Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

Jumaat, April 07, 2017

Kenyataan Perkahwinan Perogol Dengan Mangsa Disalahertikan - Shabudin



Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya berkata kenyataannya berkaitan isu perkahwinan perogol dengan mangsa yang tular sejak semalam tidak tepat dan disalahertikan.
Katanya, laporan media yang menunjukkan dirinya menyokong perkara itu diambil dari luar konteks, kerana penekanan sebenar beliau adalah peruntukan undang-undang sedia ada yang tidak menghalang perkahwinan dalam usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki.

"Mengikut enakmen Islam, mana-mana gadis yang hendak berkahwin bagi yang berumur 16 tahun dan ke bawah hendaklah mendapat kebenaran wali dan mahkamah, manakala bagi lelaki bawah umur 18 tahun yang juga ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

"Ini bermakna enakmen Islam tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada wali bagi membenarkan berkahwin di bawah usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, kes jenayah rogol yang dilakukan itu tetap menjadi kesalahan jenayah dan terpulang kepada pihak polis dan mahkamah dalam menentukannya.

Pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Dewan Rakyat pada Selasa, Shabudin dilaporkan antara lain mencadangkan perkahwinan antara mangsa rogol di bawah umur dengan perogolnya mungkin boleh mengubati masalah sosial.

Cadangannya itu telah disalahertikan oleh sesetengah media dan menjadi tular serta menerima kecaman pelbagai pihak.

Shabudin juga berkata hujahnya itu turut merujuk kepada kes rogol yang diklasifikasikan oleh undang-undang sebagai rogol statutori iaitu atas persetujuan bersama, yang banyak berlaku dalam realiti masyarakat.
"Dalam menyelesaikan perkara tersebut, keluarga cuba menutup malu dan tidak membuat laporan polis serta akhirnya membuat keputusan untuk mengahwinkan mereka. Walaubagaimanapun perkahwinan itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh pihak wali tetapi perlu mendapatkan kebenaran mahkamah Syariah terlebih dahulu," katanya.

Beliau turut menegaskan tiada apa-apa peruntukan undang-undang malah hukum syarak, yang menghalang mereka daripada berkahwin.

Dalam pada itu, contoh umur sembilan atau 12 tahun yang turut menerima kecaman itu adalah soal aqil baligh dan ia tidak terhad kepada kedua-dua umur itu sahaja, katanya.

"Tetapi pihak media dalam laporan mereka menyatakan seolah-olah saya mengatakan perempuan yang berumur sembilan tahun boleh berkahwin tanpa mengambil kira soal aqil baligh," katanya.

- BERNAMA

Khamis, Disember 26, 2013

Ikan Terdampar Di Lahad Datu Bukan Kerana Gempa Bumi - Jabatan Meteorologi


KOTA KINABALU: Jabatan Meteorolgi Malaysia tidak mengesan sebarang pergerakan kerak bumi di sekitar Lahad Datu, yang dikaitkan dengan fenomena ribuan ikan tamban terdampar di pantai Kampung Tambisan Tungku, pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sabah Abdul Malek Tussin berkata berdasarkan sistem amaran awal tsunami, keadaan dasar laut di kawasan berkenaan juga seperti biasa.

Bagaimanapun jabatan ini tetap memantau pergerakan kerak bumi terutama di dasar laut di kawasan terbabit, katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Datuk Rayner Stuel Galid berkata kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku di Sabah.

"Selalunya ikan tamban ini berada di tengah laut, jarang di tepi pantai," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar pegawai ke kawasan berkenaan bagi melakukan siasatan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Mat Shamsuddin pula berkata pasukan keselamatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana alam.

Dalam kejadian 8 hingga 9.30 pagi itu, ribuan ikan tamban seolah-olah naik ke darat dan menarik perhatian masyarakat setempat dengan ada antara mereka menganggap fenomena tersebut sebagai petanda bencana alam seperti tsunami.

- BERNAMA
 


Sabtu, Ogos 17, 2013

Seluruh dunia kepanasan

Sama ada kita sedar atau tidak, gelombang suhu panas akibat pemanasan global nampaknya sedang melanda seluruh dunia.

Beberapa negara dilaporkan melalui suhu panas berpanjangan seperti di Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Penduduk Eropah misalnya, berhadapan cuaca panas luar biasa untuk bulan kedua berturut-turut sejak Julai lalu, sekali gus meningkatkan kadar penggunaan tenaga di rantau itu.

Di Jerman, suhu negara itu meningkat sebanyak 8 darjah Celcius pada 1 Ogos lalu berbanding sebelumnya.

Manakala sesetengah kawasan di United Kingdom mencatatkan suhu sehingga 32 darjah Celcius, tahap tertinggi yang pernah dicatatkan sepanjang tahun ini.

Pakar-pakar meteorologi berpendapat, fenomena cuaca panas melampau akan berterusan di seluruh Eropah sepanjang bulan ini sebelum beransur-ansur berkurangan seperti sediakala.

“Antara punca utama gelombang panas di Eropah ialah pemanasan suhu permukaan laut merentasi seluruh Atlantik Utara,” kata Bradley Harvey, ahli meteorologi di MDA Information Systems Inc. yang berpangkalan di Gaithersburg, Maryland, AS.

Bagi penduduk di negara-negara terlibat, kehadiran musim panas ini dimanfaatkan sebaik mungkin dengan pelbagai aktiviti menarik bersama teman atau keluarga.

Justeru, tidak hairanlah apabila banyak kawasan tumpuan seperti pantai, taman rekreasi dan kolam air pancut sesak dengan pengunjung.

Ada yang bersantai, bermandi-manda dan tidak kurang juga berjemur sambil menikmati pancaran terik matahari.

Selain manusia, suhu panas turut memberi kesan kepada haiwan di zoo.

Haiwan seperti anjing laut, penguin dan burung flamingo enggan berganjak dari kolam kerana mahu terus menyejukkan badan.

Beberapa pihak pengurusan zoo juga menyediakan ketulan ais yang dibekukan bersama buah-buahan untuk diberikan kepada haiwan di bawah jagaan mereka bagi mengelak berlakunya penyahhidratan sepangang musim panas ini.

- KOSMO!



Selasa, Mac 26, 2013

ESSZONE mula berkuat kuasa 25 Mac 2013 di Sabah

Kerajaan mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) berkuat kuasa semalam meliputi 10 daerah sebagai asas perundangan kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) yang ditubuhkan sebelum ini.

Ia membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962.

Pengisytiharan ESSZONE diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada upacara perbarisan peringatan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Beliau berkata, ia ditadbir Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah ditubuhkan mengikut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal Menteri Dalam Negeri dan dipengerusikan Ketua Menteri Sabah dengan dibantu seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Bukan isytihar darurat

Katanya, jawatankuasa yang beribu pejabat di Lahad Datu akan bertanggungjawab kepada satu Jawatankuasa Pemantau yang dipengerusikan beliau selaku ketua kerajaan.

Katanya, penubuhan ESSZONE bertujuan memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah, mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam serta kesejahteraan di timur negeri itu.

“Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan timur Sabah, seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan.

“Ia bukan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Oleh itu, rakyat di kawasan timur Sabah jangan gusar dan takut keluar mengundi serta menggunakan hak mereka mengikut Perlembagaan,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa peraturan diwujudkan di bawah ordinan itu tidak memberikan kuasa tambahan kepada polis kerana kuasa sedia ada sudah memadai menangani situasi berkenaan.

Kesejahteraan hidup

Di samping itu, sesiapa yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah menerusi proses perundangan. Namun, pengisytiharan itu tidak jejaskan kehidupan rakyat, sebaliknya peningkatan kawalan keselamatan bertujuan memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes membabitkan pengganas di Sabah ketika ini ialah akta membabitkan prosedur semata-mata.

“Ia tidak digubal sebagai akta memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagi setiap tangkapan di bawah SOSMA, pertuduhan dibuat menggunakan undang-undang biasa dan dibicara di mahkamah seperti kes jenayah lain,” katanya.

ESSCOMM diwujudkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari lalu. Ops Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac lalu, berjaya membunuh 67 pengganas setakat ini.

- BERITA HARIAN


Isnin, Mac 25, 2013

PBB akui Sabah sebahagian Malaysia

Malaysia tidak akan melayan hasrat ketua kumpulan pengganas, Jamalul Kiram III untuk membawa isu pencerobohan di Lahad Datu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana Sabah diakui sebahagian daripada Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, perkara itu juga jelas termaktub dalam keputusan Suruhanjaya Cobbold 1963 yang menentukan majoriti rakyat Sabah bersetuju agar negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia.

"Oleh itu, Sabah merupakan negeri yang merdeka dalam Malaysia dan pihak dari luar yang menceroboh negeri merupakan musuh negara.

"Mereka tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong serta kedaulatan undang-undang Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta perasmian Dewan Hajjah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat di Bagan Datoh, Perak.

Dewan tersebut dinamakan sempena nama arwah ibu Ahmad Zahid, Tuminah Abdul Jalil.

Laporan akhbar hari ini memetik portal akhbar The Manila Times.net bahawa Jamalul Kiram sedang menyiapkan kertas tuntutan mahkamah untuk menyaman kerajaan Malaysia sebanyak RM77.8 bilion atas dakwaan membangun dan merampas Sabah secara haram.

Ahmad Zahid berkata, adalah sesuatu yang pelik apabila sebuah kumpulan pengganas yang menyerang dan membunuh tentera sesebuah negara, tiba-tiba hendak mengambil tindakan saman ke atas negara berkenaan.

"Mereka yang menceroboh negara dan membunuh anggota keselamatan kita, bermain kotor angkat bendera putih kemudian serang hendap menembak anggota kita dengan kejam dan kini mereka hendak saman kita pula," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid juga menyangkal dakwaan Jamalul Kiram kononnya pasukan keselamatan negara sedang cuba membawa masuk anggota komando ke Filipina untuk membunuhnya.

Menurut beliau, pemimpin pengganas itu sengaja berbuat demikian sebagai mainan psikologi semata-mata untuk meraih simpati para penyokongnya.

"Saya minta Jamalul Kiram jangan khuatir, kita tidak sejahat dia untuk melakukan pembunuhan di negara orang. Jangan bermain psikologi bagi meraih simpati.

"Kalau ditakdirkan dia dibunuh orang lain, jangan ada tuduhan bahawa perkara itu dilakukan oleh komando Malaysia. Kita tidak akan masuk ke negara orang semata-mata untuk membunuh seseorang. Kita minta Jamalul Kiram tolong duduk diam," tegas beliau.

- UTUSAN