Stesen bas Lembah Sireh ketinggalan zaman

 


Suasana persekitaran dilihat tidak selesa dan kekurangan pelbagai kemudahan, menyebabkan Stesen Bas Lembah Sireh di sini dianggap antara lokasi pengangkutan awam yang ketinggalan zaman.

Tinjauan ke stesen bas itu mendapati ia 'rancak' beroperasi dengan menerima ramai pengunjung dari dalam dan luar Kelantan, namun keadaan fasiliti terbabit dilihat seolah-olah tiada sebarang kemajuan.

Malah, stesen bas itu masih terbuka tanpa dilengkapi pendingin hawa, selain tiada kemudahan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau tempat menunggu yang sesuai untuk menampung pengunjung.

Pemandu teksi, Mohd Asri Abd Manaf, 52, berkata keadaan bertambah rumit apabila hujan kerana penumpang terpaksa meredah hujan dari tempat parkir kereta ke bas, berikutan tiada laluan berbumbung.

"Selain itu, tempat parkir bas dilihat tidak sesuai dan agak sempit untuk operasi pengangkutan awam yang menjadi tumpuan. Lazimnya, waktu pagi dan malam adalah kemuncak kehadiran ramai penumpang.

"Tandas juga mengalami masalah seperti terputus bekalan air apabila pengunjung terlalu ramai, selain surau agak sempit untuk menampung jemaah yang ramai," katanya ketika ditemui di Stesen Bas Lembah Sireh.

Wan Yaacob Wan Jusoh, 72, yang berpengalaman sebagai pemandu bas ekspres lebih 40 tahun, mengaku Stesen Bas Lembah Sireh sudah agak daif.

"Pada pendapat saya, ia harus dibangunkan dengan lebih baik supaya dilihat moden dan selesa, memandangkan stesen bas menjadi lokasi pertama ketibaan mereka yang menaiki pengangkutan awam itu ke negeri ini.

"Kerajaan negeri diharap lebih peka dan mengambil tindakan segera untuk memajukan stesen bas utama ini supaya tidak timbul isu yang bukan sahaja boleh menjejaskan industri pelancongan, tetapi juga imej Kelantan.

"Justeru, sudah tiba masanya, terminal bas yang dilengkapi pendingin hawa dan pelbagai kemudahan dibina di Kota Bharu untuk keselesaan semua pihak," katanya yang kini menjadi pemandu teksi.

Wan Yaacob berkata, difahamkan kerajaan negeri sebelum ini didakwa berjanji ia hanya stesen sementara, namun ia masih beroperasi selepas lebih 12 tahun dan belum ada stesen baharu.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.