Kenderaan warga asing masuk Malaysia bakal kena caj VEP


Kenderaan persendirian milik warga asing yang dipandu di Malaysia, bakal dikenakan caj permit masuk kenderaan (VEP).

Langkah itu diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pelaksanaan caj VEP itu akan dibuat secara berperingkat dan bakal dimulakan di sempadan Malaysia-Singapura, diikuti dengan kawasan perbatasan Malaysia-Thailand.

"Ia juga akan dilaksanakan di sempadan Malaysia-Indonesia di Sabah dan Sarawak, tetapi perkara ini sudah tentu mengambil masa untuk dilaksanakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Seremban itu.

Terdahulu, Dewan Rakyat turut meluluskan dua lagi RUU berkaitan Kementerian Pengangkutan, masing-masing RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023.

Anthony berkata, peruntukan sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) hanya mempunyai kawalan kuasa ke atas kenderaan perdagangan asing.

"Bagi kenderaan persendirian, kemasukan kenderaan tersebut tertakluk kepada peraturan sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk kewajipan untuk memohon International Circulation Permit (ICP)," katanya.

Mengenai kereta sapu asing di negara ini, Anthony berkata, peraturan pelesenan yang seragam kepada kenderaan asing yang beroperasi di Malaysia, dapat ditetapkan melalui pindaan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023.

Katanya, penetapan itu sama seperti peraturan ditetapkan kepada kenderaan perdagangan Malaysia.

"Kenderaan sapu ini kelak akan diwajibkan untuk berdaftar dan dilesenkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), kalau berkaitan dengan kenderaan asing.

"Apabila ada punca kuasa ini, maka mereka (pemilik kenderaan asing) juga tertakluk kepada syarat dikenakan kepada kenderaan tempatan," katanya.

Sementara itu, Anthony ketika menggulung perbahasan RUU Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 berkata, penamatan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan (PUSPAKOM) bagi perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dibuat bagi menggalakkan persaingan secara adil.

"Ada banyak rintihan diterima, terutama daripada pemandu teksi dan lori. Mereka mengeluh kerana tiada pilihan (untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan), terpaksa menunggu lama dan cawangan tidak mencukupi, terutama di Sabah dan Sarawak.

"Jadi, kita nak buka pasaran kepada pemain industri lain. Kalau Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) nak buka syarikat untuk bersaing dengan PUSPAKOM, silakan. Tiada masalah," katanya.

Memperincikan penamatan monopoli itu, Anthony berkata, PUSPAKOM masih dibenarkan beroperasi, bagaimanapun hanya hak eksklusifnya yang sudah berlarutan selama 30 tahun bakal ditamatkan.

"PUSPAKOM akan meneruskan operasi (dalam tempoh) 15 tahun lagi, tetapi bezanya konsesi yang diberikan ini tiada lagi hak eksklusif. Ia telah diberikan selama 30 tahun.

"Jadi, sekarang kita buka peluang, katakan kalau berminat untuk terbabit dalam perindustrian pemeriksaan kereta, boleh beri kertas cadangan dan kita akan lihat," katanya.

RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, bertujuan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) membabitkan 13 Fasal.

Selain itu, RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023, bertujuan meminda Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang antara lain bagi memperluas pengawal seliaan berkaitan pelesenan perniagaan pengantaraan kepada perkhidmatan kenderaan barangan.

RUU Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 pula bertujuan meminda Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987, antaranya memperuntukkan kenderaan p-hailing menjadi kenderaan barangan yang tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.