Tasik Chini kekal status Tapak Rizab Biosfera UNESCO

 


Tasik Chini di Pahang berjaya mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia diputuskan mesyuarat SMajlis Penyelarasan Antarabangsa 'Man and the Biosphere' (ICC-MAB) ke-35 di Paris, Perancis, semalam.

Beliau berkata, mesyuarat mendapati semakan berkala kawasan tapak itu menepati kriteria Kerangka Statutori Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) dan syor Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera (IACBR) dengan mengambil kira usaha diambil bagi menambah baik pengurusan tapak berkenaan.

    "Ini termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan fungsi Tapak Rizab Biosfera         Tasik Chini, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menubuhkan Perbadanan Taman            Negeri Pahang dan melaksanakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan," katanya         dalam kenyataan

Menyifatkan keputusan itu sangat membanggakan negara dan Pahang, Nik Nazmi turut mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri Pahang atas pengiktirafan itu dan berharap pengurusan tapak berkenaan terus ditambah baik.

Beliau berkata, Tasik Chini adalah tapak rizab biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pada 2009 dan di Malaysia terdapat dua lagi tapak rizab biosfera iaitu Banjaran Crocker, Sabah dan Bukit Bendera, Pulau Pinang yang masing-masing mendapat pengiktirafan pada 2014 dan 2021. 

Sumber : BERNAMA

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.