Memaparkan catatan dengan label Blog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Blog. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 01, 2012

Blogger Fesyen Wanita


MENULIS merupakan profesion impian Jezmine Zaidan, 28. Selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor pada tahun 2008, beliau tidak menunggu lama untuk menggapai cita-cita tersebut.

Majalah fesyen dan kecantikan berbahasa Inggeris menjadi tapak kerjaya pertamanya. Namun, dalam kesibukan wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak itu membina kerjaya baharunya beliau mula berjinak-jinak dengan dunia blog.

Daripada bertatih sehingga mampu berdiri, pengetahuan Jezmine terhadap bisnes blog berkembang pantas. Selepas hampir dua tahun berkecimpung sebagai penulis, beliau tekad melepaskan posisi itu demi meneruskan perniagaan dalam talian yang kian maju.

Pakaian yang dijual Jezmine ketika itu difokuskan pada konsep vintaj. Hampir 70 peratus pelanggannya merupakan wanita berketurunan Cina dan mereka yang meminati stail moden klasik.

Kesungguhan yang ditonjolkan Jezmine mendapat sokongan penuh ibu bapanya, malah mereka menyarankan beliau membuka butik.

“Pada mulanya berniaga menerusi blog ini hanya sampingan. Melihatkan pendapatan yang saya jana melebihi gaji yang saya terima sewaktu bekerja sebagai penulis sebelum ini membuatkan saya terfikir untuk pergi lebih jauh.

“Jadi selepas segala-galanya kukuh, saya membuka butik pada penghujung tahun 2009. Memiliki butik sendiri adalah impian hampir semua blogger.

“Alhamdulillah, berkat kerja keras dengan bantuan keluarga dan sahabat impian saya untuk memi sendiri menjadi kenyataan,” ujar Jezmine yang menamakan butiknya The Old Blossom Box Store.

Kemas kini blog

Walaupun sudah membuka butik, Jezmine tidak pernah berhenti mengemaskini blognya. Menurut beliau, rutin itu penting bagi berkomunikasi dengan sahabat blogger lain dan bertindak sebagai medium informasi dengan pelanggannya.

“Blog tempat paling mudah untuk mengumumkan sesuatu. Jika terdapat sebarang peraduan, aktiviti, diskaun, item baharu dan apa sahaja berkaitan butik saya akan sampaikan menerusi blog.

“Selain itu, saya juga memuat naik gambar-gambar saya bersama koleksi baharu dan menunjukkan cara-cara menyuaipadankannya,” tambah Jezmine.

Bagi Sara Shahnor, 30, pengalamannya dalam bidang perniagaan menerusi blog masih hijau. Lewat tahun 2010, beliau dan rakannya, Amalina Hanisah Mohd. Amin, 28, menubuhkan Ammara Hijabi.

Fasa awal perniagaan mereka amat sukar. Sara dan Amalina perlu bersaing dengan blogger-blogger lain yang turut menjual item yang hampir sama. Dalam kepayahan itu, mereka akhirnya mampu menyerlah berbekalkan rantaian formula yang berkesan.

“Ada orang menjadikan bisnes blog ini sebagai sampingan dan tidak memikirkan pelan jangka panjang. Kami berdua mahu perniagaan ini bertahan untuk tempoh yang lama, jadi perancangan rapi itu amat diperlukan.

“Pengetahuan tentang bajet, keusahawanan, rancangan kewangan dan pengurusan masalah perlu dikuasai. Formula paling utama ialah keaslian,” jelas Sara yang berasal dari Bangi, Selangor.

Amalina menyambung: “Keunikan dan keistimewaan menjadi pemisah antara kita dengan blogger lain. Dalam dunia blog, kita boleh mengesan siapa meniru idea orang dan siapa yang tampil dengan konsep tersendiri.

“Disebabkan itu, kami perlu sentiasa menawarkan elemen baharu kepada pelanggan dan menggunakan semua jenis laman sosial. Facebook, Twitter dan Tumblr antara ruang maya yang kami gunakan.”

Sejak awal penglibatan, Sara dan Amalina telah mengkhusus dalam perniagaan busana Muslimah. Wanita bertudung dan mereka yang mahukan gaya sopan menjadi sasaran utama.

Hampir 90 peratus pelanggan mereka ialah wanita berhijab. Item kegemaran pengikut blog dua wanita itu pula ialah turban segera. Dominasi penutup kepala itu dalam membentuk gaya Muslimah moden hari ini telah membuka dimensi berbeza.

Rombak konsep

Turban bertambah popular lebih-lebih lagi dengan adanya koleksi keluaran Ammara Hijabi. Selain mudah dipakai, ia juga menerbitkan aura glamor biarpun berciri kasual.

“Sesetengah turban kami dibawa dari Indonesia. Ia sesuai digayakan kaum Hawa yang berumur antara 19 sehingga 30 tahun. Pakaian Muslimah lain pula boleh ditempah mengikut cita rasa masing-masing. Kesemua barangan dijual pada harga antara RM30 sehingga RM250,” kata Amalina.

Sementara itu, kata Jezmine, seiring dengan usia butiknya yang hampir mencecah tiga tahun, beliau mula merombak konsep item jualannya. Dahulu sasaran hanya kepada wanita tidak bertudung, kini ia telah berubah.

Kelahiran pelbagai trend pakaian Muslimah menjurus Jezmine untuk berubah angin. Walaupun berdepan dengan risiko, namun hasilnya amat mengejutkan. Permintaan pakaian wanita berciri sopan melonjak secara drastik dan ia terus meningkat.

Menurut beliau, wanita bertudung kian bijak berfesyen dan berani bereksperimen dengan gaya moden. Baju kurung bukan lagi pakaian rasmi wanita Melayu Muslim, sebaliknya mereka mula menukar selera kepada seluar dan blaus yang sopan.

“Pakaian yang dijual masih menutup aurat dan saya menghormati pegangan itu. Tetapi tidak bermakna mereka tidak boleh melaram dengan blaus yang dilengkapi perincian menarik dan seluar panjang berona terang.

“Saya cuba menyuntik elemen humor dan ceria agar karakter si pemakai dapat diserlahkan. Corak polka dot pula menegaskan jiwa muda seorang perempuan. Tiada had umur ditetapkan, malah ia sesuai untuk kelompok pelajar sehingga golongan ibu.

“Material yang saya gunakan pula banyak daripada jenis sifon, kapas dan jersi. Mainan warna pula diutamakan pada palet pastel dan tidak lupa warna-warni,” ucap Jezmine yang ditemui bersama Sara dan Amalina di butiknya di Shah Alam baru-baru ini.

- KOSMO!

Rabu, Februari 22, 2012

Majlis Anugerah Blog Asia Pasifik 2011


MEMILIKI hobi sama tetapi topik berbeza. Wadah yang mempunyai cara penyampaian menarik dan kreatif untuk tatapan pembaca membuatkan nama empat wanita ini disenaraikan dalam calon penerima Anugerah Blog Asia Pasifik anjuran Nuffnang, baru-baru ini.

Biarpun tidak memenangi sebarang anugerah, tetapi mereka mempunyai peminat tersendiri menerusi laman blog yang ditubuhkan dan menjadi popular dalam kalangan pembaca maya walaupun bukan daripada golongan artis terkenal.

Chee Ching, Joyce Wong Jing Yen, Suanie Tew dan Intan Suhana Juhari, semuanya mempunyai idea kreatif dan pelbagai cerita menarik menerusi pengalaman yang ditimba untuk dikongsi bersama pembaca serta peminat menerusi laman blog masing-masing.

Penulis blog termuda di kalangan mereka, Chee Ching yang berusia 23 tahun mempunyai alasan untuk berkongsi segala pengalaman dengan peminatnya.


Diari maya itu yang ditubuhkan sejak 2005 cuba dihidupkan dengan kehadiran karakter kartun bagi mewakili dirinya untuk berkongsi kisah sepanjang hari yang berlaku dalam hidupnya.


Kerjayanya sebagai pereka dalam industri pengiklanan dan banyak melayari Internet secara tidak langsung mencetuskan idea kepada Chee Ching untuk memiliki diari di alam siber.

Mempunyai perasaan ingin tahu yang mendalam terhadap perkara baru akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membuka laman blog sendiri yang mendapat perhatian daripada pembaca.

“Saya menjadikannya sebagai medium untuk menulis mengenai perasaan yang tersirat dalam hati ketika itu memandangkan ia sebenarnya agak mudah untuk dikawal selia.

“Setakat ini saya mempunyai pengikut atau peminat seramai 300 hingga 400 orang dan sangat bersyukur kerana memiliki pembaca sendiri.

“Bermula dengan hobi yang kini turut dijadikan sebagai portfolio diri, kombinasi yang disatukan antara hobi dan minat berjaya dilakukan pada masa sama,” kata gadis berasal dari Ipoh yang gemar menonton drama serta rancangan animasi.

Tambah Chee Ching lagi, membuka laman blog tidak hanya bersandar pada minat dan hobi saja malah dia menjadikannya sebagai tempat melatih diri untuk memantapkan kemahiran dimiliki.

Selain berkongsi minat dan hasil kerjanya, Chee Ching turut muat naik lagu-lagu Korea serta perkara yang menarik dalam hidupnya seperti melukis yang sering dilakukannya.

Menerusi blog, gadis muda ini turut memulakan projek yang dipanggil 365 Art, idea tercetus berdasarkan misi untuk menjadikan dokumen yang dikumpul seterusnya dilakar menjadi seni kreatif.

Dia bercadang untuk mengabadikan ciptaannya itu dalam bentuk buku atau kalendar apabila projeknya itu siap sepenuhnya kelak.

Chee Ching berkata dia sangat menghargai setiap komen daripada peminatnya kerana menganggap ia mempunyai makna yang positif dalam memantapkan laman blognya - http://cheechingy.com.

Sementara itu, menurut pemilik laman blog www.KinkyBlueFairy.net, Joyce Wong Jing Yen, dia menceburkan diri dalam dunia penulisan di alam maya pada 2004.

Menurutnya lagi, sejak berusia 10 tahun lagi dia sudah memiliki diari dan menganggap menulis di blog sebagai platform baru untuk meneruskan hobinya itu.

Hobi yang mendalam ditambah gemar mengedit gambar dan penulisan pada masa lapang membuatkan Jing Yen meneruskan minat untuk menulis apatah lagi jika membabitkan aktiviti yang dijalankan.

Berusia 28 tahun, Jing Yen menjelaskan konsep laman blog miliknya itu lebih menekankan gaya hidup kerana ia ditulis berdasarkan aktiviti yang dilakukan oleh gadis bandar dan bagaimana mereka menghabiskan duit.

“Ini kerana saya banyak merasai kehidupan sebenar sebagai manusia yang bergerak aktif melakukan pelbagai aktiviti. Kerja, melancong, terbabit dalam produksi filem, menguruskan majlis dan parti - semuanya sudah saya lalui.

“Saya rasa sungguh bertuah kerana dapat merasai kesemua pengalaman ini membuatkan saya cuba mencari medium terbaik untuk menyimpan kenangan itu dan pada masa sama dapat berkongsi dengan orang lain.

“Saya tidak sangka ramai yang gemar membaca penulisan mengenai pengalaman peribadi saya. Pengunjung laman web saya mencecah sehingga 75,000 setiap bulan dengan 25,000 peminat.

“Semua ini saya lakukan sebagai hobi dan mungkin satu hari nanti akan menjadi pekerjaan sepenuh masa saya. Ini kerana saya pernah menjadikannya sebagai kerja sepenuh masa selama dua tahun sebelum mencari alternatif lain mempelajari kemahiran berbeza disebabkan mudah jemu dengan perkara sama.

“Di samping itu, sesiapa saja boleh memberikan idea atau menceritakan kisah mereka di blog saya yang banyak menulis kenangan ketika melancong, muzik, fesyen, parti dan makan,” katanya yang menulis untuk keseronokan bukan menjana pendapatan.

Tambah Jing Yen, dia pernah dijadikan sumber inspirasi peminatnya apabila menerima emel yang menyatakan kisahnya banyak membantu memperbaiki kehidupan mereka supaya menjadi lebih sempurna, baik dan ceria.

Tidak memikirkan dirinya berbeza dengan orang lain, namun dia menganggap kata-kata pujian yang diberikan sebagai satu penghargaan buat dirinya.

Suanie Tew yang berasal dari Batu Pahat, Johor pula mempunyai kisah tersendiri untuk dikongsi bersama pembaca hasil tulisannya.

Bekerja sebagai penulis iklan, Tew mula menceburkan diri dalam dunia penulisan di Internet sejak 1999 yang ketika itu memiliki laman web yang dikemas kini sama seperti laman blog dan pada 2000 ia bertukar format seperti sekarang.

Dia belajar cara menghasilkan laman blog kreatif dan mengikut keinginannya daripada rakan yang mahir dalam bidang berkenaan.

Hobi yang diminatinya itu diteruskan sehingga kini. Disebabkan penulisannya yang bersifat tidak formal, Tew berasa tekanannya seolah-olah terbang apabila dapat berkongsi pengalamannya bersama pembaca.

“Memulakan penulisan blog sebagai hobi dan penting untuk saya mengekalkan matlamatnya. Namun, selepas menyertai Nuffnang, ia sedikit sebanyak memberikan sedikit duit poket pada diri.

“Laman blog yang saya buka lebih banyak bersifat individualistik. Melalui www.suanie.net, saya mendapat banyak manfaat seperti menjadi sebahagian ahli kumpulan amal tempatan, Twestival.

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk mengemaskini laman blog kerana banyak masa dihabiskan bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Namun apabila menerima tindak balas positif daripada pembaca yang gembira membaca kisah saya, timbul pula keinginan untuk menulis dengan lebih serius lagi,” katanya yang turut mempunyai laman web khas untuk penyanyi terkenal, Micheal Jackson kerana meminatinya.

Berbeza pemilik nama panggilan Sue Anna Joe yang tampak manis bertudung ini, pengalamannya dalam dunia fotografi dikongsi bersama pembacanya lantaran terlalu meminati bidang membabitkan lensa kamera.

Pernah membuka studio sendiri di Kelana Jaya namun ia terpaksa ditutup kerana perlu memberikan lebih fokus terhadap pembelajaran dan keluarga ketika itu.

Berusia 29 tahun, wanita manis dengan nama sebenar, Intan Suhana Juhari ini berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Dia mula menulis jurnal dalam Bahasa Inggeris menerusi laman komuniti seni digelar DeviantART.

Selepas itu, dia mengorak langkah sendiri dengan menggunakan platform penulisan blog apabila mendapat inspirasi ketika bekerja di KL Motion Picture.

“Ketika itu saya banyak menulis skrip. Tertarik dengan penulisan dan olahan ceritanya, saya cuba untuk mula menulis blog dalam Bahasa Malaysia pula.

“Kemudian, blog saya mula berkembang dan menambahkan laman blog lain yang berkaitan dengan minat dalam dunia fotografi.

“Saya belajar sendiri cara membuat laman blog dan berjaya membukanya pada 2003.
Namun saya hanya mula pada 2006 untuk berkongsi pengalaman ketika mengambil gambar, panduan dan hasilnya.

“Banyak yang boleh diceritakan melalui fotografi. Kadang kala perkara yang sukar diceritakan dengan perkataan boleh disampaikan dengan mudah melalui gambar,” katanya yang mempunyai minat mendalam dalam dunia fotografi.

Tambahnya lagi, laman blog miliknya banyak memaparkan aspek peribadi dan unik kerana kebiasaannya cara penyampaian serta gambar yang dikongsi bermain dengan emosi.

Unik dengan panggilan Sue Anna Joe, penulisan blog yang dilakukan diterjemahkan sebagai hobi sepenuh masa dan digabung bersama minatnya pada fotografi.

Jika pada mulanya, dia membuka laman blog, sueannajoe.blogspot.com hanya sekadar hobi semata-mata tetapi kini menjadi tempat menjana pendapatan.

Selain itu, Sue Anna Joe turut berkongsi cerita mengenai fesyen, kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu, pengalamannya, tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi, lokasi menjamu selera, ulasan filem serta produk di laman blog khasnya yang lain.

- HARIAN METRO

Ahad, Januari 22, 2012

Jangan Mudah Percaya Laman Blog - Budiey

Penulis blog Sensasi Selebriti, Budiey, menyarankan agar para peminat tidak mudah percaya 100 peratus dengan bahan berita yang dipaparkan bagi sesebuah entri di laman blog kerana ia mungkin boleh mengundang fitnah di kalangan orang yang tidak bersalah. Budiey berkata, ramai pembaca sekarang yang mudah percaya tentang entri penulisan sesebuah blog tanpa usul periksa, lebih-lebih lagi berkenaan dengan gosip dunia hiburan. "Di zaman alam maya ini, laman blog juga menjadi perhatian selain medium media cetak dan elektronik.

Malah setiap kejadian yang berlaku dalam industri hiburan tempatan seperti berita kematian, penceraian mahupun kelahiran, hal itu begitu pantas tersebar. "Bagaimanapun, perlu diingat, tak semua laman blog meletakkan entri berita yang sahih kerana terdapat juga golongan yang menulis untuk menghentam. "Jadi, saya ingin menasihatkan kepada pembaca agar bijak menilai setiap entri yang dibaca," katanya yang ditemui pada majlis ulang tahun ke-5 blog budiey.com di kelab Zouk, Kuala Lumpur.

Tambah Budiey lagi, dia juga berharap agar penulis blog yang tidak bertanggungjawab itu tidak menghentam para selebriti tanpa usul periksa atau mendapatkan bukti yang sahih. Sementara itu, mengenai majlis ulang tahun Budiey, seramai 150 pembaca terpilih diraikan dengan pelbagai acara yang menarik. Malah beberapa selebriti yang antaranya seperti Adira AF, Awi Rafael, Erul AF, Amanda Imani, Azri AF, Shila Amzah, Farawahida, Keroz dan Awandband turut memeriahkan majlis dengan menyampaikan sebuah lagu pada majlis tersebut.

Beritahu Budiey, dia gembira kerana laman blognya sudah mencapai hampir 10,000 jumlah pembaca dan mendapati, walaupun tidak memaparkan entri berbaur gosip, laman Sensasi Selebriti masih lagi menjadi tarikan. "Dalam blog ini, biasanya saya akan memasukkan entri seperti majlis-majlis pelancaran filem, muzik atau apa-apa yang berkaitan dengan selebriti tempatan negara. "Malah, penulisan mengenai program-program televisyen yang sedang atau bakal disiarkan juga dipaparkan. Alhamdulillah, blog kendalian saya ini mendapat sokongan yang bagus," ujarnya.

Selain itu, acara yang dikendalikan oleh penyampai radio DJ Lin dan Azrul Zaidi itu turut membuatkan para pembaca blog tersebut tertunggu-tunggu untuk mendapatkan cabutan bertuah.

- MSTAR

Khamis, Januari 05, 2012

Blog Xiaxue paling berpengaruh

BERTEMPAT di Grand Ballroom, Marriot Putrajaya pada malam minggu lalu, seramai 500 blogger yang berdaftar dengan pengiklanan blog, Nuffnang dari China, Singapura, Filipina dan Malaysia berkumpul bagi menghadiri majlis dwitahunan, Anugerah Blog Nuffnang peringkat Asia Pasifik (Napbas).

Sebanyak 13 kategori disediakan dalam pertandingan tersebut dengan kategori utama blog terbaik rantau Asia Pasifik dimenangi oleh blog Xiaxue.

Dalam ucapannya tatkala menerima trofi kemenangan, dia menceritakan kepada para hadirin mengenai keperitan yang ditanggungnya ketika mula-mula menulis blog pada tahun 2003.

“Ketika itu, tiada sesiapa pun yang menghormati saya dan kerja yang saya lakukan. Tetapi, saya terus menulis dan buat apa yang suka.

“Sehingga kini, kami telah dihormati malah, jenama dan syarikat sudah mula melihat kita berbanding media-media tradisional lain,” katanya yang menerima hadiah trofi dan tiket penerbangan sumbangan AirAsia.

Blog gaya hidup

Xiaxue atau nama sebenarnya Wendy Cheng Yan Yan, 27, berharap suatu hari nanti dapat membantu blog-blog yang baru hendak bermula supaya turut diterima oleh pelayar-pelayar Internet.

Blog Xiaxue merupakan sebuah blog yang memaparkan gaya hidup terutamanya di Singapura dengan bersifat santai melalui penggunaan bahasa-bahasa yang mudah.

Selain itu, dalam blognya, dia turut berkongsi tip dan pendapat mengenai sesuatu produk melalui perbandingan serta tahap penerimaan oleh pengguna.

Sehingga kini, blognya telah mencapai angka hit lebih 400,000 dengan 40,000 pelayar internet membaca blog Xiaxue setiap hari.

Selain memenangi anugerah blog terbaik bagi rantau Asia Pasifik, dia turut memenangi satu lagi kategori iaitu blog paling berpengaruh.

Sehingga kini, penulis blog yang mendaftar dengan Nuffnang berjumlah lebih 1 juta orang dari tujuh buah negara. Majlis anugerah yang diadakan setiap dua tahun sekali itu memilih pemenang dengan cara undian oleh orang ramai dan juri.

“Anugerah Blog Asia Pasifik adalah penanda aras kepada para blogger. Itu menunjukkan blog telah menawan rantau ini. Ia pantas berkembang dan mempengaruhi dalam tempoh singkat malah, ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup,” kata pengasas bersama Nuffnang, Timothy Tiah.

Pada malam itu, para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan artis seperti James Baum dan Reshmonu selain sitkom oleh Harith Iskander.

Majlis yang dikemudi oleh Nadia Heng dan Liang itu turut menyaksikan pengendali blog hiburan Malaysia, beautifulnara.com menang anugerah blog hiburan terbaik.

- KOSMO!

Sabtu, November 05, 2011

Isu Blog : Seksualiti Merdeka dan nasib kakitangan awam

Oleh LUKMAN ISMAIL

"PENGANJURAN Seksualiti Merdeka merupakan suatu hadiah penghinaan kepada kita semua" tegas Jas Salleh dalam blognya, Semar Emas (semaremas.blogspot.com) berhubung sebuah forum yang konon memperjuangkan hak asasi manusia bagi golongan pengamal hubungan sejenis.

Jelas amalan seks songsang ini adalah bertolak dari luar tabii dan merupakan amalan tidak sihat tetapi anehnya kelompok seperti Ambiga dan Majlis Peguam yang mendakwa menentang kezaliman tetapi menyokong penuh amalan kehidupan seperti ini.

Kata beliau, seharusnya kita semua menentang segala usaha puak-puak yang mengamalkan kehidupan amalan syaitan ini tetapi malangnya Pas hanya berdiam diri, sama seperti apa yang berlaku dalam isu memurtadkan umat Islam oleh sebuah gereja tempoh hari.

"Mereka (seolah-olah) bertindak menghalalkan perbuatan puak satanisme dengan melemparkan segala macam fitnah hasutan kepada UMNO dan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Ini merupakan suatu perkara yang amat membahayakan Islam, tauhid dan negara," katanya.

Dr. Ismail Ibrahim (profismail.blogspot.com) pula berkata, dalam era manusia sedar tentang pentingnya nilai-nilai moral dan budaya manusia tetapi kita di negara yang memberikan perlindungan kepada kepelbagaian agama rupa-rupanya ingin kembali kepada kehidupan aneh dan terkeluar dari nilai-nilai budaya ketimuran.

"Nampaknya golongan yang menganjurkan pesta itu (Seksualiti Merdeka) dan menggalakkan orang lain memujanya seolah-olah tidak lagi menghormati agama dan budaya majoriti rakyat Malaysia.

''Malah kita sekarang ibarat sebagai kumpulan penumpang sebuah kapal, yang sebahagian darinya akan menebuk lubang di lantai kapal itu, supaya semua kita tenggelam dalam lautan bahaya itu," katanya.

Blog Gelombang Rakyat (gelombang-rakyat.blogspot.com) pula menganggap Seksualiti Merdeka sebagai satu bentuk budaya baru yang bakal diiktiraf jika tidak dipantau.

Katanya, Datuk S.Ambiga sebagai pencetus program tersebut dengan sokongan Majlis Peguam bahkan mereka meminta pihak-pihak yang membela Perlembagaan Negara agar merujuk semula udang-undang menghalang hubungan sejenis.

"Apa macam? Pas tak mau lawan ke? Kalau setakat (Datuk) Hassan Ali seorang sahaja yang lawan, tak payahlah. Aku nak tengok reaksi muka-muka macam Mahfuz Omar dan Khalid Samad yang sekarang ni duk ternganga nakkan kuasa. Takkan punya. Alih-alih bertindak 'playsafe', (selamat) kemudian salahkan UMNO.

"Padahal yang membela golongan songsang ini pemimpin idola kamu, Ambiga. Lepas ni perhimpunan Bersih jangan pakai baju kuning sahaja. Pakai warna pelangi. Berarak dengan bendera pelangi. Kenapa pelangi? Tanyalah Anwar..." katanya.

Blog Empayar Pemuda (empayar-pemuda.blogspot.com) pula secara sinis membidas golongan ulama dalam Pas yang hanya membisu berhubung program tersebut disebabkan penganjurnya adalah Ambiga.

Katanya, walaupun ada suara kecil dari Pemuda Pas yang membantah program tersebut tetapi ia tidak memadai memandangkan Pas sebelum ini sering turun di jalanan berdemonstrasi untuk membantah sesuatu isu.

"Amatlah pelik apabila tiada bantahan jelas dan besar-besaran terhadap festival ini oleh sekumpulan manusia yang menganggap diri mereka pejuang agama Islam tersohor dan paling mulia di Malaysia iaitu Pas.

"Selama ini, Pas begitu lantang dan tegar berdemo menentang konsert-konsert artis luar negara apatah lagi jika artis tersebut merupakan golongan pengamal seks songsang seperti Elton John. Sedangkan artis luar negara ini bukan datang untuk mempromosi cara hidup mereka mahupun meliwat sesiapa di atas pentas.

"Bagaimanapun, kedatangan mereka tetap dianggap sebagai bahaya besar oleh Pas.

Blog Jiwa Paradox (alamijiwaparadox.blogspot.com) pula bersetuju dengan kenyataan Presiden Perkasa yang menyifatkan program Seksualiti Merdeka sebagai usaha mempromosikan budaya 'binatang' di kalangan rakyat.

Baginya, mereka yang mengamalkan seks songsang itu adalah lebih teruk daripada binatang kerana binatang yang tidak mempunyai akal pun dapat membawa nafsu ke tempat yang sebenar tetapi manusia yang waras dan diberikan akal fikiran tewas kepada nafsu seks luar tabii.

"Kenapa perlu diberikan hak kepada golongan ini sedangkan mereka tidak memberikan hak kepada tempat yang sepatutnya. Bukankah telah Allah tentukan hak lelaki adalah kepada wanita dan sebaliknya?

"Apa hak yang mereka mahu tuntut sedangkan mereka tidak meletakan hak pada tempat yang sepatutnya? Kenapa perlu diberikan sokongan kepada mereka? Adakah kita mampu untuk tanggung dosa mereka sedangkan kita semua tahu azab yang bakal diterima oleh golongan ini" katanya.

Sementara itu blog The Flying Kick (theflyingkick.blogspot.com) membidas kakitangan awam yang menyokong pakatan pembangkang sedangkan para pemimpin pujaan mereka itu berusaha untuk "memecat" mereka jika berkuasa.

Katanya, perlu diingat bahawa lebih 90 peratus kakitangan awam merupakan Melayu-Bumiputera dan jika apa yang dikatakan oleh Tony Phua iaitu projek khas mengurangkan kakitangan awam itu dilaksanakan, ini bermakna ramai kalangan kakitangan awam yang "gembira" apabila ada di antara rakan mereka dipecat.

"Setelah memberikan janji-janji langit dan bulan kepada kakitangan awam, akhirnya belang sebenar pembangkang atau lebih tepat lagi DAP, dibongkarkan oleh mulut orang kuat mereka sendiri. Semuanya dilakukan atas dasar penjimatan, sekalipun tujuan sebenar bukanlah kerana penjimatan sebaliknya kerana rasis.

"Menariknya, (Datuk Seri) Najib Tun Razak memuakan dan memanjakan kakitangan awam dengan pelbagai gula-gula sedangkan DAP dan pakatan pula melihat kakitangan awam sebagai satu pembaziran negara yang amat besar sehingga memerlukan mereka dipecat!" katanya.

Blog Pisau.net (www.pisau.net) menganggap apa yang dicadangkan oleh Tony itu sekurang-kurangnya dapat memenuhi hasrat kakitangan awam yang antikerajaan BN dapat merasa laba sesama mereka jika Putrajaya dapat diambil alih oleh pembangkang.

"Mengurangkan jumlah kakitangan awam yang majoritinya adalah Melayu adalah satu langkah yang baik. Memandangkan konsep Malaysian Malaysia dan kesamarataan harus dilaksanakan tanpa mengira bangsa mana yang menjadi majoriti di negara ini.

"Justeru, Pisau rasakan jika sistem merit ini dilaksanakan maka kakitangan awam akan dipenuhi oleh golongan cerdik pandai kerana kita semua tahu graduan universiti bumiputra bukannya pandai -- CGPA pun cukup makan dan mereka hanya mendapat tempat di universiti atas kuota sebagai bumiputra dan Melayu.

"Maka tempat sebagai penjawat awam harus diisi oleh graduan universiti yang tidak suka "berdemo" dan "berpolitik" yang semua orang tahu sudah tentu CGPA-nya cemerlang dan terbilang," katanya.

Rabu, November 02, 2011

Berniaga Internet sekadar berkongsi rasa


PERNIAGAAN bukanlah satu bidang yang bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata. Malah hari ini senarionya berbeza apabila rata-rata yang menceburi bidang ini adalah bertujuan untuk memenuhi masa lapang ataupun sekadar suka-suka.

Inilah yang berlaku kepada sekumpulan empat rakan karib Rozita Ahmad Tajuddin, 32, Nur Haliza Hassan, 32, Noor Fitriah Bakri, 32, dan Syarifah Zurina Syed Salim, 32.

Penglibatan mereka dalam bidang ini bukanlah bertujuan untuk menjadi kaya atau mengumpul harta tetapi mereka sekadar ingin berkongsi apa yang mereka ada.

Ternyata penglibatan keempat-empat wanita ini dalam bidang perniagaan tiada sebarang perancangan malah mereka melakukannya secara spontan.

Menurut Rozita, mereka berempat membuat keputusan untuk bergabung tenaga selepas pulang bercuti dari Vietnam.

Sepanjang di sana, selain melawat tempat-tempat bersejarah dan menarik, mereka turut melawat tempat-tempat membuat baju termasuklah baju kurung.

Setelah meneliti kesemua baju kurung yang dihasilkan berkualiti serta menarik jahitan maniknya, tanpa membuang masa mereka terus bersetuju untuk memasarkan produk tersebut di Malaysia.

"Sekembalinya ke Malaysia, kami terus membuat keputusan untuk memasarkan baju-baju tersebut di Malaysia.

"Ini kerana, selain dibuat daripada kain yang berkualiti, jahitan manik yang dijahit juga kemas dan menarik.

"Dari situlah kami terfikir untuk menjual baju-baju tersebut di sini memandangkan orang kita banyak mengenakan baju kurung apabila ke pejabat," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kota Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ternyata percaturan mereka membuahkan hasil walaupun ia baru dipasarkan melalui Internet awal tahun ini.

Hari ini, selain memasarkan produk mereka melalui Internet dan kawan-kawan, mereka juga merupakan pembekal kepada peniaga-peniaga yang terdapat di sekitar Lembah Klang.

Dengan menggunakan jenama Drama Queen, mereka turut memasarkan baju kurung untuk kanak-kanak.

Dalam pada itu, menurut Nur Haliza pula, baju kurung yang mereka jual diperbuat daripada pelbagai jenis kain kapas seperti kain kapas Inggeris, Korea, sutera dan juga linen.

Apa yang menarik apabila membicarakan mengenai latar belakang masing-masing, ternyata tiada seorang pun yang mempunyai asas mahupun pengalaman dalam bidang perniagaan.

Tetapi disebabkan minat selain ingin membuktikan kebolehan masing-masing, mereka tidak kisah untuk belajar dari bawah dan hingga kini mereka berempat masih lagi menimba pengalaman.

"Kami sememangnya tidak mempunyai asas di dalam bidang perniagaan tetapi Alhamdulillah apa yang kami lakukan hari ini seolah-olah terbuka jalannya.

"Kami juga mempunyai kemahiran masing-masing dan setiap seorang akan bertanggungjawab dengan tugas yang diberikan seperti bahagian pemasaran, pengiklanan dan sebagainya.

"Boleh dikatakan masing-masing ada peranan sendiri dan disebabkan itu kami mampu meneruskan perniagaan ini," katanya lagi.

Begitupun, menurut Rozita, hari ini hanya dirinya dan Nur Haliza sahaja yang bermastautin di Kuala Lumpur manakala Syarifah Zurina tinggal di Pulau Pinang dan Noor Fitriah kini bertugas di luar negara.

Walaupun begitu, ia tidak sedikit pun mengganggu perjalanan perniagaan mereka. Kesemua baju kurung siap bagi dewasa dan kanak-kanak boleh dilihat melalui www.dramaqueenscloset.blogspot.com ataupun di facebook.

Bukan itu sahaja malah kesemua produk yang dipasarkan adalah mampu milik kerana harganya berpatutan.

Jangan ketinggalan dapatkan koleksi terbaru mereka setiap tiga bulan.

Khamis, Jun 16, 2011

Blogger perlu patuhi undang-undang negara

Penulis blog atau blogger mempunyai kedudukan sama seperti penulis majalah atau surat khabar kerana mereka tertakluk di bawah undang-undang negara.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, golongan tersebut tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan saman oleh individu yang mendapati diri mereka telah difitnah.

“Blogger boleh dikenakan tindakan undang-undang daripada pihak berkuasa jika didapati cuba menghasut dan melakukan kegiatan jenayah sehingga ada pihak mengalami kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Blogger dan Media Sosial Dunia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

- KOSMO!

Rabu, April 27, 2011

Penulis blog juga rakan bentuk masa depan negara

Aktiviti blog di Malaysia adalah antara yang paling rancak serta bebas di dunia dan pentadbiran negara memberi komitmen penuh untuk meneruskan janji Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri dalam membangunkan Koridor Raya Multimedia (MSC) bahawa Malaysia tidak akan menapis Internet.

Jaminan pada komitmen ini diteruskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula. Di Malaysia, penulis blog bagaikan dapat sokongan daripada kerajaan untuk menyalurkan pandangan dan maklumat masing-masing.

Kerajaan sedar cabaran media sosial melalui ruang siber baik melalui blog, Facebook atau Twitter sekarang terhadap masa depan negara. Seperti kata Najib, media sosial sekarang mampu mempengaruhi serta membentuk pandangan orang ramai, sehingga dalam kes tertentu membawa kepada kejatuhan rejim dan kerajaan atau sekurang-kurangnya mencetuskan kekecohan serta ketidakstabilan.

Bagaimanapun kerajaan Malaysia tidak gentar dengan pandangan penulis blog, sebaliknya mahu mereka menjadi rakan blogger supaya pandangan dan kritikan membina mereka dapat membentuk masa depan lebih baik untuk negara dan rakyat.

Biarpun seseorang itu bebas menulis apa saja di dalam blog, batasnya tetap ada. Sebab itu, Perdana Menteri mengingatkan penulis blog tentang batas-batas supaya ruang siber tidak digunakan untuk menipu atau menyatakan separuh kebenaran.

Sememangnya demokrasi digital adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, malah kerajaan Malaysia juga percaya Internet adalah enjin untuk pertumbuhan ekonomi, membina masyarakat berilmu dan berupaya merapatkan rakyat melalui penggunaan yang betul.

Jadi penulis blog ada peranannya dalam membentuk minda masyarakat bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia melalui hasil penulisan yang tepat dan berkualiti bukannya sekadar sesesuka hati dan memberi komen berbaur fitnah dan tohmahan.

Kita tidak mahu laman blog menjadi ruang penyebaran fitnah. Penulis perlu sedar perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang dan agama.

Hakikatnya, penulis blog seperti penulis media yang lain turut mempunyai kuasa untuk menyampaikan pelbagai maklumat dan mempengaruhi pemikiran rakyat melalui maklumat yang disampaikan.

Penulis blog mampu menyatupadukan masyarakat dan mereka juga boleh memecahbelahkan rakyat.

Oleh sebab itu kuasa yang dimiliki itu seharusnya digunakan untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan secara berhemah.

Kerajaan sehingga kini amat bermurah hati dengan penulis blog, walaupun ada yang menulis bukan berdasarkan fakta sebenar. Sudah tiba masanya penulis-penulis blog di negara ini juga harus bersikap lebih profesional dan bertanggungjawab dalam penulisan mereka di laman web masing-masing.

Setiap penulis media alternatif itu perlu mempunyai kod etika bagi memastikan hasil tulisan mereka adalah berasaskan pada fakta dan kebenaran.

Topik kod etika untuk penulis blog telah lama diperkatakan tetapi sehingga kini tidak siapa yang ambil serius untuk melaksanakannya.

- UTUSAN

Recent Posts