Gangguan sendi wajah (TMD)


 Adakah anda sering berdepan kesakitan dan kesukaran membuka mulut dengan luas ketika menikmati burger?

Atau kerap mendengar bunyi 'klik' dan 'pop' di bahagian hadapan telinga ketika membuka atau menutup mulut?

Jika melalui keadaan itu, anda mungkin menghidap Gangguan Sendi Temporomandibular (TMD).

Pensyarah Pergigian dan Pakar Perunding Bedah Mulut dan Maksilofasial (OMFS), Dr Rifqah Nordin, berkata keadaan itu sering dikaitkan dengan TMD, iaitu penyakit tidak berbahaya tetapi boleh menjejaskan kualiti kehidupan jika tidak diberi rawatan awal.

Katanya, TMD mewakili kesakitan atau keabnormalan fungsi membabitkan otot pengunyahan di bahagian muka, kepala, sendi temporomandibular (TMJ) dan struktur anatomi seperti tulang, ligamen yang berhampiran dengan sendi itu.

Sendi temporomandibular (TMJ) terdiri daripada dua sendi ginglymoarthrodial yang menghubungkan rahang bawah dan tulang temporal tengkorak di hadapan telinga kiri dan kanan. 

Sendi ginglymoarthrodial berfungsi secara menggelongsor (engsel) dan berotasi bagi membolehkan seseorang membuka dan menutup mulut serta menggerakkan rahang ke kiri dan kanan ketika melakukan aktiviti seharian seperti mengunyah, makan, bertutur dan menguap.

"Adakalanya TMD boleh menyebabkan ketidakseimbangan pada struktur muka dan rahang. Ia punca kedua paling kerap dikaitkan dengan sakit di bahagian rahang atau orofasial, selepas sakit berpunca daripada gigi.

"Antara gejala lain ialah sakit kepala, kesakitan merebak dari rahang ke kawasan belakang mata, muka, telinga, bahu atau leher serta sakit telinga atau bunyi berdesing dalam telinga yang bukan disebabkan jangkitan telinga.

"Meskipun tidak berbahaya dan kadangkala sembuh dengan sendiri tetapi ia sering dikaitkan dengan kesakitan terlampau yang akut (jangka masa pendek) atau kronik (jangka masa panjang) dan boleh mengganggu aktiviti seharian serta menjejaskan kualiti kehidupan," katanya.

Punca penyakit TMD

Dr Rifqah berkata, kebiasaannya mereka berusia 18 hingga 60 tahun menghidap penyakit ini.

Bagaimanapun, TMD lebih kerap berlaku kepada wanita meningkat usia, juga boleh menyerang remaja seawal usia 12 tahun.

Katanya, punca penyakit ini bersifat biologikal, psikologikal, sosial dan dipercayai dipengaruhi pelbagai faktor.

"Kelemahan biologikal, psikologikal dan sosial berinteraksi antara satu sama lain dan apabila dipengaruhi stres boleh menjurus kepada TMD.

"Ia boleh berlaku tanpa kehadiran situasi pemangkin seperti mikro atau makro trauma kepada kawasan rahang dan kepala.

"Profil psikologi individu dan ketahanan kesakitan memainkan peranan dalam perbezaan tahap teruk kesakitan," katanya.

Sindrom iritasi usus (IBS), insomnia, kemurungan, migrain, gangguan pernafasan semasa tidur (SDB) dan osteoarthritis dipercayai mempunyai kaitan dengan TMD.

Sebarang trauma di kawasan rahang dan kepala seperti kecederaan rahang, menguap terlalu besar, kemalangan jalan raya dan membuka mulut terlalu lama ketika rawatan pergigian boleh menjadi punca keadaan ini.

Kaedah rawatan

Dr Rifqah berkata, TMD boleh dikategorikan beberapa jenis termasuk kesakitan myofasial, abnormaliti sendi dalaman dan penyakit degeneratif tulang.

"Diagnosis yang tepat amat penting bagi memastikan keberkesanan rawatan. Bukan saja tahap kesakitan pesakit berbeza, malah pendekatan rawatan juga berlainan mengikut kesesuaian pesakit," katanya.

Terdapat beberapa modaliti rawatan boleh dilakukan kepada pesakit termasuk diberi ubat tahan sakit, tuam dengan ais atau tuala panas, lakukan senaman, regangan rahang dan terapi fizikal.

Teknik relaksasi, pengendalian stres dan pelindung mulut boleh digunakan bagi mengelakkan kerosakan gigi bagi pesakit yang mempunyai habit parafungsi.

"Jika tiba-tiba tidak boleh menutup mulut dan kedudukannya tidak dapat dipulihkan secara automatik selepas beberapa minit, mereka dinasihatkan ke klinik pergigian atau Jabatan Kecemasan supaya dislokasi rahang boleh diperbetulkan.

"Pakar pergigian akan beri nasihat dan diagnosis sebelum memulakan sebarang rawatan.

"Adakalanya beberapa prosedur seperti pengimejan X-Ray, imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) atau Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) perlu dilakukan sebelum mencapai diagnosis," katanya.

Tempoh rawatan

Menurut Dr Rifqah, gejala akut mengambil masa lebih kurang 10 hingga 14 hari untuk beransur pulih dan kesan fisioterapi hanya boleh dilihat sekurang-kurangnya lapan hingga 12 minggu.

Kesembuhan sepenuhnya boleh mengambil masa sehingga enam bulan atau lebih.

"Terdapat situasi kesakitan dan gangguan fungsi tidak mampu dipulihkan sepenuhnya terutama kes yang lambat dikesan.

"Bagi kes sebegini, rawatan kebiasaannya bertujuan mengurangkan kesakitan dan membantu mengawal penyakit menjadi lebih teruk.

"Kajian menunjukkan pengesanan awal dan rawatan holistik yang berkesan mampu memberikan prognosis lebih baik terhadap gejala pesakit TMD," katanya.

INFO:

Gejala TMD

* Kesakitan, sengal, rasa tidak selesa di kawasan rahang

* Sukar buka atau tutup mulut secara tiba-tiba

* Perubahan dari segi gigitan yang ketara

* Kerap menggetap gigi, mengepal rahang

* Ngilu pada gigi tanpa sebarang penyakit gigi

* Permukaan gigi haus, patah, berserpih bukan disebabkan trauma

Langkah atasi TMD:

* Elak makanan terlalu keras

* Kunyah gula-gula getah, menggigit, mengunyah pen

* Elak gigit makanan keras gunakan gigi hadapan

* Jangan menguap terlalu luas

* Elak tabiat menggigit kuku

* Jangan amalkan tabiat pengepalan rahang kecuali semasa makan

* Elak menongkat dagu dengan tangan

* Periksa gigi setiap 6 bulan

Sumber dari Berita Harian

 

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.