Touch 'n Go perkenal kad baharu dipertingkat

 


Touch 'n Go Group hari ini melancarkan kad Touch 'n Go dipertingkatkan yang membolehkan pengguna membuat tambah nilai pada bila-bila masa, di mana-mana saja dari aplikasi Touch 'n Go eWallet pada peranti mudah alih mereka.

Malah, pengguna kad dan perkhidmatan itu juga tidak dikenakan sebarang surcaj apabila tambah nilai dilakukan.

Dari segi reka bentuk, kad yang dinaik taraf itu adalah minimalis dan didatangkan dengan penampilan yang lebih segar daripada merah jambu pastel kepada biru pastel.

Kad Touch 'n Go yang dinaik taraf itu turut disertakan dengan tahap penyulitan yang lebih tinggi untuk menggalakkan keselamatan yang lebih baik.

Di samping itu, setiap kad juga didaftarkan sepenuhnya kerana ia ditandakan pada akaun Touch 'n Go eWallet apabila tambah nilai mudah alih dilakukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch 'n Go Group, Effendy Shahul Hamid, berkata pihaknya amat berbesar hati kerana dapat membawa kad itu ke pasaran, sekali gus menangani kesulitan yang sering dialami pengguna kadnya iaitu kesulitan melakukan tambah nilai.

"Dengan tawaran kad yang dipertingkatkan ini, pengguna kami kini boleh memilih untuk mendapatkan kad yang boleh mereka tambah nilai pada bila-bila masa atau di mana-mana saja daripada aplikasi Touch 'n Go eWallet dalam telefon mudah alih mereka.

"Malah, tidak akan ada surcaj tambah nilai yang dikenakan untuk penggunaan perkhidmatan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Kad yang dinaik taraf itu tersedia untuk pembelian pada harga RM10, harga yang sama dengan kad Touch 'n Go versi lama dan boleh dibeli di aplikasi Touch 'n Go eWallet serta di lokasi runcit terpilih di seluruh negara.

Setelah pengguna menerima kad Touch 'n Go yang dinaik taraf, mereka perlu pautkan kad berkenaan kepada Touch 'n Go eWallet mereka, yang mana prosesnya mudah dan ringkas.

Pengguna hanya perlu memegang kad di belakang telefon pintar serasi-NFC mereka selama lima saat untuk mengaktifkan kad baharu.

Selepas melengkapkan pautan, pengguna kemudian boleh melihat baki kad dan melakukan tambah nilai. Fungsi itu kini tersedia untuk kedua-dua peranti iOS dan Android, dan pengguna boleh membuat pautan sehingga lima kad Touch 'n Go ke Touch 'n Go eWallet mereka.

"Kami menjangkakan permintaan untuk kad yang dinaik taraf ini adalah sangat tinggi. Bagaimanapun, memandangkan kekurangan cip global, kami menjangkakan permintaan akan melebihi bekalan.

"Jadi, saya ingin menggesa kesabaran dalam kalangan pengguna kami kerana kami cuba memberikan kad ini kepada anda secepat mungkin," tambah Effendy.

Sekiranya stok untuk kad itu kehabisan pada aplikasi Touch 'n Go eWallet atau saluran runcit, pengguna dinasihatkan untuk mendaftar minat mereka pada aplikasi Touch 'n Go eWallet, dan mereka akan dimaklumkan apabila kad itu tersedia untuk pembelian.

Sama seperti kad Touch 'n Go semasa, kad Touch 'n Go yang dinaik taraf boleh digunakan untuk pembayaran tanpa tunai seperti biasa merentasi semua kes penggunaan termasuk lebuh raya bertol, perkhidmatan pengangkutan awam dan lebih 700 tapak letak kereta di Semenanjung.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini mengenai kad Touch 'n Go yang dinaik taraf boleh lawati www.touchngo.com.my


0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.