Memaparkan catatan dengan label Dunia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dunia. Papar semua catatan

Rabu, Januari 25, 2023

Budak IQ tinggi mula membaca ketika 2 tahun

 


Seorang budak lelaki berusia empat tahun di Britain menjadi antara ahli termuda sebuah pertubuhan untuk golongan yang mempunyai tahap kecerdasan otak yang (IQ) tinggi, Mensa, selepas dia belajar membaca pada usia dua tahun, lapor akhbar Daily Mirror.

Teddy Hobbs, mula membaca semasa perintah berkurung akibat pandemik Covid-19 dilaksanakan. Ketika baru berusia satu tahun dan enam bulan, dia boleh membaca buku dengan lancar di hadapan ibu bapanya, Beth dan Will.

Selain itu, Teddy turut belajar mengira sehingga angka 100 dalam enam bahasa termasuk Mandarin, Wales, Perancis, Sepanyol dan Jerman.

“Dia sentiasa berminat dengan buku. Justeru, kami memastikan dia mempunyai banyak buku,” kata Beth.

Beth dan Will selain itu turut keliru dengan bakat anak mereka yang menyebabkan mereka menghubungi perunding kesihatan untuk meminta penilaian dibuat ke atas Teddy.

Pasangan itu kemudian mendekati Mensa untuk mendapatkan bimbingan dan ketika berusia tiga tahun dan tujuh bulan, Teddy menjalani penilaian dalam talian selama sejam bersama pakar.

Pakar kemudian mendedahkan bahawa Teddy mendapat 99.5 peratus untuk ujian IQ dan dia kemudian diterima menjadi ahli Mensa.

Sebelum ini, seorang budak lelaki dari Malaysia berusia tiga tahun yang tinggal di Britain, Haryz Nadzim Mohd Hilmy Naim menjadi anggota termuda Mensa selepas mendapat 142 markah dalam ujian Stanford Binet iaitu penilaian keupayaan kognitif untuk mengukur IQ pada tahun 2020. –

Sumber : AGENSI


Khamis, April 21, 2022

Aplikasi pintar kesan jangkitan Covid-19

 


Sekumpulan saintis membangunkan sebuah  aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan sama ada seseorang itu telah dijangkiti virus Covid-19, lapor portal berita MailOnline

Aplikasi dinamakan ResApp itu menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI)  untuk menganalisis bunyi batuk seseorang. Aplikasi itu dikatakan mempunyai ketepatan sebanyak  92 peratus.

“Skala besar bagi pandemik global ini  bermaksud kita memerlukan lebih banyak alat diagnosis  yang boleh mengimbangi kebergantungan kepada ujian antigen pantas dan tindak balas rantaian polimerase transkripsi balikan (PCR).

“Penggunaan ResApp secara meluas dapat mengurangkan keperluan ujian saringan antigen pantas dan PCR.

“Dalam masa sama, kita masih mengekalkan kawalan penyakit yang diperlukan untuk menguruskan impak Covid-19,” kata ahli Lembaga Penasihat Saintifik Covid-19 ResApp, Profesor Catherine Bennett.

Ujian bagi menilai keberkesanan aplikasi tersebut telah dijalankan terhadap  741 individu di Amerika Syarikat dan India, termasuk 446 yang dijangkiti Covid-19.

Sumber dari Berita Agensi

Sabtu, Mac 05, 2022

Rusia guna ‘bola intipan’ perangi tentera Ukraine

 

 

Sejenis alat intipan berteknologi tinggi yang dikenali sebagai Sphera didakwa digunakan oleh tentera Rusia sebagai salah satu senjata utama untuk memerangi Ukraine, lapor akhbar Daily Star semalam.

Bebola robot berharga £18,500 (RM102,297) itu dikatakan pernah diuji ketika pertempuran di Syria, di mana ia digunakan untuk mendapatkan maklumat risikan rahsia.

Gajet yang kelihatan seperti droid BB-8 dalam  filem Star Wars itu digunakan dengan cara melemparnya ke kawasan pertempuran atau zon konflik.

Menggunakan empat kamera video dengan sudut pandangan 360 darjah, Sphera berupaya mengumpul gambar dan audio untuk dihantar kepada operasi tentera sejauh hingga 50 meter.

Ia juga mempunyai lampu diod pemancar cahaya (LED) serta mikrofon dan pemancar untuk menghantar isyarat radio selain boleh beroperasi dalam suhu ekstrem serendah  -20 darjah Celsius hingga lebih 45 darjah Celsius.

Sphera dilaporkan mula digunakan oleh Rusia dalam pertempuran di Syria pada 2018 ketika memberi bantuan ketenteraan kepada rejim Presiden Bashar al-Assad. 

Sumber dari AGENSI

 

Ahad, Februari 13, 2022

Wombat paling tua berusia 33 tahun

 

Guinness World Records mengisytiharkan seekor wombat yang tinggal di zoo Jepun sebagai yang tertua pernah dipelihara dalam kurungan selepas haiwan itu menyambut hari lahirnya yang ke-33, lapor United Press International (UPI) semalam.

Mamalia kelas marsupial yang berasal dari Australia dan dinamakan Wain itu mendapat gelaran tersebut secara rasmi dalam satu upacara di Zoo Satsukiyama, bandar Ikeda semalam.

Menurut pegawai-pegawai zoo, mereka menandakan bulan Januari sebagai ulang tahun Wain yang ke-33.

Wain memecahkan rekod seekor wombat jantan yang mati pada 2017 ketika berusia 32 tahun. Wombat yang dipelihara dalam kurungan biasanya akan hidup antara 20 hingga 25 tahun.

Pihak zoo memaklumkan bahawa Wain berada dalam keadaan sihat walaupun terdapat katarak pada mata haiwan itu. 

Sumber : Agensi

 

Rabu, Oktober 06, 2021

UFO dirakam mengelilingi letusan gunung berapi

 

Sebuah video menjadi tular di media sosial kerana memaparkan rakaman beberapa cahaya aneh daripada objek terbang tidak dikenali (UFO) yang sedang terbang menghampiri letusan gunung berapi, lapor akhbar Daily Star semalam.

Dalam klip video yang dikongsikan di laman perkongsian Reddit, gunung berapi Cumbre Vieja di La Palma, Sepanyol pada ketika itu sedang meletus sehingga memuntahkan lahar ke arah langit.

Beberapa titik cahaya berwarna terang kemudiannya muncul di bahagian kanan langit serta melintasi skrin video tersebut.

Ia kemudiannya berpusing di udara sebelum kembali menuju ke arah gunung berapi.

Video yang didakwa dirakam pada 30 September itu menerima tontonan lebih 1,000 kali dengan ramai pengguna cuba memberikan pendapat masing-masing mengenai kejadian itu.

“Dron? Sama ada itu atau makhluk asing mahukan rakaman gunung berapi yang cantik,” komen seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna kemudiannya menjelaskan bahawa objek itu tidak mungkin sebuah ‘dron biasa’ kerana haba daripada lahar gunung berapi akan mencairkan dron dan bidang magnetik yang kuat akan mengganggu isyarat alat kawalan jauh.

Sumber : Agensi