Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Selasa, November 22, 2016

Budak Lelaki Maut Makan Ubat Darah Tinggi Nenek



Seorang budak lelaki berusia empat tahun maut selepas makan ubat sakit darah tinggi milik neneknya, lapor akhbar utama bahasa Cina.

Ahli keluarga Li Xin Jie merasakan sesuatu tidak kena apabila kanak-kanak itu muntah-muntah dalam kejadian yang berlaku di rumah mereka di Kampung Simpang Durian, Negeri Sembilan pada Jumaat, lapor Sin Chew Daily.

Mereka segera membuat pemeriksaan dengan kanak-kanak itu dan diberitahu bahawa dia telah mengambil ubat tersebut.

Neneknya pula mendapati beberapa biji pilnya telah hilang sebelum mangsa digegaskan ke Hospital Kuala Pilah.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak itu, yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik, meninggal dunia pada hari berikutnya.

- mSTAR

Khamis, Februari 18, 2016

Remaja Ditemui Mati Dalam Kereta Teruja Bercuti Ke Terengganu


"Dia tidak biasa memandu, selalunya kalau berjalan dia hanya naik motosikal dan kawasan yang paling jauh dia pergi pun hanya ke Kota Tinggi," kata Nor Akmah Junoh, ibu kepada Nik Shakir Zufayri Nik Arif yang maut dalam kemalangan kereta di Jalan Mersing-Kota Tinggi Rabu lepas.

Nik Shakir Zufayri dan tiga rakannya maut dalam perjalanan untuk bercuti di Terengganu.

Nor Akmah, 42, berkata Nik Shakir Zufayri amat teruja untuk bercuti di Terengganu memandangkan dia tidak pernah mengetahui keistimewaan negeri pantai timur.

Menurut wanita itu, anaknya pernah bertanyakan kepadanya mengenai tempat-tempat menarik di sekitar Terengganu.
"Saya orang Kelantan tetapi sudah tinggal di Johor sejak arwah (Nik Shakir Zufayri) dilahirkan.

"Kawan-kawannya juga orang Johor dan tidak pernah pergi ataupun tahu mengenai pantai timur.

"Jadi suatu hari, dia bertanya kepada saya, ada apa di sana (Terenggnu) dan dekat mana tempat yang lawa (menarik).

"Saya jawab, pergilah ke Kerteh atau bandar Kuala Terengganu, boleh tengok lampu kelip-kelip pada waktu malam," kata Nor Akmah ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing, di sini, Rabu.

Nor Akmah berkata, tidak lama kemudian, Nik Shakir Zufayri berpakat dengan rakan-rakannya untuk bercuti di Terengganu dan mereka bertolak menaiki sebuah kereta, Rabu lepas.

Menurut ibu itu, Nik Shakir Zufayri tidak menunjukkan sebarang sikap pelik dan sempat bersalaman dengannya, bapanya, serta adik-adiknya sebelum berlepas.

"Anak saya tidak menghubungi keluarga kerana saya tahu dia yang memandu kenderaan sehinggalah pada pukul 12 tengah malam (Rabu), saya tergerak untuk menelefonnya tetapi panggilan itu tidak berjawab," katanya.

Sementara itu, Intan @ Molek Mohd Yusoff, 50, pula berkata anaknya, Abu Izzani Abu Bakar, sempat berpesan akan menghubungi keluarga apabila tiba di Terengganu.

Intan berkata, Abu Izzani merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik dan sangat manja dengan keluarga.

"Dia (Abu Izzani) sempat cakap 'adik pergi dulu', sebelum mencium pipi dan bersalam dengan makcik," katanya.

Terdahulu, Nik Shakir Zufayri dan Abu Izzani serta dua lagi rakan mereka iaitu Muhammad Asyraf Isa dan Luqman Jainie dilaporkan hilang pada Rabu lepas ketika kesemuanya berumur 21 tahun itu dalam perjalanan ke Terengganu.

Difahamkan, mereka menaiki kereta jenis Honda Accord dan terbabas ke tepi jalan sebelum melanggar besi penghadang dan terjunam ke anak sungai di laluan tersebut, kira-kira 11.30 malam.

Kemalangan berlaku di KM42 Jalan Mersing-Kota Tinggi.

Kereta mereka ditemui di dalam anak sungai itu oleh seorang pekerja ladang kelapa sawit, kira-kira 8.10 pagi tadi ketika hendak membersihkan kawasan ladang dan kesemua mayat kemudian ditemukan dalam kenderaan terbabit.

- BERNAMA



Rabu, Oktober 07, 2015

Kereta terbakar kerana isi minyak tidak matikan enjin


Satu rakaman video menunjukkan sebuah kenderaan terbakar akibat pemandunya tidak mematikan enjin semasa mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Pulau Pinang.

Dalam rakaman tersebut, dua orang kanak-kanak melarikan diri dari kereta tersebut selepas pemandunya, seorang lelaki menyedari kereta tersebut terbakar.


Sedikit elektrik statik mencukupi untuk mulakan pembakaran di bahagian pam minyak. Mujur staff stesen ni terlatih, cekap dan pantas bertindak memadamkan kebakaran.


Namun, ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa cetusan api itu terjadi kerana gelombang dari telefon bimbit.

Isnin, September 28, 2015

Jemaah Haji Malaysia Terkorban Dalam Rempuhan Di Mina



Seorang jemaah haji Malaysia disahkan terkorban dalam insiden rempuhan di Mina pada 10 Zulhijjah (24 September 2015) lepas setelah dipercayai tersasar ke kawasan kejadian.
Jemaah haji berkenaan ialah Zulkifly Samad, 50, yang beralamat di Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor. Allahyarham berasal dari Johor.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Tabung Haji (TH) dalam makluman awalnya mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia yang telibat dalam rempuhan itu berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal penempatan jemaah haji.
Pihak Tabung Haji telah membuat semakan dan pengumuman melalui siar raya di khemah jemaah pada 12.30 tengah hari (waktu Arab Saudi) sehingga 3 petang pada hari kejadian. Tiada sebarang aduan daripada waris dan rakan sekhemah berkaitan sebarang kehilangan jemaah (Malaysia) pada hari kejadian,
Asyraf Wajdi berkata pada kira-kira 11 malam (waktu Arab Saudi) hari kejadian itu, isteri Zulkifly, Suriahanim Abd Hamid, telah membuat laporan kepada TH bahawa suaminya tidak pulang ke khemahnya.
Dalam laporan itu, Suriahanim mengakui bahawa suaminya tidak bersama-sama dengan jemaah Malaysia TH dari Muzdalifah kerana mahu berjalan kaki ke Mina sebagai mengikut Sunnah Rasullulah.
Menurut Suriahanim panggilan telefon terakhir yang dibuatnya kepada Zulkifly ialah pada 7.15 pagi, 10 Zulhijjah dan suaminya memaklumkan bahawa beliau selamat tiba di Mina dengan jemaah negara-negara lain dari Muzdalifah.
Asyraf Wajdi berkata selepas menerima aduan Suriahanim, para petugas TH memulakan usaha mencari Zulkifly di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina. Pada 1.30 tengah hari tadi, pasukan perubatan TH melakukan tinjauan di rumah mayat Muaissem di mana mereka telah menemukan satu jenazah sempurna rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu.
Pasukan perubatan TH telah mengesahkan identiti jenazah itu berdasarkan identifikasi yang terdapat pada tubuhnya, kata Asyraf Wajdi. Pihak Tabung Haji mengesahkan bahawa jenazah itu ialah Zulkifly Samad.
Seramai 717 jemaah haji terkorban setakat ini dalam kejadian rempuhan itu yang berlaku di kawasan perkhemahan jemaah negara-negara Arab, yang terletak kira-kira empat kilometer daripada perkhemahan jemaah Malaysia. 

Selasa, Jun 23, 2015

Pemandu penyumbang utama kemalangan di LPT2


Pemandu penyumbang utama kemalangan di LPT2

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini menegaskan bahawa faktor manusia adalah punca utama menyumbang kepada kemalangan di jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2).
  
Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata faktor manusia seperti memandu dalam keadaan mengantuk, memandu melebihi had laju terutama pada waktu hujan, cuai serta gagal mematuhi arahan keselamatan adalah punca utama kemalangan di LPT2.
  
"Daripada 339 kes kemalangan di LPT2 antara 1 Feb hingga 2 Jun lepas, sebanyak 70 peratus atau 238 kemalangan berpunca daripada faktor manusia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
  
Beliau berkata, selebihnya merupakan faktor persekitaran iaitu 19 peratus atau 65 kemalangan termasuk pencerobohan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau serta haiwan liar; juga terdapat lokasi air melintas dan faktor kenderaan sebanyak 11 peratus atau 36 kemalangan.
  
Ismail berkata, daripada jumlah kemalangan tersebut 10 kes adalah kemalangan maut, 25 kes melibatkan cedera parah, 58 kes melibatkan cedera ringan dan selebihnya tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
 
Beliau berkata, permukaan LPT2 berada dalam keadaan yang baik secara amnya, namun terdapat beberapa kawasan berlaku pemendapan terutama berdekatan struktur jambatan dan permukaan lebuh raya yang beralun di beberapa lokasi.
  
"Sebahagian lokasi berlaku mendapan dan beralun telah diperbaiki dan proses pembaikan secara keseluruhan akan dilakukan dalam masa yang terdekat," katanya.
  
Katanya, kerja-kerja penambahbaikan adalah di bawah tanggungan pihak kontraktor asal kerana ia masih dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan.

Dalam pada itu, Ismail berkata LLM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil beberapa tindakan termasuk meningkatkan kekerapan rondaan, membaik pulih pagar rezab yang rosak, mengedarkan risalah kesedaran dan pemasangan papan tanda amaran di lokasi berlakunya pencerobohan haiwan. 
  
"LLM dan JKR juga telah mengenal pasti lokasi air melintas dan selekoh berbahaya dan akan menambah baik permukaan berturap, permukaan lebuh raya serta mengadakan langkah intervensi yang bersesuaian dengan kerjasama pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat," katanya. 

Sumber : Bernama
 

Isnin, Mei 25, 2015

Kereta terbakar di LPT 2 dekat Ajil


Umar Rayyan Suhaimi, enam tahun, pada mulanya enggan berpisah dengan ibu untuk ke Muadzam Shah, tetapi akur bila dipujuk, dan keengganan itu bagaikan alamat yang dia akan pergi selamanya apabila menjadi mangsa kemalangan yang rentung di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Ajil-Bukit Besi pada Ahad, 24 Mei 2015. Kata-kata terakhir kepada ibunya ialah "Goodbye, I love You Ibu" sebelum melangkah pergi mengikut bapa saudaranya menghadiri konvokesyen sepupu rapatnya Nur Syalia Rosli, 23.

Menurut ibunya Zainab Wangai, 34, anak tunggalnya itu memeluk dan mencium seluruh mukanya seperti tidak mahu berpisah dan pada awal paginya telah memberitahu beliau, yang dia mahu tinggal di rumah, menemani ibu kerana tidak mahu tinggalkan ibu seorang diri.

Zainab berkata Umra Rayyan sangat rapat dengan Nur Syalia yang menuntut di Politeknik Muadzam Shah, Pahang dan berkali-kali sepupunya itu berpesan supaya  Umar turut serta menghadiri majlis konvokesyennya.

"Saya agak pelik pagi itu arwah seperi berat hati untuk ke sana dan sebelum itu Umar turut meminta saya belikan hadiah sempena konvokesyen sepupunya itu namun saya tidak sempat dan hanya memberikan wang kepadanya,," katanya.

Zainab yang bekerja di sebuah pusat servis Perodua di Kelantan berkata beliau telah memohon cuti bagi menyertai majlis anak saudaranya itu namun permohonan cutinya ditolak.

Menurutnya pada kira-kira pukul 2 petang kejadian itu, kakaknya Sharifah Wangai, 49, ada menghubunginya memaklumkan kereta yang mereka naiki mengalami kerosakan di LPT2. Namun kira-kira pukul 4.50 petang kakaknya sekali lagi menelefon dan memaklumkan semua meninggal dunia akibat kereta terbakar.

Empat orang termasuk dua kanak-kanak, rentung manakala dua lagi cedera selepas kereta yang dinaiki enam sekeluarga itu terbakar akibat dirempuh sebuah lori kargo yang menuju ke Johor.  


Khamis, April 17, 2014

Karpal Singh Maut Dalam Kemalangan


 Bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, 74, maut dalam kemalangan ngeri di kilometer 301.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gua Tempurung kira-kira pukul 12.40 pagi Khamis.

Turut terkorban ialah pembantu peribadi Karpal iaitu Michael Cornelius, 40-an.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata,  pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak.

Katanya, seorang anak pemimpin pembangkang itu, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV, C.Selvam, 27, tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 12.40 pagi itu.

"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian kanan lori yang sedang bergerak di sebelah kiri laluan itu," katanya.
Beliau berkata lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek itu dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara itu memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.

Ahli Parlimen Gelugor itu dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah.

Anaknya yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo ketika dihubungi menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata Karpal maut ditempat kejadian.

Ng berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.

Operasi menyelamat kesemua mangsa dalam kemalangan itu dibantu anggota Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Twitternya dari Ankara, Turki mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Karpal atas kematian Pengerusi DAP itu.

Beberapa ahli politik termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Twitternya turut menyatakan takziah atas kematian Karpal.

"Kita kehilangan seorang rakan, pejuang yang tidak tahu erti penat serta seorang lagenda keadilan... takziah kepada keluarga," tulis Anwar di Twitternya.

- mSTAR
 








 

Khamis, Ogos 22, 2013

Bas jatuh gaung di Genting Highlands 37 maut



Genting Highlands: Seramai 37 terbunuh termasuk pemandu apabila sebuah bas yang membawa 52 penumpang terbabas dan terhumban ke dalam gaung, di kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, petang semalam.


Seramai 16 penumpang cedera, kebanyakannya parah dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buluh dan Hospital Bentong.

Tragedi itu adalah kemalangan jalan raya terburuk dengan jumlah mangsa paling banyak terkorban di negara ini.

Dalam kejadian jam 2.22 petang itu, bas syarikat Genting Transport yang dalam perjalanan membawa penumpang ke stesen Hentian Pekeliling di ibu negara, dilaporkan gagal dikawal ketika menuruni bukit di laluan sehala, lalu terbabas dan terhumban ke gaung sedalam 67 meter.

Selepas terhumban, bas tersangkut pada pokok, manakala ada penumpang yang tercampak keluar dan ditemui di celah pokok.
Menurut seorang penumpang yang cedera, Nur Fathia Jaafar, 21, bas dipandu melebihi had laju sebelum merempuh penghadang jalan dan berpusing dan terhumban ke dalam gaung.

Rempuh penghadang jalan

Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Soimon Jahid, mengesahkan bas merempuh penghadang jalan sebelum terhumban.

“Berdasarkan siasatan di lokasi, sebahagian besar penumpang tercampak keluar, manakala sebahagian lagi ditemui terperangkap dan tersepit dalam bas.

“Pasukan penyelamat dari Balai Bomba Genting yang tiba di lokasi pada jam 2.30 petang mengesan sebahagian penumpang yang masih hidup di kawasan kejadian sebelum memulakan operasi menyelamat membawa mangsa naik ke jalan raya," katanya ketika di temui di lokasi kejadian malam tadi.

Katanya, hasil perancangan teliti semua agensi keselamatan yang terbabit, operasi menyelamat digerakkan sebelum 16 mangsa yang hidup dapat dibawa naik dan dihantar ke hospital.

“Sehingga jam 8 malam, pasukan penyelamat menemui 37 mayat. Kita belum dapat mengesan jumlah sebenar penumpang kerana hanya 49 tiket disahkan dijual untuk perjalanan berkenaan," katanya.

Operasi menyelamat dan membawa keluar semua mayat dilakukan lebih 450 pegawai dan anggota Bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela dan kakitangan Genting Highlands Resort (GHR).

Turut meninjau operasi menyelamat adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

- BERITA HARIAN

 

Recent Posts