Memaparkan catatan dengan label Internet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Internet. Papar semua catatan

Ahad, Ogos 25, 2013

Celcom perkenal Escape

CELCOM Axiata Bhd memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan oleh Escape Axiata Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Celcom.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shazalli Ramly berkata, Escape direka khusus untuk pengguna Celcom seperti Xpax dan Celcom First dan rakan usaha sama MVNO (Operator Rangkaian Maya Mudah Alih).

“Buat permulaan, kami menyasarkan semua pengguna Celcom dapat menggunakan perisian ini bermula 1 September,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, selain Malaysia, Escape juga akan dilancarkan untuk anak syarikat Axiata Group di Asia, bermula di Sri Lanka pada akhir tahun ini.

Katanya, Escape membolehkan pelanggan menikmati pelbagai bentuk kandungan, menerbitkan, menghasilkan dan menyediakan pakej barisan gaya hidup mudah alih digital.

Kandungannya meliputi format kandungan jangka panjang dan pendek bagi memenuhi kehendak hiburan pengguna mudah alih moden, dan pengguna boleh menyaksikan dan membeli filem dan kandungan lain menerusi mana-mana peranti yang mempunyai sambungan internet.

Celcom turut membelanjakan RM420 juta daripada perbelanjaan modal syarikat untuk meningkatkan rangkaian di seluruh negara untuk penggunaan LTE.

Perkhidmatan itu turut boleh didapati menerusi semua peranti Android dan iOS secara percuma. Untuk maklumat lanjut layari www.escnow.com


Selasa, Julai 30, 2013

HyppTV di seluruh negara mulai Ogos 2013


Telekom Malaysia Bhd. (TM) menyasarkan peningkatan pengguna perkhidmatan Streamyx dan UniFi dengan pelancaran perkhidmatan HyppTV yang boleh didapati di seluruh negara bermula 1 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, HyppTV yang sebelum ini dikuasakan oleh perkhidmatan jalur lebar kelajuan tinggi UniFi kini boleh didapati menerusi Streamyx dan pada skrin pelbagai peranti melalui HyppTV Everywhere.

Katanya, perkhidmatan IPTV TM itu boleh kini dinikmati oleh pelanggan Streamyx 4Mbps dan 8Mbps baharu mahupun pelanggan sedia ada.

"Dengan adanya perkhidmatan HyppTV di seluruh negara, semua pengguna Streamyx kini memperoleh pengalaman dan menikmati perkhidmatan HyppTV seperti pengguna UniFi yang lain.

"Kami merasakan selepas ini lebih ramai pengguna Streamyx dengan kelajuan 1Mbps atau 2Mbps akan menambah kelajuan kepada 4Mbps atau 8Mbps," katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan itu di Menara TM, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi TM, Datuk Seri Halim Shafie.

TM kini mempunyai lebih 580,000 pelanggan UniFi yang juga merupakan pelanggan HyppTV serta 1.6 juta pelanggan Streamyx.

Menurut Zamzamzairani, bagi pelanggan Streamyx 8Mbps sedia ada dan baharu, HyppTV akan ditawarkan sebagai sebahagian daripada pakej perkhidmatan tiga serangkai iaitu suara, internet dan IPTV pada harga RM160 sebulan dengan 17 saluran percuma serta mempunyai pilihan melanggani HyppTV Platinum Pack.

Sementara itu, pelanggan Streamyx 4Mbps yang baharu dan sedia ada yang pada masa ini menikmati perkhidmatan dua serangkai iaitu suara dan internet, HyppTV ditawarkan sebagai pilihan tambahan pada kadar RM30 sebulan dengan 17 saluran percuma serta pilihan melanggan pek HyppTV.

Dalam pada itu, HyppTV Everywhere pula merupakan penawaran pelbagai skrin pertama yang membolehkan pelanggan UniFi dan Streamyx menonton HyppTV di mana sahaja, pada bila-bila masa melalui peranti mereka.

Tambahnya, aplikasi tersebut merentasi pelbagai platform seperti telefon pintar, tablet, komputer peribadi serta riba dan hanya boleh didapati untuk pengguna Andriod dan Apple iOS.

- UTUSAN

 

Khamis, Jun 13, 2013

Portal Berita Tidak Akan Dilesenkan - PM

Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita di negara ini sebagaimana yang dilakukan oleh -negara jiran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau bagaimanapun berkata, bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan bahawa mana-mana pihak yang cuba menanam kebencian menggunakan elemen kaum, agama dan bangsa.

“Atau pun memperkecilkan institusi raja dan berperlembagaan, mahu pun cuba ‘subvert’ (menjatuhkan) sistem demokrasi berparlimen boleh diambil tindakan undang-undang yang sedia ada,” katanya pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013, di sini malam Rabu.

Baru-baru ini, Singapura menerusi Lesen Pembangunan Media di negara itu mengumumkan peraturan pelesenan bagi laman web berita seperti dikenakan terhadap media tradisional.

Najib berkata, landskap media dan organisasi berita di negara ini mengalami perubahan yang amat pesat, di mana media cetak dan elektronik dilengkapi dengan kehadiran media dalam talian.

Katanya, kepelbagaian dan perbezaan pendapat yang wujud di negara ini sebenarnya harus berakar kepada identiti dan jati diri Malaysia.

“Kebebasan bersuara Malaysia yang membesar daripada akar tradisi jati akan memiliki kebijaksanaan untuk menghakis ketidakpercayaan dan perasaan syak wasangka yang melampau,” katanya.

Beliau menambah, tidak salah untuk berlainan pendapat namun adakah perbezaan pendapat itu membuak-buak sehingga wujudnya ketidakpercayaan dan syak wasangka melampau yang sebenarnya asing daripada budaya Malaysia.

“Untuk demokrasi benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada di antara kita yang menyimpang mahu pun menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, bagi menangani ‘cabaran kematangan’ sebagai sebuah negara bangsa yang semakin dewasa, perjalanan media sosial tidak terus disalahgunakan dan rakyat seharusnya berpegang kepada prinsip dan nilai tanggungjawab terhadap apa jua maklumat yang disiarkan.

"Untuk itu saya ingin lontarkan kepada rakyat dan kalangan pengguna media sosial untuk mencadangkan apakah bentuk kawalan positif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan nilai kebertanggungjawaban itu, dan maklumat yang disampaikan tidak melanggar undang-undang.

“Cadangan yang dikemukakan itu biarlah tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia yang menegaskan tiada tapisan terhadap internet," katanya.

Malam Kewartawanan Malaysia menyaksikan 264 bahan penyertaan dari 26 organisasi media cetak dan elektronik yang diadili oleh barisan panel hakim, dan 13 pemenang pelbagai kategori disenaraikan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012.

Wartawan Berita Harian, Sophia Ahmad dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai HKM menerima hadiah berupa wang tunai RM30,000 serta sekeping syiling emas seberat 100 gram bernilai RM16,000.

Wartawan The Star, Isabelle Lai turut merupakan antara penerima anugerah menerusi kategori Kewartawan Alam Sekitar Cemerlang-Petronas, yang menerima hadiah wang tunai RM15,000.

- mSTAR


Rabu, Mei 29, 2013

E-Sentral Portal e-Book Pertama di Malaysia



Penggunaan buku elektronik atau e-Book masih kurang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini memandangkan tidak ramai yang mahu mengambil inisiatif untuk mencubanya.

Buku elektronik merupakan sejenis medium penyampaian maklumat yang merujuk kepada penggunaan data elektronik sebagai buku, namun rakyat di negara ini dilihat lebih gemar membaca buku fizikal atas faktor kepuasan.

Begitupun, perkara itu tidak menghalang Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn. Bhd., Faiz Al-Shahab, 33, melancarkan laman web, portal www.e-sentral.com.my pada tahun lalu.

Portal berkenaan menawarkan pelbagai jenis buku dalam bentuk e-Book. Lebih menarik, bahan bacaan itu boleh dibaca terus menerusi telefon pintar dan komputer.

Mengulas lanjut mengenai e-Book, Faiz memberitahu, portal berkenaan menyediakan lebih 15,000 judul buku dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Perancis dan Sepanyol.

Namun, fokus utama portal tersebut adalah untuk mempromosikan buku tempatan.

Kebanyakan buku berkisar tentang perniagaan, biografi, komik, teknologi maklumat, novel cinta dan penyiasatan.

Kesemua buku itu pada asalnya merupakan buku yang dicetak oleh syarikat penerbitan tempatan selain bahan daripada penulis bebas.

Akses e-Sentral

Menyentuh mengenai cara untuk membaca buku-buku tersebut, anak jati Selangor itu memberitahu, pembaca perlu melayari laman web di www.e-sentral.com.my menerusi telefon pintar, tablet, komputer dan komputer riba.

Seterusnya, pengguna perlu mendaftarkan nama dan kata laluan. Sebaik selesai berbuat demikian, pengguna berkenaan boleh terus membuat pembelian buku.

Setelah membuat pilihan, pengguna akan dimaklumkan mengenai penerbit, saiz fail, kategori buku dan format selain sinopsis buku berkenaan.

Selain itu, pembaca akan ditanya sama ada mereka mahu membaca menerusi komputer, tablet, iPad, iPhone, atau Android.

Justeru, pembaca dikehendaki mengisi kata laluan dalam e-mel yang terkandung dalam gajet canggih. Sebaik selesai, pengguna akan dikehendaki mengisi semula nama pengguna dan kata laluan yang didaftarkan melalui portal itu.

"Tidak sampai tujuh minit, anda sudah boleh membaca judul buku yang dipilih menerusi telefon atau komputer," katanya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Cyberjaya, Selangor.

Malahan, pembaca akan diberikan beberapa judul buku secara percuma sebagai percubaan sebelum membuat pembelian namun, bukan semua judul buku.

 Sistem operasi

Mengenai sistem operasi, aplikasi e-Sentral menggunakan sistem operasi IOS, Android, Cloud dan komputer.

Beliau memberitahu, format operasi aplikasi tersebut ialah e-pub dan ia merupakan format yang berbeza.

Pada kebiasaan, format yang digunakan pada e-Book adalah dokumen mudah alih (PDF).

"Bagaimanapun, kita tidak menggunakan PDF kerana apabila aplikasi menggunakan format itu ia akan melambatkan kerja-kerja memuat turun sekali gus fail tersebut akan menjadi berat.

"Jadi, kami menggunakan format e-pub kerana ia bukan sahaja melindungi setiap e-Book daripada digodam, malah format tersebut lebih ringan berbanding PDF," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengguna tidak perlu risau mengenai langkah-langkah perlindungan pada aplikasi itu.

Seseorang pengguna boleh menggunakan tiga akaun berbeza pada tiga gajet berbeza milik mereka sama ada iPad, komputer atau telefon bimbit memandangkan ia menggunakan teknologi pengkomputeran awan atau lebih dikenali cloud computing.

Pelbagai aplikasi

Teknologi itu membenarkan pelbagai aplikasi dijalankan pada variasi jenis platform. Ia tidak lagi tertakluk kepada satu-satu sistem operasi tertentu sahaja.

Ia turut membolehkan pengguna menggunakan sesuatu perisian tanpa perlu melakukan instalasi pada komputer yang ingin digunakan.

"Pengguna cuma perlu menggunakan pelayar internet terkini bagi mengakses e-Book," ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai harga, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, ia dijual pada harga yang murah berbanding buku yang dicetak.

"Kami menjual buku serendah RM2.99 tetapi ia mengikut bab-bab dalam buku itu iaitu setiap bab dijual berasingan.

"Malah, kami juga menjual buku yang berharga RM5. Ia seperti buku cerita yang tidak mengandungi bab," jelasnya sambil memberitahu pihaknya menjual buku dari harga RM2.99 sehingga RM30.

Harga rendah

Buku-buku dijual pada harga rendah disebabkan ia tidak memerlukan kos pencetakan dan pemasaran.

Walaupun ditawarkan pada kos murah, beliau mengakui hanya sekitar 30 peratus pembaca yang berminat terhadap e-Book dan selebihnya masih lagi mengamalkan buku fizikal.

Hakikatnya, peratusan itu menunjukkan rakyat Malaysia tidak menyedari kewujudan dan kecanggihan teknologi e-Book.

"Banyak kelebihan menggunakan e-Book, antara yang menarik contohnya, anda boleh mengeluarkan penanda buku atau bookmark yang membenarkan pengguna terus kepada muka surat yang ditandai apabila membuka buku tersebut," ujarnya lagi sambil memberitahu, pembaca kini tidak perlu lagi berulang-alik ke kedai buku untuk mendapatkan bahan bacaan.

Bukan itu sahaja, jika pengguna ingin membeli buku berkaitan senaman, menerusi e-Book pembaca boleh melihat cara bersenam secara realistik berbanding buku fizikal yang hanya meletakkan gambar mengikut turutan langkah.

Lebih menarik, portal itu memberi peluang kepada penulis-penulis bebas untuk menghasilkan karya mereka melalui e-Book.

Penulis bebas tidak perlu mengeluarkan modal untuk pencetakan.

Langkah itu dilihat salah satu cara untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang penulisan untuk dipromosikan melalui portal tersebut.

- KOSMO!

http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

 

Ahad, Mei 12, 2013

TV Kabel Baru ABNxcess


Asian Broadcasting Network (M) Sdn Bhd, atau ABN, pengendali rangkaian TV kabel digital pertama di Malaysia di bawah jenama ‘ABNxcess ‘ mengumumkan penyertaannya ke dalam industri Internet Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dengan menawarkan khidmat servis internet pada harga rendah dan terpantas untuk kegunaan rumah.

Didatangkan dalam pakej 10, 30 dan 50 mbps, perkhidmatan HSBB ini amat berpatutan dengan kadar serendah RM129.00, RM219.00 dan RM369.00 sebulan.

Ini meletakkan ABNxcess bukan sekadar penydia khidmat HSBB terpantas di negara ini, malah ia juga amat berpatutan. Ia turut disertakan dengan pakej khidmat TV berbayar ABNxcess dengan kadar tambahan sebanyak RM29.90 untuk 50 saluran (pakej xcess 50) dengan saluran TV  dan radio biasa (free to air) dan lima aplikasi permainan dengan jumlah kos RM158.99 sebulan untuk saluran TV  berbayar dan pakej internet 10 MBPS.

ABN menggunakan Motorola Mobiliti Home (kini dikendalikan oleh Arris) yang memberi produk dan perkhidmatan berkualiti termasuk kabel modem untuk menyalurkan khidmat HSBB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ABN, Sreedhar Subramaniam berkata, kerjasama antara Arris dan Motorola merupakan satu kelebihan kepada ABN.

“Arris dan Motorola merupakan satu nama besar yang memiliki pengalaman luas dan peneraju industri video serta jalur lebar dan ia adalah satu kelebihan kepada ABN untuk memberi khidmat terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Di samping khidmat internet berkelajuan tinggi, penggunaan kabel yang sama turut membolehkan ABN menyediakan khidmat video.

Perkhidmatan TV Berbayar ABNxcess menggunakan teknologi kelas dunia yang tidak akan mendatangkan masalah apabila berhadapan dengan gangguan seperti hujan, ribut petir dan kilat.

Khidmat TV berbayar ABNxcess  menggunakan set top box, daripada Motorola yang menyokong fungsi video MPEG 4, TV berdefinisi tinggi, port USB untuk khidmat PVR di masa akan datang, aplikasi permainan dan khidmat informasi.

Pelaburan yang dibuat oleh ABN pasti akan mengubah landskap sosial, persekitaran dan ekonomi negara. Daripada pelajar yang membuat kerja rumah hinggalah ke media sosial, e-dagang dan hiburan, pengguna kini boleh mengakses, bermain dan berkongsi sebarang data dalam kelajuan yang tinggi.

“Ini merupakan era baru yang ingin dibawa oleh ABN kepada negara . Dengan pengumuman ini, ABN akan merealisasikan ‘akses untuk semua’.

“Kami ingin memastikan semua peringkat masyarakat mendapat akses yang baik kepada pelajaran, maklumat dan hiburan bagi merapatkan jurang digital dan memperkukuhkan  ekonomi berdasarkan pengetahuan,” katanya.

Pendaftaran untuk khidmat HSBB dan TV Berbayar ABN kini dibuka di kawasan berikut dengan pemasangan dalam tempoh 6 bulan:

Lembah Klang:
  • Sri Damansara
  • Bandar Manjalara
  • Kepong
  • Selayang
  • Subang Jaya
  • Bandar Sunway
  • Puchong
  • Taman Desa
  • Kuchai Lama
  • Ampang
  • Taman Pandan Perdana
  • Taman Bukit Pandan
  • Pandan Indah
  • Taman Maluri
  • Desa Pandan
  • Taman Segar
  • Taman Nirwana
  • Bandar Baru Ampang
Johor Bharu:
  • Stulang Laut
  • Taman Pelangi
  • Taman Sentosa
  • Taman Maju
  • Permas Jaya
  • Johor Jaya
Dalam masa lima tahun akan datang, ABN menyasarkan untuk liputan lebih meluas ke seluruh negara.
Sebarang pertanyaan untuk perkhidmatan ini boleh menghubungi ABNxcess di talian 1300-22-3399 atau daftar secara online di laman web : www.abnxcess.com.

Pelanggan yang telah membuat tempahan awal akan dihubungi untuk menentukan tarikh pemasangan.


 

Ahad, April 28, 2013

Video menjadi viral di internet

Video-video yang dimuatnaik di internet mudah menular atau lebih dikenali sebagai viral dalam kalangan pengguna laman sosial.

Video-video ini menjadi pilihan pengguna untuk dikongsikan bersama rakan mereka melalui laman sosial terutamanya Facebook.

Ada di antara video itu mendapat komen yang baik dan ada juga sebaliknya. Namun apa pun keadaannya, mereka kian dikenali apabila berlakunya perkongsian dalam kalangan pengguna.

Bermula dengan video klip artis dari Korea, Psy dengan lagunya Gangnam Style, yang menjadikan tarian artis itu sebagai ikutan dengan adanya pelbagai video parodi untuk meniru gayanya menari.

Kemudian, teknik tarian pergerakan kepala dan badan Harlem Shake pula menjadi viral dalam kalangan pengguna laman sosial sehinggakan terdapat ribuan video yang dimuat naik mengenai tarian itu di YouTube.

Selepas itu, teknik tarian parodi oleh Bobo dengan lagu berjudul Sayang dari Shea pula mendapat tempat kerana tarian yang dilakukan mempunyai ciri-ciri yang agak unik.

Teknik itu semakin popular apabila Johan Raja Lawak turut mempromosikan tarian yang sama dalam satu majlis anugerah, selain membincangkannya ketika menjadi tetamu undangan di sebuah stesen radio tempatan.

Kini dan terbaharu yang menjadi kegilaan pengguna laman sosial Facebook adalah tarian Gwiyomi dari Korea.

Teknik tarian itu dikatakan ‘sangat comel’ dengan penggunaan tangan dan ekspresi muka yang memberi impak kepada perkongsian video di laman sosial tersebut.

Cuba anda klik di ruangan carian YouTube, sudah pasti ribuan video yang memaparkan teknik-teknik tarian tersebut telah dimuat naik, sekali gus menjadi ikutan dalam kalangan remaja di serata dunia.


Jadi, untuk menjadi popular atau menarik ramai pengikut, anda boleh mencuba teknik berkongsi video di internet.

- UTUSAN

Isnin, April 22, 2013

Maxis lancar pelan prabayar edisi media sosial


Maxis Bhd menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi pertama negara ini yang menawarkan pakej data percuma tanpa had bagi menggunakan laman web dan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp.

Ia susulan pelancaran pelan prabayar edisi media sosial, Hotlink Social Edition yang menawarkan kos panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) serta perkhidmatan internet laman sosial media tanpa had pada harga kompetitif.
Ketua Pegawai Operasi Bersamanya, Suren J Amarasekera, berkata pelan itu diperkenal selaras arah aliran penggunaan data mudah alih di negara ini yang tertumpu kepada media sosial.

Yakin terima sambutan

“Kami yakin bahawa pelan prabayar ini akan menerima sambutan memberangsangkan daripada pasaran pelan telekomunikasi prabayar di negara ini berikutan pelbagai manfaat yang akan diperoleh pengguna.

“Dalam masa terdekat, kami menjangkakan pengukuhan jenama Hotlink dan akan memerhatikan maklum balas pemain telekomunikasi lain dalam memastikan penawaran kami kekal relevan dengan pelancaran lebih banyak perkhidmatan inovatif pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Hotlink Social Edition di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Ketua Produk Mudah Alih dan Perkhidmatan Antarabangsa, Jeff Chong dan Ketua Wilayah Tengah Maxis Berhad, Christopher Chua.
Pelan prabayar baru itu turut menawarkan kuota data 1GB daripada jam 2 pagi hingga 7 pagi menerusi Hot Ticket berharga RM10.

“Bagi panggilan dan SMS, pelan ini menawarkannya harga rendah terutama mulai jam 2 pagi hingga 7 pagi, sesuai dengan trend generasi muda kini yang gemar berbual dengan teman pada lewat malam,” kata Chong.

Secara purata, setiap rakyat Malaysia menghabiskan satu pertiga daripada masa mereka untuk berhubung teman menerusi laman atau aplikasi sosial, menjadikan Malaysia antara senarai teratas penggunaan media sosial di dunia.

Kini, 46.9 peratus daripada 28.5 juta rakyat negara ini mempunyai akaun Facebook dan dua juta mempunyai Twitter daripada hanya 3,000 akaun pada 2008.

Suren berkata, pakej kad sim prabayar itu sudah berada di pasaran mulai hari ini dan pengguna pelan prabayar Hotlink sedia ada hanya perlu membeli Hot Ticket untuk memanfaatkan pelan baru itu.

- BERITA HARIAN

 

Khamis, April 18, 2013

Maybank lancar Maybank2u Pay untuk Peniaga Bisnes Internet


Maybank mempelbagaikan lagi kemudahan transaksi dalam taliannya menerusi pelancaran Maybank2u Pay, sekali gus menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya lima peratus daripada 3,000 peniaga yang menggunakan laman blog di seluruh Malaysia tahun ini dengan nilai transaksi sebanyak RM5 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, Maybank2u Pay menawarkan pemilik kedai blog keupayaan menguruskan urus niaga mereka dengan cara profesional dan bersistematik. Katanya, perkhidmatan baru ini juga adalah sistem yang pertama diperkenalkan di Malaysia dan peniaga boleh melihat maklumat terperinci transaksi jualan seperti tarikh dan masa transaksi itu dibuat, nama pembeli dan alamat e-mel serta jumlah wang yang dipindahkan.

“Maybank mendapati terdapat peningkatan dagangan dalam laman sosial yang menggunakan Maybank2u sebagai kemudahan pembayaran dan bagi permulaan ini kami juga menyasarkan 108,000 transaksi urus niaga.
“Bilangan pelanggan juga dijangka meningkat lagi kepada 30 peratus dengan anggaran transaksi berjumlah RM105 juta dalam tempoh lima tahun,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Maybank2u Pay.

Menurutnya, pembelian dalam talian kini semakin popular di Malaysia dan perangkaan menunjukkan terdapat lebih daripada 1.1 juta rakyat Malaysia berbelanja RM1.8 bilion pada 2010.

Abdul Wahid berkata, nilai itu dijangka berkembang kepada RM5 bilion tahun depan dan daripada jumlah pelanggan pula, terdapat 2.3 juta pengguna aktif yang membuat lebih daripada 2.5 juta transaksi beli-belah dalam talian dengan nilai RM675 juta tahun lalu.

“Menjadi tanggungjawab Maybank sebagai bank yang mementingkan masyarakat untuk mendorong pertumbuhan ini dengan menawarkan kemudahan dan kepelbagaian dalam dunia e-dagang,” katanya.

Beliau berkata, Maybank telah menjadi peneraju dalam perbankan Internet sejak memperkenalkan perkhidmatan Maybank2u di Malaysia pada 2000 dan sehingga kini, Maybank menguasai hampir 50 peratus pengguna berdaftar di pasaran.

Maybank2u Pay adalah inisiatif berterusan kami untuk meneroka pasaran baru menerusi inovasi dan dengan sistem baru ini, kami bukan saja mampu mengukuhkan kedudukan kami dalam perbankan dalam talian, tetapi juga menjadikannya lebih mudah dan selesa untuk digunakan pelanggan dan pada masa sama membolehkan komuniti yang memberi kesan kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Maybank juga menawarkan rebat tunai kepada pencadang perniagaan blog dan peniaga yang mendaftar di Maybank2u Pay serta berpeluang mendapat publisiti percuma di laman web Maybank2u. Promosi berakhir pada 31 Mei 2013.

- HARIAN METRO

Recent Posts