Memaparkan catatan dengan label Bantuan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bantuan. Papar semua catatan

Sabtu, Oktober 27, 2012

Abil Fikri: Walau wajahnya berubah, saya tetap sayang Fauziah


SEREMBAN –  “Saya bukan cari publisiti.” Demikian kata Abil Fikri Ahmad, 43, yang kesal dengan tanggapan sesetengah pihak yang menuduhnya cuba mengambil kesempatan atas penderitaan isterinya, Fauziah Muhamad. Perkara ini timbul apabila dia mula melakarkan perjalanan hidupnya menjaga Fauziah, 38, yang menderita akibat kerosakan saraf pada otak, menerusi blog sejak April lalu.

Abil menjadikan laman blog yang didaftarkan atas nama ‘abil4fauziah’ sebagai diari.

Abil berkata, satu kiriman pesanan ringkas diterimanya sebelum ini cukup meruntun hatinya apabila ada pihak menuduhnya mencari publisiti atas kesengsaraan dialami isterinya.

“Saya kecewa. Saya tak sangka ada pihak sanggup menuduh saya sedemikian rupa,” katanya yang tidak pernah terfikir untuk mengambil kesempatan atas keadaan isterinya.

Dia berkata, SMS yang diterima lebih kurang berbunyi, “Encik Abil saja reka cerita nak cari publisiti ke? Buat blog untuk ‘promote’ diri? Nak tunggu dapat anugerah suami mithali? Supaya dapat gelaran Datuk?”

“Saya terkilan apabila ada pihak yang menuduh saya sebegitu,” katanya dengan nada penuh kesal sambil beristighfar panjang.

Ceritanya, SMS itu diterima Jun lalu daripada insan yang tidak dikenali dan dia cuba menerangkan dengan cara baik, namun gagal.

“Saya buat blog ini atas nasihat kawan, selain saya mahu apabila dia sihat nanti, blog ini dapat menjadi tukang cerita kerana memorinya hilang sepanjang dia sakit,” katanya.

“Melalui blog yang saya kemas kini tiga hari seminggu ini juga saya dapat mengumpulkan dana untuk isteri saya. Apabila mereka membaca, sebahagian besar mereka menyumbang.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan kemurahan hati mereka. Dana yang saya kumpulkan untuk isteri saya tidak pernah saya salah gunakan. Semua untuk dia,” jelasnya.

Abil menambah, baju raya mahu pun kasut raya tidak dibeli sejak tahun lalu.

Katanya, Baju Melayu yang digunakan pada hari pernikahan mereka sekitar tiga tahun lalu menjadi baju Aidilfitri tahun ini.

“Saya langsung tidak membeli apa-apa keperluan untuk diri saya kecuali makan dan minum,” ujarnya.

Menurutnya, hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas semua bantuan dan pertolongan yang diberikan bagi meringankan bebannya menjaga isteri tercinta

"Alhamdulillah, Tuhan bukakan pintu hati orang ramai kerana sudi membantu saya sehingga ke hari ini.

“Saya yakin, setiap kesusahan ada jalan keluar. Jika Tuhan memberi saya dugaan sebesar ini, Dia pasti akan membantu saya juga," katanya.

Kata Abil, dia tidak pernah berhenti berdoa agar Tuhan sentiasa memberi kekuatan kepadanya agar dapat terus menjaga isteri dengan mudah tanpa sebarang kesulitan.

Bercakap soal raya, Abil begitu teruja menceritakan kemeriahan Aidilfitri tahun ini.

“Meskipun keadaan isteri saya begini, namun saya sangat gembira.

“Ahli keluarga semuanya pulang ke Seremban dan memasak makanan hari raya bersama-sama. Sangat berbeza dengan tahun lalu,” katanya.

Menurut Abil, tahun lalu merupakan sejarah di mana bulan Syawal ‘diiringi’ kemurungan dan kesedihan. Namun dia percaya ALLAH akan menggantikan kesedihan dengan kebahagiaan tahun ini.

Beralih kepada topik kahwin, Abil ketawa kecil apabila soalan berkaitan diajukan.

“Kahwin lain? Kalau saya suka kahwin-kahwin, dah lama saya kahwin. Tidak perlu tunggu berumur 40 tahun baru nak kahwin,” katanya.


Cinta pandang pertama

Menurut Abil, ramai rakan-rakan terdekat yang mencadangkan agar dia berkahwin lain, namun dia menolak.

“Perempuan berkahwin supaya ada seseorang menjaga dia, jadi saya menjalankan apa yang diamanahkan.

“Saya tak rasa saya mampu memberi fokus kepada dia sepenuh masa jika saya berkahwin lain,” katanya.

Tambah Abil, sebelum ini Fauziah pernah bertanya, “kalau saya sakit tak boleh bangun, awak kahwin lain tak?”

Ketika itu Abil tidak mampu menjawab kerana dia tidak boleh memberi jawapan.

“Kini, saya boleh jawab. Selagi dia isteri saya, walaupun rupa dia berubah, saya tetap sayangkan dia. Kalau saya tak sayang dia, boleh saja saya hantar dia ke kampung dan setiap bulan saya kirim duit.

"Apapun, susah senang biarlah bersama. Jika ini bahagian yang perlu saya tempuh bersama isteri, saya redha. Semuanya sudah tertulis, segala perjalanan hidup saya telah pun disusun oleh ALLAH SWT. Kini, saya hanya
mengikut rentak yang telah ditentukan coraknya oleh Tuhan untuk saya dan isteri,” katanya.


Penat itu normal

Sementara itu, Abil menolak apabila rutin hariannya itu dikaitkan dengan rasa bosan, penat dan tertekan.

“Tak ada kerja di dunia ini yang tak penat. Tak kerja pun penat. Penat itu normal.

“Saya dah tahu saya akan rasa penat, muak, bosan dan tertekan, jadi saya sudah ubah perasaan itu jadi penghibur hati sejak awal. Saya kawal hati saya,” jelasnya.

Menerima pelbagai bentuk sokongan daripada orang ramai membuatkan dirinya lebih bersemangat menjalankan rutin hariannya.

“Saya semakin bersemangat setiap hari. Ada yang SMS ada yang telefon ada yang tinggal pesanan di laman sosial. Terima kasih untuk keprihatinan anda semua,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkan bantuan kepada Fauziah melalui akaun Maybank  1551-7109-4087  atas nama Abil, atau menghubungi Abil ditalian 016–2634258.

- SINAR HARIAN
 

Selasa, Julai 31, 2012

Budak hidap tujuh penyakit perlu bantuan

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang menghidap tujuh jenis penyakit, memerlukan sumbangan orang ramai untuk membeli peralatan perubatan membabitkan kos RM22,600.

Aqil Harits Mohd Najib, anak juruteknik pendingin hawa, Mohd Najib Husain, dan suri rumah, Noriah Abdullah, disahkan menghidap lumpuh otak (cerebral palsy) sejak berusia sembilan bulan.

Noriah berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu lahir tidak cukup bulan dan diserang lumpuh otak selepas lambat mendapat rawatan demam kuning.

"Ketika berusia setahun pula, anak saya disahkan menghidap Laryngomalacia, iaitu masalah saluran pernafasan yang sempit sehingga dia terpaksa menggunakan banyak tenaga untuk menyedut oksigen.

"Justeru, Aqil menjalani pembedahan 'tracheostomy' yang mana lehernya ditebuk dan dipasang tiub bagi memudahkan dia bernafas," katanya ketika hadir bersama suami dan anaknya itu di Balai Berita Kuala Lumpur.

Tidak dapat makan menerusi mulut, kerap sawan

Selain itu, Aqil Harits juga menghidap penyakit gastro-esophageal reflux, epilepsi, central sleep apnea, insomnia dan pneumonia yang berulang, menyebabkannya tidak dapat makan menerusi mulut, kerap sawan, sukar tidur, nafas sering terhenti ketika tidur dan mengalami radang paru-paru.

Noriah berkata, bagi menampung kos rawatan Aqil Harits yang mencecah RM3,000 sebulan, mereka hanya bergantung kepada pendapatan suaminya yang kurang RM2,000 sebulan, selain menerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sumbangan zakat.

Untuk mengurus dan merawat Aqil Harits di rumah, mereka memerlukan lapan peralatan perubatan yang menelan perbelanjaan berjumlah RM22,600 di mana RM10,000 daripadanya sudah disumbangkan Garden International School.

Orang ramai yang ingin menderma baki RM12,600 diperlukan, boleh menyerahkan cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd serta menulis nama Aqil Harits Mohd Najib di belakang cek dan menghantarnya kepada Juruwang, Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Jumaat, Jun 15, 2012

3 beradik perlukan bantuan



SHAH ALAM - Seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja demi melihat anak-anaknya dapat menjalani kehidupan normal seperti insan lain.

Adiana Othman, 34, yang menempuh dugaan berikutan ketiga-tiga anaknya hidap penyakit kronik berkata, dia perlu sokongan dan bantuan. “Selain masalah kewangan, saya perlukan bantuan daripada mana-mana doktor pakar yang sudi bantu mengubati penyakit anak-anak saya ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Adiana dan suaminya, Zanery Adam, 43, tidak tertahan melihat anak-anak mereka menanggung kesakitan. Anak sulung mereka, Nurul Huda, 12, mengidap penyakit tiroid tahap keempat dan perlu dibedah secepat mungkin.

Disebabkan masalah kewangan, mereka terpaksa menumpukan pembedahan anak bongsunya, Nurul Fatihah, 8, yang menghidap kanser tulang tahap kritikal kerana terdapat ketumbuhan besar pada leher.

“Kos keseluruhan pembedahan Nurul Fatihah masih belum diketahui. Sebelum ini, pihak hospital anggarkan RM15,000. Bagaimanapun, saya yakin kosnya pasti meningkat memandang keadaannya makin teruk,” katanya.

Sementara itu, anak keduanya, Muhammad Amir, 11, menghidap dua penyakit dikenali saraf tunjang kongenital dan masalah saluran kencing yang hanya menggunakan tiub untuk membuang air kecil.

Sehubungan itu, pihak yang prihatin dan hasrat menyumbang boleh hubungi 013-293 4873 atau menerusi akaun Maybank 162508103642 milik Adiana

- SINAR HARIAN

Khamis, Januari 27, 2011

Bantulah Adik Hairuman - Bantuan anda diperlukan


Kini hanya kakak Hairuman yang bertungkus lumus menyara keluarga dengan pendapatan tidak seberaapa iaitu dengan menolong suaminya menjual air buah. Sebelum ini Hairuman cuba membantu meringankan beban keluarganya dengan melakukan dua pekerjaan iaitu bekerja di kilang dan pemungut kelapa sawit. Malang menimpa keluarga ini apabila Hairuman ditimpa kemalangan semasa memungut kelapa sawit. Adik hairuman terkena kejutan elektrik akibat daripada kabel elektrik yang berkuasa tinggi tiba2 terjatuh dan menimpa adik hairuman.

Badan adik hairuman 50 peratus melecur dan memerlukan kos yang amat tinggi untuk menampung kos perubatan. Keluarga Adik Hairuman cuba meminta bantuan daripada badan2 yang berkenaan untuk membantu keluarganya dan dirinya tetapi sampai sekarang tidak mendapat sebarang jawapan... Di sini kami merayu kepada tuan/puan supaya menolong adik Hairuman.. walaupun RM1 seorang sudah memadai meringankan beban adik Hairuman. Marilah sama-sama kita membantu adik Hairuman setakat terdaya.

Disini kami sertakan nombor telefon Kakak Hairuman 018-3807867 -Maryuni Bt Miskon

No Akaun : Maryuni Miskon (kakak kepada Hairuman Miskon)
162030632448 - Maybank
12570000203529 - CIMB Bank

Alamat: No 28 Jln Desa Mawar 2/11, Seksyen 2, Tmn Desa Mawar, 45500 Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan.

* Kempen ini dianjurkan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

BERITA DARI KOSMO!

Hairuman bakal hilang kaki kiri pula


Mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhamad Hairuman Miskon yang baru kehilangan kedua-dua belah tangannya minggu lalu, bakal berdepan satu lagi dugaan apabila doktor mengesahkan salah satu daripada kakinya akan dipotong.

Ketua Aduan Majlis Belia Malaysia, HM Rizan ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapat berita sedih itu petang semalam.

"Saya sendiri terkejut apabila doktor memaklumkan Muhamad Hairuman akan dimasukkan ke dewan bedah petang esok (hari ini) bagi membolehkan kaki kirinya dipotong.

"Kami rasa sangat sedih dan terkejut tetapi doktor memberitahu perkara itu terpaksa dilakukan atas faktor perubatan," katanya ketika dihubungi di sini petang semalam.

- KOSMO! 26/01/2011



Isnin, November 08, 2010

Tabung Bencana NSTP-Media Prima dilancar


BATU KAWAN: Prihatin dengan nasib mangsa banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan, Media Prima Berhad (Media Prima) dengan kerjasama The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) melancarkan Tabung Bencana NSTP-Media Prima di Karnival Jom Heboh TV3 di Stadium Batu Kawan, di sini semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaafar yang turut mengumumkan syarikat berkenaan akan menggerakkan sukarelawan membantu proses menyalurkan bantuan dan berharap badan awam serta syarikat korporat berganding bahu membantu mangsa bencana melalui tabung itu.

Johan berkata, antara bantuan diperlukan adalah keperluan asas seperti makanan dan minuman, alat kebersihan, selimut, makanan bayi / susu formula dan lampin, manakala sumbangan kewangan boleh disalurkan ke akaun Maybank, 5141-0532-0757 atas nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui maybank2u, ATM, Kawanku Phone Banking, Mesin Deposit Tunai, Mesin Deposit Cek dan kaunter Maybank atas nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

- BERITA MINGGU

Sabtu, Ogos 14, 2010

KEMPEN SEHELAI BAJU BUAT MENYAPU SI AIR MATA - Mengumpul Baju Melayu dan Baju Kurung Baru untuk diagihkan kepada anak-anak yatim



Mengumpul baju Melayu dan Baju Kurung Baru untuk diagihkan kepada anak-anak yatim dan fakir menjelang Aidilfitri

Sila kirim ke alamat:

KEPADA:
SEHELAI BAJU BUAT MENYAPU SI AIR MATA
(U.P :Ahmad bin Sa'abun)
No. 12, Jalan Platinum 7/44
Seksyen 7, 40000
Shah Alam, Selangor
Darul Ehsan

HP : 016-2151192

BAGI ZON UTARA
KEDAH/PERLIS/PULAU PINANG/UTARA PERAK

Sila Kirim Ke Alamat

MOHD ROZMIE
No 1, Persiaran Mayang Pasir 4,
Bandar Bayan Baru,
11950 Bayan Lepas, P.Pinang.

HP: 010-525 8470

BAGI ZON SELATAN
NEGERI SEMBILAN/MELAKA/JOHOR

Anda boleh singgah di:

Kodai Minum Ujang.
No 15, R&R Nilai Arah Utara,
Hiway PLUS Seremban- K. Lumpur.

Contact person :
Puan Hasliza Muda
Encik Hasrun Che Suh
017-3110644

NOTA : Kempen ini berjalan sehingga 21 Ogos 2010 bagi membolehkan semua sumbangan anda dapat disampaikan kepada rumah anak-anak yatim sebelum Hari Raya Aidilfitri.

PAGE DI FACEBOOK :
http://www.facebook.com/group.php?gid=135564166475320

"SEGALA SUMBANGAN ANDA AMATLAH DIHARGAI & SEMOGA ALLAH SWT YANG DAPAT MEMBALASNYA"

Sabtu, Julai 24, 2010

Nur Umairah derita kepala besar


Norbaizura (kiri) melihat Nur Umairah sambil diperhatikan Hasliza dirumahnya di, Kuala Ketil, Baling


BALING - Usia Nur Umairah Mohd. Zaidi baru enam bulan tetapi nasibnya tidak sebaik kanak-kanak lain apabila tisu otak disahkan semakin nipis menyebabkan kepalanya membesar menyamai kepala dua orang dewasa.

Lebih menyedihkan, akibat tumbesaran yang dialami, mata kanannya telah disahkan buta dan Nur Umairah tidak lagi mampu menggerakkan kepalanya yang sudah mencecah berat hampir empat kilogram.

Menurut ibunya, Norbaizura Dol, 29, Nur Umairah dilahirkan bersama ketumbuhan kecil di kepala dan mengalami kecacatan pada bibirnya selain tidak mempunyai rongga hidung.

"Ketika membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, doktor memberitahu tisu otak anak saya yang semakin nipis menjadi punca kepalanya membesar.

"Kami tidak mampu berbuat apa-apa selain berdoa agar anak saya sembuh. Dia juga terpaksa minum susu setiap hari menggunakan tiub getah yang dibekalkan oleh HSAH," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil semalam.

Menurut Norbaizura, ketumbuhan yang membesar itu menyebabkan urat pada kepala anak bongsunya daripada tiga beradik itu kelihatan dengan jelas.

"Walaupun kepalanya membesar dan menonjol, badan Nur Umairah masih aktif bergerak menyebabkan saya terpaksa berhati-hati ketika membersihkan badannya.

"Kepalanya yang besar membuat menyebabkan dia sentiasa tidak stabil bila dipegang," katanya yang hidup dengan pendapatan suaminya, Mohd. Zaidi Abdul Rahman, 34, seorang penoreh getah.

Dua lagi anak mereka, Mohd. Aiman Hakimi, 7, dan Mohd. Aiman Haikal, 5 tahun tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

Tambah Nurbaizura, dia dan suaminya amat berharap jika ada pihak yang sudi tampil untuk membantu merawat anaknya itu dengan menghubungi talian 012-4045076 atau memasukkan ke akaun BSN 0711129000100633 (Norbaizura).

- KOSMO!

Sabtu, Mei 22, 2010

Enam beradik piatu harap simpati masyarakat


PULAU PINANG 21 Mei - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Begitulah nasib yang menimpa enam beradik yang kini menumpang kasih dengan datuk dan nenek mereka yang telah uzur.

Ibu mereka, Mazlina Mohd. Taib, 34, meninggal dunia kira-kira seminggu selepas melahirkan adik bongsu mereka, Mohd. Ikmal Hafifi Mohd. Khairi, yang kini berusia sembilan bulan iaitu Ogos tahun lalu akibat masalah buah pinggang.

Selepas lima bulan pemergian ibu mereka, nasib Noraznorsari, 17; Nor Ahmad Khorsani, 16; Siti Jamiah, 12, Ahmad Daniel, 10 dan Ahmad Haris Adha, tiga tahun, bertambah malang apabila bapa mereka, Mohd. Khairi Durani, 53, pula menghilangkan diri.

Sehingga kini, hasil pencarian pihak polis hanya berjaya menemui motosikal Mohd. Khairi di atas Jambatan Pulau Pinang, manakala dia tidak ditemui di kawasan sekitar.

''Sehingga kini, kehilangan menantu saya itu menjadi teka-teki sama ada dia masih hidup atau tidak. Tetapi dalam hati saya, saya rasa dia telah tiada dan saya tidak pernah mengharapkan apa-apa lagi.

''Yang penting, saya bertekad, selagi ada nyawa dan kudrat, saya akan terus menjaga cucu-cucu saya ini sehingga mereka besar. Bagi mereka pelajaran dan bantu mereka untuk berjaya," kata Fauziah Osman, 58, ketika ditemui di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai di sini hari ini.

Fauziah dan suaminya, Mohd, Taib Mokhtar, 61, yang lumpuh sebelah kaki kini menggalas tanggungjawab menjaga keenam-enam adik beradik itu.

Terdahulu, Fauziah, Mohd. Taib dan adik beradik berkenaan menerima sumbangan RM10,000 daripada Bank Islam yang disampaikan oleh Pengurus Kawasan Utara, Ahmad Fauzi Mohd. Akhir.

Menurut Fauziah, dia tidak menyangka, perbuatan luar biasa menantunya yang mencium pipi Mohd. Ikmal Hafifi bertalu-talu sambil mengucapkan selamat tinggal tanda menantunya itu 'ingin' pergi.

Katanya, kejadian itu dilihatnya pada kira-kira pukul 4.30 pagi, 29 Disember tahun lalu, semasa menantunya itu sedang memberi anak bongsunya itu makan ubat kerana demam dan batuk sebelum keluar pergi bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pasar raya Tesco, di sini.

''Dia juga kata yang ini kali terakhir dia bagi Mohd. Ikmal Hafifi makan ubat. Saya memang rasa tak sedap hati bila mendengar dia berkata begitu. Dia menantu dan ayah yang baik. Tidak pernah kami tahu masalah yang dihadapi kerana dia seorang yang amat berahsia dan pendiam.

''Selepas dia hilang, barulah kami semua tahu dia banyak masalah terutama tunggakan sewa rumah ini yang mencecah RM3,600.

''Kerajaan negeri pula telah mengeluarkan notis supaya mengosongkan rumah ini sebelum 31 Januari lalu. Mungkin dia tertekan dengan masalah itu," luahnya sambil dikelilingi kesemua cucunya.

Sementara itu, Noraznorsari berkata, hasil bantuan pelbagai pihak, tunggakan sewa tersebut telah berjaya dibayar.

Katanya, mereka sekeluarga turut memperoleh bantuan bulanan RM850 yang disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Urus Zakat (PUZ) serta bantuan pembelian barang keperluan harian setiap bulan sebanyak RM200.

Selain itu, katanya, terdapat beberapa individu yang bermurah hati telah menyelesaikan yuran persekolahan mereka adik beradik serta membayar sewa bulanan rumah tersebut sebanyak RM102 sebulan sejak Januari lalu.

''Saya amat berterima kasih kepada semua yang telah membantu kami adik beradik. Apa yang kami harapkan kini adalah semangat dan bantuan untuk memulihkan semula semangat kami untuk berjaya dalam pelajaran.

''Saya berharap dapat memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan saya duduki hujung tahun ini. Pada masa yang sama, saya amat berharap ada pihak yang sudi membantu Nor Ahmad Khorsani supaya dia bersekolah semula," katanya sayu.

Kata Noraznorsari, bantuan yang diterima akan dipergunakan sebaik-baiknya terutama untuk pelajaran mereka adik beradik selain membeli barangan keperluan harian mereka sekeluarga yang menuntut belanja yang agak besar setiap bulan.

Sementara itu, mereka yang ingin membantu boleh menyampaikan sumbangan kepada adik beradik berkenaan dengan menghubungi Sekretariat Pengaduan Kebajikan Rakyat (Sepakat) di talian 04-3332155 atau 013-5234188 (SMS).