengikuti Ilham keluar selepas Walid mengizinkan. Saya hanya mengikut. Ilham, kini saya lihat secara jelas fizikalnya. Rambutnya kemas disisir dan dipotong rapi. Oh, saya tidak ada peluang berlama-lama menatap rupa fizikalnya kerana sebaik sahaja dia mempelawa saya duduk, saya tidak berani menatap wajahnya.

“Awak, syaitan kena ikatkan bulan puasa macam ni?”

Saya melongo. Saya betul-betul hendak ketawa, tapi bimbang dikatakan kurang sopan. Tidak menyangka sama sekali saya akan disapa perbualan perkenalan selucu itu.

“Kenapa muka awak merah, awak malu ya?” Ilham cuba memecahkan suasana tidak mesra kami.

“Bukan. Bukan. Saya geli hati sebab ditanya soalan macam tu. Saya fikir awak akan soal sesuatu yang formal.” Balas saya.

“Oh, saya nak cakap sebenarnya. Tak apalah kita berdua-duaan ni, sebab syaitan yang ketiga daripada kita berdua tak ada. Kan?”

“Ke situ pula.”

“Maaflah, saya gurau saja. Harap-harap supaya rupa saya yang garang ni tak membuat awak berubah fikiran daripada menerima pinangan saya.”

Saya tidak terkejut dengan sangkaannya sendiri. Apabila dia menganjurkan bahawa riak wajahnya yang garang, itu ada kebenarannya. Fizikalnya, dia terlalu tinggi dan berbadan sasa. Mukanya serius dan jika dia berlelucon pun, dia tidak ketawa. Tapi saya dapat rasa wajahnya bersih dan saya tidak menerima pinangannya kerana fizikal, jadi tidak ada masalah bagi saya walau apapun rupa parasnya. Saya tahu, pilihan Walid tentu yang terbaik.

“Nama saya Ilham Hanafi Hamzah. Umur saya 30 tahun. Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Bioteknologi. Saya hafaz 5 juzuk al-Quran sedang berusaha untuk hafaz lebih lagi. Apa lagi yang perlu awak tahu, ya?”

“Tak apa, insya-Allah panjang lagi masa kita berkenalan. Saya terima, awak seadanya. Saya harap awak, juga terima saya seadanya. Oh, ya kalau tak keberatan, apa pekerjaan awak?” Saya berharap dia lebih tenang dan tidak rasa tergesa-gesa memperkenalkan dirinya pada saya. Cukuplah saya mengetahui, dia pilihan Walid dan saya pilihan ibu bapanya. Tentu kami sekufu pada mata kedua-dua orang tua. Penyesuaian? Biarlah kami pelajari perlahan-lahan dalam alam rumah tangga kelak.

“Walid, tak beritahu awak pekerjaan saya?”

“Tidak, saya pun tak bertanya pada Walid. Selepas istikharah, saya setuju saja. Nama awak pun, saya baru tahu hari ni.”

“Oh ....” Ujar Ilham, tanpa menjawab pertanyaan saya.

Dugaan Pertama

SAYA tidak berubah fikiran apabila mengetahui pekerjaannya, bukan sesuatu yang mengejutkan jika saya mengagak daripada bentuk tubuhnya yang kelihatan tegap. Biasa saja pekerjaannya, yang selalu menjadi cita-cita kebanyakan murid di sekolah dahulu dan di universiti, masih ada anak didik saya yang menyimpan cita-cita yang sama. Polis. Cuma yang luar biasa, apabila dia mengkhabarkan sifat pekerjaannya di lapangan. Dia jujur memberitahu, saya akan selalu ditinggalkan kerana urusan kerja dan pekerjaannya bahaya. Raut muka saya sedikit berubah, saya tidak tahu dunia kerjanya. Walid seorang pendidik dan Ummi pula seorang psikiatris. Dunia pekerjaan keluarga saya, adalah pendidikan dan ilmu jiwa. Tidak ada ahli keluarga kami yang berkhidmat dalam angkatan tentera mahupun polis. Sewaktu dilihatnya muka saya berubah, dia menganjurkan saya berfikir semula.

“Tak apa, saya faham. Sebagai pensyarah memberikan awak peluang berjumpa dengan lebih banyak yang calon sekufu. Mereka yang dunianya buku, ilmu dan penyelidikan. Saya tak terkejut kalau awak berubah fikiran.” Ilham menarik nafas dalam, saya perasan suaranya tertekan dalam talian. Saya tidak tahu, kenapa saya pula merasa bahawa dia sengaja mencipta jurang. Ada lompang dalam hati saya mengatakan mungkin dia ada pilihan lain, namun mahu mengkambinghitamkan saya, supaya saya yang menolak pinangannya. Tapi itu tidak akan saya lakukan. Saya akan menyahut seruan hati bergelar isteri.

Terbongkar Rahsia

KAU kekasihku/tapi orang lain bagiku/kau dengan dirimu saja/kau dengan duniamu saja/teruskanlah/teruskanlah kau begitu.

Sudah genap seminggu kami dijabkabul, sempena nuzul Quran. Bait lagu dendangan Agnes Monica penyanyi dari seberang seakan mengena ke batang hidung saya. Saya cuba menumpukan perhatian pada pemanduan, namun bayangan Ilham Hanafi, yang saya jumpa dua minggu lepas kini selamat bergelar suami bermain di minda. Sayalah yang menelan semua kepahitan, sedang baru seminggu berumahtangga. Penyesuaian. Saya perlu banyak bersabar. Sesudah selesai memberi kuliah saya cepat pulang mengejar peluang menyediakan juadah berbuka, kata nasihat Ummi berkesan di hati. Kalau suami merasa air tangan isteri itu akan mengikat kasih sayang kami.

“Berbuka sekali ya? Izzah ada masakkan ....?” Saya menelefon Ilham sedang tangan cekatan menyediakan makanan kegemarannya. Kuih buah Melaka.

“Kerja ni. Nanti abang telefon semula.” Jawapan ringkas yang saya terima sebelum sempat menghabiskan kata-kata. Talian terus dimatikan. Seloyang kuih buah Melaka yang belum disalut kelapa terlepas dari pegangan tangan dan terburai intinya. Lantai di dapur kotor dengan inti gula Melaka yang mencair. Saya menangis. Hati saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya berdebar-debar.

Pernahkah kau bicara/tapi tak didengar/tak dianggap/sama sekali/pernahkah kau tak salah/tapi disalahkan/tak diberi/kesempatan/

Saya matikan radio di dapur yang sedang memutarkan lagu Teruskanlah. Saya ke bilik air, mengambil wuduk. Hanya pada Dia saya mengadu, apakah saya telah tersalah pilih jalan hidup saya? Ketika menyimpan al-Quran dalam laci, saya menjumpai sampul surat putih tertulis nama saya. Nur Izzah Ain Hayati. Saya kira, ini tulisan Ilham Hanafi. Saya tidak peduli, saya rakus hendak membacanya.

“Buat isteri yang abang kasihi. Abang berdoa dikurniakan seorang isteri solehah dan abang mendapatkan Izzah, kurniaan Allah. Tapi abang bimbang menzalimimu. Lalu abang ragu apabila kita bersua. Abang tahu abang akan selalu melukakan daripada memberi kebahagiaan. Banyak belum sempat diceritakan. Sesungguhnya demi keselamatan Izzah lebih sedikit pengetahuan Izzah tentang kerja abang, lebih selamat dan baik untuk Izzah. Bulan ini, abang menyertai operasi membanteras pengedaran dadah dan betul-betul sibuk. Doakan abang.

Bukankah ada pepatah Melayu menyebut, sayangkan anak ditangan-tangankan, sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan. Jadi abang, tinggal-tinggalkan Izzah. Abang tahu, tindakan abang macam badut, mesti Izzah sedang ketawa sambil mengesat air mata. Sekejap abang berlawak, sekejap abang serius. Bersedialah Izzah kerana buat masa ini itulah cabaran yang akan kita tangani bersama. Perkahwinan satu perkongsian dan buat masa ini penyesuaian kita memerlukan perkongsian persefahaman, fahamilah dan terimalah abang, seadanya”

Saya menggeleng-geleng dan memang saya ketawa. Saya fikir saya perlu banyak belajar bagaimana dia boleh membuat saya ketawa hanya dengan tulisannya. ‘Sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan?’ Mungkin ada banyak benarnya pepatah Melayu, kerana dengan ditinggalkan saya belajar merindui ketiadaan dan menghargai setiap kehadirannya. Saya duduk dan menghidupkan suis televisyen.

“Berita Semasa - Seorang pegawai polis cedera parah dalam kejadian tembak menembak dengan penjenayah, disyaki pengedar dadah di ibu kota kira-kira sejam yang lalu. Kita bersama wartawan di lokasi untuk mendapatkan berita terkini.” Saya tutup televisyen, tidak mahu mendengar berita ngeri di petang bulan Ramadan yang patutnya damai dan menenangkan. Tinggal beberapa jam sebelum waktu berbuka. Saya diserbu gelisah, teringat kuih buah Melaka yang terburai isinya di dapur. Segera membayangkan Ilham Hanafi. ‘Tuhan, jauhkan saya dari prasangka.’, bisik hati kecil saya berdoa. Saya terduduk dengan perkhabaran daripada rakan sekerjanya. Namun, saya gagahkan diri. Tentu Ilham memerlukan saya.

“Kami perlukan penderma darah, luka di bahagian abdomen suami Puan parah. Bekalan darah di bulan Ramadan memang terhad.” Ujar petugas di hospital pada saya. Saya hanya dengar perkataan berdesing masuk ke telinga kiri dan keluar ke telinga kanan. Buku rekod derma darah saya bawa bersama, saya biasa menderma darah secara tetap empat bulan sekali. Hendak saja saya suruh petugas itu sedut semua darah yang diperlukan, tapi saya tahu dengan berat 46 kg, saya hanya mampu memberikan Ilham 350 ml darah. Saya berharap Ilham diberi keutamaan memandangkan saya penderma darah dan dia cedera dalam tugasan. Saya dikhabarkan peluru mengenai intestine kecil Ilham dan juga hampir mengenai hati. Lima das semuanya. Saya tidak mahu mendengar lebih lanjut. Saya mahu Ilham dibekalkan darah dengan segera. Azan berkumandang, saya berbuka puasa dengan segera dan cepat-cepat menghulurkan lengan kiri untuk proses menderma darah. Tiba-tiba sekeliling saya gelap.

“Rehat sayang, Izzah pitam tadi.” Ummi ada di sebelah Walid mengusap pipi saya.

“Ilham?”

“Alhamdulillah stabil. Terima kasih, Izzah.” Ujar bapa dan ibu mentua dengan rasa hormat. Saya masih pening lalat. Ramadan menemukan saya dengan cinta, kasih sayang dan pengorbanan. Semua kemanisan yang saya kecapi dari kemurahan Allah yang melimpahkan ujian, rezeki dan umur yang panjang buat kami sekeluarga di bulan yang mulia ini.

- BERITA HARIAN

Ahad, Ogos 30, 2009

Cerpen - Muqabalah

Oleh RAMLI ABDUL HALIM

Kunjungan sehari sebelum perayaan hari kemerdekaan ke atas seorang pemimpin umur lama yang cukup marah bila dikatakan tua bagi tujuan persemukaan terhadap suatu isu yang mengelirukan pendukung dan penyokong parti agak tegang tetapi masih dalam rangka dan kerangka perdebatan secara sihat.

Ada peluh yang memercik di dahi pendebat dalam perdebatan lima lawan satu yang diadakan dalam bilik berhawa dingin yang mensalji dan pemimpin umur lama terpaksa pakai baju tiga lapis untuk menahan sejuk.

Pemimpin umur lama itu tersengih sinis kerana manggak dan riak.

Hidungnya kembang kempis.

Macam mana dia tak rasa manggak dan riak, gara-gara mahu mendapatkan persetujuannya, lima kepala, empat daripadanya kepala anak muda yang lahir selepas merdeka, terpaksa digunakan bagi memberi hujah dan mematahkan hujahnya.

Baginya kalau dia tidak hebat, kalau dia bukan intan terpilih pada abad ini, takkanlah sampai lima orang datang untuk memberi hujah dan membalas hujahnya, empat daripadanya adalah berkelulusan Ph.D dalam bidang sains politik dengan empat daripadanya membiarkan kepala botak tanda bijak masing-masing terdedah.

Kerana itu dia akan mengeksploitasi dan memanipulasi kehebatannya supaya dalam apa-apa maksud dan tujuan sebagai rangka dan kerangka jangka pendek dan juga jangka panjang parti yang didukung dan disokongnya, dia akan pastikan dia tidak akan dikesampingkan.

Sama ada soal kerajaan perpaduan mahu pun apa juga isu, dia akan pastikan buah fikiran dan pandangannya diambil kira, termasuk dalam soal yang berkaitan dengan perayaan hari kemerdekaan negara.

Malah dalam apa keadaan sekali pun dia akan pastikan dia akan dirujuk.

"Tujuan muzakarah…."

"Kalau muzakarah ana tak setuju" pintasnya sebelum ketua pengunjung sempat membuat penjelasan tujuan dia dan rombongan membuat kunjungan hormat.

Ketua pengunjung tergamam.

"Enta faham ke tidak apa itu muzakarah?" soalnya.

Ketua pengunjung menggelabah.

Diraba serban di kepalanya yang ekornya mencecah punggung. Lilitan serban itu melindungi bubus hampir-hampir botaknya. Kemudian ketua pengunjung merawa dan memintal-mintal janggutnya yang mencecah dada dan ada sedikit bau jebat. Dia merasakan pemimpin umur lama cuba memperlekeh dan mengaibkannya bila ditanya sama ada dia faham atau tidak apa itu muzakarah, soalan yang sepatutnya hanya diaju kepada budak sekolah.

Walaupun dia memiliki ijazah sarjana muda kelas dua bawah dalam bidang Usuludin, namun dia adalah lepasan sebuah universiti terkemuka di Timur Tengah, malah dia seuniversiti dengan pemimpin umur lama.

"Sebelum nak buat sesuatu, kena faham, kena reti dengan apa yang nak dibuat" bebel pemimpin umur lama. Muka dan nada suaranya serius.

Mulut ketua pengunjung terkunci oleh rasa terkedu hati dan terkoyak rabak perasaan oleh sindir sinis pemimpin umur lama.

Empat lagi anggota pengunjung saling berpandangan dan saling bercebih-tonye sesama sendiri. Ada pantulan cahaya lampu pada kepala botak masing-masing.

"Kita ni orang politik, pemimpin parti politik. Lawan kita juga orang politik dan pemimpin parti politik. Main politik ni kena cerdik" khutbah pemimpin umur lama.

"Jangan pula apa yang kita buat umpama kita memberi senapang kepada lawan untuk nantinya kepala kita yang bersepai kena tembak oleh senapang kita sendiri yang kita hulur pada lawan" syarah pemimpin umur lama.

Ketua pengunjung terkebil-kebil.

"Kalau kita menghunus keris, kena pastikan kita yang pegang ulu dan matanya kena terhunus ke arah lawan, bukannya kita hulurkan keris untuk lawan pegang ulunya dan matanya pula dihunus kepada kita. Kalau macam tu jadinya bermakna kita tidak cerdik bermain politik"

"Yang cerdik bermain politiknya macam mana?" soal seorang anggota pengunjung yang paling muda. Dia memberanikan diri membuka mulut apabila mendapati mulut ketua pengunjung yang cukup rapuh dan celupar ketika di pentas ceramah dan pada rapat-rapat umum terus terkunci berdepan dengan khutbah, hujah dan syarahan pemimpin umur lama yang serba selamba.

"Semolek-moleknya biar lawan yang hulur senapangnya kepada kita, biar lawan yang hulur keris dan kita pegang ulunya dengan mata dihunus ke arah lawan" balas pemimpin lama.

"Bukan mudah"

"Memang bukan mudah. Politik bukan satu permainan yang mudah. Bukan semua orang boleh bermain politik, apatah lagi untuk memimpin sesebuah parti politik yang mana pemimpinnya kena sentiasa lebih cerdik dari pimpinan parti lawan, malah dengan sesama pimpinan dalam parti sendiri"

Giliran anggota paling muda pula terkunci mulutnya dan terkebil-kebil oleh penangan hujah pemimpin umur lama.

"Kalau tak cerdik jangan dok ogeh nak jadi pemimpin. Lebih molek kalau pilih saja jadi penyokong"

"Jadinya?" ketua pengunjung membuka mulut setelah agak lama mulutnya terkunci. Dari mulut ada sedikit bau lembu punya taik kerana berkuan disebabkan agak lama tak buka mulut.

"Jangan muzakarah. Kalau tidak parti kita akan punah"

"Kenapa pula parti kita akan punah?"

"Muzakarah memerlukan kekuatan hujah dan penggulungan hujah serta keputusan atau rumusan"

"Ana setuju"

"Apa hujah yang kita ada untuk nantinya dari segi moralnya kemenangan akan berpihak kepada kita?"

"Itu yang ana berlima datang ni, nak dapatkan hujah-hujah enta untuk digunakan dalam muzakarah nanti"

"Apa tujuan enta mau bermuzakarah dengan pihak lawan?"

"Untuk perpaduan ummah, demi masa depan agama, bangsa dan negara. Setelah usia kemerdekaan mencecah lima puluh dua tahun, kita kena lebih profesional dan rasional dalam berpolitik, dalam bercanggah pendapat, ketidakseragaman pandangan dan juga pendekatan dalam berparti politik dan berpolitik".

"Maknanya dalam muzakarah itu nanti wakil parti kita yang dipilih untuk bermuzakarah mesti kena ada pelan, rangka dan kerangka perpaduan ummah"

"Ha ah"

"Apakah enta yakin antara kita sesama kita, antara kita dengan parti-parti pakatan kita sudah benar-benar berpadu?"

"Enta rasa?"

"Ana rasa kita tidak benar-benar bersepadu lagi. Muzakarah yang dicadangkan boleh mengundang pecah belah dalam pakatan kita jika kita kekal dalam keadaan sekarang"

Ketua pengunjung terkunci mulut lagi. Entah apa bau yang akan terhambur keluar bila dibuka mulutnya nanti, sukar untuk dipastikan. Dia adalah antara orang yang tidak akan berselera kalau makan nasi tanpa ulang petai, jering, kerdas atau paling komen pun kena berulamkan bawang putih dan bawang merah.

"Kalau sesama kita dan antara parti dengan parti sepakatan kita tidak benar-benar sepadu, macam mana boleh kita muzakarahkan tentang perpaduan ummah dengan parti lawan kita"

Ketua pengunjung tidak menyahut.

"Kerana itu ana tidak bersetuju muzakarah diadakan"

"Dulu enta juga yang beriya-iya mahu bermuzakarah dengan lawan kita" ketua pengunjung kembali bersuara.

"Itu dulu, ketika lawan tidak bersedia untuk bermuzakarah. Bila ana mau bermuzakarah sedangkan lawan tak mau, kemenangan moral akan berpihak kepada kita. Kerana itu ana kata nak bermain politik kena cerdik"

"Ana dan rakan-rakan rintis jalan ke arah diadakan muzakarah berpandukan kepada al-Quran dan hadis kerana itulah yang enta mahukan"

"Ketika ini muzakarah tidak sesuai, tidak banyak keuntungan politik yang parti kita dapat"

"Enta utamakan keuntungan politik dari kepentingan ummah?"

"Politik periuk nasi kita"

"Apakah kerana periuk nasi, kita kena kesampingkan kepentingan ummah?"

Pemimpin umur lama tidak menyahut.

"Lagi pun bukankah bila kita bertelagah sesama kita, sesama sefahaman agama, kita diminta menyelesaikannya melalui musyawarah?"

Pemimpin umur lama tetap tidak menyahut.

"Kalau kita membatalkan muzakarah, reputasi dan hemah parti kita akan tercalar. Dulu enta sebagai tokoh yang dianggap serba betul yang mahu bermuzakarah dengan parti lawan. Sekarang bila parti lawan sanggup bermuzakarah, enta tentang pula"

"Ana boleh bersetuju tetapi dengan syarat…"

"Apa pula syaratnya"

"Namanya ditukar"

"Maksud enta?"

"Jangan namakan muzakarah"

"Habis nak namakan apa?"

"Muqabalah"

"Muqabalah?"

"Ha ah. Muqabalah atau bersemuka yang tidak perlu ditamatkan dengan kesimpulan, rumusan dan resolusi. Muqabalah lebih bersifat santai"

Ketua pengunjung terkelu.

"Bagi ana muzakarah pun boleh muqabalah pun boleh. Yang tak bolehnya 'muka balah' kerana yang mahu diusahakan adalah penyatuan ummah, membendung sikap berpuak-puak, pecah belah, cebih-tonye, tunjuk siku balik dan tonggeng punggung sesama sendiri, sesama sebangsa, sesama seagama dan sesama sewarga negara" ngomel anggota pengunjung paling muda.

Sebenarnya dia cuak dengan sikap pemimpin umur lama yang mahu dianggap dia serba betul dan serba unggul belaka sehinggakan nama muzakarah yang telah dipersetujukan mahu ditukar dengan muqabalah walhal jisimnya sama seperti minyak petrol dipanggil minyak bensin sahaja.

Baginya pemimpin umur lama lebih utamakan populariti dan ketokohannya yang bersifat kepentingan peribadi melebihi kepentingan ummah yang sedang berkucah dan berkuca-wokyoh.

Demi kepentingan politik kepartian dan demi mempertahankan ketokohannya yang dilihat serba hebat, pemimpin umur lama boleh tidak bersetuju dengan cadangan muzakarah sedangkan ia adalah antara tatacara dan pendekatan yang amat digalakkan dalam Islam bila timbul sesuatu pertelingkahan.

"Ana anggap antara kami sebagai pengunjung dengan enta yang dikunjungi kini sedang bermuqabalah. Oleh itu bila ana beri pandangan, jangan pula enta marah"

"Pandangan apanya?" soal pemimpin umur lama dengan suara agak tinggi.

Dalam suaranya ada nada marah kerana jarang pendapat dan fatwanya disanggah.

"Bagi ana ketidakbersetujuan enta dengan muzakarah yang diatur oleh parti, lebih bersifat ingkar terhadap keputusan parti"

Ketua pengunjung cuba memberi isyarat supaya anggota pengunjung paling muda tidak cuba mengundang marah seranah pemimpin umur lama yang dianggap keramat dan bermukut masin oleh pendukung dan penyokong parti.

"Enta kena ingat parti kita bukan hak peribadi. Enta tak patut menentang apa yang telah diputuskan oleh parti dengan persetujuan majlis syura dan dewan ulamak dengan penentangan itu pula dihebah di media cetak dan elektronik" tokok pengunjung paling muda tanpa menghiraukan isyarat ketua pengunjung.

"Suara seorang tokoh tidak patut menjadi veto bagi menolak suara ramai" tingkah seorang lagi pengunjung, menyokong pandangan pengunjung paling muda.

"Betul" sokong seorang lagi anggota pengunjung.

"Zaman dah berubah. Cara kita berpolitik dan cara kita berfikir juga kena berubah" ngomel anggota pengunjung paling muda.

"Sama ada namanya muzakarah atau muqabalah, apa yang telah diputuskan oleh parti kena diteruskan. Kita kena bersihkan parti dari wabak veto seorang tokoh yang dianggap hebat dan merasakannya hebat menyebabkan keperluan parti mengikut keperluan dan peredaran zaman terencat. Tokoh yang kita anggap hebat dan dia merasakan dirinya hebat pun kerana kita sebagai pendukung dan penyokong parti yang melabelkannya hebat" tokok anggota pengunjung paling muda.

"Walhal dari segi sumbangan buah fikiran dan penyediaan rangka dan kerangka bagi kepentingan parti untuk jangka panjang khususnya, apatah lagi yang berkaitan dengan kepentingan agama, bangsa dan negara, belum tentu dia lebih hebat dari suara majoriti dalam parti" tokok pengunjung paling muda lagi.

Ketua pengunjung tunduk menguku.

Pemimpin umur lama menggelabah tetapi tidak boleh marah kerana pemimpin muda yang memberi hujah telah menegaskan bahawa dia bersama anggota pengunjung sedang bermuqabalah dengannya sebagai tokoh yang dikunjungi

Dia sebagai pemimpin umur lama sedang terkepung dalam muqabalah yang dicadangkannya sendiri bagi menggantikan muzakarah. Jauh di sudut hatinya dia mula memperakukan kesakanan ilmu anak-anak yang lahir dan menerima pendidikan selepas merdeka berbanding dengannya!

Ahad, Julai 19, 2009

Cerpen - Pengukir Arca

Oleh Zaharah Nawawi
http://www.kepezi.blogsopt.com

Dia dekati Ratu. Kedua-dua tangan diangkat lalu merangkul leher Ratu. Diletakkan dahinya ke dahi Ratu. Disentuhkan hujung hidungnya ke hidung Ratu. Tiara berkelipan baru lepas dimahkotakan ke kepala Ratu, diusap.

Ditolehnya Jalal. Tiada lagi sinar di mata lelaki itu. Jalal bukan satu-satunya karyanya yang memenangi hadiah. Arca berupa seorang ibu sedang menumbuk padi dikelilingi sembilan anak kurus-kering tanpa baju -- beberapa orang bogel memperlihatkan burung kecilnya yang comel, seekor kucing di atas bahu seorang daripada anak-anak itu, juga seorang dara sunti berkemban dengan kain sarung, selain dua ekor ayam menunggu hampas padi melantun keluar dari lesung untuk dipatuk; diberi nama Menanti Rezeki, pernah menjulang kemenangan di peringkat antara bangsa namun baginya arca lelaki berserban dinamakannya Jalal (keluhuran) itulah hasil karyanya yang paling hebat.

"Seluruh hati dan jiwa raga saya diukir dan ditanam sama dalam arca ini." Dia mengerling rakan yang menanyai kenapa dia begitu sukakan Jalal.

Dia renung mata Jalal, seolah-olah Jalal membalas renungan itu dengan kerdipan intan di mata dan senyum tersimpul di bibir. Kedua-dua tangannya mengesat dan mengebas habuk dan debu-debu halus di kepala, bahu serta seluruh badan Jalal. "Percayalah, engkau mampu menaikkan namaku sekaligus menambah rezekiku. Walaupun yang disenangi pencinta arca ialah engkau sebagai sebuah karya seni, namun engkau adalah hasil kreatif tangan seorang seniman. Dan tangan itu ialah tanganku. Aku jadikan engkau dari sebongkah batu makas menjadi arca yang hebat, memukau seluruh pandangan; sarat makna dan kehalusan ukiran. Sama ada aku yang menumpang tuahmu, atau engkau yang menumpang tuah dan kepakaranku, bukan persoalan." Dia usap kepala Jalal bagaikan arca itu mengerti kata-katanya. Mata Jalan bersinar dengan kerdipan indah.

"Jika diminta mengukir arca serupa Jalal lagi sekali, aku pasti tidak mampu melakukannya. Tidak akan sama dengan sentuhan pertama. Demikian juga seniman-seniman lain. Rakan fotografi pernah kata begitu. Sahabat pelukis juga pernah kata demikian."

Pahat kecil tajam, setajam pisau cukur ditusuk ke dada wanita itu. Keras dan liat. Dibenam lagi dengan bantuan hentaman penukul di kepala pahat. Mata pahat memantul, bilung. Dia menggeleng lesu. Peluh menitis di dahi, diseka jemari dan direnjis ke lantai. Belum cukup. Dia lerai lilitan tuala di kepala lalu mengelap bintik-bintik jernih itu sehingga kering. Tangan yang perit dan panas dibuka. Merah pada tapak serta jemari kematu itu membayang darah. Dia duduk pada birai perahu payang di belakangnya. Penutup botol air mineral dipulas, lalu diteguk semahu-mahunya. Beberapa titis mengalir ke dagu. Dibiarkan saja air itu kering sendiri.

Setiap inci ruang di bangunan agam itu dipenuhi arca. Dewan tetamu, dewan makan, dewan santai @ kreatif, ruang istirahat keluarga seluruhnya dipenuhi arca pelbagai tema, dan saiz. Mata dan mindanya difokuskan pada arca seorang lelaki berserban, berjanggut, bercermin mata melurut ke hidung, sedang membaca buku tebal, setebal kamus; serta pensel di tangan. "Jalal," dia senyum. Pada nebula mata memancar suatu harapan. Seperti kekasih, dia peluk Jalal seeratnya. Dia cium pipi Jalal kanan kiri.

ciptaan

Dia pandang bongkah kayu yang masih kasar bekas ditakik dengan kapak dan tajam-tajam di sana sini. Kayu cengal tahan air itu sudah dimasak dengan ubat anai-anai dan lain-lain makhluk perosak. Figura Ratu yang sudah dibentuk secara kasar itu diukir secantiknya sebagai ciptaan terindah dalam pertandingan arca terbesar dunia. Dia mahu jadikan Ratu ratu dalam pertandingan tersebut. Dia ukir Ratu siang malam untuk sama baik jika tidak lebih bagus, lebih halus, dan lebih seni dari Jalal.

"Keagungan sesebuah karya sastera terletak pada kehebatan jalinan kreativiti, imaginasi dan sentuhan estetika pengarangnya. Keagungan sesebuah arca terletak pada kehalusan, ketelitian dan kemahiran tangan pengukirnya." Kata-kata itu ditutur seorang negarawan yang merasmikan pameran persendirian arca Dia.

"Tidak salah dan tidak silap sedikit pun." Dia kerling Jalal. "Arca tidak akan wujud tanpa pengukirnya. Karya sastera tidak akan lahir tanpa pengarangnya. Pengarang dan pengukir ialah pencipta seni yang diberi tuhfat bakat semula jadi oleh-Nya." Dia memandang mata Jalal sambil tangan seninya mengurut janggut arca tersebut seolah-olah meningkah protes Jalal terhadap kata-kata negarawan yang seakan memperkecilkan kewujudannya tanpa pengukir.

Peluh sudah kering. Perit di tapak tangan sudah hilang. Lenguh bahu sudah kebah. Dia bangkit mengambil tukul dan pahat sekecil pemutar skru. Mata pahat itu boleh dibuat alat pengukir bunga hiasan dari timun.

Ralit dia membelek bekas yang ditebuk di dada Ratu. Di situ akan ada tiga perhiasan. Dua perhiasan semula jadi lambang keunggulan seorang wanita. Dia terbayang lukisan Mona Lisa karya Leonardo Da Vinci dengan dedahan dada agak luas. Seperti Mona Lisa dia akan mengenakan pakaian dari kain sutera halus nipis memperlihatkan hampir 70 peratus dada cantik Ratu. Perhiasan ketiga berupa seutas rantai bertatah intan dan sebiji berlian berwarna hijau sebesar buah kana di tengah, seperti ratu lebah dikelilingi askar-askar setia.

Penglihatan kian temaram. Dia melangkah ke tepi dinding menekan suis. Sinar lampu kalimantang memanjang menerangi ruang.

"Mengukir rantai bertatah intan berlian tugas hakiki pandai emas," Dia menekur alam yang semakin hitam. "Pengukir arca dan pandai emas sama-sama menggunakan kemahiran tangan dan jiwa seni yang tinggi. Bezanya hanya bahan yang diukir." Dia kembali ke sisi Ratu. Tangan kanannya mengusap kepala Ratu. Puluhan gulungan kecil sebesar ibu jari kaki panjang melepasi tengkuk, bakal diukir.

"Aku mesti jadikan Ratu hatiku ini lebih hebat dan lebih berkuasa dari segala Ratu yang memerintah negara besar, dan lebih cantik dari ratu cantik paling cantik di dunia." Nafasnya ditarik, dalam. "Aku mahu Ratu jadi ratu di hati peminat. Ratu segala arca."

Selepas mengebas tangan, Dia kembali memegang tukul di tangan kiri pahat di tangan kanan. Satu persatu biji-biji kelongsong permata diukir; ditebuk dan dicungkil serta dikais keluar reja kayu yang tanggal.

permata

Ukiran rangkaian permata di dada Ratu sudah 90 peratus siap. Perut terasa pedih menggigit tidak dihirau. Dia terus mengukir dan mengukir sehingga sampai kepada ukiran paling seni di ruang paling sempit di antara tapak kelongsong permata yang bagaikan sarang madu lebah itu, dengan kelongsong berlian di tengah.

Dia tusukkan mata pahat bersaiz sekecil mata pena, mencungkil keluar isi kayu keras dan liat itu, hati-hati. Terkial-kial Dia mengelak kecacatan.

Mata pahat berukuran setengah cm pula diguna mencungkil degil bahagian dalam yang tidak tanggal jika mengguna pahat bermata paling kecil. Dia ketuk kepala pahat dengan tukul. Sekali, dua kali dan kali entah keberapa dia ketuk tiba-tiba mata pahatnya terbenam dalam lalu melekat di antara kelongsong batu-batu permata di dada Ratu.

"Tidak." Dia tarik pahat yang terpacak di dada Ratu. Mata pahat melekat kuat. Dia gandakan kudrat. Kaki bersangga pada bongkah batu berhampiran. Pahat tidak juga tercabut. Hatinya metah sakit melihat tangkai pahat menggigil terpacak di dada Ratu. Dia rasa bagaikan dirinya sendiri yang ditusuk benda tajam itu. Dia tidak mahu Ratu sakit. Dia akan jadikan Ratu ratu seluruh arcanya.

Dalam keletihan Dia pandang mata Jalal: indah mengerdip seperti bintang pada malam hari. Dia pandang mata Ratu, suram dan tidak memberi tindak balas. "Oo," Dia angguk. Dia tahu apa yang lebih pada Jalal dan apa yang kurang pada Ratu.

Pahat yang terbenam di celahan sarang permata pada dada Ratu masih tercacak di situ. Dia membelek untuk mengetahui kenapa pahat itu tidak boleh dicabut?

Kakinya berundur selangkah. "Bengkok seperti mata kail." Dia menyelak kedua-dua lengan baju T paras siku naik ke bahu. Lengannya yang putih melepak terserlah. Dengan kekuatan kedua belah tangan dan kedua-dua belah kaki bertahan pada bongkah batu di sisi Ratu, dia tarik pahat seperti dalam pertandingan tarik tali. Dia boleh saja patahkan mata pahat itu. Namun dia tidak mahu meninggalkan selumbar di dada cantik Ratu. Dia tarik lagi pahat sekuat hati. Sekali, dua kali, tiga kali....hingga tarikan kesebelas baru nampak sedikit berganjak. Batang pahat pula bengkok. Dia tarik, tarik dan tarik lagi. Pada tarikan entah keberapa, pahat tercabut. Dia jatuh terlentang. Kepalanya terbentur ke tanah. Matanya berkelamayar. Lama dia tekup dahi dan mata dengan kedua-dua tangan. Dia ambil minuman penambah tenaga lalu mereguk dari muncung botol. Dia bangun kembali ke depan Ratu.

"Ah," dia kecewa melihat enam sarang permata yang sudah beberapa hari diukir, pecah, sompek malah tanggal dari rangkaian hampir siap. Dia usap wajah Ratu. Ada cecair merah terpalit di pipi Ratu. Dia belek kembangkan kelima-lima jemarinya. Ada garis memanjang pada sisi tapak tangan berhampiran jari kelengkeng sedang mengalirkan darah. "Ah."

Pantas dia mengambil ubat membersihkan luka, menyapu iodin dan membebat tangan dengan bandej. Sehelai tuala basah diguna membersihkan darah di pipi Ratu.

Teleng kepalanya menenang dada Ratu. Dada itu cacat. Matanya redup. Dia belai kepala Ratu. Elus leher dan dada Ratu. Tangannya yang berbalut kain bendej kekuningan dengan iodin dapat rasa dada itu bergerigis tajam dan kasar. Kelongsong kalung intan berlian yang diukirnya sudah rongak, pecah dan patah. Di lantai cebisan dan reja-reja kayu kelongsong sebesar padi bersepah di sana sini.

Dia kutip pecahan satu persatu. Cuba diletak semula pada bahagian kelongsong yang rongak dan patah. Tapi reja-reja kecil itu jatuh semula ke tanah. Dia ambil glu cuba satukan namun pantang terusik pecahan itu kembali jatuh.

"Tidak mungkin." Dia menggeleng. Dia belek dada Ratu dengan suatu kekecewaan yang hanya Dia sendiri tahu.

Dia telentangkan perahu payang. Di dalam perut perahu itu Dia baring berbantalkan kusyen kerusi lama yang sudah lusuh. Dua utas dawai ampai separuh berkarat terentang panjang di atasnya. Sehelai kain buruk pengesat tangan masih disidai di situ. Dia tarik nafas dalam-dalam. Seketika, Dia berkalih mengiring memandang ke kanan; pada Ratu yang masih ada kekurangan. Dia lihat wajah Ratu, syahdu. Hidung comel, bibir sedikit terbuka cukup manis di matanya. Mata Ratu redup dan teduh namun tidak bercahaya.

Apabila sampai pada dada Ratu, Dia memicing mata melihat kecacatan yang terjadi dari ketidaksengajaannya sendiri. Dia memikir cara mengatasi kecacatan itu. Wajarkah dibuang saja sisa rantai dan kalung itu biar dada Ratu licin dan kosong?

"Kalau kosong, hilanglah nilai dan seri Ratu. Kalau dibiarkan, cacatlah Ratu di mata peminat. Kecacatan itu sekali gus mencacati kewibawaan dan masa depanku sendiri." Dia kais peluh di dahi dengan jari telunjuk yang dilengkungkan seperti sabit lalu direnjis ke tepi.

Dia berbaring telentang di bawah cucur atap menghadap langit biru kusam dihiasi bulan purnama lima belas hari. Perlahan-lahan kelopak matanya bertaut. Dia terjaga semula apabila seekor burung murai hinggap dan becok berleter di kepala perahu sehasta jarak dari kepalanya. Entah berapa banyak nyamuk kenyang menyedut darahnya, Dia tidak sedar. Dia menggaru kaki, tangan, leher dan muka yang terasa gatal dan perit.

Dia kembali menghadap Ratu. Tiba-tiba dia teringat Marie Anto'nnete, Ratu Perancis yang memerintah negara itu pada suatu zaman dulu. Ratu Marie tidak seperti Mona Lisa mendedahkan sebahagian besar ruang dada demi sesuatu bernama kecantikan. Ratu Marie memakai pakaian lengkap dan sopan, berkolar tinggi mencecah tulang rahang. "Sebagai Ratu memerintah sebuah negara besar dia berpakaian sopan."

Bertungkus-lumus

Dia ambil kepingan kayu senipis kertas yang dikupas dengan mesin, dibuat pakaian baru Ratu. Pakaian menutup dada. Bertungkus-lumus siang malam Dia siapkan pakaian itu. Kepingan nipis itu cukup setakat pangkal leher Ratu. "Ubah pakaian Ratu jadi macam Puteri Saadong," gumamnya. Rambut Ratu dinaikkan tinggi dihias cocok sanggul berbunga goyang dan ditutupi selendang sutera nipis dari kepala menyilang ke dada.

Masa tiggal sejam. Dia berjalan ke hadapan Ratu. Ada kekurangan di situ. Dia bergegas ke kedai pandai emas, beli seutas rantai dengan tepekan sarang lebah terjuntai di tengah berhias batu-batu permata. Dia mahu meletakkan Ratu benar-benar mempunyai citra seorang ratu.

Masa penghantaran Ratu ke dewan pertandingan hanya tinggal setengah jam. Dia berjalan keliling Ratu meneliti dari segenap sudut. Mata Ratu suram tidak bermaya. Tidak seperti mata Jalal mengerdip bagaikan hidup.

Dia mahu atasi kekurangan Ratu, namun masa terlalu suntuk. Dengan pahat dan tukul kecil di tangan Dia mendekati Jalal.

"Maafkan aku." Dia usap mata Jalal. Dia kembali pada Ratu, meletakkan sesuatu pada iris Ratu. Sebelum dibungkus, Dia lihat mata Ratu berkerlip bagaikan hidup. Dia toleh Jalal, mata Jalal pula suram tidak bermaya.

Sabtu, Jun 20, 2009

Sri Rahayu ungguli novel remaja


Sri Rahayu Mohd. Yusop mengungguli kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2008 malam ini dengan karyanya Kasih Nan Agung.

Novelis itu membawa pulang wang tunai RM7,000, watikah penghargaan dan hadiah iringan.

Ruhaini Matdarin dengan nukilannya Jendela Menghadap Jalan pula memenangi tempat kedua. Beliau meraih hadiah wang tunai RM4,500, watikah penghargaan dan hadiah iringan.

Tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM3,000 dimenangi novel Meniti Jalan Hadapan karya Norziati Mohd. Rosman.

Tetamu kehormat, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis penuh bersejarah yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Hadir sama isteri bekas Perdana Menteri itu, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Pengerusi Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Hugh W. Thompson.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak serta Pengarang Mingguan Malaysia, Zin Mahmud dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani turut hadir.

Sementara itu kategori cerpen remaja dengan hadiah wang tunai RM2,500 setiap seorang dimenangi Azman Ahmad (Dari Kalbu ke Kalbu) Alias Ismail (Delusi) dan Ummi Hani Abu Hassan (Teman, Cukuplah Kami).

Kategori rencana sastera pula dimenangi Syed Mohd. Zakir Syed Othman (Ulul Albab dan New Man) yang menerima RM1,000. Dr. Awang Azman Pawi (Prasangka Orientalis Terhadap Bangsa Melayu) membawa pulang wang tunai RM2,000 apabila memenangi kategori kajian sastera.

Kategori cerpen yang menawarkan RM3,000 setiap seorang pula dimenangi Khairul Hafiz Abdul Rahman (Bayang Ditirai Belulang), Sujaidi Dasuki (Di Alam Barzakh) dan Mohd. Hashim Osman (Lelaki Seorang Penjinak Ular).

Kategori puisi dengan RM1,000 setiap seorang pula digondol oleh Ahmad Shukri Abdullah (Potret Lima Puluh Tahun), Ahmad Fadhlil Pakarul-Razy (Sang Semut) dan Syed Mohd. Zakir Syed Othman (Sepotong Cinta Di Dunia Angin).

Bagaimanapun tiada yang layak memenangi kategori novel remaja bahasa Inggeris dan terjemahan.

Sementara itu, Sri Rahayu, 33, ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, beliau bersyukur dan amat gembira dengan kemenangan kali ini.

“Kemenangan kali ini secara tidak langsung menggalakkan saya untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu pada masa akan datang.

“Novel Kasih Nan Agung ini bertemakan kisah kemanusiaan dan mengambil masa setahun untuk dihasilkan,” kata ibu kepada dua anak lelaki itu.

Beliau menjelaskan, novel ini amat istimewa kerana menampilkan sumber daripada dalil-dalil al-Quran dan digabungkan dengan buku palio-antropologi Barat.

Sri Rahayu kini bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Pandan Jaya, Ampang.

- UTUSAN

Sabtu, Mei 23, 2009

Coretan Tinta Dari Daksina

Oleh Zulfazlan Jumrah

Assalamualaikum,

Ke pangkuan cikgu Rosmaria yang berada di pantai timur. Barangkali kehadiran warkah bertinta ungu ini memeranjatkan cikgu. Apa tidaknya, dalam kesibukan cikgu menyesuaikan diri sebagai pengetua sekolah yang baharu di sana, barangkali kedatangan warkah ini sedikit mengganggu. Maafkan saya seandainya warkah yang tidak diundang ini mengganggu waktu senggang cikgu.

Cikgu, pada 16 Mei ini, setelah genap setahun cikgu meninggalkan kami di selatan tanah air kerana bertukar sekolah di pantai timur, segala tandangan kenangan kembali mengetuk pintu memori. Saya masih ingat, sebelum cikgu meninggalkan kami dahulu, terlalu banyak pesanan dan nasihat yang telah cikgu berikan kepada kami. Lalu, meski kepiluan merenggut diri, kami cantumkan kesemuanya menjadi azimat di sudut hati.

Cikgu,

Tarikh 16 Mei bertamu lagi pada hari ini, seperti tahun-tahun yang sudah. Cuma bezanya pada 16 Mei kali ini, kami meraikan Hari Guru tanpa cikgu di sisi. Kami masih terkenang saat yang paling bermakna ketika cikgu diminta untuk menyanyikan sebuah lagu untuk kami semua. Itulah persembahan terakhir cikgu atas permintaan kami. Dan apa yang paling menyentuh hati ialah saat cikgu menitiskan air mata meskipun belum selesai menyanyikan sebuah lagu klasik lakonan Nordin Ahmad dan Latifah Omar yang berjudul “Gurindam Jiwa”. Kesemua guru termasuk staf sekolah, nyata terharu dengan persembahan seorang pengetua yang akan bakal bertukar ke sekolah yang lain. Persembahan cikgu nyata terlalu istimewa buat kami.

Cikgu,

Setelah ketiadaan cikgu, segala-galanya terlalu sukar buat kami. Kami menjadi pelajar yang terkurung dalam sangkar kehidupan kami sebagai pelajar yang semakin hari semakin pasif di sini. Tidak ada lagi seorang pengetua yang agresif mengajar kami menyanyi, menari atau sesekali melegakan tekanan belajar dengan berseloka dan berpuisi. Semuanya menjadi terlalu asing buat kami, apatah lagi setelah seorang pengetua baharu mengambil alih tugas cikgu kami di sini. Pengganti cikgu pula ialah seorang pengetua muda yang tidak pandai menyanyi, menari, jauh sekali mendeklamasikan sebuah puisi. Kami terdera dengan perasaan kami sendiri. Jiwa kami bergelora lantaran kami kehilangan rutin kehidupan yang terlazim kami jalani.

Kami juga berhadapan dengan masalah pembelajaran, cikgu. Jika dahulu, kami sangat teruja untuk mengetahui sejarah peradaban dunia yang pernah cikgu ajarkan merentasi kegemilangan Andalusia, terbeku jiwa menekuni sepi bumi dingin Alaska, memeta pergolakan perang Dunia Kedua atau terbuai ke taman khayalan dalam mitos keindahan taman inderaloka bernama Shangri La.

Namun, kini segalanya tidak lagi melatari sesi pembelajaran kami. Kami tidak lagi didefinisikan dengan keagungan cinta sejati dan suci dilatari mitos Taj Mahal di Arga, jauh sekali dibuaikan dengan dongeng purba Dinasti Ming si Maharaja China nan perkasa, apatah mendaki pergunungan sejarah Constatinopel oleh Al-Fatih seorang pembuka kota atau sekurang-kurangnya menyoroti empayar semenanjung emas bernama Kesultanan Melayu Melaka. Semua itu tidak lagi kami temui setelah setahun cikgu pergi meninggalkan kami.

Cikgu yang kami kasihi,

Bagaimana lagi mahu kami mengadukan semua ini? Sepeninggalan cikgu, kami dihambat dengan ungkal jiwa remaja yang bergolak, krisis identiti serta kebejatan sosial dan tingkah laku. Ada rakan-rakan seperjuangan saya sudah mula menunjukkan sikap protes terhadap pengetua yang baharu. Ya, pengetua yang baharu itu ternyata bukan tandingannya untuk menyamai keprihatinan cikgu sebagai srikandi di sekolah ini. Saya masih ingat lagi ketika Karnival Bahasa Melayu dahulu. Cikgu tidak pernah putus-putus memberikan kata-kata azimat dan pedoman untuk merangsang keutuhan semangat di kalbu. Kata cikgu, selawat boleh melegakan darah gemuruh yang membeku dan hasilnya, daerah kita mendapat nombor satu.

Akan tetapi, berbeza dengan pengetua yang baharu ini, cikgu. Dia selalu marah-marah kami mengikut serakah dan hawa nafsu. Katanya, kalau kalah kami semua akan dipalu. Silap seorang, semuanya akan dibambu. “Kalau tewas siaplah kamu.” Kami tertekan dengan pendekatan begitu. Semangat kami rebah selalu, sebelum melangkah ke tempat pertandingan yang dituju.

Cikgu Rosmaria,

Entah apalah dosa yang telah dilakukan oleh kami. Tidak cukup dengan bebelan, salah sedikit kami semua diperintahkan untuk berdiri. Dimarahinya kami berkali-kali, tanpa mengira kecil atau besar kesalahan kami. Ada pula cerita yang tidak elok didengari, rakan-rakan sudah mula memasang niat untuk membenci. Gemar ponteng kelas dan berkeliaran ke sana ke mari. Apalah yang boleh saya lakukan lagi? Mendiamkan diri atau menyatakan rasa yang terbuku di hati? Tolonglah cikgu, berikan saya nasihat yang paling bestari.

Buat pengetahuan cikgu,

Setelah cikgu bertukar sekolah, prestasi Kelab Bahasa Melayu semakin hari semakin merosot. Di sekolah, pertandingan yang menjadi tradisi seperti Pesta Pantun, Peraduan Mencipta dan Mendeklamasikan Puisi, Pertandingan Debat Ala Parlimen atau Perbahasan sudah tidak lagi diadakan. Saya berasa amat sedih dengan situasi ini. Hal ini barangkali kerana setelah cikgu bertukar ke sekolah lain, dasar panatia di sekolah yang telah pun bertukar nakhodanya, turut berubah.

Untuk pengetahuan cikgu juga, bukan tidak pernah saya bertanyakan kepada pengetua yang baharu tentang masalah ini, tetapi katanya pihak pengurusan lebih mengutamakan Kuiz Biologi, Eureka dan Inovasi serta Minggu Pembudayaan Sains dan Teknologi serta tidak ketinggalan juga pertandingan The Battle Of The Band kerana sekolah kita kini sudah menerima seorang guru sandaran muzik yang tidak mempunyai ijazah, tetapi pernah menyertai sebuah rancangan realiti.

Saya berasa kecewa dengan semua ini cikgu. Kalaulah cikgu masih ada, pasti cikgu mampu berhujah tentang penghapusan tradisi ini. Barangkali fakta saya seperti yang pernah cikgu ajarkan dahulu, tentang kewujudan Kerajaan Melayu Campa pada abad kedua Masihi serta penemuan prasasti di Dong Yen Chau pada abad keempat sebagai lambang keteguhan tradisi bahasa Melayu pratamadun belum cukup kukuh untuk membidas tembok pendirian pengetua yang baharu itu. Namun, apa yang sangat mendukacitakan saya ialah apabila ketika saya ingin menganjurkan Pertandingan Menulis Jawi, hasrat saya itu ditolak mentah-mentah, meski hujah saya selepas itu membangkitkan soal keagungan bahasa Melayu klasik lewat tahun 1750 Masihi dahulu.

Cikgu Rosmaria,

Persoalan tentang bahasa adalah isu sejagat. Ingat lagikah cikgu bahawa cikgu pernah mengatakan bahawa William Marsden berpendapat bahasa Melayu adalah bahasa sejagat melalui bukunya A Grammar of The Malayan Language yang ditulisnya pada tahun 1812? Atau penghujahan di dalam buku On Malayan and Polynesian Languages and Races tulisan John Crawfurd yang tidak sebulu dengan Marsden? Pernah juga saya berhujah tentang perkara ini bersamanya, namun pipit tetap pipit, cikgu. Manakan sama terbang tinggi di awan di sisi sang helang.

Apalah lagi yang mampu saya dan rakan-rakan lakukan kini cikgu? Kami seperti sang pidana yang terpasung kerana tidak mempunyai upaya untuk berhujah dan berjuang. Yang mampu kami lakukan ialah berdoa dan terus berdoa agar segala-galanya kembali seperti sedia kala. Saya mengharapkan perubahan yang lebih baik atau setidak-tidaknya keadaan kembali sama seperti mana ketika cikgu menakhodai sekolah ini dahulu. Namun saya akur dan faham, semua ini sangat mustahil berlaku pada kadar sekelip mata. Saya dan rakan-rakan akan terus menanti keajaiban berlaku buat kami semua.

Cikgu yang dihormati,

Pada kesempatan ini juga, saya mewakili rakan-rakan seperjuangan ingin mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada cikgu. Percayalah, meski jasad kita terpisah jauh beribu batu jaraknya, namun di hati kami azimat dan pedoman cikgu sentiasa dekat dan kami suburkan ia di sudut sanubari. Kami akan sentiasa mendoakan agar cikgu diberikan kesihatan yang sempurna, semangat yang berkobar dan menyala-nyala serta iltizam yang kukuh pasak pendiriannya demi memartabatkan khazanah dan tradisi buat anak bangsa, agama dan negara. Doakan juga agar keadaan lebih baik di sini, kerana kami khuatir tentang nasib bahasa yang tercinta ini.

Rasa-rasanya sekian sahaja coretan tinta ungu daripada saya mewakili bekas pelajar cikgu di bumi daksina. Moga-moga dengan kiriman warkah ini, akan dapat mengeratkan lagi hubungan kita semua. Akhir kata, semoga kita berkongsi wacana lagi pada lain warkah. Sambutlah salam sejahtera daripada kami semua yang sangat merindui cikgu di sana. Sekian, wassalam.

Yang Sentiasa Menyanjungimu,
Husna Adilah Mohd Sidek,
SMK Bandar Pertiwi.

Sabtu, April 25, 2009

Hari Buku Sedunia - Buku ubah kehidupan (23 April)

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Lebih daripada 60 judul buku telah ditulis oleh Quindlen tentang banyak hal, tetapi dalam How Reading Changed My Life, dia ingin menceritakan tentang pengalamannya sebagai seorang pembaca.

Hari Khamis ini atau tepatnya 23 April 2009 adalah Hari Buku Sedunia. Tanpa disedari buku telah banyak mempengaruhi hidup kita. Ia memberi inspirasi kepada kita dan menjadi teman kala suka dan duka. Setidak-tidaknya, itulah yang berlaku pada Anna Quindlen. Dalam bukunya sepanjang 88 halaman, How Reading Changed My Life mengisahkan bagaimana pada masa kecilnya, dia kerap bermain di luar rumah seperti 'anak-anak normal' yang lain. Namun, dia mengakui, pada dasarnya kegiatan itu tidak selalu menyenangkannya. Dia mendapati 'tenggelam' di dalam keasyikan buku sentiasa membuatnya riang. "Ada bahagian terbaik dari diriku iaitu 'bergelut' dengan buku," tulis Quindlen.

Lebih daripada 60 judul buku telah ditulis oleh Quindlen tentang banyak hal, tetapi dalam How Reading Changed My Life, dia ingin menceritakan tentang pengalamannya sebagai seorang pembaca.

"Tokoh-tokoh imajiner (buku) itu sentiasa menantiku pulang dan aku membawanya kembali ke kehidupan," ujarnya yang mengungkap betapa buku-buku dalam koleksinya telah mencipta daya tarikan yang luar biasa. Dalam buku tersebut, Quindlen melukiskan masa kanak-kanak, remaja, dan dewasanya sebagai sebuah perjalanan waktu yang ditandai dengan kesedaran baru yang diperolehnya daripada kegiatan membaca sama ada novel dan bukan fiksyen. "Saya percaya membaca pelbagai karya orang lain akan mengajar kita untuk menghayati dan menafsir pengalaman orang lain dan ini menjadikan saya menemukan 'mutiara-mutiara baru' dalam kehidupan saya," ujar Quindlen lagi di dalam bukunya.

Membaca karya-karya besar dan kitab-kitab suci membolehkan pembaca mengumpul pengalaman hidup berbeza sekali gus memahaminya dengan cara yang berbeza pula. Pembaca yang sama bakal menafsirkan dan 'merasakan' denyutnya dalam intonasi yang berlainan. Malah, setiap kali pembaca itu membuka halaman karya-karya, semakin 'kaya' dia. Membaca dalam konteks itu bukan lagi hafalan, tetapi memberi sebuah makna hidup yang baru. Ini kerana pengalaman hidup, pengetahuan, dan 'kekayaan batin' yang dipelajarinya sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Dan inilah yang dimaksudkan oleh Quindlen sebagai kesedaran baru atau 'mutiara-mutiara baru'. Membaca bukanlah sekadar mengasah fikiran, bahkan lebih daripada itu. Ia memberi santapan rohani. Maka di sinilah wujud keasyikan membaca, misalnya kita memperkayakan rohani kita dengan membaca karya-karya Pradmoedya Ananta Toer, Hamka, Naguib Mahfuz, Naawal El-Saadawi dan Ernest Hemingway. Kita menghadapi teks-teks yang mereka tulis berdasarkan kisah hidup, pengamatan, pengalaman empati dan kepedulian, pengetahuan dan juga kekeliruan mereka. Membaca dengan demikian, menyajikan kita apa yang kita 'dapat' daripada kehidupan yang kita jalani dengan apa yang Pradmoedya, Hamka dan Hemingway renungkan dari perjalanan hidup mereka. Bukankah ini memperkayakan pengalaman, pengetahuan dan kekayaan batin kita.

Derek Braker, seorang pengkritik buku tersohor di Amerika, membuat komentar dan memuji buku How Reading Changed My Life. "Membaca buku ini ibarat hadir dalam sebuah pesta," komen Braker. Katanya lagi: "Ia suatu pesta yang mana di dalamnya terkumpul segala cerita, pengalaman suka-duka, perjalanan intelektual, perjalanan hidup, dan lebih daripada itu, kita 'tenggelam' dalam dunia keasyikan membaca yang tersendiri. Bukankah apabila kita menghadiri sesuatu pesta, misalnya pesta menyambut Tahun Baru yang sering dirayakan oleh anak-anak muda, mereka akan tenggelam dalam keseronokan dan ekstasi yang tersendiri. Demikianlah membaca yang juga mempunyai ekstasi yang tersendiri. Cuma yang harus dibezakan ekstasi 'mana' yang memberikan kesan mendalam."

Quindlen dengan reputasinya yang pernah menjadi kolumnis surat khabar The New York Times memang layak menerima pujian Braker itu. Quindlen merupakan wanita ketiga dalam sejarah surat khabar tersebut yang beroleh kesempatan menulis kolum 'pendapat' yang amat berpengaruh itu. Dia juga pernah memenangi Pulitzer Prize untuk kategori komentar pada tahun 1992. Koleksi tulisan kolumnya dibukukan menjadi Thinking Out Loud yang diterbitkan oleh Random House dan duduk di deretan buku terlaris The New York Times selama lebih daripada tiga bulan. Quindlen juga menulis tiga buah novel terlaris iaitu Object Lesson, Black and Blue dan One True Thing yang kemudiannya difilemkan dan dibintangi oleh Meryl Streep.

Dengan pengalamannya yang panjang, Quindlen seperti ingin membahagikan sejarah dirinya sebagai penulis sekali gus pembaca dalam kapasitinya yang otoritatif. Dalam How Reading Changed My Life, Quindlen berupaya mengaitkan pengalaman membaca dengan kebiasaan membaca, dan bagaimana semua itu berubah dari waktu ke waktu. Dalam bukunya itu, Quindlen secara otoritatif membuat daftar atau senarai buku yang mampu 'menggiurkan' perasaan banyak 'ulat buku' atau pencinta buku. Dia menyenaraikan 10 buku yang boleh membantu remaja berasa lebih manusiawi; 10 novel moden yang membuat saya (Quindlen) bangga menjadi penulis; dan 10 buku bukan fiksyen yang membantu kita memahami dunia.

Bagi Quindlen, membaca buku bukanlah semata-mata sarana untuk menghimpun pengetahuan, tetapi juga cara untuk memperkuatkan hubungan emosi, mendalami realiti kehidupan, bahkan menghadapi cabaran ketidakadilan. Menerusi karya The Forsyte Saga karya John Galsworthy, dia mengakui telah membentuk kematangan psiko-seksualnya. Karya Charles Dickens pula telah mendorong lahirnya komitmen liberal untuk menentang ketidakadilan sosial.

Dalam kategori '10 buah buku yang akan saya selamatkan bila terjadi kebakaran', Quindlen menyebut antara lain, Bleak House karya Charles Dicken, Anna Karenina karya Leo Tolstoy dan The Collected Works of W.B. Yeats serta The Collected Plays of William Shakespeare. Manakala buku The French Lieutannant's Woman karya John Fowles dan The Bluest Eye karya Toni Morrison merupakan dua di antara 10 novel moden yang membuat Quindlen bangga menjadi penulis. Karya The Adventures of Sherlock Holmes oleh Arthur Conan Doyle dan The Spy Who Came in From the Cold karya John Le Carre, dimasukkan pula dalam senarai '10 novel misteri yang paling saya sukai untuk dibaca pada musim panas'.

Buku How Reading Changed My Life bukan sahaja menunjukkan keluasan bacaan Quindlen, bahkan memperlihatkan membaca adalah cinta abadinya. Dia membandingkan membaca buku seperti pertemuan dua sahabat yang akrab iaitu buku dan pembaca yang mana kedua-duanya menjadikan aktiviti hidup kita lebih bermakna. Pada hemat penulis, buku How Reading Changed My Life merupakan realisasi semangat dan budaya Iqra' yang dianjurkan al-Quran dalam kehidupan kita.

Jumaat, April 24, 2009

Bidadari Dari Timur - Tuan Sabariah Tuan Ishak


Karya: Tuan Sabariah Tuan Ishak dan Ili Sarah Annual Bakri
Harga: RM12.90
Halaman:128

Novel ini adalah sebuah catatan isteri seorang pejuang yang meluangkan masa berpuluh tahun hidup bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Akhirnya beliau tampil membongkar rahsia hidupnya sejak bergelar ratu di hati ulama tersohor ini. Segala pahit getir dihirup bersama, saling mempercayai sehingga tiada ruang untuk meletakkan curiga di antara mereka. Novel ini tampil dengan nada yang tulus dan harmoni. Ia berkisah tentang hidup, kesetian, pengorbanan dan perjuangan. Pengalaman isteri Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan dirakam dalam langgam bahasa yang puitis sehingga membuatkan pembaca turut sama meranduk tohor dalamnya sungai kehidupan yang punya saat kering dan bahnya. Novel sulung terbitan Anbakri Publika sdn bhd bakal menemui penikmat karya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Bidadari Dari Timur…
Seandainya direntasi laut segara,
Tiada yang bisa menandingi lautan tabahmu,
Seandainya gunung dijadikan pasak,
Belum tentu seteguh setiamu,
Seandainya ditawarkan buatku seorang isteri,
Kau yang ingin kubawa hingga ke negeri abadi…

http://cloudymonday.blogspot.com/

Recent Posts