Memaparkan catatan dengan label Pertahanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pertahanan. Papar semua catatan

Ahad, Mac 10, 2013

Pertahankan kedaulatan negara

Oleh TAN SRI ABDUL RAHIM NOOR
Bekas Ketua Polis Negara

Insiden yang kita hadapi sekarang iaitu pencerobohan kumpulan bersenjata terdiri hampir 200 orang Islam dari selatan Filipina dan mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu mempunyai sejarah tersendiri yang relevan dan berkait rapat dengan penubuhan Malaysia serta pembentukan negara Filipina moden.

Sebelum Malaysia diwujudkan pada 16 September 1963, Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara British merupakan sebuah wilayah di bawah pemerintahan kolonial Inggeris. Kedudukan Borneo Utara British yang begitu hampir dengan selatan Filipina menjadikan sempadannya, seperti dikatakan banyak pihak, bolos atau mudah ditembusi.

Pada ketika itu, seolah-olah tiada sempadan yang kukuh memisahkan kedua-dua wilayah itu. Hanya Laut Sulu yang menjadi sempadan. Keadaan geografi yang sedemikian memudahkan penduduk dari selatan Filipina memasuki Borneo Utara British sehingga menyebabkan masyarakat yang berasal dari Sulu menjadi kumpulan etnik ketiga terbesar di negeri itu selepas kaum Kadazandusun dan Cina. Malah, majoriti umat Islam di Sabah hari ini berasal dari selatan Filipina. Itu memang fakta sejarah.

Era Filipina sebagai sebuah republik yang bebas dan merdeka bermula pada 1946. Sebelum itu, negara berkenaan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat iaitu Sepanyol (1565-1821) dan Amerika Syarikat (1898-1946). Saya pernah terbaca dalam sebuah buku yang menyatakan Manila yang kini menjadi ibu negara Filipina pernah diperintah oleh seorang sultan.

Mungkin sistem kesultanan yang diamalkan oleh wilayah-wilayah lain di Filipina sebelum kepulauan itu dijajah Sepanyol bukan terhad di kawasan selatan sahaja. Namun, hanya Kesultanan Sulu yang masih lagi wujud dan kawasannya meliputi Sulu, Basilan, Palawan dan Tawi-Tawi. Dalam situasi yang kita hadapi sekarang, waris-waris Kesultanan Sulu mendakwa mereka mempunyai hak yang sah ke atas Sabah dan berhasrat menjadikannya sebahagian daripada kawasan di bawah naungan kesultanan itu.

Hasrat menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara British dan Sarawak disuarakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, ketika berucap dalam satu majlis yang dianjurkan Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara di Singapura pada 1961. Indonesia dan Filipina menunjukkan reaksi yang agak cepat dan keras terhadap idea tersebut. Indonesia yang pada ketika itu di bawah pentadbiran Presiden Sukarno menuduh penubuhan Malaysia sebagai penjajahan bentuk baharu atau neokolonialisme.

Pentadbiran Presiden Diosdado Macapagal dari Filipina pula tidak bersetuju kerana pada pandangannya, pemerintah Filipina yang mewakili Kesultanan Sulu mempunyai hak ke atas Borneo Utara British. Bantahan itu diasaskan kepada satu perjanjian yang ditandatangani antara Kesultanan Sulu dan Syarikat Borneo Utara British pada 1878.

Berdasarkan perjanjian itu, Borneo Utara British adalah sebahagian daripada wilayah Kesultanan Sulu. Terdapat kemungkinan kerajaan Filipina telah dihubungi waris-waris Kesultanan Sulu dan mereka meminta Macapagal menyuarakan tuntutan mereka terhadap Borneo Utara British secara terbuka serta menjadikan tuntutan itu sebahagian daripada dasar luar Filipina terhadap penubuhan negara Malaysia.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia yang dianggotai Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 disahut dengan konfrontasi oleh Indonesia. Beberapa rundingan tiga penjuru antara Tunku Abdul Rahman, Macapagal dan Sukarno diadakan di beberapa lokasi termasuk di Bangkok dan Tokyo namun tidak meredakan tentangan kedua-dua negara itu.

Pungutan suara yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada masa itu mengesahkan majoriti penduduk di Sabah dan Sarawak mahu merdeka daripada pemerintahan kolonial British menerusi penyertaan dalam Malaysia. Macapagal terpaksa menerima keputusan pungutan suara itu tetapi sehingga sekarang, kerajaan Filipina masih belum menarik balik tuntutannya terhadap Sabah. Ketegangan antara Filipina dan Malaysia nampaknya seperti sudah reda tetapi sebenarnya belum reda lagi. Bagi Indonesia, dasar konfrontasi tamat dengan berakhirnya pemerintahan Sukarno pada 1965.

Apabila Ferdinand Marcos menjadi Presiden Filipina mulai 1965 hingga 1986, tuntutan ke atas Sabah dihangatkan semula. Pendekatan Marcos yang bersifat autokratik itu tidak sama dengan Macapagal yang lebih mengutamakan diplomasi. Marcos kelihatan menggalakkan waris Kesultanan Sulu menuntut Sabah dan sikap Marcos ini menimbulkan masalah dalam hubungan antara dua negara. Dipercayai, waris Kesultanan Sulu meneruskan tuntutan ke atas Sabah selari dan sehaluan dengan dasar luar kerajaan Filipina.

Semasa pentadbiran Marcos, tuntutan waris Kesultanan Sulu turut membabitkan tentera Filipina dalam projek-projek tertentu. Salah satu projek yang mereka laksanakan ialah Operasi Merdeka pada 1967. Operasi ini semacam mirip dengan insiden yang berlaku di Lahad Datu. Tentera Filipina telah melatih sekumpulan pemuda etnik Tausug dan Sama di selatan Filipina yang beragama Islam bagi membentuk satu pasukan komando yang objektifnya adalah untuk menimbulkan suasana kacau-bilau dan tidak stabil di Sabah. Tujuan operasi itu adalah untuk menunjukkan kononnya rakyat Sabah tidak suka dengan Malaysia, justeru membuktikan pungutan suara oleh PBB adalah tidak betul.

Namun, sebaik sahaja mendarat di Sabah, pasukan itu sedar mereka telah diperalatkan untuk menentang sebuah kerajaan di Sabah yang ditadbir oleh orang Islam. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah Tun Datu Mustapha Harun. Pemuda-pemuda Tausug dan Sama terbabit berpatah balik ke Filipina. Malangnya, mereka kemudiannya telah dibunuh oleh tentera Filipina bagi mengelakkan insiden ini terbongkar. Insiden pembunuhan antara 50 hingga 60 pemuda malang itu dinamakan sebagai Pembunuhan Corregidor dan orang Tausug menamakannya Pembunuhan Jabidah.

Jadi, bagi saya, pencerobohan terbaharu oleh kumpulan bersenjata yang menggelarkan diri mereka tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu ini semacam ulangan terhadap insiden Operasi Merdeka yang berlaku pada 1967. Walaupun dalam bentuk dan skala yang berlainan, Operasi Merdeka mempunyai latar belakang yang sama dengan insiden di Lahad Datu sekarang.

Saya hairan mengapa sehingga kini, kerajaan Filipina masih belum menggugurkan tuntutan terhadap Sabah sedangkan ada beberapa sebab yang mewajarkan mereka berbuat demikian. Pertama, pungutan suara oleh PBB telah mengesahkan kehendak majoriti penduduk Sabah untuk bergabung di dalam Malaysia. Kedua, kerajaan Filipina sendiri sudah tidak mengiktiraf kewujudan wilayah Kesultanan Sulu.

Setelah Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf Manila iaitu Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mangkat pada 1986, kerajaan Filipina tidak melantik waris baginda sebagai Sultan Sulu yang baharu. Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mempunyai tiga waris terdekat iaitu Sultan Jamalul Kiram III yang kini menetap di Manila; Sultan Ismail Kiram di Jolo dan Raja Muda Agbimuddin di Simunu, Pulau Tawi-Tawi. Perlu diingat, kerajaan Filipina di bawah pentadbiran Marcoslah yang telah menghidupkan semua Kesultanan Sulu apabila secara rasmi melantik Mahakutta Mohamad Kiram sebagai Sultan Sulu pada Mei 1974. Mungkin, pentadbiran Marcos mengambil tindakan itu bagi merancakkan lagi tuntutan kerajaan Filipina ke atas Sabah.

Memajakkan

Seperkara lagi, merujuk kepada perjanjian yang dibuat antara Sultan Jamalul Alam dan Syarikat Borneo Utara British pada 1878, Kesultanan Sulu bersetuju memajakkan Sabah kepada syarikat tersebut dengan bayaran cession money sebanyak 5,000 ringgit setahun. Ia semacam bayaran ufti. Jika dilihat pada istilah cession yang digunakan, ia bermaksud ‘penyerahan’. Kerajaan Malaysia semacam masih mengiktiraf perjanjian ini kerana masih membayar ufti. Yang aneh bagi saya, perjanjian itu seperti telah digantikan dengan perjanjian yang dibuat oleh kerajaan Sepanyol sebagai kuasa yang menjajah Filipina atau lebih dikenali sebagai Protokol Madrid pada 1885. Menurut perjanjian yang dibuat bersama Britain dan Jerman itu, Sepanyol bersetuju melepaskan segala tuntutan Filipina terhadap Borneo Utara British.

Kemudian, setelah Amerika Syarikat menggantikan Sepanyol sebagai penjajah di Filipina, Perjanjian Carpenter telah ditandatangani antara kuasa kolonial itu dan Kesultanan Sulu pada Mac 1915. Di bawah perjanjian ini, tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Borneo Utara British dianggap tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani perjanjian tersebut dan menyerahkan kuasa politik kepada Amerika Syarikat.

Melihat kepada sebab-sebab yang dinyatakan tadi, saya tidak faham mengapa kerajaan Filipina tidak mahu menarik balik tuntutan terhadap Sabah. Walaupun kita kini saling bekerjasama di dalam semangat perpaduan ASEAN, tuntutan itu masih lagi wujud sejak era Macapagal sehingga era Presiden Filipina ketika ini, Benigno Aquino.

Saya fikir kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu kini dalam keadaan terdesak kerana konsep wilayah autonomi Bangsamoro tampak mengetepikan kepentingan kesultanan itu. Soal kewujudan Kesultanan Sulu tidak disentuh dalam gagasan tersebut sedangkan beberapa pulau di selatan Filipina termasuk Basilan, Palawan, Sulu dan Tawi-Tawi adalah wilayah mereka. Waris-waris Kesultanan Sulu semacam menyedari mereka tidak lagi mendapat sokongan daripada kerajaan Filipina seperti yang pernah berlaku di bawah pentadbiran Macapagal dan Marcos.

Selain itu, pada pandangan mereka, kerajaan Malaysia juga seperti tidak melayan tuntutan waris Kesultanan Sulu walaupun kita masih membayar ufti kepada mereka. Waris Kesultanan Sulu menganggap bayaran ufti itu seperti obor yang menyalakan seribu harapan atau impian. Dalam perspektif ini, mungkin mereka membuat tuntutan kini atas sebab ekonomi. Dalam hal ini, mereka mungkin hendakkan bayaran pampasan itu dibuat mengikut penilaian semasa.

Kesimpulannya dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia merupakan negara yang banyak bersempadan dengan negara lain. Kita bersempadan dengan Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei. Sempadan maritim kita dengan negara-negara lain termasuk Filipina sememangnya agak panjang. Bagi saya, tugas mengawasi sempadan maritim sesebuah negara bukan kerja mudah. Sempadan maritim mudah dicerobohi, terutamanya jika mereka menyusup masuk dalam kumpulan kecil seperti menyamar sebagai nelayan. Jika tiada risikan awal, bukan mudah untuk mengesan penyusupan. Pakar strategi China purba, Sun Tzu dalam bukunya yang berjudul Seni Peperangan banyak menyebut tentang perlunya perisikan untuk memenangi peperangan.

Apa yang penting, tentera, polis dan pihak berkuasa maritim perlu mempunyai rangkaian perisikan yang lebar dan berkesan bagi mencegah pencerobohan sempadan maritim kita.

- MINGGUAN MALAYSIA



Isnin, Mac 04, 2013

Jaga rahsia pasukan keselamatan - Bekas Pegawai Tentera

Tiga bekas pegawai tentera menggesa rakyat menyokong usaha pihak berkuasa menangani pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, serta menjaga kerahsiaan pergerakan pasukan keselamatan negara.

Mejar (B) Wan Hashim Wan Ahmad yang pernah berkhidmat di Bosnia Herzegovina berkata orang ramai tidak sepatutnya mempertikai apa jua langkah yang diambil pasukan keselamatan untuk menyelesaikan krisis itu.

"Orang ramai termasuk blogger-blogger politik diminta beri kerjasama dan jangan mengeluarkan kenyataan negatif yang akan memecah belahkan masyarakat.

Jika benar insiden ini ada kaitan dengan orang luar, ternyata musuh negara sudah berjaya memesongkan moral kita," katanya kepada Bernama hari ini.

Sokongan juga bermaksud menjaga kerahsiaan negara dan tidak terlalu ghairah membuat mengemaskini pergerakan tentera, polis serta gambar-gambar operasi pasukan keselamatan di Sabah, katanya.

Beliau juga meminta rakyat yang mempunyai rakan di kalangan anggota keselamatan supaya tidak lagi memaparkan kandungan mesej pesanan ringkas di dalam laman sosial seperti Facebook atau Twitter.

"Maklumat seperti ini semua boleh disalah guna, ada individu tertentu yang membuat "print screen" paparan sms dengan menyiarkan nombor telefon pegawai polis yang sedang terlibat dalam operasi memburu pengganas di sana, bayangkan jika maklumat ini disalah gunakan," katanya.

Blogger Komando Kedai Kopi yang lebih dikenali sebagai Mejar (B) Naza Talib turut menyeru orang ramai agar terus memberikan sokongan kepada polis dan tentera tanpa perlu mempertikai pasukan mana yang lebih berhak menangani isu itu.

Tidak perlu timbul perbalahan pasukan mana yang terbaik untuk menangani krisis ini kerana masing-masing mempunyai bidang perundangan sendiri, katanya.

"Jika keadaan ini melarat, ada kemungkinan pihak tentera akan campur tangan terus. Sokongan harus juga diberikan kepada kerajaan kerana soal keganasan yang ditimbulkan orang-orang Sulu ini sangat kompleks kerana melibatkan mereka yang telah tinggal lama di Sabah," katanya kepada Bernama.

Beliau turut memuji keberanian pasukan polis berhadapan dengan pengganas Sulu yang bersenjata automatik dan mempunyai pengalaman perang gerila selama bertahun-tahun dalam hutan di Filipina.

Seorang pesara bekas tentera berpangkat Mejar yang tidak mahu namanya dikenali yakin negara mempunyai kelebihan dari segi taktikal dan strategi.

"Kita tahu kedudukan mereka, lokasi mereka, ini adalah satu kelebihan sebagai contoh, mungkin kita boleh memotong bekalan utiliti seperti elektrik, air dan sebagainya, supaya mereka tidak dapat bertahan lama," katanya.

- BERNAMA


Selasa, Mei 29, 2012

A400M : Gergasi udara TUDM


SEMASA Kementerian Pertahanan (Kementah) mengumumkan pembelian pesawat pengangkut Airbus A400M kira-kira enam tahun lalu, ada kalangan pemikir pertahanan tempatan beranggapan cadangan tersebut kurang bernas.

Alasannya, perolehan pesawat yang menelan kos berbilion ringgit itu ada risikonya kerana tempoh untuk menyiapkan pesawat dijangka memakan masa bertahun-tahun.

Ketika itu, Airbus melalui cabang firma pertahanannya, Airbus Military masih belum menghasilkan pesawat hakiki dan cuma mempamerkan visual komputer pesawat kepada negara bakal pembeli.

Namun, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak melihat ia sebagai perolehan serampang dua mata.

Dimeterai pada Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi 2005 (LIMA 05), pembelian empat pesawat pengangkut bernilai RM2.8 bilion itu merupakan keputusan bijak kerajaan.

Selain bagi menggandakan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti yang dirancang, Najib sudah membayangkan bahawa perolehan tersebut menguntungkan industri hiliran tempatan khususnya teknologi mega aeroangkasa.

Ini kerana banyak syarikat tempatan yang berkelayakan bakal menerima limpahan ekonomi berganda seperti mengeluarkan bahagian tertentu pesawat. Walaupun hanya komponen kecil, ia akan digunakan di peringkat global.

Sebanyak 184 buah pesawat telah dipesan, antaranya Jerman dengan pesanan 60 buah pesawat, Perancis (50), Sepanyol (27), Britain (20) dan Turki (10).

Pengangkut

A400M diilhamkan pada tahun 1982 bagi Program Pesawat Pengangkut Masa Hadapan (FIMA) melibatkan tiga gergasi aeroangkasa Barat iaitu Aérospatiale, British Aerospace (BAe), Lockheed and Messerschmitt-Bölkow-Blohm (MBB).

Mengikut perancangan, pesawat yang dihasilkan dalam kategori sederhana nanti hendaklah lebih besar daripada Hercules C-130 tetapi lebih kecil berbanding pesawat Boeing C-17.

Malangnya, Lockheed menarik diri tujuh tahun kemudian sebelum disertai firma Alenia dan CASA dari Itali.

Hanya pada tahun 2003, pelan global pembangunan A400M dimeterai lapan negara Eropah iaitu Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Britain, Turki, Belgium dan Luxemborg. Itali bagaimanapun menarik diri kemudian.

Pembelian A400M menyaksikan Malaysia menjadi negara tunggal Asia menyertai program pesawat pengangkut global itu manakala Afrika Selatan pula mewakili benuanya.

Pesawat A400M yang pertama siap dibina pada Jun 2008 sebelum melakukan penerbangan sulung pada 11 Disember 2009. Kini, sebanyak lima model pesawat ujian telah dihasilkan.

Ia direka bagi operasi di kawasan pendaratan tidak tersedia, boleh menggabungkan keupayaan logistik dan taktikalnya untuk membawa beban hingga 30 tan metrik sejauh 2,450 batu nautika.

Menurut penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Nor, TUDM sememangnya memerlukan pesawat pengangkut berkeupayaan tinggi sesuai dengan peranan pelbagai misi yang perlu dilaksanakan dan bukan terhad kepada tugas ketenteraan.

Katanya, A400M dijana empat enjin turboprop (berkipas) yang kosnya lebih ekonomi sesuai dengan angkatan udara kecil seperti TUDM berbanding pesawat jenis sama sedia ada menggunakan enjin jet.

“Bagaimanapun dengan saiz lebih besar berbanding C-130 Hercules, ia meningkatkan kemampuan TUDM sebanyak dua kali ganda.

“Misalnya, misi membawa pulang 3,482 pelajar dan rakyat Malaysia dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi pada Februari tahun lalu selama 11 hari menggunakan tiga pesawat C-130 menjadi lebih pantas dengan sebuah A400M sahaja,” ujarnya.

Ruang kargonya yang luas dengan kapasiti membawa beban sehingga 37 tan membolehkan A400M berfungsi sebagai hospital udara untuk diterbangkan ke mana-mana kawasan bencana di dunia.

- KOSMO!

Selasa, April 24, 2012

Hargai pengorbanan polis


Oleh DR. RUSINAH SIRON
Uniten, Bangi

BUKAN mudah untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara kita Malaysia yang tercinta. Kita sebagai rakyat Malaysia sudah semestinya perlu memberi penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang membantu kita rakyat Malaysia dapat tidur lena dan terjaga dari tidur dengan harapan dapat meneruskan kehidupan dengan jaya.

Indeks jenayah di Malaysia semakin menurun seperti mana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Ia sudah tentu melegakan hati dan perasaan masyarakat yang sentiasa takut dan bimbang dengan perbuatan jenayah seperti pembunuhan, penculikan, rompakan, pergaduhan, penyeludupan dan pelbagai lagi aktiviti jenayah yang tidak ada kesudahannya tetapi boleh dikawal peningkatannya.

Terima kasih kepada semua anggota polis yang berpanas, berhujan dan berembun merentas kesesakan jalan raya, banjir kilat, guruh petir, sungai dan parit, lembah dan lurah serta hutan dan belantara untuk mengejar, mencari, menangkap dan menyelesaikan kes jenayah. Tambahan lagi pelbagai cubaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh anggota polis dalam menjalankan tugasan mereka yang terdedah kepada pelbagai bahaya.

Kita sebagai ahli masyarakat sudah sepatutnya menghargai tugas dan peranan polis dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada jenayah dan keganasan. Apabila bercakap tentang polis, apa yang tergambar dalam fikiran kita dan apakah persepsi ahli masyarakat terhadap polis?

Ada yang berfikiran positif dan sentiasa memberi sokongan serta penghargaan di atas jasa dan pengorbanan mereka. Tidak kurang juga masyarakat yang membuat persepsi negatif dengan tindakan polis yang dikatakan memberi impak negatif kepada sesetengah golongan masyarakat.

Persepsi negatif ini adakalanya memberi implikasi terhadap kepercayaan masyarakat kepada polis sedangkan persepsi ini ada kalanya tanpa justifikasi yang relevan dengan data dan fakta tepat, hanya berfokuskan kepada emosi.

Walau apa pun persepsi positif dan negatif yang ada dalam pemikiran masyarakat terhadap polis, marilah kita berganding bahu membantu polis memerangi jenayah bagi memastikan negara kita jenayah sifar, rakyat hidup dengan aman dan damai.

Marilah kita sama-sama memberi tabik hormat di atas jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh warga polis dengan menghargai tugas polis itu, iaitu:

P - Prihatin terhadap tugas dan tanggungjawab polis dan sentiasa memberi perhatian dan kerjasama dalam membantu pihak polis menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

O - Operasi yang dijalankan pihak polis sudah tentunya akan melibatkan pelbagai versi dan variasi siasatan dan terdedah kepada bahaya dan ancaman. Jadi kita sebagai ahli masyarakat perlulah berbaik sangka dalam membantu polis menjalankan operasi kepolisan memerangi jenayah.

L - Latih diri dan ahli keluarga kita dengan aspek keselamatan dan juga titipkan sentiasa dalam minda kita, ahli keluarga dan juga masyarakat tentang rasa penghargaan terhadap warga polis dan warga kerja keselamatan lainnya. Komitmen mereka menjaga keamanan membolehkan kita menjalan tugas seharian dan membina kehidupan dengan lebih baik dengan rasa kebimbangan terhadap jenayah pada tahap minimum.

I - Idea yang bernas boleh kita salurkan kepada polis melalui pelbagai saluran seperti Rakan Cop dan ini akan menjadi inspirasi kepada warga polis untuk terus bekerja dengan integriti yang tinggi.

S - Sikap hormat menghormati dan menghargai warga keselamatan seperti polis ini perlulah menjadi amalan ahli masyarakat bagi menjunjung visi dan misi negara iaitu Sifar Jenayah.

Walaupun Hari Polis telah berlalu, masih tidak terlambat untuk kita semua mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga polis di seluruh negara. Polis wibawa, negara sejahtera!

- UTUSAN
 

Selasa, Disember 06, 2011

LIMA 2011 bakal catat sejarah


Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2011 (LIMA 2011) yang membuka tirainya pada 6 Disember (Selasa), bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menarik penyertaan lebih 386 syarikat, termasuk pengusaha industri pertahanan dari 33 negara sepanjang acara itu berlangsung sehingga 10 Disember ini.

Antara sudah mengesahkan penyertaan termasuk gergasi industri penerbangan dunia, Airbus dan Boeing, Bell Helicopters, Dassault, Gulfstream, Embraer, Eurocopter, Agusta Westland, Sikorsky dan Fincantieri, selain Sukhoi Corporation, antara syarikat pengeluar pesawat tempur termaju di dunia.
Tidak ketinggalan Daewoo Shipbuilding, syarikat pembinaan kapal laut terbesar Korea Selatan yang turut membuka ruang pamerannya sempena penganjuran LIMA edisi ke-11 kali ini, selain Navantia, Damen Shipyard, Blohm dan Voss, Lurssen, Goa Shipyard dan DCNS.

Pengarah Urusan HW Exhibition Sdn Bhd, Ahmad Dzuhri Abdul Wahab, berkata LIMA2011 bukan sekadar program pameran, malah ia sebagai medan pemasaran pelbagai produk terbaik dunia bagi ketiga-tiga industri – aeroangkasa, maritim dan pertahanan, sekali gus membina jenama serta meningkatkan peluang pelaburan di kalangan peserta.

Katanya, keseluruhan ruang pameran dan ruang komersial disediakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi sudah habis ditempah, sekali gus membuktikan penganjuran acara dwi-tahunan itu masih mampu menarik penyertaan dari seluruh dunia.

Beliau berkara, ini jelas menunjukkan LIMA masih relevan dengan perkembangan semasa, khusus dalam memangkin perkembangan industri aeroangkasa, maritim dan pertahanan negara.
“LIMA 2011 juga diyakini mampu menandingi LIMA2009 yang berjaya menarik hampir 400 syarikat pertahanan membabitkan 60 negara, 38,000 pelawat, 400 wartawan seluruh dunia dan 210 delegasi industri pertahanan antarabangsa,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Di LANGKAWI, segala persiapan menjelang acara berkenaan berjalan lancar, dengan 64 pesawat dan 12 kapal perang, termasuk dari luar negara sudah ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Jeti Awana Porto Malai. Baki 10 pesawat lagi dijadual tiba menjelang pameran itu berakhir.

Malaysia sebagai negara hos mempamerkan keseluruhannya 30 pesawat termasuk pesawat pemintas termoden dimilikinya, Sukhoi SU-30MKM bersama MiG-29N Fulcrum, F/A-18D Hornet dan Hawks 108/208. Turut dipamerkan model Fennec, Agusta A109, AW139, Dauphin, CL-415, MI-17, Mi-171 serta Super Lynx.

LIMA2011 yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan, selain mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dijangka menerima 25,000 pelawat perdagangan, sekali gus menjana pulangan RM150 juta kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan pameran dwi tahunan itu kira-kira jam 9.30 pagi Selasa, sebelum disusuli pertunjukan Pasukan Aerobatik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Keris Sakti yang juga sebahagian daripada tarikan utama acara berkenaan.

- BERITA HARIAN

Recent Posts