Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan

Khamis, September 03, 2020

Mengapa Rasulullah SAW berkahwin lebih?



oleh Hairul Nizam Mat Husain
Penulis ialah Syeikh Ruwaq Jawi, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi Kaherah.

(Siri 1 )

Antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh sebahagian pihak adalah isu perkahwinan Rasulullah SAW yang baginda memiliki 11 isteri sedangkan lelaki muslim yang lain hanya dibenarkan mempunyai empat isteri sahaja dalam satu masa.

Akibat salah faham terhadap isu ini, ada yang menuduh Nabi SAW dengan tuduhan-tuduhan yang tidak pantas disandarkan kepada baginda selaku Nabi yang terulung.

Sebenarnya, jika kita meneliti status setiap isteri baginda, nescaya kita akan mengetahui betapa mulianya Nabi Muhammad SAW dalam mengahwini wanita-wanita terpilih tersebut.

Fadhilat al-Syeikh Dr. Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy selaku seorang tokoh terkenal dalam bidang hadis dan tasauf di Mesir telah membuat kesimpulan mudah dalam isu ini dengan menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang diutuskan oleh Allah.

Maka setiap tindakan dan ucapan baginda adalah merupakan arahan dan keizinan daripada Allah SWT kerana baginda dan seluruh para rasul yang lain mempunyai sifat ‘Ismah iaitu dipelihara oleh Allah SWT daripada jatuh ke lembah dosa.

Maka mempertikaikan segala tindakan Rasulullah SAW adalah mempertikaikan arahan Allah yang meminta dan mengizinkan baginda berkahwin lebih daripada empat isteri.

Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) pula pernah mengeluarkan satu artikel khusus bagi menjawab persoalan mengapa baginda SAW berkahwin lebih daripada empat isteri.

Menurut institusi fatwa bertaraf dunia ini, perkahwinan Nabi Muhammad SAW adalah berlegar pada tiga faktor iaitu kemasyarakatan, pensyariatan dan politik.

Faktor Kemasyarakatan:

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Khadijah binti Khuwaylid adalah bertunjangkan faktor kemasyarakatan kerana masyarakat mengharapkan pasangan suami isteri adalah mereka yang matang dari sudut pemikiran dan pengurusan rumah tangga.

Baginda SAW semasa berkahwin dengan Saidatina Khadijah berusia 25 tahun. Baginda melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta ini tanpa berpoligami selama 25 tahun iaitu sehingga kewafatan Saidatina Khadijah.

Selepas kemangkatan Saidatina Khadijah, Nabi SAW mengahwini Saidatina Sawdah bin Zam’ah yang merupakan seorang janda. Ini kerana Rasulullah SAW selepas kemangkatan Saidatina Khadijah memerlukan isteri yang baharu untuk menjadi ibu bagi menjaga empat puteri baginda yang masih kecil hasil perkongsian hidup baginda dengan Saidatina Khadijah.

Seterusnya pada tahun 3 Hijriah, baginda mengahwini Saidatina Hafsoh puteri Saidina Umar bin al-Khattab yang baru sahaja kematian suaminya. Perkahwinan ini bertujuan memuliakan dan menggembirakan hati Saidina Umar yang berusaha mencari suami baru terbaik buat puteri beliau.

Pada tahun 4 Hijriah pula, Rasulullah SAW mengahwini Saidatina Zainab binti Khuzaymah yang baru sahaja kematian suami yang gugur syahid di medan Uhud. Pada tahun yang sama juga, Nabi Muhammad SAW mengahwini Saidatina Ummu Salamah atau nama sebenar beliau Hind binti Umayyah yang kematian suami di samping memiliki anak-anak yang masih kecil.

Maka jelaslah bahawa perkahwinan-perkahwinan di atas antara tujuannya adalah untuk menjaga para isteri sahabat baginda yang telah gugur di medan perang agar para isteri yang ditinggalkan dan anak-anak yang menjadi yatim dapat dibela nasibnya oleh Rasulullah SAW.

Faktor Pensyariatan:

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah puteri Saidina Abu Bakr al-Siddiq adalah berasaskan faktor pensyariatan kerana baginda telah bermimpi bahawa baginda mengahwini Saidatina Aisyah. Mimpi para Rasul adalah merupakan wahyu daripada Allah SWT.

Maka menerusi mimpi ini, tahulah kita bahawa Allah memerintahkan Nabi SAW mengahwini puteri Saidina Abu Bakr al-Siddiq sekalipun jarak usia antara baginda dan Saidatina Aisyah adalah jauh. Ini sekali gus menjawab kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah.

Seterusnya perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Zaynab binti Jahsy pada tahun 5 Hijriah yang telah diceraikan oleh bekas suaminya Saidina Zayd bin Harithah yang merupakan anak angkat Rasulullah SAW juga atas faktor pensyariatan.

Ini kerana Allah ingin menyatakan kepada umat Islam bahawa tidak berdosa sekiranya ayah angkat mengahwini isteri anak angkatnya setelah berlaku perceraian. Maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW menjelaskan perkara ini secara praktikal.

Ini jelas terpapar di dalam surah al-Ahzab ayat ke-37 yang bermaksud: Maka apabila Zayd telah selesai mendapatkan hajat daripada dia [iaitu setelah beliau selesai menceraikan isterinya], Kami telah mengahwinkan anda dengannya [iaitu bekas isteri Saidina Zayd] supaya tidak berlaku kesusahan ke atas orang mukmin untuk mereka mengahwini isteri-isteri kepada anak-anak angkat mereka setelah anak-anak angkat tersebut mendapatkan hajat daripada isteri-isteri mereka [iaitu setelah mereka menceraikan isteri-isteri mereka]. Sesungguhnya urusan Allah [iaitu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah] adalah berlaku.

Sumber : Utusan

 

Jumaat, Mei 27, 2016

Ulama Arab Saudi Larang Bergambar Dengan Kucing



Seorang  ulama warga Arab Saudi melarang mengambil gambar bersama kucing, dengan mendakwa "amalan itu terlalu kebaratan".

Portal Mirror melaporkan Sheikh Saleh Bin Fawzan Al-Fazwan membuat kenyataan itu semasa bersiaran di stesen TV.

Dia mendakwa bergambar dengan kucing, anjing atau haiwan lain tidak dibenarkan kerana bertentangan dengan negara Islam itu yang terlalu konservatif.

Menurut Sheikh, larangan itu dibuat bagi menghentikan lebih ramai menjadi sebahagian dalam "trend yang lebih kebaratan".

Memetik laporan Newsweek, Sheikh memberitahu stesen TV itu bahawa dia dimaklumkan mengenai "satu trend baharu mengenai mengambil gambar bersama kucing telah mula mempengaruhi mereka yang menjadi lebih kebaratan".  

- Mirror

Rabu, Ogos 06, 2014

9 Sebab Kenapa Palestin Perlu Dipertahankan

 1. Kiblat pertama orang Islam.

2. Tanah para ambia.
Di antara para anbia yang pernah dilahirkan, dibesarkan dan disemadikan di bumi Palestin ialah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaakub, Nabi Syuib, Nabi Musa, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Isa dan lain-lain lagi.

3. Terdapatnya Masjidil Aqsa.
Sabda Rasululllah SAW:

“Masjid apakah yang pertama dibangunkan di atas muka bumi ini?” Baginda menjawab “Masjid al-Haram.” Selepas itu masjid apa pula? Baginda menjawab “Masjid Al-Aqsa”. [HR Bukhari dan Muslim].

4. Masjid ketiga suci umat Islam.
Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu bersusah payah untuk bermusafir kecuali untuk menuju ketiga buah masjid, Masjid al-Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa.”

5. Merupakan padang Mahsyar selepas kiamat dan merupakan pusat keamanan sejagat.

Sabda RasuluLAH SAW:

“Ia adalah bumi Mahsyar dan kebangkitan.” [HR Imam Ahmad dan Ibn Majah].

6. Orang tinggal di sana kerana Allah diibaratkan seperti orang yang berjihad di jalan Allah dan dikenali sebagai bumi pertahanan jihad. Rasulullah SAW bersabda:

“Ahli Syam akan berterusan dalam jihad dan ribath di jalan Allah.” [HR at-Tabrani dan Al-Haitami].

7. Pusat untuk kumpulan-kumpulan yang sentiasa teguh menegakkan kebenaran dan hak orang Islam sehingga hari kiamat. Sabda Rasulullah SAW:

“Sekelompok dari umatku akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka dan mereka tidak akan disakiti oleh musuh-musuh mereka kecuali apabila ditimpa kesusahan dan sehingga datang pertolongan dari Allah dan keadaan mereka akan kembali seperti sedia kala.” Para sahabat bertanya, “Di manakah tempat mereka itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab “Di Baitul Maqdis dan di aknaf (bawah lindungan) Baitul Maqdis.” [HR At Tabrani].

8. Tanah yang diberkati Allah. Firman Allah SWT:

“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. [Al-Israk: 1].

9. Bumi yang akan didirikan ibu negara umat Islam di akhir zaman dan kemajuannya akan membawa kepada tanda-tanda akhir zaman. Rasulullah SAW bersabda:

“Pembangunan Baitul Maqdis membawa kepada kehancuran Madinah (kerana diserang wabak).”

Rujukan

Hanif Ismail (2006). Baitul Maqdis Kesucian yang Dipertahankan. Petaling Jaya: Hijjaz Records Sdn Bhd.

Maszlee Malik (2006). Al-Aqsa dalam Bahaya. Kuala Lumpur: Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia.

Mohsen Saleh & Riyard Mahmoud. Kenangi Palestin Selami Isunya. Bandar Baru Bangi: Aman Palestin Bhd. Mohd.

N. Azran M. & M. Mahadi Isa (2005). Gerakan Freemasonary, Musuh dalam menghancurkan ISLAM. Selangor: La Khauf Resources.


Ahad, Mei 11, 2014

Hukum sambut Hari Ibu 'harus' bagi umat Islam - Mufti Kelantan

Meraikan sambutan Hari Ibu pada Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun bagi umat Islam adalah harus, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk anak-anak meraikan Hari Ibu bagi menghargai jasa insan istimewa itu yang banyak berkorban jiwa dan raga dalam mendidik serta membesarkan anak-anak.

"Mengucapkan Selamat Hari Ibu dan meraikan ibu yang melahirkan kita dan bersusah-payah membesarkan kita, mandikan kita dan membersihkan najis kita semasa kecil, adakah ia satu kesalahan?

"Perkara yang dilarang dalam Islam adalah menderhaka kepada ibu.

"Kalau kita lakukan sesuatu yang 'harus' dan dapat memberi kegembiraan kepada orang lain termasuk ibu sendiri ia merupakan sedekah dan dikira mendapat pahala," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas dakwaan yang mengatakan haram untuk umat Islam menyambut hari berkenaan kerana meniru perayaan orang Kristian yang menyambut hari 'Mother of Church'.

Sambutan Hari Ibu tahun ini jatuh pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei.

Mohamad Shukri berkata, Islam tidak pernah melarang umatnya mencontohi kebaikan orang lain termasuk Barat, namun sebarang perbuatan yang menyerupai upacara keagamaan lain serta bertentangan dengan syariat Islam amat ditegah.

Begitu juga menyambut Hari Ibu, beliau berkata umat Islam perlu memastikan pengisian sambutan itu berlandaskan syariat Islam sebenar, katanya.

"Macam hendak sambut Hari Ibu pun perlu dengan cara yang dibenarkan syarak jangan langgar batas-batas dalam Islam termasuk pergaulan bebas lelaki dan perempuan, ini tidak boleh," katanya.

Mohamad Shukri berkata, walaupun tiada suruhan untuk meraikan Hari Ibu di dalam Al-Quran, namun terdapat ayat yang menekankan perlunya umat Islam berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Katanya, Islam meletakkan ibu pada kedudukan tertinggi malah Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud:

"Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik?, jawab Rasulullah SAW: Ibumu.

"Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu.

"Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu.

"Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu".

- BERNAMA

Jumaat, April 25, 2014

Umat Islam tidak digalak ucap 'Rest In Peace' - Jakim

Individu beragama Islam amat tidak digalakkan untuk mengucapkan "Rest in Peace" (RIP) kepada seorang yang bukan Islam apabila berlaku kematian.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha, berkata ucapan berkenaan mempunyai implikasi dari sudut akidah sekiranya tidak difahami secara jelas kerana ia merupakan amalan keagamaan orang bukan Islam yang sepatutnya tidak diikuti oleh orang Islam.

"Dalam konteks ucapan Rest in Peace, ia adalah bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18. Ia juga biasanya diukir di batu nisan mereka yang telah meninggal dunia dalam kalangan masyarakat Kristian.

"Versi penuh ucapan tersebut yang berasal daripada bahasa Latin adalah 'May his soul and the souls of all the departed faithful by God's mercy rest in peace'.

"Ia juga mengandaikan orang bukan Islam berkenaan akan mendapat rahmat daripada Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan Fatwa Malaysia dalam laman Facebooknya 17 April lalu berkenaan isu ucapan tersebut yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Othman berkata penjelasan Fatwa Malaysia dalam laman sosial itu merupakan penjelasan hukum dan nasihat yang diberikan oleh Felo Fatwa berdasarkan kemusykilan dan persoalan yang dikemukakan masyarakat umum, dan ia bukan fatwa yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Katanya, Islam melarang umatnya mendoakan untuk keampunan bagi orang bukan Islam seperti yang dijelaskan dalam al-Quran, Surah Taubah, ayat 113 dan dinyatakan juga oleh Imam an-Nawawi dalam Kitab al-Majmu.

Bagaimanapun, dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, Islam tidak melarang umatnya mengucapkan rasa simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yng meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti 'saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda', katanya.

"Panduan hukum yang diberikan mengenai 'Rest in Peace' ini bukan merupakan fatwa, tetapi ia perlu dijadikan panduan oleh umat Islam kerana panduan ini berdasarkan nas-nas yang jelas selaras dengan hukum syarak," katanya.

Othman juga menasihatkan semua pihak agar tidak mempolemikkan isu itu kerana pandangan hukum yang dikeluarkan adalah sebagai panduan dan nasihat khusus kepada umat Islam dan sama sekali tiada kaitan dengan unsur-unsur penghinaan atau menidakkan hak kehormatan dan kemanusiaan mana-mana pihak atau individu.

- BERNAMA


Recent Posts