Memaparkan catatan dengan label Sains. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sains. Papar semua catatan

Khamis, April 04, 2013

Ahli biologi lancar misi cari ikan ganjil


Gambar fail pada 21 November 2001 menunjukkan beberapa kakitangan Muzium Kebangsaan Kenya menyaksikan seekor ikan coelacanth yang ditangkap sekumpulan nelayan Kenya pada April tahun yang sama.- AFP

MALINDI, Kenya - Sekumpulan ahli biologi Perancis dan Afrika Selatan akan menyelam di dalam Lautan Hindi pada bulan ini untuk mencari ikan coelacanth.

Misi mencari ikan itu akan bermula dari 5 April hingga 15 Mei depan.

Kumpulan tersebut akan meneroka gua-gua di dalam lautan tersebut untuk mencari fosil itu.

Anggota-anggota kumpulan berkenaan akan menyelam di Jesser Canyon yang terletak 120 meter di bawah permukaan air di Teluk Sodwana.

Ikan ganjil tersebut dipercayai hidup di kawasan itu.

Hidupan marin itu menjadi tumpuan ahli biologi untuk dikaji kerana ia mempunyai kaitan sejarah dengan dinosaur.

Pada April 2001, sekumpulan nelayan dari bandar ini berjaya menangkap ikan tersebut yang berukuran 1.75 meter panjang dan seberat 77 kilogram.

- AFP

 

 

Ahad, Mac 17, 2013

Salji di Gurun Sahara



Gurun Sahara yang berkeluasan 4.6 juta kilometer persegi dengan keadaan suhu ekstrem mencecah 38 darjah Celsius pada waktu siang dan -5 darjah Celsius pada waktu malam bukan sahaja tidak menyukarkan pergerakan manusia malah tidak mesra haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Namun, terdapat beberapa kisah menarik gurun yang meliputi beberapa buah negara antaranya Senegal, Mauritania, Mali, Niger, Libya dan Mesir ini.

Percaya atau tidak, Gurun Sahara sebenarnya dihiasi sebuah tasik yang indah.

Tasik Ounianga yang terletak di Chad bergantung kepada sumber air bawah tanah yang wujud sejak zaman purba memandangkan iklim Sahara yang lembap pada masa itu.

Purata hujan tahunan tidak melebihi 2 milimeter (mm).

Pakar-pakar mendakwa 5,500 tahun dahulu tasik itu merupakan sebuah takungan besar yang panjangnya merentasi beratus-ratus kilometer.

Namun, perubahan iklim menyebabkan keluasan tasik itu menyusut.

Fosil dinosaur

Selain kisah tasik unik itu yang menjadi ikon pelancongan Chad, pada tahun 2008 pengkaji menemui kubur seorang wanita bertubuh kecil dengan dua kanak-kanak yang dipercayai berusia kira-kira 5,000 tahun. Mereka disemadikan bersama hamparan bunga-bungaan.

Peliknya, lengan kurus kanak-kanak tersebut masih ‘memeluk’ wanita itu seakan-akan pernah berlaku kejadian besar ketika itu.

Paul Sereno dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat dan rakan-rakannya sebenarnya sedang mencari fosil dinosaur di kawasan gurun itu di Niger.

“Kami telah menemui sesuatu yang paling tidak dijangkakan.

“Apabila kami menemui perkara seperti ini di tengah-tengah kawasan gurun ini, kami berasa aneh,” katanya.

Kira-kira 200 kubur manusia ditemui dalam usaha pencarian fosil dinosaur di situ pada tahun 2005 dan 2006. Tidak ketinggalan juga tulang haiwan seperti ikan besar dan buaya.

“Di mana sahaja anda pergi, anda akan menemui tulang-tulang haiwan yang tidak mendiami gurun ini.

“Kami mula sedar bahawa kami berada di ‘gurun’ yang hijau,” katanya.

Kubur-kubur tersebut yang tersembunyi di sebalik laluan angin gurun yang panas dipercayai terletak berdekatan tasik pada masa itu.

Dahulu, perubahan orbit matahari menyebabkan angin monsun bertiup jauh hingga ke utara yang membentuk landskap bertasik dan kawasan subur sekali gus menarik kedatangan haiwan dan manusia.

Syurga penternakan

Para pengkaji juga membuat kesimpulan sekitar 10,000 tahun lalu, Gurun Sahara mengalami fasa lembap Holosen Afrika menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh subur di benua itu.

Ini mendorong kepada kewujudan kawasan penternakan lembu susu.

Penyelidikan ini berdasarkan gambar yang terdapat pada tembikar dan batu-batu kuno menunjukkan bahawa sekitar 7,000 tahun lalu di Gurun Sahara terdapat lembu, sapi, biri-biri serta kambing.

Lebih meyakinkan apabila terdapat gambar pemerahan susu dan penternak yang sedang mengolah susu untuk dijadikan yogurt, keju dan mentega.

Menurut seorang pakar arkeologi dari Universiti Bristol, Kanada, Julie Dunne, ini berdasarkan hasil analisis pecahan tembikar kuno yang ditemui di Libya.

“Apa yang paling menarik adalah penemuan sebuah kendi yang didapati mengandungi sisa susu. Pakar mengandaikan susu merupakan bahan makanan yang sangat berguna bagi masyarakat zaman prasejarah. Mungkin masyarakat zaman dahulu sudah faham istilah khasiat makanan,” kata Dunne.

Tambahnya, aktiviti itu berlaku mungkin disebabkan manusia bermigrasi dari sekitar kawasan Mediterranean ke Mesir yang mendorong penghasilan susu untuk makanan di Afrika Utara.

“Ketika para imigran baru yang datang ke Afrika memulakan penternakan, maka orang pribumi (orang asli Afrika) dengan cepat melihat manfaat luar biasa daripada aktiviti penternakan.

“Anda benar-benar melihat evolusi dalam tindakan dalam jangka waktu yang sangat singkat, hanya 1,000 hingga 2,000 tahun,” kata Dunne.

Selain itu, pada tahun 2012 berlaku kejadian salji turun di Bechar, Algeria.

Kejadian selama 24 jam itu membawa salji dan hujan lebat. Malah, salji turut memenuhi jalan dan bangunan di bandar itu.

Apa yang menghairankan, pakar meteorologi sebelum itu meramalkan cuaca baik.

Namun, kejadian itu disambut baik oleh penduduk sekitar kerana salji yang tidak diduga itu dapat membunuh parasit yang terdapat pada pokok kurma sekali gus dapat menghasilkan lebih banyak kurma.

Kejadian sama dikatakan pernah berlaku pada tahun 1979 namun berlaku selama 24 jam sahaja.

Pakar-pakar cuaca agak bingung dengan keadaan ini dan mereka mendakwa ia disebabkan fenomena pemanasan global.

- KOSMO!


Sabtu, Mac 16, 2013

Tulang gajah purba ditemui


APOPA, El Salvador - Sekumpulan pekerja Muzium Sejarah Semula Jadi El Salvador menemui rangka tulang seekor gajah purba di Sungai Tomayate, di sini pada Februari lalu.

Haiwan itu dipercayai pupus kira-kira 12,000 tahun lalu.

Sekumpulan pekerja muzium itu membersihkan tulang-tulang tersebut daripada debu dan tanah.

Tulang-tulang itu ditemui selepas kerja-kerja penggalian dilakukan di kawasan tersebut.

Beberapa pegawai berkata, pakar-pakar hidupan purba kini meneruskan usaha untuk mencari fosil-fosil kehidupan haiwan lain di kawasan itu.

- Agensi
 


Ahad, November 18, 2012

Memilih aliran sains dengan penuh kesedaran

Oleh Zin Mahmud

Insentif yang diberikan kepada ibu bapa pelajar-pelajar sains sememangnya wajar dihargai. Tetapi bagi memilih aliran sains, seseorang pelajar hendaklah melakukannya dengan penuh kesedaran dan bukannya semata-mata kerana dorongan kewangan.

Begitu juga, janganlah memilih aliran sains kerana kedudukannya yang dipandang tinggi. Atau kerana desakan ibu bapa dan masyarakat.

Sememangnya negara dan masyarakat memerlukan lebih ramai lulusan aliran sains kerana banyak bidang masih memerlukan sumber manusia aliran ini.

Tetapi akhirnya yang akan menanggung dan menjalani kehidupan sebagai lulusan aliran sains adalah setiap individu pelajar berkenaan. Tidak semua daripada mereka berakhir dengan kejayaan. Banyak pelajar sains yang patah di tengah jalan, ketika mana kemungkinan mereka boleh lebih berjaya dalam hidup jika memilih aliran sastera.

Hakikatnya aliran sains sememangnya sukar berbanding dengan sastera. Fizik, kimia dan matematik tambahan adalah mata-mata pelajaran yang sukar, walaupun ia boleh dikuasai.

Sememangnya ada pelajar yang mempunyai bakat dalam sains. Mereka yang cerdik dalam bidang ini tidak bermasalah dalam kerjayanya.

Mereka perlu belajar dalam tahap yang sewajarnya, dan akhirnya berjaya dalam SPM dengan cemerlang. Selalunya mereka mudah memasuki sekolah berasrama penuh, kemudian ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Mereka akan pulang dengan keputusan cemerlang. Maka antara mereka dengan mudah akan menjadi doktor, jurutera dan ahli-ahli sains. Pelajar-pelajar cemerlang seperti ini tidak menghadapi masalah.

Golongan yang bermasalah adalah pelajar yang jenis sederhana. Mereka boleh menguasai bidang sains tetapi usaha mereka mesti berlipat-lipat ganda berbanding pelajar cemerlang.

Pelajar-pelajar sederhana aliran sains adalah golongan yang cemerlang juga. Termasuk dalam golongan ini ialah mereka yang sebenarnya kurang minat terhadap sains, dan cenderong kepada sastera. Andai kata mereka memasuki aliran sastera, besar kemungkinan mereka boleh mencapai kecemerlangan. Tetapi oleh kerana mereka memasuki aliran sains, maka jatuhlah mereka ke tahap sederhana.

Walaupun peluang pekerjaan bagi aliran sains adalah besar tetapi realitinya banyak daripada mereka menghadapi dilema setelah memperoleh ijazah.

Dua bidang kerjaya utama bagi pelajar aliran sains adalah perubatan dan kejuruteraan. Selain itu terdapat juga jenis-jenis pekerjaan lain yang berkaitan.

Tetapi apabila mereka tidak berminat dalam bidang pekerjaan berkaitan, atau pekerjaan yang ada terlalu khusus dan tidak menarik maka akhirnya mereka terpaksa bekerja dalam bidang yang sebenarnya tidak perlu lulus dalam aliran sains. Maka, segala susah payah belajar dalam aliran sains menjadi sia-sia.

Banyak siswazah mengharapkan pekerjaan dengan kerajaan. Maka tidak kurang pula lulusan aliran sains yang berakhir menjadi guru sains.

Tetapi ada waktunya berlaku lambakan guru sains di banyak tempat. Hinggakan sukar bagi guru sains untuk meminta pindah sekolah.

Sementara guru bidang lain pula yang berkurangan. Maka berlakulah guru lulusan sains terpaksa mengajar mata pelajaran lain seperti bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Maka segala tungkus lumus mereka belajar sains dahulu menjadi sia-sia.

Dalam pada itu, lihatlah pula keadaan masyarakat. Walaupun doktor, jurutera , pakar komputer dan ahli sains diperlukan tetapi hakikatnya mereka yang mendapat kedudukan tinggi, berkuasa dan berpengaruh bukan datangnya daripada lulusan aliran sains.

Walaupun terdapat doktor dan jurutera yang menjadi ahli politik, tetapi kebanyakan daripada mereka datangnya dari kalangan aliran sastera iaitu peguam.

Begitu juga dalam bidang keusahawanan dan korporat, kebanyakan daripada mereka datangnya daripada aliran sastera, atau disebut aliran ikhtisas, iaitu mereka yang belajar dalam bidang pengurusan, perniagaan dan perakaunan.

Dalam pentadbiran kerajaan pula, kebanyakan yang menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) adalah dari kalangan lulusan aliran sastera, sama ada dalam bidang pentadbiran, ekonomi, sains politik, kesusasteraan, sejarah dan seumpamanya.

Malah lulusan aliran sains yang cemerlang masa menjadi pelajar akan mendapati bahawa apabila mereka bekerja kelak, ketua mereka adalah dari kalangan lulusan aliran sastera.

Dalam masyarakat pula yang memperoleh penghormatan lebih tinggi adalah kalangan ustaz, ulama dan lulusan bidang agama, yang merupakan sebahagian daripada aliran sastera. Orang ramai lebih mempercayai ulama daripada ahli sains dalam banyak perkara kehidupan.

Malah dalam perubatan pun, sebilangan besar masyarakat lebih mempercayai ustaz dan usahawan perubatan alternatif berbanding doktor yang merupakan lulusan aliran sains.

Sememangnya kini adalah kebangkitan wanita dalam pelbagai bidang termasuklah aliran sains. Tetapi wanita-wanita bidang hiburan seperti penyanyi, pelakon dan pengacara tentu jauh lebih glamor.

Inilah realitinya walaupun masyarakat memerlukan lulusan aliran sains untuk berfungsi dalam zaman teknologi moden ini.

- UTUSAN

Rabu, Oktober 17, 2012

BHPetrol lancar Infiniti Advanced 2x


KUALA LUMPUR 16 Okt.- Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) menjadi syarikat pertama dunia melancarkan petrol premium terbaharu, Infiniti Advanced 2x iaitu yang diformulasikan dengan aditif terkini dari Jerman.

Pengarah Runcitnya, James Khoo berkata, petrol berkenaan mendahului produk lain daripada segi penggunaan teknologi kerana aditif yang digunakan mempunyai tahap rawatan minimum dua kali ganda mengikut saranan pengeluar bahan tersebut.

"Infiniti merupakan petrol berprestasi dua kali ganda yang telah melalui dua peringkat penambahbaikan sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2008 dan dua tahun kemudian, tahun ini kami melengkapkannya dengan menggunakan aditif termaju.

"Infiniti Advanced2x mempunyai agen pencuci deposit yang kuat untuk membersihkan enjin dan mengekalkan kuasa serta jarak perjalanan yang mampu memuaskan hati pengguna," katanya pada majlis perasmian petrol berkenaan di Stesen Servis BHPetrol Sungai Kayu Ara di sini hari ini.

Tambah James, kelebihan aditif yang digunakan bukan sekadar membersihkan enjin, malah diperkuat dengan agen pengurangan geseran untuk penjimatan perjalanan berterusan selain memiliki kadar kekuatan dua kali ganda untuk impak maksimum.

Sementara itu, Pengarah Urusan BHPetrol, Tan Kim Thian berkata, dengan pelancaran produk terbaharu itu, sebanyak 330 stesen minyak seluruh negara mula membekalkan Infiniti Advanced 2x kepada pengguna serentak hari ini.

"Kami (BHPetrol) menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 10 peratus menjelang tahun hadapan dengan menawarkan petrol premium terbaik kepada rakyat Malaysia tanpa mengenakan sebarang kos tambahan," katanya.

Infiniti Advanced 2x merupakan petrol premium mengandungi tiga komponen iaitu agen pembersihan mendapan, agen pengurangan geseran dan aditif kekuatan berganda yang boleh didapati dalam petrol RON95 dan RON97.

Laman Web BHPetrol : http://www.bhpetrol.com.my/



Isnin, Oktober 01, 2012

Minyak kelapa cegah kerosakan gigi


MINYAK kelapa ternyata tidak hanya boleh dimanfaatkan untuk memasak tetapi juga melindungi gigi. Bahan aktif dalam minyak kelapa mampu melawan bakteria penyebab gigi berlubang.

Gigi berlubang terjadi disebabkan beberapa faktor, iaitu pertumbuhan bakteria, gula dalam makanan dan permukaan gigi yang rosak.

Bakteria Streptokokus (bakteria yang menjadikan gula di dalam mulut sebagai makanannya) akan mengubah gula yang menempel menjadi asid.

Menurut Dr. Damien Brady dari Institut Teknologi Athlone di Ireland, minyak kelapa yang bercampur dengan enzim pencernaan akan menghasilkan pembunuh bakteria yang kuat.

"Penyelidik kini berusaha menghasilkan ubat gigi dan ubat kumur yang mengandungi minyak kelapa sebagai bahan aktifnya.

"Menggabungkan enzim minyak kelapa yang dimodifikasi menjadi produk rawatan gigi mampu menjadi alternatif kepada bahan kimia yang digunakan sekarang," katanya.

- KOSMO!
 

Ahad, September 23, 2012

Ikan Emas Malaysia berharga RM300,000 seekor



JIKA durian terkenal dengan jolokan raja buah, arowana emas Malaysia pula mengungguli carta teratas bagi kategori ikan hiasan.

Nilainya yang mampu mencecah puluhan ribu ringgit seekor menyebabkan spesies ikan yang dikatakan hanya boleh didapati di Tasik Bukit Merah, Semanggol, Perak itu digelar sebagai 'emas yang berenang'.

"Siapa sangka ikan kelisa (panggilan penduduk tempatan bagi arowana emas) yang enak dimasak gulai dan kadangkala dijadikan pekasam oleh penduduk kampung dahulu rupa-rupanya begitu berharga.

"Pada awal 1970-an, ikan ini mudah didapati dan biasa terperangkap di dalam lopak air di bendang padi dan tali air setiap kali selepas musim banjir," ujar Ahmad Don, 58, mengimbas kenangan zaman kanak-kanaknya kepada Jurnal baru-baru ini.

Namun begitu, Ahmad yang ketika itu berusia belasan tahun merupakan antara segelintir individu yang menghidu potensi arowana emas sebagai ikan hiasan.

Dengan membeli anak ikan itu hidup-hidup daripada penduduk tempatan yang mengailnya dari Tasik Bukit Merah, beliau menjualnya semula kepada peniaga ikan hiasan di Pulau Pinang pada harga RM15 seekor.

Rezeki menjual ikan kelisa secara kecil-kecilan itulah sebahagian usaha Ahmad yang menjadi anak yatim seawal usia dua tahun untuk membantu ibunya menyara keluarga.

"Dari situ minat saya terhadap arowana khususnya spesies emas Malaysia mula bercambah. Kenangan zaman remaja itu telah menjadi inspirasi kepada saya untuk menceburkan diri dalam industri penternakan ikan arowana secara serius pada tahun 2001.

"Sebelum menubuhkan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn. Bhd. (BMA) yang menjadi perintis kepada industri ikan arowana di Bukit Merah ini, saya juga pernah membuka kedai ikan hiasan di Taiping," jelasnya.

Harga

Bermula dengan 25 buah kolam yang dibina di atas tanah pusaka arwah bapanya seluas 0.8 hektar, kini Pengarah Urusan BMA itu boleh berbangga kerana memiliki 1,000 buah kolam ternakan ikan arowana.

Walaupun menternak pelbagai spesies arowana seperti mas merah, highback, merah banjar, super red, merah cili, emas highback, perak dan hijau, bagi Ahmad, emas Malaysia ialah spesies yang paling berharga.

"Jika spesies lain, seekor anak ikan sebesar 12.7 sentimeter (sm) boleh dijual pada harga RM20 hingga RM1,500, anak ikan arowana emas Malaysia pula berharga RM2,500 seekor.

"Ikan hiasan itu bukan sahaja telah memberi pulangan jutaan ringgit malah yang lebih berharga daripada itu, ia memberi nilai sentimental yang mengingatkan saya kepada zaman silam," cerita Ahmad.

Induk daripada spesies arowana emas berkenaan mampu dijual sehingga RM24,000 seekor. Malah menurut Ahmad, beliau pernah menjual seekor arowana emas Malaysia yang bersifat albino pada harga RM300,000 pada tahun 2006.

Oleh sebab itu, bibir Pengerusi Persatuan Penternak Arowana Utara itu tidak henti-henti mengukir senyuman apabila Bengkel Standard Kualiti Arowana Emas Malaysia yang diadakan di Bukit Merah baru-baru ini memutuskan untuk menjadikan arowana emas Malaysia sebagai warisan negara.

Bagi bapa kepada 12 cahaya mata itu, penat-jerihnya memartabatkan ikan arowana emas Malaysia di mata dunia selama ini seolah-olah telah berbayar berikutan inisiatif Jabatan Perikanan tersebut.

"Pengiktirafan itu meletakkan ikan hiasan ini di tempat sewajarnya memandangkan ia merupakan merupakan khazanah paling berharga Tasik Bukit Merah," katanya.

Secara tidak langsung, pengwartaan arowana emas Malaysia sebagai warisan negara bakal menyerlahkan lagi nama Bukit Merah di mata dunia.

Dari sudut perniagaan pula, pengusaha ikan arowana di Zon Akuakultur Bukit Merah yang seluas 100 hektar sekarang bakal menerima manfaat besar serta potensi mengembangkan perniagaan mereka.

Selain menjamin nilai arowana emas Malaysia di pasaran antarabangsa, ia juga mampu mengukuhkan lagi penguasaan negara dalam industri berkenaan.

Setakat ini, Malaysia menguasai hampir 70 peratus pasaran arowana dunia biarpun mendapat saingan sengit daripada Indonesia dan Singapura.

Malah, ciri-ciri unik ikan itu akan semakin mudah dikenal pasti peminat ikan hiasan menerusi pengenalan Standard Spesifikasi Ikan Arowana Emas Malaysia atau DOF STAN 1:2012 kelak.

"Sebelum ini, ada beberapa kes peminat ikan hiasan khususnya yang baru berjinak-jinak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menipu menjual pada harga tinggi ikan arowana hijau yang diakui kononnya emas Malaysia.

Mulut

"Ia bukan sahaja merugikan pelanggan bahkan memberi kesan kepada nilai pasaran arowana emas Malaysia yang sedikit merudum akhir-akhir ini akibat isu tersebut," jelas Ahmad.

Beliau yang juga salah seorang panel Jawatankuasa DOF STAN 1:2012 memberitahu, ikan arowana emas Malaysia boleh dikenal pasti daripada sisiknya yang berwarna keemasan dan semakin terserlah pada peringkat pramatang dan dewasa.

Selain itu, ikan yang turut dikenali sebagai dragon fish dan dragon bonytongues itu mempunyai sesungut dan lidah yang keras seperti tulang. Ia juga mampu membuka mulutnya dengan luas dan mempamerkan struktur giginya yang halus tetapi kuat.

Boleh dikatakan hampir 80 peratus daripada 336,000 ekor ikan arowana pelbagai spesies bernilai RM151 juta yang dikeluarkan setiap tahun oleh Zon Akuakultur Bukit Merah dibeli oleh pelanggan dari China.

Senario itu tidak menghairankan kerana ia berkait rapat dengan sentimen kaum tersebut yang percaya arowana adalah lambang kekayaan dan mempunyai feng shui yang baik untuk membantu kejayaan pemiliknya.

"Orang Cina percaya ikan yang menyerupai naga ini lambang kepada kesihatan yang baik, mampu menjamin keharmonian keluarga dan memberi perlindungan daripada sihir," ujar Ahmad.

Bercerita tentang penjagaan arowana, Ahmad berkata, ikan hiasan itu sesuai membiak di negara yang beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Selain memerlukan bekalan air yang sentiasa mengalir sepanjang tahun, kolam ternakan ikan arowana hanya sesuai dibina di kawasan tanah liat berpasir dengan kandungan tanah liat sekurang-kurangnya 55 peratus.

Habitat yang sesuai untuk pembiakan ikan arowana juga memerlukan kandungan air pada kadar pH antara 6.8 dan 7.4.

"Bagi memastikan pembiakan anak ikan arowana yang berkualiti, hanya enam ekor induk ikan jantan dan 10 betina diisi di setiap kolam yang sebesar 6x15 meter.

"Ikan yang bersifat karnivor itu akan diberi makan anak ikan seluang selain makanan tambahan lain seperti udang, cengkerik, katak, ulat dan lipan sebanyak dua kali sehari," katanya.

Berbanding ikan hiasan lain yang memerlukan bantuan manusia seperti teknik aruhan untuk membiak, proses persenyawaan induk arowana lebih mudah kerana ia berlaku secara semula jadi.

Ikan arowana akan matang apabila berusia antara dua hingga tiga tahun. Pada masa itu, induk jantan dan betina bakal berpasangan sehingga masa mengeluarkan telur dan sperma.

Ujar Ahmad, ikan hiasan itu hanya bertelur setahun sekali. Telur yang telah disenyawakan akan dikutip ikan jantan untuk dieram di dalam mulutnya selama dua bulan.

"Sepanjang tempoh tersebut, induk ikan jantan akan 'berpuasa'. Anak-anak ikan yang telah menetas hanya akan diluahkan daripada mulutnya selepas boleh berenang sendiri.

"Biasanya induk jantan boleh menjaga antara 20 hingga 60 ekor anak di dalam mulutnya pada satu-satu masa," beritahu beliau.

Begitupun, Ahmad menjelaskan bagi tujuan komersial, mulut ikan jantan terbabit akan diperiksa setiap dua bulan bagi mengeluarkan anak-anak ikan sebelum diletakkan di dalam inkubator yang fungsinya menyerupai mulut si induk.

- KOSMO!

Jumaat, September 21, 2012

Malaysia Perlukan Lebih 12,000 Jurutera Elektronik Menjelang 2020

Malaysia memerlukan 12,600 jurutera solar dalam bidang elektrik dan elektronik menjelang 2020, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Khamis. Beliau berkata ini bagi memastikan hasrat negara untuk muncul sebagai pengeluar sel solar ketiga terbesar selepas China dan Jerman, dengan menyumbang 17 peratus kepada pengeluaran global, tercapai menjelang 2020. Dr Subramaniam berkata demikian selepas menutup Seminar Kebangsaan Teknologi Solar 2012 anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM), agensi Kementerian Sumber Manusia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Bukit Kemuning, di Shah Alam. Beliau berkata pembangunan industri solar dalam negara ini merupakan satu sektor ekonomi yang mendapat sokongan daripada kementeriannya dan agensi kerajaan yang mempunyai pusat latihan dan pendidikan. Oleh itu, beliau berharap para pelatih akan dapat memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan yang baik daripada bidang itu pada masa akan datang. Dr Subramaniam berkata kini terdapat syarikat asing yang melabur di Malaysia dalam bidang solar seperti AUO Sunpower Sdn Bhd di Melaka. JTM menawarkan kursus berkaitan tenaga yang boleh diperbaharui terutamanya dalam bidang solar menerusi modul pengajian dalam bidang elektrik dan elektronik di institusi latihannya. Antara institusi JTM yang menawarkan kursus tenaga yang boleh diperbaharui termasuk solar ialah ADTEC Shah Alam, Institut Latihan Perindustrian (ILP)Jitra, Mersing dan Sandakan, manakala pada masa akan datang kursus itu akan ditawarkan oleh ADTEC Kemaman dan Bintulu. Lebih 300 peserta menyertai seminar itu dengan empat kertas kerja dibentangkan masing-masing daripada wakil Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Sustainable Energy Development Authority (SEDA), Universiti Teknologi Mara dan AUO Sunpower. - BERNAMA

Recent Posts