Memaparkan catatan dengan label Personaliti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Personaliti. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 13, 2021

Don Daniyal syukur dapat anak tarikh sama

 

Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal berkongsi khabar gembira apabila menimang cahaya mata lelaki keempat jam 3.25 petang semalam.

Lebih menggembirakan, anak keempatnya itu berkongsi tarikh kelahiran sama dengan anak ketiganya.

Malah, kelahiran anak pertama dan kedua turut jatuh pada tarikh sama iaitu 18 Januari 2014 dan 2016.

"Hari ini (semalam), Allah berikan kami sekeluarga hadiah. Dalam banyak-banyak umat yang ada, Allah pilih nak bagi pada kami. Syukur Ya Allah. Apa dia ni? Hadiah apa ni? Baiklah saya kongsikan.

"Saya bersyukur sebab kami sekeluarga menimang seorang cahaya mata lelaki. Sampai saat ini pun saya rasa macam tak percaya. 11 Februari 2020, jam 3.25 petang saya diberikan rezeki ini. Kira sekarang ini saya ada empat orang anak 'jantan'.

"Kenapa saya cakap perkataan syukur sebab anak sulung dengan anak kedua berkongsi tarikh lahir sama. 18 Januari 2014 dan 18 Januari 2016.

"Anak keempat ini pula sama dengan anak ketiga. 11 Febuari 2019 abang nombor tiga manakala 11 Februari 2021 adik nombor empat," tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Menurut Don, dia sentiasa meminta setiap individu yang dia berjumpa untuk mendoakan agar dia dikurniakan anak yang berkongsi tarikh lahir sama sehingga tidak menyangka impiannya itu dimakbulkan Allah.

"Saya dengan isteri tahu kemampuan kami. Ibadah dengan main boleh diibarat sama banyak. Jauh sekali nak sampai kata doa makbul. Jadi, macam mana boleh dapat rezeki berkongsi tarikh sama? Saya nak kongsikan apa yang terbuku dalam benak hati selama ini.

"Pertama kehebatan doa. Bila jumpa saja sesiapa, kami minta tolong doakan bagi dapat sama tarikh lahir dengan anak nombor tiga. Kalau boleh saya nak sangat anak berkongsi tarikh sama.

"Tapi dalam masa sama, kami pun faham, ia benda bukan senang. Tapi apa salahnya minta orang doa kan? Betul tak? Bila jadi begini, kami percaya ada dalam doa yang kami pohon dimakbulkan Allah.

" Boleh jadi berkat doa kedua ibu bapa dan keluarga mentua. Berkat doa kawan-kawan, orang yang dapat nikmat, orang soleh serta doa orang yang dizalimi. Kami jumpa sapa saja, kami minta tolong doa.

"Kedua Allah swt Maha Hebat. Ya Allah, kami bersyukur jadi hambaMu. Kami tahu kami banyak dosa. Saya, isteri, keluarga, ibu bapa dan mentua saya, kawan-kawan dan semua kami sedar banyak dosa. Dalam masa sama Ya Allah, kami juga tahu bahawa kamu Ya Allah Maha Pengampun, Maha Mendengar, Maha Kuasa dan Maha Bijaksana," katanya.

Don berkahwin dengan Dr Husna Zahary pada 2012. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Don Mustofa, Don Ibrohim dan Don Sulaiman. 

Sumber : Harian Metro

Khamis, Januari 28, 2021

Rakyat Malaysia 'Uncle Hashim' dianugerah Pingat Order of Australia

 

Nama 'Uncle Hashim' mungkin tidak begitu dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia di sini namun beliau bukan seperti bapa saudara atau pak cik anda di rumah.

Di Australia, Uncle Hashim atau nama sebenarnya Abdul Rahman Hashim boleh dianggap sebagai individu yang agak terkenal.

Selepas bertahun-tahun menghulurkan khidmat secara sukarela kepada komuniti Islam dan rakyat Malaysia di Canberra, beliau bukan sekadar mendapat tempat di hati komuniti terbabit malah pengiktirafan kerajaan Australia yang menganugerahkannya Pingat Order of Australia (OAM) pada sambutan Hari Australia semalam.

Selepas tiga tahun berhijrah ke Australia pada 1969, Abdul Rahman mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Rakyat Malaysia Australia sebagai usaha menyatukan rakyat negara ini di Canberra.

"Ideanya adalah untuk menjaga mereka. Masalah utama di sana ialah tiada daging halal, jadi saya bersama-sama beberapa rakan memulakan perbincangan dengan kerajaan persekutuan dan mereka bersetuju menjadikan penyembelihan halal sebagai sesuatu yang sah," katanya dalam temu bual dengan stesen radio ABC yang dikongsi menerusi saluran YouTube Anil Sabah Al Ahmad Masjid.

Sepanjang berada di Canberra, Abdul Rahman turut menjadi sukarelawan di hospital sebagai penjaga kepada pesakit Islam yang bermula ketika isterinya menerima rawatan kerana menghidap penyakit kanser.

Meskipun sudah berusia 79 tahun, beliau masih aktif mengajar komuniti Islam di Canberra membaca Al-Quran secara sukarela dan melakukan upacara pengebumian.

"Kami melatih orang tetapi mereka agak keberatan kerana terpaksa berdepan pelbagai jenis mayat, sama ada normal atau kematian yang disebabkan kemalangan, jadi memerlukan masa untuk menanganinya," kata beliau.

Menurut artikel yang disiarkan Australian Muslim Times, aktivis sosial itu turut diiktiraf oleh Perkhidmatan Awam Australia dan menerima anugerah tertinggi Rotari iaitu Felow Paul Harris pada 1987 ketika beliau menganggotai Kelab Rotari Bandaraya Canberra.

Beliau juga terbabit dalam penubuhan pelbagai persatuan termasuk Majlis Pelajar Luar Negara Canberra, Persatuan Pelajar Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Canberra dan Persatuan Rakyat Malaysia Australia semasa zaman mudanya di Universiti Canberra.

Usaha terkini Uncle Hashim ialah pelancaran Australian Muslim Aged and Respite Care, sebuah platform yang menyalurkan bantuan kepada komuniti Islam di Canberra menggunakan perkhidmatan kebajikan yang dibayar oleh kerajaan dengan matlamat menyediakan tempat yang selesa kepada warga emas beragama Islam dengan penjagaan perubatan penuh.

Akhbar tempatan menjelaskan bahawa anugerah itu diberikan Gabenor Jeneral Australia kepada Uncle Hashim sebagai mengiktiraf semangat dan kerja keras beliau dalam membantu komuniti Islam di negara itu. 

 Sumber : BERNAMA

 

Khamis, Julai 25, 2019

Tun Mahathir kekal lelaki Malaysia paling dikagumi


Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengungguli senarai lelaki Malaysia paling dikagumi, demikian menurut kajian tahunan YouGov yang dinanti-nantikan masyarakat.

Keputusan itu, yang berdasarkan kepada kajian ke atas 1,075 rakyat Malaysia oleh sebuah firma pasaran, juga melihat Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, angkasawan pertama Malaysia terpaksa mengalah kepada Perdana Menteri berusia 94 tahun itu, untuk menduduki tempat kedua.

Satu lagi nama rakyat Malaysia yang dikagumi dalam senarai sepuluh teratas itu ialah Datuk Lee Chong Wei, yang baru-baru ini bersara daripada bermain badminton Olimpik dengan menduduki tempat keenam.

Usahawan teknologi berstatus hartawan juga antara yang turut disenaraikan.

Antaranya pengasas microsoft dan dermawan, Bill Gates menduduki tempat keempat, pengasas Alibaba, Jack Ma di tempat kelima dan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg menduduki tempat kesembilan. - BERNAMA

Khamis, April 20, 2017

Hidup Mewah Pemuda 21 Tahun Bergelar Datuk Jadi Tular



Kehidupan serba mewah lelaki berusia 21 tahun yang bergelar Datuk telah menarik perhatian netizen apabila postingnya di laman media sosial menjadi tular.

Posting Datuk Muhammad Saiful Muhamad Ali di akaun Facebook dan Instagram menggambarkan gaya hidupnya yang mewah terutama video yang dimuatnaik sempena sambutan hari lahirnya yang ke-21.

Menerusi video itu, Muhammad Saiful dan seorang lelaki yang lebih berusia, mungkin bapanya menuruni jet peribadi dan menaiki kereta mewah Rolls Royce sambil diiringi pengawal.

Mereka kemudiannya dibawa ke majlis sambutan hari lahir Muhammad Saiful yang diadakan di sebuah dewan yang dimeriahkan dengan persembahan muzik dan tarian.

Sehingga 17 April 2017, video itu mendapat lebih 300,000 tontonan. Berdasarkan gambar yang dimuatnaik di akaun Instagram, Muhammad Saiful menerima Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk pada 2015.

Menerusi akaun Facebook, beliau adalah pengarah di beberapa perniagaan termasuk besi buruk, kedai runcit, cuci kereta dan studio rakaman.

Facebook:
www.facebook.com/DatoMuhammadSaiful/photos/a.222433781535686.1073741828.158176404628091/276652299447167/?type=3&theater

Berikutan tular mengenai kisah pemuda ini, ramai juga yang tertanya-tanya siapakah keluarganya dan apakah yang pernah dilakukan mereka sehingga diiktiraf istana.

- msTAR

Sabtu, Jun 25, 2016

Pakar Motivasi Prof Izzi Meninggal Dunia



Pakar Motivasi Prof Izzi Meninggal Dunia

Profesor Madya Izzi Haji Ali yang terkenal dengan tazkirahnya di Hot FM meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada Jumaat akibat strok.

Jenazah pakar motivasi, Profesor Madya Md. Izuddin Ali atau lebih dikenali dengan Prof Izzi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Rusa, pagi Sabtu.

Jenazah Prof Izzi dikebumikan bersebelahan pusara ibu bapanya, Ali Ismail dan Maimon Abdul Rahman serta adik perempuannya, Zainon, pada 9 pagi.

Kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara, rakan taulan dan penduduk kampung hadir memberikan penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba dari Kedah diiringi isteri, Roziah Shafie, 48, dan dibawa ke rumah kakak sulungnya, Zaleha, 55, di Taman Bestari, Gong Badak kira-kira 4.30 pagi.

Jenazah Allahyarham kemudian disembahyangkan di Masjid Kampung Pulau Rusa pada 8 pagi.

Allahyarham sebelum itu dikejarkan ke Hospital Jitra, pada 11 Jun lalu selepas rebah ketika berwirid selepas menunaikan solat asar berjemaah di Masjid Al-A'la di Tanah Merah, Jitra.

Prof Izzi semasa hayatnya terkenal sebagai pakar motivasi yang popular dengan tagline 'renung-renungkan dan selamat beramal'.

Allahyarham juga adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis. 

- BERNAMA