Sektor pembuatan Malaysia catat kemerosotan





 Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia merosot kepada 46.5 pada Januari 2023 berbanding 47.8 dalam bulan sebelumnya, yang 'memaparkan kesederhanaan sektor itu', menurut S&P Global.

Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence, Usamah Bhatti, berkata terdapat isyarat selanjutnya bahawa keadaan ekonomi di Malaysia pada Januari masih tidak memberangsangkan berikutan situasi mencabar dalam sektor pembuatan yang mengehadkan permintaan dan pengeluaran di syarikat-syarikat pembuatan Malaysia.

"Data PMI terkini masih menunjukkan pertumbuhan dalam data rasmi ke tahun baharu, meskipun pada kadar lebih perlahan.

"Bagaimanapun, dua aspek positif diperoleh daripada hasil tinjauan yang terkini. Pertama, pekerjaan yang mencatat pengembangan baharu sekali gus membantu syarikat untuk kekal mengendalikan beban kerja dan menetapkan asas untuk meluaskan output pada masa depan sekiranya permintaan mula mendapat semula momentum.

"Kedua ialah mengurangkan masa penghantaran yang pertama dalam tempoh lebih tiga tahun berikutan kekurangan bahan, kesesakan di pelabuhan dan isu penghantaran yang pulih seperti biasa," menurut Bhatti dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

S&P Global berkata, bacaan terkini PMI menunjukkan bahawa pengeluaran pembuatan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencatat kelembapan beransur-ansur pada akhir 2022 masih sedemikian sehingga pada tahun baharu.

Menurutnya angka keseluruhan yang lebih lemah itu, antara lain disebabkan kesederhanaan yang lebih kukuh dari segi volum output.

S&P Global berkata, angka keseluruhan itu adalah paling ketara dapat dilihat sejak Ogos 2021 berikutan pengeluar menyaksikan bahawa permintaan dan keyakinan pelanggan yang tidak memberangsangkan di pasaran domestik dan antarabangsa.

"Sehubungan itu, permintaan eksport bagi barangan perkilangan Malaysia terus merosot dan pada kadar yang mendadak sejak Jun 2021," katanya.

Meskipun situasi permintaan adalah sederhana, S&P Global berkata, rantaian bekalan berupaya mencatat peningkatan bagi pengeluar barangan Malaysia berikutan masa penghantaran dikurangkan buat kali pertama sejak November 2019.

Dari segi harga, kos input meningkat untuk bulan ke-32 pada Januari walaupun kadar inflasi terus merosot dan perlahan kerana syarikat merekodkan harga yang lebih rendah bagi pelbagai input termasuk minyak.

"Memandang ke hadapan, pengilang di Malaysia semakin optimis ke atas prospek output pada tahun depan di tengah-tengah jangkaan bahawa permintaan domestik dan luar negeri akan bertambah baik apabila ekonomi global pulih," katanya.

Sumber : BERNAMA


0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.