Memaparkan catatan dengan label Dunia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dunia. Papar semua catatan

Khamis, November 26, 2020

Diego Maradona meninggal dunia

 

Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona meninggal dunia pada umur 60 tahun, menurut jurucakap keluarganya.

Maradona antara pemain terbaik sepanjang zaman dan juga bekas kapten Argentina, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau juga baru sahaja menjalani pembedahan otak awal bulan ini.

Presiden Argentina, Alberto Fernandez serta-merta mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara. 

Sebelum berita mengejutkan itu, media Argentina melaporkan Maradona mengalami masalah kesihatan yang serius dan dipantau rapi doktor di rumahnya di utara Buenos Aires.

Maradona bersama skuad kebangsaan Argentina menjulang Piala Dunia pada 1986.

Beliau dilaporkan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan pada 30 Oktober, tetapi kemudiannya diumumkan telah menjalani satu pembedahan di bahagian kepala.

Maradona dibenarkan pulang pada 12 November. - AFP

FAKTA:

Nama: Diego Armando Maradona Franco

Tarikh Lahir: 30 Oktober 1960

Tempat Lahir: Buenos Aires, Argentina

Kerjaya Bola Sepak:

Mewakili kelab -

* Argentinos Juniors (1976-81)

* Boca Juniors (1981-82)

* Barcelona (1982-84)

* Napoli (1984-91)

* Sevilla (1992-93)

* Newell's Old Boys (1993)

* Boca Juniors (1995-97)

Kaps Antarabangsa: 91 (1977-94)

Jaringan Gol Antarabangsa: 34 

Sumber: Berita Harian

 

Ahad, November 22, 2020

Kolam paling dalam di dunia dibuka di Poland

 

Sebuah kolam selaman sedalam 45.5 meter lengkap dengan gua bawah air dan runtuhan Maya buatan manusia,  dibuka dekat ibu kota Poland, Warsaw kelmarin.

Kolam selaman tersebut adalah yang paling dalam di dunia

Kolam yang diberi nama Deepspot itu turut menempat sebuah bangkai kapal kecil untuk diterokai penyelam skuba.

Kolam itu mempunyai kapasiti 8,000 kubik meter air atau lebih 20 kali ganda lebih banyak daripada kolam renang biasa.

Tidak seperti kolam renang biasa, Deepspot dibuka walaupun Poland menguatkuasakan sekatan koronavirus. Ini kerana kompleks itu menawarkan kursus selaman dan bukannya kolam renang awam.

“Ini ialah kolam paling dalam di dunia,” kata pengarah Deepspot, Michal Braszczynski, 47 kepada agensi berita AFP.

Pemegang rekod dunia Guinness sekarang adalah sebuah kolam di Montegrotto Terme, Itali yang mempunyai kedalaman 42 meter. Kolam di Poland itu masih menunggu pengesahan rasmi Guinness.

Kolam Blue Abyss yang dirancang untuk dibuka di Britain pada tahun 2021 pula akan memiliki kedalaman 50 meter. 

– AFP

Dua rangka mangsa letusan gunung berapi 79 Masihi ditemui

 

Mayat dua mangsa letusan Gunung Vesuvius hampir 2,000 tahun lalu digali di sebuah villa besar di pinggir bandar ini, menurut pegawai laman web arkeologi, semalam.

"Dua rangka individu yang terperangkap dalam letusan telah dijumpai," kata pegawai itu yang berada di tapak berkenaan berhampiran Naples, dalam satu kenyataan.

Penyelidik percaya, berdasarkan keadaan rangka mangsa berkenaan, ia dipercayai adalah seorang budak dan lelaki tua kaya, berusia sekitar 40-an yang mungkin pemilik villa, berdasarkan sisa pakaian dan penampilan fizikal mereka.

Kota Pompeii hancur akibat lumpur panas dan lava akibat letusan Gunung Vesuvius pada tahun 79 Masihi. 

Ia kini menjadi tempat tarikan pelancongan kedua yang paling banyak dikunjungi di Itali selepas Colosseum Rom, dengan hampir empat juta kunjungan tahun lalu.

Tapak besar seluas 44 hektar itu adakah sebahagian sisa dari salah satu bandar terkaya dalam empayar Rom.

Sisa letusan gunung berapi itu menenggelamkan banyak bangunan dan objek yang masih dalam keadaan asal termasuk mangsa yang meringkuk.

Penyelidik kemudian menganalisa tulang dan kemudian mencurahkan lepa seperti teknik yang diciptakan oleh Giuseppe Fiorelli pada tahun 1867 ke atas rangka itu.

Berdasarkan lepa itu, jelas memperlihatkan bentuk tubuh kedua-dua mangsa, dalam kedudukan terlentang, besar kemungkinan kedua-duanya terjatuh.

Kedua-dua rangka itu ditemui ketika kerja penggalian berterusan dijalankan di Civita Giuliana, sekitar 700 meter di barat laut Pompeii, di tapak sebuah villa yang menghadap ke Teluk Napoli, tempat yang sama ditemui kandang dan tiga ekor kuda.

Kedua-dua rangka itu dijumpai di ruang sisi 'cryptoporticus' di koridor di bahagian bawah villa, kemungkinan mereka ketika itu melarikan diri untuk mencari perlindungan.

Kerja penggalian diteruskan di tapak Pompeii susulan sektor pelancongan kini terpaksa dihentikan kerana pandemik COVID-19. 

Sumber : AFP

 

 

Sabtu, November 14, 2020

Mesir temui lebih 100 keranda kuno yang masih kukuh

 

Mesir mengumumkan penemuan lebih 100 keranda yang masih kukuh iaitu harta karun kuno yang dianggap sebagai satu penemuan terbesar tahun ini.

Keranda kayu yang tertutup itu dikatakan adalah milik pegawai tinggi Mesir purba.

Ia ditemui di tiga kubur pada kedalaman 12 meter di perkuburan Saqqara di selatan Kaherah.

Ahli arkeologi membuka satu keranda untuk mendedahkan seorang mumia dibungkus dengan kain kafan yang dihiasi dengan gambar hieroglif berwarna terang.

Saqqara adalah tempat pengkebumian ibu kota Mesir kuno Memphis iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Penemuan terbesar itu berlaku kira-kira sebulan selepas ahli arkeologi di kawasan itu menjumpai 59 keranda kayu lain yang terpelihara dan bertutup, dipercayai berusia 2,500 tahun yang lalu.

Menteri Antik dan Pelancongan, Khaled al-Anany, berkata Saqqara masih belum mendedahkan semua isinya kerana ini adalah harta karun.

"Kerja menggali masih diteruskan. Setiap kali kita mengosongkan serpihan kubur, kita menjumpai jalan masuk ke tempat lain.

"Lebih 40 patung dewa kuno dan topeng penguburan juga ditemui," katanya.

Katanya, penemuan itu akan diedarkan ke beberapa muzium di Mesir termasuk Muzium Besar Mesir yang belum dibuka di dataran tinggi Giza.

Beliau mengaitkan banyak penemuan di Saqqara dalam kerja penggalian yang dilakukan dalam beberapa tahun ini, malah akan mengumumkan beberapa penemuan baharu.

Ahli arkeologi juga berharap dapat menemui bengkel kuno untuk pembuatan keranda kayu untuk mumia tidak lama lagi, menurut Mostafa Waziri iaitu Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti.

Mesir berharap penemuan arkeologi akan mendorong pelancongan, iaitu sektor yang mengalami banyak kejutan sejak pemberontakan tahun 2011 hingga wabak COVID-19 hari ini. 

Sumber : AFP

 

 

Rabu, November 04, 2020

Pulau di Filipina terputus komunikasi, elektrik selepas taufan

 


Berkemungkinan lebih 260,000 penduduk di pulau Filipina terpaksa menunggu beberapa bulan lagi bagi penyambungan semula bekalan elektrik selepas taufan paling dahsyat melanda negara itu.

Sebanyak lapan bandar di Pulau Catanduanes terputus bekalan elektrik dengan dianggarkan 25,000 kediaman musnah akibat Taufan Goni dengan kelajuan angin maksimum 225 kilometer sejam (km/j).

Taufan itu membadai kawasan pulau pada Ahad sebelum turut mengenai bahagian hujung selatan pulau utama Luzon.

Ketua Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC), Robert Kaufman, berkata tidak ada perkhidmatan telekomunikasi di pulau itu dan mungkin memerlukan berbulan lagi bagi penyambungan semula elektrik.

Kaufman turut berkata, anggota kecemasan sedang cuba untuk menjejaki lapan bandar yang terputus hubungan akibat tanah runtuh.

"Ramai penduduk yang hidup mereka terumbang ambing dan memerlukan sokongan," katanya.

Angin kencang dan hujan lebat memusnahkan sekurang-kurangnya 25,000 kediaman di pulau itu dan merosakkan lebih 45,000 rumah.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kediaman yang musnah dijangka meningkat.

Taufan Goni melanda berhampiran wilayah yang dilanda Taufan Molave ​​awal minggu ini, yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa dan memusnahkan infrastruktur serta tanaman.

Kebanyakan mangsa yang ditemui mati adalah dalam kalangan penduduk yang sudah meninggalkan tempat perlindungan masing-masing sebelum berlakunya taufan dahsyat itu. 

- AFP

 


Jumaat, Oktober 02, 2020

60 juta penduduk India dikhuatiri dijangkiti Covid-19

 

Lebih 60 juta penduduk di India mungkin sudah dijangkiti novel koronavirus, menurut Majis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) semalam.

India mempunyai seramai 1.3 bilion penduduk dan tersenarai sebagai negara kedua tertinggi di dunia dengan 6.1 juta kes jangkitan selepas Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, angka sebenar mungkin lebih tinggi, menurut tinjauan ujian serologi terbaharu.

Ujian itu membabitkan peme­riksaan darah untuk beberapa antibodi tertentu bagi menganggarkan nisbah satu kumpulan penduduk yang berjaya sembuh daripada jangkitan virus.

“Rumusan utama daripada tinjauan ini ialah setiap seorang daripada 15 individu berumur 10 tahun ke atas telah terdedah kepada virus SARS-CoV-2 sejak Ogos lalu,” kata Ketua Pengarah ICMR, Balram Bhargava pada sidang akhbar kementerian kesihatan.

SARS-CoV-2 ialah virus yang menyebabkan jangkitan Co­vid-19.

Bhargava berkata, bukti pen­dedahan menunjukkan jangkitan virus lebih ketara membabitkan penduduk yang diperiksa di se­tinggan dalam kawasan bandar (15.6 peratus) dan bukan setinggan di bandar (8.2 peratus).

Ujian darah yang dikumpul itu membabitkan kira-kira 29,000 orang di 21 negeri atau wilayah antara pertengahan Ogos hingga pertengahan September. 

Sumber : AFP

Nombor plat kereta J4 dijual lebih RM2 juta

 

Sekeping nombor plat kenderaan di Pulau Jersey, dalam jajahan Britain yang menampilkan dua karakter iaitu J4, mencatatkan harga jualan £380,000 (RM2.03 juta)  dan dibeli oleh seorang pembida misteri baru-baru ini, lapor portal berita Solent News.

Nombor plat J4 itu merupakan nombor pendaftaran bagi kenderaan jenis Chrysler Vo­yager milik Leftenan Gabenor Jersey, Sir Stephen Dalton yang mewakili Ratu Elizabeth II.

Ia juga merupakan nombor plat satu angka pertama yang dikeluarkan oleh pulau tersebut.

Meskipun nombor plat berharga lebih RM2 juta itu sudah dijual, namun mengikut undang-undang pendaftaran di Kepulauan Channel, semua plat yang bermula dengan huruf J adalah hak milik kerajaan.

Jersey merupakan salah sebuah pulau di Kepulauan Channel dan terletak dalam jajahan Britain.

Pembeli nombor plat tersebut hanya mendapat hak untuk mengunakan nombor pendaftaran berkenaan pada kereta milik persendirian.

Menurut pelelong bertanggungjawab menganjurkan acara lelongan tersebut, Simon Drieu, harga nombor plat kereta bergantung kepada bilangan angka yang tertera.

“Angka lebih kecil pada nombor plat menyebabkan nilainya bertambah mahal,” kata Drieu lagi.

Harga nombor plat tersebut juga berjaya memasuki carta 10 nombor plat harga paling mahal di Britain.

Pemegang ‘takhta’ carta tersebut adalah nombor plat 25 O yang dijual pada harga £518,480 (RM2.77 juta) dalam 2014.

Nombor plat termahal dunia ialah D5 yang didaftarkan di Dubai berharga £7,324,207 (RM39.17 juta)

Sumber : Agensi

 

Rabu, September 30, 2020

Emir Kuwait meninggal dunia

 

Pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Saint Mary, Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Menurut pihak istana, jenazah almarhum akan tiba dari AS hari ini selepas baginda menerima rawatan di hospital itu sejak Julai lalu.

Menteri Hal Ehwal Diraja, Sheikh Ali Jarrah Al-Sabah berkata, seluruh rakyat Kuwait berdukacita atas pemergian baginda itu.

“Dengan penuh rasa sedih dan dukacita, kami berkabung atas pemergian Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al-Sabah, Emir kerajaan Kuwait,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Sementara itu, stesen televisyen menyiarkan bacaan ayat suci al-Quran sebelum pengumuman tersebut dibuat. 

Sumber : AFP

Jumaat, Mac 10, 2017

Switzerland negara terbaik dunia



Switzerland mengungguli laporan Negara Terbaik 2017, demikian hasil kaji selidik di seluruh dunia yang me­ngukur tanggapan terhadap sesebuah negara pada skala global, lapor portal berita The Local.

Laporan tahunan itu merupakan projek bersama antara US News & World Report, syarikat pemasaran Y&R dan Sekolah Wharton iaitu sekolah perniagaan di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Laporan Negara Terbaik tahun ini menganalisis 80 buah negara, meningkat daripada 60 negara pada edisi pertamanya tahun lalu.

Switzerland yang kali pertama disenaraikan, meng­ungguli secara keseluruhan di hadapan Kanada, Britain, Jerman dan Jepun dalam lima kedudukan teratas.

Sweden, Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Norway pula melengkapkan urutan 10 kedudukan teratas Negara Terbaik 2017.

Metodologi penyelidikan itu menggunakan 65 faktor yang dikenal pasti sebagai “relevan untuk kejayaan sebuah negara moden” untuk membuat penilaian.

Ciri-ciri itu dibahagikan kepada sembilan kategori termasuk pengembaraan, kewarganegaraan, pengaruh budaya, keusahawanan, warisan, keterbukaan kepada perniagaan, kuasa dan kualiti kehidupan.

Semua ciri itu disertakan dalam kaji selidik berkenaan yang melibatkan seramai 21,000 orang dari seluruh dunia.

“Switzerland muncul sebagai negara terbaik antaranya kerana ia mempunyai sistem sosial yang progresif, melindungi hak asasi manusia dan memiliki persekitaran mesra perniagaan,” kata penulis laporan itu.

Sementara itu, Malaysia berada di tempat ke-35 senarai berkenaan tahun ini berbanding kedudukan ke-28 pada 2016.

Namun, Malaysia turut muncul sebagai negara terbaik di dunia untuk membuat pelaburan pada 2017.

Di belakang Malaysia ialah Indonesia (39), Vietnam (40), Filipina (43) dan Myan­mar (57).

– Agensi


Selasa, November 22, 2016

Trump Umum Amerika Syarikat Tarik Diri Daripada TPPA



Donald Trump berkata beliau akan menarik diri daripada perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada hari pertama beliau mengambil alih jawatan.

Trump berkata tindakannya itu adalah selaras dengan ikrar kempen pusat yang dilakukannya sebelum ini.

"Saya sudah meminta pasukan peralihan menyediakan senarai tindakan eksekutif yang boleh kita ambil bagi memulihkan undang-undang dan mengembalikan semula peluang pekerjaan," kata bakal Presiden AS itu dalam satu mesej video yang menggariskan keutamaan yang akan diberikan dalam tempoh 100 hari pertama peralihan kuasa di bawah pimpinan beliau.

"Berhubung dengan perdagangan, saya akan mengeluarkan pemakluman hasrat kami untuk menarik diri daripada perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, satu potensi bencana kepada negara kita.

"Sebaliknya, kami akan berunding tentang tawaran perdagangan saksama dua hala yang akan membawa kembali industri dan peluang pekerjaan ke Amerika," katanya.

Jumaat, Julai 29, 2016

Turki tutup 130 agensi media




Turki menutup hampir 130 agensi media dan memecat 149 jeneral dalam fasa terbaharu tindakan kontroversinya selepas kegagalan rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Seramai 87 jeneral tentera darat, 30 jeneral tentera udara dan 32 orang laksamana tentera laut telah dipecat berikutan penglibatan mereka dalam cubaan rampasan kuasa, lapor pihak berkuasa menerusi warta rasmi yang disiarkan kerajaan.

Warta tersebut juga memaklumkan bahawa seramai 1,099 pegawai dan 436 orang pegawai rendah turut dipecat.

Pada masa sama, arahan penutupan dikeluarkan kepada tiga agensi berita iaitu melibatkan 16 stesen televisyen, 23 stesen radio, 45 akhbar, 15 majalah dan 29 penerbit media lain.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menamakan pihak media yang terlibat tetapi berdasarkan senarai yang diperolehi oleh saluran CNN-Turk, pengharaman tersebut meliputi agensi berita negeri selain agensi kebangsaan.

Senarai itu termasuk agensi berita Cihan, IMC TV dan akhbar harian pembangkang, Taraf.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan waran tangkap kepada 42 wartawan awal minggu ini dan 47 lagi kelmarin melibatkan bekas pekerja akhbar pro-pembangkang, Zaman.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menyalahkan rampasan kuasa pada 15 Julai tersebut kepada pendakwah yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen.

Pihak berkuasa telah memulakan kempen membasmi pengaruh Gulen daripada institusi Turki dalam tindakan keras sehingga membawa kepada penahanan hampir 16,000 orang.

– AFP / Kosmo

Isnin, Mac 23, 2015

Lee Kuan Yew Meninggal Dunia


 Perdana Menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew meninggal dunia pada pukul 3.18 pagi Isnin di Hospital Besar Singapura, umum Pejabat Perdana Menteri. Beliau berusia 91 tahun.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, anaknya iaitu Perdana Menteri Lee Hsien Loong, amat berdukacita dengan kematian itu.
Hsien Loong dipetik sebagai berkata, proses pengebumian dan urusan tempat untuk orang ramai memberikan penghormatan terakhir akan diumumkan kemudian.

Kuan Yew dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital itu pada 5 Februari lalu kerana radang paru-paru yang serius.

Dilahirkan pada 16 September 1923, di Singapura, Kuan Yew dikenali sebagai pengasas Singapura modern, dengan mengetuai kerajaan lebih daripada tiga dekad, menjadikan beliau antara perdana menteri paling lama berkhidmat di dunia.

Sebagai pengasas bersama dan setiausaha agung pertama People's Action Party (PAP) (Parti Tindakan Rakyat), mendiang memimpin parti itu mencapai lapan kemenangan dalam pilihan raya antara tahun 1959 dan 1990.

Beliau juga menyaksikan pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965.

Sebagai seorang pemimpin yang mempunyai visi besar dan berani, Kuan Yew berjaya menjadikan Singapura sebuah bandar raya negara bertaraf dunia.

Kuan Yew meletak jawatan sebagai perdana menteri dalam tahun 1990 dan dilantik sebagai Menteri Kanan oleh Perdana Menteri kedua Singapura Goh Chok Tong.

Pada Ogos 2004, Kuan Yew memegang jawatan sebagai penasihat atau Menteri Mentor dalam kerajaan yang dipimpin anaknya, Perdana Menteri sekarang Lee Hsien Loong.

Mendiang merupakan lulusan undang-undang Ijazah Kelas Pertama Kepujian daripada Universiti Cambridge pada tahun 1949.

Sepanjang memegang jawatan perdana menteri, menteri kanan dan penasihat lebih daripada 50 tahun, Kuan Yew merupakan antara tokoh politik paling berpengaruh di Asia.

Kuan Yew mengumumkan persaraannya daripada jawatan kabinet pada 14 Mei 2011 selepas pilihan raya umum tahun itu tetapi kekal sebagai anggota Parlimen. Isterinya Kwa Geok Choo, meninggal dunia pada 2010 ketika berusia 89 tahun.

Sumber : mSTAR

Rabu, November 26, 2014

Kota purba ditemui terkubur di laut Mesir


Kota purba ditemui terkubur di laut Mesir

ALEXANDRIA - MESIR. Sebelum ini ramai menyangka bahawa kota purba, Thonis-Heracleion hanyalah sebuah kota lagenda.

Namun penemuan ke atas kota tersebut pada tahun 2000 sekaligus menyangkal dakwaan pelbagai pihak, menjadikan kota yang selama ini dikatakan mitos, sebenarnya wujud di bumi ini!

Kota purba ini dikatakan lenyap di sekitar kawasan Mediterranean sekitar 1,200 tahun dahulu.

Menurut laporan yang dipetik menerusi portal Mirror.co.uk, ciri-ciri yang terdapat pada sejarah, ukiran dan binaan yang terdapat di kota tersebut hampir menyerupai kota purba Atlantis.

Sekumpulan penyelidik yang merupakan ahli arkeologi berkata, penemuan tersebut bermula di bahagian utara pantai Mesir.

Kata seorang penyelidik, Franck Goddio, kumpulannya mula menjejak semula kota tersebut sebelum menemui bahagian-bahagian kota lama itu yang berada jauh di dasar laut.

“Setakat ini, pihak kami telah menemui serpihan-serpihan yang mempunyai hubung kait dengan kota tersebut.

“Pihak kami menemui 64 bangkai kapal pedagang yang dipercayai menjalankan urus niaga dengan penduduk kota tersebut, syiling emas dan patung-patung gergasi sebesar 16 kaki," katanya.

Selain itu, pihaknya melaporkan turut menemui kepingan batu berukir tulis purba Yunani dan Mesir Purba di tapak penemuan kota tersebut.

Berdasarkan teori awal penyelidik, kota tersebut dikatakan ‘tergelincir’ ke dasar laut 1,000 tahun selepas ia dibina pada abad kelapan sebelum Masihi.

Sebelum kota Thonis-Heracleion hilang, ia dikatakan dibina di sekitar muara Sungai Nil.

“Andaian itu dibuat berdasarkan patung granit merah Dewa Hapi iaitu dewa Sungai Nil yang dijumpai bersama dengan penemuan kota tersebut.

“Patung tersebut juga merupakan antara patung terbesar pernah ditemui oleh pihak kami,” jelasnya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

 Antara teori lain yang turut dikemukakan termasuklah kenaikan paras air laut dan tragedi bencana alam yang menimpa, menyebabkan kota tersebut ‘terkubur’ ribuan tahun lamanya.

Sumber : Sinar Harian


Isnin, September 16, 2013

Chin Peng Meninggal Dunia Di Thailand pada 16 September


Chin Peng Meninggal Dunia Di Thailand

Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok, pada pukul 6.20 pagi Isnin.

Dia berusia 90 tahun.

Menurut laporan Bangkok Post, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua meninggal dunia akibat sakit tua.

Laporan itu juga menyebut saudara-mara akan mengadakan upacara pengebumian pada Jumaat.

Chin Peng yang lahir pada 20 Oktober 1923 mempunyai seorang anak lelaki di Malaysia sementara anak perempuaanya kini menetap di Australia.

Berdasarkan laporan berita, Chin Peng mempunyai empat orang abang.

Seorang daripadanya merupakan bekas guru besar di Ipoh sementara seorang lagi merupakan ahli perniagaan di Pulau Pinang.

Manakala dua yang lain bekerja sebagai jurutera di New Zealand.

Chin Peng diberikan pasport orang asing oleh kerajaan Thailand dan hidup dalam buangan selepas mengetuai pemberontakan gerila PKM dan berjuang menentang British dan tentera Komanwel untuk menubuhkan sebuah negara Komunis bebas.

Pemberontakan komunis gagal dan dia hidup dalam buangan di Thailand dan tidak dibenarkan untuk kembali ke Malaysia

Dalam satu temuramah bersama wartawan The Star pada 2009, Chin Peng menaruh harapan untuk mati di tempat kelahirannya, iaitu Setiawan di Perak.

Tetapi dia juga berkata, jika harapannya itu tidak dapat dipenuhi, dia ingin abu mayatnya dibawa balik untuk ditanam di samping kubur bapanya.

Pada 2008, cubaan bekas pemimpin komunis ini untuk mendapatkan perisytiharan dibenarkan masuk dan hidup di Malaysia terhalang selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memintanya mengemukakan dokumen kelahiran dan kewarganegaraan untuk membuktikan dirinya warganegara Malaysia sebelum dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia.

- mSTAR



Rabu, Ogos 14, 2013

BlackBerry bermasalah, bakal dijual?

TORONTO 13 Ogos - Pembuat telefon pintar BlackBerry Ltd., sedang mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk menjual syarikat bagi mengelak kerugian yang lebih besar.

Malah, pemegang saham terbesarnya akan mengundurkan diri bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan dalam usaha itu.

BlackBerry yang merupakan peneraju email pada telefon pintarnya berkata, syarikat telah menubuhkan jawatankuasa untuk melihat pilihan yang ada.

Tindakan BlackBerry itu telah mencetuskan perdebatan sama ada syarikat yang dahulunya merupakan permata kepada Kanada akan lebih bernilai secara keseluruhan atau dipecahkan kepada beberapa bahagian oleh pesaing atau pelabur peribadi.

Prem Watsa, pemilik Fairfax Financial Holdinggs Ltd., yang merupakan pemegang saham terbesar BlackBerry akan keluar daripada lembaga syarikat apabila BlackBerry telah menentukan langkah seterusnya.

Menurut akhbar Kanada, Globe and Mail semalam, Fairfax telah berbincang dengan industri dan syarikat ekuiti swasta mengenai kemungkinan mengambil alih BlackBerry sebagai syarikat persendirian. Fairfax bagaimanapun tidak memberi sebarang kenyataan mengenainya.

Pembeli berpotensi terhadap aset BlackBerry, jika bukan daripada syarikat itu sendiri, berkemungkinan besar ialah dana pencen Kanada yang kaya serta beberapa pesaingnya.

BlackBerry yang satu ketika dahulu penting di pasaran saham telah jatuh penguasaan pasarannya kepada Apple Inc., dan telefon yang menggunakan sistem operasi Android Google Inc.

Telefon pintar terbaharunya, BlackBerry 10 juga gagal untuk menarik minat pengguna.

- REUTERS


Jumaat, Julai 12, 2013

Tragedi penggulingan Presiden Morsi


Ketibaan bulan Ramadan yang sepatutnya diraikan dengan penuh rasa kesyukuran bertukar tragedi berdarah di Mesir apabila sekumpulan penyokong Presiden Dr. Mohammed Morsi yang digulingkan daripada jawatannya terkorban.

Seramai 51 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang dikatakan cuba menceroboh Kompleks Pengawal Republikan, lokasi Morsi ditahan pada awal pagi 8 Julai lalu.

Lebih menyedihkan 35 daripada jumlah mangsa yang terbunuh ketika itu sedang menunaikan solat Subuh berjemaah di satu kawasan terbuka berdekatan Masjid Rabiatul Adawiyah yang menjadi tempat perhimpunan para penyokong Morsi.

Selain itu, lebih 400 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran antara peserta demonstrasi jalanan dan pihak tentera sekali gus menjadikan krisis pergolakan di Mesir semakin membimbangkan.

Kejadian itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat para penyokong untuk terus menegakkan keadilan terhadap Morsi yang dipilih secara sah melalui pilihan raya presiden pada Jun 2012.

Mereka bertegas untuk terus mengadakan demonstrasi di jalanan sehingga Morsi yang kini ditahan oleh pihak tentera dikembalikan semula jawatannya sebagai Presiden.

Sebagai Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi, Morsi telah dikritik sebagai diktator dan tidak berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin negara tersebut. Namun, di mata penyokongnya, beliau dianggap sebagai seorang wira.

"Saya sanggup menempuh perjalanan sejauh 600 kilometer semata-mata untuk menunjukkan sokongan kepadanya. Beliau adalah presiden yang telah diundi secara sah," ujar Essam al-Hawany, seorang guru sekolah tinggi yang menyertai demonstrasi tersebut.

Tambah Essam, pihak tentera telah melakukan penghinaan terhadap demokrasi di Mesir. Justeru, dia tidak akan gentar untuk terus memperjuangkan keadilan buat Morsi.

"Biarlah darah kami tumpah kerana kami sanggup mati dalam perjuangan menentang kebatilan. Jika tidak, kami tidak akan datang ke sini," tegasnya.

Sementara itu, jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad melalui laman sosial Twitter, menggesa rakyat Mesir yang patriotik dan berani agar keluar beramai-ramai untuk mempertahankan negara daripada pengkhianat konspirasi rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Demonstrasi jalanan

"Setiap wilayah akan mengadakan majlis pengkebumian dan demonstrasi. Kami tidak akan mengalah," ujarnya.

Apa yang pasti, pergolakan terus berlaku di Mesir bermula pada 30 Jun lalu iaitu antara puak yang menyokong dan menolak kepimpinan Morsi. Ia menyaksikan beberapa buah bandar utama menjadi lokasi perhimpunan penganjuran demonstrasi jalanan untuk meluahkan pendapat masing-masing.

Bagi ribuan penyokong Morsi, mereka berhimpun di Rabiatul Adawiyah, Nasr City manakala Dataran Tahrir di Kaherah menjadi tempat perhimpunan rakyat yang menolak kepimpinan Morsi.

Menurut pemerhati politik tanah air, Dr. Maszlee Malik, penggulingan Morsi merupakan satu pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat Mesir pascarevolusi 25 Januari 2011 yang telah menjatuhkan diktator Hosni Mubarak.

"Apa yang jelas, pihak tentera telah mencabuli demokrasi serta menghina keluhuran undang-undang di bumi Mesir. Keadaan ini boleh dianggap satu tindakan melangkah semula ke belakang iaitu ke tahun 1952.

"Ketika itu, Mesir telah diperintah oleh pihak tentera akibat rampasan kuasa sambil membelakangkan pilihan rakyat melalui kerangka demokrasi. Malangnya, apabila perkara sebegini berlaku, negara-negara Barat yang selama ini melaungkan dan memperjuangkan demokrasi terutama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) bersikap hipokrit.

"Mereka yang sepatutnya mengecam dan tidak mengiktiraf rampasan kuasa itu, sebaliknya hanya mendiamkan diri dan cuba menyalahkan Morsi," jelas Maszlee sambil memuji sikap Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berani mengutuk rampasan kuasa tersebut.
Tambah beliau, apa yang merisaukan adalah mengenai masa depan rakyat Gaza di Palestin memandangkan pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dan Gaza serta antara Gaza dengan dunia luar telah ditutup sejak tentera mengambil alih pemerintahan Mesir.

Mengakui Morsi mempunyai kelemahan terutama dalam aspek memulihkan keselamatan dan ekonomi negara, namun ia bukanlah alasan kukuh beliau digulingkan sewenang-wenangnya.

"Morsi bekerja dalam keadaan kedua tangannya 'digari'. Saki-baki rejim telah menyukarkan pentadbiran beliau yang baru berusia setahun. Beliau juga tidak mendapat kerjasama daripada pihak keselamatan dan media yang sentiasa memfitnahnya.

"Malah, pihak yang memonopoli perniagaan dan bekalan bahan api sengaja melakukan sabotaj terhadap rakyat. Tetapi, dalam keadaan serba terikat itu, Morsi masih dapat melakukan banyak perubahan walaupun tidak secara menyeluruh. Jadi, mengapa menghukum beliau terlalu awal?

"Hakikatnya, tiada presiden yang mampu mengubah sebuah negara pascarevolusi dalam tempoh sekelip mata," ungkap beliau yang merupakan Pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selain itu, Maszlee juga berharap rakyat Malaysia dapat mengambil iktibar berhubung isu yang berlaku di Mesir. Ujarnya, sistem demokrasi yang bertujuan menjadi mekanisme untuk menguruskan perbezaan pandangan dan perbezaan ideologi politik perlu dihormati.

"Demokrasi bukan semata-mata keputusan rakyat yang menentukan kemenangan mana-mana parti dalam pilihan raya, bahkan lebih daripada itu.

"Mekanisme untuk semak dan imbang melalui kebebasan media, kebebasan bersuara serta ruang-ruang untuk rakyat melalui masyarakat sivil berpartisipasi dalam proses politik juga adalah sebahagian daripada demokrasi," kata Ma szlee.

Rakyat Malaysia perlu berusaha mempertingkatkan tahap pemikiran dan pendidikan mereka.

Pilihan raya

"Kadar keciciran pelajaran dan buta huruf dalam kalangan rakyat Mesir merupakan antara penyumbang kepada tidak stabilnya negara berkenaan," tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Mesir sementara, Adly Mansour berikrar akan mengadakan pilihan raya menjelang awal tahun hadapan sebagai respons terhadap situasi di negara itu.

Mansour telah mengeluarkan dekri yang menetapkan jadual untuk satu referendum terhadap perlembagaan yang telah digubal, sebelum pilihan raya presiden dilaksanakan.

Keseluruhan proses tersebut dikatakan tidak akan mengambil masa melebihi 210 hari. Menurut dekri itu, satu panel yang mewakili parti politik, agama dan perkhidmatan keselamatan akan bersetuju dengan penggubalan akhir perlembagaan dan menjadikan ia sebagai satu referendum dalam tempoh lima bulan.

Di samping itu, Mansour turut menamakan mantan Menteri Kewangan, Hazem el-Bablawi sebagai Perdana Menteri sementara dan melantik bekas Ketua Agensi Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohamed El-Baradei sebagai timbalan presiden yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal luar negara.

Apa yang pasti, di sebalik kekacauan yang berlaku, para penyokong Morsi tidak melepaskan peluang menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan di Dataran Rabiatul Adawiyah.

Foto yang memaparkan ribuan umat Islam pro-Morsi menunaikan solat tarawih dan solat tahajud pada malam pertama Ramadan itu telah dimuat naik oleh laman sosial Facebook Mesir Kini.

- KOSMO!




 

Khamis, Jun 27, 2013

Rakyat Malaysia Ke Jepun Dikecualikan Visa Mulai 1 Julai 2013

Rakyat Malaysia, yang memegang pasport biometrik dilengkapi mikrocip, tidak perlu mendapatkan visa untuk berkunjung ke Jepun untuk tempoh jangka pendek mulai 1 Julai 2013 ini.

Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur berkata, kerajaan negara itu memperkenalkan kemudahan pengecualian visa sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan Persahabatan danKerjasama Asean-Jepun.

"Perkembangan ini dijangka akan meningkatkan lagi pertukaran antara Jepundan Malaysia dengan peningkatan pelancong Malaysia ke Jepun serta meningkatkan kemudahan perniagaan antara dua negara," menurut kenyataan kedutaan itu.

Rakyat Malaysia yang memenuhi syarat-syarat relevan boleh berkunjung ke Jepun tanpa mendapatkan visa untuk tempoh jangka pendek tidak melebihi tiga bulan berturut-turut.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang tidak memegang pasport biometrik biasa dengan dilengkapi mikrocip dinasihatkan mendapatkan visa sebelum ke negara tersebut.

- BERNAMA


Ahad, Jun 16, 2013

Pulau 'neraka dunia'

Ketika waktu tengah malam semakin tiba, Neehah Maalha bersama isterinya duduk berhampiran unggun api sambil menghirup teh panas yang dicampur susu kambing peliharaan mereka.

Mereka berbual dengan menggunakan bahasa Socotra yang hanya dipertuturkan penduduk Pulau Socotra. Intipati perbualan berkisar tentang masa hadapan mereka.

Ironinya, Pulau Socotra terletak 354 kilometer dari Yemen.

Socotra dalam bahasa kuno Sanskrit bermaksud 'pulau kebahagiaan'.

Namun, ada beberapa pihak yang menggelarnya sebagai 'neraka dunia' kerana kepelikan dan ciri-ciri eksotik yang terdapat di pulau tersebut.

Sarat dengan khazanah flora dan fauna, Socotra mula dikunjungi para saintis dari seluruh dunia sejak beberapa tahun yang lalu untuk melakukan penyelidikan saintifik.

Ratu Balqis yang pernah mempunyai kerajaan di tanah Arab dan hidup pada zaman Nabi Sulaiman pernah meneroka pulau tersebut.

Penjelajah terkenal, Iskandar Zulkarnain dan pengembara termasyhur, Marco Polo juga pernah meneroka pulau yang dihuni hanya seramai 40,000 orang itu.

Namun, ramai penduduk tempatan mendakwa pernah melihat kelibat ular gergasi di dalam gua tetapi tiada gambar atau rakaman video yang mengesahkan kewujudan haiwan tersebut.

Socotra terletak berdekatan Pulau Abd Al Kuri, Pulau Samhah dan Pulau Darsa.

Sebenarnya, tumpuan para saintis dan pelancong yang melawat pulau itu adalah kerana terdapat ratusan pokok yang dikenali sebagai pokok Darah Naga.

Pokok itu berbentuk seperti payung atau persis cendawan. Namun, saiznya cukup besar untuk memayungi beberapa orang yang mahu berlindung daripada cahaya panas terik matahari.

Ia dikenali sebagai pokok Darah Naga kerana getahnya berwarna merah.

Segelintir penduduk tempatan percaya getah pokok itu mampu menyembuhkan penyakit berkaitan kulit selain dijadikan pewarna semula jadi.

Pada zaman pertengahan, pokok itu digunakan dalam amalan ritual sihir penduduk pulau tersebut.

Selain itu, pokok Delima Socotra atau nama saintifiknya Punica Protopunica boleh ditemui di pulau itu.

Ia dipercayai benih asal pokok delima sebelum tumbuhan tersebut berevolusi dan ditanam di merata tempat di dunia.

Pokok Delima Socotra mempunyai bunga yang berwarna merah. Bunga pokok delima biasa berwarna merah jambu selain saiznya yang lebih kecil.

Pokok timun raksasa yang dikenali dengan nama saintifiknya, Dendrosicyos Socotranus tidak mengeluarkan timun.

Spesies haiwan

Batangnya besar dengan sedikit cabang halus pada bahagian pucuk. Ketiga-tiga tumbuhan itu hanya boleh ditemui di Pulau Socotra.

Selain tumbuhan, beberapa spesies haiwan seperti ketam, mengkarung atau lipan boleh ditemui dengan saiz yang lebih besar daripada kebiasaan.

Saiz yang besar itu menyebabkan manusia kelihatan takut untuk mendekati haiwan-haiwan tersebut.

Iklim tropika Pulau Socotra juga unik kerana ia boleh mencecah 40 darjah Celsius.

Ekoran keanehannya itu, Socotra mendapat jolokan sebagai permata biodiversiti di Semenanjung Arab.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh para penyelidik Taman Botani Diraja Edinburgh, United Kingdom, terdapat 307 daripada 825 spesies tumbuhan di situ tidak ditemui di tempat lain di bumi.

Angka tersebut merangkumi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan tumbuhan di pulau itu.

Malah, beberapa spesies tersebut dianggarkan berusia lebih 20 juta tahun.

Pulau seluas 3,796 kilometer persegi ini telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Julai 2008.

Menariknya, tiada hotel, restoran atau bangunan besar didirikan sebagai usaha untuk memulihara sifat semula jadi pulau tersebut.

Hanya sebatang jalan raya yang dibina pada tahun 2006 dengan tujuan untuk memudahkan pergerakan penduduk.

Seorang pengembara dan ahli botani amatur, Harry Jans hanya mengetahui mengenai Socotra selepas melihat pokok Darah Naga semasa menggunakan enjin carian internet Google.

Penemuan tersebut terus menarik minatnya untuk mengunjungi pulau itu.

Sepanjang berada di pulau itu, dia menemui pelbagai tumbuhan unik seperti Desert Rose dan ikan bersaiz besar yang menakutkannya.

"Mungkin Desert Rose merupakan bunga ros paling buruk di dunia untuk dihadiahkan kepada wanita," katanya sambil ketawa.

Namun, dia khuatir kerana terdapat pokok Darah Naga yang dibawa balik untuk dijadikan kenangan walaupun ketika itu ia masih belum matang.

"Ia akan menyebabkan implikasi ke atas kuantiti pokok itu. Selain itu terdapat para pedagang yang mengambilnya pada skala besar kerana khasiatnya dalam bidang perubatan," katanya.

Terdapat mitos yang mengatakan dajal dikurung di sebuah gua di Socotra.

Namun, ia hanya sekadar mitos tanpa bukti sahih.

- KOSMO!



http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0616&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm





Selasa, Jun 11, 2013

Tempoh visa umrah dihad 14 hari

Berkuat kuasa 10 Jun 2013, tempoh visa untuk mengerjakan umrah dihadkan kepada 14 hari saja.
Peraturan baru itu turut menetapkan jemaah perlu mengesahkan visa mereka 14 hari selepas dikeluarkan, berlepas ke Makkah dalam masa 14 hari dan pulang selepas 14 hari.

    Kita perlu memberikan kerjasama bagi memudahkan Kerajaan Arab Saudi membuat penambahbaikan kemudahan di sana. Kerajaan tidak akan menyekat mana-mana individu yang ingin mengerjakan umrah kerana ia adalah kehendak peribadi” Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri


Kementerian Haji Saudi membuat keputusan itu bagi mengurangkan kesesakan teruk di semua tempat penginapan, termasuk hotel bertaraf lima bintang selepas melakukan proses pembesaran kawasan tawaf di Masjidil Haram.

Sehubungan itu, umat Islam di negara ini yang bercadang mengerjakan umrah pada Ramadan nanti dinasihatkan merancang jadual perjalanan lebih teratur.

Tempoh mencukupi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata tempoh baru itu mencukupi dan masih berada dalam lingkungan yang bersesuaian menyempurnakan umrah.
Wajar beri kerjasama

“Kita perlu memberikan kerjasama bagi memudahkan Kerajaan Arab Saudi membuat penambahbaikan kemudahan di sana.

“Kerajaan tidak akan menyekat mana-mana individu yang ingin ke sana (mengerjakan umrah) kerana ia adalah kehendak peribadi dan urusan perjalanan dibuat melalui agensi persendirian.

“Oleh itu, rancanglah perjalanan supaya ia tidak menjejaskan kerja ibadat dan menyusahkan diri sendiri, ” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Terpaksa ulang-alik

Sementara itu, Pengurus Operasi Rakyat Travel Sdn Bhd, Mohd Hisham Shaharudin berkata, peraturan baru itu tidak akan memberi kesan pada agensinya, tetapi berharap tempoh dua minggu itu tidak dikekalkan.

“Agensi kami tidak menggalakkan jemaah untuk menetap lama di sana kerana tempoh 14 hari sudah memadai, tapi ia bergantung kepada kemahuan dan kemampuan kewangan individu.

“Bagaimanapun, perkara ini tetap memberi kesan kerana ia menyusahkan petugas untuk ulang-alik dalam tempoh masa singkat, “katanya.

- BERITA HARIAN


Khamis, Jun 06, 2013

Universiti jual 400 ijazah PhD palsu

Polis India menyiasat sebuah universiti di India kerana disyaki mengeluarkan lebih 400 ijazah doktor falsafah (PhD) palsu dalam tempoh setahun, kata pihak berkuasa.

Polis menahan empat pegawai kanan dari Universiti CMJ di negeri timur laut Meghalaya kerana disyaki memalsukan dan menipu manakala polis kini memburu canselor yang disyaki melarikan diri.

“Kami tidak tahu di mana beliau, kerana beliau sering kali menukar lokasi,” kata pegawai kanan polis negeri, Sunil Kumar Jain kepada AFP.

Universiti persendirian yang ditubuhkan pada 2009 di Shillong itu mengeluarkan 434 ijazah PhD sepanjang tahun pengajian 2012 dan 2013 walaupun ia adalah fakulti kecil.

Keadaan menimbulkan kecurigaan di kalangan pihak berkuasa tempatan yang kemudiannya membuat aduan polis.

Satu ijazah PhD di Universiti CMJ mengambil masa dua hingga lima tahun dan bernilai sehingga 127,000 rupee (RM6,908) kata laman webnya.

“Dengan niat baik, universiti terbabit dibenarkan untuk beroperasi tetapi disebabkan hal ini ia benar-benar memalukan,” kata Ketua Menteri Meghalaya, Mukul Sangma.

Masalah serius di India

Pemalsuan pengiktirafan adalah satu masalah serius di India, disebabkan permintaan tinggi bagi kelayakan, rasuah dan peraturan yang lemah selain perkembangan sektor pendidikan yang drastik.

Pada 2011, satu siri pemalsuan lesen juruterbang didedahkan manakala pada 2010 polis menahan ketua badan kebangsaan bertanggungjawab mengeluarkan sijil perubatan kerana disyaki menerima rasuah.

The Times of India melaporkan kelmarin bahawa ijazah PhD dari CMJ dijual antara $4,000 (RM217) hingga $10,000 (RM543) dengan jumlah bayaran menentukan betapa cepat kelayakan itu akan dikeluarkan.

- AGENSI


Recent Posts