Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan

Jumaat, April 28, 2023

Kenapa strok haba bahaya dan boleh membawa maut


Berita kematian dua kanak-kanak masing-masing berumur 11 tahun dan setahun tujuh bulan di Bachok dan Kota Bahru, Kelantan, Selasa lalu, yang dikaitkan dengan strok haba, mengejutkan ramai pihak.

Ia dipercayai ada kaitan dengan cuaca panas berpanjangan yang dialami negara, terutama negeri di Utara Semenanjung sehingga Ogos ini susulan peralihan Monsun Timur Laut.

Di beberapa negeri seperti Kedah, MetMalaysia mengeluarkan amaran bahawa gelombang panas dengan suhu dijangka meningkat sehingga 37 darjah celcius.

Ibu bapa perlu tahu bahawa punca strok haba yang sebenar adalah peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40 darjah celsius atau lebih tinggi lagi berbanding suhu badan individu normal hanya 37 darjah celcius.

Menurut ciapan pakar kesihatan awam, Dr Ahmad Samhan Awang di Twitter, kondisi itu dikenali sebagai hipertermia.

Strok haba bukan sahaja boleh berlaku kepada manusia tetapi juga kepada haiwan.

Golongan yang berisiko terkena strok haba ialah kanak-kanak, warga emas terutamanya yang mengalami penyakit jantung, buah pinggang, paru-paru atau sedang mengambil beberapa jenis ubatan.

Atlet terutamanya yang selalu berada di padang atau gelanggang terbuka dan terdedah kepada cahaya matahari

Pekerja yang bekerja di kawasan terbuka dan terdedah kepada cahaya matahari, seperti petani, nelayan atau buruh kasar.

Individu yang berada di dalam kenderaan tertutup tanpa penyaman udara dalam tempoh masa yang agak lama.

Gejala strok haba:

- Suhu badan meningkat sehingga 40 darjah celsius atau lebih tinggi lagi
- ️Peluh keluar banyak
- ️Muka berubah merah
- ️Sakit kepala
- ️Mual-mual
- ️Muntah-muntah
- ️Rasa haus yang berlebihan
- ️Air kencing berwarna keruh
- Kekejangan otot pada kaki, lengan atau perut
- ️Jantung berdegup dengan lebih kencang
- ️Ruam merah timbul pada kulit
- ️Pengsan atau tidak sedarkan diri

Cara ibu bapa elak anak terkena strok haba

- Pastikan rumah anda mempunyai aliran udara yang baik bagi mengelakkan anak tersedut karbon dioksida terlalu banyak

- Laraskan suhu penyaman udara kepada 24°C kerana ia sudah mampu mengoptimumkan suhu badan kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke atas

- Elakkan dari membiarkan anak anda tidur dengan berselimut

- Sekiranya anak anda mengadu kepanasan, segera bantu anak untuk turunkan suhu dengan mengelap muka dan badan mereka dengan kain lap yang basah.

Sumber : Berita Harian

Khamis, April 06, 2023

Peningkatan kluster pendidikan: Elak hantar anak bergejala ke sekolah


Ibu bapa dan pengurusan sekolah perlu bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan meningkatkan penjagaan kebersihan termasuk tidak menghantar anak bergejala ke sekolah.

Pengurusan sekolah pula wajar berterusan mengingatkan murid mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri terutama sentiasa membasuh tangan dan menggunakan pembasmi kuman berikutan kes COVID-19 yang meningkat mendadak terutama bagi kluster pendidikan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Aisah Mokhtar, berkata selain itu pihak sekolah juga perlu terus mengingatkan murid mengenai adab batuk yang betul supaya mereka tidak lupa terutama jika tidak memakai pelitup muka.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memastikan anak-anak mereka yang tidak sihat, mendapatkan rawatan segera.

"Jika anak-anak tidak sihat pastikan mereka berehat sahaja di rumah dan elakkan menghantar anak yang bergejala ke sekolah.

"Bagi murid yang sakit di sekolah, pihak sekolah perlu asingkan segera mereka di bilik rehat dengan pemantauan guru sementara menunggu ibu bapa datang untuk mendapatkan rawatan.

"Paling penting ketika ini adalah mengelakkan membawa anak-anak ke tempat padat dan sesak yang boleh mendedahkan mereka kepada dijangkiti virus COVID-19," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, BH melaporkan kes COVID-19 meningkat mendadak, dengan 11 kluster pendidikan dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ketiga belas 2023 (ME13/2023), dari 26 Mac hingga 1 April lalu.

Peningkatan kes dan kluster COVID-19 itu berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac lalu, serta pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti sekolah yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata daripada 11 kluster pendidikan yang dilaporkan, enam kluster membabitkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu tiga kolej dan masing-masing satu sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah.

Lima lagi, katanya, adalah kluster pendidikan lain iaitu empat maktab dan satu TASKA.

Mengulas lanjut, Dr Siti Aisah berkata, langkah kawalan itu bukan perkara baharu dan sudah pernah dijalani sebelum ini iaitu ketika bermulanya pandemik COVID-19.

"Namun mungkin kini kesedaran di kalangan masyarakat umum terutamanya di kalangan kanak-kanak sekolah semakin berkurangan.

"Oleh itu perlu selalu ingatkan murid dan anak-anak kita tentang kepentingan menjadi kebersihan diri dan persekitaran bagi mengelakkan berlaku penularan virus seperti COVID-19," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata antara punca COVID-19 meningkat adalah kerana campur gaul dan tidak lagi memakai pelitup muka di sekolah atau tempat awam.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan perkara yang perlu dibimbangkan memandangkan negara memasuki fasa endemik dan virus itu akan berada di mana mana sahaja.

"Namun dalam keadaan sekarang, dijangka kes akan terus bertambah tetapi tahap kes selalunya adalah rendah iaitu kategori 1 atau 2 sahaja.

"Ini memandangkan kebanyakan remaja juga sudah mendapatkan suntikan vaksin dan mereka yang muda ini selalunya sihat dan sistem imun mereka kukuh lagi," katanya.

Beliau berkata, bagi kes berisiko tinggi di kalangan pelajar seperti mempunyai penyakit diabetis, asma, sakit jantung, tahap imun diri rosak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), mereka perlu diberi lebih perhatian.

Katanya, ini kerana mereka lebih mudah dijangkiti dan jika dijangkiti akan terus berada di kategori yang lebih parah.

"Oleh itu amat penting pihak sekolah atau asrama memantau keadaan pelajar jika ada kes sebegini," katanya.

Berkenaan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah atau fasiliti pendidikan, Prof Dr Sharifa Ezat, berkata buat masa ini tidak perlu diwajibkan lagi.

Namun katanya, bagi pelajar yang mempunyai masalah kesihatan mereka diwajibkan pakai di kawasan sekolah dan fasiliti kesihatan.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Disember 15, 2022

Gangguan hormon berisiko bawa maut

 


Gangguan hormon dikategorikan sebagai tidak berbahaya jika dibandingkan dengan penyakit lain seperti serangan jantung atau strok, namun dalam beberapa keadaan ia boleh mengakibatkan pelbagai penyakit dan berisiko membawa maut.

Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Tuan Salwani Tuan Ismail, masalah gangguan hormon yang paling ketara dan banyak berlaku di Malaysia adalah pada kelenjar tiroid.

Katanya, masalah gangguan hormon bergantung kepada jenis kelenjar yang bermasalah kerana setiap kelenjar menghasilkan hormon tersendiri yang berperanan sebagai penggerak kepada hampir kesemua fungsi badan yang utama.

"Sebagai contoh, jika hormon tiroid terlalu rendah atau dikenali sebagai 'Hipotiroidisme', ia akan menyebabkan berat badan meningkat secara mendadak walaupun sudah mengamalkan pemakanan sihat atau bersenam, penat keterlaluan, tidak tahan sejuk atau sembelit dan dalam keadaan teruk, pesakit boleh pengsan dan keadaan ini dipanggil 'Myxedema Coma'.

"Berbeza pula sekiranya hormon dikeluarkan kelenjar tiroid terlalu tinggi atau dipanggil sebagai 'Hipertiroidisme' ia akan menyebabkan berat badan turun mendadak walaupun selera makan bertambah, sentiasa rasa panas atau jantung berdebar dan apabila tidak dirawat dengan betul, pesakit boleh mendapat satu kondisi yang teruk dipanggil 'Thyroid Storm.

"Hormon boleh bercelaru apabila paras hormon berada dalam lingkungan yang tidak normal sama ada melebihi paras normal atau berkurangan daripada yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan.

"Steroid yang diambil oleh pesakit menyerupai hormon kortisol daripada adrenal. Apabila pengambilan ubat yang mengandungi steroid dalam tempoh lama oleh seseorang tanpa pengawasan pakar perubatan, ia menyebabkan kelenjar adrenal 'tertidur' dan ini boleh menyebabkan kekurangan hormon adrenal secara mendadak dan boleh menyebabkan pesakit 'collapse' sekiranya hormon tambahan tidak diberikan segera," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kekurangan hormon pertumbuhan (GH) pula boleh menyebabkan masalah tumbesaran jika ia berlaku terhadap kanak-kanak.

"Hormon pertumbuhan adalah hormon yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari dan sekiranya berlaku kekurangan hormon pertumbuhan terhadap kanak-kanak kebiasaannya mereka mengalami masalah ketinggian yang tidak seiring dengan usia, lambat akil baligh bagi kanak-kanak lelaki dan lewat haid pertama bagi kanak-kanak perempuan.

"Sekiranya kelenjar pituitari mengeluarkan hormon berlebihan pula ia boleh menyebabkan 'gigantism' pada kanak-kanak dan 'akromegali' pada orang dewasa iaitu tangan, tapak kaki, muka atau anggota badan lain serta organ pada pesakit menjadi besar," katanya.

Katanya, ujian darah adalah antara ujian utama yang akan dilakukan untuk membuat saringan mengenai masalah kesihatan berkait gangguan hormon dan orang ramai disarankan supaya datang ke fasilii kesihatan pada peringkat awal untuk menjalankan ujian saringan.

"Selain itu, pesakit juga digalakkan mempunyai sedikit pengetahuan tentang masalah gangguan hormon sebelum mendapatkan rawatan awal agar pegawai perubatan dapat memberikan diagnosis yang tepat dan rawatan yang betul," katanya.

Sumber : Berita Harian

Rabu, November 23, 2022

Kentut wanita bau tengik, rupanya petanda datang haid

 


Sedar atau tidak, bau kentut wanita lebih 'menyengat' sebelum mereka mengalami menstruasi atau haid.
Mungkin ia kedengaran sebagai sesuatu yang menggelikan hati tetapi sebenarnya situasi tersebut berlaku disebabkan gangguan pada sistem pencernaan tubuh.
Malah gas yang keluar daripada bahagian dubur merupakan petanda bahawa tubuh seorang wanita itu berada dalam kondisi tidak sihat.
Ia berpunca daripada pengambilan makanan berasaskan manisan dan tinggi karbohidrat yang berlebihan ketika menjelang menstruasi.
Pengambilan sumber nutrisi seperti itu menyebabkan hormon progesteron meningkat sekali gus membuatkan keinginan untuk makan berlebihan juga tinggi.
Pastinya anda tidak mengetahui bahawa setiap makanan yang masuk ke dalam tubuh mendorong kepada bau kentut!
Lebih-lebih lagi jika ia berasaskan susu, karbohidrat, serta manisan.
Bagi makanan yang tinggi karbohidrat, kecenderungan untuk anda mengalami sembelit adalah tinggi dan tompokan kotoran dalam usus akan membuatkan bakteria penyebab bau merebak lebih cepat.
Tambahan pula kentut merupakan antara gejala pramenstruasi (PMS) yang dikenali sebagai gastrointestinal.
Menurut Jabatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika Syarikat, gejala gastrointestinal meliputi kembung, cirit birit, sembelit dan buang angin (kentut).
Memetik laporan jurnal BMC Women's Health pada Januari 2014, kira-kira 73 peratus individu mengalami salah satu gejala gastrointestinal sebelum atau semasa menstruasi.
Dengan memerhatikan pola makan, bau kentut menjadi lebih normal jika wanita mengamalkan pemakanan yang tinggi serat kerana ia mendorong proses pencernaan sepanjang tempoh haid. 
Sumber : Okezone

Isnin, Oktober 31, 2022

Kulat 'bersarang' dalam tubuh

 

Rata-rata masyarakat melihat jangkitan kulat hanya berlaku pada permukaan kulit yang menyebabkan seseorang berasa gatal, kemerah-merahan, seterusnya mengalami kurap di bahagian tertentu pada badan.

Namun, mereka yang hidup dengan spora halus kulat dan yang mempunyai sistem imun badan lemah jangkitan kulat boleh memudaratkan kesihatan sehingga ke tahap serius.

Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, yang kini bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr Low Lee Lee, berkata spora halus dibebaskan kulat boleh disedut ke paru-paru menyebabkan iritasi dan radang kepada saluran pernafasan

Katanya, golongan mempunyai sistem imun rendah apabila terdedah kepada jangkitan kuman aspergillosis invasif, boleh membawa maut, jika tidak dirawat segera.

"Aspergillosis invansif biasanya menyerang mereka yang mempunyai sistem imun tubuh lemah. Contohnya, yang menjalani kemoterapi untuk merawat kanser.

"Aspergillosis jenis ini boleh menyerang paru-paru dan merebak ke organ lain seperti otak serta ginjal. Jika tidak dirawat boleh membawa maut," katanya.

Selain pesakit kanser (kanser darah atau leukemia), golongan mudah mendapat jangkitan kulat termasuk yang menjalani transplan sel stem untuk barah darah, melakukan transplan organ seperti buah pinggang.

Disebabkan proses transplan yang perlu dijalani, rawatan ubat diberikan menyebabkan sistem imun tubuh lemah dan senang dijangkiti kulat aspergillosis.

"Pesakit kencing manis tidak terkawal mudah juga terdedah dengan jangkitan kulat secara oportunistik, contohnya mukormikosis, nama saintifiknya," katanya.

Jangkitan kuman kulat boleh menyebabkan kematian

Dr Low Lee berkata, mukormikosis berlaku melalui pendedahan kepada spora atau unsur kulat daripada persekitaran seperti tanah, bahan organik mereput seperti daun, longgokan kompos dan sisa haiwan.

Unsur kulat sangat kecil boleh masuk ke dalam badan menerusi saluran pernafasan (rongga hidung), melalui kecederaan sama ada luka atau calar di kulit, mahupun tertelan tanpa disedari dalam kalangan pesakit tenat atau dengan sistem imun lemah.

"Ini menyebabkan kulat boleh dijangkiti daripada tanah dan boleh dihidu di udara bersama habuk seterusnya merebak ke organ lain, seperti otak, organ limpa, hati, buah pinggang dan mata, melalui saluran pernafasan.

"Oleh itu, individu perlu cuba elakkan kawasan ada banyak habuk seperti tapak pembinaan, penggalian atau jika terpaksa pakai topeng khas.

"Penghidap penyakit kanser darah sedang menerima rawatan, seboleh-bolehnya mengelakkan aktiviti berkebun atau bersentuhan dengan tanah, jika terpaksa pakai perlindungan untuk mengelak kulat merebak melalui luka tanpa sedar," katanya.

Simptom dijangkiti mukormikosis dan aspergillosis sukar dibezakan dengan jangkitan lain.

Jika individu dijangkiti kulat di paru-paru, simptomnya adalah batuk, batuk berdarah dan penat.

Bagi jangkitan kulat di bahagian hidung yang menyerang rongga hidung, simptom seakan-akan masalah resdung seperti hidung tersumbat. Ini menyebabkan mereka mendapatkan rawatan resdung sahaja.

Jika tidak mendapatkan rawatan segera jangkitan kuman mukormikosis dan aspergillosis boleh menyebabkan kematian.

Beliau menjelaskan apabila paru-paru diserang jangkitan kulat ini, ia agak sukar untuk dirawat, manakala jangkitan pada mata boleh menyebabkan buta.

Justeru, kesedaran mengenai kewujudan kulat yang boleh memudaratkan atau lebih teruk perlu diberi perhatian.

"Disebabkan simptom jangkitan kulat ini sukar dibezakan dengan penyakit lain , seseorang yang berisiko tinggi dan ada simptom berlarutan atau simptom tidak hilang selepas mendapat rawatan biasa, sebaiknya pesakit terus mendapatkan rawatan atau nasihat pakar.

"Kesedaran dan pengetahuan membabitkan pelbagai pihak termasuk pengamal perubatan dan orang awam terutama golongan berisiko tinggi supaya pencegahan awal dapat ditangani.

Rawatan penyakit

Beliau berkata, pelbagai kaedah rawatan dijalankan mengikut situasi dialami pesakit.

Jika pesakit menghidapi masalah pada hidung, pakar telinga, hidung dan kerongkong (ENT) akan menjalankan beberapa pemeriksaan seperti memasukkan endoskop dalam rongga hidung untuk mengenal pasti punca penyakit, memastikan tiada ketumbuhan atau kemungkinan diserangi jangkitan kulat.

Kemudian prosedur pengimejan seperti menggunakan mesin pengimejan computerized tomography (CT), resonans magnetik (MRI) atau pancaran radiasi x-ray bagi membantu mengenal pasti jangkitan selain ujian darah selalunya akan dijalankan.

"Seboleh-bolehnya, pakar ENT atau pembedahan akan meneruskan pemeriksaan diagnostik seperti biopsi, bermaksud pengambilan sedikit tisu untuk diperiksa di makmal. Ini prosedur penting untuk mengesan jangkitan," katanya.

Bagaimanapun, individu tidak mempunyai penyakit berisiko tinggi juga boleh terdedah dengan jangkitan kulat, keberangkaliannya lebih jarang berbanding pesakit mempunyai imuniti rendah.

Kaedah rawatan bergantung kepada pesakit. Jika pesakit leukemia dan barah misalnya, pakar perubatan hematologi atau onkologi sebolehnya akan membetulkan sistem imun kembali kepada sekuat yang mungkin.

Penghidap kencing manis pula, perlu mengawal paras gula dalam badan secara optimum.

"Penggunaan ubat antikulat untuk tujuan pembasmian jangkitan kulat adalah cara rawatan yang penting .

"Kaedah rawatan lain termasuk pembedahan bagi mengelakkan kulat terus 'bersarang' di kawasan jangkitan seterusnya mengurangkan risiko yang lebih teruk kepada pesakit," katanya.

Beliau yang juga Jawatankuasa The Malaysian Mycology Interest Group (MMIG), di bawah naungan Malaysian Society of Infectious Diseases dan Chemotherapy (MSIDC), berkata agak mustahil manusia hidup tanpa spora atau kulat tetapi sekurang-kurangnya masyarakat perlu sedar dan peka persekitarannya.

"Jika anda dikelilingi mereka daripada kumpulan berisiko tinggi atau diri sendiri pesakit diabetes, elakkan lakukan aktiviti bercucuk tanam.

"Ini kerana, kebanyakan spora terdapat di kawasan bertanah sehingga benar-benar sihat, memakai perlindungan seperti topeng muka, selain seluar dan baju berlengan panjang bagi mengelakkan jangkitan kulat pada luka tanpa sedar.

"Amalkan kebersihan diri, kerap membasuh tangan dan membersihkan diri bagi mengelak sebarang penyakit kulat dan penyakit berjangkit lain.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts