Memaparkan catatan dengan label Personaliti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Personaliti. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 17, 2013

Koh Tsu Koon bersara dari politik



Setelah menceburkan diri dalam arena politik selama lebih 30 tahun, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada 16 Mei 2013 secara rasminya mengundurkan diri meletak jawatan sebagai Presiden Gerakan, satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Koh, 64, seorang ahli akademik, mula menceburkan diri dalam bidang politikapabila menyertai Gerakan pada tahun 1982 di bawah kepimpinan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik.

Beliau bertanding buat pertama kali pada pilihan raya Umum (PRU) Keenam pada April 1982 dan menjadi anggota Parlimen Tanjong, Pulau Pinang selepas mengalahkan Chian Heng Kai @ Chin Soo Ha (DAP) dengan majoriti 834 undi.

Karier politiknya dalam parti mula berkembang apabila dilantik sebagai pengerusi kebangsaan Sayap Pemuda Gerakan pada 1983 hingga Jun 1990, pengerusi Gerakan Bahagian Tanjong dan anggota Jawatankuasa Pusat Gerakan (1984).

Bapa kepada seorang anak lelaki dan perempuan itu kemudian gagal mempertahan kerusi Tanjong apabila kalah kepada Lim Kit Siang (DAP) pada PRU 7, 1986 dengan majoriti 11,690 undi.

Bagaimanapun, kariernya tidak berakhir apabila dilantik sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu pada September 1986 hingga 1990.

Selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bunga pada PRU 9 pada Oktober 1990, Koh kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketiga.

Pada 2007, beliau memangku tugas presiden Gerakan apabila Keng Yaik mengumumkan persaraannya, setahun kemudian, beliau dipilih tanpa bertanding sebagai presiden untuk penggal 2008/2011.

Pada PRU 2008, Koh memutuskan untuk tidak bertanding bagi kerusi DUN, sebaliknya bertanding bagi kerusi parlimen Batu Kawan, bagaimanapun, beliau kalah kepada calon DAP, P. Ramasamy.

Beliau kemudian mengangkat sumpah sebagai Senator dan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi) dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.

Pada 17 November 2011, Koh mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU-13, samaada untuk kerusi parlimen mahupun kerusi negeri.

Perjalanan kariernya kemudian teruji apabila Gerakan hanya menang satu kerusi parlimen (Simpang Renggam, Johor) daripada 11 kerusi yang ditandingi pada 5 Mei lepas, manakala untuk kerusi DUN, parti itu hanya memperoleh tiga kerusi iaitu Pemanis di Johor serta Tanjong Papat dan Elopura di Sabah daripada 31 kerusi yang ditandingi.

Pada PRU 2008, parti itu menang dua kerusi parlimen dan empat kerusi DUN.

Menyedari bahawa kekalahan teruk itu atas tanggungjawab beliau, Sabtu lepas, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Gerakan berkuat kuasa pada Khamis.

Jawatan presiden itu kini dipangku timbalannya Datuk Chang Ko Youn sementaramenunggu pemilihan parti pada 26 Oktober.

- BERNAMA

 

Isnin, Mei 13, 2013

Hilal Asyraf - Menulis novel sambil berdakwah


Penulis muda, Muhammad Hilal Asyraf Abd. Razak, 24, atau lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf semakin mencipta nama dalam arena penulisan tanah air dan mendapat tempat di hati masyarakat.

Walaupun baru berusia 24 tahun, namun Hilal Asyraf sudah berjaya mengumpulkan kelompok peminat tersendiri melalui karya-karya yang lebih menjurus kepada motivasi dakwah.

Gaya penulisannya yang santai tetapi penuh berhikmah menjadikan dia salah seorang penulis kegemaran bagi golongan muda masa kini.

Antara karya popularnya yang mendapat sambutan menggalakkan termasuklah Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita, VT-Volleyball Team (2009), Sebelum Aku Bernikah (2012) dan Buat Semua Pendosa: Harapan Masih Ada (2013).

Dilahirkan pada 16 Januari 1989, Hilal Asyraf mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor dan Maahad At-Tarbiyah Al-Islamiyyah, Perlis. Dia kemudian menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Yarmouk, Jordan pada tahun 2008.

Menurut Hilal Asyraf, dia mula menulis secara suka-suka selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ketika itu dia menjadi guru sambilan.

“Saya menulis cerita-cerita ringkas mengenai ukhwah dalam Islam dan berkongsi penulisan tersebut dengan kawan-kawan melalui e-mel. Sewaktu saya mencetaknya, ayah ternampak lantas memberikan karya itu kepada rakannya yang juga penulis novel di Johor, Maskiah Masrom.

“Tanpa diduga, beliau memuji karya saya dan mengatakan bahawa ada potensi untuk menjadi penulis. Bermula dari situ, saya bersemangat untuk melibatkan diri dalam dunia penulisan.

“Jadi, saya memilih untuk menghasilkan blog langitillahi.blogspot.com sebagai medium memaparkan karya penulisan pada pertengahan 2007,” terang Hilal Asyraf dalam satu pertemuan dengan Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, blog tersebut kini telah dinaik taraf menjadi laman web iaitu langitilahi.com yang dikendalikan bersama teman rapat.

Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, kebanyakan bukunya diterbitkan oleh syarikat penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (16), PTS Millenia Sdn. Bhd. (4), Warisan Johor (1) dan Telaga Biru (1). Selain itu, Hilal Asyraf juga pernah menerbitkan bukunya sendiri yang bertajuk Simfoni Cinta.

Berubah ke arah kebaikan

Sebagai penulis, setiap hari Hilal Asyraf sentiasa mendisiplinkan diri menulis selepas Subuh dan sebelum tidur.

“Biasanya saya tidak mencari idea apabila berada di hadapan komputer, sebaliknya ilham untuk menulis diperoleh dalam menjalani kehidupan sehari-hari,” ungkap bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Ditanya mengenai penulis yang diminati, Hilal Asyraf berkata, dia begitu menggemari karya-karya penulisan Ramlee Awang Murshid dan Dr. Faisal Tehrani selain Amru Khalid serta Dr. Majdi Al-Hilali dari Mesir.

“Mereka merupakan antara penulis yang banyak memberi inspirasi kepada saya pada peringkat awal menceburkan diri dalam bidang ini,” ujar suami kepada Tengku Masyitah Tengku Paris itu.

Mengulas tentang cabaran yang dihadapi sebagai penulis, anak kelahiran Skudai, Johor berkenaan mengakui, menulis itu senang, tetapi cabaran dalam menjaga hati supaya tidak riak amat besar untuk diatasi.

“Saya cuma berdoa moga Allah menetapkan hati saya untuk terus berdakwah dalam penulisan dan matlamat perjuangan itu tidak tersasar sehingga ke akhirnya.

“Saya teringat pesanan ustaz Dahlan Mohd. Zain, mudir (guru besar) saya di maahad dahulu yang mengatakan bahawa ‘tarbiah mestilah melahirkan pemimpin, dakwah mesti membawa perubahan’.

“Harapan saya agar semua pembaca buku saya dapat membuat perubahan ke arah kebaikan. Jika ia dapat dicapai, itulah kepuasan bagi saya sebagai penulis,” ungkapnya penuh makna.

- KOSMO!

 

Sabtu, Mei 11, 2013

Adibah Karimah - Kejayaan Ibu Muda dalam bisnes


Tidak sukar membuat temujanji dengan Adibah Karimah Abdul Majid, 27, untuk merakamkan gambar beliau yang rancangan awalnya bersama suami dan anak-anak sempena sambutan Hari Ibu.

Walaupun anak bongsu beliau, Amir Khalif, yang baru mencecah usia lima bulan kurang sihat kerana demam, permintaan untuk fotografi ini tetap dipenuhi.

Bagaimanapun hasrat untuk bergambar sekeluarga tidak dapat diteruskan kerana semasa sedang disolek, suami Adibah, Dr. Hasbi Harun melihat terdapat kelainan pada tubuh si kecil yang disyaki denggi.

Dengan segera Amir Khalif Hasbi dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dengan dipangku anak sulung, Aqil Haarith, 6.

Tinggal anak kedua mereka, Kamal Hairi, 4, menemani si ibu untuk meneruskan sesi fotografi.

Namun Kamal agak pemalu dan puas memujuk dan diumpan dengan gula-gula barulah gambarnya bersama ibu dapat dirakamkan.

Adibah Karimah, si pemilik wajah jelita ini mendirikan rumah tangga dalam usia yang masih terlalu muda, iaitu baru hendak memasuki 20 tahun.

Pada usia memasuki 21 tahun, Adibah Karimah telah pun bergelar ibu. Dalam usia semuda itu di mana kawan-kawan sedang menikmati alam remaja dan pekerjaan, beliau pula menguruskan rumah tangga bersama suami dan anak yang masih bayi.

Berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu, Adibah Karimah yang menjaga sendiri ketiga-tiga anaknya dengan dibantu oleh suami tidak pernah berasa menyesal berkahwin muda dan tidak dapat menikmati kebebasan seperti orang lain.

''Pada awal perkahwinan memang saya berasa cemburu dengan kawan-kawan kerana mereka mempunyai kehidupan sendiri. Tetapi selepas itu baru saya dapat menilai kebahagiaan berumah tangga dan melihat keberkatan.

''Rezeki kami murah, dikurniakan cahayamata tanpa menunggu lama. Suami pula seorang yang penyayang, memahami dan banyak membantu urusan rumah tangga. Beliau tidak membiarkan saya seorang melakukan kerja-kerja rumah dan menjaga anak.

''Mungkin jarak umur kami, iaitu tujuh tahun menjadikan suami lebih matang dan banyak memberikan motivasi kepada saya,'' ujar Adibah Karimah yang memiliki ijazah dalam bidang Teknologi Maklumat dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurutnya, mempunyai tiga orang anak lelaki, nakalnya berlainan. Anak sulung suka mengacau adik-adiknya dan tidak boleh melihat adik-adiknya diam.

Anak yang kedua pula terlalu manja dengan ayahnya dan selalu meragam sementara yang bongsu masih bayi dan memerlukan sepenuh perhatian.

''Saya selalu menjadikan ibu sebagai sumber inspirasi dalam mendidik anak-anak. Walaupun ibu bekerja (sebagai guru) namun beliau tetap dapat mendidik kami tujuh beradik dan semuanya kini berjaya dengan kehidupan masing-masing.

''Setelah ayah meninggal dunia pada tahun 2000, ibu yang menjaga kami adik beradik dengan dibantu oleh abang sulung. Sekarang ibu telah pun berumur 66 tahun dan kini tinggal bersama-sama abang kedua.

''Jasa ibu tidak terbalas. Apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak, kita akan lebih menghargai pengorbanan ibu yang melahirkan dan mendidik kita. Ibu tetap di hati. Nasihatnya adalah demi kebaikan anak-anak jua.

''Kejayaan saya dan kebahagiaan rumah tangga saya adalah atas doa dan restu daripada suami dan ibu. Walau jauh, saya selalu meminta restu ibu supaya dipermudahkan segala urusan.

''Justeru saya tidak pernah melupakan apabila tiba sambutan hari ibu setiap tahun. Oleh kerana ibu di Terengganu dan saya di Kuala Lumpur, saya akan menelefon memberikan ucapan atau mengepos hadiah seperti baju dan beg tangan.

''Sambutan hari ibu tahun ini kami adik beradik buat awal kerana semuanya pulang ke kampung pada hari mengundi yang lalu. Kami berkumpul dan buat majlis makan-makan,'' ujar anak ke enam daripada tujuh beradik ini.

Tambah Adibah Karimah lagi, suami beliau juga turut mengingati setiap kali tiba hari ibu. Biasanya suami akan beli kek atau makan di luar sekeluarga.

Menurutnya, sambutan hari ibu yang paling menggembirakan bagi beliau ialah pada tahun lalu di mana suami membelikan satu set barang kemas berupa rantai, gelang dan cincin.

''Sebenarnya dapat hadiah pun seronok juga namun kita akan berasa lebih dihargai jika orang yang paling rapat dengan kita, iaitu suami mengingati hari yang memang dikhususkan untuk para ibu,'' ujarnya menggayakan dua pasang pakaian pada sesi fotografi ini.

Menurut Adibah Karimah yang menguruskan sendiri rumah tangga tanpa bantuan pembantu rumah, walaupun sibuk dengan urusan harian beliau tetap membahagikan masa untuk bisnes sendiri, iaitu menjual pakaian dalam wanita dan korset Premium Beautiful.

Sudah dua tahun menjalankan bisnes ini secara dalam talian, iaitu www.adibahkarimah.com atau dihubungi melalui 019-6615447.

Dalam tempoh dua tahun dengan bisnes ini, Adibah telah pun memperolehi pendapatan lima angka dan mendapat sebuah kereta BMW F30 baru secara percuma, melancong ke enam buah negara, iaitu Holland, Belgium, Vietnam, China, Peranchis, England yang ditaja sepenuhnya.

Bisnes ini juga telah menembusi ke seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan Adibah mempunyai 100 orang pengedar di bawahnya.

- UTUSAN

 

Sabtu, April 27, 2013

Memey ambil keputusan kekal bertudung


Pelakon, Memey Suhaiza, 24, mengambil keputusan untuk terus mengenakan tudung sejak Ahad lalu, namun enggan menghebohkan penghijrahannya kerana bimbang niat murni itu disalah erti.

Isteri kepada aktor, Norman Hakim, 37, itu berkata keinginan berhijrah bukan di atas paksaan sesiapa, sebaliknya beliau berasa kurang selesa tanpa mengenakan hijab selepas mula memakainya ketika menghadiri acara sukan di sekolah anak tirinya, hujung minggu lalu.

Dalam proses belajar

Saya masih dalam proses belajar dan berdoa semoga niat ini akan ditetapkan-Nya. Sebelum ini pun saya sudah beberapa kali mengenakan tudung, tetapi perasaan untuk mengenakan tudung semakin kuat selepas itu membuatkan saya menetapkan niat.

Hadiah ulang tahun suami

Hasrat itu kemudian saya sampaikan kepada suami menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas), yang sememangnya meminta saya bertudung sebagai hadiah ulang tahunnya, 8 Januari lalu. Cuma ketika itu saya belum bersedia, katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, gambarnya mengenakan tudung, baru-baru ini mendapat maklum balas positif daripada peminat yang berharap beliau terus kekal dengan imej terbabit, tambahan pula selepas melahirkan anak pertama pada 1 Februari lalu.

- BERITA HARIAN
 

Selasa, April 16, 2013

Kunjungan Ke Mekah Buka Hati Alyah Untuk Bertudung


Kunjungan penyanyi Alyah ke Mekah untuk menunaikan umrah pada 27 Mac hingga 11 April lalu telah melancarkan niat sucinya untuk bertudung.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 32, berkata, hasrat memakai tudung telah lama dipendamkan namun selepas satu kejadian berlaku ketika menunaikan umrah, dia mula terdetik untuk terus bertudung.

"Alhamdulillah, sejak menunaikan umrah, saya nekad untuk terus berimej sebegini. Perubahan ini juga disebabkan satu insiden yang tidak boleh saya kongsi di sini di mana ia membuatkan hati saya terbuka untuk mengubah imej saya.

"Tambah pula dengan usia yang semakin meningkat, sudah tiba masa untuk saya berubah ke arah kebaikan.

"Saya percaya apa yang dilakukan sekarang ini adalah untuk masa depan sendiri. Sebelum ini saya tercari-cari dan tertanya-tanya dengan pelbagai nasib buruk yang menimpa ke atas diri saya.

“Tetapi apabila difikirkan balik, mungkin ada hikmah atas segala kejadian yang berlaku sebelum ini," katanya.

Tambah Alyah, memandangkan para peminat sebelum ini mengenalinya menerusi fesyen-fesyen yang digayakan, dia juga tetap akan tampil dengan gaya menarik walaupun bertudung litup.

"Saya sukakan fesyen dan saya masih lagi Alyah yang dulu. Cuma penampilan sahaja yang berubah.

"Sekarang ini saya kembali membuat pelbagai kajian dan memikirkan fesyen-fesyen bertudung yang sesuai untuk saya," tuturnya.

Ditanya apakah komen kekasihnya Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS berhubung perubahannya itu, kata Alyah, konduktor muzik terkenal itu memberi sokongan sepenuhnya dengan penampilan baru itu.

"Alhamdulillah dia cakap 'baguslah, ia baik untuk awak’," selorohnya.

Tambah Alyah, hubungannya dengan Ramli masih lagi dalam proses perkenalan dan mereka belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.

- MSTAR

 

Isnin, April 15, 2013

Dara Jutawan - Dua beradik berkongsi kejayaan

“Kejayaan tidak dicapai dalam sekelip mata. Di peringkat awal, saya tiada masa untuk makan dan kerap bertukar pakaian di tandas awam semata-mata untuk bertemu dan ‘ambil hati’ pelanggan,” kata jutawan saham amanah dan insurans, Aida Nurlin Hanif, 32, menceritakan kerja kerasnya sebelum berjaya.

Ketika itu, dia perlu membahagikan masa antara pelajaran dan kerja kerana masih menuntut dalam jurusan Diploma Sains Aktuari di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menjadikan kakaknya, Nor Akmar, 36, sebagai idola, usaha gadis bertudung ini nyata berbaloi apabila mampu bergelar orang kaya baru ketika masih di universiti.

Masakan tidak, pada usia 21 tahun ketika rakan sebaya masih mengharapkan wang biasiswa dan pinjaman untuk menyara kehidupan di kampus, dia mampu memiliki kereta mewah Porsche Boxster.

Aida Nurlin yang lebih mesra disapa Elynn berkata, prinsip utamanya dalam setiap pekerjaan mesti dibuat sehingga sempurna dan berjaya.

Katanya, dia teruja melihat kekayaan kakaknya lantas yakin mampu memperoleh kejayaan sama jika berusaha bersungguh-sungguh walaupun dibebani komitmen sebagai pelajar.

Menurutnya, kuliahnya bermula jam 10 pagi, namun seawal jam 8 pagi setiap hari dia mengatur janji temu dengan pelanggan tetap atau mencari pelanggan baru.

Selepas janji temu, dia bergegas ke kuliah sebelum mengatur pertemuan lain ketika waktu makan tengah hari bagi membolehkannya mencapai sasaran peribadi.

“Rutin itulah yang dilalui sehingga tamat pengajian. Kadangkala sampai malam pun masih bertemu pelanggan hingga makan tak menentu,” katanya.

Kejayaan menakjubkan Elynn dan Akmar makin dikagumi pelbagai pihak hingga ramai menggelar mereka sebagai ‘millionaire sisters’ (jutawan adik-beradik).

Kini dua beradik kelahiran Ipoh, Perak ini mampu menjalani kehidupan bagaikan selebriti terkenal dunia, memiliki kereta dan banglo mewah serta membeli-belah di kota sehebat Paris, Perancis hasil keringat sendiri.

Mengimbau permulaannya sebagai perunding saham amanah, Akmar berkata, dia dipelawa seorang kenalan rapatnya untuk berkecimpung dalam bidang itu ketika berusia 23 tahun.

“Sebenarnya saya pemilik Ijazah Kejuruteraan Sistem Maklumat dari University of Manchester, Institute of Science and Technology (UMIST).

“Selepas menamatkan pengajian, saya sempat bekerja tiga bulan di sebuah syarikat besar di bidang teknologi maklumat (IT) sebagai pengurus besar.

“Namun, saya tidak puas dan beranggapan bidang amanah saham lebih sesuai dengan jiwa saya. Walaupun usia masih muda dan tidak ramai kenalan, saya yakin boleh melangkah jauh dengan usaha keras,” katanya.

Berkat kegigihannya, dia berjaya membuka agensi sendiri pada usia 25 tahun dan mengurus serta mengendalikan pelaburan hingga meletakkannya sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di institusi kewangan terbesar di negara ini.

Malah, dia mampu memperoleh pendapatan lima angka atau sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan ketika berumur 26 tahun dan dua tahun kemudian, dia mampu melahirkan 10 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS).

“Rahsia kejayaan ialah mendapat restu orang tua. Ibu banyak memberi semangat manakala ayah, bekas Timbalan Pengarah Pendidikan di Perak serta adik-beradik banyak memberi kekuatan kepada kami berdua,” katanya.

Dua beradik jutawan itu pernah merangkul lebih 250 anugerah, termasuk Ikon Belia Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini, berikutan prestasi cemerlang sebagai perunding saham amanah.

Pencapaian lain termasuk Brand Ambassador, Group Agency Manager Platinum, Top GAM, Master Recruiter, Million Sales Achiever, Million Dollar Round Table dan Anugerah Usahawan Muda Universiti Malaya.

Sementara itu, mengenai projek terbaru, Elynn berkata, mereka melancarkan MyMep iaitu singkatan daripada Malaysian Young Millionaire Entrepreneur Project dengan kerjasama KBS dalam usaha membantu melahirkan usahawan muda berjaya dan dinamik dalam tempoh tiga tahun.

- METRO AHAD


Selasa, Mac 26, 2013

Dr Muhammad Uthman El-Muhammady Meninggal Dunia


Tokoh cendekiawan Islam, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, kembali ke rahmatullah jam 7 malam tadi.

Beliau meninggal dunia di kediamannya di kuarters Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) di Kuala Lumpur.

Allahyarham yang juga Felo Amat Utama ISTAC dan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2005 (1426 Hijrah), meninggalkan seorang balu, Mariam Hussin, 65, serta 12 anak berumur 45 hingga 30 tahun.

Anak Allahyarham, Asma berkata ayahnya meninggal dunia secara mengejut ketika melakukan kerja ilmiah di bilik tidur.

Rebah atas katil

Allahyarham ketika itu duduk di atas katil menguruskan kitab yang diambil, sebelum rebah. Pasukan paramedik kemudian mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, selepas solat Zuhur esok (hari ini) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UIAM, katanya.

Beliau berkata, Allahyarham pernah mengalami masalah jantung tahun lalu, selain penyakit darah tinggi.

Allahyarham yang dilahirkan pada Februari 1943, berasal dari Kampung Teluk Panji, Kota Bharu, Kelantan, terkenal dengan sumbangannya menghasilkan banyak penulisan berkaitan ketamadunan Islam.

Allahyarham juga membentangkan kertas kerja dalam seminar pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa mengenai Islam dari segi akidah, kerohanian, akhlak, budaya dan falsafah, di samping menterjemah buku dari bahasa Arab dan Inggeris.

Antara bahan ilmiah dihasil dan diterjemah Allahyarham ialah Al-Quranul-Karim; Fathul Mu'in; Peradaban dalam Islam; Memahami Islam; Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi serta Islam dan Kebudayaan.

- BERITA HARIAN

 


Jumaat, Mac 22, 2013

Baca al-Quran rahsia peroleh 9A+


KOTA BHARU - Amalan membaca al-Quran untuk merangsang perkembangan otak membuahkan hasil apabila Dini Mardiana Mohd. Radzuan, 18, diumumkan antara 15 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 peringkat negeri.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher yang memperoleh 9A+ itu memberitahu, sejak kecil ibunya, Rusnani Kamaruddin, 54, dan ayahnya, Mohd. Radzuan Mohamad, 56, seorang jurutera telah membiasakannya membaca al-Quran setiap hari.

Berkongsi kejayaannya, anak bongsu daripada empat beradik itu memberitahu, dia belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan di sekolah dan memperuntukkan lima jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.

"Saya belajar dengan tekun dan sabar. Bagi saya dalam perjuangan mesti ada dugaan dan cabaran daripada Allah. Jadi, sebagai pelajar Islam, saya perlu bersabar dengan segala dugaan kerana setiap kesusahan itu ada kesenangan," katanya.

Dini Mardiana memperoleh A+ dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Agama Islam, Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Fizik, Kimia dan Sejarah.

Selain fokus dalam kelas, Dini Mardiana juga sentiasa mengerjakan solat sunat dan sering bertanya kepada guru mengenai subjek yang tidak difahami.

"Saya juga mengikuti kelas tuisyen yang diadakan di sekolah selain mengambil tuisyen luar kerana ia amat membantu saya memahami lagi mata pelajaran tersebut," katanya yang bercita-cita melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang kejuruteraan.

- UTUSAN

 

Sabtu, Mac 16, 2013

Baha Zain Sasterawan Negara ke-12



Tokoh bahasa dan budaya Melayu, Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) diumumkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemilihan itu berdasarkan kecemerlangan serta sumbangan berterusan Baharuddin dalam seni kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, majlis pengurniaan anugerah itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi.

''Pemilihan calon-calon untuk Sasterawan Negara berdasarkan sumbangan mereka melalui karya dan pemikiran terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera dan impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

''Panel telah mengadakan beberapa perbincangan untuk meneliti sumbangan dan kekuatan calon, dan akhirnya panel memilih Baha Zain sebagai penerima anugerah kali ke-12," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat panel Anugerah Sastera Negara ke-12 di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, dengan penganugerahan itu, Baharuddin akan dikurniakan watikah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, penerbitan 50,000 naskah buku atau nilai harga buku berjumlah RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan diedarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

''Beliau juga akan menikmati kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk mencipta karya sastera, kemudahan menerbitkan karya dan penterjemahan karya yang sesuai ke bahasa asing," katanya.

Baharuddin dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang, Perak pada 22 Mei 1939 dan mendapat pendidikan awal di Sabak Bernam, Selangor hingga tahun 1949.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada 1963, beliau bertugas di Bahagian Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Penolong Pegawai Penyelidik.

Pada tahun 1966, beliau menyambung pengajian di Fakulti Sastera, Universitas Indonesia, Jakarta.

Baharuddin juga pernah menerima Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan Gapena (2008), dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM (2010), dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011).

- BERNAMA

Rabu, Mac 13, 2013

Pembaca berita RTM Siti Murni Abdul Aziz



Jika anda sering mengikuti slot Berita Nasional di RTM, pastinya mengenali wajah ini.

Memiliki raut wajah yang manis, berkulit kuning langsat, perwatakan yang ceria dan susuk tubuh yang kecil, Siti Murni Abdul Aziz, 27, merupakan antara pembaca berita yang telah lama bertugas.

Memulakan kerjayanya di RTM pada usia muda, iaitu 19 tahun dan selepas menamatkan kursus matrikulasi, Siti Murni memberanikan diri menyertai uji bakat yang diadakan di RTM.

‘‘Saya mengikuti kursus matrikulasi dengan mengambil jurusan biologi. Sebenarnya ibu bapa saya yang memilihkan jurusan tersebut untuk saya sedangkan saya sendiri tidak berminat. Namun untuk menjaga hati kedua-dua ibu bapa, saya ikutkan sahaja.

‘‘Alhamdulillah saya lulus dan layak meneruskan pelajaran ke universiti. Bagaimanapun di dalam hati, saya seperti merasakan sesuatu yang tidak memberikan kepuasan kepada saya. Minat saya sendiri adalah untuk menjadi pembaca berita.

‘‘Memang dari sekolah menengah lagi saya menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pembaca berita. Saya fikir, setelah mengikutkan permintaan ibu bapa untuk mengambil kursus matrikulasi, mengapa pula saya harus mengenepikan minat dan cita-cita saya sendiri.

‘‘Pada mulanya ibu bapa tidak menggalakkan saya meneruskan hasrat ini. Namun saya pergi juga menyertai uji bakat. Mereka agak terkejut juga.

‘‘Majoriti yang hadir untuk uji bakat ketika itu berumur 25 tahun ke atas. Sudah rezeki saya agaknya kerana saya diterima untuk menyertai RTM sebagai wartawan,’’ kata Siti Murni yang ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Meneruskan bicaranya, Siti Murni berkata, dia masih teringat apabila ditugaskan membuat liputan pertama sebagai wartawan di Parlimen.

Ini bermakna beliau harus mengetahui mengenai perkembangan politik di Malaysia.

Bagi menyiapkan dirinya, pembaca Berita Wilayah dan Parlimen itu banyak membuat ‘kerja rumah’ dengan membaca dan mengikuti perkembangan semasa politik tanah air.

Dia juga harus mengenali wajah-wajah pemimpin tanah air supaya tidak terpinga-pinga apabila berada di lokasi bertugas.

Tambahnya, walaupun ketika itu beliau merupakan wartawan di Parlimen yang termuda, tidak keterlaluan, namun Siti Murni dapat melaksanakan tugasnya dengan penuh keyakinan.

Walaupun perlu bersaing dengan wartawan yang sudah berpengalaman dan berusia daripadanya, sifat mesra dan peramah membuatkan beliau disenangi dan ramai yang sanggup memberikan tunjuk ajar kepadanya.

Melihatkan kesungguhan Siti Murni dan kegembiraan yang terpancar di wajahnya setelah pulang kerja, ibu bapanya terpaksa akur dengan minat anak mereka dan memberikan restu mereka.

Lari daripada bidang biologi, Siti Murni kemudian meneruskan pelajarannya dan mengambil kursus pengajian jarak jauh (PJJ) dalam bidang komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kini berjaya menggenggam Ijazah Komunikasi daripada universiti tersebut.

Empayar sendiri

Turut berminat dalam bidang peragawati, Siti Murni mengembangkan minatnya itu dengan membuka akademi peragawati miliknya sendiri.

Akademi yang dinamakannya sebagai Empayar Siti Murni (ESM) dan terletak di Putra Walk, Seri Kembangan ini telah ditubuhkan pada tahun 2011.

Sebagai pengarah urusan, isteri kepada Hisham Salleh yang juga pengacara Selamat Pagi 1 Malaysia dan penyampai Berita Nasional 8 Malam itu berkata, tujuan beliau menubuhkan akademi tersebut bagi memberikan bimbingan kepada wanita mengenai penampilan, cara bertudung, etika berpakaian, berkomunikasi, cara berjalan, teknik berhadapan dengan kamera dan sebagainya bagi wanita muslimah.

‘‘Setiap wanita mempunyai bentuk tubuh yang berbeza. Ada yang bertubuh gempal, terlalu kurus, tinggi atau rendah. Ramai gadis yang bertubuh besar dan tidak pandai bergaya. Mereka tidak berkeyakinan apabila bergaul dengan orang ramai atau ketika menghadiri sesuatu majlis.

‘‘Kursus yang diberikan hanya sehari sahaja bermula dari pukul sembilan pagi hingga lima petang dengan bayaran sebanyak RM250 sahaja. Dengan kursus sehari ini memudahkan mereka yang ingin menyertai terutama bagi mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur.

‘‘Sesiapa sahaja boleh mengikuti kursus ini kerana tiada syarat. Peserta paling muda yang pernah mengikuti kursus berumur 18 tahun dan paling tua 50 tahun," Siti Murni.

‘‘Setakat ini saya telah mengadakan lebih 30 siri kursus dan melatih ramai wanita dan setelah tamat kursus dapat dilihat keyakinan mereka bertambah.

‘‘Saya mengajar tentang cara-cara catwalk sementara suami, mengajar teknik komunikasi. Jika sebelum kursus, mereka agak segan untuk bercakap dengan orang yang tidak dikenali kini mereka sudah mula berani bertegur sapa atau berbual,’’ ujar ibu kepada seorang anak lelaki, Nur Irfan Wafiy Hisham, enam bulan ini.

Menurut Siti Murni, baru-baru ini beliau telah mengadakan Malam Empayar Siti Murni di Kelab Golf Perkhidmatan Awam di Bukit Kiara yang disertai oleh seramai 30 orang finalis yang terdiri daripada pelbagai saiz badan.

Tambahnya, penyertaan yang diterima amat menggalakkan kerana seramai 500 orang telah menghantar penyertaan namun hanya 30 orang yang terpilih untuk ke peringkat akhir.

- UTUSAN




Sabtu, Mac 09, 2013

Hugo Chavez - Pemimpin Venezuela yang berani


"SAYA akan menjadi presiden sehingga tahun 2050 ketika berumur 95 tahun selagi rakyat masih mengundi saya."

Itu kata-kata yang dilontarkan oleh Presiden Venezuela, Hugo Chavez selepas kekal berkuasa dan akan menjadi presiden seumur hidup dalam satu perubahan perlembagaan negara itu. Perubahan tersebut dibuat melalui referendum pada 2 Disember 2007.

Tindakan itu merupakan usaha Chavez untuk menjadikan Venezuela sebagai sebuah negara sosialis dan pungutan suara yang dilakukan ternyata memihak kepadanya.

Mengulas mengenai ucapan yang dibuat, jelas menunjukkan seolah-olah Chavez begitu yakin usianya panjang dan akan hidup lebih lama untuk mengemudi Venezuela. Ironinya, kepimpinan Chavez sekadar bertahan selama 14 tahun.

Pada tarikh 5 Mac iaitu Selasa lalu, Chavez menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Caracas selepas dua tahun bertarung melawan penyakit kanser yang dihadapi, sekali gus membawa bersama harapan dan impian yang tidak terlaksana.

Pemergian Chavez ditangisi jutaan penyokong setianya yang menganggap beliau sebagai pemimpin sejati yang sentiasa membela kepentingan rakyat.

"Chavez hidup untuk selama-lamanya. Semangatnya akan terus menjadi inspirasi bagi semua yang berjuang menuntut kebebasan. Chavez akan sentiasa bersama kita, menemani kita," kata Presiden Bolivia, Evo Morales.

Sejak dipilih menjadi Presiden Venezuela pada tahun 1998, Chavez begitu dikenali sebagai pemimpin di Amerika Selatan yang paling lantang bersuara menentang dan mengkritik Washington.

Beliau berani mengeluarkan amaran untuk tidak bertoleransi dengan pihak-pihak yang cuba melakukan keganasan dan pernah mengancam untuk memutuskan bekalan minyak ke Amerika Syarikat (AS) jika mereka campur tangan dalam urusan pentadbiran negaranya.

Justeru, tidak hairanlah jika pentadbiran Rumah Putih 'lega' mendengar berita kematian Chavez lantaran hubungan dingin antara mereka sebelum ini.

"Selamat berambus diktator Chavez. Beliau adalah seorang pemimpin kejam yang memaksa rakyat Venezuela hidup dalam ketakutan," selar Ed Roycem selaku Pengerusi Jawatankuasa Rumah Putih untuk Hubungan Luar AS.

Sejak didiagnosis menghidap kanser di bahagian pelvis pada bulan Jun 2011, pemimpin sosialis berusia 58 tahun itu telah menjalani beberapa siri pembedahan di Cuba bagi merawat penyakitnya.

Ekoran kematian Chavez, Naib Presiden, Nicolas Maduro akan terus memerintah Venezuela sebagai pemangku Presiden sehingga pilihan raya yang akan diadakan dalam tempoh 30 hari.

Menteri Luar, Elias Jaua mengesahkan pelantikan tersebut dalam satu temu bual bersama stesen televisyen tempatan, VTV, beberapa jam selepas Maduro mengumumkan pemergian Chavez.

Jaminan keamanan

Maduro yang kelihatan sebak ketika mengumumkan kematian Chavez berkata, kerajaan Venezuela ketika ini menempatkan pasukan tentera dan polis bagi mengawal dan melindungi rakyat serta memberi jaminan keamanan di negara ini.

Beliau juga meminta semua rakyat di negara itu mempertahankan keamanan dan bersatu hati untuk menghadapi musibah yang melanda serta meneruskan legasi yang ditinggalkan Chavez.

"Kita perlu bersatu lebih baik daripada sebelum ini," kata Maduro.

Sebaik berita kematian Chavez tersebar, ribuan penyokongnya berkumpul di Caracas. Sebahagian mereka menangis teresak-esak secara terbuka manakala yang lain melambai-lambai bendera sambil memegang gambar mendiang Chavez.

Tiada laporan keganasan besar, tetapi sedikit ketegangan dapat dirasai di jalanan, apabila orang ramai yang mahu pulang ke rumah selepas tamat waktu kerja cuba untuk mengelak daripada lautan penyokong kuat Chavez.

Sementara itu, Jaua memberitahu, kerajaan Venezuela telah mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari. Semua kedutaan Venezuela di seluruh dunia mengibarkan bendera separuh tiang.

Mayat Chavez telah dibawa ke akademi ketenteraan di Caracas Rabu lalu. Ia akan berada di sana selama tiga hari bagi memberi peluang kepada pemimpin dan rakyat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang. Pengkebumian negara dijangka berlangsung hari ini.

Pengumuman kematian Chavez dibuat beberapa jam selepas Maduro bertemu dengan barisan pemimpin atasan politik dan ketenteraan bagi berbincang mengenai keadaan kesihatan Chavez yang semakin teruk.

"Kami mengesyaki mungkin seseorang dengan sengaja telah menyebabkan Chavez mendapat kanser tersebut," tegas beliau yang turut menyamakan situasi tersebut dengan kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat, yang didakwa mati diracun rejim Israel.

Beberapa pemimpin kanan Chavez sudah lama mendakwa bahawa AS sebenarnya mendalangi satu cubaan menggulingkan Presiden itu pada tahun 2002. Tambahan pula, Chavez kerap memainkan sentimen anti-AS bagi meraih sokongan rakyat.

Sejurus sebelum berangkat ke Cuba untuk menjalani pembedahan Disember lalu, Chavez memetik Maduro sebagai lelaki yang diingini untuk menggantikan beliau.

"Beliau adalah salah seorang pemimpin muda dengan keupayaan terhebat untuk meneruskan, jika saya tidak boleh," ujar Chavez.

Bagaimanapun, Maduro tidak menyebut tentang hasrat untuk bertanding bagi pilihan raya tersebut, tetapi ramai yang menjangka beliau akan menjadi calon Presiden Venezuela bagi Parti Sosialis Bersatu.

Semasa ketiadaan Chavez di pentas politik sejak tiga bulan lalu, Maduro telah mengambil alih pentadbiran negara. Beliau telah berucap pada perhimpunan politik di seluruh negara dan memberitahu perkembangan terkini tentang Chavez melalui televisyen nasional.

Zaman kanak-kanak

Dilahirkan pada 28 Julai 1954 rumah neneknya di perkampungan luar bandar, Sabaneta di wilayah Barinas, Venezuala Chavez merupakan anak kepada pasangan Chavez Hugo de los Reyes dan Elena Frias de Chavez.

Kedua-dua ibu bapanya merupakan guru sekolah rendah kelas pertengahan yang hidup di sebuah perkampungan kecil, Los Rastrojos. Pasangan itu mempunyai tujuh anak.

Keluarga Chavez berasal daripada keturunan Indi-Amerika, Afro-Venezuela dan Sepanyol. Kesempitan hidup yang dilalui menyebabkan Chavez dan adiknya, Adan, dihantar untuk duduk bersama neneknya, Rosa Inez Chavez.

"Walaupun saya hidup dalam kemiskinan ketika zaman kecil, namun saya amat gembira dan bahagia," terang Chavez mengenai zaman kanak-kanaknya.

Memulakan alam persekolahan di Sekolah Rendah Julian Pino, Chavez mempunyai beberapa hobi termasuklah melukis, mewarna, bermain besbol dan meminati subjek sejarah.

Selepas itu, Chavez melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Daniel O'Leary di bandar Barinas sebelum memasuki Akademi Ketenteraan Sains Venezuela pada 1971 hingga 1975.

"Sejak meninggalkan akademi tentera, saya sudah diorientasi ke arah pergerakan revolusi. Saya yang berjaya memasuki akademi elit itu, hanya seorang kanak-kanak berasal dari kawasan perbukitan dengan aspirasi untuk menjadi pemain besbol profesional.

"Empat tahun kemudian, seorang berpangkat leftenan kedua muncul dan mengemudi laluan revolusi.

"Saya yang sebelum ini tidak mempunyai kewajipan kepada sesiapa, tidak tergolong dalam mana-mana gerakan, tidak mendaftar dengan mana-mana pihak, tetapi akhirnya saya tahu ke mana arah yang mahu dituju," ungkap Chavez mengenai perjalanan hidupnya.

- KOSMO!
 

Khamis, Mac 07, 2013

Ustaz Azhar Idrus berlakon filem 'Ustaz, Mung Tunggu Aku Datang' bersama Shiro



Kumpulan Shiro berasa teruja apabila diberi peluang berlakon di samping penceramah motivasi Ustaz Azhar Idrus dalam filem terbaharu arahan Pierre Andre berjudul Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang.

Shiro yang dianggotai oleh Shahrul dan Ajak berkata, selain penampilan Azhar dalam filem itu, mereka juga tertarik dengan skrip yang mengangkat tema keislaman bersama unsur komedi.

"Setakat ini kami masih belum mempunyai adegan bersama beliau namun cukup teruja untuk berlakon di sampingnya kerana filem ini sarat dengan pelbagai pengajaran dan berbentuk keislaman," jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Selain Shiro dan Ustaz Azhar Idrus, filem terbitan syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) itu turut menampilkan pelakon seperti Zalif Sidek dan Along (Raja Lawak).

Dalam pada itu, Shahrul berkata, filem pertama mereka itu adalah projek istimewa bersama MIG dan tidak berhasrat untuk menyertai syarikat produksi itu untuk menguruskan kerjaya lakonan mereka.

Jelas Shahrul, Shiro selesa dengan pengurusan Astro Entertainment yang menguruskan kerjaya seni mereka sejak menjuarai program Raja Lawak musim keenam.

Dalam perkembangan lain, Shahrul berkata, kumpulan Shiro juga akan tampil dengan sebuah single khas buat peminat dan yakin kehadiran mereka sebagai penyanyi dapat diterima ramai.

Kata Shahrul, Ajak akan bertindak sebagai vokalis utama dan dia akan lebih kepada rap dalam lagu itu nanti.

Dalam pada itu selain sedang berada di lokasi penggambaran filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang, Shiro juga akan mengendalikan sebuah program sendiri bertajuk Shiro - Bermulanya Sebuah Cerita selain bertindak sebagai pengacara sebuah program realiti, Tarung Muay Thai untuk saluran Bintang di Astro.

- mSTAR
 

Isnin, Februari 18, 2013

Pelakon Kuswadinata meninggal dunia


Pelakon veteran, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang, 75, meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 5.07 petang 16 Februari 2013 (Sabtu).

Menurut Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, Allahyarham meninggal dunia kerana penyakit buah pinggang dan kanser usus yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

"Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Taman Resmi Jaya, Ampang sebelum dibawa ke masjid Bukit Indah di sini, untuk dimandikan dan dikafankan esok," katanya.

Selain mengalami pendarahan usus, Kuswadinata yang turut mengalami kerosakan buah pinggang sebelah kiri sering dimasukkan ke Hospital Ampang sejak Julai lalu.

Pelakon yang memulakan kerjayanya di Jalan Ampas, Singapura itu meninggalkan balu, Kamariah Mohd. Said, 57, dan empat anak, Jasmine, 27, Hafsham, 26, Irwan, 25, dan Rizal 23.

Antara filem yang berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pelakon hebat lain pada awal 60-an adalah filem lakonannya bersama Allahyarham P. Ramlee, Antara Dua Darjat.

Sumber : UTUSAN


Khamis, Februari 07, 2013

Pelawak veteran Yahya Sulong meninggal dunia


Pelakon veteran, Datuk Yahya Sulong, 85, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 6.45 petang tadi kerana sakit tua.

Allahyarham pernah membintangi filem Semerah Cinta Stilleto, Hantu Dalam Botol Kicap dan banyak lagi. Yahya turut terkenal dengan watak komedi dalam filem era 1980-an.

Beliau juga pernah berkhidmat dalam pasukan polis hutan sekitar 1948.

Yahya menamatkan perkhidmatan sebagai anggota polis pada 18 April 1960 di Balai Polis Ipoh dengan pangkat terakhir disandang adalah Sarjan.

Perkhidmatannya sebagai anggota polis mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, termasuk Pingat Keberanian Kerajaan British yang disampaikan Putera Phillips selaku wakil peribadi Ratu Elizabeth II di Padang Kelab Ipoh, selain Kerajaan Pulau Pinang menganugerahkannya Pingat Jasa Kebaktian dan Kerajaan Sabah bagi Pingat Bintang Kinabalu.

Beliau kemudian dikurniakan Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) oleh kerajaan dan Darjah Keagungan Pahlawan Negara (DKPN) yang membawa gelaran Datuk oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, sebagai mengenang jasanya ketika berkhidmat dalam polis.

- BERITA HARIAN

 

Pakar IT Azli Paat meninggal dunia


Pemenang Anugerah Perdana Menteri 'Best of the Best' APICTA 2012, Azli Paat meninggal dunia akibat deman panas di rumahnya di Bukit Segambut, di sini, malam Rabu.

Azli, seorang pakar dalam bidang teknoloji maklumat (ICT) dan pengasas Ada Vista Sdn Bhd, berusia 46 tahun.

Anak kedua Allahyarham, Ahmad Naim, 23, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada kira-kira pukul 7 malam.

Katanya bapanya mengalami demam panas sejak semalam dan hanya mendapatkan rawatan biasa di klinik berdekatan rumahnya.

Allahyarham meninggalkan balu serta 10 orang anak iaitu enam lelaki dan empat perempuan.

Ahmad Naim berkata jenazah akan dikebumikan di Batu Pahat, Johor, pagi esok.

Azli merupakan pengasas DAPAT SMS dan mySMS 15888 yang mengubah cara orang awam dan organisasi berkomunikasi di antara satu sama lain.

Beliau juga pencetus idea mewujudkan RakanCop di mana orang awam kini dapat bekerjasama dengan pihak polis bagi mencegah jenayah sebelum ia terjadi.Beliau juga berkongsi maklumat mengenai teknologi maklumat di media termasuk menjadi panel penceramah Bernama Radio 24.

Penerbit Bernama Radio 24, Kok Jun Sern, 30, berkata Allahyarham menjadi panel penceramah di stesen radio tersebut dalam satu program berbentuk ceramah, seminar dan perkongsian maklumat serta tips terkini mengenai teknologi maklumat bermula pukul 7.30 pagi setiap hari.

Menurutnya, Azli menjadi panel dalam program berkenaan sejak 2007.

"Allahyarham seorang yang ceria, bijak dan merendah diri," katanya.

Pada majlis Anugerah Teknoloji Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) tahun lepas, allahyarham menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

- BERNAMA


 

Isnin, Januari 21, 2013

Ananda Orang Terkaya di Malaysia Jan 2013


Bilionair telekomunikasi, T. Ananda Krishnan kini bergelar orang terkaya di Malaysia apabila memintas ‘Raja Gula’, Tan Sri Robert Kuok dengan mengumpul kekayaan bernilai RM30.56 bilion.

Menurut kaji selidik akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau, Ananda mendapat lonjakan baharu dari segi kekayaan apabila saham Astro Malaysia Holdings Bhd. disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun lepas.

Menurut kaji selidik itu, Kuok yang memiliki pelaburan dalam sektor perhotelan dan resort, perladangan serta syarikat perkapalan tercicir daripada kedudukan orang terkaya di Malaysia dengan nilai harta berjumlah RM29.4 bilion.

Kuok dinobatkan sebagai orang terkaya di Malaysia pada tahun lalu berdasarkan ranking majalah Malaysian Business dengan harta bernilai RM45.7 bilion tetapi kekayaan itu susut sebanyak RM16.3 bilion pada tahun ini.

Tempat ketiga pula dikuasai tokoh perbankan dari Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow dengan nilai aset berjumlah RM15.1 bilion, meningkat sebanyak RM2.36 bilion berbanding RM12.64 bilion pada tahun lalu.

- KOSMO!
 

Sabtu, November 10, 2012

Majlis Resepsi Dato' Lee Chong Wei dan Datin Mew Choo


Majlis resepsi perkahwinan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan pasangannya Datin Wong Mew Choo berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 1,500 tetamu.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut berkenaan menghadiri majlis yang berlangsung di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir meraikan pasangan mempelai.

Terdahulu, pasangan pengantin turut menyampaikan hadiah istimewa, berupa raket badminton kepada tetamu diraja dan Perdana Menteri.

Nyata gelaran 'wedding of the year' memang sesuai dengan majlis Chong Wei-Mew Choo kerana majlis bermula dengan perarakan masuk pasangan mempelai ke dalam dewan dengan diiringi lagu romantik, 'Colors of The Wind' nyanyian Vanessa Williams.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Chong Wei segak dengan sut lengkap berwarna hitam sementara Mew Choo tampil jelita dengan gaun putih gading.

Hadirin turut disajikan dengan persembahan istimewa daripada bekas juara One In A Milion, Suki dan Man Bai.

Turut ditayangkan video majlis pendaftaran perkahwinan kedua mempelai yang diadakan secara tertutup dengan dihadiri ahli keluarga dan teman rapat mereka.

Antara barisan Menteri Kabinet yang hadir termasuk, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Nadzmi Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong antara tetamu turut hadir.

Selesai makan beradab, upacara memotong kek setinggi enam tingkat dijalankan, kali ini pemain nombor satu dunia, Chong Wei tampil dengan busana berbeza dengan berpakaian sut biru sementara Mew Choo anggun dengan gaun merah.

Sementara itu, teman rapat Chong Wei, L.L Kong menyifatkan perkahwinan tersebut sebagai cukup istimewa kerana temannya itu merupakan juara kebangaan negara.

"Tanpa usaha daripada kedua ibu bapa Chong Wei dia tidak akan dapat berada pada tahap ini.

"Justeru, kita perlu berterima kasih atas galakkan dan sokongan yang diberikan oleh kedua ibu bapanya sehingga dia berjaya menjadi pemain nombor satu dunia lebih daripada 172 minggu," katanya.

Majlis resepi tersebut dapat disaksikan secara online di laman web, Tonton.com.my.

Malam 10 November, satu lagi majlis resepi yang akan diadakan di venue yang sama namun kali ini bagi meraikan atlet sukan dan rakan perniagaan mereka.

- MSTAR

Khamis, November 08, 2012

Heliza Helmi masih solo, mahu terus nikah


SEJAK menyertai rancangan Akademi Fantasia 5 (AF 5) pada tahun 2007, ternyata penyanyi, pelakon dan pengacara Nur Heliza Helmi atau Heliza antara yang masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Dengan statusnya sebagai seorang artis wanita bertudung sejak awal kemunculannya, Heliza juga jarang dikaitkan dengan gosip-gosip hangat terutamanya membabitkan hubungan dengan lelaki.

Bagaimanapun, lumrah menempuhi kehidupan sebagai seorang artis yang cantik dan menjadi perhatian umum, ternyata Heliza tidak mampu mengelak daripada dikaitkan dengan kisah kontroversi.

Antara yang menarik perhatian ramai apabila dirinya dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan seorang VIP bergelar Datuk sehingga ditaja untuk menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Heliza Helmi Production.

Tidak mahu orang ramai terutamanya peminat terus-menerus memberikan sebarang persepsi yang negatif, Heliza dengan tegas menyatakan individu yang dimaksudkan itu sekadar rakan niaga dan tidak pernah menaja syarikatnya itu.

"Saya sedar selama ini ramai yang salah sangka dan ada yang menganggap saya telah ditaja oleh individu yang dimaksudkan itu. Pada hakikatnya ia tidak benar dan individu tersebut salah seorang rakan niaga. Dia tidak terlibat dengan syarikat saya terutamanya memberi tajaan.

"Justeru dengan penjelasan ini, saya berharap cerita sebegini tidak lagi ditimbulkan oleh mana-mana pihak," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Festival Hijab 2012 di Kelana Jaya baru-baru ini.

Menurut Heliza, sehingga kini syarikat yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu itu masih lagi berfungsi dan menjalankan perniagaan membekal barang-barang dan pengubahsuaian bangunan.

"Ketika mula-mula syarikat ini ditubuhkan saya ada merancang untuk menghasilkan filem, namun perancangan tersebut ditangguhkan dahulu. Saya lebih suka memberikan tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan sekarang.

"Tidak dinafikan jadual saya memang padat setiap hari, kerana selain menguruskan syarikat saya juga terbabit dengan pelbagai aktiviti lain seperti menjadi penceramah motivasi dan pengacara televisyen. Mungkin disebabkan itu saya masih lagi tidak mempunyai kekasih," ujarnya berseloroh.

Bercerita lebih lanjut mengenai statusnya sekarang, Heliza mengaku bahawa sehingga kini dia masih lagi tidak mempunyai teman lelaki dan selesa dengan kehidupan sekarang.

Ditanya sama ada dia teringin untuk berumah tangga memandangkan usianya yang kini sudah mencecah 26 tahun, artis kelahiran Kuala Terengganu itu menyatakan dia memang mahu berumah tangga dan mengakui sudah bersedia bergelar isteri.

"Siapa yang tidak mahu berkahwin, apatah lagi melihat ramai kawan-kawan saya yang sudah berumah tangga. Bagaimanapun, saya anggap semuanya itu terserah kepada jodoh.

"Cuma saya tidak mahu menjadi seperti kebanyakan yang dilakukan golongan muda sekarang iaitu bercinta sebelum berumah tangga. Kalau saya mahu serius dengan seseorang lelaki, saya akan terus kahwin dan kemudian bercinta selepas itu," jelasnya.

Berkenaan dengan lelaki pilihannya pula, Heliza meletakkan agama sebagai keutamaan dan seorang suami yang akan mampu membimbingnya ke jalan yang diredai.

Kembali berlakon

Selain bergelar penyanyi dan pengacara, Heliza juga bergelar seorang pelakon dan pernah membintangi sebuah filem berjudul Syurga Cinta dan telefilem Doa Ibu pada tahun 2009.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini Heliza tidak lagi muncul di kaca televisyen dan layar perak, seolah-olah dia seperti sudah tidak berminat lagi untuk bergelar seorang pelakon.

Kini, kerinduan peminat untuk melihat Heliza kembali berlakon terubat apabila dia bakal muncul dengan sebuah drama bersiri Warkah Cinta sebanyak 12 episod dan telefilem berjudul Kun Faya Kun.

"Boleh dikatakan saya sudah menyepi dalam dunia lakonan selama tiga tahun, tetapi itu tidak bermakna saya tidak mahu berlakon lagi kerana keinginan itu masih lagi ada.

"Tidak dinafikan sepanjang tempoh tersebut saya masih mendapat banyak tawaran berlakon, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana jadual penggambaran sering bertembung dengan komitmen saya yang lain," ujarnya.

Mengenai tawaran berlakon pula, Heliza mengakui dia agak selektif dalam memilih setiap tawaran yang diterima dan hanya bersetuju asalkan skrip dan jalan ceritanya sesuai dengan karakter dan penampilannya.

Album sulung

Walaupun dilahirkan daripada sebuah program nyanyian lima tahun yang lalu, sehingga kini Heliza masih lagi belum pernah melahirkan sebuah album penuh.

Menurut Heliza, dia bukannya tidak berminat untuk menghasilkan album terutama buat para peminatnya. Sebaliknya, hasrat untuk menghasilkan album sering tertangguh kerana jadual kerjanya yang agak padat.

"Hanya pada tahun lalu barulah saya berkesempatan menghasilkan tiga buah single iaitu Cuma Aku, Kau Selamanya dan Chord G. Ketiga-tiga lagu tersebut dihasilkan oleh saya sendiri.

"Pada tahun ini pula saya menghasilkan sebuah lagi single yang berjudul Syurga Cinta hasil ciptaan komposer Mohd. Atlas. Mengenai album sulung pula, saya sendiri tidak pasti bila ia boleh dihasilkan, namun perancangan itu tetap ada," ujarnya.

Mengenai konsep album sulung yang bakal dihasilkan, Heliza menyatakan dia mahu tampil dengan album yang mengandungi lagu-lagu dakwah serta memberi pengajaran kepada pendengar dan sekarang ini dia sedang mencari komposer yang sesuai untuk menghasilkan lagu-lagu sebegitu.

- KOSMO!
 

Ahad, November 04, 2012

Farid Kamil - Diana Danielle Selamat Bernikah

\


Aktor dan pengarah filem Farid Kamil tidak menetapkan sebarang syarat atau halangan kepada isterinya aktres Diana Danielle untuk terus berlakon selepas mendirikan rumah tangga pada Sabtu.

Sebaliknya, Farid, 31, berkata perkara yang ditekankan dalam melayari alam perkahwinan adalah Diana perlu pandai menjaga diri dan batas, menguruskan hal ehwal suami dengan baik dan meningkatkan pengetahuan agama.

“Saya tidak tetapkan sebarang syarat untuk dia berhenti berlakon. Apa yang lebih penting, dia perlu tahu menjaga diri sebagai isteri.

"Dia perlu menjaga hal ehwal saya sebagai suami dan meningkatkan pengetahuan dalam ilmu agama,” katanya yang sudah terfikir untuk menyunting Diana sejak tahun pertama mereka berkawan.

Farid berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pernikahan mereka di Hotel Flamingo by the Lake di sini, pagi Sabtu.

Pada 15 Oktober lalu, Farid mengumumkan berita pernikahan mereka pada majlis tayangan filem arahannya berjudul Pe3 di TGV Sunway Pyramid, di sini.

Sebelum itu, pasangan tersebut membuat kejutan apabila bertunang dalam diam pada 2 September lalu selepas tiga tahun bercinta.

Pengarah filem itu berkata, kematangan dan sikap Diana yang berbeza dan ringkas membuatkan dia tertarik untuk memperisterikan wanita berdarah kacukan itu.

“Saya tertarik dengan kematangan dan sikap dia yang berbeza. Walaupun dia masih muda dan hanya berusia 18 tahun ketika kami mula-mula berkawan dulu, dia sungguh matang dan mahu belajar banyak perkara dalam kehidupan.

“Sepanjang berkawan, saya lebih selesa untuk tidak menggembar-gemburkan hubungan kami sehingga pada hari ini akhirnya saya dapat duduk dan bergambar bersebelahan untuk khalayak,” ujarnya dalam nada bergurau.

Diana pula berkata, sikap tenang dan memahami yang dimiliki lelaki itu membuatkan dia selesa dan gembira untuk hidup bersama.

“Dia banyak mengajar saya untuk lebih bersabar dan menyokong aspek mental dan emosi saya dalam apa juga situasi,” katanya yang merancang untuk berbulan madu sambil menunaikan umrah di Mekah.

Mengenai ketiadaan bapa kandungnya Danny Beeson yang gagal dijejaki, Diana berkata, ia bukan perkara penting yang menjejaskan majlis berkenaan.

“Ia bukan perkara penting. Dalam hidup ini apa juga kekurangan kita akan Allah tambahkan dalam bentuk lain.

“Jangan fikirkan apa yang kita tiada, fikirlah apa yang kita ada. Saya bersyukur kerana ibu dan ramai keluarga yang datang merestui hubungan saya dengan Farid.

“Bagi saya, itu yang lebih penting daripada apa yang saya tiada,” katanya yang belum terfikir mengenai soal anak dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu, ibu Diana iaitu Norsiah Ramli berkata, dia belum bersedia memberikan sebarang komen mengenai pernikahan itu kerana masih bersedih kerana terpaksa melepaskan anak tunggalnya itu kepada Farid.

“Saya masih bersedih dan tersentuh kerana harus akur untuk melepaskan Diana yang merupakan satu-satunya anak saya ke tangan Farid.

“Saya berharap Farid akan menjaga Diana sebaik mungkin dan semoga Diana tidak akan melupakan saya selepas bergelar isteri dan ibu pada masa akan datang,” katanya.

Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan dijangka berlangsung pada 30 November ini di lokasi yang akan diumumkan kelak.

Upacara sambut menantu bagi keluarga Farid pula akan diadakan pada 12 Disember depan di Darul Aman Park, Alor Setar, Kedah.

- MSTAR

Rabu, Oktober 31, 2012

Peminat Sazzy Falak Bertambah Kerana Perniagaan 'Online'

Pengacara dan pelakon Sazzy Falak tidak menyangka masih mempunyai kelompok peminalngat yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan bukan hanya golongan “urban” atau penduduk bandar sahaja seperti yang dianggap sesetengah pihak.

Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, 31, berkata, walaupun kurang muncul di televisyen, dia beranggapan penambahan peminatnya mungkin berpunca daripada perniagaan fesyen secara dalam talian (online) iaitu Street Fashion by Sazzy Falak (SFbySF) yang dikendalikan

"Syukur Alhamdulillah, walaupun jarang mengambil tawaran berlakon atau mengacara di televisyen, tetapi orang masih lagi kenal saya.

"Mungkin juga kerana perniagaan SFbySF yang dijalankan, ia sedikit sebanyak membantu mengekalkan nama saya menjadi sebutan ramai," katanya.

Sazzy ditemui pada majlis pelancaran program televisyen OMG di Restoran The Bee, Publika, Petaling Jaya.

Tambah pelakon filem Tolong! Awek Aku Pontianak ini, dia sebenarnya rindu untuk beraksi menerusi lakonan drama, tetapi jangka masa penggambaran yang agak lama menyukarkannya menerima tawaran yang diberi.

"Sebenarnya saya sering mengacara untuk pelbagai majlis korporat serta perkahwinan dan biasanya khidmat saya sudah ditempah seawal satu bulan.

"Dan apabila ada beberapa produksi yang menawarkan saya berlakon dengan tempoh masa yang lama, saya terpaksa tolak,” tuturnya.

Sementara itu, Sazzy bakal muncul di saluran DIVA Universal menerusi program OMG yang dikendalikannya bersama Razif Hashim.

Beritahu Sazzy, program bual bicara itu merupakan sebuah rancangan terbitan tempatan yang pertama disiarkan di saluran antarabangsa tersebut.

"Saya begitu teruja apabila dapat mengendalikan sebuah program yang akan ditayangkan di saluran antarabangsa.

"Tambah pula, teman saya sendiri, Razif mengacara bersama dan ia membuatkan kami serasi mengendalikan program tersebut," ujarnya.

Program itu mengupas topik terkini melibatkan kerja, keluarga, persahabatan dan perhubungan dengan memperkenalkan tiga segmen utama iaitu 'OMG Celebrity', 'OMG Miss Chilled' dan 'Oh My Gaji'.

Artis-artis jemputan seperti Lisa Surihani, Jaclyn Victor, Mizz Nina, Hannah Tan dan Deborah Henry turut mewarnai program tersebut.

OMG yang bersiaran sebanyak 13 episod itu akan bersiaran bermula 5 November ini, setiap Isnin, pukul 7.30 malam di saluran berkenaan.

- MSTAR

Recent Posts