Tambang Skypark Link KL Sentral ke LTSAAS diturunkan jadi RM3.50

 


Tambang perkhidmatan Skypark Link dari KL Sentral, di sini, ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, diturunkan daripada RM10 kepada RM3.50, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, ketika mengumumkan perkara itu berkata penjimatan sebanyak 64 peratus itu adalah pelarasan tambang perkhidmatan tren ekspres kepada kadar tambang perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang.

Selain itu, beliau berkata, kadar tambang konsesi potongan 50 peratus juga terpakai bagi kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun, pelajar sekolah rendah dan menengah, warga emas serta orang kelainan upaya (OKU).

"Kerajaan sentiasa komited membantu B40 dan golongan rentan bagi pembangunan secara inklusif tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan masyarakat.

"Pelbagai inisiatif dibangunkan kerajaan dan agensinya bagi memberi akses kepada rakyat serta mengangkat status sosioekonomi mereka.

"Seperti yang kita ketahui, kos pengangkutan awam adalah faktor ketiga terpenting dalam menyumbang kepada kenaikan mahupun penurunan kos sara hidup rakyat di negara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Skypark Link KL Sentral ke LTSAAS, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin.

Justeru, Ka Siong berkata, rakyat diseru memanfaatkan inisiatif itu bagi memastikan objektif Dasar Pengangkutan Negara (DPN) dapat dicapai, iaitu menyediakan mobiliti yang memenuhi permintaan rakyat dan inklusif.

Beliau berkata, kementerian juga akan memantau pencapaian dasar itu secara keseluruhan, melalui pemantauan berkala dan memastikan inisiatif pelaksanaannya bersifat dinamik seiring perubahan trend semasa.

"Saya berharap penyedia perkhidmatan pengangkutan awam atau agensi pelaksana bawah Kementerian Pengangkutan, menyedia dan memperincikan serta menyelaras dan memantau setiap inisiatif yang dilaksanakan dengan pemegang taruh.

"Semoga KTMB dan agensi lain dapat bersama-sama memastikan kelestarian pengangkutan negara sehingga menjadi sebutan negara lain," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.