Smart Plate tawar 10,000 nombor pendaftaran

 


Smart Plate Malaysia Sdn Bhd menawarkan sehingga 10,000 nombor pendaftaran kereta atau nombor plat yang cantik dan unik untuk dijual kepada pemilik kenderaan.

Pengarahnya, Rudie Iswadie Ismail, berkata pelanggan boleh membuat carian nombor plat yang diinginkan di dalam pangkalan data mereka yang boleh diakses di laman web syarikat, https://www.smartplate.my/.

Katanya, harga setiap nombor plat adalah bergantung kepada keunikan dan jumlah nombor itu yang mana boleh mencecah sehingga jutaan ringgit bagi nombor plat tunggal.

"Kami adalah syarikat yang menguruskan jual beli nombor plat dan mempunyai platform yang boleh diakses oleh pelanggan untuk melihat sendiri nombor yang masih tersedia untuk dibeli.

"Kami melihat terdapat potensi di dalam perniagaan nombor plat ini kerana sedar ramai pemilik kenderaan mempunyai keinginan untuk memakai nombor plat yang cantik atau mempunyai makna tersendiri kepada pemilik kenderaan itu sendiri." katanya kepada BH baru-baru ini.

Tambahnya, terdapat dua jenis nombor plat iaitu yang pertama dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kedua nombor plat khas yang dikeluarkan oleh mana-mana institusi seperti universiti untuk dijual kepada orang awam.

"Kita bertindak sebagai ejen sah yang diberi kebenaran untuk membantu menjual nombor plat khas ini. Ketika ini kita mempunyai dua nombor plat khas iaitu UR dan UC, masing-masing ditawarkan oleh Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaysia Pahang.

"Bagi nombor plat JPJ, syarikat akan membelinya terlebih dulu sebelum dijual semula di platform kita. Selain itu, kita juga mempunyai rakan perniagaan yang ingin menjual nombor plat mereka menggunakan platform syarikat," katanya.

Rudie berkata, secara purata syarikat itu berjaya menjual di antara 200-250 nombor plat sebulan atau boleh mencecah sehingga 3,000 setahun.

Sumber dari Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.