Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan

Selasa, Mei 13, 2014

Ahmad Said Keluar UMNO


Selepas dikejutkan dengan berita peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar petang Isnin, terbaharu beliau mengumumkan keluar daripada Umno beberapa jam selepas penggantinya mengangkat sumpah jawatan.

Berikutan tindakannya itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal ini menjadi calon Bebas.

"Saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta. Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi Dewan Undangan Negeri Kijal," katanya dalam sepucuk surat yang ditandatangani olehnya.

Bagaimanapun, Ahmad Said tidak keseorangan apabila Adun Ajil, Ghazali Taib turut mengisytiharkan keluar daripada Umno berkuatkuasa serta-merta.

Surat berkenaan turut ditandatangani oleh Ghazali.

Sumber terdekat dengan Ahmad Said mengesahkan mengenai peletakkan jawatannya dan beliau akan mengadakan satu sidang media mengenainya pada Selasa.

Dengan perkembangan terbaharu ini, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di mana PAS menguasai 14 kerusi DUN, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR)  pula satu kerusi.

Jika benar Ahmad dan Ghazali keluar meninggalkan Umno ini bermakna kedudukan kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) boleh tumbang seandainya mereka memilih untuk menyokong pakatan sebagai wakil Bebas.

Dan jika ini berlaku, Ahmad Razif hanya sempat menyandang jawatan menteri besar untuk beberapa jam sahaja iaitu yang tersingkat dalam sejarah negeri itu.

Terdahulu, pada pukul 9.25 malam Isnin, Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu bagi menggantikan Ahmad Said dihadapan Sultan Terengganu, sultan Mizan Zainal Abdin di Istana Syarqiyyah di Cendering dekat Kuala Terengganu.

Spekulasi memuncak kebelakangan ini  bahawa Ahmad akan digantikan berikutan adanya perjanjian tidak rasmi beliau bersetuju mengekalkan jawatan menteri besar untuk selama setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tahun lalu.

Ahmad dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas menerima watikah pelantikan daripada Sultan Terengganu pada 9 Mei 2013.

Beliau pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 22 Mac 2008.

- mSTAR


 

Isnin, September 16, 2013

Chin Peng Meninggal Dunia Di Thailand pada 16 September


Chin Peng Meninggal Dunia Di Thailand

Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok, pada pukul 6.20 pagi Isnin.

Dia berusia 90 tahun.

Menurut laporan Bangkok Post, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua meninggal dunia akibat sakit tua.

Laporan itu juga menyebut saudara-mara akan mengadakan upacara pengebumian pada Jumaat.

Chin Peng yang lahir pada 20 Oktober 1923 mempunyai seorang anak lelaki di Malaysia sementara anak perempuaanya kini menetap di Australia.

Berdasarkan laporan berita, Chin Peng mempunyai empat orang abang.

Seorang daripadanya merupakan bekas guru besar di Ipoh sementara seorang lagi merupakan ahli perniagaan di Pulau Pinang.

Manakala dua yang lain bekerja sebagai jurutera di New Zealand.

Chin Peng diberikan pasport orang asing oleh kerajaan Thailand dan hidup dalam buangan selepas mengetuai pemberontakan gerila PKM dan berjuang menentang British dan tentera Komanwel untuk menubuhkan sebuah negara Komunis bebas.

Pemberontakan komunis gagal dan dia hidup dalam buangan di Thailand dan tidak dibenarkan untuk kembali ke Malaysia

Dalam satu temuramah bersama wartawan The Star pada 2009, Chin Peng menaruh harapan untuk mati di tempat kelahirannya, iaitu Setiawan di Perak.

Tetapi dia juga berkata, jika harapannya itu tidak dapat dipenuhi, dia ingin abu mayatnya dibawa balik untuk ditanam di samping kubur bapanya.

Pada 2008, cubaan bekas pemimpin komunis ini untuk mendapatkan perisytiharan dibenarkan masuk dan hidup di Malaysia terhalang selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memintanya mengemukakan dokumen kelahiran dan kewarganegaraan untuk membuktikan dirinya warganegara Malaysia sebelum dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia.

- mSTAR



Khamis, Ogos 15, 2013

Suami pukul isteri dalam lif diburu


GEORGETOWN - Rakaman video seorang isteri dibelasah suaminya yang tersebar di laman Youtube sejak semalam kini sedang disiasat pihak polis.

Rakaman berdurasi 2 minit 20 saat itu bukan sahaja memaparkan aksi seorang isteri dipukul bertubi-tubi oleh suaminya malah turut diterajang lelaki terbabit di hadapan dua anak mereka di dalam lif.

Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku di lif sebuah hospital di Bandar Perda, Bukit Mertajam, kira-kira jam 4 petang, 12 Julai lalu.

Kejadian dikatakan berpunca akibat salah seorang anak mangsa enggan mengikut bapanya pulang.   

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, polis sudah menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun pada hari kejadian dan sedang memburu lelaki berkenaan.

Mazlan berkata, lelaki berusia 36 tahun itu adalah seorang penjawat awam dan bertugas di Jerantut, Pahang.

"Polis ke pejabatnya di Pahang pagi tadi, namun lelaki itu dimaklumkan tidak hadir bekerja.

"Tindakan suami itu keterlaluan kerana memukul isteri di hadapan anak yang baru berusia empat dan lima tahun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam di pipi, bengkak kepala dan sakit di bahagian pergelangan tangan.

Mazlan berkata, polis sudah mendapatkan perintah perlindungan sementara (IPO) untuk menghentikan perbuatan suaminya dan memberi perlindungan kepada mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

- SINAR HARIAN
 

Selasa, Julai 30, 2013

Pengasas AmBank mati ditembak


Pengasas Arab-Malaysian Bank (sekarang AmBank Group), Hussain Ahmad Najadi, seorang warga Iran mati, manakala isterinya cedera ditembak di kawasan parkir kereta di Lorong Ceylon, berhampiran Tokong Kuan Yin, di Kuala Lumpur pada Isnin.

Sebelum kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang berusia 75 tahun dan isteri, Cheong Mei Kuan, 49, mengunjungi tokong berkenaan, dipercayai untuk berbincang dengan seorang rakan niaga bergelar Datuk mengenai pembelian saham.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata sebaik selesai perbincangan kira-kira 20 minit itu, pasangan berkenaan keluar meninggalkan tokong berkenaan.

Penjenayah tunggu luar tokong Ketika berjalan ke keretanya, mangsa ditembak seorang lelaki yang dipercayai bersedia menunggunya di luar tokong.
“Hussain disahkan mati di tempat kejadian selepas terkena dua das tembakan di dada dan rusuk kiri, manakala isterinya cedera pergelangan tangan kiri dan paha kanan,” katanya semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai didalangi tiga lelaki berusia 30-an hingga 40-an yang menunggu di luar rumah ibadat itu sebelum menembak pasangan terbabit sejurus mereka keluar.

“Suspek dipercayai melarikan diri menaiki teksi. Siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya.


Urusan perniagaan

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, manakala isterinya dirawat di Hospital Tung Shin.

Difahamkan, siasatan awal polis mendapati kejadian ada kaitan dengan urusan perniagaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengerusi AmBank Group, Tan Sri Azman Hashim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Hussain. Beliau terkejut dengan kejadian kerana pernah bekerjasama bagi mengambil alih syarikat perbankan berkenaan pada 1982.

Beberapa individu dalam industri perbankan Malaysia menyatakan kejutan dan kesedihan mereka atas kematian bekas Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (kini Kumpulan AmBank), Hussain Ahmad Najadi.

Pengerusi AmBank Group, Tan Sri Azman Hashim berkata, beliau amat sedih dengan kejadian malang itu dan menyatakan ucapan takziah kepada keluarga Najadi.

Seorang veteran dalam industri perbankan yang enggan dikenali berkata, beliau mengenali Najadi sebagai seorang ahli perniagaan yang agresif dan bercita-cita tinggi.

Seorang lagi pemerhati industri berkata, Najadi dikenali di kalangan kenalan dalam industri kewangan sebagai seseorang yang "bertenaga" kerana masih terlibat secara aktif dalam perniagaan walaupun dalam sudah berusia.

Profesor Universiti Malaya dan bekas pengurus bank, Datuk Dr R. Thillainathan berkata, kali terakhir beliau bercakap dengan Najadi adalah pada pukul 11 pagi Isnin.

"Kami bercakap tentang buku yang mahu ditulis oleh Najadi. Ia adalah mengenai kemerosotan Barat," katanya kepada The Star pada Isnin.

Beliau juga berkata, Najadi merupakan seorang tokoh yang dihormati dalam industri perbankan, khususnya dalam perbankan pelaburan, katanya.

Dr Thillainathan juga memetik dalam artikel oleh StarBizWeek pada 8 Oktober 2003, sebagai berkata bahawa Najadi merupakan seorang pengurus bank pelaburan yang baik, seorang perintis dan seorang yang membawa pembaharuan.

Merupakan anak kelahiran Bahrain, Najadi yang berusia 75 tahun pernah memegang jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Arab Investments for Asia Kuwait Ltd (AIAK), which yang diasaskan oleh AMBG pada 1975.

Najadi keluar daripada senario perbankan tempatan pada tahun 1982 selepas menjual kepentingannya dalam AMBG kepada Azman, yang kemudiannya menerajui kumpulan dan dinamakan semula sebagai AmBank.

Najadi yang begitu pakar dalam kewangan kembali ke Malaysia kira-kira 10 tahun lalu lalu selepas berada di luar negara selama 20 tahun.

Beliau kekal sebagai tokoh yang terkenal dalam industri kewangan sebagai ketua AIAK, yang dikatakan menjadi penghubung kewangan antara negara-negara pengeluar minyak di Timur Tengah, Malaysia dan rantau Asean.

- BERITA HARIAN

 

Isnin, Julai 15, 2013

SKMM Siasat Pasangan Persenda Ramadan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyelesaikan siasatan ke atas penulis blog berunsur seks, Alvin Tan dan Vivian Lee secepat mungkin kerana melibatkan kepentingan awam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Industri Pengawasan Zulkarnain Mohd Yassin,berkata kedua-dua individu tersebut telah merekodkan kenyataan mereka di pejabat SKMM berhubung posting yang memaparkan gambar mereka sedang makan bak kut teh (sup tulang babi) dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa'di laman Facebook mereka.

"Orang ramai tahu perkembangan mengenai isu ini. Sebagai agensi penguatkuasa, kita mahu segera menyiapkan siasatan kes ini secepat mungkin," katanya sambil menambah kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Punca masalah dalam isu ini masih belum dikenalpasti. Kita berharap untuk menjalankan siasatan dalam tempoh yang singkat namun pihak kami tidak akan tergesa-gesa.

"Masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian atau spekulasi. Biar pihak kami menyelesaikan siasatan dan kami akan maklumkan kepada anda hasilnya nanti," kata Zulkarnain.

SKMM berkata mereka membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak mengemukakan komen, video dan gambar yang sensitif serta memuat naik bahan berkenaan di laman media sosial mereka.

"Jangan menghantar semula bahan yang sensitif ini. Sila lapirkan sesuatu yang anda lihat di media sosial kepada kami," kata Penasihat Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sheikh Raffie Abdul Rahman.

Alivin dan Vivian hadir ke pejabat SKMM di bangunan Sultan Abdul Samad pada Isnin untuk memberi keterangan mereka dalam isu berkenaan.

"Kami dimaklumkan pasangan berkenaan tiba untuk membantu siasatan pada pukul 10.46 pagi dan kedua-duanya hadir secara sukarela," kata Zulkarnain.

Pasangan berkenaan telah memadamkan posting sensitif tersebut dengan menggantikan dengan sekeping gambar baru yang memaparkan mereka sedang makan ketupat, rendangan dan karipap sebelum akaun Facebook mereka terus ditutup.

Mereka juga memuat naik sebuah video memohon maaf atas tindakan mereka itu yang disiarkan di laman Youtube petang ini susulan reaksi negatif pelbagai pihak yang mengecam tindakan mereka.

Dalam video berdurasi 1 minit 22 saat yang berbahasa Melayu beserta sari kata Bahasa Inggeris, Alvin berkata mereka tidak berniat menghina, mempersenda atau memperlekehkan Islam mahupun mencetuskan perbalahan kaum.

"Kami amat menyesali perbuatan kami yang tidak hormat kepada kepercayaan dan sensitiviti agama di Malaysia yang berbilang kaum ini," katanya di dalam videoitu.

Pasangan berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Mengikut akta berkenaan, jika sabit kesalahan pasangan terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

- mSTAR

Recent Posts