Fi akuan berkanun, ekshibit Pesuruhjaya Sumpah dinaikkan kepada RM10 mulai 16 Januari 2023



Kadar baharu fi akuan berkanun (SD) dan ekshibit dalam dokumen berkenaan, adalah masing-masing RM10, berkuat kuasa 16 Januari 2023 (Isnin).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan bersetuju menyemak kadar fi akuan berkanun itu mengikut peruntukan Seksyen 4, Akta Akuan Berkanun 1960 [Akta 783].

"Kali terakhir fi akuan berkanun itu ditetapkan adalah pada 4 Mac 1993, hampir 30 tahun dahulu melalui warta P.U.(A) 78/93, iaitu RM4 bagi akuan berkanun dan RM2 bagi ekshibit dalam akuan berkanun berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, kerajaan menyemak semula kadar itu selepas mengambil kira aspek perkembangan ekonomi, kadar inflasi, kenaikan kos operasi, kenaikan fi pelantikan Pesuruhjaya Sumpah dan perbandingan dengan kadar di negara lain.

"Kadar baharu fi ditetapkan berdasarkan semakan dan kajian terperinci yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan pihak berkepentingan dan Pertubuhan Gabungan Pesuruhjaya Sumpah Malaysia (Pesuma)," katanya.

Azalina juga telah menandatangani Perintah (Bayaran) Surat Akuan (Pindaan) 2023 berhubung kadar fi yang telah disemak semula itu hari ini.

Sumber : BERNAMA

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.