Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan

Sabtu, Jun 18, 2011

Kewajipan Majikan

Hadith:

DARIPADA Khaitamah r.a katanya : Kami sedang duduk bersama-sama Abdullah bin Umara r.a. Tiba-tiba datang seorang ketua pelayan, maka Ibnu Umar berkata : Adakah engkau telah memberikan makanan kepada hamba sahaya? "Pelayan itu menjawab: Tidak." Ibnu Umar berkata : Pergilah dan berikanlah kepada mereka. Dan beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda : Cukuplah seseorang itu berdosa, ia menahan makanan terhadap orang yang di bawah kuasanya."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Dalam pengurusan Islam, berlaku adil dalam semua aspek kehidupan sangat dituntut. Maka Islam mengajar umatnya menghormati manusia, walaupun berlainan fahaman dan anutan.

Justeru pekerja dan majikan adalah selamanya terikat dengan aqad (kontrak) yang antara lain menghendaki pekerja menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh kesungguhan lagi amanah, sementara majikan pula berkewajipan melayani atau mengambil peduli para pekerjanya dengan baik, ihsan dan adil.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Khamis, Jun 16, 2011

Soalan Di Dalam Kubur

Hadith:

DARI Asma' r.a katanya: "Pada masa (hidup) Rasulullah s.a.w pernah terjadi gerhana matahari. Lalu aku pergi menemui ˜Aisyah dan kudapati dia sedang solat. Aku bertanya kepadanya, "Mengapakah orang banyak mengerjakan solat?"

Dia memberikan isyarat kepadaku dengan kepalanya (mendongak) ke langit. Aku bertanya, Ayat? (tanda kebesaran Allah?)

"Jawab ˜Aisyah, Ya! Tanda kebesaran Allah!" Rasulullah s.a.w lama sekali berdiri (dalam solat), sehingga aku pusing (pening).

Lalu aku mengambil air satu qirbah dan kubawa dekat denganku. Kemudian kubasahi kepala dan mukaku.

Kata ˜Asma selanjutnya, "Ketika Rasulullah s.a.w telah selesai solat dan matahari telah terang kembali, baginda berkhutbah di hadapan orang ramai. Mula-mula baginda memuji dan menyanjung Allah. Sesudah itu baginda bersabda, antara lain: "Tidak ada sesuatu pun yang belum pernah kulihat melainkan telah ku saksikan dalam solatku sebentar tadi, syurga dan neraka.

Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku bahawa kamu semua akan disoal di dalam kubur, atau seperti fitnah (bencana) dajal. Masing-masing kamu akan didatangi lalu disoal,: "Apa pengetahuanmu tentang orang (Muhammad) ini?"

Orang-orang yang beriman dengan yakin akan menjawab,: "Dia adalah Muhammad, Rasulullah. Dia datang kepada kami membawa keterangan-keterangan dan petunjuk lalu kami terima dan kami patuhi."

Pertanyaan itu berulang-ulang sampai tiga kali. Sesudah itu dia disuruh tidur. Katanya,: "Kami sudah tahu bahawa kamu betul-betul beriman dengannya.Kerana itu tidurlah dengan nyenyak."

Adapun orang-orang yang munafiq dan orang-orang yang ragu dalam kepercayaan mereka, maka jawab mereka,: "Aku tidak tahu apa-apa. Aku dengar orang ramai mengatakan begitu dan begini, lalu ku ucapkan pula."

Riwayat Muslim

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Selasa, Jun 14, 2011

Roh Harum Dan Roh Busuk

Hadith:

DARI Abu Hurairah r.a katanya: "Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit."

Kata Hammad : "Kerana baunya harum seperti kasturi."

Kata penduduk langit: "Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ˜alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam."

Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla.

Kemudian Allah berfirman: "Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat."

Kata Abu Hurairah selanjutnya: "Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya “ kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian-, maka berkata penduduk langit,"Roh jahat datang dari bumi."

Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman.

Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya: "Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar." (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50).

Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat.

Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini.

Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Khamis, Jun 09, 2011

Jihad Perjuangan Paling Utama

Hadith:

RASULULLAH saw bersabda yang bermaksud:

"Ada seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah siapakah orang yang paling utama?. Jawab Baginda saw, iaitu orang mukmin yang berjihad dengan dirinya sendiri pada jalan Allah, lelaki itu bertanya lagi, selepas itu siapa lagi? Baginda saw Menjawab yang mengasingkan dirinya dilereng lereng bukit untuk beribadat kepada Tuhannya. Dalam satu riwayat yang lain, iaitu orang bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan (mengasingkan dirinya) daripada orang yang melakukan kejahatan".

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian hadith: 1. Sebenar benar jihad ialah orang yang sentiasa berusaha memperbaiki dirinya untuk bertaqwa kepada Allah S.W.T. serta membelanjakan hartanya ke jalan yang diredhai.

2. Islam menuntut umatnya menyeru kearah kebaikan dan menentang kemungkaran. Usaha ini hendaklah dilakukan secara berperingkat seperti yang dilakukan oleh syarak.

3. Jihad dalam erti kata yang luas ialah kita dikehendaki sama-sama memperjuang dan memperlengkapkan diri bagi mencapai hasrat untuk kemajuan agama bangsa dan negara serta mempertahankannya dari sebarang ancaman musuh baik dari dalam mahupun dari luar.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Selasa, Mei 31, 2011

Hati Yang Selalu Muda

Hadith:

DARI Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda: "Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.

Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, 'rumah kata pergi, kubur kata mari', masih juga bergelumang dengan dosa.

Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan. Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati.

Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan.

Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Ahad, Mei 29, 2011

Hak Tanggungjawab Dan Peranan Suami

Hadith:

RASULULLAH s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah."

Riwayat Ibnu Majah

Huraian Hadith:

1. Dalam institusi perkahwinan Allah S.W.T telah mengamanahkan tanggungjawab tertentu kepada suami dan isteri.

2. Pemberian nafkah oleh suami terhadap keluarga merupakan satu amanah yang mesti ditunaikan di mana nafkah tersebut merangkumi perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, keselamatan dan perlindungan.

3. Pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seseorang.

4. Kaum wanita tidak diwajibkan bekerja mencari nafkah. namun Islam membenarkan mereka keluar bekerja demi membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh suami. Sumbangan isteri ini merupakan satu sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Khamis, Mei 19, 2011

Galakan Berdoa

Hadith:

RASULULLAH s.a.w bersabda yang bermaksud: "Doa itu ialah ibadat."

Riwayat Bukhari

Huraian Hadith:

1. Doa adalah Istiksaat (memohon pengampunan dan pertolongan) dan hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat memberikannya.

2. Orang yang berdoa hendaklah melahirkan kehinaan dan kerendahan diri serta menyatakan hajat dan tunduk kepada Allah sebagai menunjukkan bahawa kita berhajat kepada Allah untuk memperolehi sesuatu yang kita kehendaki.

3. Doa adalah suatu ibadat yang sangat penting kedudukannya dan sangat mahal nilainya bahkan ia adalah pintu yang paling utama daripada pintu-pintu ibadah yang lain dalam meperhambakan diri kepada Allah.

4. Apabila seseorang itu berdoa maka hendaklah ia melakukannya dengan sebaik-baiknya dan dengan memelihara adab-adabnya. Dengan itu barulah doanya akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

- JAKIM

Ahad, Mei 08, 2011

Syahid Kerana Mempertahankan Harta

Hadith:

DARIPADA Abdullah ibn Amir r.a katanya : "Aku mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia itu syahid."

Riwayat Al-Bukhari

Huraian:

Orang yang meninggal dunia lantaran mempertahankan harta dihukum sebagai syahid di akhirat. Manakala syahid di dunia dan akhirat pula adalah khusus bagi mereka yang meninggal dunia (terkorban) dalam pertempuran iaitu demi mempertahankan agama dan umat Islam.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Rabu, April 27, 2011

Keunikan Ahli Syurga

Hadith:

DARI Jabir r.a katanya, dia mendengar nabi s.a.w bersabda: "sesungguhnya penduduk syurga makan dan minum di dalamnya. Tetapi mereka tidak meludah, tidak kencing, tidak membuang air besar dan tidak membuang hingus.

"Para sahabat bertanya:"Bagaimana makanan yang mereka makan? Jawab baginda:"Keluar dari sendawa yang baunya harum seperti bau kasturi . Mereka selalu membaca tasbih dan tahmid sebanyak tarikan nafas mereka."

Riwayat Muslim

SUMBER: JAKIM

Khamis, April 21, 2011

Beberapa Larangan Rasulullah s.a.w

Hadith:

DARI al-Mughirah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda: "Allah telah melarang keras (mengharamkan) kamu menderhakai ibu, melarang membuat kikir dan mengubur anak perempuan. Tuhan benci kamu jika kamu terlalu banyak berbicara begitu begini, terlalu banyak bertanya serta membuang-buang harta tidak pada tempatnya."

Riwayat Bukhari

Huraian Hadith:

Dosa-dosa besar adalah perbuatan yang membolehkan seseorang itu tergolong di kalangan orang-orang yang menempah keburukan di akhirat nanti walhal di dunia pun balasan dosa akibat perbuatan tersebut tidak mustahil akan menimpa mereka.

Menderhakai ibu, bakhil dengan kelebihan nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T, membunuh anak sendiri, banyak bercakap perkara yang sia-sia, banyak bersoal jawab sebelum melakukan sesuatu perkara dan suka melakukan pembaziran merupakan perbuatan yang dilarang dan dibenci di dalam Islam.

Jika direnung akan keadaan umat sekarang, musibah-musibah yang datang menimpa tidak pernah berkesudahan.

Sama ada ia boleh dikategorikan sebagai cubaan Allah, bala atau malapetaka semuanya bergantung pada kedudukan sesebuah umat itu kerana Allah tidak pernah menzalimi manusia tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Jika kita lalai daripada mengingati dan mensyukuri nikmat Allah, segala sesuatu yang buruk akan sanggup kita lakukan kerana ia timbul hasil dorongan hawa nafsu.

Hilang sifat kasih sayang, kasihan belas apatah lagi sifat kebergantungan terhadap Yang Maha Kuasa. Timbullah sikap angkuh dan bongkak hingga sanggup menzalimi orang lain.

Tidak sedar akan balasan Allah yang bakal menimpa. Bahkan kita melakukan dosa dengan perasaan megah dan bangga. Itulah antara sebab-sebab yang mengundang kecelakaan.

Oleh itu sebagai hamba yang beriman janganlah kita melakukan perkara yang ditegah kerana setiap tegahan itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri agar hidup sentiasa berada di dalam keredhaan Ilahi.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Selasa, April 19, 2011

Mengutamakan Kasih Sesama Muslim

Hadith:

DARI Ibnu Abbas r.a katanya: "Ketika Rasulullah s.a.w sedang hampir nazak, baginda keluar dengan kepala diikat dengan sehelai kain, lalu baginda duduk di atas mimbar. Setelah memuji dan menyanjung Allah SWT, baginda bersabda: "Tidak ada orang yang paling dekat kepadaku tentang diri dan hartanya selain Abu Bakar bin Abu Quhafah. Jikalau boleh aku memilih kawan di antara segala manusia, maka ku pilih Abu Bakar. Tetapi persaudaraan sesama Islam lebih utama. Tutuplah semua pintu masjid ini kecuali pintu Abu Bakar."

Riwayat al-Bukhari

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Isnin, April 18, 2011

Dijauhkan Dari Neraka 70 000 Musim

Hadith:

Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Dilihat secara terperinci, kita dapati orang yang berpuasa itu dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu:

i) orang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia.

ii) orang yang berpuasa kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah.

iii) orang yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada Allah dan manusia. Orang yang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia, puasa mereka adalah berdasarkan kepada perasaan sedar dan insaf kepada perintah Allah S.W.T yang mewajibkan berpuasa.

Golongan ini akan sentiasa berhati-hati dan sentiasa menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa.

Oleh kerana itu, di mana-mana tempat sekali pun, sama ada di tempat tersorok atau tidak, mereka tetap memelihara puasanya.

Golongan ini sedar bahawa Allah tetap melihat perbuatan mereka walaupun mereka tidak dapat melihat Allah.

Tentang golongan kedua pula, mereka ini berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah.

Lantaran itu, apabila berada jauh daripada pandangan manusia, tanpa segan-silu mereka meninggalkan puasa.

Golongan ini berpuasa bukan kerana taat dan patuh kepada perintah Allah tetapi kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa.

Biasanya orang yang seperti ini berpuasa kerana hendak menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah mahupun pada diri sendiri.

Golongan ketiga ialah mereka yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia apatah lagi kepada Allah.

Golongan ini dianggap paling hina di sisi Allah. Bahkan ada ketikanya mereka ini sanggup mengaku sebagai orang bukan Islam agar terlepas daripada hukuman dan tindakan pihak berkuasa.

Mereka tidak sedar bahawa pengakuan itu boleh membatalkan syahadah.

Menyedari hakikat ini, renungkanlah. Dalam golongan manakah kita berada?

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Selasa, April 12, 2011

Haid Ketika Haji

Hadith:

DARI Aisyah r.a katanya: "Kami pergi bersama-sama Nabi s.a.w, tiada niat kami selain haji. Setelah kami sampai dekat Sarif) tiba-tiba aku haid. Ketika nabi s.a.w masuk ke dalam khemahku, didapatinya aku sedang menangis. Lalu beliau bertanya: "Apakah kamu haid?" Jawabku: "Benar Ya Rasulullah."

Sabda Baginda : "Haid adalah perkara yang lumrah bagi puteri-puteri Adam. Kerana itu kerjakanlah apa yang seharusnya dikerjakan oleh orang haji kecuali tawaf di Baitullah sehingga engkau mandi (suci) lebih dahulu."

Kata Aisyah: "Kemudian beliau menyembelih lembu untuk korban para isterinya."

Riwayat Muslim

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Rabu, Mac 30, 2011

Akhir Umur Dunia

Hadith:

NABI SAW bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya."

Riwayat Jabir RA

Huraian Hadith:

Setiap perbuatan akan dibalas setimpal dengan segala perkara yang dilakukan. Sekiranya sewaktu hidup di dunia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang dilarang, pasti ganjaran pahala sedia menanti.

Sebaliknya, jika perbuatan-perbutan keji yang menjadi amalan hidupnya, catatan dosa pula sedia menanti. Ajal maut adalah ketentuan ilahi. Tidak terawal, atau terlewat, walaupun sedetik.

Insya-Allah pintu taubat masih terbuka, selagi nyawa belum sampai ke halkum. Sekiranya seseorang mati dalam keadaan beriman, dibangkitkan kelak dalam kedaan gembira.

Sebaliknya, apabila mati dalam keadaan derhaka, pasti dibangkitkan dalam keadaan mendukacitakan. Setiap orang dibangkitkan mengikut amalan masing-masing.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Jumaat, Mac 25, 2011

Beramal Dengan Ayat Pendinding Diri

Hadith:

DARIPADA Ibnu Mas'ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Dua ayat dari akhir surah al-Baqarah, sesiapa yang membacanya maka cukuplah baginya daripada mengadakan qiamullail (atau kedua-duanya akan menjaganya dari segala kejahatan dan perkara-perkara yang tidak disukai).

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

Dalam musnad Imam Ahmad, juzuk ke empat, halaman 156 disebut mahfum hadis, "Sesiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara syirik. Agama Islam amat melarang penggunaan tangkal meskipun tangkal tersebut menggunakan ayat-ayat al-Quran.

Mengapa? Kerana untuk mengelak atau menjaga kesucian ayat al-Quran daripada terbawa ke tempat yang kotor seperti ke dalam tandas dan sebagainya selain untuk membulatkan keyakinan dan keimanan kita bahawa Allah SWT bersifat Maha Pelindung kepada manusia daripada segala mara bahaya dan malapetaka.

Justeru adalah lebih baik untuk kita sebenarnya menghafal ayat-ayat al-Quran atau beramal dengan ayat-ayat al-Quran serta doa-doa khusus untuk memohon daripada Allah dan menghindari daripada apa yang tidak diingini.

Jangan sesekali kita terjebak dengan amalan khurafat, termasuk percaya kepada bomoh yang kononnya dapat membantu menghalau jin dan syaitan yang kebiasaannya mereka memuja mengamalkan perkara khurafat dan syirik kepada Allah sedangkan sebesar-besar dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT adalah dosa syirik.

Perlu juga diingat bahawa tujuan al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk dijadikan azimat atau hanya disimpan untuk perhiasan di rumah sahaja, tetapi al-Quran diturunkan untuk dibaca, difahami, dikaji, dipelajari, diambil iktibar dan dijadikan pedoman serta diamalkan dalam kehidupan kita seharian. Al-Quran adalah penawar bagi segala penyakit.

Allah SWT berfirman dalam Surah Yunus ayat 57, maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman".

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Khamis, Mac 24, 2011

Setiap Amalan Bergantung Dengan Niat

Hadith:

RASULULLAH saw bersabda yang maksudnya:Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya.

Riwayat Bukhari Muslim

Huraian Hadith:

Peranan niat adalah amat penting dalam kehidupan manusia, kerana niat menentukan segala galanya samaada jujur atau tidak jujurnya, sama ada ikhlas atau tidak iklas seseorang itu atau sebagainya, semuanya bergantung dengan niat.

Ulama' kaum muslimin meletakkan niat itu sebagai rukun pertama dalam semua ibadat. Bahkan untuk membedakan antara ibadat dengan adat hanyalah dengan niat. Jika niatnya baik, baiklah amalannya dan begitulah seterusnya.

Sesuatu perbuatan adat jika diniatkan mengikut tuntunan dan keredaan Allah dan Rasulullah maka ia berubah menjadi ibadat dan mendapat pahala.

Penghijrahan manusia dari satu tempat kesatu tempat dari satu tugas kesuatu tugas. Dari satu hajat kesuatu hajat semuanya akan dilaksanakan mengikut apa yang diniatkan.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Rabu, Mac 09, 2011

Sunnah Rasul

Hadith:

DARI Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika kamu memakai sandal (kasut), pakailah yang kanan terlebih dahulu. Tetapi jika membukanya, yang kiri dahulu dibuka. Maka yang kanan adalah yang mula-mula dipakai dan yang terakhir dibuka."

Riwayat al-Bukhari

Huraian Hadith:

Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan terbaik dalam segenap aspek tatacara hidup seorang Muslim sama ada dari segi tutur katanya, tingkahlakunya, ibadahnya dan lain-lain lagi.

Baginda mengajar kita adab sopan yang sepatutnya yang membezakan kita dengan penganut agama yang lain.

Walau sekecil manapun sesuatu itu, terdapat banyak hikmah tertentu yang baik dari segi agama mahupun ilmu perubatan yang melaluinya jelas membuktikan akan kebenaran agama Islam selaku agama fitrah yang sesuai bagi seluruh umat manusia.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Selasa, Mac 01, 2011

Persediaan Sebelum Tidur

Hadith:

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.

Riwayat al-Bukhari

Huraian Hadith:

Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW.

Dalam suatu riwayat menerangkan: "Daripada 'Aisyah r.a katanya: "Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (at-Tirmizi)

Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur.

Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur.

Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula.

Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Jumaat, Februari 25, 2011

Memberi Salam Amat Digalakkan Dalam Islam

Hadith:

DARIPADA Anas r.a. bahawasanya ia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak lalu ia memberi salam kepada mereka dan katanya Nabi s.a.w. berbuat demikian.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

1. Sunat memberi salam kepada sesama muslim tidak mengira darjat, pangkat dan peringkat orang yang diberi salam.

2. Memberi penghormatan kepada orang yang lebih rendah martabat dan pangkat tidak akan mengurangkan kemuliaan seseorang.

3. Umat Islam hendaklah sama-sama hormat menghormati antara satu sama lain dan mengamalkan sunnah Nabi s.a.w dengan memberi salam apabila bertemu walaupun terhadap kanak-kanak.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Rabu, Februari 23, 2011

Umrah Menghapus Dosa , Haji Dibalas Syurga

Hadith:

DARIPADA Abu Hurairah r.a. lagi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Mengerjakan umrah ke satu umrah yang lain menjadi penutup dosa yang dilakukan di antara kedua umrah itu. Manakala haji yang mabrur pula akan dibalas dengan syurga kepada orang yang mengerjakannya.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

1. Ibadat Haji difardhukan sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.

2. Ibadat umrah pula sunat hukumnya dan jika seseorang itu dapat mengerjakannya dengan sempurna nescaya ia akan mendapat pahala yang besar malah menjadi penghapus kepada dosa-dosa telah yang dilakukan.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Recent Posts