Beberapa kawasan di Semenanjung putus bekalan elektrik

 


Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sedang mengalami gangguan elektrik sejak jam 12:39 tengah hari tadi membabitkan 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.

TNB dalam kenyataan hari ini berkata, antara kawasan terbabit adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.

Bagaimanapun, bekalan telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 40 minit di semua kawasan terbabit kecuali di kawasan Lembah Klang.

Punca kejadian sedang dikenal pasti dan usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

"TNB akan memaklumkan kepada para pelanggan dari semasa ke semasa. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini," kata kenyataan itu.

Sementara itu kalangan pengguna yang terjejas menceritakan keadaan mereka menerusi media sosial.

Perkongsian orang ramai menerusi ciapan di laman Twitter umpamanya menunjukkan beberapa pusat beli-belah dan pasar raya di ibu negara juga bergelap.

Terdahulu TNB Careline menerusi Facebook dan Twitter rasminya, mengesahkan terdapat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.

"Pasukan teknikal kami sedang mengenal pasti punca kejadian. Usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

"Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini," katanya.

Ketika berita ini ditulis, antara kawasan yang dikesan berdepan gangguan elektrik termasuk di beberapa kawasan di Shah Alam, Petaling Jaya, Ampang, Bangsar, Cheras serta Bangi.

Difahamkan, gangguan juga membabitkan beberapa negeri termasuk di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.