Pegawai kerajaan dilarang beri kenyataan awam

 


Pegawai awam terutama ketua jabatan atau agensi dilarang memberi kenyataan awam secara lisan atau bertulis. khususnya membabitkan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan mengenai sesuatu isu.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari, berkata ketua jabatan hanya dibenarkan membuat kenyataan awam selepas isu atau maklumat yang ingin diuar-uarkan itu mendapat kebenaran daripada SUK.

"Sebagai contoh, maklumat berkaitan operasi tangkapan khalwat, kita serahkan kepada ketua jabatan iaitu Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Kalau JAIM fikir boleh uar-uarkan untuk hebahan media, maka kita benarkan.

"Proses mendapatkan kebenaran daripada SUK bagi sesuatu maklumat untuk diuar-uarkan boleh dibuat menerusi telefon secara terus, tidak perlu surat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka dan Pelancaran Tabung Hari Pahlawan 2022 di Seri Negeri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amanat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkaitan larangan berkenaan menerusi teks ucapannya yang dibaca EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman pada perhimpunan itu.

Sulaiman dalam ucapan itu berkata, larangan berkenaan selaras dengan arahan Kerajaan Persekutuan menerusi surat edaran yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan peraturan sedia ada yang masih berkuat kuasa iaitu Peraturan-Peraturan Pegawai Awam di bawah kelakuan dan tatatertib 1993.

Beliau berkata, larangan berkenan juga membabitkan kenyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan imej kerajaan, ulasan mengenai kelemahan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan atau mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat pegawai awam atau mana-mana pihak lain.

Beliau berkata, semua larangan berkenaan itu bertujuan mempertahankan prinsip neutrality dan impartiality dalam perkhidmatan awam.

Sulaiman berkata, dalam menghadapi cabaran dunia digital, penjawat awam perlu lebih bijak dan sensitif sebelum mengeluarkan kenyataan awam di sebarang platform atau media bagi mengelakkan sebarang salah faham.

"Saya menegaskan dan memperingatkan semua warga kerja perkhidmatan awam Negeri Melaka untuk sentiasa berintegriti dan berhemah semasa menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

"Ketua jabatan juga diingatkan untuk memaklumkan kepada kakitangan di bawah seliaan masing-masing supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tata etika yang telah ditetapkan," katanya.

Terdahulu, Rahmad berkata, Tabung Pahlawan Negeri Melaka berjaya mengutip sumbangan lebih RM150,000 daripada pelbagai pihak, termasuk agensi dan jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan. 

Sumber : BERNAMA


0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.