Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 31, 2010

Mad Men ungguli Anugerah Emmy ke-62

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Siri televisyen Mad Men memenangi siri drama terbaik pada Anugerah Emmy ke-62 kelmarin manakala Modern Family dipilih menjadi rancangan komedi terbaik.

Siri Mad Men yang menceritakan tentang kisah sebuah agensi pengiklanan pada tahun 1960-an, memenangi anugerah berkenaan untuk tahun ketiga berturut-turut.

Menyingkap kisah lucu tiga keluarga di AS, Modern Family mengetepikan juara tahun lalu, 30 Rock untuk dinobatkan sebagai siri komedi terbaik.

Filem televisyen, Temple Grandin yang menyorot ketabahan seorang pesakit autism wanita, turut cemerlang apabila membolot tiga anugerah pada malam itu.

Bintang Temple Grandin, Claire Danes dinamakan aktres terbaik untuk siri mini dengan rakannya, Julia Ormond memenangi kategori pelakon pembantu wanita terbaik manakala seorang lagi pelakon filem itu, David Strathairn meraih anugerah pelakon lelaki terbaik.

Bintang-bintang Hollywood membanjiri Teater Kodak di sini kelmarin bagi menjayakan acara gilang gemilang yang memberi pengiktirafan kepada para penggiat dalam industri televisyen di negara itu

Drama komedi muzikal Glee yang julung kalinya dicalonkan untuk Emmy dengan 19 pencalonan hampa apabila cuma memenangi dua anugerah.

Turut menang pada malam itu termasuk filem epik Perang Dunia Kedua, The Pacific sebagai siri mini unggul dengan mengalahkan 101 pencalonan lain pada tahun ini.

Filem tersebut diterbitkan oleh aktor veteran, Tom Hanks dan menampilkan Steven Spielberg sebagai pengarah.

- AFP

Jumaat, Februari 05, 2010

Ulama kecam filem Hantu Puncak Datang Bulan


Sebuah filem seram terbaru Indonesia mengenai hantu mendapat kecaman Masjlis Ulama Indonesia (MUI) semalam

Filem Hantu Puncak Datang Bulan dikecam oleh ulama-ulama kanan Indonesia selepas ia mula ditayangkan di sini semalam.

"Saya telah menonton filem itu... ia mengandungi adegan seks, keganasan dan penyeksaan. Saya menggesa badan penapisan supaya membatalkan kelulusan penayangannya," kata seorang pegawai MUI, Amirsyah Tambunan.

Bagaimanapun menurutnya, MUI tidak merancang untuk mengeluarkan fatwa bagi melarang orang Islam daripada menonton filem itu.

Hantu Puncak Datang Bulan mengandungi adegan ganas dan erotik melibatkan aktres Andi Soraya yang berlakon dalam keadaan hampir bogel.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin Islam mengecam rancangan membawa masuk bintang porno Jepun Maria Ozawa, 23, atau lebih popular dengan panggilan Miyabi ke Indonesia untuk membintangi filem Menculik Miyabi.

Petikan filem itu boleh dilihat menerusi laman web YouTube yang mengandungi adegan seks termasuk potong kepala.

Penerbit filem itu, K.K. Dheeraj dari penerbitan K2K mengambarkan filem itu sebagai bercirikan komedi iaitu mengenai wanita yang meninggal dunia semasa didatangi haid sebelum dia bertukar menjadi hantu bagi membalas dendam.

- Agensi

Jumaat, September 11, 2009

Kos terbit filem Jebat RM5.5 juta

Kalau disebut apakah filem bercorak epik dan sejarah yang pernah dihasilkan di negara ini, pastinya kita akan teringat filem Puteri Gunung Ledang.

Andai mahu diselak direktori filem tempatan dari tahun 1940 sehinggalah sekarang, bilangan filem yang bercorak patriotik, epik mahupun sejarah jumlah yang dihasilkan sekitar 20 buah filem sahaja.

Antara filem-filem bercorak sedemikian yang pernah menghiasi sinema tempatan adalah seperti Mat Salleh Pahlawan Sabah (1983), Yassin (1988), Sumpahan Mahsuri (1989), Raja Melewar (1998), Leftenan Adnan (2000) dan 1957 Hati Malaya (2007).

Entah di mana silapnya, filem-filem sebegini kurang mendapat perhatian penonton tempatan dan mencatatkan kutipan yang cukup menyedihkan.

Apakah masalah utama filem epik, sejarah dan patriotik yang dihasilkan anak tempatan ini gagal di gelanggang sendiri?

Adakah kerana masalah skrip, pemilihan pelakon atau suntingan yang tidak berkesan sehingga filem-filem genre ini dilabel sebagai yang membosankan dan meleret-leret?

Sebagai contoh, filem 1957 Hati Malaya yang diarahkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba dilabelkan sebagai sebuah filem sejarah yang mampu menjadi kebanggaan negara.

Sayang sekali, ia juga kecundang di pasaran tempatan biarpun 1957 Hati Malaya dianggap sebagai naskhah terbaik.

Hakikatnya, untuk menghasilkan filem bercorak epik dan sejarah ia mengundang risiko yang tinggi berikutan bajet yang besar diperlukan untuk mengangkat sesebuah karya itu ke layar perak.

Namun bagi Jufry Anuar Azmi, dia sanggup mengambil risiko itu dan bersedia berdepan dengan kritikan apabila filem sulung terbitannya, Jebat dijangka ditayangkan tahun depan.

Jufry memang baru dalam dunia perfileman dan dia sendiri mengakui, tiada pengalaman dalam penerbitan filem.

Namun, atas kecintaan pada filem, dia sanggup melaburkan RM5.5 juta untuk menerbitkan Jebat.

Jebat merupakan filem pertama terbitan syarikatnya, Jufry Anuar Film Production dan bakal menjalani penggambaran sekitar Melaka dan Pulau Pangkor selepas Aidilfitri nanti.

Untungnya Jufry, dia dikelilingi oleh mereka yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni dan kelebihan itu banyak membantunya untuk merealisasikan Jebat.

Persoalannya, sebagai seorang penerbit baru dan langsung tiada pengalaman dalam bidang perfileman, mengapa filem bercorak epik dan sejarah menjadi pilihannya?

Sedangkan, penerbit yang sedia ada pun tidak berani menerbitkan filem seumpama itu sebaliknya hanya menghidangkan filem komedi, cinta atau seram.

Sewaktu berkunjung ke ibu pejabat Hits baru-baru ini, Jufry menjelaskan rasionalnya.

"Sebab saya memilih untuk menerbitkan filem ini ialah kerana hanya genre ini sahaja yang saya arif. Jujurnya, sewaktu memulakan projek filem ini pun saya tidak tahu filem Jebat mampu menjadi sebesar ini sehinggalah saya diyakinkan oleh orang-orang yang berpengalaman di sekeliling saya," katanya.

Tambah Jufry, ideanya untuk menerbitkan filem Jebat bermula hampir empat tahun lalu dan apa yang mahu difokuskan dalam naskhah ini ialah jalan cerita filem itu.

Apatah lagi, sebelum ini belum pernah lagi kisah pahlawan Hang Jebat diangkat ke layar perak dan dia mahu menjadikan filem ini sebagai karya yang mampu dibanggakan.

"Kalau diperhatikan, pergolakan politik yang berlaku sekarang sebenarnya merupakan refleksi kepada apa yang pernah berlaku di Melaka sekitar 550 tahun lalu.

"Kerana itu saya mahu filem ini diterbitkan dan mahu menunjukkan kepada masyarakat betapa pentingnya kekuatan dan perpaduan yang perlu disemai serta dipelihara seiring dengan gagasan 1Malaysia," ujarnya penuh bersemangat.

Matlamat lain Jufry menerbitkan Jebat juga ialah untuk mempelbagaikan kisah sejarah negara yang sememangnya cukup banyak yang boleh diketengahkan.

Filem yang bakal diarahkan oleh Zack Idris itu kelak akan mengambil kisah dalam tempoh pergolakan politik yang berlaku ketika Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah.

Jufry juga mengakui, bukan satu kerja yang mudah untuk menghasilkan filem sebegini dan kerana itu, dia banyak membaca buku-buku sejarah seperti Sejarah Kesultanan Melaka dan Hikayat Hang Tuah.

"Filem Jebat akan menjadi sebuah filem yang penuh dengan aksi dan peperangan selain diselitkan elemen percintaan.

"Tentang pemilihan Zack sebagai pengarah, saya memilihnya kerana percaya dengan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang dimilikinya.

"Saya tahu dia belum pernah mengarah filem cereka tetapi setelah duduk dan berdiskusi dengannya, saya lihat semangatnya tinggi untuk mengarahkan filem," katanya yang juga sudah merancang projek filem seterusnya biarpun Jebat belum memulakan penggambaran lagi.

Jufry juga memberitahu, Jebat akan menjadi sebuah filem yang sarat dengan teknik pengimejan janaan komputer (CGI) di samping menggunakan teknik kamera yang paling canggih dari Austria.

Bukan itu sahaja, Jufry juga berjaya mendapatkan pakar teknik kesan khas yang pernah terlibat dalam filem-filem blockbuster Hollywood seperti Spider-Man 3, Terminator Salvation, I Am Legend dan Valkyrie.

Mengenai pelakon pula, ada beberapa nama yang bermain di fikirannya dan nama Remy Ishak antara pelakon yang difikir layak membawakan watak Jebat.

"Tetapi, saya tetap akan membuat uji bakat baik untuk pelakon baru mahupun yang ada nama kerana terdapat 33 watak dalam filem ini," katanya.

Uji bakat terbuka untuk filem Jebat sudah pun bermula sejak 10 September lalu dan berakhir pada 13 September ini.

Bagi mereka yang berminat untuk menghadirinya, bolehlah datang ke pejabat Jufry Anuar Film Production di B5-3-1, B5-3-2, Megan Salak Park, Jalan 1/125E, Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur.

Sementara itu, uji bakat untuk pelakon pula hanya akan diadakan pada 12 dan 13 Oktober depan.

Uji bakat bermula pukul 10 pagi dan sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi 03-9057 1178.

- UTUSAN

Selasa, Ogos 18, 2009

Ahli politik jadi pelakon dalam 15Malaysia


Bagaimana agaknya bila Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bertukar profesion sebagai pemandu teksi? Mungkin kedengaran agak mustahil, namun gelagat Khairy sebagai pemandu teksi ini boleh disaksikan menerusi filem pendek berjudul Taxi Driver arahan Benji Lim dan Bahir Yeusuff.

Bukan saja Khairy, beberapa ahli politik lain seperti Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua juga turut membintangi filem-filem pendek di bawah projek 15Malaysia, yang mendukung semangat konsep 1MALAYSIA.

15MALAYSIA merupakan 15 filem pendek yang diarahkan oleh 15 pembikin filem di negara ini. Filem-filem pendek tersebut menggarap semangat 1Malaysia yang menyentuh tentang perpaduan dan diversiti masyarakat negara ini.

Setiap filem cuma memakan masa antara tiga hingga enam minit. Ia menggunakan pelbagai bahasa yang selalu digunakan di negara ini.

Setiap filem akan dikeluarkan dalam empat versi iaitu Bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

15MALAYSIA diilhamkan oleh penyanyi dan penulis lagu, Pete Teo. Menurut beliau, idea melahirkan 15MALAYSIA timbul pada enam bulan lalu dan tempoh pembikinannya memakan masa tiga bulan.

Kebanyakan pembikin filem yang terpilih dalam 15MALAYSIA itu pernah memenangi anugerah filem di peringkat antarabangsa.

"Filem-filem tersebut bukan sahaja menghiburkan, bahkan ia mengajak para penonton berfikir mengenai mesej tersirat di sebaliknya.

"15MALAYSIA merupakan platform kepada pembikin filem kreatif tanahair untuk mengetengahkan isu-isu tertentu dari perspektif mata dan hati nurani masing-masing. Mereka membikin filem tersebut dengan semangat 1MALAYSIA," kata Pete Teo semasa sesi pelancaran P1 Malaysian Filmmaker Showcase Presenting 15MALAYSIA ("15MALAYSIA") di IMAX theatre, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, semalam.

Antara pengarah atau pembikin filem 15MALAYSIA ialah Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Ho Yu Hang, Khairil Bahar dan Tan Chui Mui.

Barisan pelakonnya terdiri daripada beberapa selebriti, pelakon, pemuzik dan ahli politik. Menariknya, ahli-ahli politik tersebut datang daripada parti berbeza, baik dari kerajaan mahupun pembangkang.

Semua filem tersebut boleh ditonton melalui Youtube serta boleh dimuat turun di laman www.15malaysia.com. Filem-filem dalam 15MALAYSIA menyentuh bukan sahaja hubungan antara kaum malah pelbagai isu sosial dan politik yang dihadapi rakyat negara ini.

Tema 15 cerita pendek tersebut berkisar kepada perkara-perkara berkaitan rakyat negara ini - sesetengahnya lucu, serius, menguji minda selain futuristik. Bukan semua filem adalah komedi.

15 filem pendek yang diinspirasikan oleh kehidupan Malaysia: Chocolate (oleh Yasmin Ahmad), Potong Saga (Ho Yuhang), Gerhana (James Lee), One Future (Tan Chui Mui), The Tree (Amir Mohammad), Halal (Liew Seng Tat), Lollipop (Nam Ron), Taxi Driver (Benji Lim & Bahir Yeusuff), Healthy Paranoia (Khairil Bahar), Duit Kecil (Johan John), Slovak Sling (Wong Ming Jin), Rojak (Suleiman Brothers), House (Linus Chung), Lumpur (Kamal Sabran) dan The Son (Desmond Ng).

Penyertaan personaliti popular termasuk Harith Iskandar, Sharifah Amani, Daphne Iking, Amber Chia, Adibah Noor, Namewee, Atilia, Jay Menon, Baki Zainal dan Bront Palarae.

Lain-lain pelakon ialah Serena Choong, Hon Kahoe, Jason Lo, Patrick Teo, Sarah Lian, Nam Ron, Ciplak, Azmyl Yunor, Ida Nerina, Lorna Hoong, Baki Zainal dan Nick Dorian.

Laman-laman rasmi 15MALAYSIA ialah www.p1.com.my/15my, www.15malaysia.com dan www.ruumz.com/15Malaysia.

KOMEN-KOMEN PENGARAH DAN PELAKON

Pengarah 'The Tree', Amir Mohammad

"Saya tengah membuat penggambaran di Kelantan dan ingin mencari personaliti tertentu. Saya terfikirkan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat lalu bekerjasama dengan beliau.

"Saya meminta beliau membaca yasin untuk filem berkaitan mesej ekonomi yang beretika. Apabila anda menanam sepohon pokok, anda perlu memberi atau memulangkan hasilnya kepada rakyat. Konsepnya cukup luas."

Pengarah 'Potong Saga', Ho Yuhang

"Idea membuat komedi melucukan 'Potong Saga' datang secara spontan ketika saya berjenaka dengan Allahyarhamah Yasmin Ahmad. Tujuan saya hanya untuk membuat para penonton ketawa terbahak-bahak menyaksikan komedi saya."

Pelakon 'Health Panaroia', Baki Zainal

"Apabila saya memasuki pejabat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, saya begitu takut sekali. Perasaan gemuruh itu reda apabila beliau amat teruja menjayakan lakonan itu.

"Datuk Seri Liow seorang yang terbuka. Kami hanya berlatih sekali dan terus membuat penggambaran. Malah, beliau meminta ia dilakukan secara spontan, tanpa terbatas oleh skrip.

"Bagi saya, beliau ialah seorang ahli politik dan pelakon."

Pelakon 'Taxi Driver', Baki Zainal

"Berlakon bersama Yang Berhormat Khairy Jamaluddin memberikan pengalaman baru kepada saya. Beliau amat profesional. Beliau meminta saya menjerit kepadanya dalam satu babak 'Taxi Driver'.

- MSTAR

Ahad, Ogos 09, 2009

FFM22: Yasmin Ahmad dinobat Pengarah Terbaik

Filem hasil karya Allahyarham Yasmin Ahmad, Talentime, ternyata membawa tuah buat pengarah tersohor itu apabila beliau berjaya dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, malam tadi.

Adik Allahyarham, Datin Orked Ahmad, yang menerima anugerah tersebut bagi pihak Allahyarham telah membawa pulang trofi kemenangan dan wang tunai berjumlah RM20,000 di atas pengiktirafan tersebut.

Orked yang hadir di acara berprestij itu bersama ibubapanya, Inom Yom dan Ahmad Hashim, menerima anugerah tersebut di dalam keadaan sebak.

"Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang berada di sisi ketika kami dibendung kesedihan kerana kehilangannya. Saya rasa kakak saya pasti bersyukur dan gembira menerima anugerah Pengarah Terbaik.

"Ini adalah anugerah yang diimpikannya. Kakak saya membuat filem bukan untuk anugerah, tetapi dia buat filem untuk Mak dan Abah serta untuk gambarkan suasana pahit manis kehidupan sebenar.

"Saya harap, semua orang dapat memaafkan kesilapan kakak saya dan doakan agar rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman," luah Orked ketika menerima anugerah itu.

Selain gelaran Pengarah Terbaik, Yasmin turut memenangi kategori Lakon Layar Terbaik menerusi filem tersebut dan menerima trofi dan wang kemenangan sebanyak RM15,000.

Talentime turut menyaksikan kemenangan bagi ketegori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Mohd Shafie Naswip, Pelakon Harapan Wanita oleh Jaclyn Victor serta Anugerah Khas Juri.

Dalam pada itu, FFM22 yang mengangkat tema Filem Malaysia Ke Persada Dunia ini turut menyaksikan filem Papadom arahan Afdlin Shauki, dinobatkan sebagai Filem Terbaik. Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd itu memenangi trofi dan wang tunai RM50,000 di atas kemenangan tersebut.

Menerusi filem yang bakal ditayangkan di pawagam pada 8 Oktober itu, Afdlin juga turut dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik serta merangkul sebuah lagi anugerah, Cerita Asal Terbaik.

Afdlin turut melakar sejarah tersendiri dalam pencapaian seninya apabila turut mendapat pengiktirafan menerusi sebuah lagi filem terbitan dan arahannya, Los Dan Faun, yang dinobatkan sebagai Filem Komedi Terbaik.

Ketiga-tiga kejayaan itu menyaksikan Afdlin memenangi RM15,000 bagi setiap kategori.

Dalam pada itu, bintang muda Liyana Jasmay telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, juga menerusi filem Papadom. Turut diumumkan sebagai pemenang pada malam kemuncak FFM22 itu ialah pelakon Salina Saibi yang memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

FFM22 turut memberi penghormatan kepada Allahyarham Yasmin Ahmad yang meninggal dunia pada 25 Julai lepas, menerusi segmen khas yang memaparkan petikan karya-karyanya selama ini.

Penyanyi dan pelakon Adibah Noor tampil sebagai suara latar bagi segmen tersebut, sebelum disusuli dengan persembahan nyanyian oleh Stacy dan Rey, masing-masing menyampaikan lagu Angel dan Pergi.

Acara gilang-gemilang ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Sabah Tun Ahmadshah Abdullah, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Berikut adalah senarai pemenang keseluruhan FFM22:

Anugerah Perdana (14 anugerah)
Filem Terbaik - Papadom
Pengarah Terbaik - Yasmin Ahmad (Talentime)
Pelakon Lelaki Terbaik - Afdlin Shauki (Papadom)
Pelakon Wanita Terbaik - Liyana Jasmay (Papadom)
Lakon Layar Terbaik - Yasmin Ahmad (Talentime)
Cerita Asal Terbaik - Afdlin Shauki (Papadom)
Sinematografi Terbaik - Mohd Nor Kasim (Setem)
Penyunting Terbaik - Faizul Mohd Noh (Setem)
Skor Muzik Asal Terbaik - Syed Ahmad Faizal (Papadom)
Filem Komedi Terbaik - Los dan Faun
Filem Animasi Terbaik - My Telatori (The One Academy of Communication Design)
Filem Pendek Terbaik - Permata Bonda (Universiti Sains Islam Malaysia)
Filem Digital Terbaik - Aathma (Demaz Entertainment)
Filem Dokumentari Terbaik - Bumi Pribumi (Finas & Q-Plez Communication)

Anugerah Cipta (11 anugerah)
Pengarah Harapan - James Lee (Histeria)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Mohd Shafie Naswip (Talentime)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Salina Saibi (Bohsia:Jangan Pilih Jalan Hitam)
Penataan Seni Terbaik - Nazrul Asraff Mahzan (Setem)
Penataan Bunyi Terbaik - Mohd Mohsin Osman (Cicakman 2)
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik - Mohd Hadziq (Syurga Cinta)
Pelakon Harapan Lelaki - Zahiril Adzim (Kami The Movie)
Pelakon Harapan Wanita - Jaclyn Victor (Talentime)
Pereka Kostum Terbaik - Shen Imagineering (Cicakman 2)
Lagu Tema Asal Terbaik - Sayangku Di Sisimu (Jin Hutan)
Poster Terbaik - Histeria

Filem Box-Office - Geng Pengembaraan Bermula
Anugerah Penggiat Belakang Tabir - Omar Man
Anugerah Pelakon Veteran Wanita - Mariani Ismail
Anugerah Pelakon Veteran Lelaki - S.Shamsudin

Penerima Anugerah Khas Juri
Talentime
Kami The Movie
Histeria
Geng Pengembaraan Bermula

- MSTAR

Recent Posts