Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Isnin, April 29, 2013

Iron Man 3 filem penuh drama, konflik dan aksi

 

Penggemar siri komik Marvel Iron Man pastinya menanti-nantikan kemunculan filem aksi penuh mendebarkan Iron Man 3 yang sudah mula ditayangkan sejak semalam.

Selepas menghadapi tekanan oleh kerajaan, media dan orang awam, untuk dia berkongsi teknologinya bersama tentera. Tony Stark kini kembali dengan musuh yang lebih bahaya.

Tidak seperti dua sekuel terdahulu, Iron Man 3 kini diarahkan oleh Shane Black tidak hanya mempertaruhkan teknologi dan aksi semata-mata tetapi turut menggabungkan konflik dalaman Stark kerana trauma ketika kejadian New York di serang (dalam Avengers) dan keinginan dan emosinya untuk melindungi kekasih hatinya, Pepper Potts.

Biarpun sedikit klise-kisah adiwira yang menyelamatkan cinta sejati, namun kelebihan cerita ini adalah teknologi baru yang dibawakan oleh Stark.

Malah, dalam filem ini, anda juga berpeluang melihat pelbagai jenis 'Iron Man' yang diciptakan Stark yang menjadikan hobi masa lapangnya mencipta dan membuat uji kaji mengenai besi yang melindungi dirinya itu.

Kisah penuh konflik

Perjalanan cerita Iron Man 3 ini telah digarap sebaiknya oleh Black dengan mengimbau kembali siapa Tony Stark pada 1999, seorang hartawan, kaki perempuan dan lelaki pintar yang tanpa sedar telah mewujudkan seorang musuh.

Kerana sikap sambil lewanya dalam semua perkara, Stark tidak sedar bahawa teknologi botani dari bekas kekasihnya sebenarnya mampu mengubah dunia.

Malah, kerana menghampakan seorang lelaki yang begitu meminatinya, Stark telah menyebabkan lelaki tersebut membenci dan berjanji untuk memburunya.

Sikap sambil lewanya juga turut menyebabkan Potts mula terasa hati kerana Stark melebihkan robotnya dalam segala hal, namun dalam masa yang sama, Stark mula mengenal erti cinta sebenar cuba untuk melindungi Potts dari sebarang ancaman bahaya.

Dek kerana ego juga, Stark tanpa sedar telah membahayakan dirinya dan Potts kerana mendedahkan maklumat tempat tinggalnya sehingga menjadi sasaran musuh.

Namun, selepas bertemu dengan seorang kanak-kanak pintar, Stark mula sedar untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan mengubah dirinya secara perlahan.

Filem terakhir Downey?

Melihat lakonan Downey kali ini, watak Stark atau Iron Man sememangnya amat bersesuaian dengan lelaki berusia 48 tahun ini.

Biarpun hampir mencecah separuh abad, namun karisma, personaliti yang dimiliki oleh Downey membuatkan dia masih kelihatan tampan dan gagah dalam menjayakan watak Iron Man.

Namun, siapa sangka, Downey sudah membayangkan untuk tidak lagi membawakan watak Iron Man kerana faktor usia yang tidak lagi bersesuaian dengan watak tersebut.

Justeru, tidak hairanlah untuk siri terakhir dari Downey, dia memberikan lakonan yang cukup mantap dan diingati selepas anda meninggalkan pawagam.

Bagi mengetahui keseluruhan jalan cerita - dapatkah Stark melawan rasa traumanya? Dapatkah dia melindungi Potts dari bahaya? Berjayakah dia menumpaskan musuh yang sebenar, saksikan filem ini di pawagam.

Nasihat penulis, sebaik 'ending credit' naik melintasi skrin, jangan tinggalkan pawagam terlebih dahulu kerana ada penampilan khas yang akan bersama Stark pada penghujung cerita.

Iron Man 3

PENGARAH: Sean Black
PELAKON: Robert Downey Jr Gwyneth Paltrow, Don Cheadle, Guy Pearce, Rebecca Hall, Stephanie Szostak, James Badge Dale with Jon Favreau dan Ben Kingsley.
GENRE: Aksi/Pengembaraan
DURASI: 131 minit
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 26 April 2013
KESELURUHAN : ***** FUYOO TERBAIK!!!

- SINAR HARIAN
 

Khamis, April 18, 2013

Kekasih hadiahkan Zizan iPhone 5


Sekadar berseloroh ketika memberikan ucapan pada majlis sambutan hari jadi ke-29, Zizan Razak akhirnya mendedahkan dia kini telah jatuh hati kepada seorang gadis yang baru dikenalinya.

Gadis itu, kata Zizan, bukan individu yang berada dalam industri hiburan malah personaliti gadis misteri itu telah menarik minatnya untuk berkenalan dengan lebih rapat.

“Tahun ini, usia saya sudah menjangkau 29 tahun dan saya merancang untuk berkahwin pada usia saya 30 tahun, tetapi soal jodoh kita tidak tahu.

“Individu yang berkenan di hati sudah ada tapi susah nak cakap. Untuk saya katakan dia kekasih hati, sebenarnya masih berbelah bagi lagi sebab saya takut dia tidak faham kerja saya.

“Namun, apa yang boleh saya katakan sekarang, dia bukan berada dalam industri seni, sebaliknya dia sentiasa dekat dengan saya. Susah nak sebut dia kekasih sebab belum sah lagi dia terima saya.

“Sejujurnya saya menyukai dia tapi belum terfikir ke arah selebihnya. Kami masing-masing sibuk dengan kerja dan jarang ada masa untuk berjumpa.

“Pasti, dia pun tidak tahu saya suka akan dia kerana saya tidak pernah meluahkannya,” cerita Zizan jujur yang ditemui ketika sambutan hari jadinya yang ke-29 di Restoran D’saji Felda Villa, Kuala Lumpur kelmarin.

Bagaimanapun, sempena hari jadinya itu yang jatuh pada hari Isnin, 15 April lalu, ujar Zizan, dia dihadiahkan sebuah telefon pintar iPhone 5 oleh gadis itu.

Gadis sederhana

Menghuraikan lebih lanjut ciri-ciri utama yang membuka hatinya untuk meminati gadis tersebut, ujar Zizan, gadis itu memiliki peribadi dan penampilan yang serba sederhana.

“Minat itu timbul daripada hati dan saya tertarik melihat penampilannya kerana dia seorang yang sederhana dan kalau letakkan dia di mana-mana pun dia tak kisah.

“Saya bukan seorang yang suka wanita high class atau terlalu stailo. Bagi saya, wanita yang sederhana itu menyenangkan saya,” ujarnya yang mahu mengunci mulut untuk berbicara lebih lanjut mengenai latar belakang gadis itu.

Zizan turut menjawab mengenai gosip yang pernah mengaitkannya dengan pelakon jelita, Juliana Evans dan terbaharu, Nora Danish.

“Saya tidak sedar gosip yang mengaitkan saya dengan beberapa orang dalam industri timbul sebelum ini. Saya ikhlas mengenali mereka dan apabila digosipkan, saya rasa memang pelik. Perkara itu main-main saja.

“Malah, baru-baru ini pun saya ada menghubungi Nora memandangkan saya baru tahu dia juga berasal dari Terengganu,” dedahnya.

Terkilan

Zizan dalam masa sama turut mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan dia terkilan kerana gagal meraih gelaran Bintang Paling Popular (yang dimenangi oleh Shaheizy Sam), Anugerah Bintang Popular 2012 baru-baru ini.

“Saya terkilan bukan kerana kalah tapi sebab peminat saya yang meletakkan harapan tinggi. Walaupun kita berusaha sebanyak mana pun jika sudah bukan rezeki, pasti kemenangan bukan milik kita.

“Semua mahukan kemenangan tapi kalau tiada kualiti kerja tidak berguna juga. Sam seorang yang berbakat dan saya gembira atas kemenangannya malah saya juga salah seorang peminat dia.

Zizan bakal muncul menerusi filem Bikers Kental pada 23 Mei depan selain tiga buah filem lakonannya iaitu KL Zombi, KL Gangster 2 dan Tokan.

Menafikan dirinya akan berubah walaupun kini semakin popular dan mengecapi kejayaan sepanjang masa, Zizan menegaskan dia masih memerlukan peminat untuk kekal bertahan dalam industri.

“Setiap hari bangun tidur, saya rasa diri ini masih ‘hijau’ dan perlu belajar lebih banyak. Kalau popular tak membahagiakan orang pun belum tentu akan berjaya,” tuturnya.

- KOSMO!

 

Rabu, April 10, 2013

19 Artis Dipilih Sertai MasterChef Selebriti 2


Pemilihan 19 peserta program pertandingan realiti MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua dibuat berdasarkan kepada perwatakan menarik yang dimiliki mereka tanpa perlu melalui sebarang uji bakat.

Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, pemilihan cara itu dilakukan bukan kerana ingin mewujudkan elemen drama mahupun kontroversi dalam program pertandingan realiti itu.

"Pemilihan selebriti pada kali ini lebih kepada karakter mereka di mana program MasterChef Selebriti kali ini akan tampil lebih ceria dengan perwatakan 'gila-gila' mereka.

"Tetapi sebelum ditawarkan menyertainya sudah pasti pihak kami telah bertanyakan mengenai kepakaran mereka memasak.

"Lagipun menjadi perkara biasa dalam sebuah program realiti di mana akan ada elemen-elemen drama," katanya pada sidang akhbar pelancaran MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua di restoran The Bee, Publika, Kuala Lumpur.

Tambah Raqim, bagaimanapun, program itu masih lagi mengekalkan kualiti yang memberi fokus terhadap persembahan masakan di mana 80 peratus selebriti yang dipilih sememangnya pakar dalam masakan manakala 20 peserta lain perlu digilap bakat mereka.

Antara barisan peserta yang menyertai MasterChef Selebriti 2 ialah Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Radhi OAG, Syanie Hisham, Aliza Abdullah (Enot), Lydiawati, Keroz Nazri, Syura, Sabhi Saddi, Michael Ang, Datuk Aznil Nawawi, Zain Saidin dan Rozita Che Wan.

Masterchef Selebriti 2 masih lagi mengekalkan konsep serupa di mana barisan selebriti akan diuji daripada aspek kebolehan memasak, kreativiti serta ketahanan mental dan fizikal di dapur.

Program ini juga akan disiarkan selama empat kali seminggu dan akan bersiaran selama 10 minggu dengan mengekalkan barisan juri iaitu Chef Jo, Chef Zubir, dan Chef Adu Amran.

"Kami percaya, para penonton akan lebih teruja melihatkan kepakaran selebriti memasak pada musim kedua ini.

"Apatah lagi, apabila melihat keletah spontan mereka ketika diberi tugasan memasak," kata Raqim.

MasterChef Selebriti 2 akan bersiaran setiap hari Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam bermula 20 April ini menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104).

- MSTAR
 

 

Isnin, April 08, 2013

Keputusan Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian ABPBH 2012


Shaheizy Sam sekali lagi dinobat sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012) dan membawa pulang hadiah kereta Nissan 370Z Coupe dan barang kemas Habib Jewel bernilai RM150,000.


Sam yang pernah bergelar Bintang Paling Popular ABPBH 2010 mendahului senarai pemenang ABPBH2012 iaitu;

Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012

* Bintang Paling Popular - Shaheizy Sam


* Pelakon Filem Lelaki Popular - Shaheizy Sam


* Pelakon Filem Wanita Popular - Yana Samsudin

* Pelakon TV Lelaki Popular - Aaron Aziz

* Pelakon TV Wanita Popular - Nabila Huda

* Artis Baru Lelaki Popular - Aiman Hakim

* Artis Baru Wanita Popular - Wawa Zainal.

* Penyanyi Lelaki Popular - Hafiz Suip

* Penyanyi Wanita Popular - Shila Amzah

* Artis Duo/Berkumpulan Popular - Black dan RJ

* Komedi Lelaki Popular - Zizan Razak

* Artis Komedi Wanita Popular - Didie Alias

* Pengacara TV Lelaki Popular - Datuk Aznil Nawawi

* Pengacara TV Wanita Popular - Fara Fauzana

* Penyampai Radio Lelaki Popular - Faizal Ismail

* Penyampai Radio Wanita Popular - Fara Fauzana

* Anugerah Sepanjang Hayat - Search

http://abpbh.com.my/

 Sumber : Harian Metro


Rabu, April 03, 2013

Raja Lawak 7 Astro Bermula 12 April 2013



Seramai 11 peserta berkumpulan dan tiga peserta solo berjaya memasuki program realiti popular Astro, Raja Lawak untuk musim ketujuh.

Sebelas peserta berkumpulan yang bertanding adalah Bora, Kintan, Pahat, Gamat, Taras, Okay, Sakan, Wala, Tuah, Xtra dan Ganu serta tiga peserta solo iaitu Ali, Emy dan Boy.

Menariknya, Raja Lawak musim terbaharu itu juga buat pertama kalinya membuka penyertaan kepada warga Singapura untuk memeriahkan lagi program tersebut.

Dua peserta dari Singapura yang berjaya menyertai Raja Lawak 7 ialah kumpulan Bora dan Ali.

Ali atau nama sebenarnya Muhammad Ali Abdul Manab dilihat bakal memberi saingan hebat kepada peserta-peserta lain berikutan kepandaiannya meniru gaya ramai artis terkenal termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sharifah Aini.

Raja Lawak 7 bakal bersiaran pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 12 April ini menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Menurut Ketua Kumpulan Premium Astro, Nizam Sani, pemilihan peserta pada musim ini adalah lebih ketat kerana mereka perlu menjalani bootcamp untuk dinilai sebelum layak beraksi di gelanggang sebenar.

Jelasnya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan peserta yang dipilih berkualiti tinggi sekali gus ia dapat mengekalkan standard dan kandungan yang disampaikan mengikut peredaran industri semasa.

“Adalah menjadi hasrat kami untuk membuka mata orang ramai bahawa komedi merupakan satu industri yang serius dan berada di aras tinggi.

“Sempena slogan yang kami perkenalkan tahun ini iaitu Takkan Lawak Hilang Di Dunia, ia juga menggambarkan komitmen kami dalam menyampaikan kandungan program yang lebih segar dan berkualiti,” jelasnya ketika ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas mengenai barisan juri untuk Raja Lawak musim terbaharu itu, kata Nizam, sesuai dengan temanya, barisan juri juga akan membariskan pelawak-pelawak legenda yang akan menjadi pengkritik.

Bagaimanapun, barisan juri hanya akan didedahkan pada minggu pembukaan program itu untuk memberikan elemen kejutan buat penonton.

“Barisan juri bukan sahaja bertindak sebagai pengkritik tetapi juga melatih para peserta untuk menjadi pelawak yang berkaliber,” ujarnya.


Masih relevan

Ditebak soalan adakah program Raja Lawak masih relevan diadakan, ulas Nizam, program realiti itu masih lagi diterbitkan berikutan ia mendapat permintaan yang tinggi daripada penonton.

Malah, Raja Lawak berjaya mencapai rating yang memberangsangkan sepanjang enam musim lalu.

“Pihak kami membuat kajian penonton tentang Raja Lawak dan mereka mahu program ini dikekalkan. Peningkatan peserta menghadiri uji bakat yang diadakan setiap tahun juga mencatat angka membanggakan selain jumlah undi yang diterima kami adalah konsisten.

“Untuk tahun ini, lima buah negeri yang kami pergi untuk sesi uji bakat mendapat sambutan hangat daripada peserta apabila hampir 400 orang menghadirkan diri di setiap lokasi,” ujarnya lagi.

Raja Lawak musim terbaharu itu masih mengekalkan format terdahulu yang mana sistem pemarkahan para peserta ditentukan sepenuhnya kepada undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas.

Musim terbaharu itu juga masih mengekalkan Johan dan Zizan sebagai pengacara.

Juara program Raja Lawak bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM30,000.

Berikut adalah senarai peserta Raja Lawak 7:
1. Kumpulan Bora-SIngapura
2. Kumpulan Kintan- Selangor
3. Kumpulan Pahat- Putrajaya
4. Kumpulan Gamat-Perak
5. Kumpulan Taras- Perak
6. Kumpulan Okay-Selangor
7. Kumpulan Sakan-Perlis
8. Kumpulan Tuah-Kedah
9. Kumpulan Wala-Sabah
10. Kumpulan Xtra-Kedah
11. Kumpulan Ganu-Terengganu
12. Emy-Pahang
13. Ali-Singapura
14. Boy-Sabah
 
- KOSMO!

Anda juga boleh menonton rancangan-rancangan menarik Astro secara online di www.astrogempak.com.my