Memaparkan catatan dengan label Mistik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mistik. Papar semua catatan

Ahad, Mei 15, 2011

Imej misteri dalam jentera bomba


KUALA LUMPUR – Seorang pemandu peribadi, Rozaidi Ahmad, 42, terkejut dengan kemunculan imej misteri di dalam gambar yang dirakamnya semasa mengunjungi Hari Bomba Malaysia di Dataran Merdeka di sini baru-baru ini.

Menurutnya, imej tersebut yang menyerupai seorang wanita berambut panjang dikesan pada gambar yang dirakam menggunakan kamera digital pada 7 Mei lalu.

“Kami sekeluarga menyedari imej pelik berkenaan dua hari selepas itu semasa anak sulung saya memasukkan gambar-gambar daripada kamera ke komputer riba.

“Kami terkejut apabila ada imej lain yang menyerupai seorang wanita berambut panjang di dalam jentera bomba,” ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

- KOSMO!

Rabu, Februari 09, 2011

Imej hantu penunggang kuda dekat Dataran Tahrir, Mesir?



KAHERAH - Stesen televisyen MSNBC merakamkan imej hantu dipercayai seorang lelaki yang menunggang kuda dalam rusuhan bagi menuntut Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan di sini pada Khamis lalu.

Imej misteri itu disiarkan dalam lintasan berita mengenai situasi yang berlaku dekat Dataran Tahrir di sini pada awal pagi.

Dalam imej tersebut, bayang penunggang kuda yang berwarna hijau dan bercahaya itu seolah-olah melihat gelagat para penunjuk perasaan membaling batu dan kebakaran kereta di tepi sebatang jalan raya dalam rusuhan itu.

Kuda yang dinaiki lelaki itu kemudian bergerak perlahan-lahan sebelum ia berlari ke langit dan lenyap ditelan kegelapan.

Imej tersebut kini menjadi perdebatan hangat dalam beberapa laman web di Internet mengenai kejadian misteri itu.

Beberapa pengguna Internet yang menyaksikan rakaman video itu menyatakan ia disebabkan oleh cahaya kilat kamera atau pantulan cahaya.

Imej misteri itu juga boleh dilihat di laman YouTube.

- Agensi

Khamis, November 11, 2010

Penulis buku Perubatan Islam Menangkis Kejahatan Makhlus Halus nafi buku punca bunuh


Penulis buku Perubatan Islam Menangkis Kejahatan Makhlus Halus menyangkal dakwaan mengatakan buku tulisannya itu menjadi punca kepada tindakan seorang anak membunuh ibunya di Felda Chini Timur 1, Pahang kelmarin.

Sharhan Shafie yang berkelulusan Bahasa Arab dan Pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir kesal jika ada di kalangan ahli keluarga mangsa mengesyaki isi kandungan buku tulisannya itu telah mendorong pada tindakan suspek yang membunuh ibunya.

Menurut beliau, buku sulung yang ditulisnya itu langsung tidak mengandungi unsur-unsur kurafat yang boleh mendorong seseorang untuk bertindak di luar kawalan termasuk membunuh.

Malah kata Sharhan, dalam proses penulisan buku itu, beliau banyak membuat rujukan kepada tokoh-tokoh agama termasuk mufti dari beberapa buah negeri bagi memastikan buku yang ditulis itu tidak mengandungi perkara yang bercanggah dengan agama.

Beliau memberitahu, tujuan utama penulisan buku yang diterbitkan pada tahun 2005 itu ialah semata-mata untuk berdakwah selain menggalakkan umat Islam yang menghidap penyakit menggunakan al-Quran dan hadis sebagai rawatan.

“Cara terapi al-Quran ini mengelakkan umat Islam menggunakan kaedah rawatan khurafat dan karut serta lebih banyak menghabiskan wang.

“Kalau dilihat, hari ini ramai di kalangan umat Islam yang gemar mengamalkan perubatan mengunakan kaedah menurun dengan jin sebagai pendamping yang salah di sisi agama Islam,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

- KOSMO!

Isnin, Oktober 11, 2010

Menderita dek sihir pelalau


Wanita berusia 44 tahun ini baru bertemu jodohnya dua tahun lalu. Bukan sengaja menolak jodoh atau ingin digelar andartu, namun guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur ini menjelaskan ada satu cerita pahit di sebalik kehidupannya.

“Setiap kali pulang ke kampung dan berkumpul dengan saudara-mara, soalan bila mahu kahwin pasti ditanyakan kepada saya.

“Saya memang tidak pernah berniat untuk menolak jodoh tetapi apakan daya, tidak ada seorang pun yang datang meminang saya, melainkan suami saya sekarang,” kata wanita yang mahu dikenali sebagai Jemilah ini.

Dengan usia yang semakin bertambah, naluri anak perempuan tunggal dalam lima beradik ini sudah lama terseksa. Semuanya dikatakan berpunca daripada sihir pelalau yang dititipkan kepadanya melalui rojak buah 22 tahun lalu.

Yang paling menyedihkan, sihir itu dihantar oleh rakan baiknya sendiri.

Murung

“Benda itu ada dalam diri saya sejak di bangku sekolah lagi. Pada mulanya saya fikir saya lemah semangat dan mudah tertekan, sebab itu saya pernah diserang histeria di sekolah beberapa kali.

“Rupa-rupanya saya ialah mangsa sihir. Saya sendiri tidak tahu tapi keluarga dan rakan-rakan rapat yang beritahu,” katanya.

Menurut Jemilah, semasa proses pengubatan, ustaz yang merawatnya mengatakan dia terkena sihir pelalau.

“Pada mulanya saya tidak tahu telah disihir, malah saya tidak percaya kerana seingat saya, saya tidak mempunyai musuh.

“Namun, selepas beberapa kali meracau dan menjadi pemurung, emak dan ayah tidak senang duduk dan mula mengikhtiarkan pelbagai cara untuk mengubati saya.

“Kebanyakan pengamal perubatan tradisional itu memberitahu saya disampuk benda ghaib, namun tidak dapat dipastikan apakah bendanya.

“Sejak itu, kehidupan saya berubah 180 darjah. Saya lebih suka menyendiri. Tidur malam saya tidak lena kerana rasa seperti ditindih dan sering bermimpi perkara yang mengerikan. Kulit saya mula rasa kering dan pedih.

“Mujur sihir itu tidak menjejaskan pelajaran saya. Kalau diingatkan semula, saya tidak tahu bagaimana saya boleh fokus dalam pelajaran sedangkan fikiran saya selalu runsing ketika itu,” kata graduan Universiti Jordan ini.

Mula terkena sihir pada tahun 1988 pada usia 22 tahun, jin yang dikatakan bersarang dalam tubuh Jemilah hanya keluar pada tahun 1999.

“Saya sudah puas berubat. Dengar saja ada orang yang pandai mengubat, saya pergi. Kadang-kadang sampai tak larat nak pergi berubat.

“Keadaan saya beransur pulih tetapi ‘benda ghaib’ itu masih ada dalam badan,” ceritanya.

“Sampailah pada tahun 1999, saya berubat dengan seorang ustaz di Rawang, Selangor. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa yang tidak pernah putus, dia dapat membebaskan saya daripada sihir tersebut,” imbas Jemilah.

Ditanya bagaimana dia ini mendapat tahu dikenakan sihir pelalau, Jemilah yang berasal dari Klang, Selangor memberitahu, apabila berubat dengan ustaz terbabit, dia pernah meracau.

“Saya tidak sedar apa yang berlaku, tetapi rakan dan emak yang menemankan saya berubat menceritakan semula apa yang terjadi.

“Sebenarnya, selepas ‘dipaksa’ oleh ustaz itu, jin tersebut berterus terang. Siapa yang menghantarnya, melalui cara apa, mengapa dan apa tujuannya,” ujar Jemilah.

Dari situ baru Jemilah tahu segala-galanya.

“Jin yang memasuki badan saya dihantar oleh rakan baik saya. Namanya tidak perlulah saya sebutkan.

“Menurut mereka yang menyaksikan pengubatan itu, jin berkenaan mengaku dia mengacau saya kerana tiga sebab.

“Pertama kerana saya selalu cepat menjawab apabila cikgu bertanya soalan di dalam kelas.

“Kedua, kerana sifat saya yang periang dan disenangi oleh guru dan rakan. Ketiga, kerana saya aktif dalam persatuan dan sering mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan.

“Tujuan saya disihir supaya hubungan saya dingin dengan semua orang yang rapat dengan saya.

“Tidak hairanlah, ramai yang mengatakan muka saya seperti orang kebingungan, mudah marah dan cepat tersentuh,” jelas Jemilah yang baru dua tahun bergelar isteri kepada seorang anak murid ustaz yang mengubatinya dahulu.

Muntah darah

Ceritanya lagi, saat jin itu dikeluarkan, dia memuntahkan semula rojak buah yang dimakan 22 tahun lalu yang diberikan oleh rakannya itu.

Mendalami apa itu sihir pelalau, kata Jemilah, sihir jenis itu digunakan untuk menghalang seseorang terutama perempuan daripada dipinang atau dikahwini.

“Mereka yang terkena sihir pelalau dikatakan lambat menerima jodoh kerana apabila ada lelaki yang ingin berdampingan dengannya, mereka akan nampak muka pesakit pucat seperti mayat ataupun tidak berseri,” tambahnya yang bersyukur kerana keluarga memahami masalahnya dan tidak pernah memaksanya berkahwin.

Walaupun pada mata kasar Jemilah boleh dianggap sudah sembuh dan jauh daripada cengkaman pelalau, dia masih dapat merasakan ada benda lain yang menumpang di tubuhnya.

“Ada masanya saya dapat merasakan saya sedang bertarung dengan makhluk lain dalam diri saya. Saya berharap ia cuma ilusi kerana saya sudah tidak sanggup menanggung seksa disihir lagi.

“Bagi wanita di luar sana, jika anda seorang periang dan keletah anda sering menarik perhatian ramai, seeloknya dikurangkan. Takut ada yang busuk hati,” nasihatnya sebelum meminta diri petang itu.

- KOSMO!

Isnin, Ogos 23, 2010

Trend baru bomoh di Malaysia


KUALA LUMPUR - Pada siang hari, dia memeriksa e-mel pada telefon BlackBerry tetapi pada waktu malam Mazlan Hakim memusnahkan 'hantu jahat' dengan menggunakan al-Quran.

Mazlan merupakan salah seorang bomoh generasi baru di negara ini.

Seperti di kebanyakan kawasan di Asia, kepercayaan kuasa ghaib tersebar luas di Malaysia.

Namun, amalan itu mempunyai kelainan di negara yang didiami majoriti penduduk Islam yang mencampuri perkara ghaib yang dilarang Islam.

Mazlan merupakan salah seorang generasi baru bomoh yang berpendidikan tinggi, memasuki dunia moden dan menghalau hantu dan melakukan pemulihan dengan menggunakan peraturan Islam berbanding menggunakan pendekatan animisme atau teknik lain.

Dia yang berusia 56 tahun telah menjadi bomoh selama 30 tahun.

Mazlan tidak seperti rakan-rakan sejawatannya yang tidak Islamik yang menyatakan mereka menggunakan jin untuk menurut arahan.

Sebaliknya, dia menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk memulihkan dan 'memandu' keluar hantu jahat.

Dengan memakai baju mendedahkan leher dan seluar berwarna coklat, Mazlan memeriksa e-mel di telefonnya.

Dia seperti seorang eksekutif perniagaan tetapi perbualannya mengenai perbuatan hariannya.

"Terdapat dua jenis jin, jin Islam dan bukan Islam," katanya.

"Yang paling jahat ialah jin Islam semasa jin-jin lain keluar dari tubuh apabila saya membaca ayat-ayat dari al-Quran tetapi jin Islam kebal al-Quran menyebabkan saya perlu menggunakan kemampuan telekinetik untuk mengeluarkannya," tambahnya.

Mazlan menyatakan, dia telah melihat makhluk ghaib sejak berusia 15 tahun.

Namun, selepas belajar dengan pakar-pakar agama, dia menajamkan kuasa mindanya dan menguasai teknik telekinetik.

Dia menunjukkan cara penggunaan teknik itu dengan menggerakkan bola ping pong.

Semasa dia menutup kedua-dua matanya dan mukanya berkerut memberikan tumpuan, sebiji bola ping pong di sebuah meja mula untuk bergetar sebelum bergerak secara perlahan ke arah bola lain.

"Ini bukannya satu muslihat, saya menggunakan minda saya untuk menangkap hantu yang merasuk manusia. Ini dan al-Quran memberikan kejayaan kepada saya," katanya.

"Saya mempunyai hampir 100 peratus kejayaan dan ramai pelanggan saya telah dijauhkan daripada hantu atau sumpahan yang menimpa mereka," tambahnya lagi.

Dakwaan seperti itu mungkin dianggap ganjil manakala pihak berkuasa agama di Malaysia terkenal dengan penguatkuasaan keras undang-undang moral dan kerohanian.

Bagaimanapaun, bomoh-bomoh Islam diberikan tolak ansur malah diluluskan sebagai salah satu alternatif kepada amalan ilmu hitam yang masih menjalankan urus niaga yang bercampur dengan jampi.

Majalah-majalah tempatan dipenuhi dengan iklan ubat pengasih dan air jiwa untuk menghentikan pasangan yang menyimpang dan masalah jiran.

Seorang penyelidik kuasa ghaib, Azizah Ariffin menyatakan penduduk Melayu telah lama mengamalkan seni ilmu hitam.

Menurutnya, pada asalnya, ilmu hitam itu berasal dari amalan animisme yang diperkukuhkan dengan kepercayaan Hindu sebelum kedatangan agama Islam di rantau ini.

"Ilmu hitam merupakan sebahagian daripada kehidupan penduduk Melayu selama berabad-abad dengan bomoh kampung masih mengamalkan kepercayaan animisme dan upacara agama terdahulu untuk memulihkan orang ramai," katanya.

"Semasa kedatangan Islam, imam mengambil berat isu kerohanian penduduk.

"Hanya kebelakangan ini, ramai bomoh menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk memulihkan orang ramai," katanya.

Menurutnya, teknik lama seperti membakar kemenyan untuk memanggil jin dan berhubung dengan hantu serta membuat ubat-ubat ajaib kini sudah kurang menjadi pilihan.

"Bomoh-bomoh Islam menggunakan ayat-ayat al-Quran dan mereka tidak merosakkan tetapi membantu memulihkan penyakit serta memindahkan serangan ilmu hitam. Bomoh-bomoh yang tidak menggunakan ayat al-Quran yang menjadi kebimbangan kerana sebahagian sahaja yang melakukan amalan baik manakala yang lain adalah pengamal sebenar ilmu hitam dengan menggunakan amalan animisme," tambahnya.

Seorang ulama terkenal, Mohammad Tamyes Abdul Wahid meminta kerajaan memperkenalkan undang-undang bagi menentang amalan penggunaan ilmu hitam yang menggunakan kemahiran mereka untuk tujuan jahat.

- AFP

Rabu, Jun 02, 2010

Lembaga hantu di tepi tingkap


ROTHESAY, Scotland - Seorang datuk, Harry Ross terkejut melihat wajah hantu menyerupai dirinya tiba-tiba muncul dalam sekeping gambar yang dirakamkan bersama beberapa anggota keluarganya, lapor sebuah akhbar semalam.

Ross, 64, mendapati lembaga itu sedang mengintai dari langsir dan dia yakin wajah tersebut menyerupai dirinya 42 tahun lalu.

"Keluarga saya pun sependapat bahawa wajah itu adalah saya. Ia merupakan satu pengalaman yang menakutkan," kata Ross.

Lelaki itu mengahwini isterinya, Theresa, 60, di Kettering, Northamptonshire pada 1967 dan mereka memperoleh 10 orang cucu serta dua cicit.

Gambar tersebut merakamkan Ross, anaknya, Andrew, 26 dan dua cucu perempuan, Bonnie dan Leah.

- Agensi

Khamis, Februari 25, 2010

Imej hantu budak dirakam


HULL, England - Seorang pekerja pembinaan, John Fores, 47, terkejut apabila dia mendapati gambar yang dirakamkan menerusi telefon bimbitnya memaparkan imej hantu seorang budak lelaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia mendakwa, imej itu dirakamkan di bangunan Sekolah Rendah Anlaby dekat sini di East Yorkshire yang diruntuhkan untuk tujuan pembinaan semula.

Namun, semasa Fores melihat kembali gambar yang telah dirakamkan itu, dia ternampak bayang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia lapan tahun dan memakai topi gelap sedang berdiri memandang ke arah kamera telefon bimbitnya.

"Saya mengambil beberapa gambar selepas waktu tengah hari dan pada waktu itu saya tidak menyedari apa-apa yang aneh.

"Namun, semasa melihat foto tersebut di komputer, saya terpandang imej itu dan bulu roma saya meremang," katanya.

Penjaga sekolah tersebut, Gordon Bradshaw, 54, berkata, bangunan sekolah yang dibina pada 1936 itu mempunyai reputasi sebagai berhantu.

"Saya sudah berada di sini sejak 29 tahun lalu dan ramai budak yang mendakwa mereka pernah ternampak satu lembaga hantu di sekolah ini tetapi saya pula tidak pernah melihatnya," kata Bradshaw. - Agensi

Ahad, Januari 24, 2010

Pontianak Mengamuk di Kuala Ibai; Kerajaan Negeri Campurtangan

KUALA TERENGGANU: Cerita mengenai pontianak mengamuk dan berkeliaran di sebuah kampung di Kuala Ibai sehingga mencetuskan satu fenomena seram memaksa kerajaan negeri campurtangan dengan berkata pembangunan negeri itu akan terbantut sekiranya rakyat asyik bercakap mengenai hantu.

Timbalan Pengerusi Penerangan dan Agama Negeri, Muhammad Ramli Nuh ketika berkata demikian menegaskan, kepercayaan karut seperti itu tidak akan membawa rakyat Terengganu ke hadapan.

Katanya, ia juga akan menjejaskan hasrat dan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan minda dan pemikiran rakyat ke arah kecemerlangan dan kejayaan.

"Kalau iya sekali pun pontianak tu wujud, biarkanlah dia berkeliaran dan tumpukan perhatian kepada pembangunan diri, minda dan negeri," tegas beliau.

Malah menurut beliau, mereka yang menyebarkan cerita pontianak mengamuk ini sebenarnya tidak ada kerja lain yang hendak dibuat dan patut mendaftarkan diri mereka dalam kelas-kelas agama atau menjalankan kerja-kerja yang lebih berfaedah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian seram yang dikatakan melanda seluruh masyarakat Kampung Tok Adis dekat sini minggu lalu yang gempar dengan cakap-cakap kehadiran pontianak pada waktu malam.

Para penduduk kampung berkenaan mendakwa kehidupan mereka telah terganggu oleh kehadiran pontianak sejak majlis gotong royong membersihkan kubur dilakukan, Isnin lalu.

Khabar angin mengenai kehadiran pontianak di kampung itu telah menjejaskan aktiviti harian masyarakat malah berita mengenainya telah tersebar ke seluruh negeri.

- MSTAR