Memaparkan catatan dengan label Isu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 05, 2020

Bersaing dalam muafakat sukarkan laluan PN

 

Oleh Dr Ilyas Abdullah

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, 

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub

 

Umum menyedari politik Malaysia didominasi Barisan Nasional (BN) sejak awal merdeka. Namun, kemenangan luar jangka Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membuka lembaran baharu dalam lipatan sejarah politik negara.

Kejayaan PH juga membuka jalan kepada permuafakatan politik secara formal dan serius antara dua parti Melayu terbesar, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebelum disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sebelum PRU-14, sebahagian besar penganalisis politik Malaysia berpandangan sistem demokrasi negara bersifat permuafakatan.

Justeru, wawasan dan personaliti Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO selalunya banyak membentuk corak dan rupa bentuk politik Malaysia.

Gagasan BN dilihat satu formula sangat berkesan dalam membendung gejala kebencian dan persaingan politik berlatarkan isu perkauman.

Konsep perkongsian kuasa antara kaum dalam parti komponen diurus dengan baik melalui pembahagian jawatan menteri dan keanggotaan dalam Kabinet.

Dalam rangka hubungan kaum bersifat terpisah, aspek persaingan tidak dapat dielakkan. Justeru, hubungan yang wujud lebih bersifat 'memampas'.

Aspek pampasan ini mampu mengendurkan semangat persaingan berlebihan. Kuasa politik didominasi Melayu menerusi UMNO melalui instrumen paksaan negara seperti polis dan tentera berhasil membentuk kestabilan politik.

Taburan kerusi pada peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga ditentukan pucuk pimpinan tertinggi BN dikuasai UMNO.

Bagi elit politik daripada parti komponen bukan Melayu, mereka menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk mengagihkan sumber bagi menaungi kaum masing-masing.

Selepas enam dekad, keputusan PRU-14 menyaksikan UMNO tidak lagi menjadi parti dominan dalam Kerajaan Persekutuan.

Hari ini, UMNO bersama beberapa parti lain sekali lagi membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan dan kali ini dengan majoriti sangat tipis di Dewan Rakyat, iaitu 113 kerusi berbanding 109 kerusi yang dikuasai PH.

Kedudukan ini mendatangkan masalah dalam soal pembahagian kerusi untuk pilihan raya seterusnya.

Jika mana-mana parti komponen menarik diri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), maka negara berkemungkinan berhadapan pilihan raya dan kerajaan sekali lagi berada dalam keadaan tergantung.

Gabungan PN tidak mempunyai parti yang benar-benar dominan. Justeru, sesetengah penganalisis mengatakan pembentukan PN hanya semata-mata untuk kestabilan politik negara.

Hubungan terbentuk adalah persefahaman menstabilkan politik negara susulan kemelut politik dicetuskan kelompok elit tertentu daripada dalam dan luar PH.

UMNO turut bertegas, bahawa ia tidak mempunyai sebarang ikat janji dengan mana-mana parti lain dalam PN, termasuklah BERSATU dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Namun, UMNO mempunyai kerjasama teratur dengan PAS untuk membentuk gabungan mantap bagi memenangi pilihan raya. Dua parti ini mempunyai kekuatan seimbang di negeri majoriti Melayu seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Cabaran mungkin berlaku dalam soal pembahagian kerusi menjelang pilihan raya. PAS turut membuat perkiraan untuk bertanding di 40 kawasan Parlimen merangkumi negeri majoriti Melayu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tiada ruang diberikan kepada parti itu disebabkan faktor landskap politik yang dikira tidak begitu mesra kepada parti itu.

PAS turut bertegas supaya rakan komponen PN turut bertolak ansur soal pembahagian kerusi dalam PRU-15 nanti.

UMNO, PAS dan BERSATU mempunyai segmen pengundi sama, iaitu Melayu-Islam. Justeru, kemungkinan untuk berlaku bibit konflik pasti wujud.

PN masih gabungan yang rapuh. Ternyata, kejayaan mengurus ancaman pandemik COVID-19 menyelamatkan gabungan ini buat sementara waktu.

Ada kemungkinan akan berlakunya konflik antara parti gabungan selepas berakhirnya COVID-19 khususnya hal berkait perebutan kuasa.

Memandangkan setiap parti ada kekuatan hampir setara, elemen 'memampas' tidak lagi berkesan bagi meredakan persaingan sesama rakan komponen.

Sekiranya terdapat mana-mana parti memilih jalan keluar daripada gabungan, maka PN mungkin runtuh seperti runtuhnya PH.

Pembentukan kerajaan PN dirasakan masih gagal menyelesaikan krisis perebutan kuasa antara elit politik.

Lantas, perjalanan PN tidak mudah kerana terpaksa berkongsi kuasa tanpa ada suatu pun parti dominan.

Setiap parti cuba menuntut keistimewaan dan hak lebih khususnya membabitkan pelantikan menteri dalam Kabinet.

Hal ini berbeza sama sekali dengan formula BN selama enam dekad lalu yang menyaksikan bagaimana UMNO begitu dominan dalam menyusun atur pecahan kerusi dalam pilihan raya dan jawatan Kabinet secara pampasan dengan parti komponen lebih kecil, sekali gus berjaya mengelakkan persaingan. 

- Berita Harian

 

 

Khamis, Oktober 26, 2017

Isu Komen Ejen Insurans Mengenai Rawatan HKL




Seorang ejen insurans berang dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang didakwa melayan anak pelanggannya yang melecur akibat terkena air rebusan ketupat 'lebih teruk dari binatang'.

Ejen berkenaan yang mendakwa anak pelanggannya itu melecur 75 peratus dan dihantar ke HKL turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah unit rawatan kebakaran hospital itu yang disifatkan masih ditakuk lama.

“Dressing scrap kulit untuk bagi kulit baru tumbuh dibuat hidup-hidup tanpa bius. Kau sanggup dengar anak kau menjerit meraung sementara kau tidak dibenarkan masuk (bilik rawatan). 

“Layanan mereka lebih teruk dari binatang. Kerana banyak binatang dilayan dengan begitu baik dan penuh kasih sayang,” katanya menerusi beberapa ‘posting’ di laman sosial baru-baru ini sehingga ia tular.

Dia turut mendakwa bahawa doktor mendapati terdapat jangkitan terhadap pesakit kanak-kanak itu yang telah dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya dan terpaksa melalui prosedur baharu termasuk pelbagai proses lain yang dibuat selepas dibius.

Menjadikan kisah pelanggannya sebagai modal, ejen dari sebuah syarikat insurans terkenal itu telah meminta orang ramai membuat persediaan dari segi insurans perubatan untuk anak-anak.

“Kemanusiaan hari ini semua datang dengan duit. Persiapkan anak anda dengan insurans perubatan kalau anda faham segalanya boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kalau tak sanggup serah anak kat tangan-tangan kasar... bayar insurans sikit, antara RM150 dan RM200 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain menjelaskan bahawa pesakit yang dimaksudkan adalah kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang hanya melecur 10 peratus dan bukan seperti yang didakwa ejen tersebut, dalam satu kejadian pada 21 September lalu.

Katanya, pesakit diberikan rawatan segera di bawah Unit Rawatan Kebakaran Institut Pediatrik, dan turut dirujuk kepada disiplin-disiplin yang lain kerana rawatan kebakaran memerlukan pendekatan secara holistik dan multidisiplin untuk mengoptimumkan perawatan.

“Pesakit telah diberikan rawatan sewajarnya iaitu cucian luka di wad mengikut rutin yang telah ditetapkan oleh pakar yang merawat termasuk pembersihan luka yang dijalankan di bilik pembedahan dengan pembiusan.

“Selain itu, pesakit diberikan ubat tahan sakit secara berkala dengan ubat-ubatan yang bersesuaian di wad bagi memastikan pesakit selesa. Antibiotik juga diberikan untuk menghindarkan dan merawat jangkitan kuman,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Walaupun mustahil untuk pesakit tidak berasa sakit mahupun trauma, Dr Zaininah memberitahu rawatan dan ubat tahan sakit mampu mengurangkan kesakitan tersebut.

Katanya, satu tarikh ditetapkan untuk pesakit menjalani ‘superficial skin grafting’, tetap waris memilih untuk discaj sebelum prosedur bagi pesakit mendapatkan rawatan susulan di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya kerana mahukan keselesaan terutama dari segi waktu lawatan. 

Mengikut protokol HKL, hanya ibu bapa atau penjaga dibenarkan melawat dan hanya ibu atau penjaga wanita sahaja yang dibenarkan menjaga pesakit di wad, malah ibu bapa juga tidak dibenarkan berada di bilik rawatan semasa prosedur dijalankan. 

“Protokol ini perlu mereka patuhi bagi memastikan persekitaran wad sentiasa bersih untuk mengurangkan jangkitan kuman kepada pesakit lain yang juga menerima rawatan kebakaran dan kelecuran di unit tersebut,” katanya.

Dr Zaininah turut menegaskan bahawa pesakit yang dikeluarkan dari hospital pada 12 Oktober lalu mengalami luka yang bersih dan bertambah pulih sebelum menyambung rawatan di pusat perubatan lain.

Sehubungan itu, beliau menafikan semua tuduhan pemilik laman Facebook berkenaan sehingga ia tular di media sosial.

“Kenyataan yang dilemparkan adalah tuduhan palsu dan telah mencemarkan imej Hospital Kuala Lumpur,” kata Dr Zaininah.

Sehingga berita ini ditulis, mStar Online sedang menunggu maklum balas daripada syarikat insurans yang dikaitkan dengan dakwaan ejen tersebut.

Prudential Balas Isu Layanan HKL 'Lebih Teruk Dari Binatang'

Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap ejen insurans syarikat itu yang mendakwa layanan Hospital Kuala Lumpur (HKL) 'lebih teruk dari binatang'.

Menerusi kenyataan kepada mStar Online, PAMB kesal dengan dakwaan yang dibuat seorang ejen di bawah agensinya sambil memberi jaminan kepada HKL dan orang ramai bahawa kenyataan yang dibuat itu tidak mencerminkan nilai dan kualiti dalam penyampaian perkhidmatan syarikat terbabit.

“Kita telah memulakan siasatan dan akan memastikan proses yang sepatutnya diikuti sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

PAMB mengulas mengenai dakwaan seorang ejen insurans berang dengan HKL di atas layanan terhadap pelanggannya yang melecur akibat terkena air rebusan ketupat 'lebih teruk dari binatang', yang kini tular di media sosial.

Menurut PAMB, pihaknya telah menghantar surat kepada HKL bagi membuat permohonan maaf berhubung perkara yang berlaku dan telah mengambil tindakan segera untuk memadamkan ‘posting’ yang dibuat oleh ejen berkenaan.

Menerusi beberapa ‘posting’ di laman sosial pada 21 Oktober lalu, ejen insurans yang mendakwa dirinya dari PAMB mendakwa anak pelanggannya melecur 75 peratus dan mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah unit rawatan kebakaran HKL yang disifatkan masih ditakuk lama.

Ejen tersebut turut mendakwa bahawa doktor mendapati terdapat jangkitan terhadap pesakit selepas dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya dan pesakit terpaksa melalui prosedur baharu termasuk pelbagai proses lain dibuat selepas dibius.

“Dressing scrap kulit untuk bagi kulit baru tumbuh dibuat hidup-hidup tanpa bius. Kau sanggup dengar anak kau menjerit meraung sementara kau tidak dibenarkan masuk (bilik rawatan). 

“Layanan mereka lebih teruk dari binatang. Kerana banyak binatang dilayan dengan begitu baik dan penuh kasih sayang,” dakwanya sambil menjadikan kisah pelanggannya sebagai modal meminta orang ramai mendapatkan insurans perubatan.

- mSTAR

Hospital Awam Tak Guna Semula Alat Perubatan Pakai Buang



Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menafikan laporan yang mendakwa hospital kerajaan menggunakan semula alat perubatan pakai buang kononnya kerana kekurangan dana.

Sebaliknya beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mementingkan aspek keselamatan pesakit dan standard perkhidmatan jagaan kesihatan.

“Kesemua barang guna habis dan peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan bagi pesakit dengan penyakit bawaan Darah akan dibuang setelah digunakan mengikut tatacara yang ditetapkan.

“KKM memandang serius dakwaan ini yang kemungkinan telah disiarkan dengan niat untuk mensensasikan perkara ini atas sebab-sebab  tertentu. Didapati laporan ini telah memetik sumber yang tidak  dinamakan dan melaporkan seolah-olah KKM tidak mempedulikan aspek keselamatan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan lebih daripada sekali, namun peranti tersebut perlu menjalani proses semula melalui kaedah pembersihan dan pensterilan sebelum ia boleh digunakan semula untuk beberapa kali.

Dr Noor Hisham berkata KKM telah menerbitkan garis panduan Polisi dan Prosedur Kawalan Jangkitan berkaitan perkara itu dan ia perlu diguna pakai oleh pengamal kesihatan dalam amalan klinikal mereka termasuk sebahagian besar barang guna habis dan peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan bagi pesakit kategori lain.

Beliau menambah amalan itu telah lama dipraktikkan di Malaysia dan ia tiada kaitan dengan aspek kewangan dan peruntukan bajet.

“Malahan amalan pemprosesan semula adalah juga menjadi satu kebiasaan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia dan di negara maju misalnya Amerika Syarikat, negara Eropah dan negara OECD (Organisasi untuk Kerja Sama dan Pembangunan Ekonomi,” katanya.

Beliau menjelaskan hasil kajian tinjauan yang dijalankan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan mendapati 37 peratus daripada 40 hospital swasta di Malaysia turut melaksanakan penggunaan semula atau pemprosesan peranti perubatan kegunaan tunggal iaitu sama seperti diamalkan di hospital kerajaan.

Tegas beliau perkara utama yang harus dititikberatkan dalam amalan itu adalah aspek kawalan jangkitan dan keselamatan pesakit di mana perkara berkenaan tidak boleh dikompromi. 

- BERNAMA


Rabu, Disember 25, 2013

Isu gaji lelaki dan wanita

kreatif dan pemasaran besar di Malaysia membayar gaji pekerja lelaki pada purata 27 peratus lebih tinggi daripada wanita, manakala firma yang lebih kecil dalam bidang sama menawarkan gaji yang sama, demikian mengikut hasil satu kaji selidik.

Mengikut kaji seilidik font, sebuah agensi pengambilan pekerja, wanita didapati memperoleh 10 peratus kurang daripada lelaki dalam sektor dikaji, tetapi mereka yang kekal dalam pekerjaan mereka selama sembilan hingga 10 tahun lebih cenderung untuk mencapai gaji yang sama berbanding dengan rakan lelaki mereka.

Pengarah Serantau Asia font Karin Clarke berkata, gaji lebih rendah di syarikat kecil berbanding syarikat besar, tetapi budaya berkenaan cenderung untuk meletakkan lebih nilai terhadap kesaksamaan.

Font membuat tinjauan terhadap 4,350 peserta dengan 988 daripadanya rakyat Malaysia, membandingkan gaji berdasarkan saiz syarikat, tahun pengalaman, jantina dan kelayakan, di seluruh sektor pengiklanan, pemasaran, kreatif dan multimedia.

Di semua empat sektor itu, wanita yang mempunyai pengalaman lebih daripada sembilan tahun memperoleh gaji purata sembilan peratus lebih daripada rakan lelaki mereka.

Namun, kajian itu mendapati lelaki dengan pengalaman 16 hingga 20 tahun didapati memperoleh lebih daripada wanita.

Kajian itu juga mendapati wanita lebih cenderung untuk bertukar tempat kerja.
Wanita akan meninggalkan pekerjaan mereka jika ditawarkan kenaikan 10 peratus, manakala lelaki tidak akan meninggalkan kerja mereka kecuali ditawarkan kenaikan 16.7 peratus.

- BERNAMA

Posted in

Ahad, Oktober 06, 2013

Perkahwinan bawah umur meningkat

Di Malaysia, dari segi undang-undang, kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun tidak boleh memandu atau membeli rokok.

Mereka juga tidak boleh menonton filem tertentu atau pergi ke kelab malam. Tetapi mereka boleh berkahwin - dan ia sah di sisi undang-undang.

Malah, semakin ramai yang berbuat demikian, berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Pada tahun 2012, terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin, di mana satu pihak, kebiasaannya bakal pengantin perempuan, adalah lebih muda berbanding usia yang dibenarkan dalam undang-undang berkahwin.

Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan itu.

Ini merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim.

Mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Malaysia, bersama-sama dengan lebih daripada 90 negara-negara lain, menerima pakai satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan perkahwinan awal atau paksa kanak-kanak, pada Majlis Hak Asasi Manusia minggu lepas.

Bagaimanapun, data JKSM menunjukkan bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah sangat berleluasa di Malaysia.

Sisters in Islam (SIS) berkata adalah mengejutkan apabila perkahwinan kanak-kanak masih wujud di negara ini kerana kelemahan undang-undang perkahwinan dan kepercayaan yang berterusan bahawa kanak-kanak perempuan perlu dibenarkan berkahwin apabila mereka mencapai akil baligh.

"Kami berdiri bersama-sama PBB bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah berbahaya kepada kanak-kanak dan anak gadis, khususnya terdedah kepada penderaan, masalah kesihatan, masalah dalam mengakses pendidikan dan kehilangan zaman kanak-kanak dan remaja," kata Pegawai Undang-Undang SIS Kartina Mohd Sobri.

Memandangkan bilangan yang ketara, kerajaan perlu mengkaji semula peruntukan-peruntukan dalam undang-undang Syariah, adat dan sekular yang kini membenarkan kanak-kanak perempuan di bawah umur 18 tahun untuk berkahwin, kata Penasihat Program United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia Saira Shameem.

"Kita perlu membangunkan alternatif dan pilihan yang lebih progresif yang akan membolehkan anak-anak kita sepenuhnya mencapai tahap potensi mereka.

"Terdapat juga risiko terhadap kesihatan fizikal kanak-kanak perempuan yang berkahwin dan hamil terlalu awal.

"Hasilnya, hari ini di Malaysia kita mempunyai kanak-kanak perempuan bawah umur yang mati kerana komplikasi kesihatan ibu semasa bersalin," katanya.

"Ini tidak boleh diterima, dan usaha-usaha perlu diambil untuk menyediakan alternatif dan pilihan yang sebenar untuk menyelamatkan nyawa orang-orang muda."

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Haji Othman Mustapha, berkahwin pada usia awal "tidak dilarang dalam Islam tetapi pasangan yang berkahwin perlu cukup matang untuk memahami bahawa perkahwinan datang tanggungjawab yang besar".

"Pasangan itu perlu tahu bahawa mereka telah bersedia untuk kehidupan di alam perkahwinan dan bahawa mereka telah dilengkapi dengan pengetahuan yang betul, terutamanya maksud dan peranan sebenar sebagai suami atau isteri dalam Islam. Paling penting, mereka perlu memahami sebab sebenar mengapa mereka berkahwin," katanya.

"Jika ia semata-mata untuk memuaskan nafsu seksual mereka, mereka perlu tahu bahawa ia tidak akan membawa kepada penyatuan yang bahagia dan berkekalan."

Beliau menegaskan bahawa Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) menyatakan bahawa umur minimum undang-undang untuk kanak-kanak lelaki Islam adalah 18 tahun, dan anak-anak gadis Islam 16 tahun.

"Mereka yang berusia lebih muda dibenarkan untuk berkahwin dengan kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah selepas kedua-dua belah ibu bapa membuat permohonan untuk melangsungkan upacara perkawinan anak mereka," katanya.

"Perkahwinan dan memulakan sebuah keluarga adalah satu tanggungjawab yang besar, sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan," kata Othman, sambil mengakui persoalan sama ada anak-anak muda hari ini mampu untuk mengendalikan perkahwinan pada usia muda timbul.

"Tetapi Mahkamah Syariah akan membuat penilaian yang teliti terhadap kesediaan mereka," katanya, sambil menambah Mahkamah Syariah juga akan melakukan pemeriksaan terhadap ibu bapa sebelum memberi kelulusan.

- mSTAR

Posted in