Samy Vellu meninggal dunia

 


Bekas Presiden MIC, Tun Dr S Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur kira-kira jam 7 pagi tadi.

Bekas Menteri Kerja Raya itu meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Perkara itu disahkan bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan di Facebook beliau sebentar tadi.

"Dengan rasa sedih dan pilu, saya menerima berita tragis pemergian Tun Samy Vellu, bekas Presiden MIC dan menteri legenda dalam Kabinet Malaysia daripada anaknya Datuk Seri Vell Paari.

"Takziah kepada Toh Puan, Datuk Seri Vell Paari dan seluruh ahli keluarga atas kematiannya. Beliau menjalani sepenuhnya kehidupan yang mulia dan pergi dengan penuh penghormatan serta penghargaan," katanya.

Mengenang jasa mendiang, Dr Subramaniam yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, Samy Vellu memberi sumbang besar terhadap negara dan masyarakat India.

Antara sumbangan besar mendiang adalah mewujudkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe.

"Justeru sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat India akan kekal dalam ingat kami," katanya.

Samy Vellu menerajui MIC selama 31 tahun bermula 1979 hingga 2010.

Beliau mula menceburi bidang politik pada usia 23 tahun pada 1959 apabila dia menyertai MIC cawangan Batu Caves.

Samy Vellu juga adalah antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat, iaitu selama 29 tahun.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya daripada 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi dari 1978 hingga 2008.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

"Pemergian mendiang satu kehilangan besar buat masyarakat dan negara. Jasa dan pengorbanan mendiang selama menjadi Presiden MIC serta menteri Kabinet akan terus dikenang. Semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya.

Orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di rumahnya di Jalan Ipoh bermula jam 2 petang ini.

Menurut bekas setiausaha akhbar mendiang, Datuk E Sivabalan, upacara pembakaran mayat akan berlangsung pada jam 4 petang Jumaat di Jalan Kuari, Cheras.

Turut berkongsi pengalaman dan detik manis bersama Samy Vellu, bekas Setiausaha Akhbarnya, Datuk E Sivabalan, yang menceritakan mendiang bukan sekadar seorang bos, sebaliknya menganggapnya sebagai seorang sahabat.

Katanya, sebelum nama mendiang dikenali ramai, tidak siapa tahu liku yang terpaksa ditempuhi sosok dihormati itu apabila pernah memulakan kerjaya sebagai konduktor bas.

Beliau turut berkongsi permintaan terakhir Samy Vellu sebelum mendiang menghembuskan nafas hari ini, apabila meminta pemandu peribadi membawanya ronda-ronda tidak jauh dari kawasan kediaman.

"Saya tidak boleh percaya bahawa itu adalah permintaan terakhirnya," katanya.

Sivabalan secara peribadi mengenali Samy Vellu yang dianggap seorang legenda kerana pernah berkhidmat sebagai pembantu selama 34 tahun, antaranya sebagai pegawai khas di ibu pejabat MIC pada 1988 selepas menamatkan pengajian di dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kemudian, Sivabalan berkhidmat sebagai setiausaha akhbar dari 2002 hingga 2008 sewaktu Samy Vellu dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dan sebagai setiausaha peribadi ketika mendiang dilantik sebagai Utusan Khas bertaraf Menteri ke India dan Selatan Asia pada 2010 hingga 2018.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.