Terminal Pekeliling dijadikan hab pengangkutan awam

 



Terminal Titiwangsa dekat Pekeliling akan dibangunkan sebagai hab pengangkutan awam dengan infrastruktur dibina di situ bakal menghubungkan lima mod perkhidmatan.

Terminal itu yang dibangun berpandukan model pembangunan berorientasikan transit (TOD) bakal menghubungkan perkhidmatan bas, Monorel KL, transit aliran ringan (LRT) laluan Ampang dan Seri Petaling serta Transit Aliran Massa (MRT) Dua dan Tiga.

Bercakap pada sidang media di Sungai Buloh, hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fok, berkata faktor keterhubungan dan keluasan kawasan adalah antara faktor utama pemilihan stesen Titiwangsa sebagai hab pengangkutan awam.

Kedudukannya berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut mendorong idea berkenaan, selain hab pengangkutan awam itu akan dibangunkan secara berfasa yang mana ketika ini ia masih di peringkat perbincangan.

Pembangunan di tapak itu milik Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) antara lain bakal mengetengahkan elemen ketersambungan batuan pertama dan akhir yang tidak hanya bergantung kepada bas pengantara.

"Kementerian ketika ini sedang melihat pendekatan lain termasuk kerjasama dengan teksi dan syarikat e-hailing bagi menyelesaikan isu ketersambungan batuan pertama dan akhir.

"Antara cadangannya ialah projek rintis bagi memperkenalkan konsep 'ride sharing' kepada syarikat e-hailing bagi memastikan perjalanan dari rumah ke stesen dapat dioptimumkan dengan kadar tambang lebih murah," katanya sempena lawatan kerja ke MRT Laluan Putrajaya.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban turut menggalakkan penggunaan lebih banyak kenderaan mikromobiliti bagi menyelesaikan isu ketersambungan batuan pertama dan akhir dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam.

Bagaimanapun beliau menjelaskan beberapa infrastruktur khusus perlu dibangunkan bagi memudahkan penggunaan kenderaan mikromobiliti bagi tujuan berkenaan.

"Kita juga perlu membenarkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan mikromibiliti kerana ketetapan terdahulu melarang penggunaannya di atas jalan raya," katanya.

MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua kini siap 99.9 peratus, membabitkan kos RM30.53 bilion untuk pembinaan dan sistem meliputi 36 stesen membabitkan 49 set kereta api. Ia membabitkan perjalanan sejauh 56.4 kilometer dengan kekerapan selang lima minit.

Beliau antara lain menetapkan sasaran penumpang seramai 200,000 orang sehari bagi tempoh dua tahun selepas perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya.

"MRT Laluan Putrajaya ini juga akan melalui stesen HKL yang biasanya mengalami kesesakan lalu lintas, selain ia dilengkapi kemudahan laluan gerak (walkalator) sejauh 400 meter bagi memudahkan pesakit dan pengunjung premis kesihatan berkenaan.

"Kita juga mengintegrasikan pas bulanan My50 untuk meliputi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya Fasa 2, selain berharap inisiatif ini akan melonjakkan penggunaan perkhidmatan berkenaan," katanya.

"Seperti MRT Satu juga Kajang Line (MRT Laluan Kajang), kita bermula dengan jumlah yang rendah tetapi kemudian ia telah mencecah kira-kira 200,000 sekarang. Ia ambil masa kira-kira dua tahun untuk capai jumlah itu," katanya.

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.