Memaparkan catatan dengan label Sains. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sains. Papar semua catatan

Khamis, Ogos 02, 2012

Kapal angkasa China ke bulan 2013


China berkata ia akan mendaratkan kapal penjelajahan di bulan buat kali pertama tahun depan, sebagai sebahagian program angkasa lepas yang termasuk rancangan jangka panjang meletakkan angkasawannya di bulan.

Ia akan dilancarkan pada separuh kedua 2013 dan cuba untuk mendarat serta menghantar balik tinjauan di permukaan bulan, lapor televisyen kelmarin.

Jika berjaya, pakar berkata ia menjadi kapal pertama mendarat di bulan sebagai sebahagian misi – bertentangan dengan melakukan pendaratan cemas terkawal – sejak dicapai program angkasa lepas Soviet pada tahun 1970-an.

- AFP

Selasa, Jun 19, 2012

Adakah plastik berbahaya?

ADILKAH kita untuk berkata, bahawa segalanya yang melibatkan plastik menjadi beban kepada alam sekitar?

Ketika industri plastik mencatatkan angka-angka memberangsangkan daripada sudut ekonomi, pencinta alam sekitar menganggap kehadiran bahan polimer tersebut lebih memudaratkan.

Angka eksport menunjukkan pertumbuhan industri plastik ialah antara 10 dan 15 peratus dalam tempoh sepuluh tahun.

Ini termasuk catatan bahawa Malaysia merupakan pengeksport filem terbesar Asia dan pengeluar serta pengekport bungkusan dan beg plastik di Asia dan pasarannya sehingga ke Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat (AS) serta Jepun.

Demikian angka-angka yang dinyatakan oleh Forum Plastik Malaysia (MPF), sebuah badan yang melindungi kepentingan industri plastik tempatan.

MPF yang ditubuhkan 2005, merupakan hasil gabungan dua persatuan iaitu Kumpulan Pengeluaran Resin Plastik-Persatuan Petrokimia Malaysia serta Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA).

Dengan demikian , menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesedaran MPF Ahmad Khairuddin Sha'aban, isu plastik sebenarnya lebih tertumpu kepada masalah sikap manusia yang membuang sampah merata-rata.

''Tidak ada yang memudaratkan berkaitan plastik, jika ia gunakan secara bijak," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Beliau membentangkan beberapa hujah mengatakan bahawa plastik bukanlah isu alam sekitar hanya kerana adanya mitos yang menyatakan bahan tersebut merupakan bahan yang mengambil masa terlalu lama untuk terurai.

''Apa isunya,? soal beliau.

Malah, dalam satu kerja-kerja menggali di tapak pelupusan sampah di New York, AS , ada kes menunjukkan bahawa sehelai kertas akhbar pada tahun 1950-an masih tertanam kemas di bawah tanah tanpa tanda-tanda akan berlaku penguraian.

Ahmad Khairuddin seterusnya menjelaskan bahawa daripada sudut lain, sekiranya berlaku penguraian sekalipun, impak ke atas alam sekitar lebih memudaratkan memandangkan proses tersebut menghasilkan gas.

Dalam keadaan atau kehadiran oksigen (aerobik), hasil penguraian membentuk air apabila gas oksigen berkenaan berkenaan bertindak balas dengan hidrogen dan membentuk gas karbon dioksida. Ini kerana bahan organik seperti kertas, tumbuh-tumbuhan dan haiwan mengandungi unsur hidrogen dan karbon.

Seperti diketahui, gas karbon dioksida ialah gas rumah hijau yang menyebabkan kemudaratan kepada alam sekitar.

Lebih parah lagi apabila proses penguraian berlaku tanpa kehadiran oksigen (anaerobik) yang mana proses berkenaan menyebabkan hidrogen dan karbon bertindak balas dan membentuk gas metana yang lebih mudarat lebih 22 kali berbanding gas karbon dioksida (CO2)

Kajian oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), AS menunjukkan tidak berlaku proses penguraian sempurna di tapak pelupusan sampah termasuk bahan organik lain.

"Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa kertas di tapak pelupusan sampah tidak mengurai atau mengurai tidak sepantas yang diharapkan plastik. Malah tidak mengurai sempurna kerana ketiadaan air, udara, cahaya serta elemen lain yang mencukupi." ujar beliau.

Oleh itu katanya, jika ada persepsi negatif menyatakan bahawa bahan plastik mengurai dalam tempoh 1,000 tahun atau lebih tetapi daripada segi positif ia mengurangkan munculnya gas metana.

Wujud juga persepsi bahawa proses penghasilan plastik menggunakan banyak tenaga daripada minyak mentah.

Dalam hal ini , menurut Ahmad Khairuddin , tanggapan tersebut tidak benar berdasarkan statistik bahawa 45 peratus penggunaan minyak global adalah untuk pengangkutan manakala 42 peratus digunakan untuk haba, elektrik dan tenaga.

Hanya empat peratus penggunaan minyak mentah dunia digunakan untuk produk plastik.

Menurutnya, data tersebut dapat menjelaskan kekeliruan kononnya banyak minyak digunakan untuk produk plastik sedangkan penggunaan utama 87 peratus untuk pengangkutan, haba, elektrik dan tenaga.

Tambahan pula katanya, penggunaan plastik daripada komponen kenderaan juga mengurangkan penggunaan tenaga dan ini mampu mengurangkan pelepasan 30 juta tan pelepasan CO2 setahun di Eropah.

Dalam pada itu , penggunaan plastik juga membantu bidang bidang lain termasuk pengawetan makanan.

Sebagai contoh, katanya kita-kira 40 peratus plastik adalah untuk pembungkusan makanan. Dan ini membantu penyimpanan makanan , mengurangkan pembaziran makanan dan mengurangkan berat bungkusan.

Kecekapan makanan dalam pembungkusan makanan plastik tidak boleh dibandingkan berbanding bahan lain.

Satu peratus peningkatan dalam satu peratus pembungkusan plastik sama dengan pengurangan 1.6 peratus pembaziran makanan.

Di Eropah kata beliau, sebanyak 50 peratus makanan di rantau berkenaan dibungkus dengan plastik.

Ironinya, dengan ketiadaan plastik, kuantiti pembuangan makanan meningkat 158 peratus dan pembuatan meningkat kepada 108 peratus.

Beliau juga ingin memperbetulkan salah faham kononnya haiwan marin menjadi mangsa kerana beg plastik.

Organisma marin seperti penyu sebagai contoh, dikatakan maut kerana memakan atau terperangkap dengan beg-beg plastik yang bersepah di tengah laut, sedangkan satu kajian di Newfoundland, Kanada menunjukkan bahawa ia kebanyakannya berpunca kerana haiwan-haiwan laut terperangkap dengan sampah dan puing plastik terutamanya peralatan nelayan seperti pukat-pukat yang dibuang.

Oleh itu, sekiranya benar plastik itu menyebabkan penyu atau organisma marin mati, adakah ia bukan salah bahan berkenaan sedangkan yang bertanggungjawab ialah mereka yang mencampakkan bahan tersebut ke laut.

MPF juga menyokong mana-mana pihak yang menggalakkan pembangunan mampan dan lestari.

Tetapi ia harus berasaskan fakta bukan mitos.

Justeru itu, MPF tidak bersetuju dengan pengharaman penggunaan beg plastik kerana ia tidak menangani punca asas ia itu masalah sikap manusia yang membuang sampah merata-rata dan ia juga membebankan pengguna.

Kajian menunjukkan yang majoriti pengguna bertanggungjawab kerana 80 peratus beg-beg plastik yang diberi percuma di pasar raya digunakan semula, terutamanya sebagai pelapik-pelapik tong sampah.

Beg plastik kebanyakan nya dibuat daripada polyethylene(PE) dan menurut life cycle assessment (LCA) atau kitaran penilaian hayat, beg plastik PE adalah lebih mesra alam dan mampan berbanding beg plastik mudah urai dan beg kertas.

Adalah lebih baik menggunakan pendekatan kitar semula kerana ia lebih menjimatkan tenaga. Ia mengambil 91 peratus kurang kuantiti tenaga untuk mengitar semula plastik berbanding kuantiti yang sama untuk kertas.

- UTUSAN

Khamis, Jun 07, 2012

Fenomena transit Zuhrah muncul semula 2117



Penduduk di seluruh dunia memandang ke langit pada waktu siang kelmarin untuk melihat transit Zuhrah.

Keajaiban alam tersebut berikutnya hanya akan berlaku dalam tempoh 105 tahun akan datang.

Transit Zuhrah terjadi apabila planet berkenaan melintasi di antara Bumi dan Matahari.

Penduduk Bumi dapat melihat planet berkenaan sebagai satu bintik hitam kecil pada permukaan matahari.

"Jika anda dapat melihat tahi lalat pada wajah model antarabangsa Cindy Crawford, anda pasti akan dapat melihat transit Zuhrah," kata seorang ahli Persatuan Astronomi Los Angeles, Van Webster.

Transit berkenaan berlaku selama 6 jam 40 minit bermula selepas pukul 6 petang di Amerika Syarikat.

Mereka yang berada di Amerika Utara dan Tengah akan dapat melihat keseluruhan fenomena itu manakala penduduk di barat Asia, timur Afrika dan sebahagian besar Eropah pula akan dapat menyaksikan penghujung transit Zuhrah apabila matahari terbit.

Di Hawaii, Alaska, timur Australia dan Asia termasuk Jepun, Semenanjung Korea dan timur China, orang ramai dapat memerhatikan keseluruhan transit Zuhrah kerana fenomena itu berlaku pada siang hari.

Mereka yang tidak memiliki teleskop bersama penapis khas memilih untuk menyaksikan fenomena itu di laman web Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Laman web tersebut mencatat hampir 2 juta penonton kelmarin dengan sekitar 90,000 orang melayarinya pada sesuatu masa.

Di bandar raya ini, kali terakhir transit Zuhrah berlaku adalah 130 tahun lalu pada 1882.

"Saya berasa sangat seronok. Ini satu pengalaman yang kami tidak akan lupakan seumur hidup kami," kata seorang jurutera perisian berusia 32 tahun, Bo Tan.

Dia dan beberapa rakan sekerjanya mengambil cuti separuh hari untuk memerhatikan keganjilan alam tersebut.

Namun, orang awam yang mahu melihat transit Zuhrah dinasihatkan supaya memakai kaca mata khas atau teleskop dilengkapi penapis cahaya.

Ini kerana perbuatan memandang pada tempoh yang lama ke arah matahari akan merosakkan retina mata.

Ketika gerhana matahari berlaku pada 1970, sebanyak 145 kes retina rosak dilaporkan di AS akibat perbuatan memandang ke arah bintang tersebut tanpa sebarang peralatan keselamatan.

Transit Zuhrah berikutnya hanya akan berlaku pada tahun 2117.

- Agensi

Selasa, Jun 05, 2012

Gerhana Bulan Separa 4 Jun 2012



Gerhana bulan separa dapat dilihat bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam di Pulau Mabul di Semporna, Sabah, malam Isnin.

Rakyat Malaysia dapat menyaksikan dua fenomena falak iaitu gerhana bulan separa pada Isnin (4 Jun 2012) bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam, sementara Transit planet Zuhrah melintasi matahari pada berlaku pada pagi Rabu (6 Jun 2012) bermula 6.27 pagi dan berakhir pada jam 12.49 tengahari. Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari, dan keseluruhan proses transit ini hanya boleh dilihat di pantai timur Sabah terutama di Sandakan.

- Foto BERNAMA

Jumaat, Mei 18, 2012

Gerhana matahari cincin 20 Mei 2012


Gerhana matahari Anulus atau gerhana matahari cincin dijangka berlaku Ahad ini, 20 Mei 2012 (waktu tempatan di Hemisfera Timur) dengan magnitud 0.9439.

Namun sebahagian daripada gerhana matahari itu hanya boleh disaksikan di Sabah dan Sarawak.

Menurut Portal Pendidikan Sains Angkasa, gerhana itu juga dapat dilihat di Brunei dan sebahagiannya di Indonesia secara separa.

- KOSMO!

Jumaat, Mei 04, 2012

Dinosaurslive di Pusat Sains Negara 1 Mei - 31 Julai 2012


Gambar : hasnidaomar.blogspot.com

Pameran Dinosaur ‘Hidup Semula’ kembali diadakan di Pusat Sains Negara buat kali kedua dengan menampilkan lebih 30 spesies haiwan purba berkenaan dengan pendekatan lebih interaktif dan realistik menggunakan teknologi animatronik.

Pengarah Pusat Sains Negara, Prof Madya Dr Irmawati Ramli, berkata pameran selama tiga bulan berkenaan bermula secara rasmi semalam, akan membawakan pengalaman menyeluruh merangkumi habitat, maklumat mengenai penemuan haiwan itu, pergerakan juga bunyian dan banyak lagi.

“Pameran dilancarkan secara rasmi 1 Mei adalah anjuran bersama Cityneon Holdings dan EMS Holdings, bermula 1 Mei hingga 31 Julai dengan tujuan memberi pendidikan secara berhibur pada zaman prasejarah mengikut spesies yang ada.

“Antara aktiviti disediakan adalah lawatan berkumpulan, sesi aktiviti, pertandingan berlumba dengan dinosaur, kiosk dinosaur (mewarna dan melukis), ekspedisi dan menunggang haiwan berkenaan,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Kumpulan Cityneon Holdings, Ko Chee Wah; Pengerusi EMS Holdings, Datuk Jared Lim; Ketua Pengurus Cityneon Holdings, Ong Chun Teck dan Ketua Penolong Pengarah Pusat Sains Negara, Dr Phyllis Lam Li Wan.

Bayaran masuk RM15 bagi dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun, pelajar dengan kad pengenalan, serta percuma bagi kanak-kanak berumur bawah enam tahun.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.dinosaurslive.con.my atau www.facebook.com/dinosaurslive.my

 

Sabtu, April 28, 2012

Lahar punca lurah terbentuk di Marikh


WASHINGTON - Aliran lahar telah menyebabkan lurah-lurah terbentuk di planet Marikh, kata beberapa saintis Amerika Syarikat menerusi jurnal Science kelmarin.

Menurut jurnal itu, lahar tersebut meninggalkan kesan lingkaran seperti yang dapat dilihat di beberapa bahagian di Bumi termasuk di Pulau Besar, Hawaii.

Teori bahawa lahar mencorakkan landskap Marikh dibuat berdasarkan analisis di kawasan Athabasca Valles di tengah planet berkenaan.

Ketua penulis artikel itu, Andrew Ryan dari Universiti Negeri Arizona membuat kesimpulan tersebut berdasarkan analisis yang dilakukan ke atas lebih 100 imej Athabasca Valles beresolusi tinggi.

Imej itu dirakamkan sebuah satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Beliau berkata, lebar lingkaran yang dilihat di kawasan bergunung berapi, Elysium di Marikh adalah antara lima hingga 30 meter dan tidak mungkin lurah berkenaan terhasil oleh ais atau proses berkaitan dengan air.

"Ia lebih besar daripada lingkaran lurah lahar yang terdapat di Bumi.

"Lingkaran itu hanya dapat dikesan dengan menggunakan imej beresolusi tinggi yang dirakamkan satelit NASA," kata Ryan.

Setakat ini, Ryan dan seorang saintis lain, Philip Christensen telah menemui lebih 200 lingkaran lahar di Marikh dan mereka percaya terdapat banyak lagi lingkaran di planet tersebut.

- AFP

Jumaat, April 27, 2012

Hentikan guna toksin

KEBANYAKAN produk harian yang digunakan diperbuat daripada bahan kimia yang berpotensi memudaratkan diri kita dan anak-anak serta bumi.

Mengurangkan penggunaan bahan kimia berbahaya setiap hari boleh membantu melindungi alam sekitar dan mengurangkan pendedahan terhadap toksin-toksin ini dan kesan sampingannya.

Bersempena dengan Hari Bumi, I-Green (M) Sdn. Bhd. menganjurkan satu kempen Tukar Toksin Anda di Karnival Hari Bumi Justlife yang berlangsung 19 sehingga 22 April 2012, lalu di Mont Kiara Mall, Kuala Lumpur.

Penglibatan I-Green itu bertujuan meningkatkan kesedaran umum untuk menghentikan penggunaan toksin dalam produk harian sebagai usaha menyelamatkan bumi dan melindungi kehidupannya.

Pada kempen itu, setiap individu digalakkan membawa bersama sebarang produk penjagaan kulit bayi atau kanak-kanak atau produk penjagaan diri dewasa seperti sabun pencuci muka dan mandian atau syampu untuk ditukarkan dengan rangkaian penjagaan kulit yang diiktiraf organik - Bud Organics atau Esmeria Organics.

Setiap keluarga dibenarkan menukar sehingga dua jenis produk dan tawaran tersebut sah sehingga stok masih ada.

Pertukaran produk itu juga dibuat di sebarang rangkaian Justlife yang terletak di The Curve, The Gardens, Subang Jaya, Puchong, Seremban, Melaka dan Pulau Pinang semasa Karnival Hari Bumi Justlife berlangsung.

I-Green telah mengadakan majlis pelancaran kempen tersebut di Tadika Krisaliz dengan 70 kanak-kanak telah membawa produk penjagaan kulit mereka untuk ditukarkan dengan produk penjagaan kulit bebas toksin.

Acara menarik pada hari berkenaan adalah sesi bercerita buku kanak-kanak yang berjudul Where on Earth is the Environment?, karya Allie Hill yang diceritakan oleh pencerita profesional, Elaine Foster. Buku itu merupakan sebahagian daripada projek komuniti I-Green.

"Sebagai sebuah syarikat penjagaan kulit, menjadi tanggungjawab kami untuk menyebarkan mesej di kalangan golongan muda kerana seperti yang diketahui kanak-kanak mampu dan ingin menyelamatkan bumi ini.

"Pada masa yang sama, usaha pertukaran produk ini memberi manfaat kepada diri mereka dan mengurangkan pendedahan terhadap toksin-toksin yang dikenali dengan sifat-sifat karsinogenik dan kesan sampingan yang mengganggu hormon individu," kata Pengarah Urusan I-Green (M) Sdn. Bhd., Soo Siew Peng.

Katanya, kesedaran kepentingan membaca senarai bahan-bahan di label produk penjagaan kulit mungkin suatu yang masih baharu di peringkat ini.

"Kebanyakan kita yang telahsedar berusaha untuk membaca label makanan dan kami berharap golongan dewasa, khususnya ibu bapa, untuk melihat label-label yang tertera di produk-produk penjagaan kulit diri dan anak-anak mereka.

"Bahan kimia berbahaya seperti SLS, SLES, PEGS, DEA, EDTA, paraben, ftalat, wangian dan pewarna tiruan harus dielakkan," tambah Siew Peng.

Maklumat lanjut berkenaan ramuan kosmetik berbahaya boleh didapati di laman sesawang Environmental Working Group, www.ewg.org

- UTUSAN

Jumaat, April 20, 2012

Kapal angkasa Discovery ditamatkan perkhidmatan



WASHINGTON - Kapal angkasa Discovery yang diangkut di atas sebuah pesawat Boeing 747, melakukan penerbangan simbolik sebelum ia mendarat berhampiran sebuah muzium, tempat ia disimpan di ibu kota AS di sini kelmarin.

Discovery yang melakukan penerbangan sulung pada 1984, terbang mengelilingi ibu kota AS berkenaan selama sejam sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles dengan disaksikan oleh orang ramai.

Kapal angkasa berwarna hitam dan putih milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) itu kelihatan lusuh selepas melakukan 39 misi ke angkasa lepas.

"Ia seperti menghantar ahli keluarga anda menetap di tempat lain," kata seorang angkasawan NASA, Nicole Stott.

Discovery melakukan misi terakhir ke angkasa lepas pada Februari dan Mac tahun lalu melibatkan perjalanan pergi balik ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang mengambil masa 13 hari.

Daripada tiga buah kapal angkasa milik AS termasuk Endeavour dan Atlantis, Discovery adalah yang tertua dan paling kerap terbang ke angkasa lepas.

Pusat kawalan NASA menyatakan, Discovery menghabiskan masa 365 hari di angkasa lepas dan terbang sejauh 241 juta kilometer sepanjang perkhidmatan kapal angkasa berkenaan.

- AFP

Khamis, April 19, 2012

Spesies baru seperti udang ditemui



ALBUQUERQUE, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa saintis menemui spesies baharu haiwan seperti udang yang buta, kecil dan hampir lutsinar di sebuah gua di negeri New Mexico.

Penemuan spesies berkenaan diumumkan oleh oleh Biro Pengurusan Tanah AS kelmarin.

Haiwan tersebut yang tergolong dalam kategori amphipod ditemui sekitar sebulan lalu di dalam sebuah kolam bawah tanah pada kedalaman kurang 24 meter daripada permukaan.

Lokasi penemuan tersebut terletak berhampiran Taman Negara Carlsbad Caverns di New Mexico.

"Ia mungkin hidup puluhan ribu tahun atau jutaan tahun dan hanya ditemui baru-baru ini," kata seorang pakar biro berkenaan tersebut, Jim Goodbar.

Menurutnya, spesies baharu itu yang masih belum diberi nama mungkin memakan bakteria, mineral atau cebisan tumbuhan yang jatuh di dalam air.

- Agensi

Jumaat, Mac 16, 2012

Saintis klonkan anak kambing Kashmir


SRINAGAR, India - Sekumpulan saintis di wilayah Kashmir yang dikuasai India telah mengklonkan seekor anak kambing Kashmir dengan tujuan untuk meningkatkan bilangan haiwan yang sukar ditemui itu.

Kambing Kashmir hidup di beberapa bahagian Banjaran Himalaya dan dataran Tibet.

Bulu kambing itu yang dinamakan bulu pashmina digunakan untuk membuat baju panas Kashmir.

Mengulas tentang kejayaan projek tersebut, seorang saintis, Riaz Ahmad Shah berkata, klon seekor anak kambing Kashmir betina yang lahir pada 9 Mac lalu itu akan membolehkan program pembiakan kambing berkenaan dilakukan di beberapa kawasan lain di Banjaran Himalaya bagi tujuan komersial.

Menurutnya, klon anak kambing betina itu dinamakan Noori yang bermaksud cahaya.

Pasukan saintis yang diketuai oleh Riaz di Universiti Sher-i-Kashmir mengambil masa selama dua tahun untuk menghasilkan klon kambing tersebut.

- Agensi

Spesies baharu katak ditemui


NEW YORK - Beberapa pakar biologi terkejut apabila mereka menemui spesies baharu katak di kawasan bandar raya ini.

Sejak beberapa tahun lalu, katak berwarna hijau itu disalah anggap sebagai antara spesies katak harimau bintang yang banyak terdapat di sini.

"Sungguh menakjubkan kerana terdapat spesies baharu yang tidak disedari di sebuah kota metropolitan seperti ini," kata seorang pakar biologi Universiti California Los Angeles, Brad Shaffer kelmarin.

"Ia menunjukkan masih terdapat spesies baharu dan penting yang menanti untuk ditemui walaupun di bandar raya terbesar Amerika Syarikat," tambahnya.

Menurut Shaffer, dia membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas katak itu selepas menyedari ia mengeluarkan bunyi yang berbeza daripada katak harimau bintang.

Penemuan terbaharu itu dipaparkan dalam jurnal saintifik AS, Molecular Phylogenetics and Evolution.

- AFP

Ahad, Mac 11, 2012

Fahami fungsi serbuk penaik

KEBANYAKAN produk pastri yang dibakar memerlukan bahan penaik agar ia naik dengan gebu dan lembut.

Oleh demikian agen penaik seperti serbuk penaik (baking powder) digunakan. Saya pasti anda sudah biasa dengan kegunaan baking powder.

Ia merupakan bahan penaik kimia berbentuk serbuk kering yang digunakan untuk menambah isipadu atau meringankan tekstur produk pastri seperti kek, mufin, skon dan biskut.

Apabila anda menggunakan baking powder untuk membuat kek dan sebagainya adalah lebih baik mengayaknya bersama dengan bahan-bahan kering dahulu sebelum dibancuh dengan bahan-bahan lain supaya produk yang anda bakar itu akan naik dengan sekata.

Baking powder mengandungi serbuk soda, garam-garam asid (aluminium krim tartar dan natrium sulfat) dan ditambah tepung jagung yang berfungsi untuk menyerap sebarang lembapan.

Kebanyakan baking powder yang digunakan hari ini bertindakbalas sebanyak dua kali dalam dua peringkat.

Tindak balas pertama akan berlaku dengan cecair yang ada dalam adunan dan tindak balas kali kedua pula akan berlaku apabila produk kena pada haba.

Tindakbalas pertama di antara baking powder dan cecair dalam adunan akan menghasilkan gas karbon dioksida.

Tindakbalas kedua pula mengambil tempat apabila adunan diletakkan dalam ketuhar. Ketika ia dibakar di dalam ketuhar sel-sel gas udara akan menjadi lebih luas menyebabkan produk yang dibakar akan meningkat isipadunya.

Baking powder yang ada tindak balas secara dua peringkat ini membolehkan adunan produk dibiarkan seketika di luar ketuhar selama kira-kira 15-20 minit kerana baking powder masih boleh berfungsi dan stabil tindak balasnya.

Pada umumnya satu camca teh (5 ml) serbuk penaik digunakan dalam nisbah adunan sebanyak satu cawan (200-250 gm) tepung, satu cawan cecair dan satu biji telur.

Bagaimanapun anda dinasihatkan mengurangkan penggunaan baking powder dalam adunan yang terlalu berasid kerana keasidan tinggi yang sedia ada dalam adunan seperti jus limau, buttermilk dan madu akan memberikan rasa kurang enak pada makanan.

Apabila keasidan berlebihan yang sedia ada dalam adunan, penggunaan baking powder perlu dikurangkan dan ditambahkan dengan serbuk soda. Misalnya, satu cawan tepung, satu biji telur dan satu cawan buttermilk memerlukan hanya setengha camca teh baking powder dan setengah serbuk soda.

Asid yang sedia ada daripada bahan-bahan yang digunakan akan bertindak balas untuk menaikkan produk itu dengan serbuk soda. Terlalu banyak baking powder digunakan akan menyebabkan rasa pelik yang tidak sedap.

Selain itu, ia akan naik dengan cepat dan boleh menyebabkan produk yang dibakar jatuh atau terlalu merekah selepas dibakar.

Ini disebabkan gelembung- gelembung udara terhasil terlalu besar dalam produk dan ruang yang terlalu besar itu menyebabkan ia tidak dapat menahan dan produk akan jatuh.

Selain itu, ia menjadikan tekstur produk terlalu kasar, rapuh dan akan terjadi lekuk luas di tengah-tengah.

Terlalu sedikit baking powder pula akan menyebabkan kek terlalu padat dan tidak naik.

Baking powder boleh menjadi rosak jika tidak disimpan dengan cara yang betul. Oleh itu, adalah lebih baik anda menguji baking powder itu sama ada masih baik atau tidak.

Caranya mudah sahaja campurkan 1 sudu teh (5gm) baking powder dengan setengah cawan (120 ml) air panas dan campuran itu harus menghasilkan buih-buih serta merta sebagai tanda baking powder itu masih lagi baik dan boleh digunakan.

Baking powder yang lebih dan tidak digunakan hendaklah ditutup rapat dan disimpan di tempat yang kering.

Baking powder yang baik adalah masih kekal dalam bentuk serbuk dan tidak menjadi padat. Jangan disimpan dalam peti sejuk kerana lembapan akan merosakkan baking powder.

J ika ia disimpan dalam keadaan baik ia boleh tahan selama enam hingga 12 bulan. Jadi minggu ini gunakanlah baking powder yang masih baik kualitinya dan cubalah resipi yang saya kongsikan ini.

- UTUSAN

Khamis, Februari 23, 2012

Saintis India temui haiwan seperti ular


NEW DELHI - Sejak sebelum era dinosaur lagi satu spesies amfibia yang tidak berkaki hidup bebas di bawah tanah yang beriklim monsun di pedalaman utara India tanpa diketahui saintis.

Sekumpulan saintis India yang menemui spesies baharu amfibia memberikan ia nama chikilidae setelah menggali tanah untuk mencari haiwan berkenaan di hutan selama lima tahun.

Ketua kajian tersebut, Profesor Sathyabhama Das Biju dari Universiti New Delhi berkata, chikilidae tergolong dalam keluarga caecilian iaitu yang paling primitif antara tiga kumpulan amfibia termasuk juga katak dan salamander.

Disiarkan dalam jurnal Royal Society of London semalam, penemuan mereka mengukuhkan lagi bukti bahawa India dipenuhi hidupan amfibia dengan habitat yang perlu dilindungi.

Menurut Sathyabhama, chikilidae bukan sahaja tidak berbahaya tetapi ia turut membantu petani dengan memakan ulat dan serangga yang merosakkan tanaman manakala pergerakan spesies itu di bawah tanah dapat membantu menyuburkan tanah.

Namun, penduduk tempatan kerap membunuh chikilidae kerana tersilap anggap bahawa amfibia itu merupakan seekor ular berbisa.

- AGENSI

Khamis, Februari 16, 2012

Al-Zahrawi Bapa Bedah Moden

Abu al-Qasim Al-Zahrawi yang juga dikenal sebagai Abulcasis, yang hidup antara tahun 936 hingga 1013 Masihi merupakan salah seorang saintis Islam terhebat yang banyak meletakkan asas penting dan kukuh dalam bidang perubatan.

Sungguh menakjubkan, kepakaran Al-Zahrawi tidak terhad dalam satu bidang sahaja, iaitu pembedahan yang menjadi keistimewaan kepakarannya, tetapi juga dalam beberapa bidang lain. Beliau dianggap bapa bedah moden.

Antaranya bidang pergigian, penciptaan alat-alat pembedahan tertentu, pakar telinga, tekak dan kerongkong (ENT) dan juga mencipta ubatan-ubatan.

Sebagai seorang pakar bedah yang terkenal ketika zamannya, beliau dilantik menjadi doktor peribadi kepada raja Sepanyol ketika itu, iaitu Al-Hakam II.

Beliau yang dilahirkan pada tahun 936 M di sebuah bandar berhampiran Cordova, terkenal kerana penemuan hebatnya dalam bidang perubatan, terutama dalam bidang pembedahan.

Seperkara lagi yang membuatkan beliau terkenal ialah terbitnya ensiklopedia perubatan beliau yang dikenali Al-Tasrif.

Ensiklopedia itu mengandungi 30 jilid pelbagai aspek sains perubatan. Bagaimanapun aspek paling penting sekali yang terkandung di dalamnya ialah siri tiga buku mengenai pembedahan.

Buku mengenai pembedahan itu menjelaskan secara terperinci mengenai pelbagai aspek rawatan melibatkan rawatan pembedahan berdasarkan pembedahan-pembedahan sebenar yang pernah dilakukannya sendiri.

Antaranya, termasuklah cauterization, iaitu teknik pembakaran bahagian badan untuk merawat luka dan sebagainya, mengeluarkan batu karang daripada buah pinggang, perbidanan, pembedahan ke atas haiwan dan juga pembedahan mata, telinga, dan kerongkong.

Secara tepat, beliau juga telah berjaya melakukan pembedahan-pembedahan rumit termasuklah mengeluarkan fetus yang tidak bernyawa daripada kandungan dan juga pengudungan atau pemotongan kaki.

Ensiklopedia Al-Tasrif diterjemahkan pertama kalinya ke dalam bahasa Latin oleh Gherard sebelum diterjemahkan ke bahasa Hebrew, Perancis dan Inggeris.

Buku itu mempunyai beberapa diagram dan ilustrasi alat-alat pembedahan yang digunakan pada zaman itu dan juga yang dicipta oleh beliau sendiri. Lebih membanggakan lagi, ilmu yang dicurahkan oleh beliau telah menjadi sebahagian daripada kurikulum perubatan di negara-negara Eropah sejak berkurun-kurun lamanya.

Penemuan dan juga hasil kerja Al-Zahrawi melalui ensiklopedianya Al-Tasrif ini menunjukkan bahawa kepercayaan dunia Islam ketandusan pakar dalam bidang pembedahan adalah silap dan meleset sama sekali.

Malah Al-Zahrawi juga sebenarnya adalah orang yang bertanggungjawab merekacipta alat-alat pembedahan. Tiga alat ciptaannya yang terkenal adalah:

(i) Alat pemeriksaan luar telinga

(ii) Alat pemeriksaan luar theurethra

(iii) Alat yang digunakan untuk mengeluarkan bendasing daripada kerongkong

Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar mengubati penyakit menggunakan kaedah lecuhan. Teknik ini digunakan melalui lebih 50 pembedahan yang dilakukannya.

Tidak sekadar aspek pembedahan, dalam bukunya Al-Tasrif, Al-Zahrawi juga membincangkan mengenai penyediaan pelbagai jenis perubatan, selain penerangan komprehensif mengenai rawatan pembedahan yang mengkhusus dalam bidang-bidang ENT, oftalmologi dan sebagainya.

Beliau juga menjelaskan secara terperinci beberapa teknik seperti pejalwapan dan juga penyiringan (decantation).

Selain itu, Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar dalam bidang pergigian dan dalam bukunya terkandung lakaran pelbagai alat yang digunakan dalam bidang pergigian.

Beliau juga menerangkan pelbagai bentuk pembedahan penting dalam bidang pergigian. Malah beliau juga membangunkan teknik untuk menyediakan gigi palsu.

Dalam bidang perubatan, beliau adalah orang pertama yang mengenal pasti dan menjelaskan secara terperinci mengenai sejenis penyakit keturunan yang dikenali hemofilia.

Melihat dan meneliti sumbangan-sumbangan Al-Zahrawi, tidak dapat disangkal lagi, pengaruh beliau dalam bidang perubatan dan juga pembedahan telah meletakkan asas utama dalam bidang sains perubatan, terutamanya bidang pembedahan serta mempengaruhi bidang perubatan secara keseluruhan.

Pakar bedah Perancis yang terkenal, Gus de Ghauliac (1300-1368M) menjadikan tulisan al-Zahrawi sebagai bahan tambahan dalam buku bedahnya.

Al-Tasrif menjadi bahan rujukan selama lima abad di Universiti Salerno di Itali, Motpellier di Perancis dan beberapa universiti lain di Eropah.

Malah menurut penulis History of Arab Medicine, Dr. Cambell, asas-asas yang diletakkan oleh Al-Zahrawi dalam bidang perubatan sebenarnya melebihi apa yang disumbangkan oleh saintis perubatan terkenal, Galen, dalam kurikulum perubatan Eropah.

- UTUSAN

Isnin, Februari 06, 2012

Fenomena telur berdiri bukan mitos


Fenomena telur berdiri tiada kaitan dengan kepercayaan atau mitos masyarakat tertentu kerana ia sudah dibuktikan secara saintifik bahawa graviti bumi atau manipulasi medan magnetik di makmal membolehkan telur tidak tumbang apabila didirikan.

Pakar fizik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Mohd Yusof Othman, berkata mengikut kajian, tarikan graviti antara bumi, bulan dan matahari membolehkan telur berdiri termasuk ketika fenomena gerhana.

“Kawasan mempunyai medan magnetik yang tinggi juga boleh menyebabkan telur berdiri,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Beliau diminta mengulas fenomena itu yang dicatatkan sebagai Hari Lup Choon atau Hari Telur Berdiri dalam kalendar Cina. Fenomena itu dikatakan berlaku setahun sekali dan tahun ini, ia bermula jam 12 tengah hari hingga jam 1 petang semalam.

Jurugambar Berita Minggu, Nik Hariff Hassan, semalam mengambil inisiatif membeli 30 biji telur untuk menguji sejauh mana kebenaran fenomena selama sejam itu di Dataran Merdeka bersama-sama beberapa pelancong yang berada di situ.

Seorang lagi ahli sains UKM, Profesor Dr Jumaat Adam, sebelum ini berkata, fenomena itu memang mencetuskan rasa pelik masyarakat dunia tetapi menegaskan banyak lagi contoh tarikan graviti bumi yang tidak dipandang serius seperti pasang surut air laut dan peralihan siang malam.

“Ada waktu dan ketika tertentu, tarikan graviti bumi dan matahari lebih kuat daripada biasa, membolehkan kita mudah untuk meletakkan telur supaya ia berdiri. Tetapi tarikan graviti ini juga menyebabkan berlakunya fenomena pasang besar iaitu apabila paras air laut meningkat tetapi tidak ramai yang mengendahkannya. Mungkin kerana ia kerap berlaku,” katanya.

Ahli sains juga menganggap ia berlaku dalam tempoh Equinox, iaitu kedudukan matahari, bulan dan matahari berada pada sudut paksi sejajar, selain ketika gerhana matahari atau gerhana bulan

- BERITA MINGGU

Rabu, Januari 25, 2012

Bumi berdepan ribut solar terkuat

GAMBAR yang dirakamkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan pada 22 Januari lalu menunjukkan nyalaan solar di Hemisfera Utara di matahari.

Beberapa pegawai cuaca angkasa lepas menyatakan ribut solar paling kuat dalam tempoh lebih enam tahun akan mengenai Bumi dengan pancaran radiasi akan berlaku.

Sebelum ini, radiasi ribut solar cuma mengganggu satelit dan mendatangkan masalah kepada angkasawan di angkasa lepas.

Namun, ia juga boleh menyebabkan gangguan komunikasi pada pesawat yang berada di udara.

Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas di negeri Colorado dalam satu kenyataan mengesahkan ribut solar itu berlaku pada pukul 11 malam (waktu AS) Ahad lalu.

Ahli fizik AS, Doug Biesecker berkata, perkara paling membimbangkan mengenai ribut solar adalah radiasi yang dilepas.

Pancaran itu ,katanya, tiba di Bumi sejam kemudian.

Hentaman radiasi itu dijangka berlarutan sehingga hari ini.

Menurut Biesecker, tahap radiasi kali ini dianggap kuat tetapi radiasi lebih dahsyat pernah dikeluarkan beberapa ribut solar sebelum ini.

Radiasi kali ini adalah yang paling kuat sejak ribut solar pada Mei 2005.

Plasma yang keluar dari matahari ekoran ribut solar berkenaan pula tiba di Bumi semalam.

Ia dijangka menyebabkan gangguan pada grid elektrik di Bumi.

- Agensi

Selasa, Januari 10, 2012

Mineral Di Kg Melayu Johor Bahru Bukan Emas - Pakar Geologi


JOHOR BAHRU: Penemuan sejenis mineral berkilau seperti emas di Kg Melayu di sini sejak beberapa hari lalu yang mencetuskan kegemparan akhirnya terjawab setelah pakar mendapati bahawa ia adalah sejenis mineral yang berkilau semata-mata.

Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Diperbaharui, Universiti Teknologi Malaysia (UTM),Profesor Madya Dr Md Radzuan Junin berkata, batu berkilau yang ditemui bukanlah emas tetapi hanyalah batu yang mengandungi kandungan mineral.

"Saya tidak dapat memastikan sepenuhnya tentang perkara ini kerana tiada sampel yang dihantar kepada kami untuk ujian makmal.

"Bagaimanapun berdasarkan pengalaman saya, batu-batu bersinar ini dikenali sebagai 'emas tipu' yang bercahaya dalam gelap dan bersinar di bawah pancaran matahari disebabkan kandungan besi sulfit atau 'pyrite'," kata Md Radzuan ketika dihubungi The Star.

Beliau berkata, disebabkan batu tersebut ditemui di kuari di kawasan Gunung Pulai berhampiran Pontian, batu-batu tersebut sebenarnya merupakan batu granit yang tertanam dengan besi sulfit kerana sebenarnya tidak terdapat penemuan unsur emas di kawasan itu.

Md Radzuan menjelaskan bahawa unsur emas di Johor hanya boleh didapati bermula dari kawasan Gunong Arong di Mersing ke Desaru dengan adanya aktiviti perlombongan emas secara komersial yang berlaku di Mersing beberapa tahun lalu.

Penemuan batuan yang berkilauan di Jalan mewah di kampung tersebut beberapa hari lalu telah mendorong penduduk tempatan mencari batu-batu itu dengan harapan apa yang mereka temui adalah emas.

Batu-batu tersebut dibuang bersama tanah di kawasan itu oleh Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) untuk projek melebarkan parit dan jalan dua minggu yang lalu. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBJB, Mohd Firdaus Abdul Hamid berkata kawasan tersebut telah dikawal bagi mengelakkan gangguan penceroboh.

Beliau berkata, kunjungan yang terlalu ramai di kawasan tersebut telah menyebabkan kesukaran untuk kontraktor meneruskan kerja mereka dan menggali batuan dari permukaan tanah.

- MSTAR

Khamis, Januari 05, 2012

Saintis temui ikan jerung hibrid


SYDNEY - Sekumpulan saintis semalam mendedahkan mereka telah menemui jerung hibrid pertama di dunia di perairan Australia.

Ketua penyelidik berkenaan, Jess Morgan berkata, jerung hibrid tersebut terhasil daripada proses mengawan antara jerung muncung hitam Australia dengan jerung muncung hitam biasa sekali gus merupakan satu penemuan mengejutkan di bidang sains.

"Ia amat mengejutkan kerana tiada siapa pernah melihat jerung hibrid sebelum ini, Inilah bukti proses evolusi," kata Morgan.

Menurutnya, penemuan jerung hibrid itu dibuat semasa kerja merekodkan spesies jerung di perairan timur Australia baru-baru ini.

Jerung muncung hitam Australia cuma hidup di kawasan beriklim tropikal tetapi jerung hibrid tersebut ditemui di perairan lebih sejuk pada jarak 2,000 kilometer dari pantai.

Saintis percaya proses mengawan antara dua baka berlainan itu berlaku kerana adaptasi bagi membolehkan jerung muncung hitam terus hidup walaupun suhu air laut kini berubah akibat pemanasan global.

- AFP

Kiamat tidak berlaku tahun ini?

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Tiada teori fizik yang boleh dijadikan petunjuk untuk menentukan kiamat akan berlaku pada tahun ini seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna (UNOV) yang berpangkalan di Pusat Antarabangsa Vienna, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman berkata, bidang astro fizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.

"Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahu pun 10 bilion tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada.

"Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat.

"Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia," katanya pada sidang akhbar selepas sesi ceramah Prominent Malaysia bertajuk Unknown Universe di sini hari ini.

Program anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama Planetarium Negara itu disertai lebih 200 peserta.

Diminta mengulas mengenai program penghantaran angkasawan untuk kali kedua, beliau berpendapat, ia tidak diperlukan selagi negara masih belum mempunyai idea sains dan teknologi yang kukuh.

"Apabila satu masa nanti kita sudah ada idea teknologi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dunia dan perlu diuji di angkasa, itu merupakan masa yang sesuai untuk kita menyambung program itu," jelasnya.

Diminta mengulas sama ada Malaysia memerlukan Program Angkasawan Kedua, Mazlan berkata, ia bergantung sama ada terdapat keperluan dari segi penyelidikan untuk berbuat demikian.

"Jika hanya ada satu cara untuk menguji teknologi kita iaitu dengan membawanya ke angkasa lepas, maka pada waktu itu penting untuk mengadakan satu lagi program angkasawan," ujar beliau.

Menurutnya, Malaysia tidak perlu mengulangi perkara yang dilaksanakan dalam Program Angkasawan Negara pada 2007 semata-mata untuk aktiviti sains.

Katanya, aktiviti sains boleh dijalankan menerusi banyak cara seperti yang dilaksanakan pelbagai pihak sekarang.

- UTUSAN

Recent Posts