Tiada keperluan ulangi PKP walaupun Covid meningkat - KKM


Sungguhpun jumlah kes baharu Covid-19 mencatatkan peningkatan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa langkah berkurung atau sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dipertimbangkan buat masa ini.

"Kementerian kesihatan (KKM) harap situasi ini dapat dilalui tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP.
"Bagi menghadapi lonjakan kes Covid-19 ketika ini, KKM telah memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama," katanya dalam sidang media khas berhubung status Covid-19, pada petang Isnin.
Dr Dzulkefly menambah, jumlah kes Covid-19 masih terkawal selain fasiliti kesihatan ketika ini berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku peningkatan kemasukan pesakit ke hospital.

"Apa yang kami perhatikan adalah kapasiti hospital mampu menangani ledakan ini," katanya lagi sambil menambah, KKM turut membuat pemantauan di pintu sempadan negara.

Terdahulu, beliau mengumumkan jumlah kes positif Covid-19 bagi minggu epidemiologi 50 adalah sebanyak 20,696 kes.

Jumlah tersebut direkodkan antara 10 Disember hingga 16 Disember, ujarnya.

Angka terbaharu itu menunjukkan peningkatan sebanyak 62.2 peratus berbanding jumlah kes yang dicatatkan pada minggu lalu.

Menurut Dr Dzulkefly, daripada 20,696 kes baharu, sebanyak 20,677 adalah kes tempatan yang melibatkan 20,068 warganegara dan 609 bukan warganegara.

Sementara itu sebanyak 19 kes import direkodkan pada minggu 50.

"Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 151 kes di mana 96 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Kes kematian sebanyak 28 kes dengan kadar kematian 0.1 peratus. Kematian tertinggi adalah di kalangan kes yang berumur 60 tahun ke atas," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM mempunyai stok vaksin yang mencukupi untuk mereka yang mahu mengambil suntikan dos penggalak atau suntikan vaksin terutama bagi golongan komorbiditi.

"Orang ramai boleh walk-in, buat temujanji pun boleh untuk dapatkan booster atau vaksin di fasiliti kesihatan," katanya.

Sumber : mSTAR


0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.