Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 19, 2013

Zakat memupuk sifat dermawan

Ceteknya pengetahuan mengenai agama menyebabkan ramai umat Islam yang mengambil remeh tentang kewajipan berzakat. Mereka seakan-akan terlupa, harta yang diperoleh mempunyai nilai yang perlu dijelaskan sebagai salah satu cara membersihkan pendapatan.

Eksekutif muda dari selatan tanah air, Ridhwan Hanafi Shahnawi, 24, tidak mengetahui bahawa zakat tidak hanya dibayar pada bulan Ramadan. Malah, ada zakat lain yang wajib dijelaskan jika cukup syarat.

"Selama ini, saya hanya mengetahui pembayaran zakat dilakukan pada bulan Ramadan. Sebab itulah saya tidak mengambil berat mengenai perkara ini kerana berasa belum layak untuk menunaikan tuntutan itu," ujarnya ketika ditanya berkenaan ibadah zakat terutamanya zakat harta.

Tanpa disedari, kecetekan pengetahuan Ridhwan sebenarnya turut dikongsi oleh sesetengah umat Islam yang lain. Lebih mengecewakan, terdapat juga golongan dewasa yang tidak mempedulikan rukun Islam keempat itu.

Ini diakui oleh Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Nor Mukshar Harun.

"Ada yang berjumpa kami dengan pertanyaan bukankah zakat dibayar pada bulan Ramadan sahaja?

"Saya terkejut kerana masih ramai yang tidak mengambil tahu kepentingan membayar zakat harta," kata Nor Mukshar ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sebenarnya, zakat mempunyai banyak cabang, tidak terhad kepada zakat fitrah sahaja. Jenis zakat yang lain ialah zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat saham, zakat KWSP, zakat emas, zakat perak, zakat pertanian dan zakat ternakan.

Sehubungan itu, masyarakat perlu menjalankan tanggungjawab dengan membayar zakat setiap tahun. Hakikatnya, zakat tidak membebankan pembayar kerana jumlahnya bergantung kepada kemampuan mereka.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam. Hasil kutipan tersebut akan diagih-agihkan kepada lapan golongan asnaf termasuklah fakir, miskin, amil dan mualaf.

Cukup syarat

Zakat pendapatan merupakan salah satu daripada zakat harta yang dikenakan berdasarkan pendapatan yang diperoleh seseorang.

Apabila cukup syaratnya, mereka perlu membayar dalam satu amaun mengikut perkiraan yang telah ditetapkan.

Secara umum, kadar bayaran zakat pendapatan ialah 2.5 peratus daripada pendapatan yang wajib zakat. Sebagai contoh, jika pendapatan yang layak dizakat ialah RM24,000, nilai zakat yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak RM600.

Sementara zakat fitrah pula hanya dibayar pada bulan Ramadan.

Kewajipan itu berpandukan kepada firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 60 yang bermaksud:

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan mualaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan."

Kutipan zakat tersebut secara tidak langsung dapat menjana ekonomi umat Islam dengan memberi bantuan kewangan kepada perniagaan di samping sebagai kelangsungan hidup golongan penerima.

"Saya mengibaratkan pembayaran zakat ini seperti lalang yang tumbuh di celah-celah tanaman. Jika tidak ditebas, pokok-pokok lain tidak dapat hidup untuk membuahkan hasil," ujar penceramah bebas, A. Ubaidillah Alias ketika dihubungi Kosmo!.

Jelasnya, zakat merupakan satu cara untuk memupuk sifat dermawan dalam diri umat Islam. Ia mentarbiah seseorang untuk membudayakan zakat dalam kehidupan mereka.

"Hikmah zakat ini sangat halus. Ia dapat mengajar kita untuk memberi walaupun sedikit," kata Ubaidillah.

Menurut pandangan penulis novel berciri Islam itu, kefahaman orang ramai terhadap pecahan zakat harta sebenarnya amat jelas, tetapi mereka mengelak kerana tidak mahu melunaskan tanggungjawab.

"Saya yakin semua orang tahu mengenai zakat, tidak kira fitrah atau harta. Ia mempunyai konsep yang sama seperti cukai pendapatan.

"Sikap tidak ambil peduli segelintir masyarakat kita menyebabkan peratusan pembayar zakat harta agak rendah berbanding zakat fitrah," tambah Ubaidillah.

Perkara itu turut diperakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ, Mohd. Rais Alias.

"Boleh dikatakan hampir 99 peratus umat Islam membayar zakat fitrah tetapi ramai yang tidak memberi perhatian terhadap zakat harta," kata Mohd. Rais.

Perbezaan ketara antara kedua-dua zakat itu ialah jumlah bayaran. Zakat fitrah dibayar mengikut jumlah yang telah ditetapkan manakala zakat harta bergantung kepada pendapatan individu tersebut selain menepati syarat-syarat utama.

Kutipan zakat harta oleh PPZ jauh lebih banyak berbanding zakat harta iaitu RM402.8 juta pada tahun lalu. Zakat fitrah pula hanya antara RM8 juta hingga RM9 juta.

"Jumlah yang besar itu dapat membantu lebih ramai umat Islam. Justeru, penekanan terhadap zakat harta sangat penting tanpa menolak kepentingan zakat fitrah," jelas Mohd. Rais.

Pendekatan baharu

Sehubungan itu, PPZ mengambil pendekatan baharu dalam memberi informasi mengenai zakat antaranya menggunakan selebriti sebagai pengantara.

"Beberapa bulan lalu, kami mengadakan ceramah agama di kawasan tumpuan ramai dengan menjemput selebriti seperti Diana Amir, Sham Kamikaze dan Yatt Hamzah. Dalam bercerita perihal kehidupan mereka, panel turut menyelitkan kepentingan zakat dalam kehidupan.

"Walaupun ia tidak menyeluruh, tetapi objektifnya sampai kepada pendengar. Kaedah konvensional tidak sesuai dengan situasi sekarang," jelasnya.

Dalam masa sama, kemajuan teknologi turut diselarikan dengan mewujudkan laman web www.zakat.com.my yang kemas kini. Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini, cara pembayaran dan menyelesaikan perkara berbangkit dengan mudah.

Bagi mereka yang masih ragu-ragu sama ada perlu atau tidak membayar zakat, laman web tersebut juga menyediakan sistem taksiran peribadi yang hanya memerlukan pengguna memasukkan maklumat kewangan. Ia akan membuat pengiraan jumlah zakat yang perlu dijelaskan.

"Di samping itu, mereka boleh memuat turun aplikasi iZakat dalam telefon pintar untuk mengakses informasi berkaitan zakat," kata Mohd. Rais.

- KOSMO!





Ahad, Julai 14, 2013

KADAR ZAKAT FITRAH TAHUN 2013M / 1434H

KADAR ZAKAT FITRAH MENGIKUT NEGERI BAGI TAHUN 1434H / 2013M

Perlis - RM6.00
Kedah - RM7.00
Pulau Pinang - RM7.00
Perak - RM7.00
Selangor - RM7.00
Negeri Sembilan - RM6.50
Melaka - RM6.50
Johor - RM5.00 / 8.00 *
Pahang - RM7.00
Terengganu - RM4.50 / 7.00 / 7.60*
Kelantan - RM7.00
Sarawak - RM6.50
Sabah - RM7.00
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur / Putrajaya / Labuan - RM7.00

* Pilihan mengikut jenis beras yang dimakan (Mengikut kemampuan masing-masing).




Khamis, Julai 11, 2013

Fadilat Ramadan & Hikmah Berpuasa

Puasa bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam. Setiap detik sepanjang bulan Ramadan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini.

Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Rasulullah S.A.W bersabda yang ertinya : “Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pinta syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu.

Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah. Wahai orang yang mengharapkan kejahatan! Brhentilah, dan (yang ikhlas) kerana Allah dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan”. - (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Hadis ini menerangkan beberapa keistimewaan bulan Ramadan, antaranya akan dibuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang begitu banyak yangdilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini.

Syaitan diikat

Begitu juga akan ditutup semua pintu neraka kerana sedikitnya bilangan maksiat yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Syaitan-syaitan juga akan diikat apabila tiba bulan Ramadan.

Kelebihan bulan Ramadan juga ialah difardukan puasa di dalamnya. Puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala dan puasa juga sebagai penghapus dosa-dosa atas maksiat yang dilakukan.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, bahawaRasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu”. - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antara keistimewaan puasa juga, Allah akan menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain di mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.”

Allah berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ganjaran di akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar, kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat.

Rasulullah bersabda yang ertinya: “Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘al-Rayyan’, masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka.

Diseru: “Mana orang-orang yang berpuasa?” maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun.” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Huzaimah pula disambung lagi. “Sesiapa yang masuk akan minum, dan sesiapa yang telah minum tidak akan dahaga selama-lamanya.”

Antara bekalan yang boleh diperoleh dari ibadat puasa:

Sifat ikhlas

Puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba dan tuhannya.

Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketakwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan batinnya dan kerana mengharapkan pahala dan reda Allah, dia tidak melakukannya.

Itulah sebabnya ibadat ini istimewa dari yang lain. Sifat inilah yang paling berharga dalam kehidupan seorang Muslim kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak membuahkan hasil.

Mujadalah dan kekentalan jiwa

Puasa memaksa kita meninggalkan keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadhan.

Ini mendidik kita untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara yang sememangnya telah diharamkan oleh syariat di luar bulan Ramadhan.

Sabar

Puasa melatih kita supaya bersabar dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luaran sepanjang Ramadan.

Sabar seperti ini amat perlu dalam berhadapan dengan segala kemungkinan dan kehidupan.

Memelihara fizikal

Puasa menyebabkan kita terpaksa memelihara perut, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Prihatin dan belas kasihan

Puasa melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut.

Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikan dalam masyarakat.

Membuka hijab antara diri dengan Allah

Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadan berupaya membersihkan roh dan hati. Dengan itu terbukalah hijab antara hamba dengan tuhannya.

Mengenali erti kejayaan sebenar

Puasa mengajar mukmin erti kejayaan sebenar. Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan oleh Allah adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperoleh dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui tuhannya.

Rasa belas dan lemah lembut

Rasulullah S.A.W mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendaklah dia berkata “Aku berpuasa!.” Seorang mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan.

Bahkan ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri dari perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga.

Memperkukuhkan kesatuan ummah

Orang Islam di seluruh pelosok dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat kebaikan bulan Ramadan dan perasaan ini dikongsi bersama oleh seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa keturunan,warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai wujudnya kesatuan umat adalah perkara ‘dharuriah’ atau yang paling utama yang perlu ada dalam diri setiap mukmin.

Merapatkan hubungan dengan alam

Penentuan Ramadhan dan Syawal, membawa umat Islam memerhati perjalanan bulan dan bintang. Demikian itu melahirkan rasa keagungan kepada Penciptanya.

Menjaga masa

Puasa mengajar seorang Muslim supaya teliti dengan masa dan jadual hidup. Ketika bulan Ramadan, seorang Muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan akan membatalkan puasanya. Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang mukmin agar setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa yang ditetapkan.

Kesihatan tubuh badan

Pakar-pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat-ubatan moden atau tradisi.

*** Artikel ini dipetik dari buku Panduan Puasa Ramadhan susunan Sarip bin Adul, Kulliyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia disiarkan dalam versi digital menerusi portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ibadah bukan hanya di tikar sembahyang

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya merebut peluang terbentang hanya setahun sekali pada Ramadan. Sesiapa tidak mempedulikan kedatangan Ramadan, sebenarnya menolak kelebihan yang hanya disediakan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, dan berpuasa di bulan Ramadan, maka telah layak baginya untuk dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga.” (Riwayat Bukhari)
Orang beriman gembira sambut Ramadan

    Sabda Rasulullah SAW: “Pada setiap malam bulan Ramadan, Allah berfirman tiga kali: “Apabila ada orang yang meminta, maka Aku akan tunaikan permintaannya, jika ada orang yang meminta ampun, maka Aku akan ampun.” (Riwayat Tirmizi)


Orang yang bakal memperoleh kejayaan sepanjang Ramadan adalah mereka yang menghargai kedatangan Ramadan. Orang beriman menyambutnya dengan perasaan gembira dan jiwanya berkobar-kobar menghidupkan seluruh waktu bulan Ramadan dengan ibadat.

Sabda Rasulullah SAW: “Dikunjungi bulan Ramadan, penghulu segala bulan, ucaplah selamat datang atas ketibaan bulan ibadat yang penuh berkat dan rahmat, maka layanlah tetamu yang sedang datang itu.” (Riwayat Thabrani)

Layanan terhadap Ramadan bermakna tidak mempersia-siakan masa dan peluang melakukan ibadat. Inilah peluang untuk menambah pahala dan menampung kekurangan atau kecacatan ibadat yang dilakukan sepanjang 11 bulan lalu.

Sesungguhnya konsep ibadat yang boleh dilakukan oleh setiap Muslim untuk menambah pahala pada bulan Ramadan sungguh luas. Ia bukan sekadar menunaikan puasa pada sebelah siangnya dan bertarawih pada malamnya.
Sesiapa melakukan perkara menepati konsep apa yang disuruh dan menjauhkan yang dilarang, sebenarnya dia telah melakukan satu kebaikan atau ibadat. Melakukan kerja dan urusan kehidupan seharian juga dikira ibadat jika dilakukan mengikut syariat.

Lakukan perkara berfaedah

Oleh itu, tindakan sesetengah individu menghentikan atau mengurangkan tumpuan kepada urusan kehidupan seharian pada Ramadan bukan satu langkah bijak. Apa yang sepatutnya dilakukan ialah memenuhi setiap waktu dengan perkara berfaedah.

Peluang menghampirkan diri kepada Allah SWT bukan hanya ketika di tikar sembahyang atau beriktikaf di masjid. Jika benar-benar mencari peluang kebaikan, di mana-mana saja kita berada boleh mendampingi Allah SWT dengan selalu mengingati-Nya, berzikir, beristighfar dan doa.

Sabda Rasulullah SAW: “Pada setiap malam bulan Ramadan, Allah berfirman tiga kali: “Apabila ada orang yang meminta, maka Aku akan tunaikan permintaannya, jika ada orang yang meminta ampun, maka Aku akan ampun.” (Riwayat Tirmizi)

Sesiapa menghampiri Allah SWT dengan apa sekalipun, maka pasti Allah SWT menghampirinya dengan jarak berganda. Sudah pasti sesiapa merasakan dirinya sentiasa hampir dengan Allah SWT, mendapat petunjuk dan dilindungi dirinya daripada melakukan apa yang bertentangan syariat.

Kelebihan ibadat puasa menjadikan orang berpuasa mendapat rahmat sehingga dibuka seluas-luasnya pintu langit untuk menerima segala kelebihan daripada Allah SWT. Ramadan bulan rahmat bagi sesiapa memahami peluang tersedia. Sebaliknya, bagi orang lemah imannya, tidak ada peluang untuk mereka rebut.

- BERITA HARIAN



Selasa, Julai 09, 2013

Jadual Waktu Imsak dan Berbuka Puasa Bagi Negeri-Negeri Seluruh Malaysia 1434H/2013M

  • Jadual Waktu Imsak dan Berbuka Puasa Bagi Negeri-Negeri Seluruh Malaysia 1434H/2013M
1.   Negeri Sabah
4.   Negeri Johor



Isnin, Julai 08, 2013

Umat Islam Malaysia mula puasa 10 Julai 2013 (Rabu)

Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Rabu ini, 10 Julai 2013.
   
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkan demikian berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Rabu, 10 Julai 2013, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
   
Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
   
Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

- BERNAMA



Mas kahwin Pahang naik daripada RM22.50 kepada RM150

KUANTAN 8 Julai - Kadar mas kahwin di Pahang berjumlah RM22.50 yang diamalkan sejak hampir 100 tahun lepas, dicadang dinaikkan kepada RM150.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Dan Adat Resam Melayu sedang meneliti perkara itu.

"Pihak kerajaan melalui Jaip (Jabatan Agama Islam Pahang) sedang meneliti perkara itu dan membuat cadangan dengan kadar baharu iaitu sebanyak RM150.

"Bagaimanapun perkara ini perlu dipersembahkan terlebih dahulu kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bagi mendapat perkenan baginda selaku Ketua Agama Negeri Pahang," katanya hari ini.

Beliau ditemui pemberita di luar dewan selepas menghadiri Persidangan Pertama Penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini.

Menurutnya, dengan mas kahwin RM22.50, pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga pada tahun-tahun 1920-an hingga 1930-an mampu membeli seekor kerbau yang berharga sekitar RM16 serta dua ekor anak kerbau berusia sebulan pada ketika itu.

Ini membolehkan pasangan berkenaan menggunakan haiwan berkenaan untuk menyara keluarga, katanya.

- BERNAMA



Khamis, Jun 06, 2013

Wanita patut dihormati dan dilindungi

Oleh Nik Salida Suhaila
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak dapat dinafikan bahawa wanita pernah menjadi mangsa penindasan yang dilakukan melalui pendekatan sosial, undang-undang, ekonomi bahkan juga melalui budaya dan cara hidup yang menjadikan wanita sebagai golongan yang teraniaya.

Tamadun Barat membuktikan hakikat itu melalui sekatan yang dilakukan ke atas wanita daripada mengundi dalam pilihan raya, memiliki harta dan sebagainya.

Dalam dunia Islam pula, kita tidak pernah sunyi daripada kisah bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup kerana percaya dengan momokan bahawa zuriat perempuan akan memalukan keluarga dan menyebabkan kepapaan.

Golongan wanita pula dipaksa bekerja tanpa belas kasihan, tidak boleh mempusakai harta dan boleh dicampuri dengan bebas, bahkan janda pula boleh diwarisi.

Islam angkat martabat wanita

Sejak kedatangan wahyu sehinggalah ke hari ini, Islam mengangkat martabat wanita setaraf dengan lelaki dalam urusan ibadat.

Dalam surah An-Nisaa’ ayat 124, Allah SWT berfirman yang bermaksud: ‘Dan sesiapa yang berbuat amal soleh dari lelaki atau perempuan, sedangkan dia adalah seorang yang beriman, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga.’

Seperti lelaki, wanita juga boleh mewarisi harta. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisaa’ ayat 7 yang mafhumnya: ‘Untuk orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapanya dan kaum kerabatnya dan bagi orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kaum kerabatnya’.

Bahkan Allah mengingatkan bahawa Dialah yang memberi rezeki kepada setiap makhluk di muka bumi. Justeru, kepercayaan bahawa anak perempuan akan menyebabkan kepapaan adalah satu iktikad karut dan akan menghancurkan akidah umat Islam.

Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 31 yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah (Allah) memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.’

Dengan peringatan ini, wanita Islam di Malaysia tidak lagi diletakkan sebagai ‘manusia yang berbeza’ daripada lelaki dalam peruntukan undang-undang, melainkan dalam beberapa keadaan yang mana wanita diberi kedudukan yang lebih istimewa daripada lelaki demi memberi keadilan kepada mereka kerana sejarah dan sistem pernah menindas golongan ini.

Beri kelebihan kepada wanita

Polisi kerajaan juga banyak memberi kelebihan kepada wanita berbanding lelaki, terutama dalam sektor ekonomi, perlindungan dari jenayah seksual, politik, pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan juga dalam urusan perkahwinan dan kekeluargaan.

Masalahnya, undang-undang dan polisi masih belum cukup melindungi wanita sekiranya masyarakat seluruhnya tidak dapat menjadikan wanita sebagai golongan perlu dihormati dan dilindungi seperti yang diperintahkan Allah SWT.

Undang-undang hanya sempurna di dalam akta dan enakmen, manakala polisi pula hanya menjadi projek yang harus dilangsaikan seusai penggal tertentu sedangkan masyarakat masih tidak dapat membina struktur sosial yang memuliakan wanita.

Akibatnya, kanak-kanak perempuan dan wanita menjadi mangsa jenayah dan jenayah seksual dalam atmosfera awam dan juga dalam institusi keluarga.

Keganasan demi keganasan menjadikan wanita sebagai mangsa fizikal dan psikologi sehingga wujudnya keruntuhan sosial seperti sumbang mahram, rogol, zina, pembuangan anak, poligami tanpa keadilan, gangguan seksual di pejabat dan sebagainya.

Sesetengah wanita pula masih mengamalkan gaya hidup jahiliah dan bebas bersosial serta tidak meletakkan diri dalam pakaian muslimat yang sebenarnya sehingga tidak segan silu dijadikan ‘permainan’ dunia.

Banyak faktor zalimi wanita

Kerelaan wanita itu sendiri untuk dijadikan alat maksiat sering kali dijadikan alasan oleh mereka yang suka menyalahkan golongan ini sebagai ‘sengaja mencari pasal’, sedangkan banyak lagi faktor lain yang menyebabkan wanita dizalimi, tetapi tidak pula ketara dibahaskan.

Amaran dan hukuman yang sedia ada masih belum mampu mencegah penularan jenayah terhadap wanita. Paling penting menyedarkan setiap ahli masyarakat supaya melindungi wanita, walaupun mereka sengaja mendedahkan diri kepada jenayah seksual, dalam masa yang sama mendidik dan mentarbiyah golongan ini mengikut neraca Islam dan moral.

Inisiatif Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-87 menubuhkan kumpulan pakar berperanan memberi penjelasan secara ilmiah berkaitan isu semasa kepada masyarakat adalah tindakan yang tepat.

Ia sesuai dengan keperluan negara hari ini yang kekurangan pandangan pakar dalam menangani masalah membabitkan wanita Islam.

Keutamaan hari ini ialah memperbetulkan salah faham serta kekeliruan mengenai wanita Islam selain menasihati pembuat dasar atau pihak terbabit dengan isu semasa berkaitan wanita melalui kerangka dasar, sosial, undang-undang, media serta pembangunan insan.

- BERITA HARIAN


Rabu, Jun 05, 2013

Hidup bersederhana elak sikap dicela

Dalam kehidupan hari ini, adakah wang boleh membeli segala-galanya atau benarkah wang menjadi punca segala-galanya.

Meniti arus kehidupan hari ini yang serba mencabar, wang yang mencukupi amat diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kehidupan tanpa wang menyebabkan diri dan keluarga berada dalam kesukaran, tidak sempurna dan berdepan bahaya.

Dalam hal ini, sukar untuk membayangkan kehidupan segelintir masyarakat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk mencari rezeki, tetapi sudah biasa berdepan dengan situasi ketiadaan wang. Namun, hakikatnya keadaan ‘terputus wang’ juga turut berlaku kepada mereka yang mempunyai kerjaya.

Keadaan ini berpunca kegagalan mengurus kewangan hingga menyebabkan mereka berhutang atau perbelanjaan melebihi pendapatan.

Pengurusan kewangan berhemat

Hutang adalah jalan penyelesaian sementara, tetapi jika gagal diuruskan dengan baik, hutang boleh menyebabkan hidup menjadi lebih buruk seperti bankrap. Justeru, Islam menganjurkan umatnya mengatasi masalah menerusi pengurusan kewangan secara berhemat dan mengelak sikap boros.

Islam mengajar umatnya supaya hidup secara bersederhana terutama dalam aspek perbelanjaan untuk meneruskan kehidupan seharian.

Rezeki yang diperoleh perlu dibelanjakan dengan sebaik mungkin atau ditumpukan kepada perkara yang perlu saja.

Membeli sesuatu yang tidak diperlukan tanda sikap berlebih-lebihan. Sikap itu dicela dalam Islam. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jangan kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-Anam, ayat 141)

Islam turut menggalakkan umatnya menabung dan berjimat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Simpan sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu, kerana itu lebih baik bagimu.” (Hadis riwayat Bukhari).


Perbuatan berbelanja melebihi keupayaan kewangan melambangkan sikap lupa diri. Dalam hal ini, umat Islam perlu menyedari harta dimiliki anugerah daripada Allah SWT untuk dibelanjakan untuk tujuan kebaikan.


Belanja boros

Firman Allah yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu yang dekat, orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing. Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampaui batas.” (Surah al-Israk, ayat 26)

Demikianlah Islam memberikan panduan dalam pengurusan sumber kewangan dan pendapatan. Jika tips yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunah ini diabaikan, maka ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan umat.

- BERITA HARIAN


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hidupbersederhanaelaksikapdicela/Article



Isnin, Jun 03, 2013

Buku sifat solat Nabi


Apabila memperkatakan tentang sifat solat Rasulullah SAW, terdapat banyak pendapat yang mungkin bercanggah antara satu sama lain memandangkan wujudnya perbezaan mazhab dalam Islam.

Justeru, bagi mengelakkan salah faham berlaku dalam kalangan umat Islam di Malaysia, pendakwah bebas, Muhammad Abdullah tampil dengan buku bertajuk Sifat Solat Nabi Mengikut Mazhab As-Syafie.

Muhammad berkata, buku itu merupakan hasil rangkuman daripada kursus-kursus solat yang pernah diadakan sebelum ini.

“Ia diterbitkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai salah satu usaha memupuk kefahaman yang jitu mengenai kesempurnaan ibadah solat yang merupakan Rukun Islam kedua.

“Buku ini ditulis bagi menjelaskan mengenai cara solat dan perkara-perkara yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad mengikut mazhab Imam Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia. Ia turut disertakan dengan dalil-dalil daripada hadis-hadis sebagai hujahnya,” ujar beliau yang turut dikenali sebagai Ustaz Amin.

Menurut beliau, sebagai seorang Muslim, kita harus memahami bahawa solat itu merupakan tiang agama. Ia adalah satu ibadah yang dianugerah oleh Allah SWT terus kepada Rasulullah tanpa perantaraan Jibril a.s.

“Nabi sendiri menyatakan bahawa sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah meruntuhkan agama.

“Malah, baginda juga pernah bersabda bahawa sesungguhnya sempadan antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat. Ini menunjukkan betapa pentingnya solat dalam kehidupan kita sehari-hari,” terang Muhammad.

Tambahnya, dengan memperbaiki solat bermakna kita akan menyempurnakan ibadah tersebut seterusnya menggapai reda Ilahi.

“Keberhasilan daripada kesempurnaan solat itu akan menyelamatkan kita daripada dua perkara. Pertama solat menjadi penghalang melakukan kemungkaran di dunia dan kedua terhindar daripada azab api neraka di akhirat kelak.

“Justeru, saya berharap para pembaca termasuk saya sendiri dapat menunaikan solat dengan sempurna melalui panduan yang diberikan dalam buku ini,” ujar beliau.

Buku itu juga dilengkapi dengan teori yang secukupnya berasaskan nas-nas serta dalil mengikut pandangan mazhab Syafie di samping contoh-contoh gambar yang tepat dan padat.

Panduan bergambar turut disertakan dalam contoh-contoh pelaksanaan solat yang betul, salah dan kurang tepat sebagai rujukan kepada masyarakat Islam melaksanakan ibadah ini.

Terdapat lapan bab yang disusun mengikut tertib bagi memudahkan pembaca. Ia dimulai dengan pengenalan umum mengenai solat, tujuh kesempurnaan solat, rukun solat serta sifat solat Nabi dari takbir sehingga salam meliputi perkara rukun, sunat dan makruh.

Tidak ketinggalan menjaga 10 perkara yang berkaitan dengan sembahyang, lain-lain berkaitan, khusyuk dalam sembahyang dan perbahasan kesalahan dalam solat.

“Solat yang baik apabila dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Bagi orang yang beriman, solat merupakan penyejuk hati dan antara sumber ketenangan serta kebahagiaan.

“Ini kerana solat yang disempurnakan dengan jiwa tauhid yang mendalam akan menjadikan rasa kehambaan melekat kuat di hati. Kecintaan pada Allah itu disulami dengan perasaan takut dan harap kepada-Nya.

“Oleh itu, orang yang beriman akan menjaga solat wajibnya dan memperbanyakkan solat sunat, bahkan rindu serta terhibur dengan ibadah ini,” ungkap Muhammad mengakhiri bicara.

- KOSMO

 

Rabu, Mei 29, 2013

Sifat solat munafik

SOLAT adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agama. Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesungguhnya sempadan di antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat.

Apabila seseorang dapat menyempurnakan solat seperti yang ditunjukkan oleh nabi maka sempurnalah solatnya. Ia tergolong daripada orang yang beruntung di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Di dunia kerana solatnya itu dapat mencegah daripada melakukan kejahatan dan di akhirat, solatnya itu dapat mencegah daripada api neraka.

Lantaran itu, dengan memperbaiki solat bermakna kita akan menyempurnakannya. Keberhasilan daripada kesempurnaan solat itu akan menyelamatkan kita daripada dua perkara iaitu kemungkaran di dunia dan azab api neraka di akhirat kelak.

Solat yang sempurna merupakan pembersih kepada diri daripada dosa dan kejahatan.

Hal ini diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, apakah pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu salah seorang daripada kamu dan dia mandi di dalamnya setiap hari sebanyak lima kali. Apakah masih lagi terdapat kotoran pada badannya?

Para sahabat menjawab: "Sudah pastinya tidak terdapat sedikit pun kotoran pada badannya."

Lalu baginda bersabda: "Begitulah perumpamaannya dengan solat lima waktu. Allah menghapuskan segala kesalahan mereka."

Pun begitu kita kenalah berwaspada agar tidak tergolong dalam sifat-sifat solat orang yang munafik. Apakah itu ciri-ciri sifat solat munafik?

1. Solat bukan kerana Allah

Allah SWT berfirman dalam ayat 107 surah al-Taubah bermaksud, Dan di antara orang munafik juga ialah golongan yang membina masjid dengan tujuan membahayakan keselamatan orang-orang Islam dan menguatkan keingkaran mereka sendiri serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk dijadikan intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul sebelum itu. Dan apabila tujuan mereka buruk itu ketara mereka akan bersumpah dengan berkata: 'Tidaklah yang kami kehendaki mendirikan masjid ini melainkan untuk kebaikan semata-mata'. Padahal, Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.

Dalam perjalanan pulang dari perang Tabuk, Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya pulang segera ke Madinah dan membakar masjid berkenaan bersempena turun ayat tersebut.

Abu Amir al-Rahib bersama rakan-rakannya dianggap musuh-musuh Islam sehingga para sahabat Rasulullah SAW menyelar lelaki itu dengan perkataan jahat.

2. Solat dalam keadaan malas

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu-daya terhadap agama Allah dengan berpura-pura beriman sedangkan mereka kafir pada batin dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas hanya bertujuan riak kepada manusia supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali."

3. Merasa berat dalam solat

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Seberat-berat sembahyang bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Kalaulah mereka mengetahui kelebihan yang ada pada kedua-dua solat ini, nescaya mereka tetap datang walaupun merangkak. Sesungguhnya aku bercita-cita bahawa aku memerintah seseorang supaya memerintah manusia bersembahyang dan menyuruhnya membawa orang mengerjakan solat kemudian aku pergi bersama beberapa orang lelaki membawa kayu-kayu api untuk pergi ke rumah orang yang tidak mengerjakan solat jemaah dan aku bakar rumah-rumah itu dengan api."

- UTUSAN

http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130529/ba_01/Sifat-solat-munafik


Isnin, Mei 20, 2013

Emosi marah dan benci perlu dikawal elak kesan buruk

 Allah menjadikan manusia sebaik-baik makhluk di muka bumi bertepatan firman Allah dalam surah At-Tiin, ayat 95. Kejadian sempurna ini merangkumi keindahan fizikal dan tarbiyah Islam yang membantu dalam pembangunan kecemerlangan emosi, intelek serta kecantikan akhlak mereka.

Setiap aspek itu saling berkait rapat, melengkapi dan mempengaruhi satu sama lain. Ini bermakna jika buruk sesuatu aspek itu, maka akan menjadi kurang, cacat dan tidaklah sempurna kejadian dalam diri seseorang individu itu.
Akhirnya, keburukan akan menjadi nyata dan diluahkan dalam bentuk pemikiran yang terpesong, perangai serta akhlak buruk, emosi tidak terkawal, menjurus kepada kehidupan tidak terpandu ke arah kebaikan.


Bagi mencapai kestabilan dalam kehidupan, Islam menuntut umatnya memelihara kesejahteraan akal, minda, pemikiran, emosi serta akhlak dan perbuatan. Namun, satu aspek yang sering tidak diberi perhatian sepenuhnya oleh umat Islam ialah memelihara kestabilan emosi.

Tak mampu kawal emosi

Wujud sebahagian besar umat Islam yang tidak mampu mengawal emosi berdasarkan beberapa fenomena yang berlaku dalam kehidupan mereka, lantas mengakibatkan beberapa kejadian serta gejala tidak sewajarnya seperti tunjuk perasaan, amuk, pergaduhan dan perceraian.

Pengawalan atau pengurusan emosi bermaksud seseorang individu itu mampu menyedari dan celik akal terhadap emosi atau perasaan yang sedang ia alami. Ia juga mampu mengenal pasti jenis emosi dan perasaan yang dialami serta memahami tahap atau darjah ketinggian emosi ditunjukkan itu.
Pada masa sama, mereka juga memahami bagaimana emosi dan perasaan akan menjadi tidak stabil, apakah tindakan yang sering atau biasa dilakukan apabila berdepan emosi tertentu serta bagaimana mengatasi kesukaran yang timbul akibat emosi itu.

Emosi adalah perasaan gembira, sedih, marah, suka, kecewa, takut, murung dan sebagainya. Terdapat dua jenis emosi, iaitu emosi negatif dan positif. Perasaan suka sering dilihat sebagai emosi positif kerana ia sering membawa keseronokan dan kegembiraan.

Manakala perasaan benci dan marah pula sering dilihat sebagai negatif, kerana ia membawa kepada kepayahan dan kesukaran. Emosi suka juga boleh menjadi negatif apabila ia ditunjukkan secara berlebihan dan tidak terkawal, begitu juga emosi benci dan marah berpotensi menjadi positif serta membawa kebaikan jika dibimbing secara lebih rasional.

Memahami jenis dan tahap emosi penting kerana Islam menuntut setiap umatnya membawa kehidupan dan tingkah laku mereka menuju kepada kebaikan. Tahap pengurusan atau pengawalan emosi yang rendah dan lemah akan membawa huru-hara serta kesan buruk dalam kehidupan.

Daya tahan

Kehidupan harmoni dan stabil dalam keluarga atau masyarakat memerlukan kepada daya tahan serta kekuatan pengawalan emosi. Bagi membina kehidupan yang baik dan soleh, perlu bijak menangani perubahan emosi.

Contoh pengurusan emosi ialah panduan diberi Rasulullah SAW kepada kita untuk mengawal perasaan ketika sedang marah. Justeru, hendaklah kita mengikut panduan yang diberi supaya bijak mengawal emosi seterusnya menghasilkan kehidupan yang sejahtera.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Mei 17, 2013

Elak terbabit aktiviti insurans berunsur riba

Riba adalah perkataan Arab yang bererti pertambahan atau menambahkan. Dalam Islam, riba satu dosa besar.

Hal ini dinyatakan Allah SWT dalam firman-Nya: Dan Allah telah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Baqarah, ayat 275)
Bakal ahli neraka


Allah SWT menyatakan bahawa orang yang meneruskan pembabitan dengan riba selepas mengetahui hukum haramnya bakal menjadi ahli neraka selama-lamanya. Mereka juga mendapat laknat daripada Allah SWT.

Justeru, kita perlu sedaya-upaya mengelakkan daripada terjebak dalam urus niaga atau aktiviti perniagaan yang mempunyai unsur riba bagi mengelakkan terjerumus dalam azab yang disediakan oleh Allah SWT.

Kita perlu menyemak dan menganalisa setiap pembabitan dalam urusan muamalat yang mungkin kita tidak sedar sebenarnya mempunyai unsur riba. Antara perkara yang kurang disedari umat Islam hari ini ialah elemen riba dalam insurans konvensional.

Secara ringkasnya, terdapat empat jenis riba dalam insurans konvensional iaitu riba dalam kontrak. Insurans konvensional berasaskan aqad muawadhah, iaitu sebuah kontrak pertukaran. Dalam sistem insurans, berlaku pertukaran antara duit dengan duit iaitu premium pelanggan berbalas pampasan daripada syarikat.
Menurut majoriti ulama, duit antara item ribawi yang mempunyai syarat ketat sekiranya ingin melakukan pertukaran iaitu mesti pada waktu dan kadar sama.

Pertukaran duit dalam insurans konvensional adalah tidak sama kadar, maka ia menyebabkan wujudnya unsur Riba al-Fadhl. Pertukaran itu juga tidak berlaku dalam majlis yang sama, lalu menyebabkan munculnya Riba An-Nasiah.

Dalam insurans konvensional, aktiviti pelaburannya juga tidak terlepas daripada unsur riba kerana syarikat insurans tidak mempunyai Jawatankuasa Syariah, iaitu badan yang berautoriti mengawal selia, memantau, memberikan kelulusan aktiviti dan tempat pelaburan yang patuh syariah.

Riba berlaku dalam pelaburan apabila syarikat melabur di bank konvensional dan syarikat kewangan yang menawarkan pinjaman secara riba. Riba dalam pelaburan juga terjadi apabila syarikat melabur di syarikat yang memberikan jaminan keuntungan.

Elemen dalam kontrak

Elemen riba terdapat dalam kontrak insurans seperti dalam urus niaga pinjaman dari polisi ditawarkan kepada peserta dalam sesetengah produk insurans hayat. Kemudahan pinjaman seperti ini, syarikat insurans akan mengenakan bayaran faedah dengan kadar ditetapkan ke atas pemegang polisi yang membuat pinjaman. Jelas sekali bayaran faedah itu riba yang dilarang Islam.

Selain itu, premium yang terlewat bayar menerusi insurans konvensional akan dibayar secara automatik oleh pihak syarikat. Kaedah ini dinamakan pinjaman premium automatik (APL). Premium terlewat tadi akan dikenakan bunga mengikut kadar tertentu dan ini juga riba yang dilarang Islam.

- BERITA HARIAN

Solat jemaah dijanjikan nikmat

Daripada Abu Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda: “Pahala sembahyang jemaah bagi seseorang lebih daripada sembahyang bersendirian, sama ada di tempat kerjanya (di pasar) atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat.

Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersembahyang semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersembahyang selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat sembahyangnya dengan doa: Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pahala 25 kali ganda

Orang lelaki dikehendaki mendirikan solat jemaah di masjid atau surau. Solat jemaah diberi ganjaran pahala 25 kali ganda atau lebih daripada solat bersendirian. Malaikat berdoa untuk orang yang beriman seperti firman Allah dalam surah Ghafir, ayat 7.

Daripada Jundub bin Abdullah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bersolat Subuh (pada waktunya secara berjemaah) maka dia berada dalam jaminan (keamanan dan perjanjian Allah dengan itu janganlah sampai Allah menuntut sesuatu kepada kamu daripada jaminan (perjanjian). (Jangan sampai kamu meninggalkan solat Subuh) kerana sesungguhnya sesiapa yang dituntut oleh Allah daripada suatu jaminannya (perjanjiannya) tentu akan tercapai (berlaku), kemudian Allah menyembahkan mukanya ke dalam api neraka”.

Dalam jaminan Allah
Orang yang menunaikan solat lima waktu khususnya solat Subuh, maka dia tetap berada dalam jaminan (tanggungjawab) Allah sepanjang hari. Meninggalkan solat Subuh, terbatallah jaminan diberikan Allah kepada hamba berkenaan.

Setiap orang yang menganiayai atau menghalang seseorang daripada beribadah, nescaya dia akan diazab oleh Allah SWT.

Dikhususkan solat Subuh dengan kelebihan ini kerana solat Subuh lebih berat daripada solat lain kerana waktu Subuh adalah waktu nyenyak tidur, pada musim sejuk pula sukar untuk berwuduk dan bagi orang bekerja, Subuh adalah masa membuat persiapan keluar bekerja.

- BERITA HARIAN

Isnin, Mei 13, 2013

Taat ibu bapa dijanjikan syurga

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Umat Nabi Muhammad SAW seharusnya sedar meraikan ibu mahupun bapa tidak boleh dilakukan dalam bentuk berkala dan sesekali sekala saja. Menjadi tanggungjawab utama yang perlu diutamakan setiap anak, sentiasa menghormati dan menjaga kedua-dua ibu bapa tanpa melihat kepada takwim.

Ibu adalah anugerah agung yang dikurniakan Allah kepada kita. Lihatlah bagaimana Urwais al-Qarni yang mendapat pengiktirafan tertinggi daripada Allah sebagai bakal ahli syurga semata-mata kasih sayang terhadap ibunya.
Baginda SAW ketika bersama sahabatnya, pernah menceritakan watak dan personaliti Urwais buat pengetahuan sahabat. Terpegun sahabat baginda tatkala baginda menyarankan mereka memohon kepada Urwais supaya berdoa kerana doa Urwais sangat dikabulkan Allah.


Baginda SAW juga ada memberitahu bahawa pada hari kiamat nanti, ketika semua ahli ibadah dipanggil untuk masuk ke syurga, Urwais sebaliknya diminta berhenti dulu untuk memberi syafaat.

Allah memberikan keistimewaan kepada Urwais untuk memberikan syafaat kepada setiap orang daripada Kabilah Bani Rabi’ah dan Mudar. Mereka semua dimasukkan ke dalam syurga tanpa ada yang tertinggal disebabkan syafaat yang diberikan Urwais.

Kata Baginda SAW lagi, Urwais seorang yang berstatus miskin dan lantaran kedudukan sosioekonominya yang bertaraf rendah menyebabkan masyarakat sekitar tidak mengenalinya, malah dikatakan terdapat kalangan masyarakat mengejek dan mengolok-olokkan perwatakannya.

Urwais seorang yang berjiwa tenang, tidak pernah terguris di hati apa orang lain ucapkan. Dia tidak pernah berburuk sangka kepada sesiapa meskipun dia sering dituduh sebagai seorang pencuri.
Segala kata nista dan umpatan keji ditelan bulat-bulat demi menjaga iman dan takwanya di samping mengharapkan keredaan Allah. Pemuda dari Yaman ini seorang anak yatim dan hidup bersama ibu yang sudah lanjut usia serta lumpuh. Penglihatan ibunya juga kabur.

Saban hari Urwais yang menjaga dan menguruskan segala hal ehwal ibunya. Biarpun miskin, hatinya tidak miskin. Hatinya kaya nilai berbudi kepada ibunya sehinggakan baginda memberitahu Urwais ini tidak terkenal di bumi, tetapi amat popular dalam kalangan penduduk langit.

Urwais bergantung hidup bersumberkan pekerjaan sebagai pengembala kambing. Upah diterima sekadar cukup makan bersama ibunya saja. Pada hari-hari tertentu apabila mendapat upah lebih, dia akan berkongsi dengan jiran tetangganya pula.

Dia tidak pernah kedekut walaupun dia sendiri hidup dalam serba kekurangan. Niatnya dan azamnya untuk bersedekah kepada insan lain sentiasa terpahat dalam sanubari.

Walaupun sibuk mengembala dan menjaga ibunya, Urwais tidak pernah cuai dalam amal ibadah. Pada siang hari dia berpuasa dan malam dipenuhkan ibadah yang termampu dilaksanakannya.

Urwais memeluk Islam ketika Yaman menerima seruan Baginda SAW dan Urwais adalah salah seorang penduduk Yaman terawal menerima seruan dakwah baginda. Ramai penduduk Yaman yang berkesempatan berkunjung ke Madinah untuk bersama Baginda SAW, tetapi tidak Urwais lantaran kemiskinan serta perlu menjaga ibu yang uzur.

Berlinang air mata Urwais ketika mendengar cerita masyarakat Yaman yang kembali dari Madinah, mereka gembira kerana dapat menjadi tamu dan bertemu Rasulullah SAW yang mereka cintai.

Hari demi hari perasaan rindunya kepada baginda semakin bersarang di lubuk hatinya. Ada ketikanya dia ingin menyuarakan hasrat untuk ke Madinah kepada ibunya. Namun, selepas memikirkan keadaan ibunya yang uzur itu, niat itu terpadam begitu saja.

Namun, Urwais akhir mengalah kepada desakan rindunya untuk bertemu Baginda SAW, lalu dikuatkan hati bertemu ibunya dan memberitahu apa yang terpendam selama ini. Ibunya memahami niat suci anaknya itu, tetapi berpesan supaya segera pulang selepas berjumpa Baginda di Madinah.

Malang sekali selepas meredah ‘belantara padang pasir’ sejauh 800 kilometer, insan yang dirindui tiada di rumah kerana pada ketika baginda berada di medan peperangan. Baliklah semula Urwais berbalut hati yang kecewa kerana gagal berjumpa Nabi SAW.

Sekembalinya baginda dari medan perang, Aisyah ada memberitahu seorang pemuda dari Yaman yang ingin berjumpa baginda. Kemudian baginda memberitahu isterinya dan sahabat: “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah yang dia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya.”

Baginda kemudian memandang ke arah Umar dan Ali sambil berpesan, “Nanti apabila kamu bertemu dengannya, mintalah doa dan istighfar daripadanya. Dia penghuni langit, bukan penghuni bumi.”

Demikian kisah seorang anak yang taat dan sentiasa mengutamakan ibunya sehingga diangkat Allah kepada kedudukan tertinggi. Ini satu teladan dan pengajaran buat kita yang hidup di zaman mutakhir ini.

- BERITA HARIAN

Ahad, Mei 12, 2013

Insan tak putus asa mudah capai kejayaan

Mendapatkan sesuatu yang diingini memerlukan seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh mencapainya. Kejayaan dan apa yang diingini tidak akan datang dengan sendiri tanpa berusaha.

Pepatah Melayu menyebut, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak datang bergolek. Bagaimanapun, tidak semua diusahakan akan mencapai kejayaan seperti diharapkan. Manusia hanya berusaha dan merancang, Allah SWT menentukan.

Kegagalan adalah lumrah hidup. Kegagalan bukan bermakna akan gagal selama-lamanya. Justeru, umat Islam dilarang berputus asa sebaliknya digalakkan terus berusaha di samping berdoa supaya apa yang dilakukan itu mendapat kejayaan.


Sabda Rasulullah SAW: Tidak boleh ditolak qadar Allah melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibu bapa. (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi)

Sikap berputus asa tidak akan mengubah ke arah lebih baik. Sebaliknya, ia akan memburukkan lagi keadaan serta menjauhkan seseorang itu daripada kejayaan.

Allah uji dengan kegagalan

Allah SWT menguji manusia dengan kegagalan supaya menjadi lebih taat dan mengharapkan pertolongan daripada-Nya. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mensia-siakan hajat manusia, melainkan ditunaikan atau diberikan ganjaran pahala.
Firman Allah SWT: Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sesungguhnya, setiap umat Islam dilarang keras daripada berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Berputus asa bererti menolak qada dan qadar yang wajib diimani dan diyakini dengan sepenuhnya.

Memang agak sukar untuk memahami konsep qada dan qadar. Hanya Allah SWT mengetahui apa terkandung di sebalik qada dan qadar. Sebab itu, ada hadis mengingatkan mengenai bahaya mempersoalkan dan memanjang perbincangan mengenai qada dan qadar tanpa sebab tertentu. Sabda Rasulullah SAW: Apabila disebut mengenai qadar maka diamlah. (Riwayat Tabrani)

Cacat iman jika putus asa

Mereka yang mudah berputus asa bermakna imannya cacat dan tidak sempurna. Mereka tidak tahan ujian dan dugaan Allah SWT. Orang yang mudah berputus asa tidak akan mencapai kejayaan hidup.

Firman Allah SWT: Wahai anakku, pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir. (Surah Yusof, ayat 87)

Oleh itu, kegagalan sepatutnya menjadikan seseorang itu lebih tekun dan gigih berusaha sehingga mencapai kejayaan. Sesungguhnya, ramai individu yang cemerlang dalam pelbagai bidang pernah beberapa kali gagal sebelum itu.

Tidak ada orang yang tidak pernah mengalami kegagalan yang menjadi sebahagian asam garam dalam hidup. Hidup tanpa pernah menghadapi kegagalan seperti kuah tanpa garam, rasanya tawar, hambar dan tidak menyelerakan.

Allah SWT menjadikan kegagalan dan pelbagai kesusahan lain sebagai ujian kepada hamba-Nya. Firman Allah SWT: Demi sesungguhnya Kami akan menguji dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan berlaku kekurangan harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Orang yang sabar dan tidak mudah berputus asas akan sentiasa senang hati, mencari jalan atau usaha untuk terus berusaha supaya tidak lagi mengalami kegagalan. Lebih banyak usaha dilakukan, lebih banyak pahala kebajikan diperoleh.

- BERITA HARIAN


Sabtu, Mei 11, 2013

Puasa Sunat Rejab

REJAB boleh dikatakan sebagai bulan yang ditunggu kebanyakan umat Islam kerana sesiapa yang berpuasa dipercayai mendapat fadilat yang sangat besar.

Pertamanya, elok jika saya bawakan dalil al-Quran mengenai keistimewaan bulan Rejab ini. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 36, “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (demikian) di dalam Kitab Allah, sejak hari Dia menjadikan semua langit dan bumi. Daripadanya adalah empat yang dihormati. Demikianlah agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu pada bulan-bulan itu…” Prof Dr Hamka dalam Tafsir Al-Azhar menafsirkan ayat ini yang bermaksud: “Maka setelah bangsa Arab memeluk agama Tauhid, agama Hanif, yang dikenali sebagai Islam, yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail, diadakan empat bulan yang dihormati. Dihormati itu kerana pada keempat-empat bulan itu tidak boleh berperang dan tidak boleh balas dendam. Empat bulan itu ialah Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. tiga berturut-turut, dan yang satu lagi ialah bulan Rejab (bulan ketujuh).

Dengan penerangan yang diberikan oleh Prof Dr Hamka, keistimewaan bulan Rejab sama saja dengan tiga bulan yang lain iaitu Zulkaedah iaitu bulan untuk mempersiapkan diri untuk pergi menunaikan haji dan pada bulan seterusnya iaitu Zulhijjah. Kemudian, bermulalah bulan Muharam sebagai pembuka tahun baru dalam kalendar Islam yang sinonim dengan peristiwa Hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawasanya beliau berkata: “Rasulullah SAW apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda SAW berdoa; Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami (dengan selamatnya) ke bulan Ramadan. (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Ath-Thabarani) Malah, Abu Daud meriwayatkan bahawa Al Allamah Ibnu Hajar dalam tulisannya menyatakan Baginda SAW ‘memandubkan’ (sunat) berpuasa di bulan Haram. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah digalakkan tetapi tidak ada satupun hadis sahih membuktikan bahawa berpuasa pada hari tertentu dalam bulan Rejab, akan mendapat ganjaran istimewa.

Ahli panel fatwa IslamOnline, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai adakah berpuasa di dalam bulan Rejab itu sunat atau bidaah, menyatakan bahawasanya berpuasa di dalam bulan Rejab adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat), ke atas semua perkara. Tetapi Rasulullah SAW tidak berpuasa satu bulan penuh melainkan hanya pada bulan Ramadan. Malah, walaupun Baginda SAW banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya.

Dalam hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud menyatakan bahawasanya: “Baginda SAW berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak berbuka, Baginda berbuka sehingga kami mengatakan baginda tidak berpuasa.” Al-Qaradawi tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan-bulan haram termasuklah bulan Rejab tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Syaaban kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW mahupun para sahabat.

Syeikh Muhammad Mutawali Al-Syarawi dalam fatwanya menjawab persoalan mengenai puasa sunat menyenaraikan lapan jenis puasa yang beliau sifat sebagai ‘puasa yang orang Islam lakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah’ iaitu: Pertama, puasa hari Arafah (9 Zulhijjah khusus bagi mereka yang tidak menunaikan Haji). Kedua, puasa hari Asyura (10 Muharam). Ketiga, puasa enam hari di dalam bulan Syawal. Keempat, puasa hari-hari Putih di dalam bulan-bulan Islam iaitu pada hari ke-13,14 dan 15. Kelima, berpuasa pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu.

Keenam, berpuasa di dalam bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Ketujuh, berpuasa sembilan hari daripada bulan Zulhijjah (dari 1 hingga 9 Zulhijjah). Kelapan, banyakkan berpuasa di dalam Syaaban.

Maka di sini, dapat saya simpulkan bahawa Rejab adalah bulan yang mulia sebagaimana bulan-bulan haram yang lain. Dalam bulan Rejab ini sama-samalah kita meninggalkan perbuatan yang dilarang dan diharamkan seperti menzalimi diri sendiri, serta memperbanyak ketaatan kepada Allah SWT dan memperbanyakkan membuat amal kebaikan. Marilah kita mempersiapkan diri untuk memasuki bulan Ramadan yang bakal menjelma dua bulan daripada sekarang agar termasuk sebagai Islam yang berjaya di bulan tersebut dan memperoleh Lailatul Qadar. Pada bulan ini jugalah berlakunya peristiwa besar seperti peristiwa Israk dan Mikraj pada tanggal 27 Rejab di mana yang memaktubkan solat fardu sebagai ibadat wajib yang perlu dilaksanakan umat Islam. Berpuasalah dalam bulan ini sekadar yang mampu tetapi janganlah sehingga melampaui batas.

- HARIAN METRO

Ahad, Mei 05, 2013

Minda sihat rangsang budaya kerja kelas pertama

Oleh Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak dinafikan untuk merangsang budaya kerja kelas pertama dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam era persaingan hari ini, aset minda warga organisasi menjadi amat bernilai. Ia juga harga yang perlu dibayar untuk merealisasikan modal insan berfikiran terbuka, positif, strategik, inovatif dan kreatif.

Kekuatan modal insan ini terhasil daripada aset minda yang sihat dengan pengetahuan, maklumat, ingatan, persepsi serta daya berfikir yang benar dan betul. Ia juga adalah minda yang kuat dengan nilai ketelitian, keprihatinan dan kesanggupan menghadapi kesukaran.

    Firman Allah SWT: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Justeru, minda kelas pertama bukan saja kuat dan sihat dari segi intelek, juga nilai keperibadian. Bukan saja sarat dengan pengetahuan dan idea tetapi juga kekuatan menyalurkannya kepada inovasi, kreativiti tindakan, amalan serta produk berkualiti.

Bukan saja kuat dalam menyalurkannya kepada hasil dan output berkualiti tetapi juga kuat dalam memastikannya bermanfaat, tidak memudaratkan, selaras dengan piawaian syarak, pengharapan pelanggan, standard piawaian dan matlamat yang disasarkan.

Minda kelas pertama juga adalah minda berjenama iaitu yang mampu memikirkan strategi mengekalkan imej perkhidmatan serta mengekalkan kepuasan dan kepercayaan pelanggan secara berterusan.

Minda berdaya tahan
Selain itu, ia juga merujuk kepada minda berdaya tahan iaitu yang mampu bertindak balas dalam pelbagai suasana dan halangan berbeza. Justeru, minda kelas pertama menggambarkan ketinggian sikap, personaliti dan keperibadian seseorang pegawai.

Ciri minda ini berlawanan dengan minda kelas ketiga yang cetek, jumud, tertutup, bersikap negatif, tidak berkemampuan menyalurkan daya intelektual kepada output dan hasil berkualiti, mengekalkan kepuasan pelanggan atau berdaya tahan.

Tanpa minda kelas pertama, kemudahan serta infrastruktur canggih di pejabat juga tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan budaya kerja kelas pertama tidak berjaya direalisasi. Bagi penjawat awam, usaha terkini melalui Program Transformasi Minda (PTM) dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2012 sudah diperkenalkan.

Ia sebagai satu pendekatan memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai supaya dapat melahirkan pegawai awam yang mempunyai sikap dan pemikiran progresif, yang inginkan kecemerlangan serta memiliki etika dan nilai yang sejajar dengan agama.

Minda ini berkait rapat dengan ciri minda hikmah ditekankan dalam al-Quran dan Rasulullah iaitu merujuk kepada sesuatu yang membawa kebaikan serta manfaat kepada kehidupan manusia termasuklah apa juga bidang ilmu yang membawa kesejahteraan.

Firman Allah SWT: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Fahami rahsia hukum dan agama

Hikmah ialah kemampuan memahami rahsia hukum dan agama. Ada yang mentafsirkannya sebagai pemahaman mendalam mengenai al-Quran dan sunnah. Menurut Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya, ia merujuk kepada segala kebenaran berkaitan pegangan, kefahaman agama, amalan dan kebijaksanaan.

Dalam tafsir Al-Manar, ia dikatakan bermaksud kefahaman yang bukan sekadar pada perkara zahir, bahkan mengetahui tujuan yang membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat. Imam Fakhrur al-Razi dalam tafsirnya mengaitkan hikmah dengan kefahaman menggabungkan aspek teori dan amalan.

Ada yang mentafsirkannya sebagai tepat dalam percakapan dan bertindak. Yang lain berpendapat ia sebagai ilmu bermanfaat yang membuahkan amal serta mengetahui rahsia hukum syarak.

Dalam Lisan Al Arab, hikmah ialah mengetahui suatu paling utama dengan ilmu yang termulia. Rasulullah SAW amat mengalu-alukan setiap perkara yang lahir dari sifat minda hikmah ini atas sifatnya untuk menghasilkan kebaikan dan manfaat jangka panjang.

Baginda menerima idea menggali parit dalam peperangan Khandak walaupun ia bukan datangnya daripada kalangan orang Arab, sebaliknya oleh pemuda Parsi iaitu Salman al-Farisi dan perkara itu tidak pernah berlaku dalam strategi peperangan ketika itu.

Justeru, dalam melahirkan pekerja minda kelas pertama, cara dan proses berfikir yang betul dan baik melalui pembelajaran sepanjang hayat perlu terus digalakkan di tempat kerja. Semua usaha ini perlu diperkukuhkan dengan penekanan terhadap kerja secara berintegriti serta akhlak terpuji.

- BERITA HARIAN

Rabu, Mei 01, 2013

Penggunaan Dakwat Kekal Tidak Jejas Ibadah




Penggunaan indelible ink atau dakwat kekal adalah harus dan dibenarkan dari aspek syarak kerana ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada ibadah umat Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan hari ini berkata indelible ink tidak mengandungi bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memberi kesan mudarat dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit (telap air) apabila digunakan.

"Ini diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 11 Januari 2012 mengenai hukum penggunaan indelible ink yang akan digunakan sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

"Muzakarah memutuskan perkara ini berdasarkan pembentangan laporan analisis kimia, taklimat dan penjelasan daripada Jabatan Kimia serta penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau berkata kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi penjelasan kepada sesetengah pihak yang masih khuatir dan ragu-ragu sejauh mana penggunaan dakwat kekal itu dibenarkan oleh syarak dan telah dibincangkan di peringkat Muzakarah Fatwa.

Anggota keselamatan terdiri daripada pasukan tentera dan polis serta pasangan masing-masing yang menunaikan hak sebagai pengundi awal hari ini dicalit dakwat kekal berwarna merah buah saga di jari telunjuk kiri.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata warna dakwat kekal yang digunakan ke atas pengundi awal pada hari ini berbeza dengan warna dakwat kekal yang akan digunakan Ahad ini.

Dakwat Kekal Tidak Boleh Hilang 100 %

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi memberi jaminan bahawa dakwat kekal yang dicalitkan di jari pengundi pada Ahad ini tidak boleh hilang 100 peratus.

Tidak kira bagaimana anda berusaha untuk membersihkan dakwat di jari anda itu, ia masih kelihatan sedikit di atas kulit.

"Saya yakin ia tidak mungkin dapat dibersihkan 100%. Dakwat itu diperbuat daripada nitrat perak. Mungkin seseorang boleh mengikis dakwat pada kuku mereka tetapi ia masih boleh kelihatan di atas kulit sekitar kuku.

"Kerani-kerani di pusat mengundi dilengkapi dengan kanta mata pembesar dan mereka akan memeriksa kesemua jari pengundi sebelum membenarkan mana-mana individu untuk mengundi," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Malah jika seseorang dapat mencuci dakwat tersebut, beliau berkata, adalah mustahil untuk individu tersebut mengundi sebanyak dua kali.

"Sebaik saja seorang invidivu mengundi, namanya akan dipotong dari senarai daftar pengundi. Jadi, tiada cara bagi sesiapa saja untuk mengundi dua kali," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan di Internet kononnya beberapa pengundi yang mengundi awal boleh membersihkan dakwat tersebut dari jari mereka.

Wan Ahmad berkata, beliau memantau beberapa pengundi yang cuba membersihkan jari mereka dengan kertas tisu sebaik saja dakwat tersebut dicalitkan.

"Mereka mungkin mengelap sedikit dakwat tersebut kerana ia tidak kering sepenuhnya. Saya mencadangkan supaya SPR tidak menyediakan kertas tisu di pusat mengundi pada 5 Mei nanti," katanya.

- BERNAMA

 

Ahad, April 28, 2013

Pemimpin adil diberi penghormatan di akhirat

Agama Islam sangat menitikberatkan mengenai pemilihan pemimpin yang bertanggungjawab dan berwibawa kerana setiap pemimpin berserta rakyatnya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Jika baik pemimpin maka baiklah rakyatnya, begitulah jika berlaku sebaliknya.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah An-Nisa, ayat 58)

    Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” Surah An-Nisa, ayat 58

Tugas pemimpin negara amat berat kerana perlu memelihara mandat yang telah diberikan rakyat. Oleh itu, Allah SWT memberi penghormatan besar kepada pemimpin yang adil dengan meletakkan mereka sebagai golongan pertama daripada tujuh golongan mendapat naungan Arash di Padang Mahsyar di akhirat kelak.

Mereka juga diberikan kemuliaan iaitu diperkenankan doa mereka tanpa hijab seperti diriwayatkan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu doa seorang yang berpuasa hingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang dizalimi.”

Makbul doa orang dizalimi

Dikisahkan, ketika Amru bin Al-As menjadi gabenor Mesir, berlaku kemarau yang menyebabkan Sungai Nil menjadi kering. Oleh itu, masyarakat Qibti memohon untuk menjalankan tradisi nenek moyang mereka iaitu upacara korban anak dara cantik supaya penunggu tidak murka kepada mereka.

Amru bin Al-As menolak permohonan mereka dan memaklumkan mengenai hal ini kepada Khalifah Umar bin Al-Khattab. Khalifah Umar memuji dan menyokong tindakan Amru serta mengirimkan sepucuk surat lain yang meminta beliau mencampakkan surat itu ke dalam Sungai Nil.

Beliau mendapati surat itu beralamat untuk Sungai Nil manakala isi kandungannya ialah: “Daripada hamba Allah, Amirul Mukminin kepada Nil Mesir. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, jika engkau mengalir kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi, tetapi jika Allah SWT yang mengalirkanmu maka kami memohon kepada Allah supaya mengalirkan kamu semula,”

Doa Saidina Umar itu telah dimakbulkan Allah SWT. Sungai Nil menjadi lebih luas dan mengalirkan air yang tidak pernah kering sehinggalah hari ini.

Kisah kedua ialah mengenai saha-bat Nabi Muhammad SAW iaitu Saad bin Abi Waqas yang didoakan Rasulullah SAW untuk dikabulkan doanya. Setiap kali beliau berdoa, Allah SWT selalu memakbulkan doanya.

Ketika Saad bin Abi Waqas menjadi gabenor di Iraq, beliau telah difitnah oleh seseorang yang menyatakan beliau tidak pandai dalam solat dan menyatakan dirinya tidak melaksanakan hukum.

Doa Said dimakbulkan

Terkesan dengan fitnah itu, maka dia pun mendoakan orang berkenaan iaitu, “Ya Allah, panjangkanlah umurnya, panjangkanlah kemiskinannya dan hadapkanlah dia ke dalam pelbagai fitnah.”

Doa Said dimakbulkan Allah SWT. Akhirnya, beberapa tahun kemudian, orang itu berdiri di jalan-jalan Kota Kufah, dia meminta-minta kepada orang ramai dan menyentuh kanak-kanak perempuan dan mengekori mereka sambil berkata “Aku orang tua yang mendapat musibah kerana doa Saad.”

Melalui dua kisah itu, terbuktilah bahawa Allah SWT tidak akan menolak doa pemimpin yang adil. Pemimpin mestilah memiliki sifat mahmudah seperti beramanah dan adil supaya doa mereka dimakbulkan demi kesejahteraan semua yang berada di bawah tanggungjawabnya.

Supaya mereka tidak termasuk dalam golongan pemimpin yang khianat seperti sabda Baginda Rasulullah SAW daripada Ma’qil bin Yasar: “Sesiapa yang ditaklifkan (diamanahkan) oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya (pemimpin) syurga.” (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, tanggungjawab sebagai pemimpin amatlah berat. Oleh itu, jika ia dijalankan dengan sebaiknya, amat besarlah ganjaran yang akan diterima tetapi jika amanah itu tidak dilaksanakan, maka amat buruklah balasannya.

- BERITA HARIAN

Recent Posts