Memaparkan catatan dengan label Kajiselidik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kajiselidik. Papar semua catatan

Rabu, Ogos 15, 2012

Cara suami dan isteri tunjuk cinta berbeza

Satu kajian Universiti Texas mendapati suami dan isteri sama romantik, namun mereka melahirkan perasaan dengan cara berbeza.

Penyelidik di universiti itu menemuramah 168 pasangan berkaitan empat perkara dalam perkahwinan mereka, lapor akhbar The Daily Telegraph Britain kelmarin.
Suami dan isteri disoal secara berasingan mengenai
Dunia
Cara suami, isteri tunjuk cinta berbeza
15/08/2012 - 03:16:03 AM Cetak Emel Kawan
Texas: Satu kajian Universiti Texas mendapati suami dan isteri sama romantik, namun mereka melahirkan perasaan dengan cara berbeza.

Penyelidik di universiti itu menemuramah 168 pasangan berkaitan empat perkara dalam perkahwinan mereka, lapor akhbar The Daily Telegraph Britain kelmarin.
Suami dan isteri disoal secara berasingan mengenai bagaimana rapat dan dekatnya mereka terhadap pasangan selain beberapa soalan berhubung tabiat setiap seorang sejak 24 jam lalu.

Penyelidik mendapati isteri “kelihatan mempamerkan perasaan cinta dengan cenderung menjaga suasana emosi perkahwinan mereka” sementara cinta suami “jelas mencetuskan satu persekitaran yang menarik pasangan bersama-sama dalam aktiviti.”

“Bertentangan dengan tanggapan bahawa wanita lebih cenderung berbanding lelaki menunjukkan kasih sayang menerusi perasaan, suami bertindak sama seperti isteri melahirkan kecintaan mereka dengan melakukannya menerusi tingkah laku hangat dan intim,” tulis penyelidik dalam Buletin Personaliti dan Psikologi Sosial.

- Agensi

Khamis, Jun 14, 2012

Kebanyakan Belia 'Semakin Bermoral' – Kaji Selidik

Satu kajian mendapati golongan belia Malaysia adalah bermoral di mana kebanyakan mereka tidak melibatkan diri dengan aktiviti maksiat seperti judi dan lumba haram.

Tetapi pakar mempersoalkan mengenai ketetapan hasil kajian Indeks Belia Malaysia 2011 oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Laporan kaji selidik itu sendiri menasihatkan supaya berhati-hati untuk menerima hasil itu dalam kategori Salah Laku.

Laporan yang berdasarkan jawapan 6,267 responden dari 13 negeri dan wilayah persekutuan berkata, belia berkata, belia secara konsisten mencatatkan atas daripada 96 mata (bagi skala 0 sehingga 100) dalam enam sub-petunjuk di bawah kategori Salah Laku, menunjukkan perubahan positif berbanding dua kaji selidik sebelumnya pada 2006 dan 2008.

Perubahan paling postif adalah dalam sub-petunjuk “tidak berjudi / tidak terlibat dalam perjudian sehingga terpaksa berhutang”, dengan catatan responden iaitu 99.0 mata – hampir 11 mata meningkat daripada catatan pada 2008 iaitu 88.7 dan lebih tinggi berbanding 2006 dengan 86.6.

Responden turut mencatatkan hampir sempurna dengan 99.0 mata dalam sub-kategori “tidak terlibat dalam lumba haram, satu peningkatan yang mantap daripada 96.3 mata pada 2008 dan 95.4 mata pada 2006.

Turut terdapat peningkatan yang mendadak bagi belia yang mengelakkan seks luar nikah.

Ia juga terdapat peningkatan yang ketara dalam pemarkahan tiga sub-petunjuk lain iaitu tidak minum alkohol, tidak minum alkohol sehingga mencetuskan huru-hara, tidak merosakkan harta benda awam dan tidak mengambil dadah atau bahan larangan.

Bagaimanapun, laporan itu berkata, kajian itu menggunakan penarafan diri, yang mendorong kepada kecenderungan memberikan maklum balas yang diingini orang ramai untuk melihat mereka lebih baik meskipun maklumat responden akan dirahsiakan.

Seorang perunding media, yang enggan dikenali berkata, vandalisme dan lukisan grafiti tidak menular seperti di kebanyakan negara lain.

“Dan tidak seperti belia di Britain yang pergi minum di pesta-pesta, dan belia kita tidak minum sehingga mencetuskan kekacauan,” katanya.

- MSTAR

Jumaat, Mei 18, 2012

Majikan yakin dengan prospek pekerjaan

KUALA LUMPUR 15 Mei - Para majikan yakin dengan tinjauan pekerjaan Malaysia dalam suku kedua tahun ini, kata JobStreet.com.

Laporan Tinjauan Pekerjaan Suku Kedua 2012 menyatakan yang 34 peratus daripada responden menyaksikan prospek pekerjaan kekal sama, sementara 22 peratus lagi merasakan ia boleh jadi sedikit teruk ataupun lebih teruk.

Seramai 633 pelanggan, pengurus dan pengurus kanan seluruh industri di Malaysia telah menyertai kaji selidik yang dikendalikan pada bulan Mei.

Jobstreet.com juga berkata, 28 peratus daripada responden merasakan ekonomi negara tidak berubah, sementara 26 peratus lagi berkata ia bergerak perlahan dengan 19 peratus yakin yang ekonomi negara telah kembali pulih.

Mengenai pengkhususan pekerjaan, laporan itu menyatakan yang mereka dengan kepakaran dalam bidang pemasaran, pembangunan perniagaan ataupun pemasaran jualan paling dicari, disusuli dengan teknologi perisian komputer serta kepakaran perkhidmatan pelanggan.

- BERNAMA

Selasa, April 10, 2012

Pemandu Di Malaysia Kurang Peka Terhadap Soal Keselamatan Kenderaan

Satu kajian menunjukkan pemandu di Malaysia kurang peka terhadap soal keselamatan untuk diri sendiri, khususnya anak-anak mereka.

Berdasarkan penemuan awal, 90 peratus daripada 236 kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah tidak diletakkkan di kerusi keselamatan ketika di dalam kenderaan.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) turut mendapati kira-kira 11 peratus daripada 131 pemandu memandu dengan memangku anak mereka.

Walaupun satu kajian akan dijalankan, penemuan tersebut dipercayai mencerminkan tahap kesedaraan pemandu mengenai keselamatan kenderaan di seluruh negara.

Penemuan itu menunjukkan kesedaran mengenai tahap keselamatan kenderaan merosot sejak kajian dilakukan pada 2004 oleh penyelidik keselamatan jalan raya, Universiti Putra Malaysia, Dr S. Kulanthayan.

Kajian selama lapan tahun itu mendapati 27.4 peratus pemandu menggunakan sekurang-kurangnya satu kerusi keselamatan kanak-kanak berbanding 10 peratus yang diperhatikan pada ketika ini.

Ketua Unit Reka Bentuk dan Instrumentasi Miros, Muammar Quadaffi Mohd Ariffin berkata, kajian terbaru yang dijalankan ke atas 400 kanak-kanak menumpukan cara mereka dihantar ke pra-sekolah.

"Saya terkejut bahawa ibu bapa mendedahkan anak-anak mereka kepada bahaya seperti itu," katanya yang memberitahu pasukan penyelidik melakukan kajian ke atas sembilan pra-sekolah di Kajang sejak awal bulan lalu.

Muammar Quadaffi berkata, pasukan itu mendapati hanya 22 daripada 131 pemandu memakai tali pinggang keselamatan.

Sementara itu, 23 daripada 43 ibu bapa didapati meninggalkan anak-anak mereka di dalam kenderaan lebih dua minit dengan keadaan enjin kereta dihidupkan.

"Mereka menyerahkan barang-barang persekolahan kepada guru terlebih dahulu sebelum mengeluarkan anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata, pasukan itu mendapati 26 daripada 36 penunggang motosikal tidak memakaikan topi keledar untuk anak-anak mereka.

Malah, katanya, hanya empat daripada 41 kanak-kanak menggunakan topi keledar.

Muammar Quadaffi berkata, salah satu sebab kurangnya penekanan terhadap tahap keselamatan adalah sikap pemandu yang percaya kemalangan tidak akan berlaku di kawasan perumahan iaitu lokasi kebanyakan pra-sekolah.

Statistik polis bagaimanapun menunjukkan kadar kemalangan di kawasan perumahan mencatatkan rekod tertinggi pada 2010.

Kira-kira 156 kematian direkodkan, 209 mangsa mengalami kecederaan serius dan 302 hanya cedera ringan.

Kawasan lain seperti kawasan perindustrian, jambatan dan sekolah mencatatkan rekod kematian dan kecederaan terendah.

"Banyak pihak percaya beg udara di dalam kenderaan akan menjamin keselamatan mereka ketika kemalangan.

"Ya, beg udara direka khas untuk melindungi nyawa tetapi jika hanya pemandu dapat mengawal keadaan," katanya.

Mengulas mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak, Muammar Quadaffi berkata," segelintir ibu bapa mengadu bahawa anak-anak mereka tidak akan berhenti menangis apabila diletakkan di dalam kerusi tersebut.

"Saya memberitahu mereka bahawa sekurang-kurangnya anda boleh mendengar mereka menangis. Adakah anda memilih untuk tidak mendengar tangisan mereka lagi," katanya.

- MSTAR

Sabtu, Disember 17, 2011

Rakyat Malaysia Antara Paling Ramai Melawat Amerika Syarikat

Seramai 44,000 rakyat Malaysia telah melakukan kunjungan ke Amerika Syarikat bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai bilangan pelawat kedua tertinggi selepas China.

Konsul Besar di Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Timothy Scherer berkata jumlah kunjungan rakyat Malaysia ke negara itu telah meningkat 20 peratus berbanding tahun lepas.

"Situasi ini membuktikan kepada dunia bahawa tidak ada prasangka terhadap pelancong Malaysia khususnya orang Islam untuk melawat Amerika Syarikat," katanya pada ceramah berjudul "Travel USA-All You Need To Know" di Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di sini.

Katanya, prosedur memohon visa bukan sesuatu yang rumit walaupun ada mitos mengenainya.

"Salah satu tanggapan berhubung sesi temubual yang mana orang percaya ia susah diperolehi.

"Sebenarnya sesi temubual itu singkat dan mudah seperti tujuan lawatan, tempat yang ingin dilawati dan sebagainya...ia perlu dijawab oleh pemohon dan menyakinkan pegawai yang bertugas," katanya.

Lebih-lebih lagi, tidak ada prosedur berbeza untuk memohon visa dan semua pemohon tanpa pegangan agama perlu mengikuti kriteria yang sama.

Scherer menegaskan Kedutaan Amerika Syarikat tidak mendiskriminasikan pelancong yang mempunyai nama Islam kerana nama keluarga adalah biasa dan mereka mempunyai pangkalan data sendiri untuk menentukan profil pemohon.

"Misalnya, ada 20,000 pelajar dari Arab Saudi yang menuntut di Amerika Syarikat," jelasnya.

Beliau juga berkata, tempoh sah visa juga menyebabkan peningkatan jumlah pelancong.

Biasanya tempoh yang diberikan adalah selama 10 tahun berbanding setahun oleh negara-negara lain.

-MSTAR

Gaji pemegang ijazah sarjana RM2,600 sebulan

Kebanyakan pemegang ijazah sarjana muda yang bakal bekerja menjangkakan gaji mereka adalah sekitar RM1,800 hingga RM2,600 sebulan, menurut kaji selidik terbaru Jobstreet.com.

Manakala bagi pemegang diploma, gaji yang diminta adalah sekitar RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.

Menurut kaji selidik itu, dari jumlah 1,830 lepasan universiti berkata, mereka memerlukan purata sebanyak RM700 atau lebih bagi memenuhi keperluan asas seperti perbelanjaan harian termasuk pengangkutan, makanan, sewa dan hiburan.

''Terdapat 29 peratus responden menolak tawaran pekerjaan kerana gaji dan manfaat ditawarkan tidak memenuhi jangkaan mereka.

''Realiti sebenarnya, sebanyak 54 peratus pemegang ijazah sarjana muda menerima gaji seperti yang dikehendaki manakala 35 peratus lagi kurang dari RM1,800 sebulan.

''Manakala sebanyak 37 peratus pemegang diploma menerima gaji kurang dari RM1,200 sebulan iaitu paras lebih rendah dari jangkaan,'' katanya.

Sementara itu, lepasan universiti tersebut berkata, sebab utama menyebabkan mereka tidak diterima bekerja adalah persaingan sengit (32 peratus) diikuti oleh kekurangan kemahiran yang diperlukan (31 peratus).

Sebanyak 23 peratus daripada responden merasakan kelemahan mereka dalam bahasa Inggeris dan selain skil komunikasi rendah (22 peratus) merupakan antara sebab kegagalan untuk mendapatkan pekerjaan.

Dari segi mendapatkan pekerjaan, sebanyak 74 peratus dari 773 lepasan universiti yang sedang bekerja berjaya memperoleh pekerjaan kurang dari tiga bulan dan 16 peratus menerima tawaran pekerjaan sebelum tamat pengajian.

Bagi mereka yang tamat pengajian pada 2011, 65 peratus pemegang ijazah sarjana muda dan 59 peratus pemegang diploma masih belum bekerja dan 70 peratus dari mereka baru sahaja menamatkan pengajian tiga bulan lalu.

- UTUSAN

Sabtu, November 19, 2011

Tinjauan Dapati Remaja Perempuan Mudah Diperdaya Melalui Internet & Telefon Bimbit

Satu tinjauan yang dijalankan telah mendapati, remaja perempuan mudah terpedaya dengan orang yang tidak mereka kenali melalui telefon bimbit dan juga internet.

Tinjuan tersebut yang dijalankan oleh Women’s Centre for Change (WCC) mendapati, 80% daripada 100 remaja perempuan berusia antara 15 hingga 17 tahun dengan mudah menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang yang tidak mereka kenali menerusi telefon bimbit sementara 54% lagi telah bersembang melalui internet dengan orang yang tidak mereka kenali sebelum ini.

Pengarah WCC, Dr Prema Devaraj berkata dalam satu sidang akhbar pada Jumaat, tinjauan lapan bulan itu juga mendapati, wanita muda juga kini dengan mudah terdedah kepada orang yang tidak mereka kenali termasuklah mereka yang mempunyai niat jahat.

“Mereka ini tidak sedar akan bahaya yang mereka hadapi dengan berkongsi maklumat peribadi dengan orang yang tidak mereka kenali. “Malah kebanyakkan mereka tidak faham akan bahaya menjalinkan persahabatan dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini melalui cara bersembang dalam talian atau menerusi telefon," katanya.

Menurut Dr Prema, remaja perempuan dan wanita muda ini mungkin berpendapat adalah masih selamat untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini menerusi talian atau sms kerana tidak bertemu muka.

Bagaimanapun tegas Dr Prema, mereka yang berniat jahat akan dengan mudah memperdayakan remaja dan wanita muda ini secara tidak sedar tanpa mangsa mereka merasa suspek apa-apa.

Ini mereka lakukan dengan memperolehi kepercayaan mangsa mereka terlebih dahulu sebelum mula bertindak ke atas mangsa.

"Kita dapati, sesetengah mangsa rogol telah melalui pengalaman seperti ini," katanya.

Mangsa kemudiannya dengan mudah diugut setelah foto mereka melakukan adegan-adegan yang terlarang jatuh ke tangan penjenayah ini.

Dr Prema juga berkata, tinjauan mereka turut mendapati, satu pertiga daripada perempuan remaja telah diminta mengirimkan bahan-bahan yang menghairahkan atau memiliki unsur seks oleh orang yang tidak mereka kenali ini sama ada menerusi internet atau telefon bimbit.

Tinjauan itu yang dijalankan antara Januari hingga Ogos tahun ini di 10 buah sekolah di sini juga mendapati 17.3% daripada remaja perempuan telah menjalin persahabatan dengan orang yang tidak mereka kenali sebelum itu menerusi telefon bimbit.

Katanya lagi, 29.6% responden yang memiliki telefon bimbit telah terdedah kepada sms atau mms berunsur ghairah atau seksual daripada orang yang tidak mereka kenali.

Pada masa yang sama katanya, 36% responden yang berinteraksi menerusi rangkaian sosial seperti Facebook, Friendster dan MySpace, pula telah terdedah kepada pertanyaan berunsur seksual.

“Kita dapati 23% daripada responden telah berkongsi maklumat peribadi seperti nama sebenar, alamat dan umur dengan orang yang tidak dikenali,” kata beliau.

Hasil daripada dapatan tinjauan ini kata Dr Prema, WCC berhasrat untuk melancarkan kempen keselamatan siber demi untuk melindungi remaja perempuan daripada menjadi mangsa penyalahgunaan internet dan juga telefon bimbit.

“Adalah sama penting untuk ibu bapa mengetahui akan bahaya yang sedang menanti anak-anak remaja mereka jika terdedah kepada penyalahgunaan siber ini.

“Oleh yang demikian WCC mengalu-alukan mana-mana syarikat korporat yang ingin terlibat dalam program pertanggungjawaban sosial berganding bahu dengan kami dalam menjalankan kempen untuk melindungi remaja perempuan daripada ancaman ini," ujarnya.

- MSTAR

Khamis, November 17, 2011

Populariti Najib naik - Kajian UIA

Populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meningkat dengan mantap sejak 2009 tetapi yang sebaliknya berlaku kepada tiga pemimpin utama pembangkang, demikian menurut kajian oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Selain daripada Najib, kajian terhadap populariti lima personaliti kepimpinan di Malaysia yang dijalankan oleh Unit Kajian Media dan Pilihan Raya UIA menunjukkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus kekal popular walaupun berundur pada 2003 manakala Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, menyaksikan populariti mereka merosot.

Prof Datuk Syed Arabi Idid daripada Jabatan Pengajian Komunikasi UIAM, mengetuai kajian itu dari Mac 2008 hingga Julai 2011 bersama penyelaras penyelidikan, Azrul Hisyam Wakichan.

Satu sampel rambang purata 1,500 responden terdiri pengundi Melayu, Cina dan India dari seluruh negara ditanya mengenai kepuasan mereka terhadap kualiti kepimpinan kelima-lima pemimpin itu.

Kajian itu menunjukkan peningkatan dalam populariti Najib adalah hasil usaha berterusan beliau untuk mendekati hati rakyat dan memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cerah.

"Kajian ini dengan jelas menunjukkan responden Melayu, Cina dan India kini menerima Datuk Seri Najib," katanya.

Pada Okt 2008, 35 peratus responden Melayu, 33 peratus Cina dan 41 peratus India menunjukkan yang mereka puas hati atau sangat puas hati dengan Najib tetapi menjelang Julai 2011, penerimaan masing-masing meningkat kepada 59 peratus, 45 peratus dan 62 peratus.

"Hakikatnya rakyat kini lebih bersedia menerima Datuk Seri Najib sebagai pemimpin mereka," kata Syed Arabi yang menjalankan kajian mengenai populariti pemimpin-pemimpin sejak 1989.

Mengenai punca kemerosotan populariti Anwar, Nik Aziz dan Lim, beliau berkata ia banyak berpunca kerana isu-isu semasa dan kegagalan untuk mencapai kata sepakat dalam banyak hal.

Azrul Hisyam, yang menyelaras kajian itu, berkata kajian yang sama mendapati rakyat Malaysia masih memandang tinggi Dr Mahathir dan segala sumbangannya.

Purata 74 peratus daripada responden dalam soal selidik itu menunjukkan mereka menyanjungi Dr Mahathir sepanjang kajian empat tahun itu.

Azrul Hisyam berkata rakyat Malaysia melihat Dr Mahathir sebagai pemimpin yang telah membuktikan kebolehannya dan masih lantang bersuara.

"Mereka melihat beliau sebagai pemimpin teladan," katanya.

- Bernama