Quran digital ciptaan UniMAP mudahkan imam

 


Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membangunkan sistem al-Quran Digital Kawalan Tanpa Wayar bagi memudahkan imam membaca ayat lebih panjang dalam solat.

Teknologi itu dibangunkan Profesor Ir Dr Anuar Mat Safar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) yang juga Pengerusi Masjid Al-Arifin Padang Katong, Kangar.

Ini menjadikan masjid itu yang pertama menggunakan teknologi berkenaan untuk solat Tarawih pada Ramadan kali ini.

Dekan FTKEN, Prof Madya Ts Dr Azremi Abdullah Al-Hadi berkata, projek itu adalah hasil kerjasama Masjid Al-Ariffin, FTKEN, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

"Dengan adanya sistem berkenaan, Imam Satu masjid, Ustaz Muhammad Khidhir Abdul Ghani boleh membaca ayat yang lebih panjang dan boleh menggerakkan muka surat seterusnya dalam solat tanpa memerlukan pergerakan besar.

"Menerusi sistem ini, imam akan membaca surah melalui al-Quran digital yang dipancarkan di skrin dan boleh dikawal pergerakan muka surat menggunakan alat yang dipakai di pergelangan tangan," katanya

Antara kakitangan FTKEN dan FTKM yang terbabit dalam inisiatif itu ialah Dr Iszaidy Ismail, Dr Ilman Jais, Ir Dr Wan Mohd Faizal Wan Abd Rahman, Mohd Haidiezul Jamal Ab Hadi dan Mohd Hazwan Mohd Hanid.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Zaliman Sauli, berkata, UniMAP komited dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang boleh membantu komuniti setempat dalam jangka masa panjang.

"Teknologi itu juga berpotensi dikomersial dan digunakan di masjid, surau bahkan boleh digunapakai untuk kegunaan solat di rumah," katanya.

Sumber dari Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.