Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

Selasa, Mac 26, 2013

ESSZONE mula berkuat kuasa 25 Mac 2013 di Sabah

Kerajaan mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) berkuat kuasa semalam meliputi 10 daerah sebagai asas perundangan kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) yang ditubuhkan sebelum ini.

Ia membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962.

Pengisytiharan ESSZONE diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada upacara perbarisan peringatan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Beliau berkata, ia ditadbir Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah ditubuhkan mengikut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal Menteri Dalam Negeri dan dipengerusikan Ketua Menteri Sabah dengan dibantu seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Bukan isytihar darurat

Katanya, jawatankuasa yang beribu pejabat di Lahad Datu akan bertanggungjawab kepada satu Jawatankuasa Pemantau yang dipengerusikan beliau selaku ketua kerajaan.

Katanya, penubuhan ESSZONE bertujuan memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah, mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam serta kesejahteraan di timur negeri itu.

“Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan timur Sabah, seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan.

“Ia bukan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Oleh itu, rakyat di kawasan timur Sabah jangan gusar dan takut keluar mengundi serta menggunakan hak mereka mengikut Perlembagaan,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa peraturan diwujudkan di bawah ordinan itu tidak memberikan kuasa tambahan kepada polis kerana kuasa sedia ada sudah memadai menangani situasi berkenaan.

Kesejahteraan hidup

Di samping itu, sesiapa yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah menerusi proses perundangan. Namun, pengisytiharan itu tidak jejaskan kehidupan rakyat, sebaliknya peningkatan kawalan keselamatan bertujuan memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes membabitkan pengganas di Sabah ketika ini ialah akta membabitkan prosedur semata-mata.

“Ia tidak digubal sebagai akta memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagi setiap tangkapan di bawah SOSMA, pertuduhan dibuat menggunakan undang-undang biasa dan dibicara di mahkamah seperti kes jenayah lain,” katanya.

ESSCOMM diwujudkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari lalu. Ops Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac lalu, berjaya membunuh 67 pengganas setakat ini.

- BERITA HARIAN


Isnin, Mac 25, 2013

PBB akui Sabah sebahagian Malaysia

Malaysia tidak akan melayan hasrat ketua kumpulan pengganas, Jamalul Kiram III untuk membawa isu pencerobohan di Lahad Datu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana Sabah diakui sebahagian daripada Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, perkara itu juga jelas termaktub dalam keputusan Suruhanjaya Cobbold 1963 yang menentukan majoriti rakyat Sabah bersetuju agar negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia.

"Oleh itu, Sabah merupakan negeri yang merdeka dalam Malaysia dan pihak dari luar yang menceroboh negeri merupakan musuh negara.

"Mereka tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong serta kedaulatan undang-undang Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta perasmian Dewan Hajjah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat di Bagan Datoh, Perak.

Dewan tersebut dinamakan sempena nama arwah ibu Ahmad Zahid, Tuminah Abdul Jalil.

Laporan akhbar hari ini memetik portal akhbar The Manila Times.net bahawa Jamalul Kiram sedang menyiapkan kertas tuntutan mahkamah untuk menyaman kerajaan Malaysia sebanyak RM77.8 bilion atas dakwaan membangun dan merampas Sabah secara haram.

Ahmad Zahid berkata, adalah sesuatu yang pelik apabila sebuah kumpulan pengganas yang menyerang dan membunuh tentera sesebuah negara, tiba-tiba hendak mengambil tindakan saman ke atas negara berkenaan.

"Mereka yang menceroboh negara dan membunuh anggota keselamatan kita, bermain kotor angkat bendera putih kemudian serang hendap menembak anggota kita dengan kejam dan kini mereka hendak saman kita pula," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid juga menyangkal dakwaan Jamalul Kiram kononnya pasukan keselamatan negara sedang cuba membawa masuk anggota komando ke Filipina untuk membunuhnya.

Menurut beliau, pemimpin pengganas itu sengaja berbuat demikian sebagai mainan psikologi semata-mata untuk meraih simpati para penyokongnya.

"Saya minta Jamalul Kiram jangan khuatir, kita tidak sejahat dia untuk melakukan pembunuhan di negara orang. Jangan bermain psikologi bagi meraih simpati.

"Kalau ditakdirkan dia dibunuh orang lain, jangan ada tuduhan bahawa perkara itu dilakukan oleh komando Malaysia. Kita tidak akan masuk ke negara orang semata-mata untuk membunuh seseorang. Kita minta Jamalul Kiram tolong duduk diam," tegas beliau.

- UTUSAN


Khamis, Mac 21, 2013

Pengganas Sulu Amal Ilmu Hitam, Mayat Cepat Reput

Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, tetapi berdasarkan tanda-tanda yang ditemui pada mayat pengganas itu, mereka menggunakan ilmu kebatinan yang berunsur syirik.

Antara benda-benda berunsur syirik yang ditemui pada mayat pengganas ialah tangkal yang mereka percayai boleh menjadikan anggota militan kebal dan takwim bagi meramal hari yang sesuai untuk menyerang pasukan keselamatan.

Menurut sumber pasukan keselamatan, terdapat pengganas yang mati ditembak memakai tangkal dan mempunyai tatu ayat al-Quran di badan.

"Mereka mungkin kebal dengan peluru tetapi tidak setiap masa. Malah jika kulit mereka tidak lut namun letupan mortar mampu membunuh mereka," katanya.

Beliau berkata ada satu mayat pengganas yang mempunyai kesan hitam dipercayai kesan peluru namun kemungkinan kematian pengganas itu disebabkan luka dalaman akibat bunyi dan letupan mortar. "Peliknya pengamal ilmu batin ini, mayat pengganas cepat busuk dan dihurungi ulat dalam tempoh sejam. Jika manusia biasa ulat akan hurungi mayat itu jika dibiarkan lebih dari dua atau tiga hari," katanya.

Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Sabah Mejar Anuar Mat Zin berkata Islam melarang menggunakan ilmu kebatinan yang boleh menyekutukan Allah dalam menegakkan sesuatu perjuangan kerana ia lari daripada landasan agama.

Beliau berkata perbuatan itu boleh merosakkan akidah sekaligus menjadikan perjuangan mereka adalah perbuatan sia-sia. "Perbuatan memuja sesuatu ilmu seperti untuk kebal adalah salah di sisi Islam, Islam tidak menerima perjuangan seperti itu biar apapun niat dan matlamatnya," katanya yang turut terlibat dalam Operasi Daulat dalam membanteras kumpulan pengganas itu.

Beliau berkata soal ajal dan maut adalah di tangan Allah dan tiada siapa atau kuasa yang dapat mengubahnya. Pengganas yang didakwa menggunakan ilmu batin untuk kebal turut memakai tangkal dan kad meramal hari, iaitu ilmu Kutika yang dipelajari daripada buku Tajul Muluk dan perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Itu mungkin kepercayaan mereka," katanya selepas ditemui pemberita di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini pada Rabu.

Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi pula menyifatkan amalan kebatinan pengganas tidak melambangkan mereka seorang pejuang jihad seperti yang cuba digembar-gemburkan pihak tertentu di negara ini.

"Menurut Islam adalah haram bagi mana-mana pihak yang ingin mengganggu-gugat negara yang berdaulat, iaitu pemimpinnya dipilih oleh rakyat dengan kerelaan hati mereka.

"Tetapi ia dibenarkan jika kedaulatan negara terancam seperti Palestin kerana ia demi mempertahankan kedaulatan negara itu yang telah dirampas," katanya yang menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan adalah satu jihad kerana mempertahankan negara berdaulat.

- BERNAMA

Selasa, Mac 19, 2013

Bagaimana Proses Pilihanraya Dilaksanakan



1) Pembubaran Dewan

Apabila Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan, SPR akan menerima pemakluman rasmi yang dihantar oleh Yang DiPertua Dewan atau Speaker kepada SPR. Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR mempunyai tempoh selama 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

2)Persiapan

Bagi tujuan menetapkan tarikh penamaan calon, pengeluaran undi pos, pengundian awal dan tarikh pengundian, SPR akan mengadakan mesyuarat yang dihadiri oleh semua anggota SPR. Sebelum itu, SPR akan mengundang semua wakil kementerian/jabatan/agensi kerajaan dan swasta di peringkat pusat untuk mendapatkan kerjasama mereka dalam membantu SPR mengadakan pilihan raya. Mereka turut dipelawa memberikan pandangan bagi memudahkan SPR menetapkan tarikh-tarikh pilihan raya.

Apabila tarikh tersebut telah ditentukan, SPR akan mengumumkan tarikh-tarikh tersebut dalam media massa. Seterusnya, writ atau surat kuasa akan diserahkan kepada semua Pegawai Pengurus yang akan membantu SPR menguruskan pilihan raya di bahagian-bahagian pilihan raya di mana mereka dilantik. Kebiasaannya, mereka yang dilantik adalah dalam kalangan Pegawai-Pegawai Daerah atau Yang DiPertua Majlis-Majlis Daerah. Pemilihan mereka disebabkan keupayaan mereka mengawal jentera-jentera kementerian/jabatan/agensi kerajaan di peringkat daerah atau kawasan pentadbiran mereka.

Setelah itu, SPR akan mengeluarkan notis memaklumkan tarikh, masa dan tempat penamaan calon selain mempelawa mereka yang berminat untuk hadir menyerahkan pencalonan mereka pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan. Sementara menunggu hari penamaan calon, Pegawai-Pegawai Pengurus akan mengadakan mesyuarat penyelarasan di peringkat bahagian pilihan raya dengan semua wakil kementerian/jabatan/agensi kerajaan dan swasta bagi mendapatkan bantuan dan kerjasama mereka dalam pengendalian urusan pilihan raya yang bakal diadakan. Pegawai-Pegawai Pengurus turut melantik dan melatih petugas-petugas yang akan melaksanakan urusan pilihan raya di Pusat-Pusat Mengundi.

3) Penamaan Calon

Apabila tiba hari penamaan calon, Pegawai-Pegawai Pengurus akan membuka kaunter penerimaan kertas penamaan calon. Kebiasaannya, tempoh penyerahan kertas penamaan calon adalah dari jam 9.00 pagi hingga jam 10.00 pagi. Dalam pilihan raya kali ini, urusan pameran dan bantahan ke atas kertas penamaan calon tidak lagi diadakan. Selain itu, tiada lagi peluang untuk menarik diri dibuka untuk calon selepas muktamadnya penyerahan kertas penamaan pada jam 10.00 pagi. Ini bermaksud, Pegawai Pengurus akan memeriksa kelayakan calon dan kesempurnaan kertas penamaan calon dan memuktadkannya selepas jam 10.00 pagi. Selepas itu, Pegawai Pengurus akan mengumumkan sama ada terdapat pertandingan di bahagian pilihan raya tersebut. Sekiranya terdapat pertandingan, Pegawai Pengurus akan mengumumkan nama calon-calon yang akan bertanding serta tarikh-tarikh pengundian.

4) Tempoh Berkempen

Kempen adalah medium untuk memperkenalkan calon, ideologi politiknya serta pelan perancangan beliau atau partinya untuk membangunkan bahagian pilihan raya di mana beliau bertanding. Tempoh berkempen bermula dari pengumuman terdapatnya pertandingan oleh Pegawai Pengurus pada hari penamaan calon dan berakhir jam 12.00 malam sebelum hari pengundian. Bagi tujuan memastikan kempen dilaksanakan secara aman dan teratur, SPR telah menubuhkan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh ejen-ejen calon yang bertanding. Kempen boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara bagi menjelaskan kepada masyarakat pengundi tentang kelebihan calon agar beliau dipilih mewakili masyarakat setempat dalam pilihan raya tersebut. Tugas PP-KPR adalah bagi memastikan semua jenis medium kempen sama ada secara bersemuka atau melalui bahan kempen tidak menyentuh sensitiviti perkauman atau menjejaskan perpaduan dan permuafakatan masyarakat. Keputusan PP-KPR untuk mengenakan tindakan terhadap sesuatu ceramah atau bahan kempen dilakukan secara bersama oleh semua ahli PP-KPR termasuk oleh ejen-ejen calon yang menganggotai pasukan tersebut.

5) Hari Pengundian

Kebiasaannya, bangunan sekolah akan dijadikan sebagai Pusat Mengundi dan bilik-bilik darjah akan dijadikan sebagai Tempat Mengundi. Kawasan sekitar 50 meter daripada pagar sekolah adalah zon larangan kecuali bagi pengundi dan para petugas. Zon larangan ini disediakan bagi memberikan keselesaan kepada para pengundi. Selain pihak polis yang menguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan pengundi, petugas-petugas yang dibenarkan berada dalam Pusat Mengundi adalah Penyelia Pusat Mengundi, Pemandu Arah Pusat Mengundi, dan Kerani-Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Mereka ini bertugas di luar bilik darjah dengan cara membantu pengundi-pengundi menyemak lokasi Tempat Mengundi mereka, dan menunjukkan lokasi tersebut selain membantu mereka yang uzur dan kurang upaya. Di dalam Tempat Mengundi (bilik darjah) pula, Ketua Tempat Mengundi dan kerani-kerani pengundian ditugaskan melaksanakan proses pengundian. Semasa hari pengundian, semua petugas dikehendaki datang awal bagi mempersiapkan Tempat Mengundi. Ejen-ejen yang dilantik oleh calon juga dibenarkan masuk awal ke Tempat Mengundi. Peranan ejen adalah bagi memerhati perjalanan pengundian. Sebelum Tempat Mengundi dibuka, Ketua Tempat Mengundi akan menutup dan memeteraikan peti undi di hadapan ejen-ejen yang hadir. Pada jam 7.50 pagi, Pusat Mengundi akan dibuka dan para pengundi bolehlah menyemak lokasi Tempat Mengundi mereka di barung SPR. Selepas itu, mereka bolehlah terus ke Tempat Mengundi masing-masing dan beratur di luar Tempat Mengundi tersebut. Sebelum pengundian berlangsung, Ketua Tempat Mengundi akan mengisi butiran buku kertas undi ke dalam Borang 13. Butiran yang diisikan adalah butiran tempat dan Pusat Mengundi selain bilangan serta nombor siri kertas undi yang akan digunakan. Ia merupakan satu prosedur standard bertujuan memastikan kesahihan bilangan kertas undi yang akan diguna pakai dengan kertas undi yang rosak atau tidak dikembalikan. Ejen-ejen calon juga dibenarkan untuk memeriksa kandungan Borang 13 ini. Sejurus sebelum pengundian dimulakan, Ketua Tempat Mengundi akan memberikan taklimat ringkas kepada kerani-kerani pengundian dan ejen calon tentang perjalanan pengundian dan perkara-perkara yang dibolehkan dan tidak boleh dilakukan sepanjang proses tersebut.

6) Proses Pengundian

Sebaik jam 8.00 pagi Tempat Mengundi akan dibuka dan pengundi akan dibenarkan masuk. Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pengundi adalah menyerahkan kad pengenalan dan slip semakan kepada Kerani Pengundian Pertama. Kerani akan menyemak nama pengundi dalam daftar pemilih dan meminta pengundi bergerak ke hadapan Kerani Pengundian Kedua. Kerani Pengundian Kedua akan meminta pengundi meletakkan jari di atas pad yang disediakan untuk proses calitan dakwat kekal. Dakwat kekal dicalitkan di atas permukaan jari telunjuk tangan kiri pengundi. Sekiranya pengundi tiada jari telunjuk, dakwat kekal akan dicalit di mana-mana jari tangan kiri sebelum beralih ke jari tangan kanan sekiranya tangan kiri pengundi tidak mengandungi sebarang jari . Sesudah jari dicalit, Kerani Pengundian Pertama akan meneriakkan nama pengundi untuk disemak oleh ejen-ejen tempat mengundi yang hadir. Ejen-ejen tempat mengundi akan hadir memerhatikan perjalanan proses pengundian daripada bermulanya proses tersebut sehinggalah tamat proses pengiraan undi. Ejen-ejen tempat mengundi turut menggunakan buku daftar pemilih yang sama dengan Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian dan Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Selepas nama diteriakkan, pengundi akan diberikan kertas undi oleh Kerani Pengundian Ketiga. Kertas undi ini dicapkan dengan tanda pengenalan Tempat Mengundi. Setelah menerima kertas undi, pengundi bolehlah beredar ke petak undi untuk menandakan kertas undinya. Pengundi perlu menandakan 'X' pada petak disebelah nama calon pilihannya. Seterusnya, kertas undi tersebut perlu dimasukkan ke dalam peti undi. Pengundi perlu segera beredar keluar daripada Tempat Mengundi sebaik sahaja memasukkan kertas undinya ke dalam peti undi. Proses ini akan terus berlangsung sehingga jam 5.00 petang iaitu masa Tempat Mengundi ditutup.

7) Proses Mengira Undi

Sebaik sahaja Tempat Mengundi ditutup, Ketua Tempat Mengundi akan menutup bukaan/mulut peti undi dan memeteraiakannya dengan cara meletakkan perekat keselamatan. Penutupan peti undi ini dilakukan di hadapan ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir. Petugas-petugas pula akan bertindak menyusun semula Tempat Mengundi mengikut susunan proses pengiraan undi. Sebelum kiraan dimulakan, Ketua Tempat Mengundi akan memberikan taklimat ringkas berhubung proses pengiraan undi. Proses pengiraan undi bermula dengan memotong ikatan penutup peti undi dan mengeluarkan kertas undi untuk dimasukkan ke dalam dulang 'Undi Belum Dikira'. Kertas-kertas undi kemudiannya dikira dalam bilangan sepuluh dan diikat dalam bilangan seratus. Proses ini bertujuan mendapatkan bilangan sebenar kertas undi yang berada dalam peti undi untuk direkodkan ke dalam Borang 13. Sekiranya bilangan kertas undi adalah sama atau kurang, proses pemaparan kertas undi boleh dimulakan. Sekiranya berlebihan daripada yang dinyatakan dalam Borang 13, Ketua Tempat Mengundi terpaksa mengambil tindakan seperti yang berikut:

1) memeriksa nombor siri kertas undi bagi memastikan hanya kertas undi dalam turutan nombor siri yang dinyatakan dalam Borang 13 sahaja berada dalam peti undi tersebut. Sekiranya, Ketua Tempat Mengundi menjumpai kertas yang berlainan nombor sirinya, kertas undi tersebut perlulah diketepikan.

2) selain memeriksa nombor siri, Ketua Tempat Mengundi juga boleh memeriksa tanda cap pada kertas undi. Ini kerana cap yang digunakan bagi setiap Tempat Mengundi adalah unik.

Setelah selesai, Ketua Tempat Mengundi akan memohon ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi untuk menandatangani Borang tersebut sebagai tanda memahami tatacara yangdilaksanakan dan berpuas hati dengan pengendalian tatacara tersebut.Kemudian, barulah proses pemaparan kertas undi boleh dimulakan. Proses ini dilakukan oleh kerani-kerani mengira undi dan dilakukan di hadapan ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir. Proses pemaparan kertas undi adalah proses membuka dan memperlihatkan kertas undi kepada ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir sebelum dimasukkan ke dalam dulang-dulang bersimbol calon mengikut tanda di atas kertas undi. Apabila selesai proses pemaparan ini, barulah kertas-kertas undi ini dikira mengikut dulang masing-masing. Bilangan kertas undi dalam setiap dulang akan dimaklumkan kepada Ketua Tempat Mengundi. Sekiranya terdapat kertas undi ragu, Ketua Tempat Mengundi akan memutuskannya mengikut Buku Panduan Memutuskan Undi Ragu dan keputusan Ketua Tempat Mengundi adalah muktamad. Maklumat berkaitan bilangan undi yang diperoleh oleh setiap calon akan diisikan ke dalam Borang 14 (Borang Keputusan Undi Bagi Setiap Tempat Mengundi). Salinan Borang 14 yang telah lengkap diisi akan diberikan kepada ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi selepas mereka menandatangani borang tersebut. Ini bermaksud semua pihak mempunyai salinan keputusan yang sama dan tidak boleh diubah lagi.Selepas itu, semua kertas undi akan dimasukkan ke dalam sampul-sampul, dimeterai dan dimasukkan ke dalam peti undi. Peti undi yang telah dimeterai akan di bawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi untuk simpanan selamat. Borang 14 pula akan diserahkan kepada Pegawai Pengurus untuk dijumlahkan dengan semua Tempat Mengundi lain dalam bahagian pilihan raya tersebut.

Borang 10 digunakan sebagai akuan identiti orang yang dipercayai oleh pengundi uzur atau OKU yang membantu pengundi tersebut mengundi dalam tempat mengundi

Borang 11 digunakan sebagai akuan kepada pengundi yang maklumat identiti dalam dokumen pengenalan dirinya berbeza sedikit dengan maklumat dalam daftar pemilih.

Borang 13 digunakan oleh KTM mengisi maklumat bilangan kertas undi yang diterima dan digunakan sebagai penyata sebelum proses pengiraan bermula.

Borang 14 digunakan oleh KTM mengisi maklumat bilangan undi yang diterima oleh setiap calon selepas proses pengiraan undi. Salinan borang akan diberikan kepada ejen pengiraan undi (dilantik oleh calon) yang hadir semasa proses pengundian.


8) Penjumlahan Rasmi Undi & Pengumuman Keputusan

Setelah semua Borang 14 dijumlahkan, Pegawai Pengurus akan mengisikan keputusan yang diperoleh setiap calon ke dalam Borang 16 (Borang Keputusan Pertandingan). Akhirnya, Pegawai Pengurus akan mengumumkan keputusan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan pemenang bagi pertandingan tersebut yang seterusnya dipilih menjadi wakil rakyat bagi bahagian pilihan raya tersebut. Selepas keputusan diumumkan, maka selesailah urusan asas pilihan raya.

Sumber : http://www.pru13.gov.my


Isnin, Mac 18, 2013

Presiden Filipina Gesa Proses Rundingan Berhubung Tuntutan Ke Atas Sabah

MANILA: Presiden Filipina, Benigno Aquino berkata proses rundingan adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah dan beliau turut mengkritik tindakan kumpulan bersenjata menyerang Malaysia.

Aquino turut mengecam konspirasi terancang pihak tidak bertanggjungjawab yang menghantar pengikut-pengikut kesultanan Sulu ke Sabah kerana ia telah mengancam keselamatan 800,000 rakyat Filipina yang tinggal dan bekerja di negeri itu.

Bercakap di Akademi Elit Ketenteraan di Filipina pada Ahad, beliau turut mengutuk tindakan pengikut Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III yang membunuh dengan kejam sembilan anggota pasukan keselamatan di Malaysia.

“Insiden seperti ini akan hanya menyebabkan lebih banyak masalah kerana anda cuba menyelesaikan dengan tergesa-gesa atau menggunakan kekearasan. Kita memerlukan perbincangan mendalam dan ikhlas jika mahu mencari jalan penyelesaian yang betul,” katanya ketika menghadiri majlis graduasi kadet tentera pada Ahad.

“Kita sudah tahu betapa rumitnya isu ini. Bolehkan mana-mana Perdana Menteri Malaysia dengan mudah melepaskan sebuah negeri yang sudah lama tertakluk di bawah undang-undang mereka?,” soal Aquino.

Lebih 200 pengikut Kiram, dengan sebahagiannya membawa senjata menceroboh Sabah dengan tujuan untuk menuntut semula Sabah yang merupakan sebahagian daripada wilayah itu satu ketika dahulu.

Pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia menyebabkan 61 anggota kumpulan bersenjata ditembak mati sementara lapan anggota polis dan seorang anggota tentera turut gugur dalam Operasi Daulat yang dilancarkan 5 Mac lalu.

Sementara itu lebih 100 orang turut ditahan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan berkenaan turut ditahan di Sabah.

Bagaimanapun, ketua kumpulan pengganas berkenaan, Azzimudie Kiram yang juga adik bongsu kepada Jamalul Kiram III tidak dapat ditangkap sehingga kini.

Minggu lalu, Tentera Laut Filipina menahan 35 suspek penceroboh Filipina kerana mereka cuba berlayar pulang ke tanah air.

Aquno turut mendakwa ada pihak ketiga yang terlibat dalam membiayai pengikut Kiram berhubung insiden pencerobohan di Sabah ia memerlukan wang yang banyak.

Dalam pada itu, jurucakap keluarga Kiram, Abraham Idjirani berkata pihak kesultanan terpaksa mengambil tindakan kekerasan kerana kerajaan Filipina tidak mengambil tindakan berhubung tuntutan mereka.

Beliau turut menafikan ada pihak menaja kumpulan penceroboh berkenaan, dengan mendakwa pengikut Sultan Sulu bertindak sedemikian atas kemahuan mereka sendiri.

Idjirani berkata beliau telah bercakap telefon dengan Azimmudie Kiram pada lewat malam Sabtu dan mengesahkan dia masih berada di Sabah dan tidak mengalami kecederaan.

Sumber : AFP


Selasa, Mac 05, 2013

Pencerobohan Sulu : Malaysia Perlu Ikut Undang-Undang Antarabangsa

Malaysia perlu mematuhi undang-undang antarabangsa terutama Konvensyen Geneva 1949 berhubung insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah, kata seorang pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Isnin.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM, Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata Malaysia tidak boleh mencabuli undang-undang antarabangsa dengan mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap soal pencerobohan.

Beliau berkata Malaysia tertakluk kepada perjanjian antarabangsa itu yang menetapkan tindakan terhadap pencerobohan perlu mengikut undang-undang.

"Kita tidak boleh terus bertindak tanpa mengetahui sebab sebenar kedatangan mereka (kumpulan bersenjata) dan tindakan kita mesti mengikut protokal yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan gagal menangani isu pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih awal sehingga menyebabkan pertumpahan berdarah.

Terdahulu, beliau merasmikan program persijilan asas kejuruteraan penerbangan untuk lesen DCAM Part-66, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCAM), bagi anggota tentera yang bakal bersara di sini.

Setakat ini, lapan anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu dari Filipina, di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna pada 1 dan 2 Mac.

Mengenai gambar lelaki dipenggal kepala tersiar dalam laman web kononnya dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata itu, Abdul Aziz berkata ia merupakan gambar lama yang dipercayai berlaku di sebuah negara jiran beberapa tahun lalu.

"Gambar itu ditulis dengan perkataan 'Lahad Datu' di bawahnya untuk mengambarkan peristiwa itu berlaku di Lahad Datu dan ini menampakkan niat jahat pihak tertentu terhadap kerajaan," katanya.

Beliau tidak menolak ia dilakukan untuk berseronok-seronok sahaja tetapi menegaskan bahawa implikasinya amat besar kepada negara dan tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang waras.

Sumber : BERNAMA

Khamis, Januari 17, 2013

Fenomena Listen! Listen! Listen!.. Let Me Speak!

Oleh Debra Chong
Penolong Pengarang Berita The Malaysian Insider

Aktivis pro-Barisan Nasional (BN) menjadi fenomena terbaru di laman maya Malaysia dengan kata-katanya "Dengar, Dengar, Dengar" selepas sebuah video klip memaparkan kritikan pedasnya di sebuah universiti tempatan tersebar luas.

Ajukan terhadap Sharifah Zohra Jabeen, presiden sebuah badan bukan kerajaan Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) yang dilihat seiring dengan kerajaan pemerintah BN, telah dimuatnaik ke pelbagai laman media sosial termasuk Youtube dan Facebook, juga turut digunakan dalam iklan terbaru di beberapa restoran makanan sebagai satu gimik dalam tempoh 24 jam hari ini.

Penulis lirik dan penyanyi kontroversi terkenal dari Johor, Namewee turut menghasilkan sebuah lagu ditujukan khas kepada Sharifah Zohra yang berjudul "Dengar, dengar, dengar" dan memuatkannya ke dalam Youtube awal hari ini sebagai salah satu dalam siri "Tokok" miliknya.

"Dengar, dengar, dengar, dengar, dengar. Ini negara demokrasi. Saya benarkan kamu cakap. Tapi apabila saya cakap kamu mesti dengar.

"Dengar, dengar, dengar, dengar, dengar. Jangan bandingkan negara kami dengan negara lain. Jika kamu mahu bandingkan, buat apa kamu tinggal di Malaysia?" kata penyanyi berusia 29 tahun dengan mimik muka dan isyarat tangan mengherdik.

"Tapi kita boleh bandingkan dengan binatang. Kita wajar bandingkan daripada kucing ke Cuba, dari tikus ke Argentina, anjing di Malaysia kerana binatang gembira dengan kerajaan," tambah beliau mengejek kata-kata Sharifah kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Bawani K.S. yang direkod dalam satu forum bulan lepas.

Klip video tiga minit tersebut telah ditonton sebanyak 24,404 kali dan 2,970 suka dan 58 tangan tidak suka pada akhir penulisan.

Artis tersebut yang nama asalnya Wee Meng Chun telah menghasilkan sebuah video muzik kontroversi berjudul "Negarakuku" pada 2007 dan juga banyak lagi satira muzikal pelbagai subjek.

Selain itu, terdapat lagu sepanjang dua minit versi remix ditujukan kepada Sharifah Zohra yang dihasilkan oleh sebuah syarikat penerbitan muzik tempatan, The Factory Music Studio oleh Yuri Wong, juga antara video paling popular dikongsi di laman maya.

Sebuah restoran makanan, Nando's turut mengambil langkah sama dalam iklan terbarunya apabila memberitahu pengikut Facebook untuk "Dengar. Dengar. Dengar. Dengar. Ayam kami A-Okay".

Pub tempatan, Dukes & Duchess turut menghantar satu jemputan terbuka di Facebook untuk menyertai mereka dalam sebuah parti "Dengar, dengar, dengar" Sabtu ini.

Video itu bermula dengan pelajar universiti mengangkat sumpah dalam bahasa Inggeris sebelum seorang mahasiswi, Bawani berdiri di mikrofon dalam auditorium yang penuh dengan orang ramai dan bercakap tentang keputusan mahkamah mengenai Bersih tahun lalu sebelum bertanya mengapa Malaysia gagal memberi pendidikan percuma seperti di beberapa negara lain.

Sharifah Zohra yang menjadi pengerusi majlis dalam forum tersebut, mencelah dan memberitahu kepada Bawani "Listen!(dengar!)" sebanyak 11 kali sebelum merampas mikrofon daripada Bawani bagi menghalang beliau daripada bercakap lebih lama.

"Number one, when this is our programme, we allow you to speak,(nombor satu, ini program kami, kami yang benarkan kamu untuk bercakap," kata Sharifah Zohra Jabeen, dan kemudian menambah, "Number two, when I speak, you listen.(nombor dua, bila saya bercakap, awak dengar.)

Sharifah turut bertengkar dengan seorang lagi pelajar yang cuba untuk bersuara, dan bercakap berkali-kali "Let me speak"(biar saya bercakap) sebelum bertanya kepada orang ramai "Pelajar di dalam dewan, ada 2,300 pelajar. Did I give her respect? Did I give her respect? I came up to her, shook hands with her and gave her respect as another woman. Do you think I need to answer her question with this attitude?"(Adakah saya berikan dia penghormatan? Adakah saya berikan dia penghormatan? Saya datang kepadanya, bersalam dengannya dan menghormati dia seperti wanita lain. Anda rasa saya patut jawab soalannya dengan perangai begini?)

Beliau melabelkan pengerusi bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai "anarkis", dan mengkritik pelajar tersebut apabila bercakap tentang pendidikan percuma dalam negara, dan memberitahu, "if you equate Malaysia to other countries, what are you doing in Malaysia?" "Go to Cuba, go to Argentina, go to Libya, go everywhere.(Jika kamu membandingkan Malaysia dengan negara lain, apa kamu buat di Malaysia? Pergi ke Cuba, pergi ke Argentina, pergi ke Libya, pergi kemana-mana).

"Because all the students in this hall are happy with whatever the government does for them,(Semua pelajar dalam dewan ini gembira dengan apa kerajaan lakukan pada mereka," katanya lagi dengan berkata Bawani mempunyai "a very least of (kurang) pendidikan".

Pelajar di universiti tempatan sejak akhir-akhir ini lantang bersuara mengkritik kerajaan, lebih-lebih lagi selepas pentadbiran Najib membenarkan pelajar untuk menyertai politik, dalam usaha menyokong generasi muda yang menjadi pengundi terbesar dalam kumpulan demografi.

Tahun lalu, sekumpulan pelajar telah berdemonstrasi di seluruh negara menuntut kebebasan dan pendidikan percuma di universiti.

- THE MALAYSIAN INSIDER




Rabu, Disember 05, 2012

Genneva Malaysia rugi besar

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Hasil serbuan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama beberapa agensi penguatkuasa terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas mendapati satu daripada syarikat itu iaitu Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia), merupakan syarikat yang bermasalah.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan BNM bersama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, laporan awal perakaunan menunjukkan operasi Genneva Malaysia mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

Syarikat itu sebenarnya tidak akan dapat mengekalkan cara operasinya iaitu menjual emas pada kadar 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, membayar pulangan dua hingga tiga peratus sebulan dan membeli balik emas pada harga asal belian, kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, aliran tunai untuk membolehkan syarikat itu meneruskan operasinya adalah bergantung daripada wang pelaburan pelanggan baharu.

"Dokumentasi yang disita menunjukkan lebih daripada 8,000 pelabur syarikat tersebut yang telah membuat pembayaran untuk pelaburan emas juga masih belum menerima emas mereka yang jumlahnya melebihi 4,000 kilogram.

"Selain itu, didapati terdapat pelabur yang telah menyerahkan emas mereka kepada syarikat tersebut tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai yang jumlahnya melebihi RM80 juta,'' kata kenyataan bersama tersebut.

Agensi-agensi penguatkuasaan itu juga menyatakan mereka menerima banyak rayuan daripada pihak yang terlibat dengan perniagaan Genneva Malaysia untuk melepaskan wang yang dibekukan dalam akaun bank sebanyak RM99.8 juta dan emas yang disita sebanyak 126 kilogram yang disimpan sebagai bukti bagi kesalahan yang disyaki.

Bagaimanapun, BNM dan agensi-agensi itu menyatakan, wang dan emas tersebut dikehendaki untuk tujuan penyiasatan dan hanya akan dilepaskan dengan arahan mahkamah dan usaha sedang dilakukan bagi mempercepatkan siasatan untuk mencapai penyelesaian awal.

Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada laman web BNM di www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.

- UTUSAN

Recent Posts